Category: Ekonomi

  • TRP bantu kurangkan beban pinjaman individu, PKS

    TRP bantu kurangkan beban pinjaman individu, PKS

    AGENSI Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sedang membangunkan program bantuan sementara atau Temporary Relief Programme (TRP) bagi mengurangkan beban pinjaman individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

    Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, TRP diwujudkan bagi mereka yang masih menghadapi kesukaran memulihkan aliran tunai mereka.

    Jelas beliau, ini kerana kumpulan tersebut menghadapi masalah itu selepas berakhirnya bantuan bayaran balik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) akibat pendapatan yang terus terjejas.

    “Maklumat terperinci berkenaan program ini akan diumumkan dalam masa terdekat. Peminjam akan turut menerima nasihat kewangan daripada AKPK termasuklah dari segi perancangan kewangan yang bersesuaian.

    “Ia bersesuaian dengan keperluan peminjam, pendidikan berkenaan pengurusan kewangan dan juga rujukan kepada agensi-agensi lain melalui Rangkaian Sinergi Sosial (Social Synergy Network) bagi membantu meningkatkan keupayaan dan pendapatan peminjam.

    “Oleh itu, adalah tidak benar tanggapan bahawa terdapat golongan yang akan tercicir terutamanya daripada kalangan mereka yang terjejas, sekiranya bantuan moratorium pinjaman berakhir atau tidak dilaksanakan dengan lebih meluas seperti penghapusan caj faedah secara keseluruhan,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) yang meminta kementeriannya menyatakan implikasi faedah terakru kepada peminjam menerusi moratorium.

  • Keyakinan pendeposit terhadap TH kembali meningkat

    Keyakinan pendeposit terhadap TH kembali meningkat

    KEYAKINAN pendeposit terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) dilihat kembali pulih selepas beberapa isu berkaitan institusi tersebut diselesaikan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

    Beliau berkata, satu ketika dahulu pendeposit mengeluarkan wang mereka apabila wujud dakwaan berlaku penyelewengan dan sebagainya, namun tindakan yang sama tidak lagi berlaku.

    “Kami sedang menyusun dan merangka strategi untuk memantapkan lagi pengurusan TH, terbaru TH Plantations telah menukar pengurusan baharu.

    “Insya-Allah projek berkaitan operasi ladang TH yang menjana keuntungan besar itu juga akan lebih berdaya saing, maju dan segala keuntungan akan dipulangkan kepada pendeposit,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Outreach Rakan Setia Komuniti Orang Kena Pengawasan (OKP) Dadah di Kampung Gong Tengah, Pengkalan Chepa, hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, ketika ini TH memiliki kira-kira sembilan juta pendeposit, jumlah tersebut turut memberi gambaran keyakinan masyarakat kepada institusi itu.

    “Ini juga memberi gambaran keyakinan bahawa TH sebuah institusi yang menjaga bukan sahaja persiapan ibadat haji malah satu platform pelaburan kepada orang Islam di negara ini.

    “Kami akan terus tingkatkan daya saing dari segi pengurusan untuk menjana keuntungan seterusnya memberi pulangan kepada masyarakat,” katanya. – BERNAMA

  • Ringgit dijangka kukuh dalam jajaran ketat minggu hadapan

    Ringgit dijangka kukuh dalam jajaran ketat minggu hadapan

    RINGGIT dijangka mengukuh tetapi bergerak dalam jarak yang ketat antara 4.1700 dan 4.1800 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu hadapan berdasarkan sentimen pasaran yang bercampur-campur, kata seorang penganalisis.

    Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kenaikan harga komoditi akan membantu menyokong ringgit memandangkan ekonomi negara akan mendapat keuntungan daripada harga minyak mentah, gas asli cecair dan minyak sawit mentah yang lebih tinggi.

    “Bagaimanapun, situasi di China yang berkaitan dengan isu pasaran hartanahnya termasuk perkembangan geopolitik antara AS dan China dalam kaitannya dengan Taiwan cenderung memberi tekanan ke atas pasaran mata wang baru muncul,” katanya kepada Bernama.

    Oleh itu, beliau berpendapat pelabur biasanya akan mencari perlindungan dalam mata wang komoditi selamat.

    Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd melaporkan ringgit mungkin mengumpulkan beberapa momentum dan kenaikan berbanding dolar AS dalam waktu terdekat berdasarkan keyakinan pada pembukaan semula ekonomi Malaysia, walaupun siling hutang AS mampu mencetuskan beberapa permintaan untuk komoditi selamat.

    “Selanjutnya, mulai November dan seterusnya, arah ringgit akan dipengaruhi oleh faktor luaran seperti pengumuman Rizab Persekutuan, ketidaktentuan ekonomi China, hubungan perdagangan AS-China dan situasi Covid-19 global,” katanya.

    Sepanjang minggu ini, ringgit kebanyakannya lebih tinggi berbanding dolar AS disebabkan peningkatan sentimen ke atas mata wang tempatan dan sentimen pelabur yang berhati-hati menjelang pengeluaran data gaji bukan ladang AS pada Jumaat.

    Secara mingguan, ringgit naik 20 mata asas (bps) kepada 4.1750/1800 berbanding dolar AS pada Jumaat daripada 4.1770/1810 seminggu sebelumnya.

    Unit tempatan itu didagangkan bercampur-campur dengan mata wang utama yang lain.

    Ia meningkat berbanding euro kepada 4.8292/8350 daripada 4.8361/8408 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.7320/7368 daripada 3.7580/7616.

    Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0771/0810 daripada 3.0756/ 0788 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.6880/6948 daripada 5.6373/6427. – Bernama

  • McDonald’s Malaysia tawar tiga juta cawan kopi percuma kepada individu divaksinasi

    McDonald’s Malaysia tawar tiga juta cawan kopi percuma kepada individu divaksinasi

    McDonald’s Malaysia menawarkan tiga juta cawan kopi Americano percuma kepada individu yang telah divaksinasi bagi menyebarkan semangat positif sempena Bulan Kopi Antarabangsa sepanjang Oktober ini.

    McDonalds’s Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan baucar untuk McCafé Americano diagihkan kepada individu yang menerima vaksin di 75 pusat pemberian vaksin terpilih di seluruh negara mulai September lepas dan minuman tersebut boleh ditebus dengan mana-mana pembelian produk McDonald’s sehingga 31 Dis ini.

    Restoran khidmat segera itu juga memperkenalkan 3.5 juta cawan eksklusif #KitaBoleh untuk McCafé di seluruh negara bagi menceriakan rakyat Malaysia dan mengingatkan mereka agar terus bersama-sama berdiri teguh dalam susah dan senang.

    “Cawan McCafé dengan mesej semangat #KitaBoleh, boleh didapati sempena Bulan Kopi Antarabangsa pada bulan ini sebagai peringatan kepada rakyat Malaysia untuk terus menjalani kehidupan dan menikmati kopi kegemaran mereka,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Azmir Jaafar berkata pemberian baucar percuma McCafé Americano adalah sebagai tanda terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menjalankan tanggungjawab dengan mendapatkan vaksinasi COVID-19.

    “Kami komited untuk menyokong masyarakat dengan apa jua cara dan salah satunya adalah melalui minuman kopi yang sememangnya menjadi kegemaran pelanggan kami,” katanya.

    Untuk terus memberikan keseronokan kepada rakyat Malaysia, McDonald’s juga memaklumkan bahawa pelanggan hanya perlu membayar RM1 untuk menukar minuman mereka kepada Iced Latte dengan setiap pembelian McValue Meal.

    Selain itu, McDonald’s Malaysia juga menawarkan promosi McCafé tambahan di aplikasi McDonald’s sepanjang Oktober termasuk RM1.99 untuk Iced Latte bersaiz medium, diskaun 50 peratus untuk minuman terpilih McCafé dan tawaran istimewa untuk kek McCafé terpilih.

    Untuk maklumat lanjut mengenai tawaran menarik McCafé sepanjang Oktober ini, pelanggan boleh melayari www.mcdonalds.com.my/promotion atau ke aplikasi McDonald’s yang boleh dimuat turun di Google Play atau Apple Store.

