Category: Jenayah

  • Lebih 100 kenderaan guna lorong kecemasan dalam tempoh 4 jam

    Lebih 100 kenderaan guna lorong kecemasan dalam tempoh 4 jam

    LEBIH 100 kenderaan dikesan dan dirakam melakukan kesalahan memandu di lorong kecemasan di Lebuhraya Utara-Selatan dari Johor Bharu ke Putrajaya dari 10 pagi hingga 2 petang tadi.

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan menerusi Facebook rasminya hari ini memaklumkan kesalahan itu dikesan melalui operasi pemantauan khas Tahun Baharu Cina 2023 yang dilaksanakan di lebuh raya berkenaan.

    “JPJ ingin menegaskan bahawa kesalahan itu adalah antara tujuh kesalahan tidak boleh dikompaun dan akan terus didakwa ke mahkamah,” menurut kenyataan itu.

    Tujuh kesalahan itu ialah memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, penggunaan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan.

    JPJ meminta orang ramai untuk mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan sepanjang musim perayaan ini bagi mengelak berlakunya kesesakan dan menjadi punca kemalangan maut di jalan raya.

    Sebarang aduan kesalahan lalu lintas boleh disalurkan melalui menu e-Aduan@jpj menerusi Aplikasi MyJPJ atau aduan e-mel JPJ [email protected]. – BERNAMA

  • Rokok, arak hampir RM8 juta dirampas

    Rokok, arak hampir RM8 juta dirampas

    SINDIKET penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai hampir RM8 juta tumpas dalam serbuan Op Kontraban di tiga lokasi di Sandakan, Sabah kelmarin.

    Serbuan oleh pasukan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Bukit Aman, Petugas Khas Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan itu turut menahan tiga lelaki tempatan berusia 29, 37 dan 45 tahun.

    Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, serbuan ke atas dua gudang dan sebuah rumah yang menemukan rokok pelbagai jenama dianggarkan RM5,950,740.09.

    “Pasukan serbuan merampas minuman keras, juga tidak bercukai pelbagai jenama dianggarkan RM1,714,437.

    “Hasil serbuan itu juga merampas dua van dan sebuah lori dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan berkenaan, dengan jumlah keseluruhan rampasan adalah RM7,915,177.45,” katanya hari ini, lapor Harian Metro.

    Idris berkata, siasatan mendapati tiga suspek yang ditahan adalah penjaga premis dan pemandu, yang dipercayai aktif dengan kegiatan penyeludupan berkenaan.

    Katanya, rampasan dan tahanan diserahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyem 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

  • Dua wanita di Pahang rugi lebih RM380,000 ditipu Macau Scam

    Dua wanita di Pahang rugi lebih RM380,000 ditipu Macau Scam

    DUA wanita kerugian lebih RM380,000 selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam dalam dua kejadian berasingan di Pahang.

    Menurut Ketua Polis negeri, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dalam satu kenyataan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang menerima dua kes penipuan yang berlaku di Maran dan Temerloh.

    “Dalam kes pertama, mangsa yang juga Penolong Pegawai Pertanian berusia 45 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai insuran dan mengatakan mangsa ada membuat tiga tuntutan palsu, pada November tahun lalu.

    “Mangsa telah diminta membuat laporan polis dan talian disambungkan kepada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis,” katanya hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut Ramli berkata, mangsa dikatakan terbabit dengan kes pengubahan wang haram dan kesalahan rasuah.

    “Mangsa diminta membayar dana ikat jamin sebanyak RM400,000 untuk menyelesaikan kes.

    “Dengan perasaan takut, mangsa dedahkan kesemua maklumat akaun perbankan sebelum mendapati wang simpanan sebanyak RM215,100 hilang.

    “Selepas membuat pemeriksaan dengan pihak bank mendapati wang simpanannya itu telah dipindahkan ke akaun bank lain melalui 33 transaksi,” katanya.

    Sementara itu, dalam kejadian lain, mangsa berusia 37 tahun dari Temerloh menerima panggilan telefon yang menyamar sebagai pekerja syarikat kurier pada 13 Januari lalu.

