Category: Politik

  • PRM akan tanding 15 kerusi DUN pada PRN Pulau Pinang

    PRM akan tanding 15 kerusi DUN pada PRN Pulau Pinang

    PARTI Rakyat Malaysia (PRM) hari ini mengumumkan akan bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu akan datang.

    Timbalan Presiden PRM, Datuk Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, daripada jumlah itu, 10 buah kerusi DUN adalah di bahagian pulau manakala lima DUN di tanah besar.

    Jelasnya, kerusi DUN di bahagian pulau yang akan ditandingi adalah di Air Putih; Tanjung Bunga; Pulau Tikus; Kebun Bunga; Seri Delima; Sungai Pinang; Air Itam, Pantai Jerejak; Batu Maung dan Teluk Bahang manakala kerusi di bahagian tanah besar akan diumumkan kemudian.

    Jelas beliau, PRM akan memberi tumpuan penuh di Pulau Pinang pada PRN negeri itu kelak bagi memberi saingan kepada DAP yang mendominasi negeri tersebut sejak 2008.

    Malah, beliau turut melahirkan keyakinan PRM mampu memenangi lima daripada keseluruhan 15 kerusi DUN Pulau Pinang yang akan ditandingi pada PRN negeri itu kelak, namun tidak menyatakan secara tepat kerusi yang dimaksudkan.

    “Saya sendiri akan turun membantu kempen calon-calon PRM di Pulau Pinang kerana kita mahu memberi saingan kepada kerusi-kerusi DUN milik DAP,” katanya dalam sidang akhbar di Georgetown, Pulau Pinang hari ini yang turut dihadiri Ketua PRM Pulau Pinang, Teh Yee Cheu.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), PRM bertanding di lima kerusi Parlimen di Pulau Pinang iaitu kerusi Bukit Bendera, Jelutong, Bayan Baru, Batu Kawan dan Nibong Tebal, namun kalah kesemua kerusi terbabit.

    Menurut Mohamad Ezam, PRM memilih bertanding pada PRN Pulau Pinang bagi mewujudkan pasukan pembangkang yang kuat di negeri itu.

    Jelasnya, ketiadaan pembangkang yang kuat di Pulau Pinang menyebabkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP menjadi dominan dan ia terbukti menerusi kejadian empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang diarahkan mengosongkan kerusi mereka pada sidang DUN baru-baru ini.

    “Peristiwa itu adalah jelas sesuatu yang buruk buat demokrasi negara dan negeri ini,” katanya.

    Dalam pada itu, Mohamad Ezam yang merupakan bekas Ketua Pemuda PKR berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan bertanding pada PRN Pulau Pinang kelak, namun bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan parti tersebut.

    Sementara itu, Yee Cheu yang merupakan bekas ADUN Tanjung Bungah turut mengesahkan bakal bertanding mewakili PRM di kerusi DUN Air Putih yang kini disandang Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

  • Tuan Ibrahim nafi desas-desus Pas nak putus dengan PN

    Tuan Ibrahim nafi desas-desus Pas nak putus dengan PN

    TIMBALAN Presiden Pas, datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menolak khabar angin yang tersebar dalam kalangan orang-orang politik bahawa parti itu merancang untuk keluar daripada Perikatan Nasional (PN).

    “Tak ada, tidak pernah timbul pun,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu ketika ditemui di Parlimen hari ini,

    Tidak jelas bagaimana khabar angin itu bermula dan Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahihannya.

    Bagaimanapun, desas-desus itu bertiup kencang selepas pemimpin Pas tidak hadir dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) Bersatu pada hujung minggu lalu.

    Ditanya mengenai perkara ini, Tuan Ibrahim berkata ia cuma soal pertembungan jadual sahaja.

    “Kami pun dah maklum. Ada jemputan tapi kebetulan Pas kawasan sekarang tengah mesyuarat agung.

    “Kebanyakan pimpinan (Pas) dah maklum kepada pimpinan tertinggi Bersatu bahawa kebetulan (mesyuarat) hari sama.

    “Sebahagian daripada kami merasmikan mesyuarat agung kawasan-kawasan. Saya sendiri semalam (ke) lima kawasan,” jelasnya lagi.

    Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-4 Sayap Pemuda Bersatu pada Sabtu menyaksikan kehadiran beberapa pemimpin Pemuda Pas serta pimpinan Pemuda Gerakan yang menjadi tuan rumah AGM di ibu pejabat parti mereka, Menara PGRM, di Kuala Lumpur.

    Bagaimanapun, tiada tokoh terkemuka Pas yang dilihat semasa perhimpunan badan induk Bersatu pada Ahad bersama Gerakan dan Parti Maju Sabah (SAPP) sebagai rakan PN.

