Category: Politik

  • PRN: UMNO tanding bersama PH, guna logo BN

    PRN: UMNO tanding bersama PH, guna logo BN

    UMNO memberi bayangan akan bertanding bersama Pakatan Harapan (PH) dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, namun memilih untuk kekal menggunakan logo Barisan Nasional (BN).

    Ia antara disentuh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui melalui Taklimat Presiden UMNO di hadapan lebih 3,000 perwakilan parti itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

    Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, mengesahkan persediaan UMNO untuk berdepan enam PRN iaitu di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu, antara isu utama disentuh Ahmad Zahid dalam sesi taklimat berlangsung kira-kira sejam itu.

    Menurutnya, Presiden UMNO turut menekankan peri pentingnya ahli dan pimpinan parti mengekalkan perpaduan dan solidariti untuk memastikan UMNO dapat bersedia sepenuhnya untuk berdepan PRN berkenaan.

    “Hari ini bincang mengenai solidariti dalam UMNO. Perpaduan amat penting kerana kita akan berhadapan enam PRN.

    “Hari ini kita bincang (mengenai kerjasama) dalam UMNO , (kerjasama) dengan orang lain itu belum bincang lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai taklimat hari ini, lapor Berita Harian.

    Taklimat itu diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) yang membuka tirainya dengan perasmian serentak persidangan tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri malam sehingga Sabtu ini.

    Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pula ketika mengulas taklimat sama berkata, Ahmad Zahid menggesa ahli parti untuk bersikap optimistik bagi berdepan enam PRN yang perlu diadakan selewat-lewatnya pertengahan tahun ini.

    Selain itu, katanya, Presiden UMNO itu juga menyentuh mengenai kepentingan kerjasama antara BN dan PH yang bakal memanfaatkan negara secara keseluruhan.

    “Beliau (Ahmad Zahid) menggariskan bahawa kekuatan BN dan PH akan membuahkan formula baharu untuk negara,” katanya.

    Seorang lagi Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, memaklumkan Ahmad Zahid ada menggariskan hala tuju parti pada masa depan, khususnya peranan UMNO selepas menyertai kerajaan perpaduan bersama PH.

    “Beliau menegaskan UMNO tidak akan lari daripada prinsip parti, khususnya dalam perjuangan untuk kepentingan negara, agama, mempertahankan Perlembagaan, kepentingan terus membela nasib orang Melayu dan rakyat keseluruhannya.

    “Pada keseluruhannya ucapan mendapat reaksi yang baik dengan sambutan begitu mantap daripada perwakilan yang hadir,” katanya.

    Sementara itu, Ahmad Zahid melalui Facebook memaklumkan ruang Taklimat Presiden UMNO itu digunakan seluasnya untuk beliau meluahkan rasa, menzahirkan cerita dan menelusuri cabaran yang dihadapi sepanjang menakhodai bahtera UMNO.

    “Biarlah hari ini, di dalam dewan keramat ini, kita bersama-sama membina semula gerakan parti kita. Perubahan serta pembaharuan yang akan dilaksanakan, kita bincangkan secara berjemaah.

    “Dengan semangat musyawarah, saya yakin kita mampu bangkit dari rebah. Dengan keikhlasan, kita mampu mencipta kejayaan. Dengan doa kepada Allah, mudah-mudahan kita semua beroleh rahmah,” katanya.

  • Beri mesej buruk jika PH, UMNO gerak solo hadapi PRN, kata Mahfuz

    Beri mesej buruk jika PH, UMNO gerak solo hadapi PRN, kata Mahfuz

    TIDAK boleh tidak, PH dan BN mesti bergabung tenaga untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri beberapa bulan akan datang bagi menghadapi Perikatan Nasional (PN).

    Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, bergerak secara solo dan menentang satu sama lain pada PRN akan datang hanya akan memberikan mesej yang buruk kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Justeru katanya, kerjasama antara Pakatan Harapan (PH), dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN itu, sudah hampir pasti berlaku selepas kedua-dua gabungan itu membentuk kerajaan perpaduan.