    “Suspek mengatakan mangsa menerima barangan terlarang seperti kad sim, kad ATM (Mesin Pengeluaran Automatik), buku cek token bank dan pendrive yang dihantar kepada penerima Tan Boon Hua.

    “Suspek kemudian menyambungkan panggilan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan dikatakan bahawa maklumat peribadi pengadu diguna oleh individu lain untuk membuka akaun bank.

    “Kononnya individu berkenaan memberitahu kepada pihak polis bahawa mangsa memberi kebenaran menggunakan akaun bank miliknya untuk pengubahan wang haram,” katanya.

    Beliau berkata, suspek kemudiannya memberikan satu pautan kepada mangsa untuk mengisi maklumat perbankan selain diminta memindahkan semua wang daripada simpanan Tabung Haji ke akaun bank yang dibuka atas arahan suspek.

    “Pada Selasa lalu, mangsa dapati wang simpanannya telah berkurangan sebanyak RM165,090 dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat lapan kali transaksi telah dibuat melalui akaun berkenaan,” katanya.

    Jelasnya, pihak polis menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelakkan aripada menjadi mangsa penipuan.

    “Sekiranya diminta memberikan apa-apa maklumat perbankan, jangan dedahkan apa apa maklumat.

    “Pihak polis agak terkilan kerana sungguh pun kempen kesedaran diadakan secara berterusan, masih ada yang menjadi mangsa dengan kerugian sehingga ratusan ribu ringgit,” katanya.

  • Rugi ratusan juta ringgit diperdaya sindiket baucar

    Rugi ratusan juta ringgit diperdaya sindiket baucar

    MENAWARKAN baucar di aplikasi dalam talian yang boleh digunakan bagi pembelian barangan peribadi di premis terpilih dengan ganjaran menarik dan penjimatan sehingga 50 peratus.

    Memetik laporan Harian Metro, bukan itu saja, pengguna juga boleh menggunakan pelbagai perkhidmatan tersedia di aplikasi berkenaan termasuk pengisian petrol yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

    Itu taktik digunakan sebuah syarikat menjalankan aktiviti skim piramid serta penjualan pakej tertentu menerusi aplikasi dalam talian yang memperdaya mangsa sehingga kerugian dipercayai mencecah ratusan juta ringgit.

    Syarikat terbabit disyaki aktif melakukan aktiviti itu di Pulau Pinang selain mempunyai cawangan di beberapa negeri termasuk Selangor, Kedah, Terengganu dan Sarawak.

    Salah seorang mangsa, Mohamad Azlan Azhar, 36, yang kerugian lebih RM90,000 mendakwa mula memuat turun aplikasi itu dan menggunakannya selepas diperkenalkan oleh seorang rakan pada awal tahun 2021.

    Menurutnya, pengguna perlu membuat pembelian baucar mengikut nilai ditetapkan contohnya RM800 dan akan menerima mata ganjaran serta subsidi baucar.

    Katanya, baucar berkenaan boleh digunakan di mana-mana premis perniagaan dan stesen minyak yang disenaraikan dalam aplikasi itu.

    “Setiap transaksi menggunakan aplikasi itu, pengguna akan menikmati penjimatan sehingga 50 peratus. Sebagai contoh isi petrol pada harga RM90 tapi hanya bayar RM45.

    “Pada mulanya memang tiada masalah menggunakan aplikasi itu sehinggalah pada awal tahun lalu, akaun dibekukan dan saya tidak dapat menebus semula wang di aplikasi berkenaan.

    “Apabila saya bertanya syarikat, mereka dakwa ia bersifat sementara kerana menunggu dana dari syarikat luar negara.

    “Selepas itu, aplikasi dapat digunakan semula sehinggalah dibekukan sekali lagi pada April dan saya tidak dapat menebus semula wang sehingga kini,” katanya dalam sidang media di sini, malam tadi.

