Category: Jenayah

  • Sindket pengedaran dadah di kelab malam tumpas, rampasan RM1.6 juta

    Sindket pengedaran dadah di kelab malam tumpas, rampasan RM1.6 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SATU sindiket pengedaran dadah menjadikan kondominum dan rumah mewah sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan di pasaran tempatan dengan menyasarkan kelab hiburan dan kelab malam sekitar negeri ini.

    Itu adalah modus operandi kegiatan pengedaran dadah dilakukan sindiket tersebut telah aktif sejak bulan Oktober tahun lalu.

    Bagaimanapun sindiket berkenaan tumpas selepas polis melakukan sembilan serbuan di empat daerah pada 5 Januari lalu hingga kelmarin.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sindiket berkenaan melakukan pengedaran dan pembungkusan dadah jenis Erimin 5 yang didalangi warga asing.

    “Serbuan kita lakukan sekitar Kulai, Iskandar Puteri, Seri Alam dan Mersing dalam Operasi Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Kulai.

    Antara dadah yang dirampas pihak polis di empat daerah menerusi Operasi Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Kulai.

    “Menerusi serbuan itu 14 ahli sindiket termasuk lima wanita berusia 21 tahun hingga 48 tahun ditahan. Lapan yang ditahan termasuk dalang adalah warga asing.

    “Seorang daripadanya adalah ‘mastermind’ warga asing dari negara jiran yang menggunakan kereta mewah bernilai hampir RM300,000. Polis masih menjalankan siasatam dan sedang mengenal pasti ketua sindiket.

    “Menerusi serbuan itu 70,004 biji pil erimin 5 seberat 22.21 kilogram bernilai RM1.66 juta berjaya dirampas. Selain itu turut dirampas, 54.70 gram syabu, 3.70 gram heroin, 2.40 gram ketamin dan 1.00 gram ganja yang keseluruhannya bernilai RM1.672 juta,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.

    Katanya, ujian saringan air kencing mendapati sembilan daripada 14 suspek terbabit positif dadah Methapethamine dan ketamin.

    “Apa yang peliknya dadah yang kita rampas adalah Erimin 5. Erimin 5 ini digunakan sebagai dadah penenang yang biasa digunakan di kelab hiburan dan dijual pada harga RM15 sebiji,” katanya.

    Kamarul Zaman menunjukkan ahli-ahli sindiket pengedaran dadah yang berjaya diberkas dalam operasi khas, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini

    Menurutnya, sejumlah besar Erimin 5 yang dirampas dalam operasi itu, sekiranya terlepas boleh digunakan oleh 70,329 penagih dadah.

    “Mereka (pengunjung kelab malam) menggunakan dadah Erimin 5 ini adalah untuk menurunkan kadar denyutan, memberi ketenangan an sebagainya. Selepas ambil dadah dan berhibur, mereka akan ambil erimin 5 untuk pulang supaya jadi lebih tenang,” ujar beliau.

    Kata beliau lagi, sembilan daripada 14 suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

    Tambahnya, polis juga menyita sebuah kereta mewah Maserati bernilai RM300,000, jam tangan jenama Rolex bernilai RM45,000 dan pelbagai barang kemas dengan nilai sitaan RM44,441.

    Kesemua suspek katanya, direman selama tujuh hari bermula Isnin sehingga 21 Januari ini untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Sub kontraktor TM antara ditahan curi kabel

    Sub kontraktor TM antara ditahan curi kabel

    SEORANG sub kontraktor Telekom Malaysia (TM Malaysia) serta 13 pekerjanya ditahan polis selepas didapati menjadi dalang kejadian curi kabel milik syarikat tersebut di Pulau Pinang dan Kedah.

    Selain itu, lima lagi suspek termasuk seorang wanita yang merupakan pembeli kabel curi itu turut ditahan di sekitar Sungai Petani, Kedah.

    Kesemua 19 individu yang ditahan itu berusia 27 hingga 47 tahun dan berasal dari Kedah.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, 11 daripada suspek termasuk sub kontraktor itu ditahan pada 10 Januari lalu, kira-kira pukul 2.40 pagi di persimpangan lampu isyarat di Jalan Tanjung Bungah Park kerana disyaki melakukan kegiatan curi kabel.

    “Beberapa hari sebelum itu, pihak syarikat menerima aduan mengenai gangguan bekalan internet di kawasan berkenaan.

