Category: Politik

  • PN adil kepada semua kaum, hak dilindungi

    PN adil kepada semua kaum, hak dilindungi

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan itu akan berlaku adil kepada semua masyarakat berbilang kaum bagi memastikan kestabilan negara ini.

    Berikut kenyataan penuh Muhyiddin yang disiarkan dalam akan Facebook rasmi beliau hari ini:

    KAMI dalam PN adil kepada semua kaum. Hak Bumiputera kami pelihara, hak kaum-kaum lain juga kami lindungi.

    Semasa saya jadi Perdana Menteri, kerajaan PN beri bantuan kepada semua rakyat tak kira apa kaum pun. Vaksin kami beri kepada semua. Tak tanya sama ada yang terima Cina, India atau Melayu.

    Subsidi upah RM20 bilion kerajaan PN salurkan kepada lebih 300,000 syarikat. Saya tak tanya itu syarikat Melayu ke, Cina ke, India ke. Semua dapat. Kita berjaya selamatkan 3 juta pekerja. Itu pun saya tak tanya pekerja Melayu, Cina atau India.

    Kami juga belanjakan RM18 bilion untuk Bantuan Prihatin Rakyat, iaitu bantuan langsung tunai yang diberikan kepada 10 juta isi rumah. Baik Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun atau kaum-kaum lain yang layak, mereka dapat bantuan.

    Satu lagi ramai orang tak tahu. Lim Guan Eng potong bantuan RM20 juta kepada TAR College semasa dia jadi Menteri Kewangan kerajaan PH. Bila saya jadi Perdana Menteri Kerajaan PN, Datuk Seri Wee Ka Siong tulis surat kepada saya minta bantuan kerajaan kepada TAR College dikembalikan. Saya luluskan.

    Menteri Kewangan DAP potong bantuan kepada TAR College. Perdana Menteri dari PN kembalikan semula bantuan kepada TAR College.

    Ini nak menunjukkan kita dalam PN ini adil kepada semua.

    Dalam mesyuarat kabinet saya yang terakhir, Wee Ka Siong sebut kepada saya “Sir, this is the first time the Malaysian cabinet didn’t discuss about race. We help everyone regardless of race.”

    Inilah caranya kita mentadbir Malaysia yang rakyatnya berbilang kaum. Adil kepada semua barulah negara kita ini stabil.

  • PN yakin BN kembali gabung bentuk kerajaan pusat – Takiyuddin

    PN yakin BN kembali gabung bentuk kerajaan pusat – Takiyuddin

    PERIKATAN Nasional (PN) yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, beliau menjangkakan BN akan menerima penggabungan itu.

    “Saya yakin kita dapat bentuk kerajaan persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain, termasuk BN. Apa yang pasti kita tidak menerima Pakatan Harapan (PH) walaupun perlu gabungan.

    “Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ada menyebut sekiranya kita tidak boleh bergabung sebelum PRU-15, mungkin selepas (PRU-15) kita boleh wujudkan hubungan itu.

    “Rujukan pertama kita adalah BN, bagaimanapun sebarang perbincangan belum dibuat sepanjang tempoh berkempen ini, namun saya yakin BN akan terima. Perbincangan dulu sudah ada, namun ketika kita tidak bersama pun kita ada maklum mungkin kita boleh bersama selepas PRU-15,” lapor Berita Harian.

    Terdahulu, Takiyuddin yang juga calon Parlimen Kota Bharu dalam ucapannya berkata, PRU15 adalah pilihan raya paling getir buat rakyat.

    Katanya, berdasarkan kajian penganalisis politik tiada mana-mana parti yang akan mendapat 112 kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan, sebaliknya perlu bergabung dengan mana-mana parti.

  • Bersatu tegas pertahan kestabilan negara

    Bersatu tegas pertahan kestabilan negara

    BERSATU tegas mempertahankan kestabilan negara walaupun terdapat cubaan mengganggu gugat perkara yang menjadi dasar perjuangan parti itu oleh DAP semasa menjadi anggota Pakatan Harapan (PH) yang menjadi kerajaan selama 22 bulan selepas PRU-14.

    Berikut kenyataan penuh Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disiarkan dalam akaun Facebook beliau:

    Assalamualaikum wrth. Apa khabar semua?