    Nasib sama turut dihadapi lelaki yang mahu dikenali Izuddin, 37, dari Kuantan, Pahang, apabila kerugian RM30,000 akibat menggunakan aplikasi berkenaan.

    Katanya, dia memuat turun aplikasi itu pada Jun 2021 selepas diperkenalkan oleh rakan dan membuat tambah nilai RM600 hampir setiap hari untuk mendapatkan ganjaran serta subsidi baucar.

    “Sampai lah satu ketika syarikat menaikkan jumlah tambah nilai sehingga RM1,000. Pengguna tiada pilihan kerana terpaksa klik setuju dengan terma dan syarat di aplikasi itu sebelum ‘top up’ (tambah nilai).

    “Selepas beberapa bulan, akaun dibekukan dan tidak dapat membuat pembelian menggunakan baucar berkenaan.

    “Saya berasa tertipu dan beberapa kali menghubungi syarikat untuk menuntut semula wang tapi sehingga kini tiada maklum balas.

    “Saya sudah membuat laporan polis dan kini buntu tidak tahu lagi saluran mana boleh digunakan untuk menuntut kerugian. Jadi kami mangsa sepakat meminta bantuan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO),” katanya.

    Selain itu, seorang mangsa wanita yang mahu dikenali Lim, 40, dari Subang Jaya, Selangor turut mengharapkan tindakan segera daripada pihak berkuasa bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa penipuan syarikat berkenaan.

    “Saya sudah buat laporan polis dan saya menasihatkan mangsa lain turut membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. Kami harap dapat menemui jalan untuk menuntut keadilan,” katanya yang kerugian RM30,000.

    Sementara itu, Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima hampir 100 aduan berhubung aktiviti penipuan itu dan akan membawa kes berkenaan kepada pihak berkuasa.

    Beliau berkata, satu laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat dan berharap tindakan diambil mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan sekali gus mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

    Katanya, MHO juga akan merujuk kes berkenaan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk siasatan lanjut kerana difahamkan syarikat berkenaan pernah dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum ini.

  • Op Limau: 120 kaki judi ditahan, lebih RM90,000 dirampas

    Op Limau: 120 kaki judi ditahan, lebih RM90,000 dirampas

    SEBANYAK 120 individu ditahan polis selepas disyaki terbabit dengan aktiviti perjudian haram menerusi Op Limau yang diadakan sempena Tahun Baharu Cina.

    Menurut Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam satu kenyataan, suspek termasuk 115 lelaki ditahan sejak minggu lalu dalam 20 serbuan dengan nilai rampasan wang tunai RM92,481.

    Katanya, PDRM menerusi Bahagian Kongsi Gelap Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Kontinjen dan Daerah menjalankan Op Limau selama 15 hari bermula 15 Januari hingga 29 Januari ini.

    “Fokus utama operasi ini adalah untuk membanteras aktiviti perjudian yang ditumpukan kepada judi dalam bangunan serta judi tempat terbuka, yang tertakluk di dalam jadual pertama dan kedua di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya hari ini.

    Sementara itu, Noorsiah berkata, polis akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang menganjur dan menjalankan pertaruhan, berlandaskan undang-undang sedia ada dalam usaha menangani aktiviti perjudian.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian boleh menyalurkannya melalui Hotline WhatsApp Op Limau di talian 016-5773477.

  • Anak PM dakwa jadi mangsa buli jalan raya

    Anak PM dakwa jadi mangsa buli jalan raya

    ANAK keempat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Nurul Ilham mendakwa menjadi mangsa buli pengguna jalan raya, hari ini.

    Nurul Ilham berkata, beliau telah menjadi mangsa buli seorang wanita yang memandu kereta jenis Proton Iriz.

    Beliau turut berkongsi video berdurasi 14 saat mengenai kejadian itu di ciapan Twitter miliknya.

    Katanya, pemandu kereta Proton Iriz itu berterusan menekan brek ketika berada di lorong laju.