    “Semasa tangkapan dibuat, kesemua suspek sedang memotong dan mengeluarkan kabel bawah tanah dan mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah ketika itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, modus operandi kumpulan itu adalah mencuri kabel bawah tanah melalui ‘man hole’ dengan menyamar sedang membuat tugas selenggara kabel TM untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

    Ujarnya, kabel-kabel yang dicuri itu akan dibawa ke tapak pelupusan di Sungai Petani dan Kuala Ketil, Kedah menggunakan lori.

    Difahamkan, setiap satu kilogram tembaga di dalam kabel berkenaan dijual di pasaran pada harga RM30 dan anggaran kerugian yang dialami syarikat berkenaan akibat kes kecurian kabel yang didalangi sindiket itu ialah kira-kira RM910,448.

    Tambah Mohd. Shuhaily, ujian air kencing yang dijalankan mendapati tujuh daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan rekod jenayah mendapati 14 individu mempunyai antara dua hingga 12 rekod jenayah lampau.

    “Dengan penangkapan suspek-suspek ini, kita percaya berjaya menyelesaikan sebanyak 27 kes curi kabel yang mana 17 kes berlaku di Pulau Pinang manakala 10 lagi di Kedah,” katanya.

    Dalam pada itu, tambah beliau, polis turut merampas pelbagai barangan daripada sindiket itu antaranya sebuah motolori; tiga buah kereta; 65 batang kabel bertulis Telekom Malaysia; pemotong paip; pemotong besi dan banyak lagi.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.

  • Bekas Koperal polis, isteri antara 3 ditahan bersama dadah RM1.13 juta

    Bekas Koperal polis, isteri antara 3 ditahan bersama dadah RM1.13 juta

    BEKAS anggota polis berpangkat Koperal dan isterinya merupakan antara tiga individu yang ditahan polis Pulau Pinang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah jenis ganja.

    Kesemua suspek ditahan dalam tiga serbuan bebeza di Penaga, Seberang Perai Utara (SPU), Jumaat lalu yang mana polis turut merampas sebanyak 453 ketulan mampat ganja seberat 451 kilogram (kg) bernilai RM1.13 juta dalam serbuan itu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam serbuan pertama pukul 7.30 malam, polis menahan suspek pertama iaitu bekas anggota polis berusia 33 tahun ketika sedang berada di atas motosikal di Jalan Bendahara, Penaga.

    Ketika ditahan, tambah beliau, polis turut merampas sebanyak 10 ketulan mampat disyaki ganja seberat 10.2 kg bernilai RM25,000 bersama suspek.

    “Suspek yang merupakan bekas anggota polis berpangkat Koperal ini dibuang kerja pada 2018 kerana kesalahan berkaitan dadah.

    “Dia telah bertugas selama 11 tahun yang mana penugasan terakhir ialah di Marang, Terengganu,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurutnya, susulan penahanan suspek pertama itu, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di kawasan sama dan menahan isteri suspek yang merupakan seorang pekerja kilang berusia 33 tahun.

    Dalam serbuan itu, ujar beliau, polis merampas sebanyak 443 ketulan mampat disyaki ganja seberat 441 kg bernilai RM1.105 juta.

    Tambah beliau, polis kemudian membuat serbuan di kawasan sama kira-kira pukul 8.30 malam sebelum berjaya menahan dalang utama sindiket itu yang merupakan ahli perniagaan berusia 42 tahun.

    “Hasil risikan mendapati sindiket ini aktif mengedar dadah sejak awal tahun lalu untuk pasaran tempatan yang mana bekalan dadah itu dipercayai diperoleh dari negara jiran dan diseludup menggunakan jalan laut,” katanya.

    Dalam pada itu, tambah beliau, hasil ujian air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah dan ketiga-tiga mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 20 Januari ini.

    Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis turut menyita tiga buah kereta, dua buah motosikal dan wang tunai berjumlah RM37,000 daripada kesemua suspek.

  • SPRM tahan pengerusi koperasi bantu siasatan tuntutan palsu disyaki dilakukan dua syarikat RM20.3 juta

    SPRM tahan pengerusi koperasi bantu siasatan tuntutan palsu disyaki dilakukan dua syarikat RM20.3 juta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengerusi sebuah koperasi di Kedah bagi membantu siasatan terhadap kes tuntutan palsu berkaitan insentif pembayaran projek penternakan lembu tenusu bernilai RM20.3 juta pada 2015.

    Menurut sumber, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kedah kira-kira pukul 3 petang semalam.