    Sepanjang 39 tahun McDonald’s di Malaysia, ia memberi perkhidmatan kepada lebih 13.5 juta pelanggan sebulan di lebih 300 restoran di seluruh negara dan mempunyai lebih 14,000 kakitangan di semua rangkaian restorannya. – BERNAMA

  • Tiada syor cukai baharu bidang e-dagang – Annuar

    Tiada syor cukai baharu bidang e-dagang – Annuar

    KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) tidak bercadang untuk mengesyorkan sebarang bentuk cukai baharu bagi bidang e-dagang, Dewan Negara diberitahu hari ini.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kementerian itu mahu memberikan galakan kepada orang ramai menyertai bidang e-dagang.

    “Dasar percukaian di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan dan biasanya apa-apa dasar berkaitan percukaian akan diumumkan pada sesi belanjawan setiap tahun.

    “Namun begitu, setakat ini tiada sebarang bentuk cukai baharu yang disyorkan kementerian (KKMM) malah kita ingin berikan galakan kepada penyertaan bidang e-dagang ini. Jadi, tiada sebarang bentuk cukai baharu yang ingin dicadangkan kementerian,” katanya pada sesi soal jawab.

    Beliau menjawab soalan tambahan Senator N. Balasubramaniam sekiranya kerajaan bercadang mengenakan cukai kepada mereka yang berniaga secara dalam talian.

    Sementara itu, Annuar berkata, langkah utama kerajaan ketika ini adalah memastikan kesalinghubungan dapat mencapai 100 peratus untuk rakyat, selain menjaga kualiti kesalinghubungan itu.

    “Banyak tempat ada kemudahan jalur lebar tetapi kualiti rendah, maka program kerajaan sekarang ditumpukan kepada ‘roll out’ program JENDELA (Jalinan Digital Negara) bagi memastikan 98 peratus daripada kawasan berpenduduk mendapat liputan 4G dan kita berpindah daripada bekalan 3G.

    “Ini program-program yang sedang berjalan dan juga Point of Presence (PoP)…sekolah-sekolah yang mendapat bekalan secara tidak stabil, sekarang ada program fiberization untuk 4,000 sekolah terpilih,” katanya.

    Beliau berkata, terdapat juga program lain yang telah dijalankan bagi membolehkan usaha berkenaan diperluas ke kawasan desa dan luar bandar, antaranya kempen e-dagang untuk perusahaan kecil dan sederhana serta mikro (PKSM) yang dilaporkan memberi manfaat kepada 204,262 pesertanya.

    Selain itu, Annuar berkata, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ditugaskan untuk menggerakkan program penggalakan terhadap penguasaan sistem pembayaran teknologi kewangan (Fintech), e-dagang termasuk aplikasi lain melalui program berterusan dan tersusun selain menambah jumlah pusat digital ekonomi di seluruh negara.

    “Usaha-usaha ini terus dipertingkatkan bagi memastikan anak-anak muda kita menguasai bidang-bidang ini (ekonomi e-dagang),” katanya.

    Beliau menjawab soalan asal Balasubramaniam yang ingin tahu usaha kerajaan membentuk ruang ekonomi yang luas dengan melibatkan kerjasama anak muda dalam ekonomi e-dagang secara maya dan digital melalui Fintech secara dalam talian. – BERNAMA

  • Hutang kerajaan kekal terkawal, RM965.3 bil setakat Ogos

    Hutang kerajaan kekal terkawal, RM965.3 bil setakat Ogos

    TIMBALAN Menteri Kewangan I, Mohd. Shahar Abdullah memberitahu, kedudukan hutang kerajaan ketika ini adalah kekal terkawal meskipun pinjaman dibuat bagi membiayai pakej-pakej bantuan dan projek pembangunan bagi menyokong objektif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

    Beliau menjelaskan, pada akhir Ogos 2021, hutang negara mencatat RM965.3 bilion atau 63.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    Sementara hutang statutori katanya, yang merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan MITB (Bil Perbendaharaan Islam Malaysia) mencatatkan 59.2 peratus daripada KDNK sehingga Ogos 2021.

    “Ini masih berada di bawah 60 peratus daripada KDNK yang telah ditetapkan,” katanya pada sesi penggulungan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Shahar berkata perbelanjaan yang dilakukan kerajaan sudah pasti memberi impak berganda kepada ekonomi rakyat.

    Bagaimanapun, katanya beberapa langkah akan diambil untuk meringankan beban hutang kerajaan termasuk melaksanakan reformasi fiskal.

