Category: Politik

  • Kemenangan besar kem Zahid boleh untungkan PN

    Kemenangan besar kem Zahid boleh untungkan PN

    KETIKA Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mungkin bergembira dengan kemenangan sekutu pada pemilihan UMNO yang baharu sahaja selesai, parti pembangkang berasaskan Melayu dipercayai sedang bergembira secara senyap-senyap.

    Sumber dalaman parti pembangkang berkata, kegembiraan mereka adalah kerana pengundi Melayu berkemungkinan menolak UMNO, Barisan Nasional (BN) dan rakan gabungan lain dalam kerajaan perpaduan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya DUN di enam negeri akan datang.

    “Bersatu dan Pas mendapat manfaat dalam pilihan raya umum 2022 dengan Zahid dan kumpulannya mengetuai parti itu. Ramai pengundi Melayu tidak berpuas hati dengan beliau dan kepimpinannya, lalu mengundi Perikatan Nasional atau menjauhkan diri sebagai protes.

    “Kini dengan Zahid dan pasukannya mendominasi jawatan tertinggi dan Majlis Kerja Tertinggi, anda boleh mengharapkan UMNO kehilangan lebih banyak kerusi terutamanya negeri seperti Negeri Sembilan dan Selangor. Secara jujurnya, UMNO telah berpecah teruk,” katanya kepada FMT.

    Sumber itu berkata, kemenangan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Naib Presiden ketiga dalam kalangan lapan calon nampaknya sebagai pilihan berkecuali UMNO bahagian kerana bekas Menteri Kewangan kedua itu dilihat bukan dalam kalangan orang Presiden.

    “Saya rasa beliau lebih dilihat sebagai seorang teknokrat yang membuat kenyataan masuk akal mengenai parti dan ekonomi. Ahli tahu dia diperlukan untuk pertumbuhan masa depan parti,” tambah sumber itu.

    Keputusan rasmi pemilihan UMNO menunjukkan penyokong Zahid memenangi dua daripada tiga jawatan Naib Presiden, serta majoriti kerusi Majlis Kerja Tertinggi dan sayap parti.

    Khaled Nordin mengekalkan jawatan Naib Presidennya bersama ‘pendatang baharu’ Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; mereka dikenali sebagai penyokong setia Zahid.

    Mereka yang lain memenangi jawatan Majlis Kerja Tertinggi majoritinya terdiri daripada mereka berkait rapat dengan Zahid.

    Antaranya ialah Menteri Luar Negara l, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Timbalan Menteri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Seri Ahmad Maslan, yang merupakan setiausaha agung UMNO; Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, bekas ahli Majlis Tertinggi, Datuk Lokman Noor Adam dan ‘pendatang baru’ yang juga Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil.

    Pemimpin kanan lain termasuk Datuk Seri Azeez Abdul Rahim, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub, Datuk Dr. Puad Zarkashi, Razlan Rafii dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarikh Khan.

    “Anda tidak boleh mengharapkan mereka dipecat, digantung atau menjauhkan diri daripada mengundi sebagai tanda protes terhadap keputusan tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi teratas. Sebahagian daripada mereka mempunyai sokongan akar umbi yang baik dan tidak akan terjejas,” katanya.

    Beliau menambah kesannya boleh dilihat dalam pilihan raya negeri.

    Satu lagi sumber PN berkata, UMNO berpecah di semua peringkat dan keputusan pemilihan ini menunjukkannya secara jelas, sambil menambah, ia sebenarnya memudahkan pembangkang berkempen di peringkat negeri.

    “Dengan Zahid dan anak buahnya mengetuai parti, kita melihat ada kemungkinan untuk menang walaupun dengan penyokong tegar PH.

    “Ramai tidak berpuas hati dan akan mempertimbangkan semula pendirian mereka. Prospek PN merampas Selangor daripada PH kini nyata manakala Negeri Sembilan adalah satu kemungkinan,” kata sumber itu.

  • Nazifuddin harap tiada perbalahan selepas pemilihan UMNO

    Nazifuddin harap tiada perbalahan selepas pemilihan UMNO

    KETUA UMNO Bahagian Langkawi yang baharu, Datuk Mohd. Nazifuddin Najib berharap mereka yang tewas pada pemilihan bahagian tersebut terus bersama bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

    “Beberapa program yang memberikan manfaat kepada ketua cawangan dan UMNO Langkawi serta aktiviti untuk menambahkan keahlian parti bahagian akan diadakan dalam masa terdekat.

