Category: Jenayah

  • Dadah 29.8 kg dirampas, pekebun disyaki tokan ditahan bersama 2 lelaki Thailand

    Dadah 29.8 kg dirampas, pekebun disyaki tokan ditahan bersama 2 lelaki Thailand

    Oleh RIZQI ZABIDI

    HAMPIR 30 kilogram dadah jenis ganja dirampas dalam serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di sebuah rumah dekat Kilometer 3, Lebuh Raya Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah Sabtu lalu.

    Dalam serbuan kira-kira pukul 11.10 malam itu, pihak polis turut menahan tiga lelaki terdiri daripada seorang warganegara tempatan berusia 48 tahun serta dua lelaki warganegara Thailand berusia 45 dan 34 tahun.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, lelaki tempatan itu yang merupakan seorang pekebun dipercayai bertindak sebagai tokan dadah manakala dua lagi lelaki warganegara Thailand adalah transporter.

    “Pihak polis terlebih dulu menahan lelaki warganegara tempatan itu di depan rumah sebelum menangkap dua lagi lelaki warganegara Thailand di dalam rumah. Selepas menjalankan soal siasat, lelaki Thailand berusia 45 tahun menunjukkan dua guni berwarna kuning yang diletakkan dalam semak di depan rumah.

    “Pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat 29 ketulan mampat dedaun hijau disyaki ganja dalam kedua-dua guni tersebut yang dianggarkan seberat 29.8 kilogram (kg) bernilai RM74,675,” katanya.

    Tambahnya, jika terlepas ke pasaran, ganja tersebut boleh digunakan kira-kira 130,000 penagih.

    Difahamkan dadah tersebut dipercayai dibawa masuk dari Thailand menggunakan jalan darat.

    “Selain dadah, pihak polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan wang tunai berjumlah RM6,000. Rumah diserbu serta kenderaan pacuan empat roda tersebut dipercayai milik lelaki tempatan tersebut yang masih bujang,” katanya.

    Katanya, saringan urin dijalankan mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah jenis tetra hydrocannibol (THC) dan methamphetamine.

    “Semakan kami mendapati hanya lelaki tempatan itu saja yang memiliki rekod berkaitan dadah manakala dua lelaki warganegara asing tersebut tidak memiliki rekod lampau.

    “Ketiga-tiga mereka direman selama tujuh hari hingga esok dan polis akan memohon agar tempoh itu dipanjangkan,” katanya.

    Katanya, kes tersebut kini masih disiasat mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

  • Pecah amanah RM1.3 juta: Pegawai akaun ditahan, warga Kemboja diburu

    Pecah amanah RM1.3 juta: Pegawai akaun ditahan, warga Kemboja diburu

    SEORANG pegawai akaun sebuah syarikat agensi pelancongan ditahan kelmarin, manakala seorang lelaki warganegara Kemboja diburu selepas disyaki terbabit dalam kes pecah amanah membabitkan jumlah RM1.3 juta.

    Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun menerusi satu kenyataan, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada pukul 6.45 petang di Balai Polis Kota Bharu.

    Beliau berkata, lelaki itu ditahan susulan laporan oleh pengarah syarikat pada pukul 4.58 petang kelmarin, berkaitan kes pecah amanah membabitkan pekerja yang mengambil wang syarikat.

    “Pengarah syarikat berkenaan membuat semakan akaun dan mendapati keraguan transaksi wang keluar ke akaun yang tidak diketahui.

    “Pengadu mengesan suspek iaitu pekerja yang bekerja sebagai pegawai akaun membuat transaksi perbankan dalam talian secara tidak sah iaitu tanpa arahan dan bukan untuk urusan syarikat.

    “Suspek mengaku mengambil wang itu sejak Julai tahun lalu hingga Januari tahun ini dan kesemua transaksi dipindahkan ke dua akaun milik rakannya,” katanya, lapor Harian Metro.

