Category: Politik

  • Pemilihan Pemuda UMNO Jempol batal, akan diundi semula

    Pemilihan Pemuda UMNO Jempol batal, akan diundi semula

    UMNO Bahagian Jempol akan mengadakan semula pemilihan bagi sayap pemuda bahagian itu selepas pemilihan pada 11 Mac lalu dibatalkan.

    Menurut Pemangku Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli, UMNO Bahagian menerima keputusan itu menerusi surat rasmi bertarikh 15 Mac lalu.

    Katanya, pembatalan persidangan dan pemilihan pergerakan pemuda itu diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO.

    “Pembatalan itu adalah rentetan daripada beberapa bantahan yang dihantar oleh perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jempol supaya membuat pengundian semula.

    “Sehubungan itu kita mencadangkan satu sesi pengundian semula bagi sayap itu diadakan sebaik sahaja pengurusan UMNO Bahagian Jempol yang baharu dibentuk iaitu selepas persidangan pada hari ini,” katanya hari ini, lapor Berita Harian.

    Shamshulkahar yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata berikutan pembatalan itu, 10 wakil pergerakan pemuda yang dilantik pada mesyuarat tersebut juga terbatal dan tidak akan mewakili Pemuda ke persidangan bahagian.

    “Bagaimanapun status Ketua Pemuda Cawangan adalah tidak terjejas dan merupakan perwakilan yang sah untuk hadir ke mesyuarat hari ini.

  • Mahkamah kekal kemenangan calon GPS di Lubok Antu

    Mahkamah kekal kemenangan calon GPS di Lubok Antu

    MAHKAMAH Tinggi Kuching mengekalkan kemenangan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Roy Angau Gingkoi di Parlimen Lubok Antu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), selepas menolak petisyen difailkan pencabarnya.

    Menurut laporan Borneo Post, Hakim Duncan Sikodol berkata, calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Johnical Rayong Ngipa gagal membuktikan dakwaan terhadap Angau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pegawai pengurus pilihan raya.

    Rayong yang juga Adun Engkilili tewas kepada Angau dengan majoriti tipis 100 undi dalam pertembungan empat penjuru pada PRU15 November lalu.

    Beliau mendakwa permohonannya untuk kiraan semula undi ditolak pegawai pengurus pilihan raya tanpa sebarang alasan.

    Rayong juga mendakwa beberapa stesen televisyen melaporkan PSB menang, tetapi kemudiannya Angau pula diisytiharkan sebagai pemenang.

    Timbalan Presiden PSB itu memberitahu wartawan di luar mahkamah, beliau tidak akan merayu terhadap keputusan itu.

    Katanya, beliau ‘sangat sedih’ dengan keputusan itu dan akan menumpukan usaha pada PRU16.

  • Pemimpin nafi Putra sertai PN atau berpakat

    Pemimpin nafi Putra sertai PN atau berpakat

    PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menafikan parti itu akan menyertai atau berpakat dengan Perikatan Nasional (PN).

    Ia susulan laporan mendakwa ada perbincangan ke arah perpaduan sebagai permulaan kebangkitan Melayu pada PRU16.

    Setiausaha Agung Putra, Rosdi Idris berkata, laporan yang memetik sumber itu “amat tidak tepat” dan tidak mencerminkan keputusan dewan tertinggi parti.

    “Penyertaan atau pakatan bersama di antara Putra dengan PN dalam usaha membentuk gabungan kekuatan parti Melayu terbesar di negara ini adalah tidak berbangkit pada masa ini,” katanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

    Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Putra yang disertai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini dijangka dirombak dan dinamakan semula sebagai Gerakan Tanah Air (GTA), dan ia akan bekerjasama dengan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Menurut sumber, perbincangan antara Mahathir dan pemimpin kanan PN, Tan Sri Hadi Awang, dalam suatu pertemuan tertutup baru-baru ini adalah “ke arah perpaduan antara GTA dan PN”.

