Category: Jenayah

  • Jurutera rugi RM2.9 juta ditipu Macau Scam

    Jurutera rugi RM2.9 juta ditipu Macau Scam

    SEORANG jurutera kerugian RM2.9 juta selepas menjadi mangsa penipuan Macau Scam baru-baru ini.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata mangsa berusia 45 tahun itu sebelum ini dihubungi seorang individu mendakwa dari syarikat kurier, memaklumkan ada bungkusan terlarang yang tiba pada 1 Disember lalu.

    Katanya, pemanggil kemudiannya memberitahu mangsa terdapat MyKad dan kad mesin juruwang automatik (ATM) milik orang lain berada dalam bungkusan berkenaan.

    “Individu itu juga memberitahu mangsa yang pihaknya akan membuat laporan polis serta menafikan beliau terlibat dalam kes berkenaan.

    “Beberapa jam selepas itu, mangsa yang bekerja di Bayan Lepas menerima panggilan telefon daripada seorang lagi individu yang mengaku sebagai ‘pegawai polis dari Kontinjen Perak’ dan meminta mangsa mengikut arahan yang diberikan termasuk membuat pemindahan wang ke akaun yang diberikan atau berdepan dengan tindakan atas dakwaan terbabit dengan kegiatan jenayah.

    “Selepas menerima panggilan itu, mangsa terus memindahkan wangnya ke 26 akaun berbeza melalui perbankan dalam talian dan secara deposit tunai. Mangsa membuat tindakan itu kerana panik dan memindahkan wang simpanannya sebanyak RM1.9 juta.

    “Dia juga membuat pinjaman sebanyak RM700,000 daripada keluarga dan rakan-rakannya serta membuat pinjaman bank berjumlah RM300,000 dan memindahkan wang berkenaan ke akaun yang diberikan,” katanya kepada media membuat tinjauan di Pasar Taman Selamat sempena Tahun Baharu Cina, hari ini.

    Mohd Shuhaily berkata, secara keseluruhannya, mangsa membuat sebanyak 129 transaksi antara 1 Disember hingga 6 Januari lalu.

    Katanya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada rakannya sebelum membuat laporan polis semalam lapor BH.

  • Kelindan lori maut dipukul ketika cuba edar dadah

    Kelindan lori maut dipukul ketika cuba edar dadah

    SEORANG lelaki yang cuba mengedar dadah maut dipukul dalam satu kejadian di Olak Lempit, Banting di Kuala Langat, minggu lalu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, polis menerima panggilan berhubung kejadian pergaduhan berhampiran sebuah kedai runcit sehingga menyebabkan kematian di lokasi terbabit.

    Hasil siasatan yang dijalankan katanya, pada 11 Januari lalu, kira-kira pukul 10.45 malam, mangsa seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun bekerja sebagai kelindan lori disyaki mengedar dadah di kawasan itu.

    “Semasa kejadian, mangsa dipukul oleh beberapa individu. Siasatan di lokasi kejadian menemui satu beg berisi 10 paket tiub syabu seberat 3.63 gram dianggarkan bernilai RM2,000 di bawa mangsa.

    “Mangsa yang tidak sedarkan dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut selama lima hari.

    “Bagaimanapun, Isnin lalu pukul 2.15 pagi pihak HTAR mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat berlaku hentakan yang kuat di bahagian kepala menggunakan objek keras dan tumpul,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, hari ini.

    Ahmad Ridhwan berkata, susulan kes terbabit, polis berjaya menangkap seorang lelaki tempatan di sekitar Banting pukul 2.15 pagi, Jumaat lalu.

    “Soal siasat dijalankan membawa kepada tangkapan suspek kedua pada Isnin lalu, 7 malam juga sekitar Banting.

    “Kedua-dua suspek masing-masing berumur 40 tahun dan 31 tahun di mana kedua-dua bekerja sebagai pengawal keselamatan. Suspek yang berumur 40 tahun mempunyai rekod jenayah lampau.

    “Kedua-dua suspek direman selama enam hari di Lokap Balai Polis Banting Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat,” katanya. lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    “Polis menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

    “Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan diminta untuk tampil ke Balai Polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat dan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat iaitu ASP Zamrus bin Zakaria di talian 019-6892777 / 03-31872222,” katanya.

