Category: Ekonomi

  • TH saran pendeposit berumur 18 tahun ke atas tukar ke akaun dewasa

    TH saran pendeposit berumur 18 tahun ke atas tukar ke akaun dewasa

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) menyarankan pendeposit khususnya yang melebihi umur 18 tahun tetapi masih memegang Akaun Kanak-kanak di bawah jagaan, supaya bertukar status kepada Akaun Dewasa.

    Pengarah Eksekutif Operasi TH Mustakim Mohamad berkata hampir 700,000 pemegang Akaun Kanak-Kanak melebihi umur 18 tahun dikenal pasti dan pemegang akaun itu yang telah menukar status akan mentadbir akaun masing-masing bermula 1 Dis tahun ini. 

    “Akaun itu akan dibekukan daripada melakukan sebarang transaksi pengeluaran, selain status link akaun antara akaun penjaga di bank dan akaun kanak-kanak di TH akan terbatal serta pendaftaran haji juga tidak dapat dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata akaun berkenaan masih boleh menerima transaksi simpanan daripada semua saluran yang disediakan TH termasuk di platform JomPay dan THiJARI.

    TH menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa dan penjaga yang mempunyai akaun jagaan bagi anak yang berumur 18 tahun ke atas supaya datang bersama anak tersebut ke cawangan TH bagi menukar status ke Akaun Dewasa agar tidak timbul kesulitan pada masa akan datang.

    TH mengambil langkah itu bagi memastikan semua akaun pendeposit yang mencapai 18 tahun diuruskan oleh pendeposit sendiri dan rekod maklumat serta biometrik pendeposit itu dikemas kini.

    Selain itu, pendeposit perlu memastikan akaun TH berstatus aktif untuk terus menikmati manfaat seperti simpanan dijamin kerajaan, menerima agihan keuntungan, zakat ditunaikan, patuh syariah,  dikecualikan cukai pendapatan dan boleh turut serta dalam pelbagai kempen yang dijalankan TH.

    Menurut kenyataan itu, pendeposit hanya perlu melakukan satu transaksi simpanan atau pengeluaran bagi memastikan akaun kekal berstatus aktif.

    Orang ramai boleh merujuk laman web rasmi TH di www.tabunghaji.gov.my atau talian khidmat pelanggan (THCC) di 03-6207 1919 untuk pertanyaan lanjut. – BERNAMA

  • Keyakinan perniagaan merosot pada suku ketiga 2021 – Jabatan Perangkaan

    Keyakinan perniagaan merosot pada suku ketiga 2021 – Jabatan Perangkaan

    PENIAGA lebih pesimis terhadap keadaan perniagaan mereka pada suku ketiga 2021, menurut kajian terkini Jabatan Perangkaan yang dijalankan secara suku tahunan untuk mengukur jangkaan prestasi perniagaan bagi suku tahun dan enam bulan yang akan datang.

    Berdasarkan Survei Kecenderungan Perniagaan bagi suku ketiga 2021, petunjuk keyakinan merosot kepada -21.3 peratus pada suku tahun rujukan berbanding -3.1 peratus pada suku tahun sebelumnya.

    Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata semua sektor yang diliputi menjangkakan keadaan perniagaan yang kurang menggalakkan untuk suku ketiga 2021 berikutan pandemik COVID-19 yang buruk dan berpanjangan di negara ini.

    “Petunjuk keyakinan bagi sektor perdagangan borong dan runcit merosot ke trajektori negatif dengan -39.4 peratus berbanding +5.6 peratus pada suku kedua 2021 disebabkan peniaga yang kurang keyakinan terhadap keadaan perniagaan mereka untuk tempoh tiga bulan akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, beliau berkata sektor industri dan perkhidmatan menunjukkan lebih pesimis dengan petunjuk keyakinan masing-masing menyusut kepada -11.0 peratus dan -22.8 peratus pada suku ketiga berbanding -1.5 peratus dan -6.1 peratus yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.

    Mohd. Uzir berkata, pada masa yang sama, sektor pembinaan juga menjangkakan keadaan perniagaan mereka merosot pada suku tahun rujukan dengan -45.0 peratus berbanding -30.5 peratus pada suku kedua.

    “Secara keseluruhan, imbangan bersih -12.9 peratus menunjukkan pertubuhan meramalkan pendapatan kasar mereka akan merosot, di mana 23.6 peratus pertubuhan menjangkakan hasil kasar meningkat untuk suku ketiga, manakala 36.5 peratus menunjukkan sebaliknya.

    “Pada masa yang sama, 39.9 peratus pertubuhan meramalkan hasil kasar mereka kekal sama. Dari segi pekerjaan, majoriti pertubuhan (76.5 peratus) meramal untuk mengekalkan pekerja mereka untuk suku tahun rujukan,” kata Mohd. Uzir.

    Beliau berkata sebanyak 8.5 peratus pertubuhan menjangkakan pengambilan pekerja yang lebih ramai, manakala 15.0 peratus berhasrat mengurangkan tenaga kerja seterusnya mendorong kepada imbangan bersih -6.5 peratus untuk suku ketiga 2021.

    Melihat kepada sentimen bagi enam bulan ke hadapan, Mohd. Uzir berkata, peniaga pesimis terhadap prospek perniagaan mereka bagi Julai hingga Disember 2021 dengan imbangan bersih keseluruhan -21.7 peratus berbanding +11.0 peratus bagi April hingga September 2021.

    Sama seperti jangkaan untuk tiga bulan akan datang, kesemua sektor menjangkakan prospek negatif dengan sektor yang merekodkan pesimis paling kecil adalah industri.