    Rosdi dalam penafiannya memaklumkan bahawa isu penukaran nama Putra kepada GTA tidak pernah disentuh dalam mesyuarat dewan tertinggi parti setakat ini.

    Beliau berkata segala keputusan hanya akan diketahui selepas persidangan agung tahunan Putra yang dijangka berlangsung pada 7 Mei.

  • Putra akan dinamakan semula sebagai GTA, ganding bahu dengan PN – Laporan

    Putra akan dinamakan semula sebagai GTA, ganding bahu dengan PN – Laporan

    PUTRA dijangka dirombak dan dinamakan semula sebagai Gerakan Tanah Air (GTA), gabungan diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedang menuju ke arah menjadi parti politik rasmi, menurut laporan.

    Mahathir dilaporkan akan mengambil alih jawatan presiden daripada Datuk Ibrahim Ali, sekutu lama bekas perdana menteri itu.

    Memetik sumber parti, Utusan Malaysia melaporkan bahawa hala tuju parti akan diperincikan kepada ahli Putra pada mesyuarat agung tahunannya bulan depan.

    Sumber berkata, GTA akan bekerjasama dengan parti-parti bawahnya sebelum ini, seperti Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), serta gabungan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Baru-baru ini, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang ada mengadakan pertemuan tertutup bersama Mahathir selepas (Pengarah Pilihan Raya PAS) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut berjumpa bekas perdana menteri itu.

    “Perbincangan mereka adalah ke arah perpaduan antara GTA dan Perikatan Nasional (PN) sebagai satu permulaan kebangkitan Melayu berkuasa pada PRU16,” kata sumber.

    Bagaimanapun, menurut sumber itu, GTA mungkin tidak akan bertanding pada PRN akan datang di enam negeri, sebaliknya hanya menyokong PN.

    Katanya, PN yakin dapat meraih sokongan pengundi Melayu sebagai alternatif kepada kerjasama antara UMNO dan DAP dalam kerajaan.

    Pada masa ini, GTA yang diasaskan oleh Mahathir tahun lepas terdiri daripada parti-parti berasaskan Melayu, NGO, ahli akademik dan profesional, termasuk Putra.

    Februari lepas, Mahathir meninggalkan Pejuang, yang diasaskannya pada 2020, berikutan keputusan parti itu keluar daripada GTA. Menurut Mahathir, tindakan menolak GTA sama seperti menolak dirinya.

    Beliau kemudian menyertai Putra sebulan kemudian dan diberi nombor keahlian “No 1”, yang sebelum ini dipegang oleh Ibrahim sebagai presiden.

    Keesokan harinya, Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan bahawa parti itu telah memohon untuk menyertai PN.

  • KJ bidas lantikan politik dalam GLC

    KJ bidas lantikan politik dalam GLC

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membidas lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana bertentangan dengan pendirian Pakatan Harapan (PH).

    Menurutnya, isu tersebut akan memberi kesan terhadap pendirian kerajaan yang menolak amalan kronisme dan nepotisme dalam pentadbiran.

    “Lantikan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang disahkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi sangat berbeza dengan pendirian mereka sebelum ini.

    “Walaupun Mara bukan GLC namun ia adalah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah undang-undang,” katanya menerusi Program Podcast Keluar Sekejap episod 3, disiarkan di Youtube, hari ini.

    Program tersebut turut menampilkan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang mengupas lanjut isu lantikan politik yang kini berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

    Sementara itu, Khairy Jamaluddin berkata, lantikan politik PH di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah berbeza semasa Tun Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan dalam parti komponen itu.

    “Sewaktu PH 1.0 pimpinan Tun Dr Mahathir tidak ada lantikan politik dalam GLC. Tetapi hal tersebut berlaku dalam agensi kerajaan ketika pemerintahan beliau.

