Category: Politik

  • Agihan kerusi PN untuk PRN ditentukan sebelum Tahun Baharu Cina

    Agihan kerusi PN untuk PRN ditentukan sebelum Tahun Baharu Cina

    RUNDINGAN pengagihan kerusi antara parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri akan diadakan sebelum Tahun Baharu Cina.

    Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, rundingan pengagihan kerusi itu penting untuk disegerakan bagi membolehkan jentera parti komponen PN melakukan persiapan dan gerak kerja bagi menghadapi PRN berkenaan.

    Ujar beliau, parti-parti komponen PN ketika ini juga mengadakan mesyuarat di enam buah negeri yang terlibat dengan PRN terbabit setiap bulan.

    “Berdasarkan pengalaman dalam pilihan raya sebelum ini, rundingan mengenai soal-soal PRN termasuk agihan kerusi ini juga akan dijalankan secara berterusan sehingga hari penamaan calon,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang di Georgetown hari ini.

    Enam buah negeri iaitu Kedah; Pulau Pinang; Selangor; Negeri Sembilan; Kelantan dan Terengganu akan mengadakan PRN selepas tidak membubarkan DUN masing-masing serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

    Dalam pada itu, Dominic berpendapat PRN di enam buah negeri terbabit paling sesuai diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri.

    Bagaimanapun jelas beliau, ia tertakluk kepada kuasa kerajaan negeri masing-masing untuk membubarkan DUN bagi membolehkan PRN diadakan.

    Dalam perkembangan berkaitan, Dominic yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang berkata, beliau akan mengetuai jawatankuasa persediaan untuk menghadapi PRN di negeri itu.

    “PN akan bertanding dan memberi fokus di kesemua 40 kerusi DUN Pulau Pinang, berapa agihan kerusi antara parti komponen PN akan diputuskan nanti,” katanya.

  • Tidak perlu pertikai tindakan bawa Ketua Cawangan pergi bercuti

    Tidak perlu pertikai tindakan bawa Ketua Cawangan pergi bercuti

    KETUA Penerangan Pemuda UMNO Tenggara, Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman berkata, tindakan Datuk Seri Dr. Adham Baba membawa ketua-ketua cawangan menghadiri retreat di Surabaya, tidak perlu dipertikaikan.

    Katanya, adalah sesuatu yang menghairankan dan lucu apabila Datuk Lokman Noor Adam mempertikaikan tindakan berkenaan.

    “Adakah tidak boleh seorang ketua bahagian (KB) membawa ketua-ketua cawangan beliau pergi bercuti?

    “Kalau ya pun ada berita tidak jelas, pasti Datuk Lokman boleh menelefon Datuk Seri Adham untuk bertanya berkenaan perkara ini, bukannya menuduh secara terbuka.

    “Ketua cawangan ini ibarat mata dan telinga ketua bahagian di setiap cawangan. Beliau menjadi tempat rujukan masyarakat setempat, tempat mengadu dan segala permasalahan akan dibawa kepada ketua bahagian dan juga wakil rakyat untuk diselesaikan.

    “Khidmat mereka ini adalah secara sukarelawan dan bukannya mendapat gaji tetap setiap bulan,” jelas Hasrul menerusi perkongsiannya dalam Facebook hari ini.

    Sebelum ini, Lokman mendakwa Adham cuba mempengaruhi pemimpin cawangan di bawah bahagian Tenggaranya untuk mengundi Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Presiden UMNO yang baharu.

    Lokman mengutarakan perkara itu dalam satu video di YouTube yang memberitahu Dr. Adham menyebut sedemikian dalam ucapannya ketika membawa rombongan ketua-ketua cawangannya di Surabaya, Indonesia baru-baru ini.

    Tambahnya, pertikaian Lokman terhadap penglibatan setiausaha politik Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam retreat berkenaan juga amat dangkal kerana Datuk Abdul Halim juga merupakan ketua cawagan dalam bahagian Tenggara.

    “Yang paling menjelikkan adalah ada pihak yang melagakan siap menghantar gambar-gambar ketika retreat dengan membawa naratif songsang dan mengelirukan.