    BERSATU menjadi anggota PH sebelum PRU-14 dengan satu tujuan untuk menyelamatkan negara daripada kerosakan yang dibuat oleh kerajaan kleptokrat BN.

    Pada masa yang sama, sebagai sebuah parti politik pribumi yang juga turut disertai oleh orang bukan Melayu sebagai ahli bersekutu, BERSATU mempunyai dasar perjuangan yang sederhana atau moderate sesuai dengan realiti Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

    Perlembagaan BERSATU menetapkan perjuangan BERSATU antara lain adalah untuk:

    Mempertahankan hak keistimewaan Bumiputera dan hak-hak yang sah bagi semua kaum;

    Memelihara Agama Islam sebagai Agama Persekutuan serta menjamin hak semua individu untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing;

    Menjunjung kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu; dan

    Mempertahankan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta menjamin hak kaum-kaum lain untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing.

    Dengan mengamalkan dasar perjuangan parti yang moderate inilah kita dapat menjamin kestabilan negara dan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia. Inilah amalan di negara kita sejak zaman berzaman yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, makmur dan stabil.

    Namun, apabila PH menjadi kerajaan, kestabilan ini mula diganggu-gugat dari dalam kerajaan sendiri. Saya yang berada di dalam Majlis Presiden PH dan Kabinet Kerajaan PH melihat sendiri apa yang berlaku di depan mata saya.

    Ada agenda tertentu yang dibawa oleh DAP yang dominan di dalam PH. Perkara-perkara ini ada kaitan pula dengan tugas saya selaku Menteri Dalam Negeri pada waktu itu.

    Antaranya ialah tindakan DAP menggesa supaya Akta Hasutan dimansuhkan. Selaras dengan Manifesto PH untuk mengkaji undang-undang yang dikatakan zalim, saya telah menubuhkan sebuah jawatankuasa di KDN yang dianggotai oleh pakar-pakar untuk mengkaji cadangan ini.

    Jawatankuasa ini kemudiannya melaporkan kepada saya bahawa Akta Hasutan tidak boleh dimansuhkan begitu sahaja kerana ia melibatkan kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu di bawah Perlembagaan Persekutuan. Di bawah Akta ini, adalah menjadi suatu kesalahan bagi mana-mana pihak untuk menimbulkan kebencian terhadap Raja-Raja Melayu dengan tujuan untuk menghasut. Bertindak atas nasihat pakar, saya menangguhkan pemansuhan Akta Hasutan sehingga kajian yang lebih terperinci dibuat.

    Tetapi, pemimpin DAP kecam saya secara terbuka kerana kononnya saya gagal memansuhkan Akta Hasutan. Sedangkan apa yang saya buat ialah mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu yang selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan asas perjuangan BERSATU yang termaktub dalam perlembagaan parti.

    Saya tahu jika saya turuti kehendak DAP, institusi Raja-Raja Melayu akan terdedah kepada penghinaan, keharmonian rakyat berbilang kaum di Malaysia akan tergugat dan kestabilan negara kita akan terancam.

    Walau apapun tuduhan yang mereka lemparkan terhadap saya dan pimpinan lain dalam BERSATU, kami tegas mempertahankan kestabilan negara. Inilah dasar perjuangan kami.

  • PRU-15: Hormati proses demokrasi, elak cetus provokasi

    PRU-15: Hormati proses demokrasi, elak cetus provokasi

    TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary menasihati semua penyokong parti politik agar menghormati proses demokrasi dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Beliau berkata para penyokong parti politik perlu menanam sifat toleransi dan kerjasama yang jitu antara satu sama lain bagi menjamin keharmonian sepanjang tempoh PRU15.

    “PRU15 adalah proses untuk kita memilih pemimpin dan kita sebagai penyokong tidak perlu bermusuh atau dengan sengaja mewujudkan kekecohan atau provokasi.

    “Malah pemimpin-pemimpin juga akan menjaga ukhwah dan keharmonian kerana selepas habis PRU15 ini, kita akan berkawan seperti biasa,” katanya.

    Ahmad Marzuk berkata demikian selepas beramah mesra dengan pemenang pingat emas Para Sukma 2022 Kuala Lumpur bagi acara catur berpasukan kategori (PI) Norazlin Juarih dan Faris Iqbal Ahmad dekat Pengkalan Chepa di sini hari ini.