    “Jadi bagi saya semua sama sahaja. Jadi saya tak boleh kata saya menentang lantikan politik sebab saya pernah berada di kedudukan itu,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Shahril turut mengulas, semasa PH berada di blok pembangkang, terdapat beberapa isu yang akan dibangkitkan terutama jika berkaitan dengan entiti kerajaan.

    Tambahnya, hal itu berbeza sekali selepas menjadi kerajaan apabila mereka mengambil pendekatan yang lebih fleksibel.

    “Terdapat ahli politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dilantik dalam entiti yang berkaitan kerajaan,” katanya lapor Sinar Harian.

  • PN Negeri Sembilan yakin sokongan masih utuh

    PN Negeri Sembilan yakin sokongan masih utuh

    PERIKATAN Nasional (PN) Negeri Sembilan yakin sokongan rakyat di negeri ini terhadap gabungan itu masih utuh walaupun Pengerusi gabungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini berdepan pertuduhan di mahkamah.

    Timbalan Pengerusi PN, Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha berkata, fenomenanya ketika ini sokongan anak muda terhadap PN terus bertambah apabila masing-masing mula menyertai parti dalam gabungan tersebut.

    “Rakyat dapat membaca dakwaan yang bermotifkan politik mahu melemahkan PN menjelang pilihan raya negeri (PRN) dan bertujuan membentuk persepsi bahawa pemimpin PN juga terlibat dengan dakwaan salahguna kuasa.

    “…Dengan harapan akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap PN tetapi berlaku sebaliknya apabila ia menambahkan lagi keyakinan rakyat terhadap kita,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu kemudiannya mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

    Sementara itu, ketika ditanya mengenai usaha menarik lebih ramai sokongan anak muda terhadap PN, Rafiei yang juga Pesuruhjaya Pas negeri berkata, golongan itu tahu menilainya sendiri.

    “Anak muda adalah golongan celik maklumat dan mampu menilai secara objektif isu-isu yang dibangkitkan termasuklah rekod kejayaan kerajaan PN di bawah Muhyiddin dalam memperjuangkan secara adil nasib rakyat di negara ini,” ujarnya.

    Dalam pada itu, mengulas tentang persediaan PRN, beliau berkata, perkara itu sudah bermula sejak awal tahun, perbincangan pembahagian kerusi dalam kalangan rakan dalam PN juga berjalan dengan begitu positif.

    “Keputusannya akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Perunding kerusi peringkat PN pusat sebelum diumumkan,” ujarnya.

  • ‘Bagi PN jadi Ketua Pembangkang Selangor’, Shahidan beritahu UMNO

    ‘Bagi PN jadi Ketua Pembangkang Selangor’, Shahidan beritahu UMNO

    UMNO diminta melepaskan jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi membolehkan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kedudukan itu.

    Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) secara berseloroh membuat cadangan itu berkata, UMNO merupakan sebahagian Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukan lagi pembangkang di negeri itu.

    “Saya dengar cerita di Selangor, UMNO ada lima kerusi, PN ada tujuh kerusi tetapi Ketua Pembangkang tidak mahu berhenti sebab dia ingat UMNO masih pembangkang, padahal UMNO sekarang (kerjasama) PH.

    “Dia kena berhenti dan bagi PN yang jadi Ketua Pembangkang di Selangor. Orang Selangor walau macam mana pun cari sesuatu yang lebih menarik, sokong PN dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) akan datang sebab UMNO nampaknya walaupun dah kalah, tidak mahu berhenti jadi Ketua Pembangkang,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau menyatakannya ketika perbahasan sesi penggulungan Kementerian Belia dan Sukan di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

    Media melaporkan, kerajaan negeri Selangor belum menerima surat peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tawar, Datuk Rizam Ismail sebagai ketua pembangkang negeri itu setakat ini.

    Perkara itu disahkan Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim ketika mengulas usul dibangkitkan ADUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung lantikan Ketua Pembangkang DUN Selangor yang baharu susulan Rizam daripada Barisan Nasional kini menjadi sebahagian kerajaan negeri selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan.