    “Saya juga ingin merapatkan saf antara semua yang terlibat dan menyatukan parti ini untuk bersedia menghadapi PRN yang akan datang.

    “Saya harap tiada perbalahan selepas pemilihan ini. Kita ke depan dan bersedia menjadi satu keluarga yang besar untuk berhadapan PRN bersama dengan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohd. Nazifuddin menang jawatan Ketua Bahagian UMNO Langkawi selepas menewaskan Nor Saidi Nanyan dengan majoriti tipis 12 undi.

    Anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu bakal dibantu Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Armishah Siraj dan Naib Ketua Bahagian, Umi Kalsum Abd Mutalib.

    Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ahli UMNO Bahagian Langkawi selepas pemilihan UMNO bagi penggal 2023-2026 berjalan lancar.

    Mohd. Nazifuddin berkata, beliau sangat menghargai setiap undi yang diberikan kepadanya sehingga memperoleh kemenangan itu.

    “Terima kasih juga kepada ibu bapa saya yang mendoakan dan memberikan saya semangat untuk melalui segala rintangan dan cabaran di dalam pemilihan kali ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • 30 peratus ketua bahagian adalah muka baharu

    30 peratus ketua bahagian adalah muka baharu

    Pemilihan UMNO 2023 menyaksikan kira-kira 30 peratus atau 54 peneraju kepimpinan UMNO di peringkat bahagian di seluruh negara adalah muka baharu.

    Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berkata, perkembangan itu sekali gus menunjukkan UMNO sebuah parti dinamik khususnya dalam menyubur serta mengharungi landskap politik semasa.

    “Seramai 54 Ketua UMNO Bahagian ini adalah 29 peratus lebih atau kira-kira 30 peratus muka baharu. Dia bukan berlaku hanya satu negeri, tetapi berlaku secara keseluruhan.

    “Contohnya di Wilayah Persekutuan, enam muka baharu; Melaka (tiga); Kelantan (lima); Johor sampai 10 muka baharu; Perak (empat); Selangor (enam) dan Perlis, tiga,” katanya pada sidang media di Auditorium UMNO di Kuala LUmpur, hari ini.

    Selain itu, Shahrir berkata, UMNO perlu menekankan soal tata etika kepada seluruh perwakilannya yang terbabit dalam pemilihan pada masa akan datang.

    “Kepada 190,000 ahli UMNO yang terbabit dalam proses pemilihan, kita juga tekankan soal kualiti, supaya mereka patuh soal tata etika. Supaya perwakilan akar umbi UMNO ini, mereka juga harus mempunyai kefahaman dan tanggungjawab sebagai perwakilan.

    “Kalau kuantiti saja, dia bukan menandakan amalan demokrasi sebenar. Amalan demokrasi itu mesti berasaskan kefahaman dan kepatuhan kepada peraturan. Jadi itu anggapan kami sebagai JPU 2023,” katanya, lapor Berita Harian.

    Katanya, rumusan berkaitan perjalanan Pemilihan UMNO 2023 termasuk cadangan penambahbaikan yang perlu dilaksana UMNO selepas ini akan dikemukakan oleh JPU kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam tempoh terdekat ini.

    Pemilihan UMNO 2023 berakhir semalam selepas 189 bahagian UMNO dari 191 bahagian bersidang, namun hanya dua bahagian iaitu UMNO Bahagian Johor Bahru dan Beluran di Sabah yang ditangguhkan.

    Keputusan dari dua bahagian ini termasuk dua lagi Bahagian UMNO yang digantung iaitu Tanah Merah dan Kota Kinabalu, yang dijadual akan mengadakan semula pemilihannya kelak, tidak akan dikira bagi penjumlahan keseluruhan keputusan Pemilihan UMNO 2023 khususnya bagi peringkat Pusat.

  • Puad Zarkashi kalah Ketua Bahagian Batu Pahat dengan majoriti 99 undi

    Puad Zarkashi kalah Ketua Bahagian Batu Pahat dengan majoriti 99 undi

    DATUK Dr. Mohd. Puad Zarkashi gagal mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat dalam pemilihan UMNO bahagian tersebut.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu tewas kepada pencabar yang juga timbalannya, Zaidi Japar, dalam saingan tiga penjuru jawatan itu.

