Category: Politik

  • Ganggu pembahagian kerusi punca PN tolak Pejuang- Tuan Ibrahim

    Ganggu pembahagian kerusi punca PN tolak Pejuang- Tuan Ibrahim

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) ditolak menyertai Perikatan Nasional (PN) kerana tidak mahu pembahagian kerusi antara parti gabungan itu terganggu menjelang pilihan raya negeri (PRN).

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PN khuatir kemasukan parti baharu ketika dekat dengan PRN akan mengganggu perbincangan yang sedang berjalan.

    “Masa dia masuk dekat PRN … parti komponen PN sudah bincang bila terima masuk ia mungkin akan mengganggu proses perbincangan yang sedang berjalan,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

    Turut dipertimbangkan status ‘parti picisan’ Pejuang yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu, yang menurut Tuan Ibrahim tidak akan beri impak besar kepada usaha ‘penyatuan ummah’ yang sering dilaungkan Pas.

    “Penyatuan ummah tidak akan berlaku sebab mereka bukan parti utama sepertimana UMNO atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Walaupun Pejuang masuk pilihan raya, ia kalah hampir semua dan mereka akui hilang deposit,” katanya.

    Pejuang tewas di semua kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15, termasuk Mahathir dan presidennya, Datuk Seri Mukhriz.

    Kelmarin PN mengumumkan ia menolak permohonan Pejuang untuk menyertai gabungan itu, yang dipimpin oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Pejuang ditubuhkan oleh Mahathir pada Ogos 2020 selepas Bersatu menggugurkan keahlian beliau dan beberapa penyokongnya.

    Selepas permohonan ditolak, Setiausaha Agung Pejuang, Amiruddin Hamzah berkata, partinya kecewa iltizam dan matlamat untuk tidak memecahkan undi orang Melayu tidak disambut pimpinan PN.

    Tuan Ibrahim tidak menolak Pejuang memohon untuk menyertai PN demi menyelamatkan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) parti itu.

    Empat kerusi DUN diwakili oleh wakil rakyat Pejuang iaitu Jitra dan Anak Bukit di Kedah serta Jeram dan Kuang di Selangor – Mukhriz adalah ADUN Jitra.

    “Saya jangka mereka tahu dengan bersendirian dia tak boleh pertahan kerusi itu maka dia cari gabungan lain,” katanya.

    Tuan Ibrahim, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berpendapat, lebih wajar Pejuang dibubarkan dan ahlinya menyertai Pas atau Bersatu jika mahu terus memperjuangkan bangsa dan agama.

    “Itu lebih baik berbanding banyakkan parti kecil kerana akhirnya ia akan menimbul masalah,” katanya.

    Beliau menepis dakwaan penolakan Pejuang itu bermakna PN menolak agenda penyatuan ummah yang diperjuangkan Pas.

    “Kalau betul-betul nak lihat dari segi kebersamaan dalam pasukan pembangkang, lebih baik masuk parti dalam PN sedia ada sebab dia asalnya dari Bersatu dan bentuk parti lain,” ujar beliau.

  • UMNO masih pentas ‘Zahid-Najib’

    UMNO masih pentas ‘Zahid-Najib’

    TIGA lantikan ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diumumkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi petunjuk mengenai hasrat di pihak presiden parti untuk mengukuhkan kedudukannya sambil menyenangkan hati penyokong setia pendahulunya.

    Penganalisis politik, Jeniri Amir berkata, perkera itu boleh dibuktikan dengan pelantikan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Ketua Penerangan parti dan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Setiausaha Agung.

    “(Ketika pemilihan parti Sabtu lalu) akar umbi dengan jelas tidak mahu barisan Zahid, (tetapi Zahid) memerlukan orang yang rapat dengannya.

    “Jadi, untuk mengukuhkan kedudukannya dalam kepimpinan tertinggi, beliau perlu memerlukan penyokong setia seperti Azalina dan Asyraf,” katanya kepada FMT.

    Pelantikan bekas Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ke MKT, adalah untuk mengukuhkan sokongan daripada penyokong setia bekas perdana menteri Najib Razak, kata Jeniri.

    “Ia langkah bijak untuk menyenangkan hati kem Najib,” ujar Felo Majlis Profesor Negara itu.

    “Dengan orang Najib yang turut berada dalam barisan baharu, parti akan kekal menjadi pentas ‘Zahid-Najib’, seperti yang dikatakan bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin,” katanya.

    Semalam, Zahid mengumumkan pelantikan Azalina, Asyraf dan Shahrizat ke MKT parti.

    Asyraf juga menggantikan Ahli MKT, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung parti, manakala Azalina menggantikan Isham Jalil sebagai Ketua Penerangan.

