Category: Rencana

  • Peroleh pendapatan RM7,000 sebulan hasil projek ‘kerang lekir’

    Peroleh pendapatan RM7,000 sebulan hasil projek ‘kerang lekir’

    KETIKA masih ramai lagi sedang lena diulit mimpi, Mohd Salleh Yunus pula menjadikan rutin untuk bangun seawal pukul tiga pagi untuk bergerak ke ‘kebun’ kerang di perairan Lembah Lekir bagi menyauk ‘emas hitam’ yang menjadi sumber rezeki utamanya sejak tiga tahun lepas.

    Dengan hanya berbekalkan sampan serta tangguk bergalah atau kor bagi menyauk kerang, lelaki berusia 57 tahun ini mahu segera sampai ke kebun seluas kira-kira 21 hektar, yang mengambil masa kira-kira tiga kilometer atau lima minit dari Jeti Kuala Kayan bagi menyelesaikan tugas hariannya itu sebelum matahari naik dan air laut mula surut.

    Sebaik sampai, bapa kepada enam orang anak ini terus membenamkan kor dari atas sampan untuk menyauk kerang di ‘kebun’ yang diusahakan bersama tujuh rakannya, berbekalkan kemahirannya menggunakan teknik pusingan.

    Mengakui bukan tugas mudah menaikkan kerang memandangkan hanya saiz tertentu sahaja yang dapat disauk menggunakan peralatan berkenaan, Mohd Salleh yang berpengalaman hampir 25 tahun sebagai nelayan, mampu mendapat hasil kira-kira dua tan kerang setiap kali turun menyauk bersama rakan-rakan lain.

    “Permintaan kerang sentiasa ada bahkan saya tidak susah menjualnya kerana peraih, pemilik restoran sudah ada di jeti untuk membeli hasil yang diperolehi. Kerana itu, saya perlu menyauk dengan cepat sebelum air surut disebabkan peraih, peminat kerang sudah menunggu di jeti seawal pukul 8 pagi. 

    “Hasil kerang boleh dijual pada harga RM8 sekilo (bergantung pada permintaan) dan sebulan saya boleh memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM2,800 dengan hanya hasil jualan kerang daripada kebun yang diternak ini tanpa perlu menjaring ikan,” katanya kepada Bernama. 

    Sambil menarik nafas lega dan melemparkan pandangannya jauh ke tengah laut,  kehidupan lelaki berkulit sawo matang dan berasal dari Teluk Intan sebelum ini sebenarnya tidaklah selesa sebagaimana yang dinikmati ketika ini.

    Boleh diibaratkan seperti ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, pendapatannya sebelum ini sebagai nelayan paling tinggi pun hanyalah sekitar RM1,000 lebih sebulan, namun semuanya mula berubah sebaik beliau menyertai projek pembiakan dan penternakan kerang yang dikendalikan Jabatan Perikanan Negeri Perak.

    Dinamakan Kebun Kerang Lekir, projek ini memberi manfaat kepada golongan B40 nelayan pantai sekitar kawasan tersebut menggunakan kaedah penandaan lot  mesra pukat hanyut. Projek ini adalah  sebahagian daripada pelan Lembah Makanan Lekir dengan melibatkan pewartaan kawasan seluas 4,538 hektar perairan Lekir. 

    Ketika ditanya bagaimana boleh terlibat dalam projek itu, Mohd Salleh berkata semuanya bermula apabila hasil pendapatannya tidak menentu sehingga membuatkan beliau bertekad menyertai projek ternakan kerang sebaik disarankan Jabatan Perikanan dalam satu perjumpaan.

    Nyata keputusannya tidak silap apabila beliau yang sebelum ini hanya bergantung kepada hasil jualan benih kerang dan menjaring ikan, akhirnya berubah setelah mendapat bantuan serta latihan daripada Jabatan Pertanian untuk menternak kerang dengan lebih sistematik sehingga memperoleh pendapatan stabil dan tetap. 

    Bagi Projek Kebun Kerang Lekir, peserta disyaratkan daripada golongan nelayan B40 berusia 18 tahun ke atas. Mereka akan diberi kursus pengurusan ternakan kerang selama sehari sehingga tiga hari merangkumi taklimat teori, demontrasi mengutip, menggred dan mencuci kerang. 

    “Sebelum ini, apabila ada benih kerang di gigi-gigi laut, adalah hasil… tapi jika tiada,  memang keringlah pendapatan pada bulan itu dan terpaksa bergantung dengan hasil menjaring ikan. Tetapi, tidak lagi selepas menyertai projek tersebut.

    “Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Jabatan Perikanan. Pelbagai peralatan, ilmu menternak kerang diberikan kepada kami yang secara tidak langsung meringankan beban nelayan di sini untuk membeli peralatan bagi mencari rezeki dengan kerang,” katanya. 

    Selain Lekir, terdapat beberapa lagi projek ternakan kerang di Perak iaitu di Kuala Gula, Kuala Sepetang dan Kuala Kurau.

    Hakikatnya, manfaat yang diperoleh daripada projek Kebun Kerang Lekir sejak dimulakan pada tahun 2020 dan kini mempunyai sebuah lot tidak hanya dinikmati Mohd Salleh tetapi hampir kesemua lapan peserta termasuklah seorang bapa kepada dua anak, Mohamad Mohamed Idris, 48 berasal dari Kampung Parit Jerman, Sitiawan yang masih meneruskan pekerjaannya sebagai nelayan.

    Beliau yang juga penternak udang di perairan Lekir, mengakui tidak menyesal menyertai projek ternakan kerang yang berjaya membantu meningkatkan dan menstabilkan pendapatan bulanannya sebanyak RM7,000.

    “Sekarang ini, saya mempunyai ilmu menghasilkan kerang dan pendapatan lebih stabil. Selain ilmu, saya juga seronok apabila pihak jabatan turut menyediakan kelengkapan secukupnya kepada nelayan… misalnya, sebelum ini jeti kami sangat kecil dan menunggu masa untuk roboh.

    “Namun, kini jeti kami dibesarkan sehinggakan ‘grader kerang’ iaitu meja untuk membuat persiapan dan peti ais turut disediakan. Saya juga gembira anak muda kampung ini tidak memilih kerja dan turut terlibat dalam projek tersebut,” katanya yang turut mengharapkan lebih ramai lagi golongan belia turut serta dalam projek berkenaan. 