    “Saya melihat ia (kerjasama) hampir pasti akan berlaku. Keadaan seperti itu tidak boleh jika tidak berlaku.

    “Jika ia tidak berlaku, bermakna kita memberikan satu mesej salah terhadap Kerajaan Perpaduan yang ada di peringkat Persekutuan ini di mana berlaku gandingan PH-BN dan parti-parti lain.

    “Jadi, hampir pasti PRN enam negeri akan berlangsung dengan gandingan PH, BN bagi menghadapi Perikatan Nasional,” katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Harapan Daily.

    Dalam perkembangan sama, Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu memberitahu bahawa PH di peringkat nasional telah pun memberi lampu hijau kepada semua pemimpin untuk mengadakan perbincangan awal bersama BN bagi menghadapi PRN.

    Di peringkat Kedah, kata Mahfuz, beliau sendiri bersama dua lagi pemimpin AMANAH telah bertemu dengan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagi membincangkan kerjasama tersebut.

    Beliau melihat ia sebagai pendekatan positif yang akan mendorong kepada persefahaman yang lebih baik.

    “Saya telah dimaklumkan bahawa di enam negeri khususnya telah diberikan green light untuk memulakan perbincangan awal antara PH dan BN.

    “Saya sendiri bersama lagi dua orang pimpinan AMANAH telah bertemu dengan Jamil Khir selaku Pengerusi BN Kedah bersama Setiausaha BN Kedah dan beberapa orang lagi di pejabat UMNO untuk membincangkan soal Kedah, khususnya nak menghadapi PRN,” ujarnya.

    Di Kedah, Perikatan Nasional menguasai 13 daripada 14 kerusi Parlimen, sementara BN dan UMNO gagal memenangi sebarang kerusi.

  • PN kekal fokus bantu rakyat, tidak hirau perebutan jawatan KM

    PN kekal fokus bantu rakyat, tidak hirau perebutan jawatan KM

    PERIKATAN Nasional (PN) tidak berminat untuk mencampuri urusan Barisan Nasional (BN) jika berlaku perebutan jawatan Ketua Menteri Melaka.

    Menurut Ketua Penerangan Pemuda PN Melaka, Dr Mohd Aleef Yusof, wakil rakyat PN hanya memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat yang kini terkesan dengan kos sara hidup.

    “Kami tidak berminat masuk campur urusan BN, apatah lagi jika berlaku pergolakan dalaman dan berebut jawatan Ketua Menteri Melaka.

    “Fokus kami untuk meneruskan tugas selaku wakil rakyat untuk membantu rakyat khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang,” katanya kepada MalaysiaGazette, semalam.

    Sabtu lalu, media melaporkan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Rauf Yusoh menafikan wujud perebutan jawatan Ketua Menteri antara beliau dengan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang menyandang jawatan itu, ketika ini.

    Rauf menegaskan, perkara itu sengaja dicetuskan pihak tertentu bertujuan melaga-lagakan hubungannya dengan Sulaiman.

    Pada Jumaat lalu tular rakaman video berdurasi hampir enam minit itu memaparkan Rauf duduk semeja bersama Sulaiman dan Bendahari UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Kamarul Zaman Jantan mengeluarkan kenyataan berhubung situasi semasa politik Melaka.

    Video berkenaan disiarkan bertujuan menangkis segala dakwaan kononnya akan berlaku peralihan kuasa jawatan Ketua Menteri daripada Sulaiman kepada Rauf selepas Perhimpunan Agung UMNO pada 14 Januari ini.

    Aleef yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang berkata, apa pun yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri, ia tidak akan menjejaskan tugasnya sebagai wakil rakyat.

    “Perkara tersebut tidak menjejaskan fokus saya untuk terus membantu rakyat selaku ADUN Sungai Udang,” katanya.

