Category: Politik

  • Sanusi cabar Saifuddin jawab dakwaan guna Jabatan Imigresen untuk kempen politik di Langkawi 

    Sanusi cabar Saifuddin jawab dakwaan guna Jabatan Imigresen untuk kempen politik di Langkawi 

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail perlu memberi penjelasan mengenai penggunaan jabatan kerajaan ketika menjalankan kempen politik di Langkawi, semalam.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa Saifuddin dan rombongannya menggunakan Jabatan Imigresen untuk mendaftar masuk di sebuah hotel di Langkawi.

    Katanya, tindakan Setiausaha Agung PKR yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu adalah salah kerana menggunakan jentera kerajaan dalam kempen politik. 

    “Kelmarin (semalam) pun dia kempen di Langkawi guna Jabatan Imigresen check in hotel, saya tahu. 15 bilik ambik kan ‘tatakelolo’.  Tak boleh tau program parti guna agensi kerajaan, itu salah. Saya tak pernah buat kerja tu dan (ini) tak boleh diterima oleh rakyat Malaysia.

    “Jangan cakap (lain) lepas tu kita buat benda lain, cakap tak serupa bikin (umpamanya) minyak turun besok, kan dah tak turun. Lepas tu orang marah, dia marah orang balik. 

    “Jangan janji benda yang tak boleh. Saya pun tidak pernah janji yang tak munasabah, kantoi letih nak cover,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri di Sik, hari ini.

    Terdahulu menerusi Facebook beliau, Muhammad Sanusi turut memuat naik gambar sekeping invois tempahan hotel di Langkawi atas nama Jabatan Imigresen yang didakwa melibatkan Saifuddin.

    Mengulas lanjut, beliau berkata akan terus memberikan ‘soalan-soalan’ yang perlu dijawab oleh Saifuddin yang didakwanya sering menyerang pentadbiran beliau dan kerajaan negeri, sejak akhir-akhir ini.

    “Saya ada soalan tiap-tiap hari untuk dia, sehari satu. Saya janji nanti saya akan tembak sehari satu (sebab) dia rajin siasat itu ini (sehingga) yang tak perlu dan dah disiasat pun dia siasat lagi. Jadi oleh kerana dia rajin kita bagi dia kes untuk disiasat,” katanya. 

    Ketika ditanya sama ada Saifuddin sudah menjawab pertanyaan beliau mengenai projek-projek yang menyebabkan kerajaan negeri rugi ketika di bawah Barisan Nasional dan PH sebelum ini, penyandang DUN Jeneri itu berkata, setakat ini tiada sebarang jawapan diberikan. 

    Malah, Muhammad Sanusi turut menjangkakan akan berlaku fasa serangan yang berterusan terhadap dirinya sepanjang proses kempen PRN selama dua minggu yang bermula secara rasmi hari ini . 

    “Serang lah apa pun kan. Saya boleh jawab saya jawab, yang tak boleh jawab saya serah Allah,” katanya.

  • Menormalisasikan rasuah : ‘’Dia boleh cakap apa saja’’ – jawab Zahid kepada Syed Saddiq

    Menormalisasikan rasuah : ‘’Dia boleh cakap apa saja’’ – jawab Zahid kepada Syed Saddiq

    PENGERUSI BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan tindakannya mengumumkan peruntukan di Terengganu semalam, sehari sebelum penamaan calon, walaupun dikritik sebagai “menormalisasikan rasuah”.

    Menjawab kenyataan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman, Zahid berkata Presiden Muda itu boleh berkata apa sahaja berkenaan perkara itu.

    “Dia boleh cakap apa saja tapi yang penting para belia perlukan peruntukan yang cukup untuk menjalankan aktiviti, sama ada persatuan-persatuan belia di peringkat daerah ataupun juga negeri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan jentera tiga DUN di bawah parlimen Kota Bharu, di Kota Bharu, hari ini, lapor Malaysiakini.

    Zahid demikian ketika diminta mengulas kenyataan Syed Saddiq yang mendakwa beliau cuba menormalisasikan rasuah susulan mengumumkan berjumlah peruntukan RM250,000 kepada Majlis Belia Negeri Terengganu dan RM200,000 kepada pasukan bermotosikal di seluruh negeri Terengganu, semalam.