    Beliau diminta mengulas video tular di media sosial yang memaparkan insiden provokasi dan perang mulut antara dua penyokong parti politik dalam program ceramah di Sungai Dulang, Bagan Datuk pada Ahad lepas.- BERNAMA

  • Ramai orang kampung malu mengaku sokong UMNO

    Ramai orang kampung malu mengaku sokong UMNO

    RAMAI ahli dan penyokong UMNO di kampung-kampung sekarang malu hendak mengakui sebagai menyokong parti itu kerana banyak salah laku pemimpin atasan.

    Yang Dipertua PAS Machang, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, mereka segan untuk mengaku sebagai ahli atau penyokong UMNO.

    Katanya ramai pemimpin UMNO terlibat dengan penyelewengan sehingga parti itu tidak lagi popular di kampung-kampung.

    “Ramai ahli UMNO sekarang sudah memilih Bersatu, tadi kita lihat yang naik atas pentas tadi wakil mereka, tetapi di belakang ada ratusan lagi ahli ikut keluar parti,” katanya pada Ceramah Umum Machang Bangkit di Dataran Kemuning malam tadi, lapor Harakahdaily.

    Sebelum itu beberapa wakil UMNO menyerah borang menyertai Bersatu. Mereka diwakili Nik Rani Ibrahim, Husin Yaakob, Abdul Rahim Abdullah, Zulhaidi Jusoh, Hanapi Omar, Nasir Mohd Nor, Sulan Jusoh dan Abdul Rahman.

    Sebahagian besar mereka merupakan pemuda UMNO di peringkat cawangan di Machang.

    Dr Mohamed Fadzli yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan berkata, ratusan lagi ahli UMNO yang akan mengikut jejak langkah keluar daripada parti tersebut.

    Katanya mereka bosan dengan kepimpinan UMNO yang ramai terbabit skandal salah laku sehingga terpaksa berulang alik ke mahkamah.

  • PN optimis menang 2 Parlimen, 16 DUN di Pahang

    PN optimis menang 2 Parlimen, 16 DUN di Pahang

    PERIKATAN Nasional (PN) melihat peluang untuk memenangi dua kerusi Parlimen dan 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setelah pusingan pertama berkempen berlangsung.

    Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata berdasarkan situasi semasa ‘separuh masa pertama’ perjalanan kempen, sokongan yang ditunjukkan rakyat Pahang kepada PN agak memberangsangkan.

    “Saya yakin sekurang-kurangnya kita boleh mengambil masing-masing satu kerusi Parlimen daripada Barisan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

    “Bagi kerusi DUN, sebelum ini kita mempunyai lapan kerusi dan jumlah itu boleh digandakan kepada 16,” katanya pada sidang media di Pejabat Parlimen Indera Mahkota di sini hari ini.

    Pada PRU14 pada 2018, PN tidak mempunyai kerusi Parlimen di Pahang sehingga tahun 2020, sebelum Saifuddin yang menang di Parlimen Indera Mahkota atas tiket PKR yang menyertai Bersatu.

    Bagi DUN Pahang, lapan kerusi yang disandang PN dimenangi Pas, iaitu di Beserah, Tanjung Lumpur, Panching, Damak, Tahan, Luit, Jengka dan Chenor.

    Manakala BN menang di 25 kerusi DUN dan sembilan lagi dikuasai PH. – BERNAMA

  • ‘Sebahagian besar orang Pagoh doakan kemenangan saya’ kata Muhyiddin

    ‘Sebahagian besar orang Pagoh doakan kemenangan saya’ kata Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin percaya sebahagian besar pengundi di Pagoh akan membantu menyokongnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 Sabtu ini sekali gus beliau boleh meneruskan peranannya sebagai ahli Parlimen kawasan itu.

    Keyakinan itu disuarakan Muhyiddin yang juga penyandang kerusi itu selepas cakap-cakap beliau akan dikalahkan di Pagoh pada PRU-15.

    Bagaimanapun bagi Muhyiddin, beliau berada di kawasannya hampir setiap hari dan beliau mempunyai jentera yang mmebantunya.