    Sehubungan itu beliau menyatakan kebimbangan dengan cara pemanduan wanita berkenaan yang disifatkan sangat berbahaya apatah lagi anaknya berada dalam kenderaan itu ketika kejadian.

    “Saya biasanya tidak berkongsi tentang perkara ini tetapi saya dibuli di jalan raya hari ini.

    “Kereta ini terus menekan brek di lorong laju. Sangat berbahaya dan saya mempunyai anak yang berumur dua tahun bersama saya.

    “Berada di sana selama satu minit sebelum wanita itu menukar ke lorong lain,” katanya, lapor UtusanTV.

    Mengulas lanjut, Nurul Ilham berkata, kejadian tersebut bermula di plaza tol apabila pemandu berkenaan secara tiba-tiba membunyikan hon ke arah kenderaannya yang mahu ke lorong Touch N’ Go.

    “Saya telah memberi isyarat untuk pergi ke kiri tetapi saya tidak nampak dia (mahu) pergi ke kanan (lorong Smart Tag). Mungkin dia marah mengenai perkara itu,” jelasnya.

    Bagaimanapun, Nurul Ilham tidak berkongsi lokasi kejadian itu secara tepat.

    Perkongsian itu mendapat perhatian netizen dengan ada antaranya meminta beliau melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

    Sehingga pukul 8.30 malam ini, video kejadian itu telah ditonton sebanyak 428,400 kali dengan 2,792 tanda suka.

    Ia juga telah diulang kicau sebanyak 1,349 kali.

  • Tahanan meninggal dunia dalam lokap akibat jantung tersumbat

    Tahanan meninggal dunia dalam lokap akibat jantung tersumbat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG tahanan lelaki meninggal dunia dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Kedah akibat saluran darah jantungnya tersumbat (coronary atherosclerosis), malam kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Baling, Shamsudin Mamat berkata, kematian lelaki berusia 35 tahun itu disahkan oleh pegawai perubatan dari Hospital Baling kira-kira pukul 10.22 malam.

    Menurutnya, tahanan lelaki tersebut pada asalnya dibawa dari Penjara Alor Setar pada 17 Januari lalu untuk menghadiri sebutan semula kes Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 da Seksyen 15(1)(a) Akta sama di Mahkamah Majistret Baling.

    “Sebutan semula kes itu berlangsung pada 18 Januari dan orang kena tahan (OKT) ditumpangkan sementara di lokap tersebut. Selepas sebutan semula kes berjalan, OKT kemudiannya ditempatkan kembali di lokap IPD Baling dan dijadualkan dihantar kembali ke Penjara Alor Setar semalam.

    “Namun kira-kira pukul 9.40 malam, OKT mengalami sesak nafas dan sawan. Pihak polis segera menghubungi Hospital Baling dan pegawai perubatan kemudiannya hadir ke lokap memberi rawatan kepada OKT.

    “OKT bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada 10.22,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, bedah siasat terhadap jasad lelaki tersebut telah dijalankan semalam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

    “Hasil bedah siasat menunjukkan kematian mangsa disebabkan oleh saluran darah jantung yang tersumbat (coronary atherosclerosis).

    “Setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). Unit Siasatan Jenayah Dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) bersama Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai aspek sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner,” katanya.

  • Mahu pinjam RM15,000 tapi rugi RM23,950

    Mahu pinjam RM15,000 tapi rugi RM23,950

    DUA lelaki menanggung kerugian RM44,948 selepas diperdaya sindiket penipuan pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud pada Disember 2022.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam kes pertama, mangsa, 41, menetap di Raub kerugian RM23,950 selepas mahu membuat pinjaman sebanyak RM15,000 pada 14 Disember tahun lalu.

    “Mangsa berminat untuk membuat pinjaman selepas melihat iklan di laman sosial Facebook dan menyerah semua maklumat peribadi seperti slip gaji, salinan kad pengenalan, bil air dan maklumat CTOS bagi tujuan itu.