    Sementara itu, ditanya sejauh mana kerajaan persekutuan akan menunaikan peruntukan yang dijanjikan di negeri-negeri yang mungkin akan dimenangi pembangkang, Timbalan Perdana Menteri itu menjawabnya dengan memetik sepotong hadis.

    “Kita akan lakukan yang terbaik, tetapi kita mesti pegang kepada hadis sahih nabi: tidak namanya bersyukur pada Allah jika tidak berterima kasih kepada yang memberi.

    “Yang memberi adalah kerajaan Madani…Jangan soal bahawa kita akan melakukan perkara-perkara yang negatif tetapi kita soal kepada diri kita sendiri adakah kita bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada yang memberi,” katanya, sambil menambah kerajaan persekutuan bukanlah zalim dan tidak menepati janji.

  • 50 pemimpin MIC Selangor ikrar sokong PN

    50 pemimpin MIC Selangor ikrar sokong PN

    SERAMAI 50 pemimpin MIC di Selangor berikrar untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.

    Kenyataan sokongan itu disuarakan Ahli Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC, Parthiban Karuppiah.

    Menurutnya, PN dipercayai komited dalam membela nasib kaum India apabila mengumumkan enam calon mewakili kaum itu berbanding Pkatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang meletakkan empat calon di Selangor.

    Beliau turut mendakwa MIC tidak dilayan secara adil dalam gabungan PH-BN itu selain nasib kaum India di negeri itu diabaikan.

    “Tindakan ini juga dibuat berikutan keputusan CWC MIC baru-baru ini untuk tidak berkempen bagi calon PH pada PRN akan datang di enam negeri. Keputusan itu dibuat selepas MIC tidak dilayan secara adil dalam gabungan BN dan dilihat tidak lagi memperjuangkan nasib kaum India di negeri-negeri ini,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

    Terdahulu, beliau bersama 50 pemimpin MIC hadir menyokong PN di hadapan Timbalan Pengerusi PN Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi di pejabat Pas Selangor

    Parthiban yang juga dikenali sebagai Cikgu Parthiban dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok itu merupakan penggerak kepada Kelab Penyokong Perikatan Nasional (PN) Selangor yang dilancarkan hari ini.

    Dalam pada itu, kenyataan sama turut memaklumkan Parthiban bersama pemimpin-pemimpin MIC akan memastikan gelombang masyarakat India terus membadai kawasan bandar di negeri ini.

    “Gelombang masyarakat India itu telah mula tercetus di kawasan luar bandar seperti di Tanjong Karang dan Kuala Selangor. Dengan lebih 40 peratus daripada jumlah populasi kaum India yang bermastautin di Selangor kami yakin dapat memberi kelebihan kepada PN,” katanya.

  • Annuar jawab sindiran Puad Zarkashi tidak jadi calon PRN

    Annuar jawab sindiran Puad Zarkashi tidak jadi calon PRN

    BEKAS Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, menjadi calon dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini bukanlah matlamat perjuangannya.

    Sebaliknya, bekas ahli Parlimen Ketereh itu yang kini menyertai Pas, pemilihan calon bagi setiap pilihan raya adalah hak mutlak parti yang bertanding walaupun seseorang itu boleh memasang hasrat untuk dipertaruhkan.

    “Menjadi calon bukan matlamat perjuangan saya. Memilih calon, hak parti. Kita boleh memasang hasrat.

    “Jika dipilih, ia satu amanah. Jika tidak, ia bukan segalanya sehingga kita nak merajuk, apa lagi mengugut dan menggugat parti sendiri,” kata Annuar dalam hantaran dalam Facebook beliau hari ini.

    Annuar berkata demikian sebagai respon kepada sindiran Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi kerana namanya tidak dicalonkan Pas pada PRN di Kelantan.

    Puad mendakwa, tindakan Pas itu tentu mengundang sakit hati Annuar.

    “Kesian Annuar Musa. Mungkin ramai yang terkejut apabila Pas tidak mencalonkan Annuar. Sebenarnya Annuar sahaja yang terkejut.