    “Saya sudah lama di Pagoh lebih 40 tahun, orang Pagoh sendiri tahu apa yang akan saya lakukan. Itu akan menjawab semua isu yang mereka hadapi.

    “Dan saya yakin dan saya percaya sebahagian besar pengundi di Pagoh, Melayu Cina India Orang Asli akan membantu untuk menyokong saya dan meneruskan peranan saya sebagai ahli Parlimen di Pagoh,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

    Beliau menjawab soalan media yang mendakwa terdapat ramalan calon Perikatan Nasional itu akan kalah pada PRU-15.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau tidak kisah dengan ramalan di buat pihak-pihak tertentu kerana berpendapat itu hanya pandangan.

    “Jadi apa-apa ramalan tak apalah, orang boleh kata saya akan menang cemerlang waima saya akan kalah teruk dan saya ambil kira pendapat mereka.

    “Tapi saya tahu denyutan nadi orang Pagoh yang saya fikir sebahagian besarnya mendoakan dan mengharapkan saya beroleh kemenangan,” tambahnya.

  • Wujud bukti DAP pro-komunis, tapi tiada bukti Pas dan Taliban ada kaitan

    Wujud bukti DAP pro-komunis, tapi tiada bukti Pas dan Taliban ada kaitan

    PAS membidas naratif yang dimainkan semula oleh DAP dengan mengaitkan Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan jika Pas memerintah, sedangkan terbukti tiada ahli atau pemimpin parti itu yang terlibat dengan Taliban.

    Setiausaha Perhubungan Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim berkata sudah terbukti parti itu tidak ada hubung kait dengan kegiatan keganasan sebagaimana pembabitan DAP yang secara terang-terang mengangkat perjuangan komunis.

    Malah katanya, ada pemimpin DAP yang agresif dan radikal amat bangga memperkenalkan diri berketurunan datuk moyang daripada kalangan penggerak kegiatan komunis di Malaysia suatu ketika dahulu.

    “Mereka sanggup bawa abu mayat Chin Peng balik (ke Malaysia), mengadakan majlis memperingati komunis kononnya sebagai pejuang di Tanah Melayu dan mengangkat komunis untuk dikatakan sebagai sebahagian pejuang kemerdekaan.

    “Ini merupakan satu pembohongan manipulasi kepada sejarah. Hakikatnya komunis telah membunuh ramai anggota pertahanan keselamatan Tanah Melayu ini ketika zaman 60-an, 70-an atau sebelum itu lagi.

    “Komunis telah menembak mati ramai pejuang-pejuang pasukan keselamatan tanah air dalam kalangan polis, tentera yang mereka lakukan dengan secara subversif,” katanya lapor Harakahdaily.

    Mengulas lanjut Iszuree berkata, DAP tidak boleh menafikan mereka pro komunis dengan cuba menuding jari kepada Pas kononnya pro-Taliban yang bersifat agresif atau tuduhan seumpama tanpa bukti, sedangkan bagi DAP telah ada bukti nyata.

    Sebelum ini, pemimpin DAP Perak Nga Kor Ming sekali lagi memainkan naratif dengan mengaitkan PAS dan ‘negara Taliban’ bertujuan mengurangkan pengundi bukan Islam kepada Perikatan Nasional.

    Media melaporkan Kor Ming sebagai berkata, sekiranya PN yang terdiri daripada Bersatu yang berasaskan Melayu dan PAS (Islamik) berkuasa, Malaysia akan menjadi seperti ‘Afghanistan’.

    DAP adalah anggota parti komponen dalam Pakatan Harapan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta AMANAH.

  • Pilih Tok Penghulu pun mesti orang berakhlak, kata Muhyiddin

    Pilih Tok Penghulu pun mesti orang berakhlak, kata Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, perlu memilih pemimpin yang mempunyai akhlak baik dan terpuji untuk mentadbir, supaya negara tidak rosak.

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, dalam memilih pelbagai peringkat pemimpin, rakyat pastinya mahukan individu yang bersih serta amanah untuk memimpin mereka.

    “Bila mana kita nak menilai seorang pemimpin mesti ada nilaian-nilaian tertentu. Kalau nak jadi ketua kampung pun dinilai. Nak jadi tok penghulu dan pegawai kerajaan pun dinilai… nak jadi pegawai daerah juga ada nilaiannya.

