Category: Politik

  • Fitnah! Saya tak pernah jumpa pemimpin PN bincang kerjasama – Hishammuddin

    Fitnah! Saya tak pernah jumpa pemimpin PN bincang kerjasama – Hishammuddin

    BENDAHARI Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan beliau ada berjumpa pemimpin Perikatan Nasional (PN) untuk membincangkan kemungkinan membentuk pakatan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    “Saya tak pernah jumpa pemimpin PAS ataupun Bersatu untuk membincangkan kerjasama selepas PRU15. Lagi satu fitnah tanpa bukti dari Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya di Facebook.

    Beliau merujuk laporan Anwar mendakwa pemimpin PN menemui Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan beliau untuk berunding kemungkinan menjalin kerjasama selepas PRU-15.

    Mohamad sudah menafikan dakwaan itu dengan berkata, beliau tidak tahu mengenai sebarang rundingan antara pemimpin BN, PAS dan Bersatu seperti yang didakwa Anwar.

    Sementara itu, Hishammuddin turut membidas Anwar terus mendiamkan diri apabila diminta membuktikan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaannya anggota tentera di Bera, Pahang, yang mengundi awal untuk PRU15 dibayar RM300.

    “Hari itu fitnah tentera terima RM300 untuk undi pos. Suruh bagi bukti dekat pihak berkuasa untuk siasat, terus diam. Ni lagi satu. Waspadalah.”

    Menteri pertahanan sementara itu berkata, tindakan Anwar itu bermula selepas ketinggalan dalam saingan PRU15 menjelang hari pengundian pada Sabtu ini.

  • Anwar pernah gagal selesai masalah ekonomi negara – Hadi

    Anwar pernah gagal selesai masalah ekonomi negara – Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempersoalkan kemampuan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa penyokongnya mampu memulihkan isu ekonomi dan kewangan negara.

    “Berapa tahun jadi Menteri Kewangan? Kononnya dia (Anwar) rapat dengan Bank Dunia. Apa boleh buat dengan Bank Dunia?” kata Hadi mengimbas situasi semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1990-an dahulu.

    Mengulas lanjut Hadi mendakwa, beliau tahu Dr Mahathir sangat marah kerana Anwar membuat pinjaman Bank Dunia.

    “Pinjaman mudah je, tapi interest dia, terikat Malaysia. Tun Mahathir panggil ahli-ahli ekonomi Malaysia selesaikan masalah. Menteri Kewangan tak boleh selesai. Macam mana nak selesai ekonomi dulu,.

    “Masa pentadbiran 22 bulan PH, apa beliau buat. Janji manifesto pun tak boleh buat” katanya, lapor Harakahdaily.

    Kenyataan itu sebagai reaksi kepada media yang menyatakan penyokong Pakatan Harapan (PH) mahu mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri supaya dapat memulihkan ekonomi dan kewangan dengan baik.

    Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga bahkan membidas PH yang memerintah hampir dua tahun yang tidak membuat perubahan kepada aspek ekonomi dan kewangan di bawah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

    Menjawab tuduhan Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan dan ditadbir Taliban, katanya DAP tidak tahu mengenai Taliban yang merupakan pelajar-pelajar pondok penentang Amerika hingga kuasa besar itu kalah dan marah.

    “Taliban ini budak pondok yang tak tahu memerintah, tak tahu nak buat sekolah, tak tahu apa. Pas memerintah Kelantan tak tutup sekolah. Perintah Terengganu, perintah Kedah. Orang Kelantan paling banyak pergi universiti.

    “Jadi, tak payahlah (nak tuduh begitu). Yang kita tahu dalam, dalam DAP ada Komunis, ada Komunis,” ujarnya selepas Santai Petang sempena Jelajah Presiden PAS di Cheng, di Tangga Batu hari ini.

    Abdul Hadi turut mengulangi pantun telah disebutnya dalam program di Negeri Sembilan semalam, iaitu:

    Dari Terengganu pergi Seremban,
    Sambil bawa kayu tempinis,
    Kamu tuduh kami Taliban,
    Dalam kamu ada Komunis.

