Category: Jenayah

  • Tiga penyamun bertopeng tetak tuan rumah

    Tiga penyamun bertopeng tetak tuan rumah

    TIGA individu bertopeng memecah masuk ke dalam sebuah rumah dan menetak seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun di Kemayan, Bera, dalam kejadian samun pagi Rabu lalu.

    Selain mencederakan pemilik rumah, lelaki terbabit juga melarikan sebuah Toyota Fortuner warna hitam ketika kejadian pukul 10 pagi itu.

    Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan N. Kumaran, berkata polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera mendapati mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

    “Mangsa mengalami kecederaan di lengan dan kaki dipercayai akibat ditetak dengan parang dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh untuk rawatan.

    “Hasil siasalan awal mendapati, suspek adalah tiga lelaki bertopeng yang memacah masuk melalui pintu belakang rumah mangsa dan mencederakannya sebelum melarikan kenderaan milik mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, suspek dipercayai melarikan diri menaiki kenderaan Perodua Myvi warna kelabu dan kenderaan milik mangsa menghala ke Bahau, Negeri Sembilan.

    “Kenderaan mangsa kemudian ditemui di dalam kawasan kebun getah, FELDA Sungai Lui, Negeri Sembilan. Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

    “Orang ramai diminta menyalurkan maklumat dengan segera dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Bera, 09-2507999 atau balai polis berhampiran,” katanya, lapor BH Online.

  • Polis tumpaskan sindiket dadah

    Polis tumpaskan sindiket dadah

    Oleh BADLISHAH MAT

    SINDIKET penyeludupan dan pengedaran dadah berjaya ditumpaskan polis menerusi serbuan di sebuah pondok berdekatan kandang lembu di Kampung Sungai Division, Sungai Petani pada Isnin dan Selasa lalu.

    Serbuan itu menyaksikan dadah seberat 1.67 kilogram (kg) bernilai RM58,496 dirampas oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, seramai lima lelaki termasuk seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 22 hingga 36 tahun ditahan dalam serbuan tersebut.

    Zaidy berkata, serbuan pertama dijalankan pada pukul 11 malam dan berjaya menahan tiga lelaki termasuk seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 22 hingga 36 tahun.

    “Hasil serbuan tersebut polis merampas dadah jenis heroin seberat 1660.5 gram dan syabu seberat 1007.5 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, serbuan kedua di lokasi sama pada pukul 12.15 malam membawa kepada penahanan dua lagi suspek yang merupakan pengembala lembu dan pengawal keselamatan berusia 35 dan 36 tahun.

    “Ujian air kencing bagi kesemua suspek yang ditahan didapati negatif daripada sebarang jenis dadah, namun tiga daripada mereka didapati mempunyai rekod jenayah,” katanya. 

    Zaidy berkata, pihaknya turut merampas lima buah motosikal dan sejumlah wang tunai dengan nilai rampasan itu berjumlah RM29,100.

    “Bagi jumlah keseluruhan rampasan dadah dan barang yang disita itu pula adalah sebanyak RM87,569.

    “Kesemua tangkapan kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Mayat mangsa bunuh ditemukan dalam guni di tepi jalan

    Mayat mangsa bunuh ditemukan dalam guni di tepi jalan

    SATU mayat dalam guni ditemui di tepi Jalan Persiaran Aman Perdana 1, di Klang petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, penemuan berkenaan dimaklumkan orang awam kepada polis pada pukul 6.10 petang.

    “Mayat yang mulai reput itu ditemui dalam keadaan berbungkus dalam guni putih.

    “Keadaan mayat hanya memakai kain sarung warna biru tanpa baju. Identitinya juga masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, mayat dipercayai mangsa bunuh itu telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.

    Tambah beliau, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan You Swee Leong di talian 012-4071452.

    “Orang ramai juga boleh hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di talian 03-32912222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya, lapor Astro Awani.

  • 164 ahli sindiket penipuan dalam talian dicekup di Langkawi

    164 ahli sindiket penipuan dalam talian dicekup di Langkawi

    Oleh BADLISHAH MAT

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket penipuan dalam talian yang berpangkalan di Pulau Langkawi dalam serbuan yang dilakukan serentak di tiga buah resort, hari ini.

    Sindiket itu dikesan menjalankan kegiatan terbabit di resort yang dipercayai tidak beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

    Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket yang dipercayai didalangi warganegara China itu turut merekrut warga tempatan.

    “Seramai 30 orang warga asing terdiri daripada 27 rakyat China, dua Thailand, seorang warga Myanmar serta 134 orang warganegara Malaysia ditahan dalam serbuan tersebut

    “Hasil siasatan terhadap rakyat Malaysia yang ditahan dalam operasi ini mengakui mereka dibayar sehingga RM3,000 sebulan dan komisyen sebanyak RM15 bagi setiap orang yang berjaya direkrut,” katanya dalam sidang akhbar di Jalan Lubuk Semilang, Ulu Melaka.