    Mengulas mengenai projek kebun kerang, Timbalan Pengarah Perikanan Negeri Perak Albert Apollo Chan berkata, projek itu adalah antara yang terbesar di negara ini dengan hasilnya mampu menampung lebih sebahagian daripada keperluan Semenanjung Malaysia terutama Melaka, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan. 

    “Selain diberi kursus, peserta turut dilengkapi dengan lesen menternak dan mengutip benih kerang serta peralatan yang diluluskan sepanjang penternakan dijalankan,” katanya yang turut menambah setiap lot jika diusahakan secara konsisten dan  mengikut prosedur amalan yang betul boleh menghasilkan pendapatan sehingga RM1 juta setahun. 

    Menurut Albert, projek kerang Lekir banyak membantu nelayan pantai di kawasan berkenaan yang sebelum ini sering bergelut dengan masalah pendapatan tidak stabil khususnya ketika musim tengkujuh yang tidak membolehkan mereka turun ke laut. 

    Perairan Lekir merupakan antara lokasi terbaik dan sesuai di negara ini untuk pembenihan kerang dan menghasilkan kerang premium. Kerang yang dihasilkan di perairan ini boleh mencapai saiz sehingga 45 milimeter (mm) manakala benihnya pula boleh mencapai mutu terbaik berikutan kualiti air dan kesesuaian suhu kawasan tersebut. 

    Pada tahun 2022, pengeluaran kerang daripada Kebun Kerang Lekir adalah berjumlah 322 tan metrik yang bernilai RM3.7 juta.

    Bagi pengeluaran benih kerang pula pada tahun 2021, hasil pengeluaran mencecah 499 tan metrik bernilai RM11.5 juta.

    Kebun Kerang Lekir pada tahun 2020 pernah mencatat pengeluaran benih kerang tertinggi iaitu 1,202 tan metrik. Di negara ini terdapat dua lagi projek kebun kerang iaitu di Pulau Pinang dan Melaka.

  • Lebih 300 artifak menarik ketamadunan Islam dipamer di Jeddah

    Lebih 300 artifak menarik ketamadunan Islam dipamer di Jeddah

     TIDAK  dapat disangkal, Kiswah – kelambu hitam yang menutupi Kaabah – adalah antara yang paling menarik perhatian pengunjung di Islamic Arts Biennale, pameran kesenian Islam yang pertama seumpamanya pernah diadakan, berlangsung selama empat bulan hingga esok di sini.

    Keunikan dan keindahan kelambu sutera hitam itu memukau mata yang melihat. Dipercayai diperbuat daripada 47 helai kain sutera asli, Kiswah menampilkan sulaman benang emas. Lapisan luar kain itu dijahit menggunakan sutera mentah seberat 670 kilogram.

     Dijadual diadakan dua tahun sekali, Islamic Arts Biennale yang pertama itu – dihoskan oleh Diriyah Biennale Foundation (DBF) dan dianjurkan dengan bantuan Kementerian Kesenian Arab Saudi – berlangsung di Terminal Haji, Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah

    Lebih 300 artifak daripada ketamaduan Islam dipamerkan di venue seluas 12 kilometer persegi, merangkumi lima galeri dan dua pavilion.

    Bahan bersejarah terbabit, dipinjamkan oleh lebih 40 institusi antarabangsa, turut merangkumi beberapa artifak mengagumkan seperti 30 manuskrip daripada daun bertulis ayat-ayat al-Quran versi terawal yang dipercayai ditulis lebih 1,000 tahun lalu.

    Satu lagi artifak menarik ialah rab’ah, iaitu kotak al-Quran daripada kayu yang dihasilkan oleh Hasan Qutlubak, dipercayai antara bahan bersejarah yang jarang ditemukan terselamat, dari separuh pertama abad kelapan atau ke-14. Bahan pameran lain termasuk kaki dian loyang, bertarikh 1317-1318 yang diperbuat di Iraq, bagi menghiasi  Masjid Nabawi di Madinah. 

    “Semasa kami mula merancang untuk mengadakan pameran yang pertama seumpamanya ini, kami tahu pameran ini memerlukan pemikiran baharu tentang sumbangan kesenian Islam terhadap kreativiti berskala dunia, dan tentang kepelbagaian serta nuansa pengalaman orang Islam selama ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif DBF Aya Al Bakree lapor BERNAMA.

    “Institusi serantau dan global yang mengumpul sebahagian daripada artifak yang tidak pernah dipamerkan sebelum ini, telah memberi sumbangan besar kepada acara ini, khususnya pameran istimewa kami ‘Al-Madar’ (The Orbit) yang menonjolkan peranan penting yang dimainkan oleh institusi terbabit dalam memelihara dan mempromosi warisan budaya,” tambah beliau.

    Sumayya Vally, Pengarah Kesenian  Islamic Arts Biennale 2023 dan seorang daripada empat kurator pameran itu, berkata tema pameran “Awwal Bait” (First House), merujuk kepada Rumah Pertama Allah, iaitu Kaabah di Makkah yang merupakan tapak paling suci dalam Islam dan menjadi arah solat buat seluruh umat Islam di dunia, tidak kira di mana mereka berada. 

    “Kami memilih tema ini untuk menunjukkan kepada dunia bagaimana Kaabah itu menyatupadukan umat Islam, mengikat mereka secara rohani dan memupuk semangat kemasyarakatan yang kukuh.

    “Pameran ini dibahagikan kepada tiga seksyen bagi membolehkan pengunjung benar-benar memahami tema utama. Seksyen pertama ialah tentang kiblat atau arah (solat umat Islam) dan dipamerkan di galeri. Seksyen kedua ialah Hijrah dan dipamerkan di kedua-dua pavilion, sementara seksyen ketiga ialah Al-Madar, platform terkini yang mengintergrasikan serta menghubungkan semua institusi dan koleksi mereka di seluruh dunia,” jelas beliau.

    Pelawat turut berpeluang melihat tiang kayu asal Kaabah – dipamerkan di sebuah daripada lima galeri – yang dibuat pada tahun 683 ketika pemerintahan Khalifah Abdullah Al-Zubair,

    Tiang itu diperbuat daripada kayu jati dan merupakan antara satu daripada tiga tiang di dalam Kaabah yang menyokong siling bawah. Amat mengagumkan kerana sekalipun telah berusia lebih 1,300 tahun, tiang itu masih kelihatan baharu.