    “Lelaki tersebut ditahan bagi membantu siasatan mengenai tuntutan palsu disyaki dilakukan dua syarikat secara bersubahat berkaitan insentif pembayaran projek tersebut di bawah program projek permulaan (EPP) 13 Kluster Tenusu, Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) bernilai RM20.3 juta.

    “Maklumat diterima menyatakan tuntutan palsu itu dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar sedangkan tiada pembekalan dibuat,” katanya kepada Warta Rakyat.

    Perintah tahanan reman terhadap pengerusi koperasi tersebut dikeluarkan Majistret, Muhammad Zul Hilmi Latif di Kompleks Mahkamah Alor Setar dekat sini, hari ini.

    Dia yang diberi pakaian lokap SPRM tiba di Kompleks Mahkamah Alor Setar dengan diiringi pegawai suruhanjaya tersebut kira-kira pukul 8.50 pagi.

    Tangkapan lelaki berkenaan merupakan yang ketiga dibuat SPRM berkaitan kes tersebut.

    Sebelum ini, dua lelaki terdiri  pengarah dan pemilik dua syarikat berbeza, ditahan dan direman selama empat hari bermula 11 Januari lalu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap mengesahkan penahanan lelaki tersebut namun enggan mengulas lanjut.

    Katanya, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

  • Diacu parang, disamun RM30,000 dalam rumah

    Diacu parang, disamun RM30,000 dalam rumah

    SATU keluarga di Taman Desa Jasmin, di Nilai, diacukan parang oleh penyamun yang memecah masuk rumah mereka dan melarikan barang kemas serta wang tunai dengan nilai keseluruhan mencecah RM30,000.

    Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, suspek dikatakan mengacu parang kepada seorang mangsa wanita meminta supaya menyerahkan barang kemas.

    Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima aduan melalui Balai Polis Nilai mengenai kejadian daripada seorang lelaki tempatan memaklumkan rumahnya disamun.

    “Hasil siasatan awal mendapati, empat lelaki tempatan masuk ke rumah mangsa dengan memanjat pagar seterusnya masuk ke dalam rumah yang tidak berkunci.

    “Suspek dikatakan mengacukan parang kepada isteri pengadu yang sedang menggosok baju di sebuah bilik serta ahli keluarga lain sebelum mereka ditempatkan di sebuah bilik.

    “Suspek juga dikatakan meminta isteri pengadu menyerahkan barang kemas yang dipakai isterinya sebelum wanita itu menyerahkannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, suspek kemudiannya menggeledah rumah dan mengambil wang tunai dan melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan jenis Proton Waja.

    Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BDJD) Nilai membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan samun berkumpulan dengan senjata.

    Polis katanya, sedang mempergiatkan usaha untuk mengesan dan menangkap suspek yang terbabit dalam kes ini.

    “Sekiranya orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, dinasihatkan untuk hadir ke balai polis bagi membantu siasatan atau menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7904222,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Lelaki ragut wanita hingga cedera ditahan

    Lelaki ragut wanita hingga cedera ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki yang juga penagih dadah kerana terlibat dalam kejadian ragut beg tangan seorang wanita sehingga mangsa cedera di tangan, di Lorong Selamat, di Georgetown, Khamis lepas.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata lelaki tempatan berusia 37 tahun itu ditahan di Simpang Ampang, Seberang Perai Selatan (SPS) dekat Georgetown, pukul 12.15 tengah malam semalam (14 Jan), hasil risikan dan intipan dijalankan pihak polis.

    “Berdasarkan siasatan awal mendapati lelaki yang tidak bekerja itu disyaki terlibat dengan beberapa kes ragut di negeri ini termasuk dua kes ragut di kawasan George Town tahun ini.

    “Susulan penahanan lelaki itu, polis turut merampas beberapa barangan antaranya dua buah telefon bimbit, baju, topi keledar, tiga kad bank dan wang tunai, serta menyita sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Soffian berkata hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methapethamine, selain turut mempunyai lima rekod jenayah lampau dan kini direman sehingga 18 Jan, bagi membantu siasatan menurut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun dengan mendatangkan kecederaan.

    Video kejadian ragut itu tular dalam laman sosial dan pihak polis turut mengesahkan menerima laporan mengenai insiden wanita itu, dilihat diragut seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna hitam.

    Lelaki itu menghampiri dan meragut beg tangan mangsa yang disangkut di atas bahu kanannya menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada tangan kanan selain turut mengalami kerugian kira-kira RM2,800.

