Category: Jenayah

  • Menyamar polis samun, cabul isteri mangsa

    Menyamar polis samun, cabul isteri mangsa

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki berusia 30-an ditahan atas tindakannya menyamar sebagai polis, untuk menyamun seorang lelaki sebelum bertindak lebih melampau dengan mencabul isteri mangsanya itu di Pendang, Kedah pada Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superitendan Arriz Sham Hamezah berkata, kejadian itu bermula kira-kira pukul 12.30 malam apabila suspek yang menunggang motosikal, menghampiri mangsanya yang sedang membantu seorang rakan membaiki kereta di tepi jalan.

    Katanya, suspek lalu memperkenalkan diri sebagai pegawai polis sebelum meminta Mykad kedua-dua lelaki berkenaan kononnya untuk diperiksa.

    “Selepas melakukan ‘pemeriksaan’ terhadap Mykad mangsa, suspek secara tiba-tiba merampas telefon bimbit milik mangsa.

    “Dia kemudiannya sempat berpesan kepada lelaki tersebut supaya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang jika mahu menuntut kembali telefon bimbit tersebut sebelum beredar,” katanya.

    Tambahnya, suspek lalu membuat panggilan telefon kepada isteri mangsa dan membuat penipuan kononnya suami wanita itu ditahan polis.

    Suspek lalu mendakwa dia boleh membantu melepaskan suami wanita tersebut namun kedua-dua mereka perlu berjumpa untuk berbincang terlebih dulu di sebuah kawasan perumahan.

    “Bimbang dengan nasib suaminya, wanita tersebut menuruti kehendak suspek dengan memandu ke lokasi ditetapkan.

    “Sebaik wanita itu tiba, suspek terus masuk ke dalam kereta lalu memujuk untuk melakukan hubungan seks. Wanita berkenaan menolak permintaan tersebut menyebabkan suspek berang dan mencabulnya,” katanya.

    Arriz Sham berkata, selepas itu wanita berkenaan kembali ke rumahnya dan bertemu dengan suaminya yang turut pulang ke kediaman mereka.

    “Hanya pada ketika itulah mereka sedar telah diperdaya sebelum membuat laporan polis,” katanya.

    Susulan itu katanya, pihak polis telah menahan suspek di depan sebuah premis di Taman Sri Pendang kira-kira pukul 3.30 petang, hari sama.

    “Sebuah beg dan kotak hitam berisi kondom, syabu dan telefon bimbit dirampas.

    “Suspek kemudiannya direman selama tujuh hari bermula kelmarin. Siasatan kini masih berjalan mengikut Seksyen 355, 392 dan 170 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • KDN rampas al-Quran, bahan cetak bernilai RM100,000

    KDN rampas al-Quran, bahan cetak bernilai RM100,000

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) merampas 1,907 naskhah al-Quran dan 2,060 bahan bacaan bercetak mengandungi ayat daripada kitab suci itu bernilai RM100,000 dalam Ops Mulia di Bukit Mertajam, bulan lepas.

    Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Nik Yusaimi Yussof berkata kesemua al-Quran dan bahan bacaan itu dirampas kerana tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Al-Quran (LPPPQ) KDN.

    “Pihak kami telah menjalankan risikan sejak Oktober lepas sebelum menyerbu sebuah rumah pangsa di Taman Alma, Bukit Mertajam, 9 Jan lepas dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang dipercayai penjual al-Quran serta bahan cetak tersebut.

    “Hasil siasatan dijalankan, kami mendapati rumah itu disewa sejak tahun lepas dan kesemua naskhah serta bahan bacaan al-Quran itu diedar serta dijual oleh lelaki tersebut sebagai sumber pendapatan utama,” katanya pada sidang akhbar di Butterworth, Pulau Pinang, hari ini.

    Katanya pemeriksaan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut mendapati al-Quran yang dirampas itu tidak mengikut resam Uthmani yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

    Nik Yusaimi berkata kesemua naskhah al-Quran dan bahan bacaan itu dipercayai dibawa masuk dari Indonesia sebelum dijual menerusi platform dalam talian, kedai-kedai buku, diinfak dan diedarkan di seluruh negara.