    Pelbagai hasil seni daripada artis Islam kontemporari seperti  M’barek Bouhchichi dan Beya Othmani juga dipamerkan di kesemua galeri.

    Sementara itu, dua pavilion – Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah – menampilkan pelbagai bahan bersejarah dari dua tapak paling suci umat Islam, iaitu Masjidil Haram di Makkah dan  Makam Nabi Muhammad SAW di Masjid Nabawi, Madinah.

    Kurator Islamic Arts Biennale 2023 Dr Julian Raby yang juga Pengarah Emeritus National Museum of Asian Art, Smithsonian Institution di Washington DC, berkata koleksi yang dipamerkan di pavilion memberi peluang pelawat melihat sepintas lalu “Haramain” (dua kota suci – Makkah dan Madinah) pada masa lalu dan sekarang.

    “Kami mahu mengimbas perjalanan pertama Nabi Muhammad dan pengikut setia baginda dari Makkah ke Madinah serta bagaimana hijrah itu menandakan bermulanya era Islam, iaitu kalendar Hijrah.

    “Menerusi pavilion ini, kami juga mahu meraikan bagaimana ibadat haji mewarnai kehidupan budaya Hijaz, sebuah wilayah di barat Arab Saudi, apabila jutaan jemaah dari seluruh dunia datang dan membawa cara mereka beribadat, juadah serta kebudayaan mereka ke Jeddah dan Haramain,” katanya.

    Antara artifak yang dipamerkan di pavilion Madinah ialah kunci mangga bagi makam Nabi Muhammad SAW yang diperbuat pada abad ke-17.

    Di pavilion Makkah pula, pelawat boleh menyaksikan pintu asal Kaabah, diperbuat sama ada di Istanbul atau Kaherah, bertarikh sekitar 1635-1636, serta sabuk bersulam yang diikat mengelilingi Kaabah.

    Berukuran 102.5 x 673 sentimeter dan diperbuat daripada benang sutera, kapas dan logam, Hizam menampilkan inskripsi al-Quran yang cukup besar untuk dibaca oleh jemaah dari jarak jauh.

  • Dahulu kawasan ‘jin bertendang’, Dataran Batu Putih kini dikunjungi ramai

    Dahulu kawasan ‘jin bertendang’, Dataran Batu Putih kini dikunjungi ramai

    guane

    DATARAN Batu Putih (DBP) yang terletak antara Kampung Gong Beris dan juga Batangan Marang serta Kalang Warisan di Pulau Manis Serada Kuala Terengganu merupakan antara dua lokasi pelancongan komuniti yang semakin mendapat perhatian ramai.

    Setiap hujung minggu dan juga ketika cuti umum kedua-dua lokasi berkenaan sentiasa dipenuhi para pengunjung termasuk dari luar daerah.

    Malah ada juga para pengunjung yang datang dari Lembah Klang, Selatan dan Utara membawa keluarga maing-masing bercuti ke lokasi ini.

    Kebanyakan mereka ke sini untuk bersantai sambil menjamu selera menikmati kuih muih tempatan di samping menyaksikan keindahan pemandangan alam semula jadi yang menarik.

    Ini kerana di kedua-dua lokasi tersebut memiliki pelbagai produk serta keindahan yang tersendiri seperti sungai, pepohon nipah dan bakau manakala pada sebelah malam pula terdapat cahaya kunang-kunang.

    Apa yang menarik, Dataran Batu Putih dan Kalang Warisan suatu ketika dahulu masyarakat setempat pernah menggelarkannya sebagai kawasan ‘jin bertendang’ ekoran ia ditumbuhi oleh pokok-pokok besar terbiar dan juga semak samun.

    Bagaimanapun sejak empat tahun lalu kawasan ini telah berubah wajah apabila Kerajaan Negeri Terengganu mengambil inisiatif membangunkannya sebagai lokasi pelancongan komuniti.

    Proses awal pembangunan dilakukan sendiri secara gotong rowing oleh masyarakat setempat manakala kerajaan negeri pula cuba membantu dari segi keindahan dan infrastrukur.

    Selain Dataran Batu Putih dan Kalang Warisan, lain-lain lokasi pelancongan komuniti yang dibangunkan ialah Sungai Merchang, Pengkalan Berangan, Jenang, Jambu Bongkok, Pulau Serai, Pantai Angin Berbisik, Kampung Mangkuk dan Sentol Patah.

    Pendekatan itu diambil memandangkan produk pelancongan membabitkan komuniti setempat mempunyai daya tarikan tersendiri untuk diaplikasikan dalam kalangan masyarakat.

    Selain keunikan alam semula jadi dan juga aktiviti harian penduduk ia turut melibatkan makanan.

    Bagi Dataran Batu Putih, penulis pernah terlibat pada peringkat awal dengan aktiviti projek tanaman kelapa mataq yang dijayakan oleh penduduk.

    Projek dinamakan Rancangan Tanaman Berkelompok (RTB) itu pada peringkat awal membabitkan 30 orang peserta dan diawasi oleh Jabatan Pertanian.

    Sebahagian besar peserta yang menjayakannya telah berjaya menuai hasil di mana kelapa mataq mereka turut dijadikan air nira (tuak) selain minuman air kelapa muda.

    Melihat kepada perkembangan itu, akhirnya dicadangkan pula pembukaan lokasi pelancongan komuniti yang dinamakan Dataran Batu Putih.

    Maka itu, wujudlah beberapa lot gerai tradisional beratapkan daun nipah bagi memberi peluang kepada penduduk menjual produk yang ada di kampung ini.

    Antara produk yang diketengahkan ialah manisan kerek (gula melaka) air nira atau tuak, ikan celup tepung, keropok goreng dan kopi nisang asli.

    Sementara di Kalang Warisan yang mula dibangunkan sejak dua tahun lalu turut mengentengahkan aktiviti memanah, berkayak dan berkhemah kepada para pengunjung.

    Suatu ketika dahulu, ‘kalang’ atau pengkalan paling utama adalah Kalang Masjid yang pernah menjadi laluan utama untuk ke masjid serta ke Makam Tok Pulau Manis.

    Kalang ini juga dikatakan pernah menjadi lokasi persinggahan Sultan Terengganu, Sultan Ismail Nasiruddin Shah suatu ketika dahulu.

    Bagi memajukan sektor pelancongan komuniti, Kerajaan Terengganu sebelum ini telah menyalurkan peruntukan bernilai RM1 juta dalam usaha untuk mengindahkan sebanyak 39 lokasi terpilih di negeri ini.

