Category: Politik

  • Pemimpin PKR Sabah kesal PH dapat kurang jawatan lantikan politik

    Pemimpin PKR Sabah kesal PH dapat kurang jawatan lantikan politik

    TIMBALAN Pengerusi parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Sazalye Donol mendakwa Pakatan Harapan (PH) diketepikan dalam pelantikan politik oleh kerajaan negeri, termasuk di peringkat kampung.

    Menurut beliau, sekiranya amalan ini berterusan mungkin menyusahkan kerajaan negeri, lapor Malaysiakini.

    “Jika seandainya perkara ini berterusan saya khuatir akan mengakibatkan kelancaran pemerintahan Kerajaan Perpaduan di Sabah tidak akan tercapai dan laungan kerajaan perpaduan di Sabah hanya omongan kosong sahaja,” katanya pada satu kenyataan malam tadi.

    Sazaly berkata demikian selepas beliau bagi pihak PH Kota Marudu Harapan menyerahkan memorandum kepada Presiden UPKO, Ewon Benedick.

    Memorandum itu menyeru Ewon untuk menyampaikan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor tuntutan PH untuk jawatan dalam majlis tempatan, jawatankuasa kampung dan lain-lain.

    Pada masa ini, Sazaly yang juga Ketua Cabang PKR Kota Marudu berkata, pelantikan politik di daerah itu kebanyakannya didominasi oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

    GRS pimpinan Hajiji pada mulanya merupakan cabang Perikatan Nasional di Sabah.

    Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum ke-15, Hajiji menyelaraskan semula GRS untuk berpihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Hajiji juga telah melantik dua pemimpin PH Sabah, Christina Liew dan Phoong Jin Zhe memegang jawatan dalam Kabinet negeri.

  • PRN: MCA akui rundingan pembahagian kerusi lebih kompleks

    PRN: MCA akui rundingan pembahagian kerusi lebih kompleks

    PRESIDEN MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kerajaan PH-BN dijangka memuktamadkan pembahagian kerusi untuk enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada pertengahan bulan hadapan.

    Beliau berkata, setakat ini mesyuarat mengenai perkara itu telah diadakan dua kali, yang terbaharu pada 19 Mac lalu.

    Menurutnya, beliau mengakui rundingan itu lebih kompleks kerana banyak perkara perlu diberikan penelitian agar pembahagian kerusi benar-benar menggambarkan semangat bersatu padu di kalangan parti di bawah Kerajaan Perpaduan.

    “Ini jadi cabaran utama kepada setiap pemimpin parti kerana kita tahu, kalau dulu, tiga orang makan satu pinggan berkongsi satu dulang makan nasi ambeng.

    “Jika BN (Barisan Nasional) bertanding, maka pembahagian hanya bersama parti kompenan BN.

    “Senario sekarang berbeza, lebih kompleks kerana melibatkan gugusan parti yang ada BN dan PH (Pakatan Harapan).

    “Jadi semangat perpaduan perlu digambarkan sepenuhnya dalam konteks pembahagian kerusi ini,” katanya hari ini, lapor Astro AWANI.

    Beliau ditemui media selepas merasmikan Pusat Khidmat ADUN Chenderiang di Tapah.

    Enam PRN yang dimaksudkan ialah di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

    Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, banyak lagi aspek perlu diambil kira dan diperincikan termasuk kerusi-kerusi tradisi yang ditandingi setiap parti.

    Menurutnya, sejak tertubuhnya Kerajaan Perpaduan, semua percaturan politik jadi berlainan dan ia akan menjadi satu topik hangat yang dibincangkan semua parti.

    “Dulu PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) yang melawan jadi kawan… jadi kita nak memikirkan pergerakan bersama supaya nanti mereka yang sudah menjadi kawan tidak menjadi lawan,” katanya.

    Dalam pada itu, Ka Siong berkata, Pusat Khidmat ADUN Chenderiang yang dibuka berdekatan Dewan Bukit Pagar di sini penting dalam memastikan penyampaian perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

    Katanya, ini kerana di kawasan Tapah, Ahli Parlimennya dan dua ADUN, semuanya daripada BN.

    Pada PRU15 lalu, kerusi Parlimen Tapah dimenangi Datuk Seri M Saravanan dari MIC, kerusi DUN Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin (UMNO) dan DUN Chenderiang, Choong Shin Heng (MCA).

  • Muafakat Nasional belum mati lagi, cuma ‘pengsan’ – Tuan Ibrahim

    Muafakat Nasional belum mati lagi, cuma ‘pengsan’ – Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Muafakat Nasional (MN) yang ditubuhkan parti itu dan UMNO masih bernyawa sungguhpun dalam keadaan “pengsan” ketika ini.