    Mengulas kononnya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menyinggung perasaan berhubung isu wanita tidak layak menjadi calon, kata beliau itu ulasan dalam konteks di Sik.

    “Kenyataan dia khusus bagi daerah Sik saja. Kawasan pedalaman. Kawasan pedalaman memerlukan orang-orang yang sanggup menghadapi cabaran, kawasan banjir besar, kawasan hutan, macam jabatan-jabatan kerajaanlah, kita nak lantik kaum wanita?

    “Tak boleh lantik jadi Pengarah kena masuk hutan. Tak boleh lantik jadi jawatan-jawatan tak sesuai dengan wanita. Boleh lantik hal pendidikan, pelajaran, (atau di) kawasan-kawasan bandar. Pas pun lantik calon wanita. Ramai di Kelantan, di Kedah ada, Terengganu ada calon wanita.

    “Dan Pas bersama memenangkan calon wanita tahun 1960, Khadijah Siddiq, Ahli Parlimen Pas wanita yang pertama,” jelas beliau.

    Berhubung isu Pas dikatakan kahwin muta’ah dengan BERSATU, Hadi menyatakan bahawa kerjasama itu adalah bersungguh-sungguh di mana pembahagian kerusi tidak berlaku pergaduhan.

    Malah katanya, tiada pimpinan parti itu terpaksa beralih tempat bertanding atau berpindah ke tempat lain, sepertimana Anwar yang ke Tambun.

  • PRU-15: Pas rela jadi pembangkang jika gagal dapat majoriti

    PRU-15: Pas rela jadi pembangkang jika gagal dapat majoriti

    PAS rela menjadi pembangkang jika Perikatan Nasional (PN) gagal mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Beliau berkata parti itu mempunyai prinsip dan mahu kepimpinan bersih untuk menerajui kerajaan pasca-PRU15.

    “Kita sanggup jadi pembangkang…PAS jadi pembangkang berpuluh-puluh tahun tak jadi masalah. Kita tak mahu kerajaan tak bersih. Kita berprinsip, kita bukan parti yang hanyut,” katanya kepada pemberita selepas Program Santai Petang Bersama Presiden PAS di Cheng di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian mengulas laporan mengenai kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkenaan gabungan antara PN dan Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan selepas PRU15 jika kedua-dua pihak gagal mendapat majoriti mudah membentuk kerajaan.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRU15. – BERNAMA

  • “Apa bukti BN, PN bakal bergabung?” Muhyiddin tanya Anwar

    “Apa bukti BN, PN bakal bergabung?” Muhyiddin tanya Anwar

    PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar mengemukakan bukti berhubung dakwaannya pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memulakan rundingan untuk membentuk gabungan bagi mendirikan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan merangkap Presiden PKR itu gemar membuat pelbagai dakwaan untuk mempengaruhi sentimen pengundi yang dilihat mula menyokong PN.

    “Apa bukti (PN dan BN berpakat). ‘You don’t just make allegation without basis’. PN kini bertanding secara nyata melawan BN. Kita menyerang antara parti, jadi apa bukti dakwaan Anwar itu. Anwar suka buat dakwaan sama macam Rafizi (Rafizi Ramli – Timbalan Presiden PKR).

    “Tuduhan ini tidak lain untuk pengaruhi pengundi PN kononnya berpakat-pakat dengan BN padahal ia tidak berlaku pun. Jadi saya nak tanya Anwar Ibrahim apa buktinya. Saya cabar dia buktikan dan tolong jawab,” katanya pada sidang media selepas program sembang santai bersama penduduk Taman Sri Stulang, hari ini.

    Media hari ini melaporkan, Anwar mendakwa pemimpin BN dan PN sudah memulakan rundingan untuk membentuk gabungan bagi mendirikan kerajaan selepas PRU-15.