    Malah, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman mengatakan bahawa pendekatan itu diambil sejajar dengan Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu yang menyasarkan kewujudan minima 40 pusat pelancongan komuniti.

    Beliau seterus berharap, melalui pendekatan tersebut ia mampu menyumbang kegiatan ekonomi kepada penduduk setempat, sekaligus turut membuka peluang pekerjaan.

    Melihat keada sambutan orang ramai terhadap lokasi pelancongan komuniti ini, penulis berharap setiap aktiviti perlu dikembangkan secara konsisten termasuk demonstrasi kerja-kerja anyaman dan kraft serta makanan popular seperti akok, menganang, che Abas demam, otok-otok, sata, ketupat sotong, nekbat, lemper nyur dan pulut nyur.

  • ‘The Greater Kedah’: Suatu legasi era baharu MB Sanusi

    ‘The Greater Kedah’: Suatu legasi era baharu MB Sanusi


    Oleh MOHD AZAM ABD SAMAT

    BARU-baru ini, Menteri Besar Kedah telah mengumumkan perancangan The Greater Kedah, suatu gagasan yang merencana semula kegemilangan Kedah dalam mendepani era moden. 

    Kedah juga adalah nama besar yang dilakar dalam sejarah peradaban di Nusantara, namun terselindung di sebalik persembahan naratif penceritaan sejarah. Kewujudan tamadun Kedah Tua sebagai antara peradaban awal Melayu di Asia Tenggara memberikan mesej bahawa Kedah mempunyai lakaran sejarah terbilang yang tersendiri yang mesti dibanggakan. 

    Begitu juga peperangan Musuh Bisik 1821 yang terkenal menerusi pertembungan tentera Kedah di bawah Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II dengan dua kuasa besar serentak iaitu British dan Siam. 

    Dalam era moden, nama Kedah lebih sinonim dengan sektor pertanian. Kedah menjadi negeri Jelapang Padi yang membekalkan lebih 40 peratus produktiviti industri padi dan beras kepada negara. Tetapi Kedah tersenarai sebagai negeri ‘miskin’.

    Kehadiran Menteri Besar Kedah YAB Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sebenarnya telah mengupayakan pelan pembangunan Kedah 2035 ke tahap yang optimum. Perancangan ini, telah mengambil kira perancangan dan projek-projek yang telah dirancang sebelum ini, termasuklah sebelum kepimpinan almarhum Ustaz Azizan Abdul Razak dan selepas beliau. Pelbagai perancangan diusahakan dengan penuh teliti dan diurus sebaik mungkin bagi mencapai sasaran yang diletakkan.  

    Horizon kecemerlangan negeri di era baru ini ‘diangkat’ dengan pencapaian pelaburan masuk RM68.3 bilion pada tahun 2021, walaupun masih tempoh pandemik COVID-19, melebihi sasaran dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 iaitu RM10 bilion setahun. 

    Kedah mula membuka mata ramai pemain industri utama bukan sahaja di rantau Asia Pasifik, bahkan juga di Eropah khasnya untuk pelaburan di Kulim Hi-Tech Park. Kemasukan syarikat kereta mewah terkemuka, Porsche, mengangkat nama Kedah dan Malaysia umumnya dalam industri automotif. Pelaburan ini sudah pasti membuka peluang pekerjaan yang banyak serta merancakkan ekonomi di Kedah. Ia juga sudah pasti akan menjana ‘peluang baru’ pembangunan ekonomi Negeri Kedah.

    Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap, SBEZ di Bukit Kayu Hitam, Daerah Kubang Pasu, projek naik taraf 5 Loji Rawatan Air (LRA) dan penggantian paip lama mengurangkan NRW serta kemudahan perhubungan yang lebih efisien antara yang telah dirangka dalam pembangunan Negeri Kedah. Kemudahan sistem E10 yang diperkenalkan juga telah menjadi pemangkin pertumbuhan sektor perindustrian dan perkilangan di Kedah.

    Meskipun di sebalik tekanan yang dihamburkan terhadap kepimpinan YAB Menteri Besar, satu lagi projek mega sedang merintis denai pelaksanaannya iaitu Kedah Aerotropolis (sebelum ini dikenali sebagai KXP) dan ianya telah diusahakan sejak 2014 lagi dan telah dibincangkan berpuluh kali oleh jabatan teknikal Kerajaan Persekutuan dengan agensi kerajaan negeri. 

    Projek dengan anggaran sekitar RM7 bilion ini melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI) akan menjadi ‘game changer’ utama kepada pembangunan di wilayah koridor Utara. Projek ini sedang dalam fasa memenuhi kriteria yang ditetapkan Majlis Perancang Fizikal Negara dan sepatutnya tidak ada halangan untuk ditemeterai segala perancangan yang diatur.

    Selain aspek bekalan makanan dan pembangunan, kepimpinan Menteri Besar juga membentuk dasar Cordoba of Kedah dengan UniSHAMS disasarkan sebagai pelantar keilmuan yang utama. Program ini akan melibatkan secara kolektif semua institusi pendidikan di Kedah bermula sejak prasekolah sehinggalah universiti termasuklah institusi pondok dan tahfiz.

    Dalam erti kata yang mudah, The Greater Kedah adalah rangkaian kemajuan Negeri Kedah yang bukan sahaja tertumpu daripada Kedah sebagai Negeri Jelapang Padi. 

    Bahkan ia mencakupi kemajuan pembangunan dengan kerancakan ekonomi, pelaburan yang masuk ke negeri ini, pelaksanaan projek berimpak tinggi negeri dan jaringan perhubungan dengan lebih efisien serta pembangunan keilmuan The Cordoba of Kedah. 

    Dengan gabungan Kedah Aerotropolis sebagai The Memphis of Asian dan gagasan Cordoba of Kedah, tidak mustahil langkahan ke arah The Greater Kedah sebagaimana yang disasarkan YAB Menteri Besar akan menjadi suatu realiti baru bagi Negeri Kedah kelak insya-Allah

    Hasrat utama di sebalik The Greater Kedah akan berbalik kepada nikmat kesejahteraan kepada rakyat bersesuaian dengan prinsip Kerajaan Negeri Kedah ketika ini iaitu Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua. YAB Menteri Besar selalu mengulangi gagasan, ‘Kedah, tempat orang miskin berteduh, tempat orang kaya berbakti’. Itulah matlamat akhir The Greater Kedah. Suatu kemajuan yang bermatlamat mensejahterakan rakyatnya.