    “Orang yang berjalan seperti gunting sangat bahaya kerana apabila mereka berjalan mereka memutuskan. Jangan kita sesekali lupa akan sejarah. Robohnya Kota Melaka bukan kerana pertahanan yang tidak kuat, namun kerana wujudnya gunting dalam lipatan yang mengkhianat pasukan,” katanya, lapor Astro Awani.

  • “Mudarat lebih besar menanti jika tiada pertandingan 2 jawatan tertinggi UMNO”

    “Mudarat lebih besar menanti jika tiada pertandingan 2 jawatan tertinggi UMNO”

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ALASAN kononnya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak perlu dipertandingkan demi kestabilan parti hanya akan digunakan oleh golongan tidak tahu malu yang hanya gilakan kuasa serta kemaruk jawatan dan kepentingan.

    Menurut Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Yusof Ismail, ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas kian hampir, semakin banyak pandangan yang menyokong dan menyanggah agar kedua-dua jawatan tersebut dipertandingkan.

    Katanya, mereka yang tidak mahu pemilihan untuk dua jawatan tersebut mempunyai pelbagai alasan kononnya walak kepada pemimpin dan setia kepada Presiden.

    “Paling mual, nak pastikan kestabilan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN). Alasan itu juga turut digunakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) konon untuk memastikan parti kuat dan menang.

    “Menang apanya? Kalah teruk lagi adalah. Paling teruk dalam sejarah, 26 kerusi saja berbanding 54 kerusi dalam PRU-14.

    “Paling tidak sebelum PRU-15, UMNO kuasai kerajaan dan menjadi Perdana Menteri. Pergi desak PRU-15 diadakan atas alasan kestabilan, sudahnya lagi porak-peranda,” katanya dalam satu status dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.

    Yusof turut mempersoalkan adakah UMNO masih mahu menyekat demokrasi dengan alasan ‘kestabilan’ selepas semua itu berlaku?

    “Hanya yang gila kuasa dan kemaruk jawatan serta kepentingan saja tak tahu malu guna alasan konon suci macam ini. Jutaan lagi ahli UMNO tahu sangat agenda masing-masing.

    “Kalau betul dua jawatan ini tidak dipertandingkan, tunggulah UMNO akan ditimpa mudarat lebih besar. Bukan ahli UMNO saja hilang kepercayaan tetapi rakyat juga akan berpaling muka dari UMNO.

    “Mana lagi kita sanggup tengok? UMNO kekal dihormati ahlinya sediri walaupun segelintir akan menyalak kerana hilang kuasa atau UMNO dikuburkan rakyat buat selama-lamanya?” soalnya.

  • PN terbuka jalin kerjasama dengan BN – Hamzah

    PN terbuka jalin kerjasama dengan BN – Hamzah

    PINTU sentiasa terbuka buat Perikatan Nasional (PN) menjalinkan kerjasama dengan mana-mana gabungan politik termasuk Barisan Nasional (BN) pada masa depan.

    Perkara itu diakui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin seperti dilaporkan BH Online di sebalik timbul desas-desus berhubung ‘Langkah London’ yang dikatakan direncana beberapa ahli politik.

    Bagaimanapun, Hamzah enggan merujuk cadangan kerjasama tersebut sebagai Muafakat Nasional (MN).

    Beliau menegaskan, pintu kerjasama itu hanya boleh ‘dibuka’ sekiranya semua pemimpin bersetuju dengan matlamat yang sama.

    Ketika ditanya kemungkinan PN boleh kembali menjadi kerajaan menerusi kerjasama baharu, Hamzah hanya menjawab: “Pintu sentiasa terbuka.”

    “Kerjasama ini perlu menjadi satu dasar yang dipersetujui semua pemimpin parti, BERSATU, PAS dan UMNO. Jika semua percaya dengan satu matlamat yang sama, maka tiada masalah untuk mewujudkan kerjasama ini.

    “Jika ada satu pihak kata ‘tidak’, maka ia tak akan berlaku. Namun jika kita percaya antara satu sama lain, kita boleh mencapai matlamat kita,” katanya memaklumkan asas kerjasama itu kekal untuk kepentingan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

    Ditanya mengenai masa depan UMNO yang pernah dianggotainya sebelum keluar parti itu pada Disember 2018, Hamzah yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dilihat keberatan untuk mengulas mengenainya.