    Apa yang ketara, Presiden UMNO tidak mengendahkan bekas Perdana Menteri dan Naib Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk MKT.

    Ismail pernah mengkritik kepimpinan Zahid pada masa lalu, kata Jeniri dan pengecualiannya adalah sama dengan presiden parti menutup pintu terhadap pengkritiknya.

    “Zahid tidak mahu musuh dari dalam,” kata Jeniri, sambil memberi amaran bahawa prospek masa depan mereka yang menyokong Ismail kini suram.

    James Chin dari University of Tasmania bersetuju bahawa pelantikan itu jelas menunjukkan kerjasama antara Zahid dan Datuk Seri Najib Razak.

    Ketiadaan Ismail tidak mengejutkan, katanya, memandangkan beliau menentang UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

    “Ismail mengingkari hasrat Zahid dan Najib untuk pilihan raya awal ketika beliau menjadi Perdana Menteri. Mereka mahu pilihan raya umum diadakan tidak lama selepas pilihan raya negeri (PRN) Johor apabila parti mempunyai momentum.

    “Jadi, Khairy betul, ia adalah pentas ‘Zahid dan Najib’. Najib masih berpengaruh dalam UMNO,” katanya kepada FMT.

    Chin memberi amaran bahawa Zahid dan Najib boleh hilang kawalan ke atas parti itu jika UMNO menghadapi masalah buruk pada PRN akan datang.

    Akar umbi mungkin mendesak perubahan dalam kepimpinan untuk memulihkan nasib parti, katanya.

  • Shahrizat Jalil dilantik ahli MKT UMNO

    Shahrizat Jalil dilantik ahli MKT UMNO

    BEKAS Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil hari ini kembali dalam pentadbiran parti itu setelah dilantik sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

    Perkara itu diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu sidang media di Ibu Pejabat UMNO di ibu negara.

    Shahrizat tewas dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Wanita UMNO baru-baru ini kepada Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

    Selain Shahrizat, Zahid turut mengumumkan beberapa ahli MKT lantikan lain termasuk Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Bendahari Agung.

    Ahli MKT lantikan lain termasuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.

    Pengerusi negeri yang dilantik ialah Datuk Rozabil Abd Rahman dari Perlis; Datuk Seri Mahdzir Khalid (Kedah); Ahmad Jazlan Yaakub (Kelantan); Datuk Seri Ahmad Said (Terengganu); Datuk Musa Sheikh Fadzir (Pulau Pinang); Datuk Seri Saarani Mohamad (Perak); Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Pahang); Datuk Megat Zulkarnain Omardin (Selangor); Datuk Seri Johari Ghani (Kuala Lumpur); Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Melaka); Datuk Seri Jalaluddin Alias ( Negeri Sembilan); Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Johor) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Sabah)

    Sementara itu Ahli MKT lantikan dari Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri pula terdiri daripada Datuk Dr Fathulbari Mat Jahya (Perlis); Datuk Seri Abd Azeez Abd Rahim (Kedah); Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh (Kelantan); Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (Terengganu); Datuk Dr Ir Shaikh Hussein Mydin (Pulau Pinang); Datuk Azian Osman (Perak); Datuk Seri Ab Hamid Nazahar (Pahang); Datuk Johan Abd Aziz (Selangor); Datuk Seri Dr Shafei Abdullah (Kuala Lumpur); Datuk Hashim Rusdi (Negeri Sembilan); Datuk Rais Yasin (Melaka); Datuk Seri Ahmad Maslan (Johor) dan Datuk Seri Abd Rahman Dahlan (Sabah).

  • Asyraf Wajdi, Azalina dilantik Setiausaha Agung, Ketua Penerangan UMNO

    Asyraf Wajdi, Azalina dilantik Setiausaha Agung, Ketua Penerangan UMNO

    MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara menamakan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Setiausaha Agungnya yang baharu bagi sesi 2023-2026, menurut laporan.

    Jawatan tersebut sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Memetik laporan UtusanTV, Mesyuarat MKT hari ini turut memilih Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Ketua Penerangan UMNO yang baharu bagi menggantikan Isham Jalil.

    Hari ini barisan kepimpinan MKT UMNO mengangkat sumpah jawatan bersama Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Mesyuarat ini adalah yang pertama diadakan selepas pemilihan UMNO melibatkan 187 bahagian di seluruh negara.

    Pada pemilihan lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memenangi jawatan Naib Presiden UMNO.

    Seramai 25 calon disahkan memenangi jawatan ahli MKT UMNO bagi sesi 2023-2026.