  • Exco Johor sah menang Naib Ketua Pemuda UMNO

    Exco Johor sah menang Naib Ketua Pemuda UMNO

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MOHD. Hairi Mad Shah sah memenangi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO selepas menang tipis ke atas pencabar utamanya, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham.

    Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berkata, Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor itu memperoleh 87 undi, melebihi tiga undi diraih Ikmal.

    “Kemenangan bagi Hairi bagi jawatan naib ketua Pemuda hanya ditentukan pada 12 tengah hari tadi apabila keputusan dari bahagian akhirnya semua dapat diperoleh,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, hari ini.

    Semalam, Shahrir berkata, keputusan bagi pemilihan jawatan itu belum boleh dimuktamadkan memandangkan terdapat lapan bahagian belum menghantar keputusan undian mereka.

    Di peringkat Wanita, katanya, Noraini Ahmad mempertahankan kedudukannya yang dicabar Shahrizat Jalil, manakala Norliza Abdul Rahim turut mempertahankan jawatannya sebagai naib ketua Wanita.

    Sementara itu, Mohd. Hairi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Johor Bahru petang ini, melahirkan harapan agar mereka yang kalah dalam pemilihan UMNO agar terus berjuang dan bersama-sama mengukuh parti.

    Ketua Pemuda UMNO Johor itu berkata, tanggungjawab dan semangat tersebut perlu dikekalkan bagi mengelak perpecahan dalam parti.

    “Mereka yang menang, bukan menang semua dan yang kalah, tidak kalah semua. Sebagaimana yang dituntut dalam agama kita bahawa Islam membentuk kita supaya menjadi umat yang bersatu.

    “Kita dituntut bukan sahaja beriman dengan tuhan yang satu, sebarang bentuk perpecahan hendaklah kita tangani dengan sebaiknya.

    “Ini seperti perintah dalam Surah Al-Anfal, ayat 46:Dan janganlah kamu bersengketa kerana dengan persengketaan akan menyebabkan kamu hilang kekuatan kamu,” katanya.

    Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin melahirkan rasa syukur dengan kemenangannya dan berazam akan terus berusaha lebih gigih lagi bagi memastikan segala perancangan parti tercapai.

    “Saya mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua para perwakilan pergerakan Pemuda UMNO di seluruh negara yang telah memberikan kepercayaan kepada saya sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO.

    “Ironinya, genap setahun selepas saya diumumkan memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin sebagai wakil rakyat tahun lalu, hari ini secara rasminya saya diumumkan sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia,” katanya.

  • Dr Halimah wanita pertama dipilih Naib YDP Pas Kawasan

    Dr Halimah wanita pertama dipilih Naib YDP Pas Kawasan

    AHLI Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali menjadi wanita pertama diangkat sebagai Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Kapar dalam Pemilihan Pas Negeri Selangor bagi sesi 2023 hingga 2025.

    Setiausaha Pas Negeri Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, ia sebahagian daripada keputusan pemilihan parti itu yang antara lain menyaksikan 18 Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan berjaya mempertahankan jawatan masing-masing.

    Menurutnya, mereka terdiri daripada pemimpin tertinggi negeri iaitu Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi di Kuala Langat, Timbalan-timbalan Pesuruhjaya, Shafie Ngah (Bangi) dan Noor Najhan Mohamad Saleh (Kapar), Bendahari Negeri Hasnizan Harun (Hulu Selangor).

    “Pas Negeri Selangor juga menyaksikan muka baru di empat kawasan iaitu Sepang, Sabirin Marsono, seorang Jurutera; di Damansara, Hamzah Abu Seman, seorang pendakwah; Shah Alam, Mohamed Sukri Omar seorang lulusan Pengajian Islam dan Petaling Jaya Mohd Zubir Embong seorang Peguam,” katanya dalam satu kenyataan.

    Roslan Shahir berkata, Pas sentiasa komited terhadap prinsip dan amalan demokrasi dalam proses pemilihan parti bagi membina generasi kepimpinan yang bersih, sejahtera dan toleran.

    Katanya, Muktamar Tahunan PAS Pusat Ke-69 bakal diadakan di Kota Bharu, Kelantan.

    Tambah beliau, Pas dan parti komponen Perikatan Nasional (PN) di Selangor komited mendukung budaya politik matang, sejahtera dan memimpin gelombang hijau bagi membawa perubahan ke arah kebaikan buat negeri itu menjelang Pilihanraya Umum Negeri Selangor ke-15.

  • Anak Zahid lapor Jawatankuasa Pemilihan, dakwa wujud pelanggaran etika

    Anak Zahid lapor Jawatankuasa Pemilihan, dakwa wujud pelanggaran etika

    ANAK kepada Presiden UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid mendakwa wujud pelanggaran etika ketika proses pemilihan itu berlangsung semalam, sekali gus mengakibatkannya kalah dalam saingan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk.

