Category: Politik

  • ”Cara mudah selesaikan masalah mereka, ‘bunuh’ parti pembangkang’ – Muhyiddin

    ”Cara mudah selesaikan masalah mereka, ‘bunuh’ parti pembangkang’ – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) semakin cemas ekoran kegagalan menyelesaikan masalah dihadapi rakyat, selain dilihat tidak tahu untuk menguruskan negara.

    Beliau berkata disebabkan keadaan itu berterusan dan tahu ianya akan menjadi lebih teruk, maka cara yang mudah dilakukan ialah mengambil tindakan zalim.

    “Kita sedar dia (kerajaan PH-BN) menghadapi masalah besar. Tak reti (tahu) nak menguruskan negara dan dia ada rasa yang agak cemas. Yang kalau berterusan dan kalau mereka tak nak membantu maka pasti keadaan rakyat akan bertambah teruk lagi.

    “Cara yang mudah untuk menyelesaikan masalah mereka ialah mengambil tindakan zalim. Bunuh semua parti pembangkang yang ada supaya hanya mereka saja yang ada,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman, anjuran PN di Dewan Dato’ Ustaz Fadzil Noor, Taman Melewar, Kuala Lumpur, malam tadi.

    Antara yang hadir termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan Datuk Dominic Ng dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali.

    Sehubungan itu Presiden Bersatu itu berharap rakyat sedar dan faham bahawa negara berdepan dengan satu situasi yang agak teruk.

    “Kezalimannya berterusan. Saya tak tahu bila (kezaliman itu) akan berhenti.

    “Sepatutnyalah mereka berhenti daripada sikap yang tidak bertanggungjawab, fitnah yang berleluasa, tindakan zalim yang mereka lakukan terhadap kita (Perikatan Nasional). Dan sewajarnya sistem demokrasi yang ada di negara kita ini dapat dipertahankan,” katanya lagi.

    Sambil reda dengan dugaan dihadapinya, Muhyiddin berharap rakyat terus mendoakannya dapat mengharungi cabaran ini sekali gus dibebaskan daripada semua pertuduhan.

    “Harapan kita hanya pada Allah sahaja yang tentunya lebih mengetahui, maha pengasih, maha penyayang bahawa makhluk ini berdepan satu kezaliman,” katanya.

  • Noraini halang kemunculan semula Shahrizat, pertahan Ketua Wanita UMNO

    Noraini halang kemunculan semula Shahrizat, pertahan Ketua Wanita UMNO

    KERUSI Ketua Wanita UMNO yang paling mencuri tumpuan pada pemilihan UMNO 2023 dijangka menyaksikan penyandangnya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menggagalkan kemunculan semula pencabarnya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dalam satu saingan sengit.

    Memetik laporan Berita Harian, ini setelah keputusan tidak rasmi yang diterima awal pagi ini menyaksikan Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong memperoleh 106 undi daripada 189 bahagian yang terbabit dalam pemilihan di seluruh negara.

    Dalam saingan sengit pemilihan sayap yang berlangsung semalam, kedua-dua pemimpin terbabit saling kejar mengejar dalam jumlah undi yang diterima mereka daripada peringkat bahagian.

    Shahrizat, 70, yang bersara daripada politik selepas 11 tahun menerajui Wanita UMNO pada 2018, memutuskan kembali ke gelanggang selepas mendakwa mendapat permintaan daripada kalangan pemimpin akar umbi.

    Shahrizat mengetuai sayap itu sejak 2009, selepas menewaskan Tan Sri Rafidah Aziz yang memegang jawatan berkenaan mulai 1999.

    Noraini kemudiannya mengambil alih jawatan itu, selepas Shahrizat berundur pada 2018.

    Pemilihan UMNO bagi sesi 2023/2026 membuka tirai semalam dengan proses pengundian para perwakilan seluruh Malaysia.