  • Mayat wanita ditemui dalam semak

    Mayat wanita ditemui dalam semak

    MAYAT seorang wanita tanpa identiti ditemukan di dalam kawasan semak di Kampung Alor Gali, Marang, hari ini.

    Pihak polis menerima panggilan pukul 2.30 petang tadi berhubung penemuan mayat yang dianggarkan berusia antara 20-an hingga 30-an.

    Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superitendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, mayat yang lengkap berpakaian itu dijumpai orang awam yang mencari daun palas di kawasan berkenaan.

    “Hasil pemeriksaan awal pihak polis tidak menemukan sebarang kesan jenayah pada mangsa.

    “Selain itu barang perhiasan seperti cincin dan rantai leher masih berada di leher dan tangan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa telah empat hari meninggal dunia berdasarkan keadaan mayat.

    Katanya lagi, setakat ini tiada petunjuk bagi mengesahkan sama ada mangsa telah dibunuh dan kes disiasat sebagai mati mengejut.

  • Rampas rokok seludup bernilai RM10.8 juta dalam gudang

    Rampas rokok seludup bernilai RM10.8 juta dalam gudang

    TAKTIK sindiket menyembunyikan rokok seludup dalam gudang di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, terbongkar selepas pihak polis melakukan serbuan semalam.

    Serbuan dilakukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh pukul 12.14 tengah malam itu menemukan ribuan kotak mengandungi 143,950 karton rokok seludup bernilai RM10,864 juta.

    Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi berkata, serbuan yang dijalankan berdasarkan maklumat dan hasil risikan itu memberkas empat individu terdiri daripada lelaki warga tempatan berumur 23 hingga 30 tahun yang bekerja sebagai pekerja stor dan pengedar rokok seludup tersebut.

    “Turut dirampas melibatkan 2,455 kotak berwarna coklat yang mana setiap kotak mengandungi 50 karton rokok seludup hitam, 265 kotak mengandungi 80 karton rokok seludup putih, dua buah lori dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di IPD Sungai Buloh hari ini.

    Katanya, siasatan awal sindiket ini dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran rokok seludup bagi kawasan Lembah Klang dan sudah aktif sejak tahun lalu.

    “Siasatan awal mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti pengedaran dalam skala yang besar berdasarkan dari jumlah rampasan ini bagaimanapun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti lokasi kesemua rokok seludup ini dibawa masuk.

    “Kita percaya masih terdapat saki baki ahli sindiket yang masih menjalankan kegiatan ini dan usaha mengesan dan memburu mereka yang terlibat masih dijalankan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Ujar Sasikala, siasatan dijalankan turut mendapati antara suspek yang ditahan ini merupakan pengedar.

    “Arahan diterima menerusi media sosial untuk menjalankan aktiviti pengedaran rokok seludup ini. Kaedah ini digunakan dipercayai bagi mengaburi dan mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya.

    Beliau berkata, kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

    Tambah beliau, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak yang terlibat dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran rokok seludup ini.

    “Kerjasama dijalankan bersama pihak Kastam Diraja Malaysia dalam usaha membanteras aktiviti ini.

    “Selain itu, kerjasama orang awam turut menyumbang kepada kejayaan dalam menumpaskan aktiviti pengedaran rokok seludup ini,” katanya.

  • Wang BAP lesap: Polis selesai rakam keterangan guru besar, dua individu

    Wang BAP lesap: Polis selesai rakam keterangan guru besar, dua individu

    POLIS telah merakam keterangan seorang guru besar dan dua individu bagi membantu siasatan kehilangan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM109,000 yang dikeluarkan dari sebuah bank di Semenyih dekat Sungai Buloh Isnin lepas.

    Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata dua individu itu adalah seorang guru dan pekerja restoran tempat pengadu (guru besar) membeli minuman ketika kejadian tersebut.

    “Selain tiga individu ini, polis juga akan memanggil pekerja bank tempat wang berkenaan dikeluarkan. Kami tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan orang dalam, bagaimanapun siasatan masih belum menemui sebarang petunjuk,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, di Sungai Buloh hari ini.