    Khairul Dzaimee berkata, JIM merampas 756 buah telefon bimbit, 150 buah komputer termasuk komputer riba serta pelbagai peralatan elektronik lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.

    Tambah beliau, sindiket itu dianggarkan memerlukan RM800,000 sebulan untuk menampung kos operasi yang digunakan bagi membayar gaji, kos penginapan, sewa dewan dan pelbagai kemudahan lain yang digunakan mereka.

    Jelasnya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai menjadikan resort-resort tersebut sebagai pusat operasi dan tempat untuk melatih ahli-ahli sindiket baharu bagi dijadikan sebagai operator kegiatan tersebut.

    “Sindiket ini dipercayai telah beroperasi hampir setahun dan sering kali berpindah-randah bagi mengelak aktiviti mereka dihidu oleh pihak berkuasa.

    “Sebanyak 17 pasport China dirampas dan semakan mendapati mereka menggunakan pasport baharu yang tiada rekod perjalanan, selain pas rawatan perubatan, manakala selebihnya tidak mempunyai dokumen yang sah,” ujarnya.

    Menurut beliau, pihaknya juga akan melakukan siasatan lanjut terhadap ketiga-tiga pemilik resort terbabit.

    Sementara itu, kesemua warganegara asing tersebut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966, manakala kesemua warga Malaysia akan diberikan Borang 29 dan ditahan untuk siasatan lanjut.

  • Polis siasat anggota benarkan rakan pegang senjata api

    Polis siasat anggota benarkan rakan pegang senjata api

    POLIS Johor menyiasat berhubung tindakan seorang anggota polis yang membenarkan rakannya yang juga orang awam memegang dan bergambar dengan senjata api.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, siasatan mendapati gambar berkenaan diambil di hadapan Balai Polis Taman Johor Jaya di Johor Bahru pada pukul 2.43 pagi, semalam.

    Katanya, gambar berkenaan kemudian tular dalam media sosial khususnya Twitter menerusi satu akaun bernama @evvok.

    “Polis telah mengesan satu gambar tular memaparkan seorang lelaki berpakaian seragam polis sedang menghisap rokok bersama seorang orang awam yang sedang memegang senjata api milik anggota polis berkenaan.

    “Orang awam yang merupakan rakan kepada anggota tersebut dilihat memegang senjata api jenis HK-MP5,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Sohaimi berkata, ketika gambar itu diambil, anggota berkenaan sedang bertugas di pos pengawal balai polis berkenaan.

    “Siasatan mendapati anggota polis, orang awam yang memegang senjata api dan seorang lagi individu awam yang mengambil gambar berkenaan merupakan rakan dan semuanya berusia 25 tahun.

    “Difahamkan, tujuan gambar tersebut diambil adalah sebagai kenang-kenangan, namun ianya telah dimuat naik ke dalam media sosial sehingga menjadi tular,” jelasnya.

    Katanya, tindakan anggota polis tersebut membenarkan orang awam memegang senjata api ketika bertugas adalah satu kesalahan yang melanggar tatakelakuan.

    Jelasnya, siasatan lanjut sedang dijalankan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.

    “Anggota terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” tambahnya, lapor Sinar Harian.

  • Tiga lelaki jual cecair vape kandungi dadah ditahan

    Tiga lelaki jual cecair vape kandungi dadah ditahan

    POLIS menahan tiga lelaki kerana disyaki menjual 33 botol cecair vape mengandungi dadah jenis ketamin bernilai RM6,800 dalam dua serbuan di sebuah premis dan rumah di FELDA Pasir Besar, Gemas, Tampin hari ini.

    Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab, berkata serbuan pertama dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tampin di sebuah premis menjual rokok elektronik (e-cigarate) pukul 8.23 malam, 10 Januari lalu.

    “Hasil pemeriksaan, polis menemui lima botol kecil berwarna hitam disyaki mengandungi cecair dadah jenis ketamin dengan anggaran isi padu 50 mililiter (ml).

    “Serbuan kedua kira-kira jam 8.30 malam pada hari sama di sebuah rumah di FELDA Pasir Besar turut menemui 28 botol lagi cecair sama dengan nilai rampasan keseluruhan RM6,800,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Anuwal berkata, hasil serbuan polis menahan dua lelaki berusia 18 dan 23 tahun yang juga pekerja di kedai itu kerana disyaki memiliki cecair mengandungi dadah berkenaan.

    “Polis turut menahan seorang lelaki berusia 30 tahun iaitu pemilik kedai vape dalam serbuan di rumah berkenaan.

    “Ketiga-tiga suspek, termasuk seorang penjawat awam direman selama empat hari bermula Rabu lalu dan dijangka akan didakwa di Mahkamah Majistret Tampin Jumaat ini.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya, lapor BH Online.