    Sementara itu mengenai atlet yang dihantar menyertai pertandingan peringkat antarabangsa, Shahidan yang juga Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memohon kerajaan mempertimbangkan untuk membiayai pasukan kedua atau B tanpa perlu membebankan persatuan.

    “Apabila kita menghantar pasukan untuk bertanding di peringkat antarabangsa, ada pasukan A yang kerajaan bayar dan pasukan B dibayar oleh persatuan.

    “Ini tidak bagus, tidak boleh berterusan. Atlet perlu diberi pendedahan dan ada potensi, mereka dipilih oleh Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik yang pilih.

    “Kita juga kena bayar jurulatih terlibat, jadi saya merayu kepada Yang Berhormat Menteri (Belia dan Sukan), supaya pasukan B kalau tidak dibiayai sepenuhnya tidak apa, sekurang-kurangnya dibayar separuh dan jurulatih dibayar 100 peratus oleh MSN,” ujarnya.

  • ‘Tiada pergeseran, hubungan Bersatu-Pas makin erat’ – Faiz Na’aman

    ‘Tiada pergeseran, hubungan Bersatu-Pas makin erat’ – Faiz Na’aman

    SEORANG pemimpin Bersatu tampil menafikan hubungan di antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) dibayangi desas-desus bermasalah, kata Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Muhammad Faiz Na’aman.

    Beliau berkata, ketika ini hubungan Bersatu dengan Pas tetap baik, bukannya seperti didakwa pihak luar malah hubungan kedua-dua parti semakin erat.

    “Spekulasi mengenai status hubungan Bersatu dan Pas itu telah dijawab oleh pemimpin Pas sendiri semalam.

    “Jadi tidak timbul soal pergeseran di antara kami kerana ukhwah antara Bersatu (dan Pas) makin erat,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

    Status hubungan kedua-dua parti yang menjadi tunjang kepada PN menarik perhatian apabila tiada seorang pun pemimpin kanan Pas muncul semasa Bersatu mengadakan perhimpunan agung tahunan pada hujung minggu lalu.

    Menjadi kebiasaan sejak sekian lama untuk pemimpin tertinggi parti menghadiri atau menghantar wakil di perhimpunan agung tahunan parti rakan masing-masing.

    Difahamkan hanya Presiden Gerakan Dominic Lau hadir semasa majlis perasmian dan ucapan dasar presiden berlangsung di Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu.

    Semalam Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menolak khabar angin yang tersebar dalam kalangan orang politik yang mengesyaki parti itu merancang untuk keluar dari PN

    Bahkan bekas menteri itu menafikan beliau pernah mendengar perkara sedemikian.

    “Tak ada, tidak pernah timbul pun,” katanya.

    Dasar perjuangan sama

    Mengulas lanjut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menjelaskan ketiadaan wakil Pas di perhimpunan Bersatu disebabkan mereka terikat dengan tugasan lain seperti mesyuarat kawasan masing-masing.

    “Kami pun dah maklum ada jemputan tapi kebetulan Pas kawasan sekarang tengah mesyuarat agung.

    “Kebanyakan pimpinan (Pas) dah maklumkan kepada pimpinan tertinggi Bersatu bahawa kebetulan (mesyuarat) hari sama.

    “Saya sendiri semalam (ke) lima kawasan,” jelas Tuan Ibrahim.

    Faiz berkata ketiadaan pemimpin kanan Pas di perhimpunan agung Bersatu baru-baru ini bukan isu kerana mereka memang memahami kekangan yang ada.

    “Kami di pihak Bersatu pun telah sedia maklum akan hal tersebut lebih awal,” katanya.

    Membuktikan hubungan kedua-dua parti masih kukuh, Faiz berkata, Pas sedia membuka ruang kepada Bersatu mengadakan mesyuarat di Taman Melewar yang juga bekas ibu pejabat parti terbabit.