    Selepas diasak dengan soalan serupa, beliau memaklumkan, UMNO memerlukan pembaharuan besar-besaran atau berisiko ditolak sepenuhnya oleh rakyat.

    “UMNO perlukan kerjasama baharu untuk parti itu membuat pembaharuan,” katanya.

    Mengenai pilihan raya negeri (PRN) yang perlu dilaksanakan menjelang pertengahan tahun ini, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu meluahkan keyakinan PN mampu merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH).

    Jelas beliau, peluang gabungan itu untuk merampas Negeri Sembilan pula dilihat seimbang.

    Pada masa sama, Hamzah turut menjangkakan PN akan terus dapat menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Namun begitu, beliau merasakan peluang sukar untuk gabungan itu merampas Pulau Pinang dengan kekuatan DAP di negeri berkenaan.

  • GRS sedia buktikan sokongan kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri

    GRS sedia buktikan sokongan kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri

    GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) bersedia untuk membuktikan keabsahan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah kepada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Masidi Manjun.

    Beliau berkata ini kerana difahamkan ada pihak tertentu mendakwa telah memperoleh sokongan lebih separuh daripada ADUN Sabah untuk membolehkan kumpulan ini menubuh sebuah kerajaan negeri yang baharu.

    Katanya, Hajiji telah menerima perakuan dan sokongan majoriti besar ADUN Sabah untuk terus memimpin kerajaan negeri masa ini termasuk sokongan daripada tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH).

    “Kami bersedia membuktikan keabsahan sokongan tersebut kepada pihak berwajib apabila dan sekiranya perlu.

    “Suasana dan kedudukan politik di Sabah kekal stabil dan selamat untuk urusan perniagaan dan pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    DUN Sabah mempunyai 79 ADUN iaitu 73 ADUN yang dipilih dan enam ADUN dilantik.

    Kerajaan Sabah pada masa ini mempunyai sokongan 59 ADUN iaitu 29 daripada GRS, Barisan Nasional (17), PH (7), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (3), Parti Bangsa Malaysia (1), Parti Harapan Rakyat Sabah (1), dan seorang ADUN Bebas. – BERNAMA

  • Ismail Sabri nafi terbabit ‘Langkah London’, sifatkannya fitnah jahat

    Ismail Sabri nafi terbabit ‘Langkah London’, sifatkannya fitnah jahat

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan tuduhan beliau antara dua Naib Presiden UMNO terbabit dalam usaha menjatuhkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelang perhimpunan agung parti itu minggu depan.

    Ia susulan dakwaan seorang penulis blog yang tular media sosial bahawa dua Naib Presiden UMNO mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin di London untuk menjatuhkan Zahid sebagai Presiden UMNO.

    Menurut dakwaan itu, gerakan yang dinamakan “Langkah London” bertujuan menjatuhkan Zahid dalam usaha menggulingkan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Ismail menyifatkan tuduhan yang mengaitkan beliau dengan gerakan seperti itu sebagai fitnah yang sengaja dicipta untuk memburukkan namanya.

    Bekas perdana menteri itu menjelaskan beliau bercuti dengan keluarganya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 22 Dis hingga 3 Jan lalu, tarikh yang didakwa beliau menemui beberapa pemimpin politik di London.

    “Saya menafikan sekeras-kerasnya. Ini merupakan fitnah jahat.

    “Saya berdiam diri selepas PRU15 sehingga kini, tiada kenyataan mengenai Umno, tiada kenyataan mengenai kerajaan. Tujuan saya berdiam diri supaya tiada spekulasi dan fitnah mengaitkan saya.

    “Tapi pemfitnah yang tidak mengenal dosa ini masih terus mengaitkan saya, sebab itu saya menganggap ini merupakan fitnah berniat jahat,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today melalui WhatsApp.

    November lalu, Ismail menafikan dakwaan pertemuan tertutup membabitkan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan PAS diadakan di Tropicana Golf & Country Resort.

