Category: Jenayah

  • Lelaki ditahan menyamar polis

    Lelaki ditahan menyamar polis

    PERBUATAN seorang lelaki menyamar sebagai anggota polis mengundang padah, apabila dia ditahan polis di sekitar bandar Keningau, semalam.

    Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, suspek warga tempatan berusia 22 tahun ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

    “Suspek ditahan ketika menjalani penugasan Op Samseng Jalanan, pada pukul 2 petang. Suspek ditahan menggunakan pakaian preman dan vest warna hijau tertera tulisan ‘polis’.

    “Ketika diminta untuk menunjukkan identiti polis dan MyKad bagi tujuan pemeriksaan dan pengesahan, suspek gagal kemukakan kepada polis.

    “Suspek kemudian dibawa ke IPD Keningau untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Menurutnya, pasukan polis turut membuat rampasan beberapa barangan lain serta motosikal yang ditunggang suspek.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Human Rights Watch dakwa aktivis pelarian Myanmar diculik di Malaysia

    Human Rights Watch dakwa aktivis pelarian Myanmar diculik di Malaysia

    HUMAN Rights Watch (HRW) mendakwa seorang aktivis pelarian Myanmar dan keluarganya diculik beberapa lelaki tidak dikenali di rumah mereka di Malaysia.

    Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa itu berkata, Thuzar Maung dan suami Saw Than Tin Win serta tiga anak mereka diculik dari rumah di Ampang Jaya pada 4 Julai lalu.

    HRW memetik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan keterangan saksi, sambil menambah Thuzar merupakan penyokong lantang gerakan pro-demokrasi di Myanmar.

    “Kami bimbang dengan keselamatan Thuzar dan keluarganya yang diculik dalam operasi terancang. Kerajaan Malaysia perlu bertindak segera mencari keluarga itu dan memastikan keselamatan mereka,” kata Pengarah Asia HRW, Elaine Pearson dalam kenyataan.

    Kumpulan itu mendakwa sebuah kereta memasuki komuniti berpagar mereka kira-kira 4.30 petang 4 Julai lalu dan memberitahu pengawal keselamatan mereka kononnya polis.

    “Dua jam kemudian, Thuzar ketika bercakap telefon dengan kawannya, yang terdengar Thuzar menjerit kepada suaminya, lelaki tidak dikenali memasuki rumah mereka sebelum panggilan terputus.

    “Kemudian, kereta sama dan dua kereta milik keluarga Thuzar dilihat meninggalkan kawasan itu,” dakwa HRW, lapor FMT.

    Menurutnya, rakaman CCTV dari pondok keselamatan merakam nombor plat kereta ‘polis’ itu dan mendakwa polis tempatan mengenal pastinya sebagai palsu.

    Thuzar menyokong demokrasi di Myanmar serta hak pelarian dan migran di Malaysia sejak sekian lama.

    Beliau mempengerusikan Komuniti Pelarian Islam Myanmar dan Jawatankuasa Pekerja Migran Myanmar, selain bekerjasama rapat dengan pembangkang Myanmar, Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar.

    Thuzar melarikan diri dari Myanmar pada 2015. Beliau dan keluarganya diiktiraf Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai pelarian di Malaysia.

    FMT sudah menghubungi Kementerian Dalam Negeri dan polis untuk mengulas.

  • MH17 ditembak:Kerajaan tak henti usaha tegak keadilan

    MH17 ditembak:Kerajaan tak henti usaha tegak keadilan

    KERAJAAN akan terus berusaha untuk mendapatkan keadilan bagi 298 mangsa tragedi MH17 walaupun keputusan kes tembak jatuh pesawat itu sudah diputuskan Mahkamah Daerah The Hague, Belanda pada 17 November tahun lepas.

    Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan memaklumkan, Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada mesyuarat 17 Mac lalu memutuskan untuk meneruskan pendengaran mengenai penyelesaian perbezaan antara pihak yang berkonflik.