    Anwar dilaporkan mendakwa, kedua-dua gabungan parti itu membuat rancangan berkenaan, selepas masing-masing dikatakan ketinggalan dalam persaingan PRU-15, ketika hari mengundi berbaki empat hari lagi.

  • Buktikan PN dapat manfaat daripada kontrak kerajaan, Muhyiddin cabar Anwar

    Buktikan PN dapat manfaat daripada kontrak kerajaan, Muhyiddin cabar Anwar

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan dakwaannya bahawa PN adalah gabungan paling kaya.

    “Apa bukti dia ada?” soalnya ketika berkempen di sini.

    Muhyiddin berkata, beliau tiada masalah menunjukkan akaun kewangan PN kepada Anwar, tetapi tertanya-tanya jika pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mampu lakukan perkara sama.

    “Bolehkah dia lakukannya?” tanya Muhyiddin lagi.

    Terdahulu, Anwar mendakwa PN merupakan gabungan politik terkaya ketika ini kerana mendapat projek berbilion ringgit ketika pandemik Covid-19.

    Ditanya mengenai dakwaan Anwar bahawa PN dan Barisan Nasional (BN) merancang bekerjasama, Muhyiddin berkata: “Apa bukti dia ada?

    “Kami sedang bertanding menentang Umno dalam pilihan raya kali ini.

    “Anwar dan Rafizi Ramli suka buat dakwaan tak berasas,” katanya merujuk timbalan presiden PKR itu, lapor Free Malaysia Today.

    Bekas perdana menteri itu berkata, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sudah membuat penjelasan berhubung perkara itu hari ini.

    Terdahulu, Takiyuddin dilaporkan berkata, kenyataan berhubung kemungkinan BN dan PN membentuk kerajaan persekutuan diambil di luar konteks.

    Penjelasannya menyusul kenyataan Muhyiddin yang berkata, PN tidak memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN bagi membentuk kerajaan baharu.

  • Tok Mat nafi dakwaan jumpa pemimpin PN atas kemungkinan jalin kerjasama

    Tok Mat nafi dakwaan jumpa pemimpin PN atas kemungkinan jalin kerjasama

    TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menolak dakwaan beliau menemui pemimpin Perikatan Nasional (PN) untuk membincangkan kemungkinan menjalin pakatan selepas pilihan raya umum ke-15.

    Katanya, beliau tidak tahu mengenai sebarang rundingan antara pemimpin partinya dengan PAS dan Bersatu seperti yang didakwa Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim.

    “Jika ia seperti apa yang didakwa, saya pasti terlibat (dalam rundingan begitu),” katanya yang lebih dikenali sebagai Tok Mat kepada FMT sambil menambah dakwaan itu hanya taktik berkempen.

    Terdahulu, Anwar hari ini dilaporkan mendakwa pemimpin Pas dan Bersatu menemui beberapa pemimpin UMNO. Pas dan Bersatu sebahagian daripada PN.

    Selain Mohamad, pemimpin PN didakwa turut menemui Bendahari Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

    FMT sudah menghubungi Hishammuddin untuk mengulas.

    Dakwaan Anwar itu menyusul kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung kemungkinan BN dan PN membentuk kerajaan persekutuan baharu.

    Takiyuddin dipetik Berita Harian sebagai berkata: “Saya yakin kita dapat bentuk kerajaan persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain, termasuk BN. Apa yang pasti kita tidak menerima Pakatan Harapan (PH) walaupun perlu gabungan.”

    Tetapi, selepas Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, gabungan itu tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN bagi membentuk kerajaan selepas PRU15, pemimpin PAS itu menjelaskan kenyataan diambil di luar konteks.

  • ‘Kenyataan saya diambil di luar konteks,’ jelas Takiyuddin

    ‘Kenyataan saya diambil di luar konteks,’ jelas Takiyuddin

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin menjelaskan kenyataan beliau mengenai penggabungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah diambil di luar konteks.

