Category: Jenayah

  • Wanita menyamar peguam tipu wanita RM191,250

    Wanita menyamar peguam tipu wanita RM191,250

    POLIS menahan seorang wanita semalam selepas disyaki menyamar sebagai peguam dan memperdayakan wanita lain hingga mengalami kerugian sebanyak RM191,250.

    Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd. Shahril Abd. Rahman berkata, sepasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub berjaya menahan wanita berusia 41 tahun tersebut di sebuah taman perumahan di Kuala Lipis pukul 2 petang.

    “Hasil pemeriksaan, pihak polis merampas dua buah telefon bimbit dan satu kad mesin juruwang automatik (ATM) kepunyaan suspek.

    “Kad tersebut disyaki telah digunakan bagi memperdaya mangsa berusia 39 tahun untuk menyerahkan wang bagi tujuan menjadi peguam untuk kes dihadapi mangsa.

    “Sebelum itu, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan berkait laporan mangsa yang mendakwa telah diperdaya suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, beliau menggesa dan menasihati orang ramai supaya berhati-hati dalam mempercayai individu yang menawarkan tawaran atau khidmat profesional dengan membuat semakan latar belakang.

    “Jangan tanpa secara usul periksa membuat pembayaran seperti mana yang diminta suspek hingga alami kerugian,” jelas Mohd Shahril, lapor Sinar Harian.

  • Kakitangan, bekas pengetua sekolah ditahan SPRM

    Kakitangan, bekas pengetua sekolah ditahan SPRM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG kakitangan dan bekas pengetua sebuah sekolah di Kluang ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan dan penyelenggaraan, lapan tahun lalu.

    Menurut sumber, kakitangan berusia 41 tahun dan bekas pengetua berusia 60 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang antara pukul 11 hingga 11.30 pagi tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Warta Rakyat difahamkan, pada 2015 hingga tahun lalu, kakitangan tersebut telah menyalahgunakan jawatannya bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan dan penyelenggaraan di sekolah tersebut kepada syarikat miliknya sendiri.

    Pada masa sama, bekas pengetua sekolah itu juga dikatakan dengan niat bersama meluluskan kerja-kerja tersebut kepada syarikat terbabit.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

    Suspek kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM.

  • Pakai BMW, Ford Mustang hasil jual dadah

    Pakai BMW, Ford Mustang hasil jual dadah

    RAHSIA kehidupan mewah tiga lelaki muda berusia 22 hingga 32 tahun yang memandu kereta BMW dan Ford Mustang bernilai kira-kira RM300,000 terbongkar selepas mereka sebenarnya disyaki mengedar dadah jenis serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan ketamin.

    Ketiga-tiga mereka yang merupakan penganggur dan ejen insurans itu ditahan polis Pulau Pinang dalam dua serbuan berbeza di sekitar pusat bandar George Town, Jumaat lalu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ketiga-tiga suspek itu ditahan antara pukul 7 petang hingga 10 malam yang mana polis turut merampas 151 paket plastik serbuk dadah MDMA seberat 2,507 gram bernilai RM125,350 dan satu paket ketamin seberat 25.8 gram bernilai RM3,870.

    Ujar beliau, suspek pertama ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Jelutong manakala dua suspek ditahan dalam serbuan kedua di sebuah kondominium di Lebuh Gat.

    Jelasnya, siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai membungkus dadah yang mempunyai pelbagai perisa antaranya lemon dan oren untuk dicampur di dalam minuman.

    Tambah beliau, sindiket itu kemudian akan menjual setiap bungkusan dadah yang dicampur dengan serbuk minuman bermula dari RM180 hingga RM250 yang MDMA tersebut mudah larut di dalam air serta memberi kesan seperti pil ekstasi.

    “Hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket ini telah bergiat aktif sejak tahun lalu untuk pasaran tempatan.