  • Anggota imigresen, adik dan orang tengah direman bantu siasatan kes ‘pasport terbang’

    Anggota imigresen, adik dan orang tengah direman bantu siasatan kes ‘pasport terbang’

    SEORANG anggota imigresen, adik lelakinya dan seorang individu yang disyaki orang tengah direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes suapan berkaitan pengeluaran ‘pasport terbang’ di Sibu.

    Perintah reman terhadap mereka yang masing-masing berusia 36, 32 dan 42 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sibu Rommie Ahmad Zaidi selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Ketiga-tiga lelaki itu ditahan SPRM antara 2.55 hingga 5.35 petang semalam untuk membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    SPRM membuat penahanan selepas menerima maklumat mengatakan penjawat awam gred KP19 itu telah meminta dan menerima suapan wang rasuah secara ‘perbankan dalam talian’ pada 2017 dan 2018.

    Suapan itu diterima daripada individu yang disyaki menjadi orang tengah aktiviti ‘pasport terbang’ di sekitar Sibu sebagai balasan memasukkan data di dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia bagi melanjutkan tempoh Pas Lawatan Sosial (PLS) yang telah tamah tempoh.

    Suapan itu dipindahkan dari akaun individu itu ke akaun bank adik anggota imigresen berkenaan.

  • Penjawat awam antara enam ditahan didakwa terima rasuah RM20,000

    Penjawat awam antara enam ditahan didakwa terima rasuah RM20,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan enam individu termasuk penjawat awam yang bertugas di sebuah jabatan di Semporna, pukul 10 malam tadi.

    Semua mereka l termasuk seorang lelaki disyaki sebagai orang tengah ditahan kerana dipercayai meminta wang rasuah kira-kira RM20,000 daripada seorang individu.

    Menurut sumber, sogokan itu diberi supaya tidak mengambil tindakan ke atas anaknya yang disyaki melakukan kesalahan menyimpan kira-kira 100 kotak minyak masak bersubsidi disyaki untuk diseludup ke luar negara.

    “Semua suspek berusia antara 29 dan 50 tahun ditahan pegawai SPRM selepas menerima sebahagian daripada wang rasuah iaitu sebanyak kira-kira RM5,000 daripada orang awam berkenaan,” katanya, lapor Astro Awani.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

    “Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    “Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Tawau untuk proses permohonan reman pada hari ini bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.

  • Bot nelayan kelas C ditahan gajikan 4 PATI Myanmar

    Bot nelayan kelas C ditahan gajikan 4 PATI Myanmar

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan pukul 10.10 pagi semalam selepas didapati menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai kru bot.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia mengesan bot nelayan tempatan kelas C itu dalam keadaan mencurigakan ketika melaksanakan rondaan rutin OP TANJUNG.

    Jelas beliau, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada kedudukan 38 batu nautika barat laut Muka Head.


    “Hasil pemeriksaan mendapati, bot dikendalikan empat warga Myanmar termasuk tekong berumur dalam lingkungan 31 hingga 51 tahun yang kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta melanggar syarat sah lesen bot.

    “Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, bot serta kesemua kru ditahan termasuk kira-kira 500 kilogram (kg) hasil laut dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

     
    Dalam pada itu, katanya, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan PATI untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran telah diberikan sebelum ini.

    Sehubungan itu, tegas beliau, Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

  • Upah RM1,300 simbah cat, baling molotov cocktail di rumah mangsa ah long

    Upah RM1,300 simbah cat, baling molotov cocktail di rumah mangsa ah long

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENERIMA upah daripada ceti haram atau ah long sehingga RM1,300 untuk melakukan perbuatan khianat dengan api dan simbah cat di rumah peminjam wang.

    Bagaimanapun kegiatan tiga suspek yang terlibat melakukan jenayah tersebut di sekitar daerah Kulai dapat dihentikan selepas pihak polis berjaya menahan tiga pelakunya termasuk seorang wanita.

    Sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai memberkas mereka kelmarin di tiga lokasi berasingan.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya melakukan tiga serbuan tersebut antara pukul 9 pagi hingga 2.30 petang.

    “Menerusi serbuan itu, dua lelaki berusia 25 dan 36 tahun serta seorang wanita berusia 43 tahun ditahan sekitar Seri Alam, Iskandar Puteri dan Johor Bahru.

    “Masing-masing ditahan di rumah dan tepi jalan kerana terlibat kes khianat dengan api dan simbah cat di kawasan daerah Kulai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, menerusi serbuan berkenaan, pihak polis merampas sebuah motosikal dan beberapa peralatan yang digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah tersebut.

    Jelasnya, hasil soal siasat, semua suspek mengaku mengambil upah tersebut untuk menyimbah cat di dua rumah dan membaling molotov cocktail di sebuah rumah di daerah itu.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menyiasat penglibatan suspek dalam lain-lain kes jenayah di dalam dan luar daerah Kulai,” ujar beliau.

    Menurut Beng Yeow, hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan semua mereka direman enam hari bermula Rabu sehingga 16 Januari ini.

    Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan didenda selain Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.