Category: Jenayah

  • Dua beranak ditahan kemuka tuntutan palsu hampir RM90,000

    Dua beranak ditahan kemuka tuntutan palsu hampir RM90,000

    DUA beranak ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor kerana dipercayai mengemukakan tuntutan palsu hampir RM90,000 kepada sebuah agensi kerajaan tiga tahun lepas.

    Menurut sumber, pemilik sebuah syarikat dan pengarah projek yang merupakan lelaki berusia 50 tahun dan 25 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor kira-kira 8 malam tadi selepas hadir memberi keterangan.

    Difahamkan pada 2020, kedua-dua lelaki mengemukakan tuntutan palsu kepada agensi itu berkaitan tuntutan program subsidi upah melibatkan dana kerajaan.

    Sumber itu berkata, kedua-dua lelaki melampirkan senarai nama pekerja layak, sedangkan hasil tuntutan itu tidak dibayar kepada pekerja syarikat terbabit.

    Katanya, mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM.

    Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua lelaki itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • Jumpa bayi dalam loji kumbahan

    Jumpa bayi dalam loji kumbahan

    SEORANG pekerja pembersih kumbahan terkejut melihat objek yang disangka anak patung rupanya janin bayi di loji kumbahan sebuah kawasan perumahan di Inanam, Kota Kinabalu semalam.

    Janin bayi itu ditemukan oleh pekerja terbabit pukul 9.30 pagi dalam sangkar perangkap sampah ketika melakukan kerja-kerja pembersihan.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, laporan mengenai penemuan janin itu dibuat menerusi panggilan telefon ke Balai Polis Inanam.

    Katanya, ketika kejadian, pekerja terbabit terus ke loji kumbahan untuk membuat kerja pembersihan sebelum terlihat satu objek yang pada awalnya disangka anak patung.

    “Namun selepas sangkar itu dinaikkan, terdapat satu janin bayi di dalamnya. Pengadu kemudian mengangkat sangkar naik ke atas dan segera mengeluarkan janin berkenaan kerana bimbang ia dihanyutkan arus sebelum bertindak memaklumkan kepada penyelianya.

    “Keadaan mayat masih bersama tali pusat dan lengkap anggota badan dengan ketinggian kira-kira 18 sentimeter namun doktor tidak dapat memastikan jantinanya namun berkemungkinan lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd. Zaidi berkata, mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk bedah siasat, lapor Sinar Harian.

    Sehubungan itu, Mohd. Zaidi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Hatikah Ahmad di talian 0168337243.

  • Tahanan lelaki lolos ketika dirawat di hospital diberkas semula kurang 24 jam

    Tahanan lelaki lolos ketika dirawat di hospital diberkas semula kurang 24 jam

    DALAM tempoh kurang 24 jam, seorang tahanan yang melarikan diri ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Bakap (HKB), Pulau Pinang berjaya diberkas semula di Jalan Pantai Bersih, Butterworth pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Ng Ah Thiam berkata, suspek itu ditahan kira-kira pukul 8.45 pagi tadi dengan bantuan anggota dari Penjara Seberang Perai.

    “Pihak polis berterima kasih kepada orang awam yang telah memberi kerjasama,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Semalam, polis menerima laporan kira-kira pukul 3.56 petang daripada warden penjara yang memaklumkan seorang tahanan lelaki warga tempatan telah melarikan diri.

    Ah Tiam berkata, tahanan terbabit iaitu Nordin Ahmad, 54, dikatakan meloloskan diri ketika berada di Wad Kuarantin Tibi (Wad 5) hospital terbabit.

    “Ketika itu, tahanan berkenaan memakai baju- t berwarna kelabu dan berseluar pendek berwarna hitam.

    “Susulan laporan itu, usaha mengesan tahanan giat dijalankan menerusi ‘Op Tutup’,” katanya.

  • ‘Kali ini saya rakam’, Chegubard ke SPRM semula serah laporan

    ‘Kali ini saya rakam’, Chegubard ke SPRM semula serah laporan

    AHLI Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard sekali lagi hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya hari ini untuk menyerahkan laporan berhubung dakwaan pemilikan kediaman mewah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sungai Long, Kajang.

    Semalam, SPRM mendedahkan belum menerima aduan rasmi daripada Chegubard selepas beliau mengadakan sidang media di ibu pejabat SPRM 11 Julai lalu.

    Chegubard berkata, laporan itu diserahkan kepada Pegawai SPRM bernama Hung Heng Hong.

    “Pagi ini saya tampil sekali lagi ke SPRM untuk hantar sekali lagi laporan. Kali ini saya rakam semua dengan video dan laporan diterima oleh Penguasa Hung Heng Hong bagi pihak SPRM,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.

    Selasa lalu media melaporkan Chegubard hadir ke pejabat SPRM Putrajaya, menggesa pihak berkuasa menyiasat pemilikan kediaman mewah perdana menteri di Sungai Long.