  • ‘’Ini pembohongan ‘maha dahsyat’, fitnah terhadap Bersatu – Muhyiddin

    ‘’Ini pembohongan ‘maha dahsyat’, fitnah terhadap Bersatu – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan, tohmahan beliau dan BERSATU menyeleweng dana  RM92.5 bilion sebagai pembohongan ‘maha dahsyat’.

    Dalam kenyataan hari ini, beliau yang juga Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional mengecam dakwaan yang mengatakan Bersatu mempunyai dana pilihan raya berjumlah RM4.5 bilion.

    ‘’ Ini jelas merupakan satu cerita rekaan yang karut dan merepek. Hakikatnya, tidak ada dana RM4.5 bilion dalam akaun Bersatu atau akaun saya,’’ katanya.

    Berikut kenyataan penuh beliau:

    YAB Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah membuat kenyataan bahawa Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM600 billion telah diselewengkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) semasa saya menjadi Perdana Menteri.

    Kenyataan itu jelas palsu apabila mantan Menteri Kewangan kerajaan PN, YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, mengesahkan bahawa segala perbelanjaan yang melibatkan 8 Pakej Rangsangan Ekonomi diurus secara telus. Kenyataan beliau boleh dibaca di sini.

    (https://www.sinarharian.com.my/…/tengku-zafrul-sahkan… )

    Tengku Zafrul kini adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kabinet kerajaan PH-BN. 

    Kemudiannya, isu RM600 bilion tidak disebut lagi. Ini kerana sebahagian besar daripada jumlah ini adalah berbentuk non-fiskal, iaitu bukan perbelanjaan dana kerajaan. Ini termasuklah moratorium bank dan pengeluaran KWSP yang tidak melibatkan wang kerajaan.

    Dana yang berbentuk fiskal, iaitu yang melibatkan wang kerajaan ialah sebanyak RM92.5 bilion. Semasa saya menjadi Perdana Menteri, jumlahnya RM83 bilion tetapi telah meningkat selepas itu.

    Kerana itulah, tohmahan yang dilemparkan kepada saya dan BERSATU kini tertumpu kepada dakwaan penyelewengan dana berjumlah RM92.5 bilion. Kononnya, saya telah mengarahkan individu tertentu untuk mengutip 3%-5%  komisen daripada keseluruhan dana ini untuk dimasukkan ke dalam akaun BERSATU. Jadi, atas andaian ini mereka memfitnah kononnya BERSATU mempunyai dana pilihanraya berjumlah RM4.5 bilion yang digunakan semasa PRU-15.

    Kerana itulah PN dikatakan berbelanja besar dan mewah semasa PRU-15 yang lalu sehingga ada pemimpin politik BN menuduh PN membeli undi untuk menang.

    Ini adalah suatu pembohongan maha dahsyat yang disandarkan kepada cerita rekaan atas rekaan. Penyelewengan dana RM92.5 bilion itu adalah satu rekaan. Perbelanjaan fiskal di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi bukan dalam bentuk projek yang boleh diselewengkan, tetapi sebahagian besarnya adalah pemberian tunai langsung kepada rakyat (direct cash transfer) seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Geran Prihatin dan Subsidi Upah. Bagaimana dana ini boleh diseleweng jika ia merupakan pemberian tunai langsung kepada rakyat?

    Kutipan komisen 3%-5% daripada perbelanjaan fiskal ini juga adalah rekaan. Bagaimana saya boleh kutip komisen daripada perbelanjaan ini? Adakah 10.6 juta rakyat yang menerima BPN memberi komisen kepada saya? Adakah 2.96 juta pekerja yang menerima subsidi upah memberi komisen  kepada saya? Tentu sekali tidak.

    Jadi kalau mereka tidak memberi komisen kepada saya seperti yang didakwa, dari mana datangnya RM4.5 bilion untuk BERSATU yang kononnya diseleweng daripada dana RM92.5 bilion itu? Ini jelas merupakan satu cerita rekaan yang karut dan merepek. Hakikatnya, tidak ada dana RM4.5 bilion dalam akaun BERSATU atau akaun saya.