    “Malaysia bertekad bahawa proses itu mesti membuktikan kebenaran, keadilan dan akauntabiliti.

    “Keputusan mahkamah pada 17 November itu mendedahkan kebenaran dan memberi keadilan kepada semua 298 mangsa termasuk 43 rakyat Malaysia,” menurut kenyataan berkenaan, lapor FMT.

    Mahkamah Daerah The Hague pada 17 November menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine selepas didapati bersalah menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014.

    Digor Girkin dan Sergei Dubinsky serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko, turut didakwa menyebabkan semua 298 penumpang dan krunya terbunuh.

    Hakim Hendrik Steenhuis yang membacakan ringkasan penghakiman turut memerintahkan ketiga-tiga lelaki itu membayar pampasan kepada ahli keluarga mangsa.

    MH17 ditembak jatuh peluru berpandu BUK ketika terbang melewati kawasan dilanda konflik di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

    Semua 298 penumpang dan kru dalam pesawat malang itu, membabitkan 43 rakyat Malaysia, 193 rakyat Belanda dan 27 rakyat Australia terkorban.

  • Warga emas ditahan pukul ibu berusia 91 tahun

    Warga emas ditahan pukul ibu berusia 91 tahun

    POLIS menahan seorang lelaki warga emas kerana memukul ibunya yang berusia 91 tahun sehingga cedera di muka dalam kejadian di sebuah rumah panjang di Selangau.

    Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berusia 60 tahun itu ditahan pukul 3 petang semalam.

    “Penahanan suspek dibuat selepas kejadian itu dilaporkan di Balai Polis Selangau pada 11 malam, 14 Julai lalu.

    “Tangkapan sudah dibuat dan kes masih dalam siasatan.

    “Mangsa juga sudah diberi rawatan di Klinik Kesihatan Selangau dan kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

    “Polis turut mengesan video berdurasi 26 saat yang tular di Facebook semalam memaparkan suspek memukul mangsa menggunakan tangan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Mayat bayi baru lahir dalam longgokan sampah

    Mayat bayi baru lahir dalam longgokan sampah

    MAYAT seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemukan dalam longgokan sampah di Fajar, Lahad Datu pukul 11.30 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, mayat bayi itu ditemukan oleh seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun dalam keadaan dibalut dengan pakaian.

    “Lelaki terbabit merupakan pemandu lori kontraktor pembersihan sampah yang ketika itu sedang memungut sampah di kawasan berkenaan.

    “Mayat bayi itu dibalut dengan menggunakan kemeja perempuan berwarna kelabu dan bergaris yang diletakkan di atas longgokan sampah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Rohan Shah berkata, susulan kejadian itu sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

    Katanya, mayat bayi itu telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi proses bedah siasat.

    “Kes disiasat bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat dengan sulit dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Tindakan drakonian sekat Tik Tok, buka semula kalau benar anak jantan – Sanusi

    Tindakan drakonian sekat Tik Tok, buka semula kalau benar anak jantan – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mencabar pihak-pihak yang terlibat dalam menyekat akaun Tik Toknya supaya menghentikan sekatan tersebut jika mereka benar-benar anak jantan.

    Menurutnya, perbuatan sedemikian adalah tindakan ‘drakonian’ yang hanya akan menyebabkan golongan berkenaan lebih dibenci oleh orang ramai.

    Dakwanya, dalam keadaan perang bagi berdepan Pilihan Raya Negeri ketika ini, ada pihak yang mempengarui syarikat Tik Tok tersebut untuk menyekat akaunnya.

    “Tak tahulah apa sebabnya tetapi mungkin kerana mereka buka Tik Tok saja, keluar muka Sanusi. Jadi maklumat saya sampai dengan cepat kepada orang ramai dan apabila mereka sekat, mereka fikir saya tak ada ruang untuk sampai dengan cepat kepada orang ramai.