    Muhamad Zaki berkata, suspek mengaku membuat transaksi pindahan wang milik syarikat berjumlah RM1.3 juta atas arahan rakannya yang juga warganegara Kemboja yang berada di Johor.

    Beliau berkata, susulan itu, polis menahan lelaki itu dan suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga 29 Januari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, manakala lelaki warganegara Kemboja, Rafur Sufi sedang dikesan.

    “Orang ramai yang mengenali atau mengetahui dan mempunyai maklumat berkaitan, boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Norfazila Baharom di talian 017-9268001 Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan atau balai polis berhampiran,” katanya.

  • Polis buru suspek utama kebakaran gudang pakaian

    Polis buru suspek utama kebakaran gudang pakaian

    SEORANG lelaki dipercayai suspek utama terbabit dalam kes khianat dengan api membabitkan dua kebakaran di gudang pakaian di Jalan 2/17 Mutiara Fadason, di Kuala Lumpur, baru-baru ini yang membabitkan kerugian lebih RM1 juta sedang dicari polis.

    Suspek utama itu, G Logeswaran berusia 41 tahun dan beralamat di M2-3-14 Jalan Pandan Indah 6/1 Pandan Indah 55100 Kuala Lumpur, dipercayai dapat membantu untuk menyelesaikan siasatan kes itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai dalam satu kenyataan, polis menerima laporan kejadian pertama kebakaran gudang pakaian daripada pengurusnya yang berusia 31 tahun (pengadu), pukul 4.08 pagi pada 6 Januari lalu.

    “Kebakaran itu berjaya dipadamkan yang mana ia hanya meliputi kawasan bahagian hadapan gudang saja. Semakan kamera litar tertutup di kawasan itu mendapati kebakaran bermula jam 3.06 pagi di mana terdapat kelibat suspek memanjat tembok dan membaling sesuatu ke arah gudang dan selepas itu nampak nyalaan api.

    “Kerugian dianggarkan sebanyak RM4,000 yang membabitkan kerosakan peti ais, sofa serta peti suis elektrik yang berada di bahagian luar gudang. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut Eng Lai berkata, pada 11 Januari kira-kira pukul 4.30 pagi, polis menerima satu lagi laporan mengenai kejadian kebakaran membabitkan gudang yang sama.

    Menurutnya, kejadian dilaporkan berlaku di bahagian belakang dalam gudang berkenaan dan semua suspek diupah RM10,000 untuk membakar gudang

    “Selepas kebakaran berjaya dipadam oleh bomba, pengadu mendapati stok baju Melayu dan lain-lain barang tidak pasti sudah terbakar.

    “Anggaran jumlah stok baju Melayu yang terbakar adalah sebanyak 14,400 helai. Jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM1.5 juta. Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Eng Lai berkata, berdasarkan hasil risikan yang dijalankan, sebanyak enam serbuan dibuat di beberapa lokasi yang berbeza di sekitar Selangor.

    Katanya, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul itu dilakukan 11 malam 15 Januari sehingga kira-kira pukul 4.30 pagi 18 Januari lalu.

    “Hasil serbuan, polis berjaya menahan sembilan suspek lelaki warga tempatan berusia lingkungan 24 hingga 34 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes itu.

    “Turut dirampas ketika tangkapan adalah sebuah motosikal dan pakaian yang dipercayai dipakai suspek serta satu tong minyak berisi petrol yang digunakan untuk membakar gudang itu.

    “Kesemua orang kena tuduh (OKT) direman sehingga 26/01/2023 (semalam). Pihak polis juga mendapati kesemua tangkapan mempunyai rekod jenayah lampau kesalahan penyalahgunaan dadah. Hasil ujian saringan air kencing mendapati lima suspek positif dadah dan empat suspek lagi negatif,” katanya.

    Beliau berkata, semalam atas arahan Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur, dua suspek dituduh bagi kejadian pertama manakala tiga suspek lagi dituduh bagi kejadian kedua mengikut Seksyen 435 KK.