    Sebagai sebuah parti politik, BERSATU mempunyai dana hasil sumbangan pihak-pihak yang menyokong perjuangan BERSATU. Akaun parti BERSATU diurus secara telus di mana setiap terimaan dan perbelanjaan direkod, diaudit dan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan mengikut kehendak perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.

    Sumbangan untuk dana pilihan raya juga dimasukkan ke dalam akaun parti. Walaupun negara kita masih belum mempunyai undang-undang pendanaan politik, saya percaya setiap sumbangan yang diterima oleh BERSATU tidak menyalahi mana-mana undang-undang atau peraturan yang sedang berkuatkuasa.

    Mengenai perbelanjaan pilihan raya PN yang dikatakan mewah dengan bendera, baju dan “merchandise” yang banyak, saya hendak ceritakan perkara yang sebenarnya. Sebagai langkah penjimatan, BERSATU telah mencetak bendera dan merchandise PN secara “bulk order” dua tahun lebih awal dengan kos hampir empat kali ganda lebih murah berbanding jika ia dicetak hampir dengan tarikh pilihan raya.

    Sebab itulah PN membuat keputusan untuk tidak menukar bendera dan logo yang digunakan dalam PRU-15  walaupun ada cadangan sedemikian. Ini kerana kita telah menyimpan stok lebih awal. Jika hendak dicetak semula, semua stok yang ada akan dibazirkan selain perlu menanggung kos yang berkali ganda lebih tinggi untuk mencetak bendera dan “merchandise” yang baharu. PN tidak ada dana untuk tujuan itu.

    Jadi, janganlah reka cerita palsu dan menabur fitnah kononnya BERSATU mempunyai dana berbilion ringgit semata-mata untuk mencemarkan imej BERSATU dan PN.

    Apa motif PH-BN hampir setiap hari melemparkan tohmahan terhadap PN dan secara berterusan melakukan witch-hunting? Yang terkini, penahanan reman Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut untuk tujuan siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan dana RM92.5 bilion juga dikaitkan dengan saya.

    Jawapannya mudah. PH-BN takut dengan bayang-bayang mereka sendiri. Mereka gelisah melihat PN mendapat sokongan sekurang-kurangnya 62% orang Melayu dan Bumiputera dalam PRU-15. Dengan tindakan BN bergabung dengan PH, sokongan kepada gabungan yang terbentuk atas pembohongan kepada pengundi ini akan lebih merosot, sepertimana yang terbukti dalam PRK Padang Serai dan PRK Tioman.

    Jadi saya fikir mereka gentar menghadapi kemaraan PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang melibatkan enam buah negeri di Semenanjung Malaysia dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Kerana itu, kerajaan PH-BN akan terus melakukan pembunuhan karakter (character assasination) terhadap PN dan saya dengan melemparkan pelbagai tohmahan jahat yang tidak berasas.

    Saya tidak menolak kemungkinan tohmahan penyelewengan RM600 bilion direka supaya tindakan undang-undang terhadap BERSATU dapat diambil dengan tujuan untuk melemahkan jentera pentadbiran BERSATU sehingga sukar menghadapi PRN akan datang. Saya harap ini tidak benar dan menyerahkan kepada pihak SPRM untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil.

    Saya yakin siasatan SPRM setakat ini akan mendapati bahawa tohmahan terdapat RM4.5 bilion dalam akaun BERSATU atau akaun saya adalah palsu. Saya tidak pernah mengambil walau satu sen pun wang yang bukan hak saya.

    Sehubungan itu, BERSATU akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam menjalankan siasatan.

    .

  • Muktamar Pas: Jawatan Presiden, Timbalan Presiden ada pertandingan

    Muktamar Pas: Jawatan Presiden, Timbalan Presiden ada pertandingan

    MUKTAMAR Tahunan Pas Pusat Ke-69 di Kelantan tahun ini bakal menyaksikan jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan.

    Perkara itu dimaklumkan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad menerusi catatan Facebook miliknya, semalam.