    Katanya al-Quran yang dirampas itu turut dibimbangi mengandungi kesalahan yang boleh menyebabkan kesilapan bacaan dan maksud yang tidak tepat.

    “Al-Quran ini ada kandungannya yang turut dieja dalam tulisan rumi, Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini sudah mengharamkan sebarang ejaan ayat suci al-Quran dalam tulisan rumi,” katanya dan kes itu disiasat di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.

    Beliau berkata setakat ini, terdapat 912 pruf akhir teks al-Quran di Malaysia iaitu penerbitan al-Quran yang telah diluluskan KDN. 

    Mengulas mengenai Ops Mulia yang dilaksanakan di Pulau Pinang dan Selangor awal tahun ini, Nik Yusaimi berkata pihaknya merampas naskhah dan bahan bacaan al-Quran bernilai keseluruhan RM160,000.

  • Polis buru suspek samun bersenjata pisau di Jalan Nanas, Kuching

    Polis buru suspek samun bersenjata pisau di Jalan Nanas, Kuching

    POLIS kini memburu seorang lelaki samun bersenjata pisau di sebuah kedai runcit dekat Jalan Nanas, Kuching, 3 petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, dalam kejadian samun itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM900.

    “Pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Kuching dan Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak digerakkan bagi mengesan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

    Orang ramai diminta memberi maklumat bagi membantu mengesan suspek.

    Sejak semalam tular rakaman kamera litar tertutup yang memaparkan aksi suspek melakukan jenayah samun.

    Suspek dilihat merangkul leher mangsa sambil mengacu sebilah pisau lalu menyuruh mangsa mengeluarkan wang tunai yang terdapat di dalam mesin tunai.

    Suspek kemudian melarikan diri selepas mangsa menyerahkan wang.

  • Polis Pulau Pinang rampas 41kg syabu bernilai RM1.5 juta

    Polis Pulau Pinang rampas 41kg syabu bernilai RM1.5 juta

    POLIS Pulau Pinang berjaya merampas sebanyak 41.807 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM1.505 juta dalam dua serbuan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) Sabtu lalu.

    Dalam operasi sama, seramai tujuh individu tempatan berusia antara 26 hingga 54 tahun termasuk dua beradik turut ditahan dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah terbabit.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Permatang Kerai Besar, pukul 8.45 malam yang mana lima individu ditahan.

    Katanya, pemeriksaan lanjut di rumah itu menemukan sebanyak 11 bungkusan plastik hijau berlabel teh Cina dan dua peket plastik lutsinar mengandungi serbuk dan ketulan dadah jenis syabu.

    Ujarnya, ekoran penahanan itu, polis melakukan serbuan kedua keesokan hari di Bertam Perdana, pukul 8 pagi dan menahan dua lagi individu.

    “Dalam serbuan kedua ini, kita merampas sebanyak 30 bungkusan plastik jenis sama di dalam sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dan kita percaya kedua-dua suspek sedang melakukan urusan jual beli ketika serbuan dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, selain rampasan dadah, polis turut menyita empat buah kenderaan dan wang tunai RM1,000 daripada sindiket terbabit menjadikan nilai rampasan dadah dan sitaan sebanyak RM1.97 juta.

    Katanya, hasil risikan mendapati, sindiket itu bergiat aktif sejak pertengahan tahun lalu dan menjual dadah untuk pasaran tempatan.

    “Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati lima daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan dua suspek turut memiliki rekod membabitkan pelbagai kesalahan dadah dan jenayah.

    “Selain itu, salah seorang suspek turut memiliki rekod kesalahan mengikut Akta Racun 1952,” katanya.

    Jelas beliau, kesemua suspek direman selama enam hari sehingga 3 Februari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Kerjasama Maritim Malaysia, komuniti nelayan rampas 300 bubu kambang

    Kerjasama Maritim Malaysia, komuniti nelayan rampas 300 bubu kambang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK 300 bubu kambang atau bubu naga dirampas dalam operasi khas dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kedah bersama komuniti nelayan di beberapa lokasi sepanjang perairan Pantai Murni, Yan hingga ke Tanjung Dawai di Merbok, Kedah awal pagi semalam.

    Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Zool Hilmi Mohd. Nadzir berkata, operasi khas itu dilaksanakan berdasarkan aduan awam di lokasi berkenaan yang kerap diterima Maritim Malaysia.

    Katanya, sepuluh lokasi rampasan bubu naga itu adalah di sekitar 1.3 hingga 1.9 batu nautika merangkumi kawasan perairan Pantai Murni hingga ke perairan Tanjung Dawai.

    10 lokasi rampasan bubu naga itu adalah di sekitar 1.3 hingga 1.9 batu nautika merangkumi kawasan perairan Pantai Murni hingga ke perairan Tanjung Dawai.

    “Semasa rondaan dilakuan, anggota bot ronda Maritim Malaysia menemukan pelampung penanda dan pancang kayu mencurigakan dipasang pada setiap bubu naga berukuran 10 meter panjang.

    “Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai RM36,000 dan dibawa ke Jeti Maritim Kuala Kedah untuk siasatan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, penggunaan bubu naga semakin berleluasa sejak kebelakangan ini dan kegiatan itu perlu dicegah bermula di peringkat penjualan oleh pihak berwajib.

    Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai RM36,000 dan dibawa ke Jeti Maritim Kuala Kedah

    “Jika sekadar mengharapkan kepada usaha merampas bubu itu saja, tindakan itu tidak terlalu memberi kesan kerana bubu tersebut masih boleh dibeeli di pasaran dengan harga murah termasuk melalui dalam talian,” katanya.

    Beliau dalam pada itu turut mengingatkan komuniti nelayan agar mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan seperti diperuntukan.

    “Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang Persekutuan dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

    “Sebarang aduan mengenai aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

  • Lelaki ditahan perdaya urusan perkhidmatan pembersihan rumah tidak wujud melalui Facebook

    Lelaki ditahan perdaya urusan perkhidmatan pembersihan rumah tidak wujud melalui Facebook

    SEORANG lelaki berusia 20-an ditahan polis Pulau Pinang di Taman Mewah, Kemunting, Perak semalam kerana disyaki memperdaya mangsa dalam urusan perkhidmatan pembersihan rumah yang tidak wujud melalui Facebook.

    Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kerugian yang dialami mangsa penipuan suspek lelaki berusia 20-an itu adalah sekitar RM113,238.

    Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Dalam pada itu, kenyataan tersebut menambah, polis menasihatkan agar orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan jual beli di laman sosial, pinjaman tidak wujud, tawaran pekerjaan luar negara atau Macau dan Love Scam serta parcel scam melalui media sosial.

    “Pihak polis juga menyarankan supaya orang ramai membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan oleh suspek di Portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM melalui link https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau juga boleh memuat turun di aplikasi Google Play semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, kenyataan itu memaklumkan, polis turut menahan seorang wanita berusia 23 tahun kerana disyaki menjadi ejen jualan yang menjalankan urusan jual beli barang kemas yang tidak wujud melalui atas talian.

    Ujarnya, suspek ditahan di Taiping, Perak melibatkan kes yang dilaporkan pada 6 Februari 2022.

    “Hasil semakan lanjut mendapati suspek ialah ejen jualan yang berurusan dengan mangsa dalam urusan penjualan barangan kemas yang tidak wujud melalui atas talian,” katanya.

    Tambah kenyataan itu, suspek juga telah membuat ugutan kepada mangsa untuk membatalkan pembelian dan semua wang pembayaran tidak akan dipulangkan jika mangsa tidak membuat pembayaran pada masa ditetapkan.

    “Jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah RM39,600 dan kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Op Limau: 905 individu ditahan disyaki terlibat perjudian

    Op Limau: 905 individu ditahan disyaki terlibat perjudian

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan 905 individu di seluruh negara menerusi Op Limau kerana disyaki terlibat dalam perjudian dengan jumlah rampasan dianggar bernilai RM513,793.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata kesemua tangkapan itu membabitkan 137 serbuan bagi tempoh 15 hingga 29 Jan lepas.