    Ia termasuk melalui Akta Tanggungjawab Fiskal dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana untuk memacu langkah konsolidasi fiskal pasca krisis.

    “(Langkah itu merangkumi) Mengkaji dan menambah baik sistem percukaian sedia ada, memperluaskan asas hasil, memanfaatkan potensi sektor tidak formal, mengurangkan amalan kurang lapor dan isytihar, mengurangkan ketirisan cukai serta menambah baik pentadbiran cukai,” katanya.

  • Belanjawan 2022: MPOB, MPOC mahu peruntukan lebih besar

    Belanjawan 2022: MPOB, MPOC mahu peruntukan lebih besar

    MAJLIS Minyak Sawit Malaysia (MPOC) memerlukan lebih banyak peruntukan bagi industri kelapa sawit dalam meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk komoditi itu dan pengeluaran lebih banyak produk hiliran.

    Pengarah Bahagian Sains, Alam Sekitar dan Kemampanan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Ruslan Abdullah berkata, Malaysia menghasilkan sekitar 20 juta tan metrik minyak sawit setiap tahun, ia menghasilkan pendapatan sekitar RM70 bilion untuk Malaysia tetapi peruntukan untuk industri berkenaan sangat kecil.

    “Tidak sampai satu peratus pun. Ia tidak adil selepas apa yang dilakukan oleh kami, jangan bercakap mengenai pelaburan tanaman lain seperti durian atau buluh. Minyak sawit menghasilkan keuntungan yang tinggi.

    “Namun, kami hanya berurusan dengan komoditi sekarang, keuntungan sebenar adalah daripada industri hiliran,” katanya.

    Ruslan berkata, apabila melihat syarikat disenarai di Fortune 500, kebanyakan daripada mereka sebenarnya bergantung pada komoditi, bagi Malaysia melakukannya, ia memerlukan lebih banyak dana.

    Beliau juga menekankan bahawa negara ini memiliki institusi R&D terbaik di dunia dalam perkara berkaitan keperluan minyak sawit.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, industri minyak sawit adalah salah satu penyumbang utama pertumbuhan ekonomi Malaysia dan industri ini memberi input kepada pelbagai produk hiliran bernilai tambah tinggi dan menyumbang kepada pendapatan eksport negara.

    “Bagaimanapun, kami masih menghadapi kekurangan tenaga kerja, kami berharap kerajaan dapat mengatasi masalah ini dan berharap akan wujud inisiatif atau program yang membantu mempercepatkan mekanisme dan automasi di sektor kelapa sawit untuk mengurangi kebergantungan sektor perladangan terhadap tenaga kerja dan membantu meningkatkan produktiviti,” katanya.

    Beliau berkata, bertahun-tahun MPOB melakukan R&D, termasuk cara inovatif untuk menuai dan memproses buah kelapa sawit serta meningkatkan mekanisme, pertanian dan automasi yang tepat.

    “Ia telah membangunkan lebih daripada 40 jenis mesin dan peralatan mekanisme untuk penggunaan operasi perladangan termasuk alat penuaian kelapa sawit serta mencari cara untuk meningkatkan prestasi hasil.

    “Bagi usaha kemampanan kami dalam industri ini, kami mengharapkan kerajaan memperuntukkan sejumlah dana untuk membiayai pekebun kecil untuk mendapatkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan perbelanjaan lain yang berkaitan dengan MSPO seperti yuran pensijilan, latihan yang berkaitan dengan MSPO serta peralatan pelindung diri,” katanya.

    Ahmad Parveez ketika bercakap mengenai peningkatan dalam permintaan minyak sawit memberitahu kerajaan sewajarnya memberikan peruntukan untuk meningkatkan pelaksanaan program biodiesel bagi sektor pengangkutan dan perindustrian.

    Tahun lalu, sektor industri perladangan dan komoditi menyumbang sekitar 12 peratus atau hampir RM100 bilion kepada pendapatan negara, yang mana, RM70 bilion datang daripada industri kelapa sawit.

    Semasa pembentangan Belanjawan 2021, kementerian berkaitan hanya menerima peruntukan RM729.39 juta untuk semua komoditi yang merangkumi minyak sawit, getah, koko dan kenaf.

    Persatuan Minyak Sawit Malaysia telah menekankan bahawa kerajaan perlu membenarkan industri ini untuk mengambil 32,000 pekerja asing bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja semasa.