    Menurutnya, pelanggaran itu membabitkan Perkara 4, Tataetika Pemilihan UMNO 2023, berkaitan pengaruh tidak wajar sambil menyertakan tangkap layar perbualan di WhatsApp untuk menyokong dakwaannya.

    “WhatsApp pada malam pemilihan 10 Mac daripada seorang yang sudah dikenal pasti. Manipulasi, tipu helah, mendorong dan mengganggu.

    “Perjuangan saya belum lagi tamat. Saya tidak kalah cuma belum lagi menang. Undi saya 115/268 dan yang ‘masih menang’ 133/268. Ini sudah dibawa ke Jawatankuasa Pemilihan UMNO,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.

    Berdasarkan gambar yang dikongsikan bersama kenyataan itu, yang dipercayai tangkap layar perbualan di aplikasi WhatsApp, antara lainnya mengandungi ayat berbentuk arahan, meminta supaya perwakilan Wanita UMNO di bahagian itu supaya menyokong penyandang Ketua Wanita UMNO Bagan Datuk, Zarozatin Isa.

    Jumlah 268 itu merujuk kepada perwakilan layak mengundi untuk pemilihan Wanita Umno Bagan Datuk.

    Biarpun tewas dalam pemilihan Ketua Wanita UMNO di bahagian Bagan Datuk semalam, namun Nurulhidayah menang jawatan EXCO Wanita UMNO pusat.

    UMNO Bahagian Bagan Datuk diterajui Ahmad Zahid yang menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini.

  • Penyertaan Pejuang diputuskan Majlis Tertinggi PN – Muhyiddin

    Penyertaan Pejuang diputuskan Majlis Tertinggi PN – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) hanya akan diputuskan oleh peringkat tertinggi gabungan politik berkenaan.

    Presiden Bersatu itu berkata, buat masa ini ia belum diputuskan kerana masih belum dibincangkan.

    “Saya akan bentangkan perkara ini dan tunggulah keputusan peringkat tertinggi,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata pada sidang media selepas ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2022, di Cheras, hari ini.

    Pejuangsebelum ini memaklumkan sudah menghantar surat permohonan bagi menyertai PN sebagai anggotanya.

    Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, surat berkenaan diutuskan kepada Muhyiddin manakala salinan turut diserahkan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

  • MB dari Bersatu jika menang PRN Selangor, N. Sembilan, kata Muhyiddin

    MB dari Bersatu jika menang PRN Selangor, N. Sembilan, kata Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, Menteri Besar daripada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) akan mentadbir Selangor dan Negeri Sembilan jika parti itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, kedua-dua negeri itu akan dipimpin oleh parti berkenaan.

    “Pulau Pinang kita akan dihalusi dan diteliti macam mana situasi keadaannya, mungkin ada pihak kata sukar untuk menang. Tetapi tidak sukar untuk kurangkan majoritinya, jadi pastinya ada.

    “Yang lain-lain kita dah dengar sendiri tentang azam, tekad dan iltizam daripada ahli parti yang agak nyata dan jelas. Bersatu juga sudah bersedia untuk menghadapi apa juga cabaran daripada mana-mana pihak sekali pun,” katanya, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, kerusi yang ada di pihak Pas dan Bersatu akan dikekalkan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), kecuali ada persefahaman untuk melakukan pertukaran.

    Katanya, bagi kerusi yang tidak dimiliki sesiapa kecuali oleh parti pembangkang, ia akan dirundingkan.

    “Siapa nak dapat kerusi berkenaan akan diputuskan dalam perbincangan nanti,” katanya.

  • Perjelas punca pengecualian cukai Yayasan Albukhary ditarik, Muhyiddin cabar Guan Eng

    Perjelas punca pengecualian cukai Yayasan Albukhary ditarik, Muhyiddin cabar Guan Eng

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan membuat permohonan maaf terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang dikaitkan dengan isu cukai Yayasan Albukhary ketika beliau menjadi Menteri Kewangan.

    Sebaliknya, Presiden Bersatu itu mencabar Guan Eng untuk menjelaskan perkara berhubung cukai berkenaan kerana maklumat yang diperoleh beliau adalah sahih.

    “Apa yang beliau boleh buat daripada mencabar saya adalah jelaskan perkara itu. Sebab apa yang saya dapat ketika permohonan itu dibuat (pengecualian cukai) kepada saya melalui Kementerian Kewangan adalah ia diluluskan (kepada Yayasan Albukhary) ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) di bawah Datuk Seri Najib Razak.