  • Wujud keraguan pemilihan, UMNO Puchong buat bantahan isu bekalan elektrik terputus

    Wujud keraguan pemilihan, UMNO Puchong buat bantahan isu bekalan elektrik terputus

    AHLI UMNO Bahagian Puchong membuat bantahan rasmi selepas proses pemilihan jawatan kuasa UMNO dibimbangi wujud unsur sabotaj selepas bekalan elektrik terputus ketika proses pengiraan undi.

    Ketua Cawangan UMNO Kampung Sri Puchong, Azmi Ja’afar berkata, kejadian yang berlaku pada proses pemilihan undi Sabtu lalu itu menyebabkan timbul keraguan dalam kalangan ahli berhubung keputusan yang dibuat.

    “Bekalan elektrik terputus dan suasana bergelap berlaku dalam tempoh kira-kira dua minit sekitar jam 1.37 tengah hari pada 18 Mac

    “Kita telah buat laporan polis di Balai Polis Bukit Jalil pada 19 Mac, bagi memohon pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya supaya kejadian ini dapat dielakkan pada masa akan datang,” katanya pada sidang akhbar di Puchong, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Pihaknya juga akan memfailkan aduan rasmi dan akan menghantar surat kepada jawatankuasa pemilihan parti.

    Beliau berharap parti akan mengambil tindakan sewajarnya dan berharap pemilihan semula dengan langkah lebih telus.

    Kejadian seumpama itu ujarnya, pernah berlaku sebelum ini dan ia adalah satu strategi untuk mereka menjalankan kerja yang tidak beretika.

    Pemilihan UMNO Bahagian Puchong telah menyaksikan kemenangan majoriti Datuk Dr. Mohamad Satim Diman dengan 152 undi, Azmir Yuzaimi Mohd. Yunos (110) dan Kamsani Kamaruddin (62).

  • PRN: PN guna logo Pas di Kelantan dan Terengganu, lambang PN di 4 negeri

    PRN: PN guna logo Pas di Kelantan dan Terengganu, lambang PN di 4 negeri

    MAJLIS Tertinggi Perikatan Nasional (MTPN) membuat ketetapan mengekalkan penggunaan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Selangor, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, logo Pas pula akan digunakan di Kelantan serta Terengganu sebagaimana berlaku semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lalu.

    “Majlis Tertinggi turut mengarahkan jentera pilihan raya di enam negeri tersebut agar memperkukuhkan persiapan dan kesiapsiagaan di tahap tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut Hamzah berkata, MTPN turut membuat tiga pelantikan baharu semasa mesyuarat semalam.

    Katanya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilantik sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional.

    “Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional Negeri Sabah manakala Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan.

    “Turut diputuskan ialah pelantikan Tuan Mohamad Siddiq Mohd Azani dan Tuan Muhd Khidir Izaidin sebagai Penolong Setiausaha Eksekutif
    Perikatan Nasional,” tambahnya.

  • Pas mahu tinggalkan Bersatu berita palsu, kata Ahmad Samsuri

    Pas mahu tinggalkan Bersatu berita palsu, kata Ahmad Samsuri

    PAS menafikan dakwaan kononnya parti itu akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas beberapa pemimpinnya terpalit kes mahkamah.

    Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, desas desus tersebut merupakan berita palsu yang tidak berasas.

    Menteri Besar Terengganu itu menegaskan, ini kerana Pas masih setia bersama Bersatu serta Perikatan Nasional (PN).

    “Yang diviralkan itu berita palsu. Memang tidak ada (tinggalkan Bersatu). Sesetengah orang kata kalau tidak ada angin masakan pokok boleh bergoyang (tapi) memang tiada angin cuma ada orang pergi goncang pokok.

    “Saya tidak tahu siapa yang pergi goncang pokok,” katanya kepada media selepas hadir menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 peringkat negeri Terengganu di Lembaga Muzium Negeri Terengganu, di Kuala Terengganu, hari ini.

    Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengarah Perhutanan negeri, Roslan Rani.

    Katanya, hubungan antara Pas dan Bersatu tiada sebarang masalah dan perjumpaan bersama kepimpinan parti turut diadakan sama seperti biasa.

    “Baru malam tadi saya bermesyuarat bersama kepimpinan PN termasuk pemimpin tertinggi Bersatu dan Pas. Tidak ada sebarang desas desus ke arah itu (tinggalkan Bersatu)…tiada,” katanya.