    Dalam saingan itu, Mohd Puad meraih 302 undi, berbanding Zaidi yang mendapat 401 undi, lapor Berita Harian.

    Seorang lagi pencabar, Johari Abd. Razak, pula hanya memperoleh enam undi.

    Keputusan pemilihan UMNO Bahagian Batu Pahat itu adalah yang terakhir diumumkan petang ini, daripada 26 bahagian parti itu di Johor.

  • UMNO Perak hantar senarai ahli sabotaj kepada Lembaga Disiplin

    UMNO Perak hantar senarai ahli sabotaj kepada Lembaga Disiplin

    UMNO Perak sudah menghantar lebih 50 individu untuk dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin parti kerana sabotaj pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

    Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kesemua individu tersebut merupakan ahli UMNO dari seluruh Perak.

    “Terdapat juga beberapa ahli UMNO yang sudah dipecat keahlian kerana tindakan tersebut.

    “Saya ingat dari (UMNO bahagian) Larut ada 17 orang yang dipecat dan beberapa tempat lain memang ada yang dipecat.

    “Yang lain kita tunggu sehingga jawatankuasa pengurusan parti mengumumkan siapa yang dipecat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan di Ipoh hari ini.

    Katanya, semua mereka yang disenaraikan itu secara terang-terangan membantu kempen parti lawan.

    “Jika terdapat ahli-ahli UMNO yang menjadi calon, penyokong atau pencadang parti lawan secara automatik keluar parti kerana itu sudah termaktub dalam perlembagaan parti,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Semalam, Saarani dalam ucapan ketika Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong mendedahkan tindakan sabotaj sesama sendiri dikenal pasti antara faktor utama kekalahan teruk UMNO di Perak dalam memenangi kerusi yang ditandingi pada PRU15 lalu.

  • Calon pro-Zahid kuasai pemilihan UMNO

    Calon pro-Zahid kuasai pemilihan UMNO

    BARISAN pemimpin yang dilihat sebagai penyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menguasai pemilihan parti itu kali ini.

    Daripada jawatan Naib Presiden UMNO, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Pemuda, Wanita dan Puteri, boleh dikatakan hampir keseluruhannya dikuasai mereka yang pro kepada Timbalan Perdana Menteri itu.

    Dua daripada tiga jawatan Naib Presiden diisi Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang memang merupakan penyokong Ahmad Zahid.

    Begitu juga untuk jawatan ahli MKT yang boleh dikatakan hampir semuanya dimenangi calon yang setia terhadap kepimpinannya, berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat pukul 10.30 pagi ini.

    Hanya beberapa calon yang dilihat tidak sehaluan dengan Zahid berjaya menempatkan diri dalam majlis tersebut, antaranya Md. Alwi Che Ahmad dan Jalaluddin Alias.

    Malah ‘panglima perang’ Ahmad Zahid menang dengan jumlah undi yang tinggi, antaranya Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Datuk Dr Mohd. Puad Zarkashi, Razlan Rafii dan Datuk Zahida Zarikh Khan.

    Keadaan sama dilihat dalam keputusan pemilihan sayap UMNO yang sudah pun selesai.

    Jawatan ketua Pemuda UMNO dan ketua Puteri UMNO dimenangi oleh Muhamad Akmal Saleh serta Nurul Amal Fauzi yang merupakan calon kem Ahmad Zahid.

    Di peringkat bahagian pula, perkara ini jelas dilihat di Pasir Salak di mana penyokong Zahid, iaitu Khairul Azwan Harun menang jawatan ketua bahagian dengan menewaskan pencabarnya Faizal Tajuddin.

    Faizal merupakan anak kepada Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang memimpin bahagian itu selama 18 tahun.

    Begitu juga Rozabil Abd Rahman yang merupakan calon kem presiden dan menang tanpa bertanding di Arau, bahagian yang dipegang Shahidan Kassim selama 30 tahun.

    Rozabil merupakan calon yang dipilih kepimpinan UMNO di kerusi Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menggantikan Shahidan yang digugurkan, lapor Malaysiakini.