    Penulis ialah ADUN Sungai Limau

  • ”Kini mereka tunjuk tembelang sebenar…”

    ”Kini mereka tunjuk tembelang sebenar…”

    Oleh TAN SRI ABDUL HADI AWANG

    Firman Allah SWT:

     “Wahai orang-orang yang beriman! Kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (2); Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. (3)” (Surah al-Saff: 2-3)

    Sebab wahyu ini diturunkan kerana ada dalam kalangan mereka yang bercakap berdegar-degar bagi menunjukkan semangat perjuangannya. Akan tetapi, apa yang diucapkan itu tidak diamalkan apabila mereka diberikan peluang untuk berjuang, sehingga mereka mendapat kemurkaan yang besar daripada Allah SWT.

    Selain itu, ayat ini juga ditujukan kepada semua perkara yang berkait dengan hukum haram seseorang itu berbohong, mungkir janji dan menipu. Bahkan, dikira memiliki sifat orang-orang munafiq, sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud:.

    “Tanda-tanda munafiq itu ada tiga: Apabila bercakap  dia berbohong, dan apabila berjanji tidak ditunaikan dan apabila diberikan amanah pula dikhianatinya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 33 dan Muslim, no. 59)

    Al-Quran adalah petunjuk sepanjang jalan dan zaman kepada seluruh manusia, bukan sahaja pada satu zaman, tempat atau satu kaum tertentu sahaja.

    Kalam Allah dan ilmu-Nya yang tidak terhingga, wajib diimani akan kebenarannya. Oleh itu, semua perkara yang berlaku dalam kehidupan manusia yang telah diceritakan itu tetap akan berulang.

    Maka, dinyatakan bahawa segala perkara yang baik wajib diamalkan, bagi mendapat kebaikan di dunia dengan janji pahala di akhirat. Adapun perkara yang jahat dan buruk hendaklah dijauhkan kerana ia akan membinasakan diri manusia di dunia dan alam sekelilingnya, serta mendapat balasan dosanya di akhirat kelak.

    Kita pernah menyaksikan pesta Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dahulu, selepas itu terbentuk sebuah kerajaan campuran bersama Pakatan Harapan (PH) yang menjadi tonggak kemenangan, hasil gabungan daripada beberapa parti yang bersaudara. DAP menjadi abang besar, selepasnya PKR dan diciptakan parti bernama Amanah, diikuti pula oleh kumpulan-kumpulan kecil NGO Islam dan bukan Islam yang mendukungnya.

    Ketika muqaddimah kempennya lagi sudah menunjukkan dengan penuh bersemangat akan menurunkan harga petroleum dalam tempoh masa 24 jam, tol akan dihapuskan, hutang PTPTN akan diselesaikan secepat kilat. Maka, menanglah PH dengan gelombang tsunami PRU-14 kerana janji-janji tersebut.

    Apabila ternyata cakapnya tidak serupa bikin, jatuhlah kerajaan PH yang tersungkur ke hadapan, bukannya kerana pintu belakang atau Langkah Sheraton seperti yang dinyatakan.

    Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini pula dimainkan dan diapi-apikan isu menentang rasuah, salah laku, perompak, penyamun, penyeleweng, penyangak, salah urus dan segala nama kesalahan yang meresahkan masyarakat umum yang membocorkan hasil negara. Semua itu dijadikan modal kempen mereka bagi menarik sokongan rakyat, disertakan pula dengan janji yang luar biasa di luar kemampuan untuk dilaksanakan, semata-mata untuk memancing undi rakyat.

    Kini, mereka mula menunjukkan tembelangnya yang sebenar dengan politik yang menghalalkan segala cara bagi mendapatkan kuasa. Malangnya, mereka ditolak oleh anak muda yang mewujudkan gelombang di seluruh kawasan majoriti Melayu.

    Kejayaan PH yang bergabung bagi membentuk kerajaan, dicukupkan jumlah dengan gabungan segala puak dan individu yang melakukan kemungkaran yang menjadi sasaran mereka dalam masa kempen pilihan raya. Puak yang mereka senaraikan dalam kalangan yang tidak bermoral, dikatakan perasuah, perompak, lanun dan sebagainya.

    Golongan itu terdiri daripada kalangan yang telah disabitkan kesalahannya dan dihukum tidak bermoral, atau yang masih dibicarakan menjadi kluster mahkamah. Begitu juga, kalangan yang telah diberhentikan perbicaraan mahkamah atau yang boleh diragukan sifat peribadinya dan telah dikesan DNA-nya.

    Sifat buruk ini dilakukan kerana mereka terlalu bersemangat penuh rakus dan gila akan jawatan yang menghantui para pemimpinnya. Justeru, terserlah kebenaran sifat yang dilarang oleh Rasulullah SAW melalui sabda bermaksud;

    “Wahai ‘Abdul Rahman bin Samurah, janganlah kamu meminta-minta untuk menjadi pemimpin. Maka, jika kamu diberikan jawatan dengan rakus meminta-minta, nescaya dibebankan kepada kamu (tanpa pertolongan dan petunjuk Allah). Jika jawatan itu diberikan bukan dengan cara meminta-mintanya, nescaya kamu akan diberikan pertolongan (oleh Allah dan mendapat petunjuknya).” (Riwayat al-Bukhari, no. 7146 dan Muslim, no. 1652)

    Dan juga sabda Rasulullah SAW:

    “Sesungguhnya, demi Allah! Aku tidak akan melantik orang yang bernafsu meminta-minta untuk menjadi ketua atau orang yang terlalu bernafsu dengan memintanya.”  (Riwayat al-Bukhari, no. 7149 dan Muslim, no. 1733)

    Amaran Rasulullah SAW itu telah menjadi pilihan dalam kalangan PH yang menghalalkan segala cara.

    Kumpulan ini juga akhirnya berjaya mengambil alih kerajaan dengan cara di luar tabii daripada demokrasi yang biasa diamalkan di seluruh dunia.

    Percayalah hasil tanaman politik daripada benih-benih tersebut akan membuahkan akibatnya secara berturut-turut, sehinggakan ia akan meruntuhkan kerajaannya sendiri dan menimpa para penumpangnya sekali.