    Beliau berkata kejadian itu juga tidak dapat dikesan oleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi terlibat.

    Pada 16 Jan lepas, media melaporkan pihak polis menerima laporan kejadian itu pada 12.17 tengah hari daripada guru besar berusia 50 tahun itu dan siasatan awal polis mendapati mangsa mengeluarkan wang berkenaan dari sebuah bank di Kampung Baru Semenyih kira-kira 10 pagi sebelum memasukkannya ke dalam sebuah beg.

    Mangsa kemudian meletakkan beg tersebut di tempat duduk penumpang hadapan keretanya dan meninggalkan kenderaan itu untuk pergi ke kedai makan bagi membeli minuman.

    Namun, sekembalinya ke kereta mangsa mendapati tingkap di bahagian kanan penumpang belakang telah dipecahkan dan beg yang berisi wang telah dicuri.

    Sementara itu, mengenai perkembangan siasatan penemuan mayat yang dipotong enam bahagian di tepi jalan di Kilometer 447 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran susur Rawang Selatan, pada Selasa lepas, Sasikala Devi berkata polis akan mendapatkan kerjasama Interpol untuk mengenal pasti identiti mangsa.

    “Polis mengesyaki mangsa adalah warga asing sebab tiada kesan suntikan BCG pada mangsa. Kami juga sedang menunggu jika ada mana-mana pihak tampil membuat aduan orang hilang dan disahkan sehingga hari ini tiada sebarang laporan diterima.

    “Hasil awal bedah siasat, mangsa dipercayai dibunuh kira-kira 12 jam sebelum dibuang dan ditemukan pengadu di lokasi kejadian,” katanya.

  • Ibu tekup bayi sampai mati selepas bermalam dengan kekasih

    Ibu tekup bayi sampai mati selepas bermalam dengan kekasih

    SEORANG ibu muda ditahan bersama teman lelakinya kerana disyaki menekup dan mencekik anaknya selepas bermalam bersama kekasihnya di sebuah kondominium di Cyberjaya pada 12 Januari lalu.

    Difahamkan, suspek yang berusia 20 tahun bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta sedang dalam proses penceraian selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga bersama suaminya yang merupakan seorang penganggur.

    Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam keterangan awal suspek yang berusia 20 tahun mendakwa mangsa terjatuh dari sofa sebelum dihantar ke Hospital Cyberjaya bagi menerima rawatan.

    “Sekitar jam 11.30 pagi doktor berkenaan telah menerima seorang pesakit kanak-kanak lelaki berusia satu tahun enam bulan yang dihantar oleh ibu kandungnya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    “Hasil pemeriksaan awal, doktor berkenaan mendapati ada pendarahan di kedua-dua belah anak mata yang berkemungkinan disebabkan oleh penderaan dan pesakit berada dalam keadaan kritikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Kamarul berkata, pihaknya menerima laporan daripada pasukan perubatan Hospital Cyberjaya pada Ahad selepas kanak-kanak malang berkenaan disahkan meninggal dunia setelah tiga hari menerima rawatan.

    Katanya, sejurus menerima laporan, pihak polis cuba menghubungi kembali ibu mangsa yang merupakan suspek utama, namun gagal malah wanita itu juga tiada di alamat kediaman yang diberikan.

    “Hasil maklumat risikan, pihak polis membuat serbuan di sebuah rumah flat di Putra Perdana, Dengkil dan berjaya menahan suspek sekitar jam 12.15 pagi pada 16 Januari.

    “Suaminya turut ditahan pada hari sama,” katanya.

    Beliau berkata, hasil soal siasat suspek mengaku menekup muka mangsa menggunakan bantal semasa anaknya sedang tidur kerana mengalami tekanan perasaan akibat masalah rumah tangga serta keluarga.

    “Bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan pada mangsa di bahagian pipi, gusi, dahi dan belakang pelipat kaki kanan.

    “Terdapat juga kesan calar di pipi kiri serta lebam di leher dipercayai akibat dicekik.

    “Punca kematian disebabkan asfiksia ataupun kekurangan oksigen dipercayai berpunca dari tindakan ibu mangsa menekup muka mangsa,” ujarnya.