    Ismail dilaporkan berkata, semua tindakannya disalah tafsir sehingga dirinya dianggap pengkhianat jika bertemu rakan daripada Pas, manakala pihak yang bertemu pimpinan Pakatan Harapan pula dianggap hero

  • PRN: Pengundi Melayu akan beralih dari UMNO kepada PN

    PRN: Pengundi Melayu akan beralih dari UMNO kepada PN

    SOKONGAN orang Melayu berkemungkinan akan beralih daripada UMNO kepada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) dalam beberapa bulan akan datang.

    Menurut Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, beliau percaya orang Melayu akan mengalihkan sokongan mereka kerana UMNO kini bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan, bukan sahaja di peringkat Persekutuan, tetapi juga di negeri-negeri yang pernah dikuasai Barisan Nasional (BN), yang bertentangan dengan hati rakyat, dan prinsip asas parti nasionalis itu.

    “Ia terbukti dalam keputusan pilihan raya umum (PRU) lalu di mana sokongan bangsa Melayu mula beralih kepada Perikatan Nasional, tetapi apabila UMNO menjadi sebahagian daripada kerajaan, ini menimbulkan kemarahan orang Melayu dan ramai yang berhasrat untuk membuat pusingan-U sekarang.

    “Jika kita perhatikan, kerusi luar bandar yang menjadi kubu kuat UMNO sebelum ini, kita berjaya memenanginya pada PRU-15.

    “Jadi saya yakin detik ini akan berterusan sehingga pilihan raya negeri akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam artikel yang disiarkan hari ini.

    Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

    Semalam, Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata UMNO/BN akan bekerjasama dengan PH dalam PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi.

    Guan Eng berkata dengan penubuhan kerajaan pada peringkat Persekutuan, DAP dan UMNO/BN akan mengambil bahagian dalam kerjasama yang sama di peringkat negeri, sama seperti di Perak dan Pahang.

    “Perbincangan lanjut mengenai perkara itu akan diadakan semasa mesyuarat PH, melibatkan Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin tertinggi lain, pada minggu ketiga bulan ini, sebelum Tahun Baharu Cina.

    Pada dasarnya, Guan Eng berkata kerjasama politik akan melibatkan penubuhan kerajaan PH-BN pada Peringkat Persekutuan.

    “Jika tidak (kerjasama dalam PRN), saya tidak fikir ia (kerajaan PH-BN) akan berterusan. Jadi, dengan itu, sudah tentu bukan sahaja peringkat kerajaan, malah kerjasama politik juga akan berlaku.

    “Tetapi (sekali lagi), saya rasa kita perlu menunggu mesyuarat yang akan diadakan sebelum sebarang kerja boleh dimulakan,” tambah Guan Eng.

    Mengulas lanjut, Ahmad Faizal mengakui ia tidak akan menjadi ‘cake walk’ untuk Perikatan Nasional pada PRN itu, meletakkan ia kepada naratif serong PAS sebagai parti ekstremis.

    Beliau berkata ia telah berjaya pada tahap tertentu dalam kalangan pengundi bukan Islam di negara ini.

    “Mereka yang mendakwa jika Perikatan Nasional menang, kami akan memerintah dengan cara Taliban. Propaganda mereka telah berjaya menimbulkan ketakutan kepada pengundi bukan Melayu di mana sebenarnya apa yang berlaku di Terengganu dan Kelantan bukanlah seperti yang didakwa,” katanya.

    Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, yang dikuasai PH, dan Kedah, Kelantan dan Terengganu, ditadbir oleh PAS, akan mengadakan PRN tahun ini.

  • Kerajaan Perpaduan runtuh apabila PH, BN bertembung dalam PRN

    Kerajaan Perpaduan runtuh apabila PH, BN bertembung dalam PRN

    PENGANALIS meramalkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan runtuh sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bertembung, pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tahun ini.

    Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, keutamaan paling penting Anwar ketika ini demi memastikan PH dan BN bekerjasama di peringkat Pusat dan negeri.

    Jelasnya, ini termasuk pilihan raya kerajaan tempatan sekiranya pemilihan berkenaan dihidupkan kembali.

    “Jika mereka bertembung, ia memaparkan perpaduan ditunjukkan di peringkat pusat lemah.

    “Cukup penting (bagi gabungan itu bekerjasama pada PRN) untuk menyakinkan rakyat PH dan BN benar-benar serius mengekalkan perpaduan di peringkat pusat bagi tempoh empat ke lima tahun lagi,” katanya memetik laporan FMT.