    Kata Faiz Bersatu sentiasa menghargai serta memahami parti-parti rakan dalam komponen PN.

    “Begitulah juga nilai-nilai kesetiaan yang dipegang oleh mereka kerana perjuangan kita dalam PN adalah sama iaitu untuk rakyat Malaysia,” ujarnya.

  • PH-BN semakin hilang sokongan Melayu selepas dakwa Muhyiddin, kata penganalisis

    PH-BN semakin hilang sokongan Melayu selepas dakwa Muhyiddin, kata penganalisis

    PENGANALISIS politik berkata pendakwaan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menarik lebih banyak sokongan Melayu kepada blok pembangkang selain sokongan luar bandar terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka semakin melemah.

    James Chin dari University of Tasmania Australia berkata keadaan ini terutamanya melibatkan sokongan orang Melayu yang sudah pun meninggalkan UMNO kerana membenci presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

    Bagaimanapun, kata Chin dari aspek komuniti Melayu yang menyeluruh, mereka sedang mengamati dan mengambil pendirian untuk meneliti perkembangan kes-kes mahkamah terdekat terlebih dahulu. 

    “Mereka sedang meneliti perkembangan ini dan mendengar apa yang dikatakan mengenai pendakwaan politik.

    “Tetapi pendiriannya lebih menjurus kepada pendirian ‘tunggu dan lihat’. Saya tidak rasa komuniti sudah membuat keputusan muktamad buat masa ini,” katanya kepada MalaysiaNow. 

    Sejak dua minggu lalu, senario politik Malaysia menyaksikan beberapa ahli politik pembangkang tersenarai untuk didakwa ke mahkamah berhubung dakwaan penyelewengan yang dikaitkan dengan JanaWibawa, program pasca Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.

    Muhyiddin merupakan perdana menteri selama 17 bulan antara 2020 dan 2021, didakwa atas enam pertuduhan berkait salah guna kuasa dan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, dengan pertuduhan ketujuh dibacakan di Mahkamah Shah Alam.

    Bercakap kepada media selepas pertuduhan minggu lalu, Muhyiddin menyifatkan ianya merupakan pendakwaan terpilih dan satu bentuk penganiayaan politik terancang. 

    Sementara itu, seorang profesor dari Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia, Shamsul Amri Baharuddin pula berpandangan pendakwaan terhadap ahli Parlimen Pagoh jelas menunjukkan Zahid dan Anwar saling bantu membantu antara satu sama lain.

    “Anwar jadi PM10 semata-mata atas sokongan Zahid.

    “Hutang Anwar pada Zahid bertimbun. Masih belum habis dibayar.

    “Menyelamatkan Zahid digodam RoS baru satu kes. Ada 48 kes lagi,” katanya kepada MalaysiaNow merujuk kepada surat tular menyatakan usul tambahan dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu yang menghalang pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden sebagai tidak sah.

    Shamsul turut mempersoalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mengendalikan kes Muhyiddin dengan membandingkan tempoh masa yang diambil oleh agensi itu ketika menyiasat kes 1MDB beberapa tahun lalu. 

    Katanya, SPRM mengambil waktu selama setahun lebih dalam persediaan kes 1MDB dan heret Najib ke mahkamah.

    Bagaimanapun, agensi itu kini hanya memerlukan waktu tiga bulan dalam persediaan kes JanaWibawa dan bawa Muhyiddin ke mahkamah.

    “Tindakan ini memperkukuh keakraban politik dalam Bersatu dan PN.

    “Rakyat jauh lebih bijak dari pemimpin PKR dan BN (Barisan Nasional). Dalam PRN (pilihan raya negeri) nanti, senjata makan tuan.

    “Yang menariknya semuanya tokoh-tokoh yang terlibat adalah bekas anak murid sekolah politik UMNO dan Barisan Nasional (BN).”

    Kerajaan Anwar akan tumbang?