    Malah tegas beliau, tajuk dalam laporan media itu juga adalah mengelirukan pengundi.

    “Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya berkeyakinan penuh PN akan dapat membentuk kerajaan secara bersendirian dan Perdana Menteri adalah daripada Perikatan Nasional.

    “Kami percaya rakyat akan lebih yakin dengan tema PN iaitu prihatin, stabil dan bersih.

    “Dengan kenyataan yang jelas ini maka sebarang kenyataan berhubung kerjasama dengan BN tidak berbangkit dan kami di PN berkeyakinan akan membentuk kerajaan bersendirian selepas PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Media hari ini memetik Takiyuddin sebagai berkata, Pas akan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) pasca PRU-15 jika pihaknya tidak dapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan.

    “Pendirian Pas adalah jelas, …akan bergabung dengan BN sahaja bukannya dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti komponennya.

    “Bagi kita atau mana-mana gabungan parti apabila mendapat majoriti mudah minimum sebanyak 112 kerusi, parti itu sendiri akan menubuhkan kerajaan.

    “Kalau parti ini tidak mendapat majoriti mudah, parti akan bergabung dengan mana-mana pihak. Pendirian Pas jelas.

    “Kalau kita perlu gabungan (selepas PRU15), pilihan terdekat adalah gabungan dengan BN. Begitu juga parti lain dalam BN,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Tuan Ibrahim yakin PN bentuk kerajaan 19 Nov, tolak soal gabungan politik

    Tuan Ibrahim yakin PN bentuk kerajaan 19 Nov, tolak soal gabungan politik

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yakin Perikatan Nasional (PN) akan berjaya membentuk kerajaan 19 November ini berdasarkan peningkatan sokongan kepada gabungan politik itu.

    Beliau menegaskan, ini sekali gus menolak andaian berlakunya gabungan politik sebagaimana dakwa Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menurutnya hanya bersifat pilihan sedia ada dan ia telah sedia diulas oleh pelbagai pihak.

    Menurutnya, di sebalik pelbagai ramalan politik, beliau melihat sokongan kepada PN semakin jelas khususnya dalam kalangan pengundi muda, seiring peningkatan sokongan dan mood perubahan ditunjukkan rakyat terhadap gabungan itu.

    “Pengundi muda mahu sebuah kerajaan bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa. Trend sokongan semakin meningkat ini dijangka akan lebih menyerlah pada hari-hari terakhir kempen.

    “Tidak timbul soal gabungan politik buat masa ini. Apa yang dinyatakan SUA Pas (Takiyuddin) hanyalah pilihan sedia ada dan telah sedia diulas oleh pelbagai pihak,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menegaskan, perkara yang penting bagi PN ketika ini ialah meningkatkan usaha secara berterusan bagi membentuk kerajaan PN yang dipilih oleh majoriti rakyat.

    “Rakyat dan penjawat awam telah serik di bawah PH selama 22 bulan, dan tidak mungkin mengulangi kesilapan lampau.

    “Demikian juga dengan BN (Barisan Nasional) dengan pelbagai kemelut kluster mahkamah, terpalit dengan salahlaku dikalangan sebahagian pimpinan menyebabkan rakyat hanya punyai satu pilihan, iaiatu kerajaan PN. Saya yakin kita mampu lakukannya,” tambahnya.

  • Kerajaan pusat: Takiyuddin tiada mandat berunding dengan BN – Muhyiddin

    Kerajaan pusat: Takiyuddin tiada mandat berunding dengan BN – Muhyiddin

    SETIUASAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak pernah diberi mandat untuk berunding dengan Barisan Nasional (BN) bagi tujuan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tujuan PN bertanding dalam PRU-15 adalah untuk membentuk
    kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau Pakatan Harapan.

    “Saya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional tidak pernah memberi mandat kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PAS, untuk berunding dengan Barisan Nasional bagi tujuan membentuk kerajaan selepas PRU-15.