  • Bapa ditahan pukul, ugut bunuh anak perempuan

    Bapa ditahan pukul, ugut bunuh anak perempuan

    POLIS menahan seorang lelaki kerana disyaki memukul dan mengugut bunuh anak perempuannya berusia 15 tahun.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Fakhrudin Abdul Hamid berkata suspek berusia 58 tahun yang bekerja sebagai pembantu restoran itu ditahan di Lembah Subang, Selangor pada 10.30 malam, Jumaat lepas, setelah pihaknya menerima laporan daripada remaja itu pada 1.18 tengah hari, hari yang sama.

    “Siasatan awal mendapati suspek telah mengugut menggunakan sebilah parang pemotong daging dan memukul mangsa menggunakan tali pinggang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada mangsa yang leka bermain telefon pintar hingga lewat malam selain sifat bapanya yang panas baran.

    Fakhrudin berkata polis turut merampas sebilah parang pemotong daging berukuran kira-kira 33 sentimeter.

    Suspek direman empat hari bermula semalam hingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

  • Seorang maut, lima cedera ketika berlumba haram

    Seorang maut, lima cedera ketika berlumba haram

    SEORANG penunggang motosikal maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan yang dipercayai berpunca daripada kegiatan lumba haram di KM187.7
    Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan awal pagi ini.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 1.50 pagi tadi berkaitan kemalangan membabitkan enam motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Plaza Tol Alor Pongsu menghala ke Bukit Merah.

    Beliau berkata, lelaki yang berumur 20 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima penunggang yang lain mengalami pelbagai kecederaan.

    “Kesemua yang cedera dibawa ke Hospital Taiping dan Parit Buntar bagi menerima rawatan manakala lelaki yang maut dibawa ke Hospital Parit Buntar bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

    Mohd Yusri berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan di talian 057210539 atau 0136200564.

  • Bimbang disaman, lelaki berlari ke sawah sewaktu lalui sekatan jalan raya

    Bimbang disaman, lelaki berlari ke sawah sewaktu lalui sekatan jalan raya

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TINDAKAN seorang lelaki yang tiba-tiba keluar dari kenderaannya dan melarikan diri ke sawah padi ketika diarahkan untuk berhenti ketika melalui sekatan jalan raya di kawasan Alor Mengkudu, Alor Setar semalam mengundang rasa curiga pihak berkuasa.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu mendorong anggota polis bertugas mengejar dan menahannya di tengah sawah.

    “Pemeriksaan dijalankan terhadapnya tidak menemukan sebarang sebarang barang salah. Selain itu kereta dipandunya juga tidak memiliki rekod hilang.

    “Semakan lebih lanjut mendapati dia tidak memiliki rekod kesalahan lampau. Hasil temu bual kemudiannya mendedahkan yang dia sebenarnya melarikan diri hanya semata-mata kerana tidak memiliki lesen memandu,” katanya.

    Kejadian itu turut dirakam orang awam dan menjadi tular di media sosial, Tik Tok.

    Mengulas lanjut Ahmad Shukri berkata, lelaki tersebut memaklumkan yang dia bimbang dikenakan saman kerana tidak bekerja.

    “Setelah berpuas hati dengan penjelasan diberikan, atas budi bicara pihak polis membenarkannya pulang apatah lagi dia hanya tinggal di kawasan berhampiran.

    “Begitu pun, dia diberikan amaran agar tidak mengulangi tindakan sama selepas ini,” katanya.

    Tambahnya, satu laporan polis turut dibuat berkaitan kejadian itu dan pihaknya menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan anggota bertugas ketika melalui sekatan jalan raya.

  • Polis buru suspek ragut beg tangan

    Polis buru suspek ragut beg tangan

    POLIS Daerah Timur Laut, Pulau Pinang sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki meragut beg tangan seorang wanita di Lorong Selamat, George Town dalam kejadian semalam.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, video kejadian ragut itu dikesan tular selepas dimuat naik di laman Facebook ‘We are Malaysians’ kira-kira pukul 8 pagi ini.

    Jelas beliau, polis juga telah menerima laporan mengenai kejadian ragut itu kira-kira pukul 1.55 tengah hari semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun mendatangkan cedera.

    ”Melalui rakaman kamera papan pemuka kereta milik suami mangsa, mangsa diragut seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna hitam.

    ”Lelaki tersebut menghampiri dan meragut beg tangan mangsa yang disangkut di atas bahu kanannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada tangan kanan selain turut mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM2,800.

    Tambahnya, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi balai polis terdekat atau Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.