    Beliau berkata, walaupun dua parti itu dalam kerangka politik berbeza, mereka perlu bersama “menyatukan umat Islam”.

    Memetik wawancara Free Malaysia Today, Tuan Ibrahim berkata MN tidak patut dilihat sebagai terkubur.

    “MN belum mati lagi, (cuma) sedang ‘pengsan’,” katanya ringkas mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 15 Mac lalu yang partinya akan terus bersikap “husnuzon” (bersangka baik) terhadap MN.

    “Saya lihat atas asas penyatuan ummah, agenda kita tak pernah berhenti dan jangan lihat bila parti itu tak bergabung maka umat ini berpecah, tidak,” kata Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

    Pas dan UMNO sebelum ini saling menuduh mengabaikan piagam MN yang diasaskan mereka empat tahun lalu.

    Hubungan dua parti itu tegang apabila Pas menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu sekali gus mahukan parti serpihan UMNO itu turut menyertai MN.

    UMNO membantah keras tindakan Pas itu kerana melihat Bersatu sebagai pengkhianat yang berusaha “membunuhnya”.

    Zahid turut memberi gambaran hala tuju gagasan itu mungkin akan berubah sekiranya pemimpin parti bertukar.

    MN digagaskan UMNO dan Pas ketika dalam blok pembangkang sebagai usaha penyatuan ummah pasca PRU14 yang dimenangi Pakatan Harapan (PH).

  • PN guna logo Pas dalam PRN di Kelantan, Terengganu

    PN guna logo Pas dalam PRN di Kelantan, Terengganu

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menggunakan logo Pas bagi calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan dan Terengganu.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perkara itu telah dimuktamadkan pucuk pimpinan PN.

    “Saya ingin memaklumkan keputusan PN untuk mengekalkan (penggunaan) logo, Kelantan dan Terengganu (kekal guna) logo Pas.

    “Selain daripada itu, empat lagi negeri akan gunakan logo PN,” katanya dalam sidang media pada Majlis Berbuka Puasa Sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria di sebuah hotel, di Ampang, petang tadi.

    Hadir sama pada majlis itu, Presiden Pas, Tan 6 Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), calon yang bertanding atas tiket PN menggunakan logo Pas di Kelantan dan Terengganu.

    Gabungan parti itu juga berjaya menyapu bersih kesemua kerusi parlimen di kedua-dua negeri berkenaan.

    Tuan Ibrahim berkata, PN telah menggerakkan jentera bersama bagi menghadapi PRN berkenaan dan melantik Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebagai pengarah pilihan raya.

    Tambah Tuan Ibrahim, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) juga akan bertanding dalam PRN kali ini dan akan diperuntukkan kerusi lebih banyak khususnya di Pulau Pinang.

    “Ya (Gerakan akan ada kerusi)…banyak,” katanya ketika ditanya wartawan, lapor Malaysiakini.

    Muhamad Sanusi turut yakin PN akan berjaya mengekalkan kemenangan di tiga negeri serta merampas negeri Pakatan Harapan (PH) khususnya di Negeri Sembilan dan Selangor.

  • Penyertaan KJ beri kelebihan kepada PN – Muhammad Sanusi

    Penyertaan KJ beri kelebihan kepada PN – Muhammad Sanusi

    PENYERTAAN bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam Perikatan Nasional (PN) diyakini mampu memberi kelebihan kepada gabungan parti itu untuk berdepan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.

    Bagaimanapun, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, setakat ini belum ada pengesahan bahawa bekas Menteri Kesihatan itu akan menyertai parti berkenaan.

    “Itu hanya spekulasi lagi tapi insya-Allah kalau beliau masuk (PN), ia satu kelebihan untuk kita,” katanya ringkas ketika diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa Khairy akan menyertai PN selepas dipecat daripada UMNO baru-baru ini.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Iftar Ramadan Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria anjuran PasRelief di Kuala Lumpur hari ini.

    Turut hadir, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, PasRelief menyasarkan menyalurkan bantuan 100 buah rumah kontena bernilai RM3 juta kepada mangsa bencana gempa bumi di Turkiye menerusi kempen #Aid4Turkiye&Syria.

    Katanya, setiap rumah kontena tersebut bernilai RM30,000 yang turut dilengkapi tandas dan bakal memberi lebih keselesaan kepada mangsa terlibat.

    “Kita yakin boleh kumpul dana yang cukup untuk membiayai 100 rumah kontena ini jika 6,514 masjid seluruh negara boleh menyumbang.