    Ketika ditanya sama ada pendakwaan terburu-buru terhadap pemimpin politik pembangkang boleh mencetuskan usaha menumbangkan kerajaan kerana ikrar mereka untuk menjadi ‘pembangkang yang telus’ tidak mendapat kerjasama Anwar dan Zahid.

    Chin meramalkan ianya sukar untuk menumbangkan kerajaan buat masa kini disebabkan beberapa faktor.

    Terutamanya, kata Chin memandangkan sambutan hari raya Aidilfitri makin dekat akan menyukarkan PN untuk ‘bergerak’.

    “Saya rasa pendirian secara umum bagi semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang ialah tiada keperluan untuk mengambil apa-apa langkah kerana pilihan raya di enam negeri semakin hampir.

    “Di situ kita akan lihat pihak mana akan raih sokongan orang Melayu.”

    Terdahulu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang juga ahli Parlimen Tasek Gelugor serta seorang lagi pemimpin parti ditahan dan didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Pendakwaan Muhyiddin pula dilihat memanaskan lagi suhu politik negara.

    Kerajaan Anwar diramal berdepan tindak balas negatif ketika pentadbirannya melakukan pendakwaan terhadap Muhyiddin, tiga bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Anwar sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terhadap Muhyiddin dilakukan atas tujuan politik sebaliknya dilaksanakan sepenuhnya oleh agensi penguatkuasaan undang-undang, SPRM.

    Pemimpin PN sebelum ini memberi amaran pentadbiran Anwar akan melakukan penahanan secara besar-besaran bagi memburuk-burukkan pemimpinnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di mana lima daripadanya mempunyai jumlah pengundi Melayu yang besar.

    Pada PRU15, kerajaan Pakatan Harapan (PH)-BN hilang undi Melayu kepada PN.

  • Majlis Tertinggi PN 20 Mac ini mungkin tentukan permohonan Pejuang – Sanusi

    Majlis Tertinggi PN 20 Mac ini mungkin tentukan permohonan Pejuang – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEPUTUSAN sama ada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan diterima untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) hanya boleh ditentukan melalui perbincangan oleh Majlis Tertinggi (MT) gabungan tersebut.

    Menurut, Ketua Pengarah Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, beliau tidak boleh memberi jawapan mengenai perkara itu kerana keputusan berkaitan perkara itu tertakluk kepada keputusan dibuat MT PN.

    “Setiap sesuatu itu mestilah ada pertimbangannya. Kalau mampu bawa kelebihan kepada PN, maka tentulah mereka diterima tetapi kalau bawa beban saja, takkan nak terima?

    “Apa pun keputusan mengenai perkara itu akan dibuat MT PN. MT PN akan ada mesyuarat 20 Mac depan tetapi saya tak tahulah sama ada penyertaan Pejuang ini akan dibincangkan. Kalau tak ada dalam mesyuarat itu, mungkin dibincangkan dalam mesyuarat seterusnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

    Sebelum ini Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir melalui satu kenyataan mengesahkan bahawa parti itu ada memohon untuk menyertai PN.

    Menurut Mukhriz, beliau sudah menghantar surat kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memohon agar Pejuang diterima sebagai salah satu parti komponennya.

    Ditanya kedudukan kerusi Pejuang di Kedah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekiranya parti itu menyertai PN, Muhammad Sanusi berkata perkara itu sudah tentu merupakan antara yang akan dibincang dan dinilaikan.

    “Baru-baru ini pun saya saya ada bertemu Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir di Kuala Lumpur selepas mereka membuat permohonan untuk sertai PN tetapi saya tak menjanjikan apa-apa.

    “Saya cuma tegaskan bahawa perkara ini perlu dibawa ke Mesyuarat MT PN. Mukhriz kata parti-parti Melayu perlu bergabung dan apabila beliau kata begitu, saya tak tak adalah jawab apa-apa,” katanya.