  • Shamsul Anuar Nasarah dahului, Tengku Zafrul tersenarai MKT UMNO

    Shamsul Anuar Nasarah dahului, Tengku Zafrul tersenarai MKT UMNO

    AHLI Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah memperolehi undi tertinggi untuk kerusi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

    Setakat pukul 10 pagi tadi, Shamsul Anuar yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri mendapat 134 undi bahagian diikuti Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang memperoleh 131 undi.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di tempat ketiga dengan 130 undi bahagian manakala Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mendapat 124 undi bahagian untuk berada di tempat keempat.

    Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendapat 124 undi manakala Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

    Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii juga tersenarai dalam MKT bagi penggal 2023-2026.

    Selain itu, Ketua Penerangan UMNO, Hizatul Isham Abdul Jalil atau Isham Jalil juga berada dalam senarai 25 anggota MKT kali ini.

    Berikut merupakan keputusan tidak rasmi sehingga pukul 10 pagi tadi, lapor Astro Awani

    PENGERUSI TETAP

    1. Tan Sri Badruddin Amiruldin

    TIMBALAN PENGERUSI TETAP

    1. Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah

    NAIB PRESIDEN

    1. Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail
    2. Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
    3. Datuk Seri Johari Abdul Ghani

    AHLI MAJLIS KERJA TERTINGGI

    1. Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah
    2. Datuk Seri Zambry Abdul Kadir
    3. Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
    4. Datuk Seri Ahmad Maslan
    5. Datuk Seri Bung Moktar Radin
    6. Datuk Ahmad Jazlan Yaakub
    7. Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim
    8. Datuk Azian Osman
    9. Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin
    10. Datuk Ir Shaik Hussein Mydin
    11. Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii
    12. Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad
    13. Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad
    14. Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin
    15. Datuk Zahida Zarik Khan
    16. Datuk Mohd Puad Zarkashi
    17. Datuk Johan Abdul Aziz
    18. Hizatul Isham Abdul Jalil
    19. Datuk Seri Ahmad Said
    20. Datuk Seri Jamil Khir Baharom
    21. Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
    22. Datuk Lokman Noor Adam
    23. Datuk Abdul Razak Abdul Rahman
    24. Datuk Suraya Yaacob
    25. Datuk Seri Jalaluddin Alias
  • Shahaniza, Zahida, Suraya dalam senarai 25 ahli MKT UMNO

    Shahaniza, Zahida, Suraya dalam senarai 25 ahli MKT UMNO

    TIGA calon wanita, termasuk bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berada dalam senarai 25 calon yang mendapat undi paling tinggi bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

    Menurut Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, keputusan tidak rasmi pemilihan UMNO setakat pukul 9 pagi tadi menunjukkan Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan Datuk Suraya Yaacob turut berada dalam senarai berkenaan.

    Shahaniza, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul dan bekas Exco Pahang, juga berjaya mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Maran pada pemilihan semalam, manakala Suraya pula bekas Exco Kedah dan penyandang jawatan Ahli MKT.

    Shahaniza berada pada kedudukan kesembilan dalam senarai, diikuti Zahid pada kedudukan ke-15 dan Suraya pada kedudukan ke-24.

    Isham yang memaklumkan perkembangan itu melalui hantaran di Facebook miliknya, turut menyenaraikan keputusan tidak rasmi pemilihan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap serta naib presiden.

    “Untuk keputusan Ahli Majlis Kerja Tertinggi, mungkin ada perubahan sedikit di saat akhir kepada senarai calon-calon yang berjaya oleh kerana terdapat keputusan di beberapa bahagian lagi yang belum diterima, dimasuk ke dalam sistem atau dimuktamadkan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Berikut senarai tidak rasmi pemenang pemilihan UMNO.

    PENGERUSI TETAP

    1. Tan Sri Badruddin Amiruldin

    TIMBALAN PENGERUSI TETAP

    1. Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah

    NAIB PRESIDEN

    1. Datuk Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail
    2. Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
    3. Datuk Seri Johari Abdul Ghani