    Menurut tinjauan itu, sektor industri menjangkakan keadaan perniagaan merosot dari +12.5 peratus kepada -11.8 peratus untuk separuh kedua 2021.

    Pada masa yang sama, beliau berkata sektor perkhidmatan dan pembinaan menjangkakan keadaan perniagaan yang kurang memberangsangkan untuk enam bulan akan datang dengan imbangan bersih masing-masing -14.2 peratus dan -24.2 peratus berbanding +8.4 peratus dan +6.1 peratus dicatatkan bagi April hingga September 2021.

    Mohd. Uzir berkata, sektor perdagangan borong dan runcit turut meramalkan prestasi perniagaan yang mencabar dalam tempoh enam bulan akan datang dengan imbangan bersih -59.7 peratus berbanding +12.5 peratus yang direkodkan sebelumnya. – BERNAMA

  • Delta Airlines kenakan caj insurans tambahan pekerja enggan divaksin

    Delta Airlines kenakan caj insurans tambahan pekerja enggan divaksin

    SYARIKAT Delta Airlines dilapor meminta pekerjanya yang enggan divaksin membayar tambahan premium insurans kesihatan yang ditaja firma itu sebanyak AS$200 dolar (RM838) setiap bulan.

    CNBC melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ed Bastian berkata, langkah bermula November itu bagi menampung kos sekiranya pekerja mereka dimasukkan ke hospital akibat terkena jangkitan itu.

    Pekerja yang enggan divaksin juga berdepan sekatan lain termasuk diwajibkan memakai pelitup muka di dalam pejabat berkuatkuasa serta merta selain menjalani saringan Covid-19 secara mingguan bermula 12 September.

    Langkah itu adalah usaha terakhir firma Amerika Syarikat (AS) melonjakkan kadar pengambilan vaksin di negara itu.

    “Purata kos rawatan Covid-19 bagi setiap pekerja Delta adalah sebanyak AS$50,000 (RM209,525).

    “Bayaran tambahan ini diperlukan untuk menangani risiko kewangan berikutan keputusan untuk tidak mengambil vaksin untuk syarikat kami.

    “Sejak kebelakangan ini selepas munculnya varian B.1.617.2, semua pekerja Delta yang telah dimasukkan ke hospital kerana Covid-19 tidak mengambil vaksin lengkap,” katanya.

    Berapa syarikat Amerika Syarikat termasuk United Airlines telah mewajibkan pekerja mereka mendapatkan suntkan vaksin bagi melindungi daripada jangkitan varian Delta yang mudah menular.

    Presiden AS, Joe Biden juga mendesak syarikat swasta agar memberikan vaksin kepada pekerja dengan kadar segera.

    Beberapa jam selepas Delta Air mengumumkan bayaran tambahan itu, Kanada Air turut membuat pengumuman pekerja yang tidak divaksin selewat-lewatnya 30 Oktober akan berdepan dibuang kerja atau cuti tanpa gaji.

    Syarikat itu juga mengubah polisi menjadikan vaksinasi penuh sebagai syarat mengambil pekerja baharu.

  • India dijangka tingkat import minyak sawit

    India dijangka tingkat import minyak sawit

    INDIA yang merupakan negara pengimport minyak sawit terbesar dunia dijangka meningkatkan pembelian daripada pengeluar utama komoditi berkenaan, Malaysia dan Indonesia apabila musim hujan monsun yang tidak menentu di negara itu menjejaskan tanaman kacang soya serta kacang tanah.

    Memetik laporab Bloomberg, India yang juga mempunyai kepadatan penduduk kedua tertinggi di dunia bergantung kepada bekalan minyak masak dari luar negara sehingga 70 peratus.

    Kebimbangan semakin meningkat apabila musim hujan ketika ini akan menjejaskan tanaman selain berpotensi meningkatkan harga makanan, mengancam pemulihan ekonomi serta menyebabkannya terpaksa mengimport lebih banyak produk pertanian.

    Penghantaran minyak sawit akan lebih tinggi tahun ini bermula 1 November depan berbanding anggaran lapan juta tan pada 2020-2021, kata seorang peniaga veteran dan rakan urusan GGN Research, G. G. Patel.

    Beliau bagaimanapun tidak memberikan anggaran untuk tahun depan.

    India mengimport kebanyakan minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia.

    Hujan lebat di Gujarat, yang juga kawasan tanaman kacang tanah terbesar India serta di Madhya Pradesh, pengeluar kacang soya utama negara itu berpotensi mengurangkan pengeluaran.

    Peramal cuaca swasta, Skymet Weather Services Pvt pada Isnin berkata, India mungkin tidak menepati ramalan monsun biasa disebabkan hujang sekejap-kejap pada Julai dan Ogos, selain corak cuaca yang kurang baik.

    Menurut Jabatan Meterologi India, jumlah taburan hujan pada musim hujan Jun hingga September setakat ini adalah sembilan peratus di bawah paras biasa.

    Pengeluaran kacang soya pada 2021 dan 2022 akan lebih rendah dari anggaran awal sebanyak 9.2 juta tan untuk tahun sebelumnya, sementara pengeluaran kacang tanah berkemungkin turun daripada 5.4 juta tan.

    Kementerian Pertanian negara itu juga menjelaskan, jumlah kawasan yang terkesan akibat fenomena hujan lebat adalah 18.8 juta hektar pada 20 Ogos lalu berbanding 19 juta hektar tahun sebelumnya.