    “Kemudian ketika Pakatan Harapan (PH), Guan Eng menjadi Menteri Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah di bawah kementerian itu. Guan Eng perlu jelaskan (mengapa pengecualian cukai ditarik). Saya cabar beliau untuk menjelaskan apa sebenarnya.

    “Sebab itu mereka datang mohon pada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk minta supaya pengecualian itu diberikan semula,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, di Cheras, hari ini.

    Sebelum ini, Guan Eng menafikan mengeluarkan sebarang arahan spesifik untuk membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kerajaan BN kepada Yayasan Albukhary dinaungi Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

    Dalam satu kenyataan selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, Muhyiddin mendakwa, kerajaan PH membatalkan pengecualian pembayaran cukai yang diluluskan kepada Yayasan Albukhary.

    Muhyiddin berkata, beliau tahu punca Guan Eng membatalkan pengecualian cukai yang diperoleh Yayasan Albukhary sebelum itu.

    “Yayasan Albukhary adalah yayasan terbesar yang diterajui Melayu dan banyak menyumbang kepada orang ramai dan mereka mendapat manfaat daripada yayasan itu.

    “Tiba-tiba ia dihentikan (pengecualian cukai), seolah-olah tidak mengiktiraf apa yang sudah dilakukan oleh Yayasan Albukhary kepada masyarakat. Oleh itu kenapa saya perlu tarik balik (kenyataan dikeluarkan), itu adalah fakta dan benar,” katanya.

    Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, ketika menerajui pentadbiran negara, beliau tidak mengeluarkan sebarang arahan berhubung perkara itu, sebaliknya keputusan untuk menimbangkan rayuan yang dibuat Syed Mokhtar itu diputuskan Kementerian Kewangan dan LHDN.

  • ‘Cari kesalahan orang lain untuk nampak hebat’, kata Radzi

    ‘Cari kesalahan orang lain untuk nampak hebat’, kata Radzi

    PENDAKWAAN politik yang berlaku ke atas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai alasan untuk menutup kegagalan kerajaan pada hari ini.

    Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mendakwa, kerajaan PH-BN hanya mencari alasan untuk menunjukkan kehebatan dengan menjadikan Muhyiddin sebagai mangsa pertama.

    Katanya, mereka semakin tertekan dan risau akan menimbulkan kemarahan rakyat memandangkan tiada sebarang perubahan yang dilakukan dalam pentadbiran kerajaan.

    “Semuanya sama, belanjawan 2023 pun salin dan tampal, ‘copy and paste’ sahaja. Rakyat harap kerajaan dapat buat yang terbaik jadi kalau macam ini perlulah cari alasan.

    “Orang bila dia sudah gagal tetapi mahu nampak diri hebat perlu cari kesalahan orang lain. Jadi, mangsa pertama mereka adalah bekas Perdana Menteri, ” katanya hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam penggulungan sempena Perhimpunan Agung Bersatu di Menara PGRM di Cheras, hari ini.

    Pada Jumaat, Muhyiddin berdepan enam pertuduhan salah guna kuasa untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Ahli Parlimen Pagoh ini didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu.

    Bagi dua lagi pertuduhan, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

  • Belajar daripada kesilapan lalu, kata Ahmad Faizal

    Belajar daripada kesilapan lalu, kata Ahmad Faizal

    TIMBALAN Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, setiap ahli perlu belajar mengenai kesilapan yang terjadi dalam pilihan raya yang lalu.

    Tegas beliau, kesilapan serupa tidak seharusnya diulangi dalam pilihan raya enam negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi.

    “Kita perlu belajar apa yang sudah terjadi pada tempoh lalu agar ia tidak diulangi dalam pilihan raya di enam negeri.

    “Jika ada bendera, janganlah tidak dinaikkan atau jika mahu mencari pengundi, janganlah ditangguh-tangguh sehingga ke hari esok,” katanya, lapor SatuBerita.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan pergulungan di Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kali kelima Bersatu di Menara PGRM di Cheras, hari ini.

    Ahmad Faizal yang mesra disapa Peja berkata, walaupun Bersatu kini tidak mempunyai dana namun ia tidak akan mematahkan semangat ahli parti yang sebelum ini menubuhkan parti itu dengan hati yang ikhlas.

    “Akaun Bersatu telah dibekukan. Kita sudah tiada apa lagi. Tapi kita kena ingat dahulu ketika kita mahu kumpulkan ahli, kita tiada apa tetapi kita lakukan jualan amal atau melelong barangan.

    “Kita masih boleh berusaha sekiranya kita ikhlas. Ini juga adalah ingatan daripada Allah dan tidak mustahil kita akan Kembali jadi kerajaan,” katanya.