    “Saya berdoa dengan izin Allah SWT dan sokongan padu rakyat, Perikatan Nasional akan memenangi jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri-negeri yang terlibat dalam PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Takiyuddin bahawa PN yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutama BN pada PRU-15.

    Malah katanya, beliau menjangkakan BN akan menerima penggabungan itu.

    “Saya yakin kita dapat bentuk kerajaan persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain, termasuk BN. Apa yang pasti kita tidak menerima Pakatan Harapan (PH) walaupun perlu gabungan.

    “Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ada menyebut sekiranya kita tidak boleh bergabung sebelum PRU-15, mungkin selepas (PRU-15) kita boleh wujudkan hubungan itu.

    “Rujukan pertama kita adalah BN, bagaimanapun sebarang perbincangan belum dibuat sepanjang tempoh berkempen ini, namun saya yakin BN akan terima. Perbincangan dulu sudah ada, namun ketika kita tidak bersama pun kita ada maklum mungkin kita boleh bersama selepas PRU-15,” katanya.

  • Hamzah dakwa ‘rombongan’ 5 bas masuk Larut bantu jentera BN

    Hamzah dakwa ‘rombongan’ 5 bas masuk Larut bantu jentera BN

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa terdapat lima bas dibawa masuk dari luar daerah itu untuk membantu menguatkan lagi jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam misi menumbangkan beliau di kerusi itu.

    Menyifatkan tindakan itu sebagai “terdesak”, Hamzah berkata, perkara itu disampaikan kepadanya oleh jentera PN di lapangan. Bagaimanapun, tidak timbul sebarang ketegangan kerana “rombongan” itu akhirnya pulang.

    “Kadang-kadang orang jauh ni dah sampai sini, baru dia tahu asal usul kita, kemudian mereka balik. Jadi tak timbul masalah tetapi cubaan (untuk berkempen) itu ada,” katanya selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Selama.

    “Tetapi tak mengapalah, orang nak kempen datang dari mana-mana pun tak apa. Cuma saya nak katakan bahawa Umno ini terdesak sehingga bawa orang luar untuk berkempen mengalahkan saya di sini,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Bagaimanapun, calon BN Shafiq Fhadly Mahmud ketika dihubungi menafikan dakwaan itu dan menyifatkan kenyataan Hamzah itu sengaja direka-reka kerana sedar beliau “di ambang kekalahan”.

    “Tuduhan itu tidak benar sebab semua jentera kita bekerja keras di tempat masing-masing. Kita mempunyai kekuatan jentera yang sangat besar di sini berbanding di pihak sebelah sana yang kita nampak sendiri tidak mempunyai jentera untuk bekerja dan mereka gentar dengan kita.

    “Sebab itu macam-macam cerita sekarang ini nak melemahkan kekuatan jentera kita. Saya percaya apabila pihak lawan cuba menggunakan taktik hasutan dan fitnah seperti ini bermakna mereka sedang gentar dan berada di ambang kekalahan,” katanya kepada FMT.

    Tambahnya, tindakan Hamzah itu juga dipercayai untuk cuba menutup tindakan beliau sendiri yang mengadakan perjumpaan besar-besaran bersama kakitangan awam dan anggota Rela dalam tempoh berkempen.

    “Difahamkan, hari ini ada perjumpaan dengan Rela untuk satu negeri Perak di sini (Selama)… malah sebelum ini ada perjumpaan dengan kakitangan awam lain saya rasa itu yang perlu dijawabnya sebenarnya,” kata Shafiq

    Hamzah, yang dalam misi mempertahankan kerusi Parlimen Larut yang disandangnya sejak 2008, berdepan saingan empat penjuru termasuk Syafiq, Zolkarnain Abidin (PH), dan Auzaie Fadzlan Shahidi (Pejuang).

    Pada PRU14, Hamzah menang kerusi tersebut atas tiket BN selepas mengalahkan calon PAS Abu Husin Mohamad dengan majoriti 4,486 undi.

    Hamzah kemudiannya meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu pada 2019.