    Demikianlah itu sifat yang pernah menimpa kaum yang dimurkai Allah SWT dan diminta supaya berdoa agar tidak menjadi sepertinya dalam setiap rakaat solat, mereka itulah kumpulan yang dimurkaiAllah. Hal mereka ini telah didedahkan oleh firman Allah SWT:

    “Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaktian, sedangkan kamu melupakan (kewajipan) diri kamu sendiri, padahal kamu semua membaca al-Kitab (Taurat)? Maka, tidakkah kamu berfikir?” (Surah al-Baqarah: 44)

    Begitulah juga kamu menentang kemungkaran, tiba-tiba kamu membiarkannya apabila kamu sudah berkuasa dan akan mudah melakukannya.

    Dari aspek yang lain, mereka melakukan pembohongan dengan memutarbelitkan kesedaran politik Islam dalam kalangan orang Melayu yang dianggap menjadi penghalang besar kepada perjuangan ideologinya yang salah. Pada masa yang sama, mendedahkan agenda penjajahan baharu yang wujud di sebaliknya.

    Perkara tersebut dilakukan bagi menghilangkan semangat untuk kembali kepada Islam dalam kalangan bangsa Melayu yang menjadi kaum penganut Islam terbesar di negara ini. Hal ini termasuklah untuk mengelakkan daripada terbelanya kaum bumiputera yang dipinggirkan, kerana kaum lain juga pasti selamat dengan sebuah kerajaan yang bersih dan stabil.

    Apabila adanya seruan untuk menyelamatkan bangsa ini bersama Islam, maka perbuatan itu terus dilabel sebagai perkauman dan dicanangkan label Islamofobia. Ini disebabkan ada bersamanya PAS yang telah diketahui berjaya memerintah beberapa negeri dengan berjaya, berintegriti dan bersih.

    Turut didedahkan apabila berlaku kemaraan Melayu Islam dalam politik terkini melalui PRU-15 baru-baru ini, meningkatnya sokongan kepada PAS yang berwajah Islam dalam politiknya dan kejayaan yang dicapai bersama oleh PAS dengan rakan-rakan Perikatan Nasional (PN). Keadaan sedemikian menyebabkan berlaku pembahagian yang mendedahkan siapakah sebenarnya yang membawa agenda perkauman dan anti-Islam.

    Isu perkauman (rasis) mula dibangkitkan terhadap orang Melayu Islam, apabila dinyatakan perlunya ada kekuatan politik, pendidikan dan ekonomi orang Melayu, di samping bumiputera bukan Islam yang ditindas sejak zaman penjajah lagi. Golongan ini terus dijahilkan selepas mencapai kemerdekaan dan tidak terbela sehingga kini sebagaimana sepatutnya, sehinggalah kedudukan mereka terancam dalam tanah airnya sendiri.

    Orang Melayu Islam termasuk bumiputera menunjukkan tingkah laku paling tidak perkauman dan amat bertoleransi terhadap masyarakat majmuk bukan Melayu, bukan Islam dan bukan bumiputera. Bahkan, turut membenarkan penggunaan bahasa kaum masing-masing, termasuk mewujudkan sekolah kebangsaan Cina dan Tamil yang tidak dibenarkan di negara lain selain daripada Malaysia.

    Apabila dibangkitkan isu Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan dan tulisan Jawi supaya diperkasakan, maka tindakan itu dianggap sudah melampaui batas kaum dan agama. Malah, apabila diajak kepada pelaksanaan syariat Islam kepada umat Islam sahaja mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan dan proses perubahan yang perlu dilakukan secara demokrasi, maka tindakan itu dianggap sebagai perbuatan melampau dan ditakut-takutkan masyarakat dengan mencetuskan Islamofobia. Malah mereka turut membela orang Islam yang murtad.

    Mereka menuduh secara jahil dan jahat terhadap hukum Allah yang adil dan wasatiyyah dengan adab dan syarat pelaksanaan yang ketat sehingga menyukarkan bagi menjatuhkan hukuman dan cara hukuman. Namun hukuman dalam Islam adalah mendidik masyarakat, tidak melampau dan tidak kejam.

    Mereka sebenarnya tidak peduli betapa kejamnya undang-undang jakun Barat seperti undang-undang hukuman mati di tali gantung dan hukuman sebat yang menyeksa atau hukuman yang longgar sehingga membebaskan pembunuh yang kejam tanpa hukuman mati dan sebagainya, serta bersikap liberal yang membebaskan manusia seperti binatang.

    Sekarang DAP yang sebenarnya membawa agenda cauvinisme dan murtad sudah tidak perlu bersuara, kerana mereka telah berjaya mengadakan bala tentera Melayu yang tidak bermaruah agama dan bangsa dalam kalangan DAP sendiri, PKR, Amanah dan NGO yang bersamanya, sekali gus melantangkan suara bagi pihak DAP.

    Kini, mereka pula berjaya menarik daripada kalangan UMNO yang menyerah kalah demi kepentingan diri tertentu sahaja. Sehinggakan, UMNO telah meninggalkan asas perjuangan untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara, serta melanggar resolusi Perhimpunan Agung mereka yang menolak untuk bekerjasama dengan DAP dan angkatannya.

    Kami percaya terdapat sebahagian besar pemimpin UMNO tidak redha dengan langkah songsang oleh segelintir pemimpin mereka, bahkan ada yang secara terbuka melakukan protes.

    Kenyataan yang sebenar dalam PRU-15 yang lalu, DAP dan parti-parti sekutunya hanyalah memperoleh kemenangan dengan mengerahkan pengundi bukan Islam yang diugut dengan Islamofobia, dari seluruh pelosok tanah air sehingga luar negara dan seluruh penjuru dunia.

    Akhirnya, peratusan golongan bukan Islam yang keluar mengundi mencecah jumlah 98 peratus, namun mereka hanya memperoleh beberapa peratus yang kecil daripada undi orang Melayu Islam termasuk sebahagian yang berijazah.

    Manakala PN mendapat sokongan 60 peratus pengundi Melayu Islam, bersama sokongan sebahagian besar pemimpin dan akar umbi UMNO yang masih setia kepada agama dan bangsanya. Termasuklah sokongan parti bukan Melayu yang tidak fanatik perkauman seperti parti Gerakan, MCA, MIC, termasuk Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), dan lain-lain. Akan tetapi, PN tidak dilayan secara sopan.