    “Dia boleh bagi apa sahaja alasan. Hati tetap sakit. Tanpa kedudukan dia hilang platform untuk memusnahkan UMNO. Cakap-cakapnya mungkin tidak lagi dipedulikan,” sindir Puad dalam hantaran di Facebooknya.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu malah memerli Annuar agar tidak terkilan dengan tindakan Pas memandangkan beliau kini sudah memiliki ‘pahala’ yang banyak kerana telah menjadi ahli ‘parti Islam’.

    Mengulas lanjut, Annuar berkata, Puad tidak perlu menyindir Islam atau parti yang berhasrat memperjuangkan Islam.

    “Apa yang pasti adalah lebih baik berada di saf belakang perjuangan berlandaskan Islam dan muafakat berpaksikan Islam daripada menjadi hero dalam saf perjuangan yang menjulang mereka yang benci, atau menolak Islam serta mufarakah daripada muafakat orang Islam.

    “Pegangan kita berbeza,” tegas Annuar yang juga pengerusi Muafakat Nasional (MN).

    Tambah Annuar lagi, lazimnya beliau memang jarang melayan Puad namun kali ini ada beri reaksi perlu diberikan tentang tulisannya yang dianggap ‘bersimpati’ itu.

    Pada masa sama Annuar ‘terkilan’ apabila Puad didakwanya menggunakan nilai hidup untuk menyukat perasaan orang lain.

    “Saya bukan Puad Zarkashi. Puad sewaktu berjawatan tinggi dalam parti dan kerajaan telah memberontak apabila namanya tidak dipilih menjadi calon dalam PRU.

    “Beliau meletak jawatan dan mahu bertanding menentang calon parti sendiri. Malah ada tuduhan beliau sabotaj ketua wanita beliau yang telah dipilih jadi calon. Saya tidak begitu.

    “Saya juga berbeza dengan Puad apabila sebagai ketua UMNO bahagian, saya jaga anak buah saya sebaiknya walau ketika saya tiada apa-apa jawatan.

    “Saya pimpin UMNO Ketereh lebih 35 tahun, tidak pernah ditewaskan. Puad tewas jawatan ketua UMNO Batu Pahat ketika dia masih menjadi ahli MKT, wakil rakyat dan speaker DUN Johor,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Annuar juga menegaskan, beliau dan Puad jelas berbeza daripada segi nilai hidup dan politik.

    Sebelum ini beliau disebut-sebut antara individu berpengaruh yang mungkin menjadi pertaruhan PN di Kelantan.

  • PN Johor jangka saingan tiga penjuru di Pulai, Simpang Jeram

    PN Johor jangka saingan tiga penjuru di Pulai, Simpang Jeram

    PERIKATAN Nasional (PN) Johor menjangkakan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

    Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal, berkata, ini susulan status Johor yang tidak melaksanakan konsep kerajaan Perpaduan seperti di peringkat kerajaan Persekutuan.

    Bekas Menteri Besar Johor itu menjelaskan, berdasarkan konsep berkenaan tidak mustahil Barisan Nasional (BN) berkemungkinan besar akan meletakkan calon di kedua-dua kerusi tersebut.

    “Sebagai penyandang kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Parti Amanah Negara (Amanah) sudah tentu mahu terus bertanding di situ.

    “Status Johor yang tidak melaksanakan konsep Kerajaan Perpaduan dalam pentadbirannya memungkinkan ada pertembungan dua parti dalam Kerajaan Perpaduan BN dan Pakatan Harapan (PH) di kedua-dua kerusi berkenaan,” katanya ketika ditemui hari ini.

    Dr. Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong berkata, PN Johor semestinya akan bertanding dan meletak calon di dua kerusi berkenaan, lapor Sinar Harian.

  • ‘Tiada masalah tak tanding’, kata Nik Abduh

    ‘Tiada masalah tak tanding’, kata Nik Abduh

    BEKAS Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berlapang dada dan menerima keputusan Pas yang tidak mencalonkannya pada pilihan raya negeri (PRN) dengan hati terbuka.

    Malah katanya, beliau sendiri tidak pernah terfikir untuk bertanding dan ia tiada masalah walaupun namanya tidak tersenarai.

    “Sebab itu saya tegaskan tidak bertanding pun tiada masalah kerana dan saya terima dengan hati yang terbuka.

    “Namun saya akan tetap membantu jentera parti untuk berkempen bagi memastikan Pas terus mentadbir Kelantan dan berharap semua pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing,” katanya menurut Harian Metro.