    “Suspek menyasarkan dadah yang diproses itu dijual kepada pelanggan kelab malam di sekitar negeri ini dan kita masih menyiasat dari mana sindiket ini memperoleh bekalan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

    Tambahnya, ujian saringan air kencing ketiga-tiga suspek negatif dadah namun semakan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

    Selain dadah, ujar beliau, polis turut menyita pelbagai barangan daripada sindiket itu termasuk empat buah kenderaan termasuk motosikal; wang tunai RM3,559; dua utas rantai leher; seutas rantai tangan; dua bentuk cincin dan loket emas yang kesemuanya bernilai RM441,588.

    Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 20 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • DSP, inspektor disyaki subahat kemuka invois palsu RM19,980

    DSP, inspektor disyaki subahat kemuka invois palsu RM19,980

    DUA pegawai polis, masing-masing berpangkat deputi superintenden (DSP) dan inspektor direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu, empat tahun lalu.

    Majistret Siti Farah Ibrahim mengeluarkan perintah reman itu terhadap kedua-dua suspek yang ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak, kira-kira 3.15 petang semalam.

    Kedua-dua suspek berumur 49 tahun itu disyaki bersubahat bersama seorang pengurus sebuah syarikat untuk mengemukakan invois dan pesanan kerajaan yang mengandungi butiran palsu berjumlah RM19,980.

    Invois dan pesanan kerajaan itu bagi perkhidmatan dan pembaikan bangunan di IPD Julau, dekat Sibu, iaitu tempat kedua-dua pegawai terbabit bertugas pada 2019.

    Sementara itu, Mahkamah Majistret di Sibu memerintahkan pengurus syarikat berumur 39 tahun yang disyaki bersubahat dengan kedua-dua pegawai polis berkenaan direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

  • Polis minta bantuan orang ramai kesan waris kanak-kanak Myanmar yang disyaki didera

    Polis minta bantuan orang ramai kesan waris kanak-kanak Myanmar yang disyaki didera

    ORANG ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak lelaki warga Myanmar yang ditemukan Jumaat lepas dengan beberapa kesan kecederaan, duduk bersendirian di tepi jalan simpang tiga berhampiran Pangsapuri Cheras Utama, Batu 9, Cheras, supaya tampil membantu polis.

    Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata polis telah menggunakan pelbagai kaedah dalam usaha mengesan waris kanak-kanak berkenaan, namun sehingga kini masih menemui jalan buntu.

    Beliau berkata selain memeriksa sekitar lokasi kanak-kanak itu ditemukan, polis turut membuat hebahan dan mengedar gambar kanak-kanak itu dalam kumpulan Whatsapp penduduk dan masjid di kawasan berhampiran.

    Bercakap pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat 19/13 sempena Tahun Baharu Cina 2023 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), di Kajang, Mohd Zaid berkata polis turut meminta bantuan jurubahasa Myanmar untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak yang berumur sekitar empat tahun itu, namun masih tidak membuahkan hasil.

    “Dia (kanak-kanak) tidak mahu bercakap tetapi hanya boleh menulis angka satu hingga 10 dalam bentuk perkataan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Cina. Kanak-kanak itu dilihat masih trauma,” katanya.

    Kanak-kanak yang disyaki mangsa dera itu telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Hulu Langat.

  • Warga emas ditahan lagi kes curi, pecah cermin kereta

    Warga emas ditahan lagi kes curi, pecah cermin kereta

    SEORANG lelaki warga emas yang memiliki 17 rekod jenayah lampau dan pernah beberapa kali ditahan tidak serik apabila sekali lagi ditangkap kerana terlibat dalam kes pecah cermin kereta di Jinjang, Kuala Lumpur pada 11 Januari lalu.

    Pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita yang bekerja sebagai akauntan mendakwa kehilangan dua buah komputer riba serta wang tunai bernilai RM11,000 setelah cermin keretanya dipecahkan oleh penjenayah.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, bertindak atas risikan dan siasatan pihaknya memberkas dua suspek berusia 64 dan 29 tahun secara berasingan di Jinjang Selatan dan Rawang pada Jumaat dan Sabtu lalu.

    “Susulan daripada tangkapan itu, kita merampas 11 buah komputer riba, dua telefon bimbit, tiga keping kad Touch ‘n Go, berjumlah RM3,500.