    Katanya, suami suspek yang berusia 20 tahun telah dibebaskan dengan jaminan polis kerana dipercayai tidak terlibat berikutan tiada di lokasi semasa kejadian berlaku.

    “Teman lelaki suspek yang merupakan seorang pelajar kolej berusia 21 tahun bagaimanapun tidak mengaku terlibat.

    “Dia hanya hadir ke rumah yang dijadikan rumah inap berkenaan untuk bermalam dengan suspek dan semasa kejadian lelaki berkenaan telah beredar,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, suspek dan teman lelakinya direman tujuh hari bermula 16 Januari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh).

  • Sindiket seludup arak RM1.845 juta tumpas

    Sindiket seludup arak RM1.845 juta tumpas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KASTAM Johor mematahkan cubaan menyeludup arak disyaki tidak bercukai berjumlah RM1.845 juta dalam dua serbuan berasingan di Ulu Tiram, Johor Bahru dan Pasir Gudang baru-baru ini.

    Pengarah Kastam Johor, Misbahudin Parmin berkata, serbuan pertama dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan Pasir Gudang yang menjalankan pemeriksaan ke atas tiga kontena di Pelabuhan Johor, Pasir Gudang pada 30 November lalu.

    Jelasnya, sindiket itu menyeludup minuman keras tersebut dengan meletakkannya dalam kotak minuman jus epal bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    “Hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengikraran muatan dagangan kapal tersebut mendapati bahawa barang dagangan telah diikrar sebagai air minuman jus epal berkarbonat,” katanya dalam sidang akhbar di Menara JKDM Johor, Larkin, Johor Bahru hari ini.

    Katanya, pemeriksaan lanjut dilakukan bersama pasukan risikan Kastam Zon Selatan dan wakil syarikat penghantaran itu mendapati 40 peratus daripada barangan dagangan tersebut adalah minuman keras yang disorokkan dalam kotak minuman berkarbonat.

    “Modus operandi sindiket penyeludupan itu katanya, adalah dengan membuat pengikraran palsu dan semua arak berkenaan tidak diikrarkan dalam muatan dagangan yang dianggarkan bernilai RM1.742 juta.

    Misbahudin menunjukan rumah teres dua tingkat di Desa Cemerlang, Ulu Tiram, yang diserbu pihak kastam dan merampas arak seludup, selepas sidang akhbar di Menara JKDM Johor, Larkin, Johor Bahru, hari ini

    Misbahudin memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(a) Akta yang sama.

    “Semua minuman keras itu dipercayai diseludup masuk dari China untuk memenuhi pasaran tempatan,” katanya.

    Jelasnya, arak tersebut adalah larangan import dan tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017, pengimportan dagangan berkenaan memerlukan lesen import dari Ketua Pengarah Kastam.

    Misbahudin berkata, serbuan kedua pula membongkar satu lagi kegiatan penyeludupan minuman keras selepas melakukan serbuan sebuah rumah teres dua tingkat di Desa Cemerlang, Ulu Tiram, 1 Januari lalu.

    Antara arak yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di Pelabuhan Johor, Pasir Gudang dan di sebuah rumah di Ulu Tiram, Johor Bahru

    Menurutnya, dalam serbuan itu, pihak kastam menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 34 tahun dan merampas sejumlah minuman keras pelbagai jenama yang tidak bercukai bernilai RM103,400.

    Tambahnya, kejayaan berkenaan adalah terhasil hasil intipan dan siasatan yang dijalankan sejak sebulan yang lalu.

    “Modus operandi sindiket penyeludupan ini dengan menjadikan rumah kediaman itu sebagai tempat penyimpanan arak itu. Arak itu dipercayai diperolehi dari pasaran tempatan dan luar negara sebelum diedar ke pasaran setempat,” ujarnya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan turut disiasat di bawah Seksyen 74(1)(c) Akta Eksais 1976.

  • Dua lelaki tempatan ditahan, bawa wanita warganegara Indonesia dalam kebun getah untuk rentas ke Thailand

    Dua lelaki tempatan ditahan, bawa wanita warganegara Indonesia dalam kebun getah untuk rentas ke Thailand

    Oleh RIZQI ZABIDI

    CUBAAN tiga wanita warganegara Indonesia menggunakan khidmat lelaki tempatan bagi meloloskan diri ke Thailand gagal apabila kereta dinaiki mereka ditahan dalam kebun getah berhampiran sempadan tanah air dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam.