    “Suspek kemudian bersetuju dan memberi pinjaman selama empat tahun dengan kadar bayaran bulanan RM362, namun mangsa diminta membuat pembayaran duti setem, surat perjanjian dan proses penerimaan wang pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ramli berkata, berdasarkan laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Raub, mangsa telah membuat 11 kali transaksi membabitkan jumlah RM23,950 kepada 11 akaun bank berbeza.

    Beliau berkata, kes kedua pula melibatkan mangsa berumur 43 tahun diperdaya selepas melihat satu iklan dalam Facebook pelaburan Amundi pada 28 Disember tahun lalu.

    Menurutnya, mangsa kemudian menekan capaian yang diberikan dan berminat untuk menyertai pelaburan itu menerusi pakej asas iaitu mengeluarkan wang modal dana sebanyak RM600.

    “Menerusi pengeluaran modal itu, mangsa akan mendapat pulangan sebanyak RM8,500 dalam tempoh selama tiga hari.

    “11 Januari lalu, mangsa telah membuat enam kali transaksi yang berjumlah keseluruhan RM21,034 ke dalam akaun bank yang diberikan suspek, namun sehingga kini tidak memperolehi sebarang pulangan,” jelasnya yang memaklumkan mangsa membuat laporan di IPD Kuantan.

    Sehubungan itu, Ramli menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud.

    “Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Hanya ingin cari ketenangan hadapi peperiksaan, dakwa penuntut IPT hilang

    Hanya ingin cari ketenangan hadapi peperiksaan, dakwa penuntut IPT hilang

    PENUNTUT sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang ditemukan di Johor Bahru, Johor selepas seminggu menghilangkan diri mendakwa hanya ingin mencari ketenangan untuk menghadapi peperiksaan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan, Mohd Irfan Hakimi Azhar, 22, memberi kenyataan itu selepas ditemukan selamat di Stesen Bas Larkin, Johor Bahru, semalam.

    “Individu berkenaan (Mohd Irfan Hakimi) ditemukan pada 5 petang oleh bapanya.

    “Siasatan lanjut mendapati, dia ke Johor Bahru bagi menenangkan fikiran untuk menghadapi peperiksaan, tiada unsur jenayah dalam kejadian orang hilang ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Anbalagan yang dipetik Harian Metro memberitahu, penuntut UPM berkenaan juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah dibawa pulang keluarganya ke Sabak Bernam, Selangor.

    Polis sebelum ini memohon bantuan orang ramai untuk mengesan Mohd Irfan Hakimi yang dilaporkan hilang dari bilik asrama Blok Delima, Kolej Canselor, UPM sejak Jumaat lalu.

    Bapa Mohd Irfan Hakimi membuat laporan polis Isnin lalu selepas usaha menghubungi anaknya itu tiada sebarang maklum balas.

    Penuntut UPM itu yang dikatakan hilang, dikesan berada di sekitar Johor Bahru berdasarkan rekod transaksi kad debit miliknya.

    Dia dilihat ada bersama seorang individu lain dipercayai rakannya yang dirakam hasil semakan televisyen litar tertutup (CCTV) di premis berhampiran.

  • Wanita 91 tahun dibunuh selepas disamun

    Wanita 91 tahun dibunuh selepas disamun

    SEORANG wanita warga emas ditemukan mati dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Kilometer 16 Kampung Pulai Darat, Merlimau, Jasin, hari ini.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, mangsa, Misah Md. Amin, 91, ditemui terbaring di bahagian dapur rumah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

    “Polis menerima maklumat kejadian daripada orang awam pada pukul 3.54 pagi yang memaklumkan ada kejadian samun sehingga menyebabkan kematian di sebuah rumah.

    “Sebaik sampai di lokasi, mangsa yang tinggal seorang diri didapati telah pun meninggal dunia dan mayatnya kemudian dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya kepada media.

    Menurutnya, bertindak atas maklumat awam, seorang suspek berusia 20 tahun berjaya diberkas di kawasan berhampiran pada jam 8 pagi.

    Tambahnya, suspek merupakan penganggur dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk kes samun di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

    “Siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya lapor Sinar Harian.