    “Apa lagi kalau ianya untuk menjadi seorang pemimpin utama negara… sebagai Perdana Menteri perlu dinilai terutama dari segi akhlak dan amanah supaya negara tidak rosak dan terjerumus ke dalam lubang yang paling dalam,” katanya.

    Muhyiddin berkata demikian pada Jelajah PN BEST di Parlimen Tambun semalam.

    Kata Muhyiddin, rakyat sudah pasti tidak mahu sejarah hitam pentadbiran lebih 60 tahun Barisan Nasional (BN) dan 22 bulan Pakatan Harapan (PH), berulang semula.

    “Sejarah hitam negara telah berlaku dan kita pastinya tidak mahu perkara itu berulang. Jangan salah buat pilihan mengundi UMNO, BN dan PH.

    “Tetapi sekarang ini sudah tertubuh Perikatan Nasional… bermakna sudah ada satu pilihan baru. Yang pastinya kalau dinilai dalam tempoh yang begitu singkat Perikatan Nasional adalah satu pilihan yang terbaik.

    “Kepimpinan Perikatan Nasional sentiasa prihatin kepada permasalahan rakyat selain nilai akhlak pemimpinnya lebih bersih daripada BN dan PH. Tidak ada skandal atau rasuah yang melibatkan pemimpin Perikatan Nasional,” katanya lagi.

    Muhyiddin berkata dalam kalangan pemimpin BN wujud mereka yang tidak amanah dan terlibat menerima rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa selama memerintah Malaysia.

    Begitu juga katanya dalam kalangan pemimpin PH yang tidak bermoral dan terlibat dengan isu akhlak sehingga dituduh di mahkamah dan dihukum penjara.

    “Adakah rakyat mahukan pemimpin rasuah dan tidak berakhlak memimpin negara. Jika ini berlaku negara akan rosak lebih teruk,” katanya.

    Muhyiddin berkata namun, pemimpin Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini tidak terlibat dengan kes-kes mahkamah sebaliknya, telah mengurus negara, terutama menangani Covid-19 iaitu wabak yang tidak pernah berlaku dan diketahui sebelum ini, dengan cara terbaik.

    Sehubungan itu, Muhyiddin meminta pengundi, khususnya anak muda, keluar beramai-ramai mengundi Perikatan Nasional bagi menubuhkan sebuah Kerajaan Persekutuan yang Prihatin, Bersih dan Stabil, pada 19 November ini.

  • Anwar perlu cermin diri sebelum bercakap mengenai nepotisme

    Anwar perlu cermin diri sebelum bercakap mengenai nepotisme

    PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim patut cermin diri sendiri sebelum bercakap mengenai menentang nepotisme dan menyokong reformasi.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, Anwar sendiri mengamalkan nepotisme apabila isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    “Itulah nepotisme pada tahap tertinggi. Tidak kisahlah apa yang Anwar cakap mengenai orang lain termasuk saya sendiri, beliau perlu cermin diri sendiri.

    “Anwar sentiasa bercakap mengenai reformasi dan (mendakwa) menentang amalan nepotisme tetapi menariknya mengenai Anwar ialah beliau sendiri contoh nepotisme,” kata Saifuddin, lapor portal BeritaBersatu.

    Kata Saifuddin, satu lagi contoh adalah Langkah Kajang pada 2014 apabila PKR mahu menggantikan menteri besar Selangor ketika itu, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan cuba meletakkan Anwar sebagai ADUN Kajang.

    Bagaimanapun, Anwar tidak layak kerana ada kes mahkamah dan digantikan dengan isterinya.

    Saifuddin mengkritik Anwar dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kerana meminta pengundi tidak mengundi pemimpin yang berpaling tadah kepada parti lain.

    “Pemimpin sebenar tidak membuat serangan peribadi. Pemimpin sebenar bercakap mengenai dasar dan manifesto mereka. Rumusan saya adalah mudah, mereka (PH) tidak ada calon yang baik untuk menentang saya,” katanya.

    Saifuddin bakal mempertahankan kerusi Parlimen Indera Mahkota di Kuantan buat penggal kedua. Beliau dicabar Quek Tai Seong daripada Barisan Nasional (BN) Zuraidi Ismail (PH) dan Mohamad Nor Sundari (Pejuang).