    “Sekarang di Turkiye dan Syria musim sejuk, mangsa masih tinggal dalam khemah dan tandas pula berada di luar jadi tidak selesa bagi mereka.

    “Jika ada rumah kontena, ia bakal memberi keselesaan dalam tempoh yang panjang buat mereka,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • PRN: PN sudah ada calon MB Selangor, Negeri Sembilan

    PRN: PN sudah ada calon MB Selangor, Negeri Sembilan

    PERIKATAN Nasional (PN) sudah memuktamadkan calon Menteri Besar atau ‘poster boy’ mereka di Selangor dan Negeri Sembilan bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya yakin mampu merampas semula kedua-dua negeri berkenaan selain mengambil sebahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

    “PN dah ada calon Menteri Besar di Selangor dan Negeri Sembilan iaitu calon ‘poster boy’ kita. Kita akan ketengahkan calon Menteri Besar kita.

    “Kita dah siap sedia untuk berjuang dan akan pertahankan negeri (pimpinan) kita serta akan ambil negeri Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam sidang akhbar pada Iftar Ramadan sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria anjuran PasRelief di Kuala Lumpur hari ini.

    Hadir sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

    Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PasRelief memberitahu, bagi berdepan PRN, PN telah hampir selesai pembahagian kerusi di enam negeri yang terlibat.

    PN juga telah lancarkan jentera PRN iaitu gegar gempur 100 hari selain menubuhkan jawatankuasa jentera PRN di peringkat DUN, Parlimen dan negeri.

    Muhammad Sanusi berkata, PN turut melantik mas’ul atau koordinator di enam negeri yang terlibat PRN membabitkan pemimpin Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Menurutnya, di Negeri Sembilan koordinator yang dilantik adalah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu,r dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Idris (Pulau Pinang) dan Tuan Ibrahim serta Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin di Selangor.

    “Dengan pendekatan ini kalau ada isu yang timbul, mas’ul akan bincangkan agar ia boleh diselesaikan dengan cepat dan pantas,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Katanya, PN menjangkakan PRN akan diadakan pada minggu keempat Julai atau minggu pertama Ogos nanti.

  • PRN: Gerakan tanding di semua negeri

    PRN: Gerakan tanding di semua negeri

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyuarakan hasrat meletak calon parti itu bertanding di semua negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, rundingan pemilihan kerusi pada PRN akan datang juga telah dibuat bersama rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN).

    “Kita menghantar kurang daripada 70 nama kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk dipertimbangkan,” katanya pada sidang media Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Yang Ke-51 di ibu negara hari ini.

    Mengenai kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini berhubung Gerakan patut dibubarkan kerana tidak dapat mandat rakyat.

    Dominic berkata, walaupun tidak mendapat mandat daripada rakyat tetapi Gerakan akan terus kekal relevan.

    Beliau berkata, Anthony Loke tidak faham kenapa Gerakan terus kekal relevan walaupun sudah kalah dalam beberapa pilihan raya.

    “Ini kerana Gerakan bukan seperti DAP. Mendapat mandat daripada menipu rakyat dengan janji-janji kosong.

    “Sebelum pilihan raya mereka cakap ingin iktiraf UEC (Sijil Peperiksaan Bersama), AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971), dan pilihan raya kerajaan tempatan. Mana janji-janji itu? Penipuan ini dibuat untuk mendapat mandat rakyat tetapi mereka hanya diam selepas mendapat mandat,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

  • Ramasamy nafi dakwaan digugurkan menjadi calon dalam PRN

    Ramasamy nafi dakwaan digugurkan menjadi calon dalam PRN

    TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy menafikan laporan yang mendakwa dijangka akan digugurkan daripada menjadi calon dalam pilhan raya negeri (PRN) akan datang.

    Ramasamy berkata, senarai nama yang berpotensi untuk menjadi calon masih belum diserahkan kepada kepimpinan pusat DAP.

    Beliau berkata, masih ingin berkhidmat kepada parti saya selama satu penggal lagi.

    “Saya telah nyatakan ini secara terbuka. Saya percaya Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) belum buat sebarang keputusan. Saya serahkan kepada parti untuk membuat keputusan,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    Ramasamy yakin memiliki hubungan yang baik dengan kerajaan persekutuan dan sikap lantangnya tidak bermakna dia menentang kepimpinan parti.

    Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai sejak 2008 itu terkejut apabila sebuah media tempatan melaporkan beliau dijangka digugurkan daripada mempertahankan kerusi Perai pada PRN akan datang.

    Laporan itu membayangkan Ramasamy akan diminta untuk berundur, sebagai sebahagian daripada usaha DAP memperkenalkan wajah baharu dalam barisan calonnya.