    Walaupun PN telah melaksanakan pendekatan kerjasama mengikut adab demokrasi dan undang-undang, dengan mencapai kerusi yang boleh bertahan untuk mendapat kuasa politik yang sebenar secara demokrasi. Malangnya, ia dipintas dengan dilakukan pembentukan kerajaan secara luar tabii daripada amalan demokrasi yang sebenar dengan tipu daya dan putar belit yang sudah diketahui umum.

    DAP dan rakan-rakannya terus melatah tidak mampu mengawal perasaan kebenciannya terhadap Islam, Melayu dan bumiputera, apabila membawa isu mengenai bahaya gelombang hijau. Perkara ini sekali gus mendedahkan warna kemerahan anti-Islam yang ada dalam diri mereka bersama parti-parti lain, laksana gerobak kereta api di belakangnya yang sebenarnya membawa bahaya kepada negara dan rakyat, termasuk rakyat bukan Islam dalam masyarakat majmuk ini.   

    Apabila hendak dilakukan protes terhadap amalan yang salah mengikut adab dan akhlak demokrasi sebenar yang adil dan telus, tiba-tiba mereka berhujah dengan mengulangi apa yang pernah dilakukan oleh penjajah pada zaman dahulu dengan menonjolkan isu melawan raja bukannya melawan penjajah.

    Keadaan ini mengulangi kembali cerita perjuangan menentang penjajah dahulu, dipusing jalan cerita kononnya untuk melawan raja, istana dan pemimpin masyarakat. Sehingga menyebabkan ada yang terperangkap dalam penipuan Perjanjian Pangkor 1874 dan perjanjian lain sebelum dan selepas itu, dengan menjemput penjajah secara percuma atau menggadaikan maruah serta tanah air dengan harta dan pangkat.

    Kenyataan sebenar Istana Negara sekiranya dibaca dengan teliti dan berhemah adalah berlainan dengan kenyataan politik para pemimpin PH yang cuba berbohong dan berselindung di belakang gambar Istana Negara. Istilah Kerajaan Perpaduan cuba dinyatakan dengan menyalahi maknanya yang sebenar.

    Malah, istilah Kerajaan Minoriti juga tidak tepat mengikut istilah ilmu politik, walaupun bagi mencukupkan pembentukan sebuah kerajaan terpaksa digabungkan semua parti menjadi satu atas nama PH, bukannya mengikut parti masing-masing seperti DAP, PKR, dan Amanah. Sebaliknya akuan bersumpah (SD) yang telah diusahakan oleh PN daripada berbagai-bagai parti secara amalan demokrasi tidak dilayan.

    Kini bukan lagi zaman penjajahan. Isu lama dan basi sudah boleh difahami oleh rakyat yang peka, khususnya dalam kalangan generasi muda yang paling ramai mengundi PN baru-baru ini dan membaca semula sejarah yang sebenar.

    Inilah zaman yang telah dinyatakan oleh mukjizat melalui sabda Rasulullah SAW:

     “Akan tiba masanya kepada orang ramai, tahun-tahun yang banyak berlaku penipuan. Dipercayai orang yang berbohong, dibohongi orang yang benar. Diberikan amanah kepada pengkhianat, dikhianati orang yang benar-benar amanah. Kemudian golongan al-Ruwaibidhah (orang-orang jahil agama) banyak bercakap.”

    Baginda SAW ditanyakan: “Wahai Rasulullah! Siapakah itu golongan al-Ruwaibidhah itu?”

    .Rasulullah SAW bersabda: “Orang jahil bercakap perkara besar yang menyentuh orang ramai.” (Riwayat Ibn Majah, no. 4036 dan Ahmad, no. 7912) Kemudiannya, dijelaskan lagi akan berlaku kehancuran dunia (kiamat), apabila hilangnya amanah. Apabila ditanya bagaimanakah cara hilangnya, maka Rasulullah SAW bersabda:

    ‌“Apabila diserahkan urusan mentadbir umat kepada orang yang tidak layak, maka nantikanlah berlakunya kehancuran (kiamat).” (Riwayat al-Bukhari, no. 59)

    Antara sifat yang tidak melayakkan seseorang itu menjadi pemimpin ialah berbohong dan menipu rakyat. Hal ini dijelaskan oleh sabda Rasulullah SAW:

    ‌“Tiga jenis manusia yang Allah tidak mempedulikannya pada Hari Kiamat kelak, tidak membersihkan segala dosanya dan untuknya azab yang pedih; orang tua yang berzina, raja atau pemimpin yang berbohong dan orang miskin yang sombong.” (Riwayat Muslim, no. 106)

    Hadis ini menunjukkan amaran Rasulullah SAW akan dosa besar dan akibat buruk di dunia dan akhirat, bersama pemimpin yang berbohong dan menipu.

    Firman Allah SWT:

    “(Ingatlah) suatu hari (yang di hari itu) Kami panggil tiap umat dengan pemimpinnya; dan sesiapa yang diberikan kitab amalannya pada tangan kanannya, maka mereka ini akan membaca kitabnya itu, dan mereka tidak dianiaya sedikit pun. (71); Dan sesiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat (nanti) dia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar). (72)” (Surah al-Isra’: 71-72)

    Maka hendaklah berhati-hati dan berfikir secara matang, apabila ingin memilih pemimpin dan menjadi pengikutnya.

    Firman Allah SWT:

    Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (18); Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasiq. (19)”

    *Tan Sri Abdul Hadi Awang adalah Presiden Pas dan Ahli Parlimen Marang.

    *Artikel ini dipetik daripada ruangan MINDA PRESIDEN.

  • ‘Undi18 punca Parlimen tergantung’

    ‘Undi18 punca Parlimen tergantung’

    RATA-RATA pemerhati politik sebelum ini sudah menjangka tidak akan ada parti yang dapat meraih majoriti mudah bagi membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun tidak ramai menduga akan tercipta situasi Parlimen tergantung.

    Memasuki hari kelima kebuntuan dengan rakyat masih tertunggu-tunggu siapa yang bakal dilantik sebagai perdana menteri ke-10, ada pihak menuding jari kepada pengundi muda sebagai punca senario yang pertama kali berlaku dalam sejarah negara ini.

    Daripada kira-kira 21.1 juta rakyat yang layak mengundi pada pilihan raya Sabtu lepas, 1.3 juta orang adalah kelompok berusia bawah 21 tahun yang mengundi buat pertama kali, dan menurut seorang penganalisis, kecetekan ilmu tentang penubuhan kerajaan serta perjalanan pilihan raya golongan itu jelas dilihat pada keputusan pilihan raya tersebut.