    Menurutnya, suspek yang lain dijadikan saksi pendakwaan.

    “Kesemua suspek yang dituduh tidak mengaku salah dan ditawarkan jaminan sebanyak RM8,000 setiap seorang. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 Mac depan.

    “Motif kejadian setakat ini mendapati suspek diupah untuk membakar gudang yang berkenaan. Semua suspek yang dituduh dipercayai adalah orang upahan untuk melakukan pembakaran gudang itu.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan dengan individu itu boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Izzat Jamaluddin di talian 017-7331772 atau Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206,” katanya.

  • 135 mesin melombong bitcoin dirampas di rumah kedai

    135 mesin melombong bitcoin dirampas di rumah kedai

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK 135 mesin melombong bitcoin dirampas dalam pemeriksaan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dari cawangan jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah terhadap sebuah premis bangunan kedai dua tingkat di Jalan Serunding Indah 2, Taman Seruling Indah dekat Sungai Petani, Kedah hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pemeriksaan dijalankan kira-kira pukul 6 petang bersama kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapati berlaku penyambungan secara haram disambung terus dari kabel utama di luar premis, tanpa melalui meter elektrik.

    “Selain itu terdapat kesan tebuk pada bahagian dinding depan premis bagi memberi laluan kepada kabel elektrik yang dicuri disambung ke mesin melombong bitcoin di dalam premis.

    “Berikutan itu terdapat bukti-bukti secara munasabah menunjukkan berlaku kesalahan bawah Seksyen 37 (1) dan/atau Seksyen 37 (3) dan/atau Seksyen 37 (14), Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya.

    Tambahnya, selain 135 mesin melombong bitcoin itu, pihak berkuasa turut merampas dua unit dekstop ethernet switch.

    “Siasatan kini masih berjalan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Suspek dan Zarina ada pertalian ahli keluarga

    Suspek dan Zarina ada pertalian ahli keluarga

    SUSPEK yang ditahan berhubung penemuan mayat wanita dikenali Zarina Mukhtar di semak di Kampung Alor Gali, di Marang, hari ini, adalah ahli keluarga terdekat.

    Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, pihaknya mendapati suspek berusia 59 tahun adalah individu terakhir bersama mangsa berdasarkan maklumat awam.

    Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa menaiki bas dari Kuala Lumpur sebelum suspek mengambilnya di Kampung Rhu Rengeh, di Marang, pada jam 10 pagi, 16 Januari lalu.

    “Kita percaya suspek orang terakhir bersama mangsa dan ketika itu ada orang awam melihat mangsa dibawa suspek menaiki sebuah kereta berwarna gelap.

    “Malah, kita juga percaya ada kemungkinan mangsa mati di tempat lain dan mayat dibuang dalam semak di Kampung Alor Gali, di sini,” katanya pada sidang media di Marang, hari ini.

    Pihaknya percaya mangsa sudah meninggal dunia tidak kurang 36 jam berdasarkan keadaan mayat yang sudah berbau.

    Menurutnya, pihaknya juga percaya mangsa ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja tetapi ditipu sebelum balik semula ke Terengganu.

    “Mangsa adalah orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dan juga ibu tunggal kepada seorang anak.

    “Kita sudah menyerahkan mayat kepada keluarga dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam Kepong, Kuala Terengganu,” katanya.

    Khamis lalu, Media melaporkan penemuan mayat wanita di dalam kawasan semak di Kampung Alor Gali, di Marang.

    Terdahulu, pagi tadi pesara berusia 59 tahun ditahan reman bagi membantu kes penemuan mayat Zarina, 57.

    Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Marang, Zur Azureen Zainalkefli selama tujuh hari bermula hari ini hingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Suspek ditahan kira-kira pukul 2.30 petang semalam di Jeli, Kelantan.