    Para perwakilan akan mengundi untuk memilih calon terbaik bagi mengemudi bahtera Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di bahagian masing-masing serta pusat.

  • MPT Bersatu sebulat suara tolak peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Presiden

    MPT Bersatu sebulat suara tolak peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Presiden

    MAJLIS Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebulat suara menolak perletakan jawatan, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden parti itu.

    Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan, ini kerana pertuduhan kes rasuah terhadap Muhyiddin dibuat atas jawatan beliau sebagai Presiden dan bukannya kapasiti peribadi.

    “MPT memohon semua ahli dan penyokong bersabar dan bertenang dalam menghadapi ujian yang besar terhadap presiden dan parti Bersatu dengan fitnah dan kezaliman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro AWANI.

    Semalam, Muhyiddin memaklumkan kedudukan beliau sama ada kekal atau tidak sebagai Presiden Bersatu akan ditentukan oleh MPT.

    Muhyiddin dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta.

    Beliau didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

    Mengulas lanjut Hamzah turut mengesahkan menerima laporan sayap Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Srikandi Bersatu) dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang selesai mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) masing-masing.

    Beliau turut mengucapkan tahniah kepada sayap baharu Srikandi Muda yang berjaya menganjurkan konvensyen pertama mereka pada hari yang sama.

  • Shahidan tak mahu jawatan dalam Pas, mahu wala’

    Shahidan tak mahu jawatan dalam Pas, mahu wala’

    AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak berminat sama sekali untuk bertanding sebarang jawatan dalam Pas selepas tampil sebagai wakil Rakyat parti itu

    “Saya mahu menjadi orang (ahli) yang wala’ (patuh) kepada kepimpinan. “Itu (bertanding) saya tak minat, Pas tahu di mana mereka perlu letakkan saya.

    “Pas letakkan saya sebagai penasihat negara nanti, saya okay,” katanya dengan nada berseloroh ketika hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu, di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

    Beliau memberi respons itu ketika ditanya sama ada akan bertanding dalam pemilihan Pas selepas menyertai parti itu.

    Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Shahidan yang tidak dicalonkan oleh UMNO berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Arau melalui tiket Perikatan Nasional (PN).

    Mengakui kini beliau sebagai ahli Parlimen Pas, Shahidan berkata tiada masalah untuk dirinya tidak mempunyai jawatan dalam parti itu.

    “Tak ada masalah (tiada jawatan) saya wala’ sekarang, jangan tanya bertanding. Tapi kalau masih dalam UMNO saya nak bertanding (jawatan) presiden sebab bagi saya presiden UMNO patut ditukar.

    “Dalam Pas saya wala’, saya datang untuk sama-sama berjuang dan berjihad mencari keredaan Allah,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Politik Melayu dalam zaman kemerosotan- Wan Fayhsal

    Politik Melayu dalam zaman kemerosotan- Wan Fayhsal

    KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, politik Melayu sedang berada dalam ‘the age of decline’ atau zaman kemerosotan.

    “Antara sebab kemerosotannya dilihat sejak 2018 hinggalah masa ini, pengaruh politik Melayu dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) semakin mengecil dan minima.

    “Ini akan menjadikan naratif Melayu, naratif ekonomi, sosiobudaya dan kepercayaan orang Melayu, semakin tidak signifikan dan dianggap sebagai naratif picisan atau naratif yang alternatif,” katanya.

    Ahli Parlimen Macang itu berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu kali ke-4 di Kuala Lumpur hari ini.

    Katanya, di Parlimen juga jarang mendengar Ahli Parlimen dari kerajaan bercakap tentang kelangsungan Melayu dan Bumiputera.

    Beliau mendakwa, hanya Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) sahaja yang berani menyuarakan hal demikian.

    “Saya khuatir, jika situasi ini berterusan, orang Melayu akan hilang rasa kepunyaan kepada tanah air mereka sendiri dan akhirnya beranggapan bahawa demokrasi tidak berupaya untuk merealisasikan hasrat dan kepentingan politik mereka. Situasi ini perlu kita elakkan,” katanya.