    Kenyataan dikeluarkan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia memaklumkan, kelima-lima individu berkenaan ditahan dalam sebuah kereta jenis Perodua Aruz kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

    “Menerusi maklumat perisikan, pasukan operasi telah mengesan pergerakan sebuah motosikal mengiringi sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan dalam kawasan ladang getah menuju ke sempadan Malaysia dan Thailand.

    “Pasukan operasi kemudian bertindak menahan kedua-dua kenderaan itu namun motosikal ditunggang seorang lelaki dapat melarikan diri,” katanya.

    Kenyataan itu menambah, hasil pemeriksaan terhadap kereta berkenaan mendapati kenderaan itu dinaiki lima individu terdiri daripada dua lelaki tempatan dan tiga wanita Indonesia.

    “Dua lelaki itu dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’. Seorang wanita didapati masih memiliki dokumen perjalanan ke negara ini yang sah bagaimanapun seorang dokumen seorang rakannya sudah pun tamat tempoh.

    “Seorang lagi wanita warganegara Indonesia yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen. Umur kesemua mereka antara 40 hingga 56 tahun,” katanya.

    Menurutnya, kesemua individu ditahan diserahkan ke Balai Polis Jitra untuk tindakan lanjut.

    “Terdapat dua kenderaan dirampas iaitu kereta Perodua Aruz tersebut serta sebuah motosikal Modenas Kriss Star.

    “Selain itu lapan telefon bimbit, empat subang emas dan wang tunai mata wang Malaysia serta Indonesia turut dirampas. Secara keseluruhannya nilai rampasan berjumlah kira-kira RM65,100,” katanya.

  • 4 PATI Myanmar ditahan kendali bot nelayan tempatan

    4 PATI Myanmar ditahan kendali bot nelayan tempatan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan pukul 3.15 petang semalam selepas didapati dikendalikan empat kru pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot nelayan tempatan kelas C itu diperiksa ketika kapal Maritim Malaysia melaksanakan rondaan OP PERTIWI.

    Jelas beliau, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu ditahan di kedudukan 28.4 batu nautika barat daya Pulau Kendi.

    “Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong dan tiga kru warga Myanmar berumur antara 30 hingga 45 tahun yang mana kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta  melanggar syarat sah lesen bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.
     
    Menurut Abd. Razak, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

    Sehubungan itu, tambah beliau, bot serta kesemua kru ditahan termasuk kira-kira 200 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan.

    Tegas beliau, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan PATI bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran dibuat sebelum ini.

    “Maritim Malaysia akan terus bertindak tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” katanya.

    Tambah beliau, sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

  • Gelaran Datuk, Datuk Seri palsu: Pahang pamer nama 29 individu

    Gelaran Datuk, Datuk Seri palsu: Pahang pamer nama 29 individu

    SERAMAI 29 individu yang tiada dalam nama penerima Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur didedahkan kepada umum melalui Notis Awam yang dikeluarkan kerajaan Pahang.

    Nama individu terlibat disenaraikan susulan pemalsuan nama penerima pingat daripada Sultan Pahang berhubung gelaran Datuk dan Datuk Seri, sebelum ini.

    Notis terbabit dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak menerusi di Facebook rasmi Kerajaan Negeri Pahang, lapor Sinar Harian.

    Media pada 28 Disember tahun lalu melaporkan dua bekas kakitangan Pejabat SUK Pahang mengaku tidak bersalah atas 29 pertuduhan mengubahsuai kandungan laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang tanpa kebenaran.

    Tertuduh, Mohd. Isa Mohd. Yusof, 36, berhadapan dengan 26 pertuduhan memasukkan nama 26 individu pelbagai bangsa termasuk warga asing berusia antara 34 hingga 61 ke dalam laman sesawang berkenaan.

    Sementara seorang lagi tertuduh, Muhammad Amer Syafeeq Aziz, 30, berhadapan dengan tiga pertuduhan memasukkan tiga nama individu ke dalam laman sesawang tersebut.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 (1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.