  • Duit pencen arwah suami RM233,480 lesap diperdaya ‘polis’

    Duit pencen arwah suami RM233,480 lesap diperdaya ‘polis’

    SEORANG guru berputih mata apapbila RM233,480 lesap selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang kononnya mendakwa mangsa terlibat dengan aktiviti pengedaran barang-barang terlarang dan pengubahan wang haram.

    Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, penipuan itu bermula apabila mangsa berusia 55 tahun menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pihak syarikat penghantaran barangan pada 13 Januari lalu.

    “Panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada pegawai polis dan dimaklumkan bahawa dirinya terlibat dengan jenayah.

    “Tanpa berfikir panjang, mangsa telah mendedahkan maklumat perbankan miliknya. Mangsa mula menyedari setelah 16 transaksi ke akaun lain telah dibuat.

    “Kesemua wang simpanan dalam akaun miliknya yang merupakan ganjaran wang pencen arwah suaminya lesap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, Ramli menasihati orang ramai supaya jangan mendedahkan butir-butir perbankan kepada pihak ketiga ataupun di dalam sebarang aplikasi daripada capaian yang mencurigakan.

    Mereka katanya, tidak perlu takut atau cemas apabila dihubungi atau didakwa terlibat dengan apa-apa jenayah oleh panggilan telefon yang mendakwa sebagai pihak berkuasa.

    “Adalah diingatkan bahawa pihak penguat kuasa tidak menjalankan apa-apa siasatan melalui panggilan telefon. Sentiasa semak dengan balai, bank atau pejabat berkaitan yang berhampiran untuk pengesahan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • 14 ditahan, polis percaya berjaya selesaikan 21 kes samun bernilai hampir RM700,000

    14 ditahan, polis percaya berjaya selesaikan 21 kes samun bernilai hampir RM700,000

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK 21 kes samun di Kedah dan negeri bersempadan berjaya diselesaikan menerusi tangkapan terhadap 14 individu terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita, dalam operasi khas dijalankan pihak polis sejak tiga bulan lalu di Kedah.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kesemua mereka ditahan di beberapa lokasi berasingan dalam negeri ini kira-kira pukul 6 petang, 13 Januari lalu.

    Katanya, operasi tersebut dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah bagi mengesan kumpulan jenayah terancang yang aktif melakukan kes samun dan kekerasan.

    “Hasil siasatan awal, pasukan JSJ berjaya menyelesaikan 21 kes samun di sekitar Kedah dan negeri bersempadan melibatkan kerugian hampir RM700,000.

    Antara senjata yang dirampas pihak polis

    “Semakan rekod lampau mendapati ada dalam kalangan mereka yang ditahan berstatus ‘dikehendaki’ kerana disyaki terlibat dalam kes samun dan dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, pihak polis turut menyerbu premis pajak gadai dan merampas kembali barang-barang kemas miliki mangsa.

    “Pihak polis tidak akan berkompromi terhadap peniaga mahu pun urusan jual beli emas yang mengaut keuntungan dengan membantu mana-mana pihak yang dalam pengetahuannya, adalah hasil daripada kegiatan jenayah.

    “Modus operandi mereka ada menyasarkan rumah-rumah yang terasing dan jauh. Mereka akan bergerak menaiki kenderaan untuk melakukan samun di awal pagi secara berkumpulan bersenjatakan parang,” katanya.

    Antara yang dirampas dan pasukan JSJ berjaya menyelesaikan 21 kes samun di sekitar Kedah dan negeri bersempadan melibatkan kerugian hampir RM700,000.

    Menurutnya, suspek juga dipercayai turut mengugut untuk membunuh dan mengambil barangan berharga milik mangsa.

    “Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun penjara dan juga boleh dikenakan sebatan.