    Mengulas mengenai dakwaan berhubung dua kerusi yang ditawarkan kepadanya, beliau meminta media mengajukan soalan itu kepada pucuk pimpinan parti.

    “Kisahnya begini, minta tulis elok-elok ye, ketika saya mengadakan pertemuan dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini, saya mengatakan hasrat kepada beliau sekiranya parti mahu saya bertanding, saya memohon untuk bertanding di tempat yang tidak mengganggu tugas pertama saya iaitu di Pulau Melaka.

    “Ini kerana selepas PRU saya menguruskan tapak wakaf, Maahad Darul Anuar (Mada) peninggalan arwah bapa, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

    “Justeru saya minta supaya tugas politik saya nanti sekiranya menang tidak menghalang saya untuk menguruskan Mada dan saya tidak memohon mana-mana kerusi khusus sebagaimana didakwa, saya hanya menyatakan hasrat berkenaan,” katanya.

  • Satees keluar DAP, tanding calon Bebas

    Satees keluar DAP, tanding calon Bebas

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees hari ini mengumumkan keluar DAP serta bertanding sebagai calon Bebas di kerusi sama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, 12 Ogos ini.

    Menurut Satees, beliau membuat keputusan itu bukan kerana kecewa tidak dicalonkan DAP pada PRN kali ini sebaliknya mahu menentang ‘maharaja’ yang didakwanya sedang menyusun gerak kerja di dalam DAP.

    Jelasnya, keputusan itu juga disifatkan paling sukar pernah diambilnya sejak menyertai DAP kira-kira 15 tahun lalu dan dalam masa sama berikrar akan terus menyokong dan mempertahankan kepimpinan Pengerusi DAP Pulau Pinang yang juga Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

    “Mungkin ada yang kata saya letak jawatan sebab kecewa tidak dicalonkan, malah ramai pihak termasuk kawan rapat serta mentor saya, Dr. P. Ramasamy (bekas ADUN Perai) minta saya pertimbang keputusan keluar parti ini.

    “Tetapi jika saya terus berada dalam parti, tangan saya seperti akan terus diikat dan saya tidak ada kebebasan untuk bercakap. Tapi, ini juga tidak bermakna saya bencikan DAP.

    “Saya bukan mahu melawan parti tetapi (melawan) ‘maharaja’ (dalam DAP) yang ‘memperlakukan’ Pulau Pinang ini seperti milik bapanya. Maka, sebab itu jugalah saya pilih tema ‘Penang Kita Punya’ untuk kempen saya nanti,” katanya kepada pemberita di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Satees merupakan antara tujuh ADUN DAP termasuk lima Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang yang digugurkan daripada bertanding pada PRN kali ini diketuai Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy yang tidak akan mempertahankan DUN Prai.

    Menurut Satees, sama ada mampu menang atau sebaliknya pada PRN nanti bukan isu utama kerana beliau bertanding untuk memberi mesej kepada penyokong serta pengundi DAP supaya menolak kepimpinan ‘maharaja’ di dalam parti itu.

    Malah, beliau turut mendakwa ‘maharaja’ berkenaan mempunyai kuasa untuk membentuk Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baharu mengikut ‘acuannya’ jika memenangi pilihan raya terbabit.

    “Saya tahu kawan-kawan saya (dalam DAP) tidak boleh menyatakan sokongan secara terbuka, tapi tetap bersetuju dengan saya (untuk menentang ‘maharaja’ dalam DAP).

    “Sebenarnya perkara ini umpama kita sedang memerangi satu sel kanser. Kadang-kadang kita perlukan pembedahan dari luar untuk membunuh ‘sel’ tersebut,” katanya.

    Dalam masa sama, beliau menasihati penyokong serta ahli DAP yang sependapat dengannya tidak mengambil langkah keluar parti kerana tindakan itu boleh mengukuhkan serta menguatkan pengaruh ‘maharaja’ tersebut.

    “Ini antara saya dengan dia (maharaja). Yang lain boleh kekal dalam parti untuk terus menyokong Kon Yeow pada pemilihan parti Mac tahun depan,” tegasnya.