    Beliau berkata daripada 905 individu ditahan, 650 melibatkan judi dalam bangunan manakala 254 membabitkan kegiatan judi di luar bangunan.

    “Op Limau ini dijalankan selama 15 hari di seluruh negara bagi mengekang kegiatan perjudian dalam bangunan dan tempat terbuka sempena Tahun Baharu Cina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata siasatan dibuat di bawah Seksyen 6(1) dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    Noorsiah berkata PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menganjur dan menjalankan pertaruhan dalam usaha menangani kegiatan perjudian.

    Katanya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian boleh menyalurkan maklumat melalui hotline WhatsApp Op Limau di talian 016-577 3477.

  • Gaduh berebut pelanggan, sembilan ‘longkai’ dicekup polis

    Gaduh berebut pelanggan, sembilan ‘longkai’ dicekup polis

    POLIS menahan sembilan lelaki yang juga penarik kereta selepas disyaki terbabit insiden pergaduhan berkumpulan di Jalan Datuk Haji Mohd Zain, Batu Berendam, di Melaka, Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, semua lelaki terbabit yang berusia antara 20 hingga 64 tahun ditahan selepas pihaknya menerima aduan, pada 7.30 malam.

    “Kjadian disyaki berpunca daripada pertelingkahan dua kumpulan penarik kereta yang berebut pelanggan untuk perkhidmatan menunda kenderaan.

    “Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah ke lokasi, dan menahan kesemua suspek.

    “Hasil siasatan mendapati kesemua yang ditahan mendakwa terbabit dalam kes gaduh itu,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

    “Selain itu, polis menasihatkan orang awam agar tidak lagi memanipulasi dan membuat spekulasi berhubung kejadian bagi mengelakkan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 dikenakan terhadap mereka,” katanya.

    Terdahulu, tular beberapa video dalam media sosial yang memaparkan insiden pergaduhan itu sebelum polis tiba di lokasi kejadian.

  • Anggota polis dituduh lupus, bersubahat curi barang kes ketum

    Anggota polis dituduh lupus, bersubahat curi barang kes ketum

    SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Pasir Puteh, hari ini atas dua pertuduhan melupuskan keterangan dan bersubahat mencuri barang kes berkait kesalahan ketum, 10 Jan lepas.

    Tertuduh, Bob Fuzainey Hazoni, 41, didakwa bersama dua yang masih bebas, menyebabkan keterangan kes tersebut hilang dengan niat melindungi daripada hukuman undang-undang di stor barang kes Balai Polis Cherang Ruku, Pasir Puteh, antara pukul 3 pagi hingga 4 pagi.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

    Bob Fuzainey juga didakwa bersubahat bersama-sama dua lelaki yang masih bebas, mencuri di stor barang kes pada masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asma’a Che Omar menawarkan jaminan RM20,000, manakala tertuduh yang diwakili peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya menjaga bapa yang menghidap komplikasi penyakit jantung dan menanggung empat anak berusia satu hingga 14 tahun.

    Majistret Mohamad Nazri Abdul Rahim kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 21 Mac depan.

    Tertuduh membayar jaminan tersebut. 

  • Pengawal keselamatan direman, bantu siasatan lelaki kurang siuman dipukul hingga mati

    Pengawal keselamatan direman, bantu siasatan lelaki kurang siuman dipukul hingga mati

    SEORANG pengawal keselamatan direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian pemuda yang mengalami masalah mental dipercayai akibat dipukul di Masjid Tok Guru Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan , malam tadi.

    Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

    Menurut laporan BH Online, perintah tahanan reman suspek berusia 32 tahun bermula hari ini sehingga 5 Februari depan.

    Terdahulu, dalam kejadian jam 7 malam tadi, seorang lelaki yang mempunyai masalah mental meninggal dunia dipercayai dipukul di Masjid Tok Guru Pulau Melaka, Kota Bharu.

    Mangsa berusia 20-an dikatakan mengamuk di masjid berkenaan sebelum menendang seorang wanita berusia 50-an yang melalui pekarangan masjid itu.

    Susulan itu, mangsa dipukul sebelum meninggal dunia dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.