    “Hasil siasatan mendapati modus operandi suspek adalah dia akan menunggu dan memerhati mangsa yang datang meletakkan kenderaan berhampiran kedai makan.

    “Suspek kemudian akan mengumpil cermin pintu belakang kereta dengan menggunakan pemutar skru lalu membuka pintu kereta dan mengambil beg komputer riba yang diletakkan di dalam kereta tersebut,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program di Pasar Pagi Kepong sempena Tahun Baru Cina, Kuala Lumpur, hari ini.

    Katanya, lelaki warga emas tersebut akan menjual komputer riba itu kepada suspek berusia 29 tahun yang juga peniaga kedai telefon bimbit dan komputer di sebuah pusat beli belah di Jinjang, Kuala Lumpur.

    Polis Sentul ujar beliau, berjaya menyelesaikan sebanyak 11 kes curi komputer riba dalam kereta di daerah ini.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Pegawai polis mengaku bersalah atas 24 pertuduhan rogol

    Pegawai polis mengaku bersalah atas 24 pertuduhan rogol

    SEORANG pegawai polis London mengaku merogol dan mendera 24 wanita selama hampir dua dekad, menjadikannya salah seorang pesalah seks paling aktif di Britain.

    Menurut Polis Metropolitan dan Pendakwa Raya, David Carrick, 48 tahun, menggunakan kedudukannya untuk mengugut dan menakut-nakutkan mangsanya.

    Pendedahan terbaharu ini terus mencalar imej Polis Metropolitan yang kini berdepan kemerosotan keyakinan dalam kalangan orang awam.

    Ketua Pesuruhjaya Polis, Mark Rowley memohon maaf kerana gagal melihat corak penderaan sebelum ini.

    Suspek menurut beliau, tidak layak menjadi anggota polis, lapor Astro Awani.

    Sementara itu, jurucakap Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak menyifatkan kes itu sebagai mengerikan.

    Datuk Bandar London, Sadiq Khan pula menuntut pihak berkuasa memberi penjelasan selepas Carrick mengaku bersalah terhadap 49 pertuduhan berkaitan 12 mangsa antara 2003 hingga 2020.

    Carrick menyertai Polis Metropolitan pada 2001 dilaporkan mengasingkan wanita daripada segi sosial dan kewangan.

    Dia akan dijatuhkan hukuman pada 6 Februari.

  • Wang bantuan lesap: ‘Kemungkinan ada orang dalam’

    Wang bantuan lesap: ‘Kemungkinan ada orang dalam’

    SIASATAN menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek terlibat kejadian samun wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM100,000 yang baru dikeluarkan dari sebuah bank di sekitar Pekan Semenyih, di Kajang, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, siasatan itu bagi mengenalpasti sekiranya terdapat unsur-unsur kecuaian atau penglibatan ‘orang dalam’.

    Pada masa ini katanya, siasatan dilakukan termasuk menerusi rakaman litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti individu yang keluar masuk dari bank berkenaan.

    “Kita akan siasat dari semua sudut, kemungkinan ada penglibatan orang dalam, kemungkinan ada kecuaian. Kita sudah rakam keterangan guru besar berkenaan dan akan ada lagi pihak akan dirakam keterangan dalam masa terdekat,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat ke-19 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, pada Selasa sempena sambutan Tahun Baharu Cina Ahad ini.

    Media kelmarin melaporkan wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM100,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, di Kajang lesap disyaki disamun penjenayah.

    Wang yang dikeluarkan dari sebuah bank oleh pengetua sekolah berkenaan di Pekan Semenyih pada jam 10 pagi itu sepatutnya diagihkan kepada pelajarnya pada Selasa.

    Dalam pada itu, Mohd. Zaid meluahkan kekecewaannya kerana pihak sekolah tidak meminta bantuan pengiring keselamatan daripada pihak polis sebelum mengeluarkan wang berkenaan.