  • Senarai calon: Masalah Chow belum berakhir, kata – Ramasamy

    Senarai calon: Masalah Chow belum berakhir, kata – Ramasamy

    PENYANDANG yang digugurkan sebagai calon DAP pada pilihan raya di Pulau Pinang antara yang sepasukan atau dianggap sepasukan dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow, kata P. Ramasamy.

    “Seperti kita sedia maklum, ada usaha untuk menggantikan Chow sebagai ketua menteri.

    “Beberapa nama dicadangkan tetapi ditarik balik kerana bantahan kuat daripada pembangkang di Pulau Pinang.

    “Parti tiada pilihan selain mencadangkan nama Chow kepada ketua menteri akan datang,” katanya dalam kenyataan.

    Ramasamy mendakwa, walaupun Chow tidak digugurkan, pihak yang dilihat sepasukan dengannya dikorbankan supaya pasukan lain dapat mendominasi senarai calon.

    “Memang diketahui individu atau pihak-pihak di belakang kempen anti-Chow di Pulau Pinang,” katanya tanpa menyebut nama.

    “Chow mungkin selamat dari krisis utama dalam kehidupan politiknya tetapi melihat kepada peminggirannya dalam senarai calon, masalahnya jauh lagi untuk selesai.

    “Semua keterangan menunjukkan bahawa Chow adalah ketua menteri yang lemah jika pun dia dapat bertahan sepenggal penuh,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Ramasamy, penyandang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai dan ketua menteri II, antara yang tidak terpilih semula sebagai calon.

    Semalam, seorang ahli majlis Seberang Perai, David Marshel mendakwa pengerusi DAP Lim Guan Eng mahu menjadi ketua menteri semula.

    Marshel, yang keluar DAP selepas senarai calon diumumkan, akan bertanding di Perai sebagai calon Bebas atas alasan mahu memasukan Chow kekal sebagai ketua menteri.

  • PN Johor bincang PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram minggu depan

    PN Johor bincang PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram minggu depan

    PERIKATAN Nasional (PN) Johor akan mengadakan mesyuarat berhubung kekosongan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri ( DUN) Simpang Jeram pada minggu depan.

    Kekosongan luar jangka di kedua-dua kawasan itu susulan pemergian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddian Ayub, yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) pada Ahad lalu.

    Pengerusi PN, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, mesyuarat membabitkan ketua sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) peringkat negeri itu dijangka berlangsung di Johor Bahru.

    “Kekosongan kerusi di kedua-dua kawasan terbabit sudah dimaklumkan kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mesyuarat Bersatu Pusat pada Rabu.

    “Kita sedia maklum bahawa kerusi DUN Simpang Jeram, calon Pas yang bertanding di situ, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tahun lepas manakala di Parlimen Pulai pula, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ditandingi calon dari Gerakan.

    “PN Johor merujuk dengan kepimpinan Pusat tentang parti mana yang akan bertanding di kedua-dua kerusi. Bagaimanapun setiap parti akan menghantar tiga nama calon untuk dipertimbangkan oleh kepimpinan pusat,” katanya ketika ditemui hari ini.

    Dr. Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong menambah, mesyuarat kepimpinan PN pusat berhubung kekosongan kedua-dua kerusi di Johor akan disusuli selepas mesyuarat di peringkat negeri diadakan.

    “Mesyuarat PN pusat akan diadakan selepas PRN enam negeri berakhir. Buat masa sekarang PN sedang sibuk dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu,” ujar bekas Menteri Besar Johor itu, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, PN Johor juga terlibat menghantar jentera parti bantu kempen PN Negeri Sembilan dan Selangor.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 3 Ogos ini, bagi membincangkan mengenai pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

    Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 9.23 malam Ahad di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah.

    Salahuddin menjadi Ahli Parlimen Pulai selama dua penggal pada 2018 dan 2022 selain memenangi kerusi DUN Simpang Jeram ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU15 lalu.

    Pada PRU15 , Salahuddin menang majoriti 20,989 undi di Parlimen Pulai.

    Salahuddin mengalahkan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Nur Jazlan Mohammed yang memperoleh 23,026 undi, manakala calon PN, Loh Kah Yong pula meraih 14,432 undi.