    “Tetapi kalau betul-betul anak jantan, buka balik akaun Tik Tok saya. Kalau tak buka, ‘hangpa’ darai (pondan) dan kalau dah darai, tak payahlah berlawan. ‘Pi’ balik sajalah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan geran tanah di Daerah Bandar Baharu, hari ini.

    Semalam Muhammad Sanusi membangkitkan mengenai perkara tersebut di laman Facebook rasminya dengan mendakwa akaun Tik Toknya disekat daripada diakses oleh orang ramai.

    Muhammad Sanusi menambah, pegawainya ada membuka akaun Tik Tok baharu namun beliau belum melihat atau menelitinya lagi.

    “Ini zaman moden dan kerja yang ‘hangpa’ buat ini tahun 1963 bolehlah. Masa itu ceramah orang letak speaker di pokok getah dan kepitkan wayar di kepala bateri.

    “Disebabkan dengki, cabut kepala bateri itu supaya maklumat orang tak dengar. Tetapi sekarang ini banyak jalan boleh diusahakan,” katanya.

  • Bersatu lapor polis terhadap bekas ADUN PKR walaupun sudah minta maaf

    Bersatu lapor polis terhadap bekas ADUN PKR walaupun sudah minta maaf

    TINDAKAN tegas juga perlu diambil terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi susulan kenyataan berbau perkaumannya yang tular sebelum ini.

    Sekumpulan pemimpin akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat laporan polis terhadap ADUN PKR tersebut walaupun sudah meminta maaf terhadap kenyataan menghina Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calonnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru Sivaranjani Manickam baru-baru ini.

    Setiausaha Kerja Bersatu Titiwangsa, Thaqib Shaker berkata Najwan yang memohon maaf pada hari sama tidak harus terlepas daripada tindakan, sama seperti kes Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

    “(Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengatakan pada kes Sanusi, mohon maaf tak selesaikan tindakan undang-undang dan polis bebas siasat Sanusi.

    “Jadi saya nak cakap mohon maaf tak selesai kesalahan, mohon polis bebas siasat Najwan,” katanya selepas membuat laporan polis terhadap Najwan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

    Sementara itu, Thaqib dalam laporan polis terhadap Najwan berkata, apa sahaja yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum tidak boleh dijadikan bahan gurauan sama sekali.

    “Kenyataan itu boleh menyebabkan tercetusnya perbalahan antara kaum sekaligus menggugat ketenteraman awam,” katanya lapor AgendaDaily.

    Menurutnya lagi, laporan itu dibuat sebagai solidariti terhadap PSM serta menunjukkan kebencian mereka pada perkauman.

    Jumaat lalu, Najwan tidak lama selepas didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman terhadap PSM memohon maaf melalui setiausaha agung parti itu, A Sivarajan.

    Najwan mengakui kenyataannya tidak wajar dan mengundang salah faham.

  • SPRM tahan pekerja dalang sindiket penyeludupan, pelupusan sisik tenggiling

    SPRM tahan pekerja dalang sindiket penyeludupan, pelupusan sisik tenggiling

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pekerja dalang utama dan menjadi orang tengah kepada sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling dalam Op Jaguar kelmarin.

    Menurut sumber, penahanan lelaki berusia 32 tahun itu dijalankan susulan operasi yang dijalankan dan soal siasat terhadap tujuh individu yang ditahan di sebuah premis di Klang, Selangor dan di Kuala Lumpur pada kelmarin.

    “Siasatan masih dijalankan dan SPRM juga sudah mengenal pasti penguat kuasa yang disogok sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa itu.

    “Melalui siasatan, sindiket ini sudah lama beroperasi dan kegiatannya terbongkar hasil maklumat yang diterima SPRM daripada agensi penguat kuasa dari Amerika Syarikat serta maklumat hasil risikan di United Kingdom dan Hong Kong,” katanya.