    Pihaknya sudah lama menyediakan perkhidmatan pengiring keselamatan kepada lebih 100 sekolah di sekitar Kajang yang ingin mengeluarkan wang tunai di bank.

    “Hasil soal siasat terhadap guru besar sekolah berkenaan, dia memberitahu tidak pernah meminta bantuan pengiring sejak 10 tahun berkhidmat dan tidak pernah berlaku kejadian seperti ini.

    “Kita syorkan pada pihak sekolah untuk dapatkan bantuan pengiring daripada polis. Kita akan iring mereka daripada bank sehingga ke tempat yang selamat,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Wang Bantuan Awal Persekolahan RM100,000 lesap dilarikan penjenayah

    Wang Bantuan Awal Persekolahan RM100,000 lesap dilarikan penjenayah

    WANG Bantuan Awal Persekolahan berjumlah lebih RM100,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, Selangor lesap, apabila dilarikan penjenayah hari ini.

    Wang berkenaan yang sepatutnya diagihkan esok baru sahaja dikeluarkan oleh pengetua sekolah itu, sebelum cermin kenderaannya dipecahkan ketika pergi membeli minuman.

    Pengetua berkenaan mengeluarkan wang bantuan awal persekolahan itu kira-kira pukul 10 pagi dari sebuah bank di pekan Semenyih.

    Sejurus mengeluarkan wang berkenaan, dia menuju ke arah kenderaannya yang terletak kira-kira 30 meter dari bank.

    Difahamkan wang berkenaan diletakkan di bawah kerusi penumpang hadapan.

    Dia kemudian ke kedai makanan bersebelahan bank untuk membeli minuman.

    Namun sebaik tiba semula di kenderaannya, didapati cermin penumpang telah pecah dan wang telah hilang.

    Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan ketika dihubungi Buletin TV3 mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

  • Peras ugut pemilik salun kecantikan, tiga lelaki menyamar pegawai KKM ditahan

    Peras ugut pemilik salun kecantikan, tiga lelaki menyamar pegawai KKM ditahan

    TAKTIK licik tiga lelaki yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memeras ugut pemilik premis salun kecantikan sekitar Lembah Klang, akhirnya terbongkar selepas ditahan dalam serbuan di Bandar Puteri, Puchong, Selangor pada Khamis lepas.

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. Anbalagan berkata kesemua suspek berusia 38 hingga 48 tahun itu, ditahan pada jam 12 tengah hari, hasil risikan serta operasi yang dijalankan selama dua minggu.

    Dalam serbuan itu, katanya polis turut merampas baju dan topi yang tertera tulisan KKM serta beberapa peralatan selain produk kesihatan.

    “Siasatan awal mendapati kumpulan ini menjadikan salun kecantikan yang tidak mempunyai lesen daripada KKM, bagi menjalankan rawatan kecantikan menggunakan peralatan perubatan dan penjualan ubat berjadual sebagai mangsa.

    “Mereka akan mengugut untuk mengambil tindakan saman atau denda RM200,000 serta penjara kepada pemilik premis yang gagal mempamerkan lesen,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini, hari ini.

    Anbalagan berkata pemilik premis yang ketakutan kebiasanya akan membuat bayaran kepada suspek bagi mengelak daripada dikenakan tindakan, malah ada yang sanggup membayar sehingga RM10,000.

    “Sindiket ini dipercayai aktif sejak September tahun lepas dan setakat ini siasatan mendapati lebih 20 premis telah menjadi mangsa, iaitu di sekitar kawasan Serdang, Petaling Jaya, Selayang, Shah Alam Bukit Jalil, Sentul dan Kuala Lumpur melibatkan kerugian RM42,000.

    Anbalagan berkata setakat ini, pihaknya menerima enam laporan polis dan menasihatkan mana-mana pemilik salun yang menjadi mangsa untuk untuk tampil membuat laporan, bagi membolehkan tindakan selanjutnya dijalankan.

    Beliau berkata dua daripada tiga lelaki yang ditahan itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes curi serta pecah rumah dan kesemua mereka akan disambung reman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Seksyen 385 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan. – BERNAMA