    AHLI MAJLIS KERJA TERTINGGI

    1. Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah
    2. Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir
    3. Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
    4. Datuk Seri Ahmad Maslan
    5. Datuk Seri Bung Moktar Radin
    6. Datuk Ahmad Jazlan Yaakub
    7. Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim
    8. Datuk Azian Osman
    9. Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin
    10. Datuk Dr Ir Shaik Hussein Mydin
    11. Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii
    12. Datuk Seri Dr Md Alwi Che Ahmad
    13. Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad
    14. Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin
    15. Datuk Zahida Zarik Khan
    16. Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi
    17. Datuk Johan Abdul Aziz
    18. Isham Jalil
    19. Datuk Seri Dr Ahmad Said
    20. Datuk Seri Jamil Khir Baharom
    21. Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan
    22. Datuk Lokman Noor Adam
    23. Datuk Abdul Razak Abdul Rahman
    24. Datuk Suraya Yaacob
    25. Datuk Seri Jalaluddin Alias
  • Ahmad Maslan tewaskan Hasni di Pontian

    Ahmad Maslan tewaskan Hasni di Pontian

    SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mencipta kejutan apabila menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Pontian dalam pemilihan parti semalam.

    Timbalan Menteri Kewangan itu memperoleh 388 undi, berbanding lawannya Datuk Seri Hasni Mohammad yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Pontian, yang hanya meraih 291 undi.

    Seramai 690 perwakilan daripada 117 cawangan terbabit dalam proses pemilihan kali ini yang diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.

    Kemenangan Ahli Parlimen Pontian itu menamatkan legasi Hasni yang memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Pontian selama 22 tahun.

    Pertembungan Ahmad dan Hasni sebelum ini mencuri tumpuan kerana kedua-duanya mempunyai pengalaman politik yang luas dalam UMNO.

    Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut sebelum ini merupakan Pengerusi UMNO Johor dan Menteri Besar Johor.

    Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian pula dimenangi Datuk Sumali Mohd Reduan, manakala Naib Ketua UMNO Bahagian Pontian disandang oleh Jamaluddin Abd Majid, lapor Sinar Harian.

  • Isu teknikal libatkan pemilihan Ketua UMNO Bahagian Merbok, keputusan mungkin dibantah

    Isu teknikal libatkan pemilihan Ketua UMNO Bahagian Merbok, keputusan mungkin dibantah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KETUA Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin diumumkan sebagai Ketua UMNO Bahagian Merbok yang baharu apabila menewaskan penyandang jawatan itu, Annuar Ahmad menerusi majoriti tipis, dalam pemilihan semalam.

    Begitu pun difahamkan proses kemenangan Shaiful Hazizy itu belum lagi ‘muktamad’ ketika Annuar dikatakan mungkin akan membuat bantahan susulan penemuan lebihan satu kertas undi sewaktu sesi pengiraan berlangsung petang semalam.

    Mengulas perkara itu Setiausaha Kerja UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man menjelaskan, Annuar berhak membuat bantahan berhubung kejadian tersebut bagi membolehkannya dinilai semula oleh jawatankuasa bantahan di peringkat Pusat.

    “Saya difahamkan apa yang berlaku lebih kepada isu teknikal. Salah seorang perwakilan dikatakan telah menerima dua kertas undi bagi jawatan Ketua Bahagian dan menggunakan kedua-dua kertas undian itu untuk mengundi calon pilihannya.

    “Maka apabila pengundian dilakukan, terdapat lebihan satu kertas undi. Begitu pun setelah penilaian dibuat oleh jawatankuasa pemilihan, Shaiful Hazizy kemudiannya diisytiharkan pemenang dengan majoriti 10 undi,” katanya.

    Tambahnya, isu tersebut dilihat lebih kepada perkara melibatkan teknikal kerana kertas-kertas undi bagi beberapa jawatan dipertandingkan akan dikepilkan bersama, sebelum diserahkan kepada perwakilan.

    Katanya disebabkan jawatan dipertandingkan terlalu banyak, mungkin berlaku kesilapan manusia apabila kertas undi bagi jawatan Ketua Bahagian itu diletakkan secara bertindih, tanpa disedari.

    “Jadi dalam hal ini, mungkin terdapat ‘human error’ menyebabkan perwakilan itu menerima dua kertas undi untuk jawatan tersebut.
    Perwakilan itu pula sepatutnya mengembalikan lebihan kertas itu kepada jawatankuasa pemilihan tetapi dia mengisi kedua-duanya untuk dimasukkan dalam kotak pengundian.

    “Sebab itulah berlaku lebihan satu kertas undi sewaktu pengiraan dijalankan. Setakat ini pemenang jawatan tersebut memang sudah diumumkan tetapi seperti saya nyatakan tadi, mana-mana calon tidak berpuas hati berhak membuat bantahan,” katanya.