    Ramai pekerja asing meninggalkan Malaysia untuk pulang sekitar waktu perintah kawalan pergerakan 1.0, yang berlaku pada Mac 2020.

    Sebilangan besar pekerja ini tidak mahu kembali ke Malaysia atau menghadapi masalah untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan bagi bekerja semula dan ini mengakibatkan kekurangan pekerja yang agak serius dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perladangan.

    Hasil minyak sawit telah dipengaruhi secara negatif oleh kekurangan pekerja ini sehingga menyebabkan penurunan output KDNK sektor pertanian pada 2020 walaupun harga minyak sawit mentah meningkat.

    “Pemulihan dalam situasi kekurangan tenaga kerja juga akan diterjemahkan kepada pendapatan cukai yang lebih tinggi bagi kerajaan, berdasarkan lonjakan dalam pengeluaran,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Nageeb Wahab.

    Beliau juga mencadangkan harga ambang yang lebih tinggi pada RM3,500 satu tan untuk cukai keuntungan luar biasa (WPT) minyak sawit mentah (MSM) berbanding RM2,500 tan sekarang ini yang dikenakan kepada pekebun.

    Sekarang ini, syarikat di Semenanjung dikenakan WPT sebanyak 15 peratus setelah harga MSM mencapai RM2,500 setan atau lebih tinggi, sementara syarikat yang berpusat di Sabah dan Sarawak dikenakan WPT berjumlah 7.5 peratus selepas harga MSM mencecah RM3,000 setan atau lebih tinggi.

    Belanjawan 2022 akan dibentangkan di Parlimen pada 29 Oktober 2021. – Bernama

  • Facebook rugi RM29.22 bilion akibat gangguan 6 jam

    Facebook rugi RM29.22 bilion akibat gangguan 6 jam

    KETUA Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg mengesahkan syarikat itu kerugian RM29.22 bilion selepas tiga platform media sosial milik mereka mengalami gangguan selama lebih enam jam, semalam.

    Sejak tengah malam tadi, platform Facebook, Instagram dan WhatsApp yang dimiliki oleh syarikat Facebook dilaporkan mengalami masalah untuk diakses secara serentak di seluruh dunia.

    Masalah yang disangka hanya berlaku dalam tempoh yang singkat ini dilihat telah berlarutan sehingga hampir enam jam sekali gus menjadi gangguan paling lama pernah berlaku dalam sejarah Facebook.

    Akibat masalah itu, Mark Zuckerberg yang juga pemegang saham terbesar syarikat beliau dilaporkan terpaksa menanggung rugi sebanyak AS$7 bilion (RM29.22 bilion) selepas saham syarikat Facebook turun sekitar lima peratus.

    Bahkan, kedudukannya dalam senarai manusia terkaya dunia juga turun ke tempat keenam berikutan insiden yang berlaku pada platform yang digunakan ramai ini.

    Sebagai rekod, ini adalah kali ketiga pada tahun ini platform Facebook mengalami masalah gagal untuk diakses oleh pengguna seluruh dunia.

    Perkhidmatan media sosial Facebook, WhatsApp dan Instagram kembali pulih selepas mengalami gangguan selama hampir enam, sejak malam tadi.

    Ketiga-tiga perkhidmatan yang dimiliki Facebook itu tidak dapat diakses melalui web atau aplikasi telefon pintar.

    Downdetector, yang mengesan masalah itu, berkata itu adalah kegagalan sistem terbesar pernah berlaku dengan 10.6 juta laporan masalah dilaporkan di seluruh dunia.

    Kali terakhir Facebook mengalami gangguan pada tahun 2019.

    Ketika itu, Facebook dan aplikasinya yang lain tidak dapat diakses di seluruh dunia dalam tempoh lebih 14 jam.

  • PSU selamatkan 2.9 juta pekerja, 300,000 majikan

    PSU selamatkan 2.9 juta pekerja, 300,000 majikan

    KIRA-KIRA 2.9 juta pekerja dan lebih 300,000 majikan dapat diselamatkan menerusi Program Subsidi Upah (PSU) dengan peruntukan berjumlah RM18 bilion yang disalurkan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga kini.

    Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, pelaksanaan PSU merupakan satu pendekatan yang amat baik bagi membantu majikan dan pekerja yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan amat disambut baik oleh golongan berkenaan.

    “Kita lihat sejak PKP pertama sehingga kini, PSU jadi program cukup popular dalam kalangan warga kerja dan industri sehingga permintaan cukup tinggi daripada industri untuk memastikan kerajaan membekalkan peruntukan cukup bagi ketiga-tiga PKP,” katanya.

    PSU M Saravanan
    M SARAVANAN

    Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) di Dewan Rakyat berhubung impak peruntukan besar RM18 bilion untuk PSU bagi pekerjaan yang dapat diselamatkan.

    Sebelum ini, media melaporkan Perkeso membayar lebih RM18 bilion dalam bentuk subsidi upah, elaun pencarian pekerjaan melalui insentif yang disediakan di bawah tujuh pakej rangsangan, setakat 6 Sept lepas.

    Menjawab soalan asal Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) berhubung jumlah penganggur, Saravanan berkata Laporan Survei Tenaga Buruh dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan pada suku kedua tahun ini, kadar pengangguran adalah sebanyak 4.8 peratus iaitu seramai 768,700 orang.

    Bagaimanapun Saravanan berkata, pada Julai tahun ini, terdapat peningkatan bilangan penganggur seramai 9,500 orang menjadikan jumlah penganggur bersamaan dengan 778,200 orang. – BERNAMA

  • MARA Liner sedia bantu pulih industri pelancongan negara – Mahdzir

    MARA Liner sedia bantu pulih industri pelancongan negara – Mahdzir

    MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) menerusi syarikat pengangkutannya, MARA Liner Sdn Bhd akan membantu memulihkan industri pelancongan di negara ini dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan ke destinasi di bawah projek rintis gelembung pelancongan.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pada masa ini, MARA Liner menyediakan sebanyak 174 trip perjalanan seminggu dari Kuala Lumpur ke Kuala Perlis, Perlis bagi menyokong gelembung pelancongan Langkawi yang dilancarkan 16 Sept lepas.

    “Sudah ada penggunaan bas kita untuk pelancongan tetapi dalam gelembung pelancongan. MARA boleh membantu meningkatkan pelancongan negara kita dan untuk tujuan itu, kita juga telah mewajibkan bahawa semua pemandu bas MARA Liner mendapatkan dua dos vaksin COVID-19.

    “Saya kira dengan keadaan COVID-19 di peringkat negara semakin menurun dan ada negeri telah ke Fasa Dua atau Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara, saya yakin bahawa akhirnya nanti sekiranya dapat merentas negeri, kita dapat memulihkan pelancongan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Bas MARA Liner di Kuala Nerang, hari ini.

    Beliau berkata, apabila industri pelancongan negara pulih ia sekali gus akan memberi nafas baharu kepada industri pengangkutan terutama bagi syarikat perkhidmatan bas seperti MARA Liner untuk kembali beroperasi seperti sedia kala.

    Sementara itu, Mahdzir berkata, walaupun terjejas dengan penularan COVID-19 dan sekatan rentas negeri, perkhidmatan bas MARA Liner tetap beroperasi seperti biasa bagi membantu menyediakan pengangkutan terutama di kawasan luar bandar.

    Beliau berkata, pada 2019, MARA Liner mencatatkan jumlah penumpang mencecah 83,000 seluruh negara sebelum menurun kepada 52,000 pada tahun lepas dan mencatatkan seramai 12,000 penumpang hingga Ogos lepas.

    “Yang paling penting sekali ialah bagaimana kita dapat membantu untuk masyarakat di luar bandar ini mendapat perkhidmatan pengangkutan yang boleh setanding dengan kawasan bandar.

    “Kita menyediakan perkhidmatan untuk rakyat. Bukan sahaja di Padang Terap tetapi seluruh negara. Maknanya, kawasan-kawasan yang sukar dari segi pengangkutan, MARA Liner ambil tanggungjawab itu,” katanya.

    Mengulas mengenai penyerahan dua bas baharu kepada bengkel MARA Liner di sini, Mahdzir berkata, ia akan memberi manfaat kepada lebih 200,000 penduduk setempat dan menambah baik operasi bagi laluan Kuala Nerang-Terminal Bas Naka, di sini. – BERNAMA