    Sementara itu,Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura pula berkata, sasaran utama bagi PH dan BN menuju PRN untuk tidak bertembung sama sekali, sekali gus mengurangkan kelebihan kepada Perikatan Nasional susulan daripada perpecahan undi.

    Beliau yakin perpaduan dalam kerajaan Pusat bukan kebimbangan sebenar.

    “Kebimbangan besar adalah tumpas kepada PN kerana berlaku pertindihan kerusi,” katanya.

    Beliau berkata, sama ada BN mahupun PH mempunyai sebarang insentif untuk bergerak solo pada PRN mengambil kira ‘usaha terangkum pun belum tentu dapat menewaskan PN’.

    Anwar akan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH sebelum Tahun Baharu Cina bagi membincangkan persiapan bagi PRN di Pulau Pinang.

    Antara agenda mesyuarat itu dijangka membincangkan kerjasama dalam kerajaan menjelang PRN dan agihan kerusi dalam kalangan parti.

    Enam negeri akan mengadakan PRN tahun ini membabitkan negeri diterajui PH seperti Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dan negeri diperintah Pas, di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Sebelum ini, PH Selangor dan Negeri Sembilan ada menyatakan keterbukaan bekerjasama dengan BN, pada PRN.

    Terdahulu, PH dan Pas enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan PRU15, yang diadakan pada 19 November.

    Semua enam negeri mesti mengadakan PRN menjelang September.

  • Pas, parti komponen PN tak akan ‘bunuh’ UMNO – Hadi

    Pas, parti komponen PN tak akan ‘bunuh’ UMNO – Hadi

    c

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, sejarah berulang kali membuktikan parti itu pernah menyelamatkan UMNO dan menjadi rumah tumpangan terhadap pemimpin yang disingkirkan parti itu.

    “Pas dan parti-parti komponen dalam PN tidak akan ‘membunuh’ UMNO sepertimana yang diiklankan oleh segelintir pemimpin yang hanya melompat ke pokok yang dilihat akan buahnya sahaja, laksana kera yang kelaparan.

    “Sejarah secara berulang kali telah membuktikan Pas bersama UMNO ketika bermulanya perjuangan kemerdekaan lagi khususnya bagi menyelamatkan keadaan ketika berlakunya darurat Komunis.

    “Apabila Pas menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan sewaktu berlakunya peristiwa 13 Mei 1969.

    “Pas juga laksana rumah tumpangan kepada pemimpin UMNO yang disingkirkan apabila berlaku krisis dalaman antara mereka,” kata Abdul Hadi menerusi ruangan Minda Presiden hari ini.

    Mengulas lanjut, Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN mendakwa, tidak mustahil DAP yang kini menjadi rakan sekutu UMNO dalam kerajaan sekarang akan menelan parti itu.

    Menurut beliau, situasi itu pernah dihadapi oleh UMNO seperti mana yang pernah berlaku di Singapura.

    “Sebaliknya, dalil tidak mustahil DAP ‘menelan’ UMNO sepertimana sejarah berlaku di Singapura, apabila UMNO ketika itu ditelan oleh PAP yang kemudiannya telah melahirkan DAP.

    “Sejarah juga membuktikan Pas banyak membantu UMNO dan dakwaan akan ‘membunuh’ UMNO jika kerjasama antara dua parti itu dilakukan adalah tidak benar serta mengarut.

    “Sesiapa yang kata bahawa Pas nak bunuh UMNO, tanya dulu siapakah yang bunuh UMNO di Singapura dahulu? Jawapannya ialah PAP (People Action Party) bukan Pas,” katanya.

    Pada masa sama, Hadi juga mengingatkan UMNO mengenai percaturan yang dibuat dengan memilih untuk bekerjasama dengan DAP yang menurut ahli Parlimen Marang itu akan merugikan orang Melayu dan Islam.

    Katanya, Pas yang pernah bekerjasama dengan DAP akhirnya terpaksa menolak parti itu kerana menentang perjuangan Islam yang dibawa olehnya.