    Sementara itu, Wan Fayhsal berpandangan ‘pakatan tidak suci’ antara UMNO dan DAP juga merupakan sebab politik Melayu menyumbang zaman kemerosotan.

    Beliau berkata, pakatan dua parti itu disifatkan sebagai pengkhianatan terbesar dalam sejarah politik Melayu.

    “… (Ini) disaluti hipokrasi politik yang pelik lagi jelik. Pakatan tidak suci ini merupakan hasil kerja senyap-senyap Presiden UMNO (Ahmad Zahid Hamidi) sendiri bersama pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) setelah sekian lama.

    “Tatkala UMNO sedang meneroka kerjasama politik bersama PN, mereka juga pada masa yang sama berpakat-pakat dengan PH,” katanya, lapor FMT.

  • Kerjasama UMNO-PH untuk tutup dosa silam – Armada

    Kerjasama UMNO-PH untuk tutup dosa silam – Armada

    KERJASAMA politik antara UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) hanya bertujuan untuk menutup dosa-dosa lampau pemimpin mereka.

    Ketua Armada Bersatu Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, langklah tersebut juga merosakkan kesatuan antara parti utama Melayu di Malaysia.

    “Lebih memeritkan lagi, pakatan tidak suci ini disaluti dengan hipokrasi politik yang menebal dan disokong oleh seluruh jentera Pakatan Harapan (PH).

    “Jika dahulu, PH mahu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dihumban ke dalam penjara, kini dia sendiri jadi Timbalan Perdana Menteri yang diangkat gabungan tersebut.

    “Segala dosa-dosa silamnya seakan dilupuskan daripada sejarah,” katanya ketika Perhimpunan Agung Bersatu di Kuala Lumpur, hari ini.

    Katanya, kerjasama berkenaan hakikatnya tidak mendatangkan justifikasi yang baik terhadap PH kerana UMNO akan kekal sebagai liabiliti kepada gabungan berkenaan.

    Jelasnya, parti itu kini terpaksa berpaut kepada PH demi meneruskan kelangsungan politik mereka.

    “UMNO kini hanya mampu merayu belas kasihan kerajaan untuk mereka kekal relevan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Ahmad Fayhsal umum lepas jawatan Ketua Armada Bersatu

    Ahmad Fayhsal umum lepas jawatan Ketua Armada Bersatu

    KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tidak akan mempertahankan jawatan yang disandangnya ketika ini pada pemilihan akan datang.

    Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang membuat pengumuman tersebut hari ini dan keputusan tersebut diambil susulan beliau telah melebihi umur yang sah untuk menerajui sayap parti itu.

    “Perhimpunan Agung Tahunan Armada (ini) adalah yang terakhir saya. Saya akan graduate (melangkah) ke fasa seterusnya.

    “Jadi saya akan wariskan Armada kepada perwakilan untuk teruskan pertempuran akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata, pemilihan parti yang dijadual berlangsung pada Oktober ini akan menentukan calon yang akan menggantikan tempatnya nanti.

    Wan Ahmad Fayhsal dipilih sebagai Ketua Armada dalam pemilihan parti itu pada Ogos 2020 lalu.

    Beliau pada ketika itu menewaskan pesaing tunggalnya, Muzzammil Ismail yang merupakan Exco Armada.

  • Ahli Armada Bersatu meningkat, cecah lebih 120,000

    Ahli Armada Bersatu meningkat, cecah lebih 120,000

    KEAHLIAN Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di seluruh negara ketika ini mencatatkan jumlah keahlian seramai 120,756 orang.

    Penolong Setiausaha Armada, Muhammad Faiz Rahmad berkata, jumlah keahlian meningkat sebanyak 11,637 orang berbanding 109,119 pada tahun sebelumnya.

    “Secara keseluruhan sayap parti itu mempunyai sebanyak 173 cawangan.