    Sumber berkata, dalam operasi di Klang, SPRM merampas hampir dua tan sisik haiwan itu yang bernilai RM23.4 juta, sementara di Kuala Lumpur pula SPRM merampas beberapa kenderaan mewah yang mempunyai kaitan dengan sindiket terbabit.

    Terdahulu, SPRM menahan seramai tujuh individu berusia antara 30 hingga 59 tahun membabitkan warganegara Malaysia, Bangladesh, Pakistan dan Nepal.

    Media semalam melaporkan SPRM empat lelaki direman kerana disyaki terbabit menyogok penguat kuasa bagi menyeludup dan melupuskan sisik tenggiling serta terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram.

    Dalam operasi itu, tujuh orang ditahan di mana empat daripadanya direman sementara tiga lagi warga asing diserahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya lapor Harian Metro.

  • JKDM rampas 2.5 juta batang rokok ditinggal tepi jalan

    JKDM rampas 2.5 juta batang rokok ditinggal tepi jalan

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia Kelantan mematahkan cubaan menyeludup rokok melalui pantai selepas merampas 2.5 juta batang rokok melibatkan jumlah cukai RM1.7 juta.

    Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, serbuan dilakukan pukul 1 pagi pada 11 Julai lalu di Jalan Kuala Kemasin, Bachok.

    “Pasukan serbuan mendapati lori ditinggalkan di tepi jalan berkenaan dan pemeriksaan mendapati terdapat kotak-kotak mengandungi rokok dengan nilai keseluruhan RM208,000.

    “Modus operandi yang digunakan penyeludup ialah melalui laluan laut dan berhenti di pesisir pantai sebelum dimuatkan ke dalam lori,” katanya ketika sidang akhbar di Kota Bharu hari ini, lapor Sinar Harian.

    Pihaknya percaya lori muatan lima tan itu akan bergerak untuk pasaran tempatan termasuk pelanggan di Selangor dan Kuala Lumpur.

    Tambah beliau, pihaknya masih mengesan pemilik barang berkenaan dan siasatan diteruskan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

    Jelas Wan Jamal, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

    Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

  • Warga asing kelar leher rakan sehingga mati

    Warga asing kelar leher rakan sehingga mati

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA lelaki warga negara asing ditahan selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan sehingga mengkelar leher seorang rakan senegaranya sehingga maut dalam kejadian di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, Johor Bahru malam tadi.

    Penduduk setempat yang menyedari kejadian itu menghubungi Balai Polis Desa Cemerlang pada pukul 11.15 malam berkenaan pergaduhan itu yang di sebuah bilik sewa bangunan kedai di taman tersebut.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihak polis menemui seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.

    “Mangsa disahkan telah meninggal dunia. Bertindak atas maklumat pada 12.10 tengah malam tadi anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan Balai Polis Desa Cemerlang membuat dua tangkapan lelaki warga asing.

    “Dua suspek berusia 39 dan 40 tahun itu ditahan sekitar kawasan bangunan kedai Taman Desa Cemerlang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

    Pihaknya merampas tiga bilah pisau boleh laras yang terdapat kesan darah dan satu minuman keras selain menemukan 13 ‘swab’ kesan darah di tempat kejadian dan pada badan suspek.

    Jelasnya, siasatan mendapati semua yang terlibat dalam pergaduhan itu bekerja di kedai dan kejadian berpunca daripada mangsa memprovokasi suspek dalam keadaan mabuk sehingga mengakibatkan pergaduhan.

    Katanya, akibat pergaduhan itu mangsa telah meninggal dunia disyaki dikelar pada bahagian leher sebelah kanan sebelum mayat mangsa dirujuk ke Hospital Sultanah Ismail (HSI) Johor Bahru.

    Menurutnya, kes tersebut berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

    Tambahnya, kedua-dua suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama enam hari bermula Ahad sehingga Sabtu ini.