    Antara penentangan yang dilakukan oleh DAP, katanya, termasuk menghalang dan mengkritik usaha Pas untuk mengharamkan arak kepada orang Islam sekali pun ia diizinkan kepada orang bukan Islam.

    Selain itu katanya, DAP turut menentang keras pelaksanaan syariat di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pas walaupun ia hanya dilaksanakan ke atas penganut Islam sahaja.

    “Ada orang kata mengapa dahulu Pas berkawan dengan DAP, maka jawabnya, dahulu kita berkawan dengan DAP berkonsepkan tahaluf siyasi yang membolehkan kita menentang kezaliman dan penyelewengan atas titik persamaan.

    “Akan tetapi DAP tidak menghormati konsep adanya perbezaan apabila mereka menentang Islam, malah menentang dasar-dasar dan perjuangan Pas. Bahkan, secara terbuka mereka membela orang Islam yang murtad,” dakwa beliau lagi.

  • Jawatan Presiden, Timbalan Presiden UMNO wajar dipertanding – Penganalisis Politik

    Jawatan Presiden, Timbalan Presiden UMNO wajar dipertanding – Penganalisis Politik

    JAWATAN Presiden dan Timbalan Presiden UMNO wajar dipertanding bagi memenuhi hasrat akar umbi yang mahu kepimpinan kini meneruskan perjuangan parti itu.

    Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Azmi Hassan berkata perkara itu dikuatkan lagi dengan kewujudan ‘cakap-cakap’ yang menyatakan kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 adalah kerana presidennya.

    “Kalau tidak dipertanding, kekalkan presiden atau timbalan presidennya seperti sekarang maka tekanan-tekanan berterusan supaya presiden, timbalan presiden turun berundur menyebabkan UMNO tidak akan pulih, sentiasa berada di situ (tidak stabil).

    “Jadi kalaulah dipertanding dan presiden serta timbalan presiden dapat pertahankan jawatan maka ini membuktikan bahawa akar umbi UMNO mahu kepimpinan sekarang (menerajui parti),” katanya kepada Bernama hari ini.

    Justeru menerusi padangan peribadi beliau, seharusnya kedua-dua jawatan itu dipertanding supaya tiada lagi tekanan kepada presiden dan timbalan dalam menjalankan tugas.

    Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Profesor Sivamurugan Pandian pula berkata jawatan itu wajar dipertanding bagi memelihara proses demokrasi yang selaras dengan Perlembagaan UMNO.

    Beliau berkata keabsahan penyandang jawatan itu akan mengikat pihak yang cuba menyoal legitimasi kepimpinan individu terbabit.

    “Ini boleh menjadi mesej kepada ahli dan mereka yang di luar parti bahawa untuk bergerak ke hadapan, mereka perlu mengadaptasi suasana politik mutakhir.

    “Kalaupun ada yang menyoal, ia akan membawa perpecahan dan solidariti, parti perlu menanganinya dengan baik supaya golongan muda serta pengundi melihat tiada sekatan dalam parti. Ia akan menampakkan integriti politik dipertahan dan parti bergerak ke arah yang betul,” katanya.

    Sivamurugan berkata perwakilan UMNO boleh memutuskan sebaliknya namun realiti politik kini sehingga Kerajaan Perpaduan terbentuk adalah penting untuk parti itu membuat perubahan dan pembaharuan.

    Bagi Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Kartini Aboo Talib @ Khalid, jawatan itu perlu dipertanding supaya (kebimbangan mengenai) salah guna kuasa oleh kepimpinan parti dapat dikurangkan ke tahap minimum.

    “Ia juga bantu menggalakkan peluang terbuka buat bakat baharu dan generasi muda memegang tampuk kepimpinan,” katanya.

    Pada Julai lepas, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan meluluskan permohonan berkaitan pindaan Perlembangaan parti itu supaya pemilihan di semua peringkat diadakan tidak lebih enam bulan selepas PRU diadakan.

    Jawatan Presiden UMNO kini disandang Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) manakala Timbalan Presiden parti itu disandang oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan, yang merupakan Timbalan Pengerusi BN.

    Tiga lagi jawatan utama parti yang digelar top five iaitu Naib Presiden dan kini disandang oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Datuk Seri Mahdzir Khalid, selain Ahli Majlis Tertinggi, turut dipertanding.