    “Kalau kita lihat terdapat pertambahan yang sangat positif untuk keahlian Armada dan kita juga aman perbanyakkan lagi program-program pada masa akan datang,” katanya berucap pada Perhimpunan Agung Armada di Kuala Lumpur hari ini.

    Perhimpunan kali keempat ini juga menyaksikan seramai 429 perwakilan dari seluruh negara yang hadir, lapor Sinar Harian.

  • PRN: Srikandi tubuh UKPS pastikan PN rampas tiga negeri

    PRN: Srikandi tubuh UKPS pastikan PN rampas tiga negeri

    SAYAP wanita Parti Bersatu, Srikandi mewujudkan Unit Khas Pilihan Raya Srikandi (UKPS) bagi memantapkan lagi gerak kerja dalam usaha membantu Perikatan Nasional (PN) menawan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, selain mengekalkan pentadbiran di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata berkata Srikandi Bersatu akan memainkan lebih peranan dan bekerja lebih keras dalam memastikan PN terus diterima rakyat, sekali gus menjadi pilihan pengundi dalam PRN tersebut.

    “Srikandi Bersatu telah bersiap siaga sepenuhnya dan penubuhan UKPS akan memantapkan lagi gerak kerja kita ke arah mencapai matlamat tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan sewaktu Persidangan Srikandi Bersatu pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di sini hari ini.

    Rina berkata Srikandi juga tekad berdiri teguh dan setia di belakang Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan yakin bekas perdana menteri itu tidak bersalah dalam pertuduhan mahkamah yang dihadapinya.

    Beliau berkata peristiwa tersebut membuka mata Srikandi tentang pentingnya bersatu padu dan ia menjadi landasan untuk seluruh anggota parti, khususnya Srikandi, untuk terus setia kepada parti dan kepimpinan agar tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai anasir negatif.

    “Pendakwaan yang hanya untuk mencemarkan imej Tan Sri Muhyiddin, Bersatu dan PN ini sama sekali tidak akan menjejaskan fokus Srikandi dalam menghadapi PRN, sebaliknya akan menaikkan lagi semangat juang ke arah mencipta kemenangan,” katanya.

    Selain isu PRN serta politik, tumpuan perbahasan yang melibatkan 11 orang pembahas turut memfokuskan kepada isu wanita dan ekonomi. 

    Sementara itu, Srikandi turut menubuhkan tabung ‘hibah abah’ dan diedarkan kepada lebih 400 perwakilan yang menghadiri perhimpunan itu sebagai solidariti bagi membantu Muhyiddin yang didakwa di mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa.

    Hari  ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta. – BERNAMA

  • Perwakilan dijangka desak PRN di enam negeri disegerakan – Ahmad Faizal

    Perwakilan dijangka desak PRN di enam negeri disegerakan – Ahmad Faizal

    PERWAKILAN dijangka mendesak supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri diadakan segera pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2022 yang bermula hari ini.

    Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata walaupun perkara itu tidak berada dalam senarai usul, namun beliau percaya ia akan disentuh ramai pembahas pada perhimpunan tiga hari itu.

    “Ia terpulang kepada para pembahas…dalam Bersatu kita tak tentukan apa yang akan diperkatakan, mereka bebas suarakan apa sahaja. Yang penting, mereka dapat menjaga masa agar perhimpunan dapat berlangsung dalam jangka masa ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Agung Srikandi, di Kuala Lumpur, hari ini.

    PRN akan melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

    Beliau berkata usul yang akan dibahaskan pada perhimpunan itu melibatkan isu pendidikan, kesihatan, ekonomi dan agama.

    Ahmad Faizal, dalam pada itu, berkata pendakwaan ke atas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di mahkamah tidak akan memecahbelahkan parti serta sokongan ahli kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

    Esok akan diadakan  Perhimpunan Agung Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, Ahad ini. — BERNAMA