    “Saya melihat situasi berlakunya Parlimen tergantung ini yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, turut bertitik tolak daripada pelaksanaan Undi 18, yang mana golongan ini dilihat masih belum matang dalam membuat pilihan,” kata Dr G. Manimaran kepada Bernama.

    Ini kerana kata beliau, walaupun golongan itu dilihat tidak terikat dengan mana-mana ideologi politik, mereka dipercayai lebih mudah terpengaruh dengan isu politik semasa yang diuar-uar menerusi media sosial, dan keadaan tersebut dicerminkan oleh pola pengundian mereka.

    PERLU PENDEDAHAN SECARA FORMAL

    Sehubungan itu, beliau melihat ada keperluan untuk golongan muda ini diberi pendedahan secara formal tentang proses pilihan raya dan kepentingan undi mereka dalam pembentukan kerajaan dengan memperkenalkan subjek khusus di peringkat sekolah.

    Mengulas lanjut, penulis buku ‘Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Tadbir dan Menang’ itu berkata pendedahan lebih awal ini amat penting sebagai persiapan buat golongan berkenaan dalam menunaikan tanggungjawab selaku pengundi, dan seterusnya membuat pilihan bijak tanpa dipengaruhi oleh mana-mana sentimen.

    “Mereka harus faham dengan baik kepentingan memilih calon sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri ) atau ahli Parlimen, fungsi Dewan Rakyat, Dewan Negara dan sebagainya, kerana apabila sudah ada ilmu, ia dapat membantu mereka menilai dengan baik sebelum mengundi,” katanya.

    Lebih membimbangkan kata Manimaran ialah ada pengundi muda yang tidak mengambil serius tentang nilai undi mereka dalam menentukan hala tuju negara.

    “Saya lihat ada golongan muda yang menganggap pilihan raya seolah-olah satu pesta sedangkan ia merupakan tanggungjawab sangat penting setiap individu dalam menentukan masa depan negara,” ujar beliau.

    Ditanya tentang kemungkinan literasi sistem pilihan raya sejak di bangku sekolah merisikokan pelajar terlibat dalam politik, beliau berkata tanggapan itu adalah salah faham yang wujud sejak sekian lama dan perlu diperbetulkan.

    Pada masa sama, beliau berkata orang muda perlu ditekankan bahawa konteks pilihan raya bukan hanya terpakai dalam penubuhan kerajaan. Sebaliknya kata beliau, ia lebih luas dan berlaku dalam kehidupan seharian seperti pemilihan ahli jawatankuasa persatuan ibu bapa dan guru serta lain-lain pemilihan.

    “Kita melabelkan pilihan raya sebagai ‘kotor’ sedangkan yang kotor ialah tindakan segelintir ahli politik yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti dan sebagainya. Sebenarnya, pilihan raya merupakan sistem demokrasi yang baik dan diamalkan dalam pemilihan pelbagai perkara seperti memilih ketua darjah,” katanya.

    FAKTOR CALON DAN PARTI

    Pensyarah kanan di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain mempunyai pandangan berbeza. Menurut beliau, kumpulan pengundi muda terbabit lebih kritis dan peka dengan isu semasa yang berlaku di sekeliling mereka.

    Beliau menyandarkan pandangan itu pada pemerhatiannya yang mendapati kebanyakan pengundi muda lebih cenderung menolak calon-calon daripada parti yang terpalit dengan pelbagai isu termasuk rasuah.

    Selain itu, beliau juga melihat strategi meletakkan calon muda yang dilaksanakan oleh Perikatan Nasional (PN) membantu gabungan berkenaan mencatat kemenangan yang tidak dijangka selain menerima sokongan pemilih muda.

    Menurutnya, pengundi muda melihat PN sebagai gabungan parti paling ‘selamat’ biarpun usianya baru menginjak dua tahun.

    Ulas beliau, ketika Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai kerajaan bermula Mac 2020, sebahagian golongan muda yang mengundi pada Sabtu lepas baru berusia 16 tahun, sekali gus membuatkan mereka berasa “lebih dekat” dengan kepimpinan Muhyiddin yang turut membahasakan dirinya “Abah”.

    Gabungan PN yang sebelum ini dilihat oleh kebanyakan pihak sebagai ‘underdog’ mencipta kejutan apabila memenangi 73 kerusi Parlimen, dan Muhyiddin pada sidang media Ahad lepas, mengakui kemenangan itu turut bersandarkan sokongan pengundi muda.

    IMPAK MEDIA SOSIAL

    Keputusan luar jangka PN itu menjadikan Muhyiddin calon berpotensi untuk diangkat sebagai perdana menteri ke-10 bersama-sama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memenangi 82 kerusi Parlimen.

    Bagaimanapun, disebabkan kedua-dua gabungan tidak memperoleh majoriti mudah 112 kerusi yang diperlukan, tumpuan kini terarah kepada Barisan Nasional (BN). Sekalipun mencatat keputusan terburuk dalam sejarahnya, BN yang memenangi 30 kerusi Parlimen diperlukan oleh kedua-dua PH dan PN untuk membentuk kerajaan campuran dengan sokongan Gabungan Parti Sarawak (23 kerusi) dan Gabungan Rakyat Sabah (6).

    Turut mempunyai kerusi di Dewan Rakyat ialah Parti Warisan Sabah (3), Bebas (2) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat yang masing-masing memenangi satu kerusi.

    Sementara itu, pensyarah kanan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia Dr Sofia Hayati Yusoff berkata tinjauannya mendapati lebih 95 peratus pengundi kali pertama mengakui mendapat segala maklumat mengenai PRU15 melalui media sosial.

    Beliau percaya situasi itu memberi impak yang agak besar kepada keputusan pilihan raya tersebut.

    “Pengundi muda sememangnya menggunakan media sosial setiap masa. Maka, mana-mana parti politik yang melakukan kempen melalui strategi pemasaran dengan mengetengahkan kumpulan ‘influencer’ (pempengaruh) sememangnya berjaya menarik pengundi muda.

    “Jadi kita dapat lihat majoriti calon dan parti, mereka berkempen secara kerap di media sosial seperti Tik Tok, Twitter dan YouTube dengan pelbagai pendekatan termasuk hiburan dengan menyelitkan lagu-lagu terkini dalam kempen mereka dan ia sememangnya sangat mempengaruhi golongan muda,” katanya.