  • Mesyuarat UMNO bahagian Sipitang tidak sah, buat pemilihan semula

    Mesyuarat UMNO bahagian Sipitang tidak sah, buat pemilihan semula

    SUSULAN ketidakteraturan perjalanan mesyuarat UMNO bahagian Sipitang 18 Mac lalu, satu pemilihan semula perlu diadakan melibatkan bahagian itu dalam masa terdekat.

    Perkara itu disahkan beberapa pemimpin UMNO bahagian Sipitang susulan surat ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

    Memetik laporan Berita Harian, surat itu antara lain mengatakan Jawatankuasa Bantahan Pemilihan UMNO 2023 membuat keputusan bahawa mesyuarat dan pemilihan UMNO bahagian Sipitang sebagai tidak sah.

    Ini bermakna, semua keputusan pemilihan membabitkan bahagian Sipitang termasuk kemenangan Abdul Rahman Mohd Noh sebagai Ketua UMNO Bahagian yang baharu terbatal.

    Sehubungan itu, penentuan tarikh, masa dan tempat untuk pemilihan semula UMNO bahagian Sipitang akan diputuskan Jawatankuasa Pemilihan UMNO negeri dan Badan Perhubungan UMNO Sabah.

    Difahamkan, ketika proses pemilihan UMNO bahagian Sipitang pada 18 Mac lalu, pengerusi dan jawatankuasa pemilihan didakwa tidak melaksanakan tugas serta tanggungjawab secara telus.

    Ia dikaitkan dengan jumlah kertas undi yang dikeluarkan iaitu 820, melebihi jumlah kehadiran perwakilan yang dilaporkan hanya 705 orang.

    Bahagian Sipitang menyaksikan pertandingan empat penjuru untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian apabila penyandang, Datuk Kamarlin Ombi dicabar bekas Setiausaha UMNO Bahagian, Abdul Rahman Mohd Noh; bekas Ketua Pemuda UMNO Sipitang, Sani Miasin dan Awangku Junaidi Awangku Tinggal.

    Berdasarkan keputusan pemilihan 18 Mac lalu, persaingan sengit berlaku antara Kamarlin dan Abdul Rahman apabila masing-masing mendapat 254 dan 255 undi iaitu perbezaan hanya satu undi yang memihak kepada Abdul Rahman.

    Walaupun berlaku bantahan ketika proses pengiraan undi, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Sipitang, Datuk Ahmad Bujang, terus mengumumkan keputusan dengan alasan bimbang berlaku perkara tidak diingini walaupun sudah dikenal pasti terdapat lebihan kertas undi.

  • Kepimpinan baharu UMNO pro-Zahid, tetapi parti masih terbahagi

    Kepimpinan baharu UMNO pro-Zahid, tetapi parti masih terbahagi

    UMNO masih terbahagi walaupun kepimpinan baharunya sejajar dengan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang enggan dikenali berkata, bukan rahsia lagi bahawa kepimpinan tertinggi terdiri daripada ‘orang Zahid’.

    “Masih wujud dua kem dalam parti, satu kem pro-Zahid dan satu lagi menentangnya.

    “Kem menentang Zahid merasakan Presiden UMNO itu sepatutnya berundur berikutan kekalahan teruk parti itu dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) lalu,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

    Ahli MKT itu berkata, langkah Zahid mengelilingi dirinya dengan mereka yang sealiran dengannya mengukuhkan kedudukan Ahli Parlimen Bagan Datoh itu sebagai presiden.

    “Dan ini bonus untuk kerajaan perpaduan kerana ia akan kekal utuh. Jika kedudukan Zahid terancam, ada kemungkinan kerajaan tumbang,” dakwanya.

    Sementara itu, seorang pemimpin bahagian menafikan bahawa barisan kepimpinan semasa adalah rancangan ‘Zahid dan Najib’.

    Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digantikan oleh Zahid sebagai Presiden selepas BN digulingkan pada PRU14.

    Pemimpin itu berkata, UMNO bukan milik mana-mana individu atau keluarga.

    “Kami mahu parti kekal relevan dan menjadi pilihan utama rakyat,” katanya.

    Pada Selasa, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pengaruh Najib belum habis dalam UMNO.

    Katanya, barisan MKT baharu parti itu terdiri daripada ramai ‘penyokong tegar’ bekas Presiden UMNO yang dipenjarakan itu.

    Walaupun Zahid kekal menguasai UMNO, Khairy berkata, Najib masih memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan parti.

    Khairy menamakan Ketua UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, bekas Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Datuk Lokman Noor Adam sebagai antara 25 ahli MKT baharu yang merupakan penyokong kuat Najib.