    Ditanya mengenai perbincangan diadakan malam Isnin, beliau berkata, ia lebih menjurus kepada beberapa perkara penting termasuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

    “(Agihan kerusi) belum lagi, kita sedang menyiapkan beberapa perkara termasuk asas-asas perundingan kerusi dan insya-ALLAH dalam masa terdekat kita akan duduk berbincang mengenai rundingan kerusi,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • PN tolak kemasukan Pejuang sebagai parti komponen

    PN tolak kemasukan Pejuang sebagai parti komponen

    MAJLIS Tertinggi Perikatan Nasional (PN) memutuskan menolak permohonan kemasukan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai anggota parti komponen gabungan politik itu.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu diputuskan semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Perikatan Nasional, semalam.

    “Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Perikatan Nasional semalam telah dipengerusikan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan, Senator Datuk Dr. Dominic Lau dan semua wakil parti-parti anggota.

    “Majlis Tertinggi telah membuat keputusan menolak permohonan kemasukan parti Pejuang Tanahair ke Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pejuang pada 2 Mac lalu memohon untuk menjadi anggota parti komponen dalam PN.

    Menurut Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, surat permohonan itu telah dihantar kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan salinan kepada Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau.

    Menurut Mukhriz, keputusan itu tidak dibuat berseorangan, sebaliknya mendapat persetujuan Majlis Eksekutif Pusat (MEP) Pejuang dalam mesyuaratnya.

    “Keputusan ini telah disepakati MEP selepas meneliti dan menilai semua pilihan gabungan atau kerjasama politik yang ada.

    “Perjuangan PN adalah sesuai dengan mandat yang kami perolehi dari Perhimpunan Agung Pejuang kali ke-2 baru-baru ini,” katanya.

  • Dakwa hak dinafikan, Pengerusi Tetap UMNO Kubang Pasu letak jawatan

    Dakwa hak dinafikan, Pengerusi Tetap UMNO Kubang Pasu letak jawatan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PENGERUSI Tetap UMNO Bahagian Kubang Pasu di Kedah, Zulkifli Md. Isa mengumumkan peletakkan jawatan kerana mendakwa haknya dinafikan setelah berdepan pelbagai cabaran bagi memastikan perjalanan pemilihan bahagian itu berlangsung secara adil dan saksama, Sabtu lalu.

    Katanya, beliau cuba untuk melaksanakan beberapa perkara bagi memastikan pemilihan yang adil namun langsung tidak dipedulikan.

    Selain itu beliau mendakwa, berlaku beberapa perkara yang dilihat tidak sepatutnya terjadi dalam pemilihan tersebut.

    “Mula-mula saya cuba menetapkan agar pengundian dilakukan menggunakan pen merah supaya unsur-unsur penipuan undi awal dapat dielak namun pihak-pihak tertentu hanya mengucapkan terima kasih dan memaklumkan yang undian menggunakan pen warna apa pun akan diterima.

    “Selain itu saya juga hairan melihat peti undi yang biasanya diletakkan di depan perwakilan dan jawatankuasa, tetapi diletakkan di belakang perwakilan. Saya tegur pihak berkaitan agar ambil tindakan berkaitan perkara itu tetapi tiada apa-apa yang dilakukan.

    “Sudahnya apabila pengundian berjalan, ada pula penyokong serta ejen calon tertentu mengganggu perwakilan ketika mengundi dengan saya sendiri ditanya siapa yang saya undi,” katanya.

    Dalam pemilihan kali ini, Zulkifli menang tanpa bertanding jawatan pengerusi tetap bahagian itu setelah tiada mana-mana pihak yang mencabarnya.

    Sebelum ini beliau merupakan timbalan pengerusi tetap di bahagian itu.

    Zulkifli menambah, beliau juga terkejut apabila melihat ‘cai’pihak tertentu diletakkan di tempat mengundi sedangkan ‘cai’-‘cai’ yang diletakkan di tempat duduk perwakilan, diarahkan agar dibuang oleh pihak tertentu di awal mesyuarat.

    Beliau turut mendakwa ‘ditipu’ apabila ada individu menyampaikan kepadanya kononnya jawatankuasa pemilihan UMNO Bahagian Kubang Pasu tidak membenarkan sebarang sesi pengenalan calon dibuat kepada perwakilan sebelum pengundian berlangsung.

    “Hanya selepas itu apabila saya berjumpa dengan individu terlibat dengan jawatankuasa pemilihan tersebut, barulah saya dimaklumkan bahawa arahan itu tidak wujud.

    “Rupa-rupanya daripada 191 Bahagian UMNO di Malaysia ini, cuma UMNO Bahagian Kubang Pasu saja tidak buat pengenalan calon dan individu berkenaan mengggunakan nama baik jawatankuasa pemilihan UMNO untuk menipu saya,” katanya.