    Menurutnya, tidak ada sekatan kepada mereka yang ingin menawarkan diri bertanding.

    “Tahun ini Muktamar Pas ada pemilihan, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden boleh ditandingi. Tidak ada sekatan,” katanya.

    Tahun lalu, Muktamar Tahunan Pas Pusat Ke-68 bertema ‘Malaysia Sejahtera’ diadakan di Alor Setar, Kedah.

    Sebanyak 13 usul diluluskan pada muktamar itu termasuk penyatuan parti politik dan pertubuhan Melayu-Islam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

  • Adakah KJ akan tanding jawatan Presiden UMNO atau…

    Adakah KJ akan tanding jawatan Presiden UMNO atau…

    ADAKAH  Khairy Jamaluddin akan mencabar Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi bagi jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti itu tidak lama lagi?

    Persoalan itu timbul apabila Khairy secara terbuka dalam forum anjuran insitut ISEAS-Yusof Ishak di Singapura menyatakan beliau atau sekutunya yang memenangi jawatan Presiden UMNO akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

     “Terdapat kebimbangan jika berlaku perubahan kepimpinan UMNO, ia akan mewujudkan ketidakstabilan politik yang akan mendoroang kerajaan jatuh, satu lagi Langkah Sheraton, kerajaan baru akan dibentuk dan  Perdana Menteri baharu akan mengangkat sumpah,’’ katanya.

    Sambil menyebut nama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang turut hadir dalam forum itu, Khairy berkata,;

    ‘’Loke, saya mahu menyatakan dengan jelas di hadapan semua, jika saya atau sekutu saya menang (jawatan) Presiden, kami akan komited menyokong Kerajaan Perpaduan, Anwar Ibrahim dan anda,’’ katanya disambut dengan tepukan hadirin.

    Khairy merupakan pemimpin yang dilihat mampu memulihkan kembali imej UMNO dan memperkukuhkan semula kuasa politik parti itu.

    Beliau sebelum ini pernah bertanding jawatan Presiden tetapi tewas kepada Zahid dalam pertarungan tiga penjuru yang turut menyaksikan penyertaan bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

    Zahid memenangi jawatan itu selepas mendapat undi daripada 99 bahagian manakala Khairy (61) dan Tengku Razaleigh (30).

    Bagaimanapun masih terlalu awal untuk menentukan sama ada kenyataan Khairy itu sebagai isyarat beliau akan mencuba lagi merebut jawatan berkenaan atau bergandingan dengan pemimpin lain bagi merebut jawatan tersebut dan Timbalan Presiden.

    Sebelum ini terdapat desas-desus bahawa Khairy akan bergabung dengan bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam pemilihan kali ini. Hishammuddin dikatakan akan mencabar Zahid manakala Khairy bertanding di kerusi Timbalan Presiden yang kini disandang Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Hasan.

    Kedua-dua mereka dianggap layak untuk menerajui UMNO kerana mempunyai rekod bersih ketika menjadi menteri dan tidak mempunyai apa-apa kes mahkamah.

    Walaupun setakat ini tidak ada kenyataan rasmi daripada Khairy mahupun Hishammuddin namun di peringkat akar umbi UMNO terdapat arus yang mahu perubahan dalam kepemimpinan UMNO khususnya bagi jawatan Presiden. Majoriti mereka kecewa dengan kekalahan teruk UMNO yang hanya mampu menang 27 kerusi sahaja dalam PRU-15.Ia prestasi terburuk dalam sejarah penubuhan parti itu sejak 1946.

    Biarpun UMNO kini berada dalam kerajaan namun ia bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan kerana fakta yang paling penting ialah sudah dua kali parti itu ditolak oleh rakyat. Atas sebab itulah ramai beranggapan jika UMNO masih berusaha mengekalkan kepemimpinan sedia ada , tidak mustahil dalam PRU-16 nasib parti itu akan lebih buruk.