    “Kejayaan ini adalah salah satu usaha PDRM Kedah untuk menumpaskan kegiatan samun dan mengurangkan kadar jenayah kekerasan. Pihak polis amat menghargai kerjasama dan penglibatan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu memerangi jenayah,” katanya. – SB

  • Rugi RM30,000 rumah dipecah masuk

    Rugi RM30,000 rumah dipecah masuk

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG wanita kerugian kira-kira RM30,000 apabila barangan kemas dan wang tunai miliknya dilarikan seorang penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Kampung Teroi Bukit, Guar Chempedak di Yan.

    Kejadian kira-kira pukul 3 pagi semalam berlaku ketika mangsa warga emas yang berusia 69 tahun itu sedang tidur berseorangan di dalam salah sebuah bilik di rumah berkenaan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, mangsa menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi barangan terjatuh sebelum mendapati seorang lelaki tidak dikenali berada di dalam biliknya.

    “Mangsa terus menjerit meminta tolong menyebabkan suspek bertindak berlari keluar dengan mengambil beg tangan berwarna hitam milik mangsa. Di dalam beg tersebut mengandungi barangan berharga milik mangsa seperti seutas gelang tangan dan dua bentuk cincin emas.

    “Selain itu, terdapat juga wang tunai berjumlah RM4,000, kad mesin juruwang automatik (ATM), kad pengenalan dan beberapa lagi dokumen penting milik mangsa yang dianggarkan kerugian mencecah RM30,000,” katanya di Yan, hari ini.

    Kata Shahnaz, siasatan di tempat kejadian mendapati tidak terdapat sebarang kesan umpil atau pecah di bahagian pintu rumah mangsa.

    Malah, suspek yang menutup muka dengan kain sarung dipercayai masuk ke dalam rumah terbabit hanya dengan membuka selak di pintu belakang bahagian dapur melalui tingkap.

    “Suspek kemudiannya masuk ke dalam bilik mangsa yang tidak berkunci dan keluar melalui pintu hadapan sebaik sahaja mangsa tersedar dan menjerit meminta tolong,” jelasnya.

    Katanya, Unit Anjing Pengesan (K9) telah dipanggil bagi mengesan tempat laluan suspek, namun tidak berjaya mengesan pergerakan suspek dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan

  • Pesara direman bantu siasatan kes penemuan mayat wanita

    Pesara direman bantu siasatan kes penemuan mayat wanita

    SEORANG lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes penemuan mayat wanita di dalam semak di Kampung Alor Gali di Marang direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

    Suspek yang merupakan seorang pesara berusia 58 tahun ditahan pukul 2.30 petang di Jeli, Kelantan, semalam, lapor Sinar Harian.

    Perintah tahanan reman terhadap suspek bermula 26 Januari hingga 1 Februari depan dikeluarkan Majistret Zur Azureen Zainalkefli bagi membolehkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Sebelum ini, media melaporkan polis berjaya menahan suspek yang disyaki mempunyai kaitan dengan penemuan mayat wanita tersebut sekali gus membantu menyelesaikan siasatan kes dalam tempoh tidak sampai seminggu.

    Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris sebelum ini berkata, mayat wanita yang dijumpai pada 19 Januari lalu disahkan sebagai Zarina Mukhtar, 57.

    Menurut beliau, pengesahan identiti mayat dibuat berpandukan padanan rekod cap jari yang tersimpan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

    Mayat mangsa yang lengkap berpakaian sebelum ini ditemukan orang awam yang mencari daun palas di sekitar kawasan semak terletak kira-kira 30 meter dari jalan utama.

  • Dua lelaki bersenjatakan parang samun kedai makan

    Dua lelaki bersenjatakan parang samun kedai makan

    DUA lelaki sedang diburu polis kerana melakukan samun bersenjata di sebuah kedai makan di Jalan Stutong di Kuching, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada pukul 4.55 pagi.

    “Pengusaha kedai makan itu kerugian RM2,000 selepas disamun kedua-dua suspek yang bersenjatakan parang.

    “Pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak sudah digerakkan bagi mengesan suspek,” katanya pada kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, tular rakaman video kedua-dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun itu menaiki sebuah Perodua Kelisa putih.