    Salahuddin juga berjaya mempertahankan DUN Simpang Jeram buat penggal kedua pada PRN Johor apabila memperolehi 8,749 undi mengalahkan calon PN, Zarul Salleh yang mendapat 6,350 undi dan calon BN, Lokman Md. Don yang memperoleh 6,062 undi.

  • Mahkamah tangguh rayuan calon BN batalkan kemenangan PH di Segamat

    Mahkamah tangguh rayuan calon BN batalkan kemenangan PH di Segamat

    MAHKAMAH Persekutuan hari ini menangguhkan untuk mendengar rayuan calon Barisan Nasional (BN) Tan Sri M. Ramasamy untuk mencabar keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Segamat.

    Ini kerana peguam utama, Ramasamy, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dilaporkan tidak sihat dan sedang dalam cuti sakit (MC) hari ini.

    Susulan itu, mahkamah tertinggi negara menangguhkan kepada 1 Ogos untuk mendengar rayuan Ramasamy yang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Muar pada 3 April lepas yang menolak petisyen pilihan rayanya dan mengekalkan kemenangan R. Yuneswaran dari Pakatan Harapan di kerusi itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh hakim Zabariah Mohd. Yusof membenarkan permohonan penangguhan oleh peguam bersama Ramasamy, Sarah Malini Abishegam.

    Dia memaklumkan kepada panel juga terdiri daripada hakim mahkamah, Hasnah Mohammed Hashim dan Mary Lim bahawa Shafee sudah tidak sihat sejak beliau pulang dari luar negara awal minggu ini.

    Katanya, selepas menghadiri perbicaraan kes rasuah 1MDB membabitkan RM2.28 bilion oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dua hari lalu serta semalam, kesihatan Shafee semakin teruk malam tadi.

    Tambahnya, keadaan Shafee masih tidak berubah pagi ini, justeru peguam bela itu terpaksa mengambil MC.

    Beliau juga memohon maaf bagi pihak Shafee atas keperluan untuk penangguhan tersebut, lapor Malaysiakini.

    Apabila Zabariah bertanya kepada peguam Lau Yi Leong dan peguam kanan Persekutuan, Suzana Atan yang masing-masing mewakili Yuneswaran serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kedua-dua berkata, mereka tidak mempunyai bantahan terhadap penangguhan itu.

    Mahkamah kemudian menangguhkan pendengaran rayuan hari ini kepada 1 Ogos minggu depan.

    Pada 26 April, Ramasamy, merayu kepada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Muar menolak petisyen pilihan rayanya.

    Ramasamy yang juga Bendahari MIC bertanding sebagai calon BN bagi kawasan parlimen Segamat pada PRU15.

    Yuneswaran memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,669 undi pada November tahun lepas dan diisytiharkan sebagai ahli parlimen bagi kawasan itu, mengalahkan Ramasamy, P. Poobalan dari Perikatan Nasional dan Syed Hairoul Faizey dari Pejuang.

    Dalam petisyennya, Ramasamy memohon, antara lain, pengisytiharan bahawa pilihan raya bagi kawasan Parlimen Segamat adalah terbatal dan pengisytiharan bahawa Yuneswaran tidak dipilih sebagai ahli Parlimen.

    Beliau menamakan Yuneswaran, pegawai pengurus pilihan raya dan SPR sebagai responden.

    Dalam penghakimannya, hakim Mahkamah Tinggi Mohd. Radzi Abdul Hamid berkata terdapat ketidakpatuhan terhadap keperluan Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Peraturan Petisyen Pilihan Raya.

    Beliau berkata, petisyen tidak seharusnya berdasarkan inferens dan andaian tetapi berdasarkan fakta sebenar serta material dan menambah bahawa petisyen Ramasamy tidak mempunyai fakta material yang jelas dan tepat.

    Mohd. Radzi telah menerima bantahan awal oleh responden yang dibangkitkan dalam usaha mereka untuk menolak petisyen Ramasamy.

    Bantahan awal yang dibangkitkan oleh responden termasuk bahawa Ramasamy gagal mematuhi Peraturan 15(4) Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 berkaitan afidavitnya dan kegagalannya mematuhi Peraturan Petisyen Pilihan Raya berkenaan fakta merayu dalam petisyennya yang tidak mampu mengekalkan perisytiharan yang dimohon.