    Oleh itu katanya, beliau terasa seperti dipergunakan dan hanya bertindak sebagai boneka menyebabkannya bertegas mengambil keputusan meletak jawatan walaupun dipujuk pelbagai pihak termasuk bekas Ketua Bahagian itu, Datuk Seri Johari Baharom agar terus menjalankan tanggungjawab itu.

    “Saya tak pertikaikan siapa yang menang dan siapa kalah. Tetapi rasa tak puas hati kerana ada pihak tertentu cuba menggunakan kedudukan mereka untuk memastikan kemenangan satu-satu pihak dan menafikan hak pihak lain termasuk saya sendiri sebagai pengerusi tetap bagi memastikan pemilihan berlaku dengan adil.

    “Setakat ini saya sudah memberitahu Ketua UMNO Bahagian, Datuk Aminuddin Omar mengenai peletakan jawatan ini dan beliau mengambil maklum mengenainya. Malam ini insya Allah saya akan emailkan surat ini kepada UMNO negeri dan Pusat untuk pemakluman mereka,” katanya.

  • Bersatu ajak MCA, MIC sertai PN elak ‘hilang’ daripada radar politik

    Bersatu ajak MCA, MIC sertai PN elak ‘hilang’ daripada radar politik

    SAYAP Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempelawa MCA dan MIC agar menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) selepas mereka diketepikan dan tersisih dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu S. Subramaniam berkata, sehingga kini tiada mana-mana pemimpin kedua-dua parti komponen BN itu dillantik menganggotai Kabinet atau kerajaan.

    Malah kata Subramaniam, dalam pelantikan anggota majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) pun tiada pemimpin MCA atau MIC dilantik.

    “Ini jelas menunjukkan kedua-dua parti itu tidak lagi dihargai oleh (Pengerusi Barisan Nasional) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    “Jadi, saya minta MCA dan MIC kaji semula kedudukan dalam BN dan dialu-alukan menyertai gabungan PN,” katanya memetik laporan Malaysiakini, hari ini.

    Apabila Anwar membentuk Kabinetnya selepas mengangkat sumpah, tiada mana-mana pemimpin MCA atau MIC diberikan jawatan dalam jemaah menteri seperti kebiasaan semasa BN menjadi kerajaan.

    Menjelang pembentukan kerajaan perpaduan, kedua-dua parti terbabit memang dilihat tidak senang dengan keputusan diambil Ahmad Zahid.

    Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU15), MCA hanya memenangi dua kerusi Parlimen – semuanya di Johor – iaitu Ayer Itam (Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong) dan Tanjung Piai (Datuk Seri Wee Jeck Seng). Ka Siong merupakan Presiden MCA manakala Jeck Seng ialah anggota jawatankuasa Pusat parti berkenaan.

    MIC pula hanya memenangi satu kerusi iaitu Tapah yang diwakili Timbalan Presidennya, Datuk Seri M. Saravanan.

    Selain MCA dan MIC, dua lagi anggota komponen BN ialah UMNO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

    Dalam Kabinet kerajaan perpaduan, UMNO diberi enam menteri dan lima timbalan menteri manakala, PBRS diberi satu jawatan timbalan menteri melalui Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

    Sebelum ini Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, MIC memang tidak akan tuntut sebarang jawatan dalam Kabinet sebagai penerusan ketetapan BN menolak Anwar dan DAP sebagai kerajaan.

    Bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu bagaimanapun berkata, parti itu sedia menerima jawatan sekiranya ditawarkan oleh Anwar.

    Subramaniam yang juga bekas Ketua Penerangan Pemuda MIC kebangsaan berkata, MCA dan MIC mungkin akan ‘hilang’ pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang jika terus kekal bersama BN.

    “Saya diberitahu bahawa sehingga kini kedua-dua parti itu tidak dipanggil untuk sebarang rundingan kerusi pada PRN ini.

    “Kemungkinan besar kedua-dua parti hanya akan diberi satu kerusi sahaja di setiap negeri, malah ada kemungkinan mereka langsung tidak diberikan kerusi langsung.

    “Ini kerana sikap membalas dendam oleh beberapa pemimpin UMNO terhadap kedua-dua parti itu yang sebelum ini tidak sehaluan dengan mereka,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Untuk rekod, ketika usaha digerakkan bagi menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, pemimpin MCA dan MIC serta sebahagian besar ahli Parlimen UMNO enggan menyokong pendirian ditetapkan Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk menarik balik sokongan mereka kepada Presiden Bersatu berkenaan.

    Ka Siong sebelum ini berkata, MCA mempertimbangkan beberapa senario dalam enam PRN tahun ini, termasuk kemungkinan tidak meletakkan calon.