    Sehubungan itulah, kenyataan Khairy di Singapura itu mendapat perhatian ramai kerana UMNO sememangnya memerlukan pertukaran kepemimpinan tidak kiralah siapapun calon yang akan mencabar Zahid. Itulah faktanya.

  • Bersatu teliti terperinci kemelut politik Sabah sebelum keluar kenyataan

    Bersatu teliti terperinci kemelut politik Sabah sebelum keluar kenyataan

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membuat kenyataan rasmi dalam masa terdekat berhubung kemelut politik yang berlaku di Sabah ketika ini.

    Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ketika ini, barisan pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu sedang meneliti dengan terperinci berhubung kemelut di negeri tersebut.

    Menurut beliau, hasil penelitian itu kelak akan dikumpulkan dan disuarakan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bagi mengelakkan percanggahan kenyataan.

    Jelasnya, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Setiausaha Agung Bersatu juga sedang menguruskan situasi di Sabah termasuk mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli dan barisan pemimpin Bersatu Sabah hujung minggu lalu.

    “Semua input daripada perjumpaan itu akan dikumpulkan sebelum disuarakan oleh mereka kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

    “Kita akan keluarkan kenyataan yang lebih tepat bagi mengelakkan sebarang percanggahan nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Penubuhan Kelompok Tani Nyior Sebatang, di Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

    Kemelut politik Sabah bermula apabila Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menarik sokongan UMNO-Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

    Situasi itu berlanjutan apabila Hajiji mendakwa masih mendapat sokongan 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), manakala Bung Moktar meneruskan usahanya untuk menumbangkan kerajaan GRS.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor mendakwa, kemelut politik di Sabah berlaku disebabkan sikap segelintir pemimpin UMNO yang disifatkan sebagai ‘pengganggu’.

    “Saya rasa ini adalah realiti sikap UMNO yang sebenarnya. Kita kena ingat masa pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, pihak yang membuat kacau adalah UMNO, daripada sebelum itu lagi apabila kalah, yang buat kacau itu UMNO juga.

    “Jadi (kini) yang menarik sokongan ini ialah UMNO. Inilah realiti UMNO yang tidak menghormati perjanjian yang rakus dalam merebut kuasa dan kita harap penyelesaian terbaik yang akan dicapai,” katanya.

  • Zahid dakwa politik wang faktor utama tsunami politik PRU-15

    Zahid dakwa politik wang faktor utama tsunami politik PRU-15

    POLITIK wang didakwa menjadi faktor utama ‘tsunami politik’ yang mengakibatkan kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), apabila gabungan itu hanya mampu memenangi 30 kerusi Parlimen.

    Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa ‘kuasa beli luar biasa’ daripada parti lawan menyebabkan pengundi berubah sikap dan gagal menilai prestasi politik khidmat yang dilaksanakan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN sepanjang tempoh lima tahun lalu.

    Timbalan Perdana Menteri sehubungan itu menegaskan, amalan politik wang perlu dibanteras, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu, tahun ini.

    “Daripada pemerhatian dilakukan, terutama apabila Ahli Parlimen atau ADUN menyantuni rakyat dengan memberi perkhidmatan sepanjang tempoh lima tahun… panas sepanjang lima tahun tetapi hujan tiga hari.

    “Khidmat selama lima tahun tetapi apabila ‘hujan’ terlalu lebat berderai-derai dengan kuasa beli yang berlebihan, tentunya ia mengubah sikap dan minda (rakyat) terhadap khidmat politik yang diberikan.

    “Ini gagal dilihat sebarang penganalisis politik. Ini faktor penolak utama yang menyebabkan kononnya berlaku tsunami politik.

    “Apabila faktor hadiah wang menjadi asas kepada sikap perubahan politik, maka ia harus dibanteras sepenuhnya sekurang-kurang untuk PRN di enam negeri dalam waktu terdekat ini, atau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) jika ada Ahli Parlimen atau ADUN yang ‘dipanggil lebih awal’ atau pada PRU16 akan datang,” dakwanya pada program bual bicara Naratif Khas yang disiarkan RTM1, malam tadi.