    Beliau menggesa SPRM menyiasat perdana menteri dan mendakwa rumah didiami Anwar adalah milik ‘tauke Cina yang penuh misteri’.

    Dalam sidang media diadakan selepas laporan di ibu pejabat SPRM itu, Chegubard turut membangkitkan isu Anwar menggunakan beberapa kereta mewah yang didakwa bukan milik pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

    Sankara Nair, peguam kepada Anwar kemudian menjelaskan rumah di Kajang yang dikaitkan milik taikun Cina sebenarnya aset pajakan selama 10 tahun pada 2020 hingga 2030, sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.

  • Jadikan ibu, kakak tebusan:Dua pegawai polis cedera ditetak

    Jadikan ibu, kakak tebusan:Dua pegawai polis cedera ditetak

    DUA pegawai polis cedera ditetak seorang lelaki disyaki kurang siuman dalam kejadian di kediamannya di Taman Jaya Manggatal, Kota Kinabalu semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 2.30 petang yang mengakibatkan kedua-duanya cedera pada bahagian lengan, kepala dan bahu.

    “Suspek yang berusia 42 tahun bertindak menetak anggota polis tersebut dengan menggunakan pisau pemotong daging.

    “Sebelum itu aduan diterima daripada orang ramai mengenai seorang lelaki mengamuk di rumahnya.

    “Suspek yang bersenjatakan pisau pemotong daging telah mengurung ibu dan kakaknya di dalam bilik selain turut mengasari kakaknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, bertindak atas aduan itu, sepasukan pegawai dan anggota termasuk dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Balai Polis Manggatal bergegas ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata, suspek telah dipujuk untuk menyerahkan diri namun enggan dan hanya bersetuju membebaskan kakaknya.

    Menurutnya, selepas itu suspek bertindak menguncikan diri bersama ibunya di dalam bilik tidur.

    “Selepas usaha memujuk suspek selama hampir dua jam gagal dan tiada tanda suspek mahu bekerjasama untuk menyerahkan diri, pihak polis bertindak memecahkan pintu bilik berkenaan,” katanya.

    Mohd. Zaidi berkata, pasukan polis kemudian bertindak menyerbu masuk bilik berkenaan dan berjaya menyelamatkan ibu suspek.

    “Bagaimanapun, dalam kejadian itu suspek telah bertindak agresif dan berlaku pergelutan dengan pasukan serbuan.

    “Suspek bertindak menetak dan mencederakan seorang pegawai kanan dan seorang anggota berpangkat Sarjan sehingga menyebabkan kedua-duanya cedera manakala suspek hanya cedera ringan di bahagian muka dan ibunya tidak mengalami kecederaan,” katanya.

    Mohd. Zaidi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu perbuataan cubaan membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman pennara sehingga 20 tahun.

    “Siasatan lanjut juga mendapati suspek merupakan bekas pesakit Hospital Mesra Bukit Padang,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Insiden KLIA: Polis serah kertas siasatan dalam masa terdekat

    Insiden KLIA: Polis serah kertas siasatan dalam masa terdekat

    POLIS akan menyerahkan kertas siasatan berhubung kes kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

    Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, kertas siasatan telah lengkap.

    “Kita akan serahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam masa terdekat ini untuk tindakan lanjut.

    “Kes diklasifikasikan bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana tidak memberi kerjasama kepada penjawat awam,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

    Dilaporkan pada 2 Julai bahawa polis telah membuka kertas enkuiri polis (KEP) untuk menentukan sama ada wujud sebarang kesalahan oleh mana-mana pihak terbabit dalam kejadian itu.

    Polis juga merakam percakapan 22 saksi, terdiri daripada empat pengadu, 12 pegawai imigresen, empat pegawai polis bantuan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan pekerja syarikat ejen pelancongan.

    Dalam kejadian bulan lepas itu, Tiong dikatakan mencetuskan kekecohan di KLIA bagi membantu seorang warga China yang ditahan daripada memasuki Malaysia.

    Menteri itu juga dilaporkan memarahi polis bantuan KLIA dan pegawai imigresen ketika beliau cuba membantu wanita terbabit.

    Beliau mendakwa wujud budaya rasuah membabitkan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa ‘kronik’ di pintu masuk negara.

  • Polis siasat video tular penduduk pangsapuri bergaduh

    Polis siasat video tular penduduk pangsapuri bergaduh

    POLIS menjalankan siasatan berhubung penyebaran video pergaduhan melibatkan penduduk di sebuah pangsapuri di Tampoi di Johor Bahru, Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh berkata semakan mendapati kes itu mempunyai kaitan dengan dua laporan yang diterima daripada individu terlibat, dalam kejadian tiga hari lepas.

    “Keterangan daripada pihak terlibat dan saksi bebas yang merupakan penduduk di pangsapuri itu telah diambil dan punca pergaduhan masih dalam siasatan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 160 KK dan Seksyen 427 KK.

    “Kita menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini agar menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Shazril Salim di talian 016-3425316,“ katanya.

    Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 2 minit 17 saat yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun media sosial yang memaparkan mengenai kejadian pergaduhan melibatkan beberapa penduduk di pangsapuri berkenaan.

  • SPRM kenal pasti penguat kuasa sekongkol seludup sisik tenggiling

    SPRM kenal pasti penguat kuasa sekongkol seludup sisik tenggiling

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti pegawai penguat kuasa bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling serta terbabit aktiviti pengubahan wang haram.

    SPRM menerusi kenyataan memberitahu, pihaknya giat memperoleh maklumat dalam siasatan kes itu dan menahan seorang lagi individu menjadikan jumlah ditahan setakat ini seramai lapan orang.

    “Dalam perkembangan terkini berhubung Ops Jaguar, SPRM merakam pernyataan individu dan membuat penggeledahan di kediaman serta premis terlibat,” katanya.

    Sehubungan itu, SPRM juga mengesan seorang lelaki, Sheikh Biman Sheikh Ahmad, 43, beralamat terakhir di Pelabuhan Klang bagi membantu siasatan.

    “Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Siti Norazirah Ramli di talian 03 88700249 atau 019 8557290,” katanya, lapor FMT.

    Pada 15 Julai lalu empat lelaki direman SPRM selepas disyaki menyogok penguat kuasa bagi menyeludup dan melupuskan sisik tenggiling serta terlibat aktiviti pengubahan wang haram.

  • Polis rampas dadah bernilai RM14.4 juta, warga emas antara tiga ditahan

    Polis rampas dadah bernilai RM14.4 juta, warga emas antara tiga ditahan

    TIGA lelaki berusia dalam lingkungan 32 hingga 61 tahun dicekup selepas dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah bagi pasaran tempatan.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md Din berkata, tangkapa itu dibuat menerusi empat serbuan di sekitar Cheras, Kuala Lumpur dan Klang pada 13 Julai lalu.

    Menurut beliau, hasil daripada serbuan tersebut, pihaknya berjaya merampas dadah yang dianggarkan bernilai RM14.4 juta.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din bersama pegawainya menunjukkan pelbagai jenis dadah bernilai RM14.4 juta yang dirampas selepas berjaya menahan tiga suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah sekitar lembah klang ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Antara dadah yang dirampas adalah methamphetamine (56 kg), ketamin (20 kg) dan ekstasi (154.3 kg).

    “Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah menjadikan premis kediaman dan rumah kedai sebagi tempat simpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

    Sebahagian daripada dadah bernilai RM14.4 juta yang dirampas selepas polis berjaya menahan tiga suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah sekitar lembah klang ketika Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Saringan awal polis terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka negatif dadah,” katanya dalam sidang media hari ini, lapor Utusan TV.

    Mengulas lanjut, Mohd. Kamarudin berkata, semakan rekod jenayah mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau bagi kes jenayah dan dadah.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, bekalan dadah yang dirampas itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran dengan menggunakan jalan darat.

    Beliau menambah, JSJN turut mengambil tindakan untuk menyita aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM389,166.

    Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan suspek direman selama tujuh hari bermula 14 hingga 20 Julai bagi membantu siasatan.

  • Dakwaan rumah Anwar milik tauke Cina, SPRM belum terima aduan Chegubard

    Dakwaan rumah Anwar milik tauke Cina, SPRM belum terima aduan Chegubard

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan belum menerima aduan rasmi daripada Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard berhubung dakwaannya terhadap pemilikan kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sungai Long, Kajang.

    Sumber SPRM itu berkata, Chegubard menyatakan hasrat menyerahkan memorandum Selasa lalu di pondok keselamatan SPRM Putrajaya selepas sidang media, namun enggan masuk ke dalam premis selepas diminta untuk proses penyerahan.

    “Individu tersebut enggan masuk dan maklumkan akan menyerahkan maklumat secara pos.

    “Setakat ini SPRM belum menerima sebarang aduan rasmi atau memorandum daripada individu tersebut,” menurut sumber itu, lapor FMT.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi turut mengesahkan pihaknya belum menerima aduan rasmi daripada Chegubard atau mana-mana pihak.

    Selasa lalu media melaporkan, Chegubard hadir ke pejabat SPRM Putrajaya menggesa pihak berkuasa menyiasat pemilikan kediaman mewah Perdana Menteri di Sungai Long.

    Beliau menggesa SPRM menyiasat Perdana Menteri dan mendakwa rumah yang didiami Anwar adalah milik ‘tauke Cina yang penuh misteri’.

    Dalam sidang media diadakan selepas membuat laporan di ibu pejabat SPRM, Badrul turut membangkitkan isu Anwar menggunakan beberapa kereta mewah yang didakwa bukan milik pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

    Sankara Nair, peguam kepada Anwar kemudian menjelaskan rumah di Kajang yang dikaitkan milik taikun Cina sebenarnya aset pajakan selama 10 tahun pada 2020 hingga 2030, sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.