    Mengulas kerjasama antara BN dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan akan diteruskan pada PRN nanti, Presiden UMNO itu menyatakan hasrat untuk melihat kestabilan politik pada peringkat Persekutuan turut diwujudkan di negeri.

    Ahmad Zahid menjelaskan, kestabilan politik di seluruh negara adalah penting bagi mengelak rakyat diheret dalam pelaksanaan pilihan raya berulang kali sehingga menjejaskan kepercayaan mereka terhadap sistem dan ahli politik.

    “Pendirian BN yang ditunjangi UMNO ialah kita harus elakkan rakyat dibebani semula dengan proses pilihan raya.

    “Tentunya proses yang berjalan dalam dua tahun setengah yang lalu tidak harus diadakan semula.

    “Paling penting ialah bagaimana semua harus akui kestabilan politik yang wujud di Pusat, haruslah wujud di semua negeri,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Anwar restui Hajiji kekal sebagai KM Sabah

    Anwar restui Hajiji kekal sebagai KM Sabah

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi restu kepada Datuk Seri Hajiji Noor untuk kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.

    Anwar berkata beliau juga mahu kerajaan Sabah kukuh di bawah kepimpinan Hajiji.

    “Kita beri ruang kepada Ketua Menteri (Hajiji) berbincang dan mencari satu formula terbaik untuk kebaikan Sabah,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan kira-kira 40 minit dengan Hajiji dan wakil rakyat blok kerajaan di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini, malam tadi.

    Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Anwar mengucapkan terima kasih kepada Hajiji dan wakil rakyat di Sabah yang hadir dalam pertemuan itu bagi mendengar pandangan demi kebaikan negeri.

    Jumaat lepas, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah menarik sokongan terhadap Hajiji susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional telah dilanggar.

    Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan Sabah mempunyai perkara penting iaitu pembentangan usul penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di Dewan Undangan Negeri Sabah dalam usaha mengembalikan hak negeri itu.

    “Satu Rang Undang-Undang penting (akan dibentangkan) untuk mengembalikan hak Sabah yang saya usulkan kepada Jemaah Menteri dan ini perubahan besar dan bagi saya (adalah) keutamaan,” katanya.

    Kerajaan Sabah akan membentangkan usul bagi menerima penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas daripada Kerajaan Persekutuan pada Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri yang dijadual berlangsung esok (10 Jan) pada pukul 10 pagi.

    Hajiji sebelum ini berkata perkara tersebut telah lama diperjuangkan pemimpin Sabah dan langkah itu dilihat signifikan dalam merealisasikan tuntuan negeri berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

    Pada 21 Dis, Anwar mengumumkan kerajaan Persekutuan bersetuju memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri dan perkara itu dipersetujui sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menghormati MA63.- BERNAMA

  • PRN: Agihan kerusi PN 80 peratus siap

    PRN: Agihan kerusi PN 80 peratus siap

    PERSEDIAAN Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk pengagihan kerusi telah siap 80 peratus.

    Timbalan Pengerusi PN Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata perbincangan berkenaan telah diadakan bersama parti-parti komponen dalam gabungan semasa menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lepas.

    “Persediaan untuk menghadapi PRN serta pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi asas perbincangan kami pada masa itu. 

    “Boleh dikatakan 80 peratus telah siap dan seterusnya kami akan perhalusi strategi untuk menghadapi PRN,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang di sini, malam tadi. 

    Terdahulu Abdul Hadi yang juga Presiden PAS mengadakan sesi dialog bersama pemimpin Gerakan termasuk Pengerusi Gerakan pusat Datuk Dr Dominic Lau dan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong.

    Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini adalah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

    Mengulas mengenai sesi dialog berkenaan, Abdul Hadi berkata ia bertujuan merapatkan hubungan antara parti itu dengan Gerakan serta memberi maklumat tepat kepada masyarakat khususnya yang bukan Islam termasuk isu Islamofobia. – BERNAMA