Category: Politik

  • Semangat reformasi dalam PH sudah lenyap – Wan Saiful

    Semangat reformasi dalam PH sudah lenyap – Wan Saiful

    AHLI Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa semangat reformasi sudah lenyap dalam  Pakatan Harapan (PH)-UMNO selepas parti-parti di bawah gabungan tersebut menggunakan kuasa demi kepentingan politik.

    Wan Saiful berkata, ucapan yang disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution di Himpunan Madani Kedah 2023 memberi gambaran bahawa beliau akan menggunakan kuasa sebagai menteri untuk kelebihan program politik PH-UMNO.

    “Ini adalah satu lagi contoh betapa semangat reformasi sudah lenyap daripada  PH-UMNO. Dulu mereka menjerit melaungkan pentingnya membebaskan institusi daripada campur tangan politik.

    “Tapi PH-UMNO kini langsung tidak malu-malu memperalatkan institusi penguat kuasa untuk kepentingan politik mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, lapor Utusan Malaysia.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu turut mempersoal tindakan PH-UMNO yang dilihat seperti mengarahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sesuka hati.

    “Apa jaminan yang boleh diberi kepada rakyat bahawa institusi penguat kuasa lain tidak diarah secara terpilih untuk tujuan yang sama,” soalnya.

    Tambahnya, PH-UMNO kini sudah tiada iltizam untuk menjaga dan melindungi kebebasan institusi penguat kuasa tetapi sebaliknya sedang rakus mempergunakan apa saja kuasa serta agensi terpilih demi kepentingan politik.

    “PH-UMNO sudah hilang halatuju dan mereka bulan lagi pengibar reformasi,” katanya.

  • KJ patut masuk DAP, parti perlu calon PM – Kian Ming

    KJ patut masuk DAP, parti perlu calon PM – Kian Ming

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dipecat dan Shahril Hamdan patut menyertai DAP, kata Ong Kian Ming.

    Bekas Ahli Parlimen Bangi itu berkata, parti mereka memerlukan calon Perdana Menteri.

    “Kamu berdua sesuai,” kata Ong semasa sesi soal jawab yang disiarkan melalui Youtube tengah hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khairy sama ada bekas Ahli Parlimen Rembau itu patut menyertai DAP.

    Jawapan itu kemudian disambut dengan ketawa oleh Shahril, lapor Malaysiakini.

    Katanya kepada Khairy: “Lakukan.”

  • UMNO kini cuma tinggal kaki bodek – Noh Omar

    UMNO kini cuma tinggal kaki bodek – Noh Omar

    BEKAS ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar mendakwa UMNO kini hanya ditunjangi oleh kaki bodek dalam parti itu yang tewas dalam pemilihan parti.

    Dengan memetik nama dua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil dan Datuk Lokman Noor Adam yang tewas dalam pemilihan bahagian, Noh berkata bagaimana pemimpin ini boleh bercakap mengenai suara akar umbi.

    Noh turut mengesahkan yang beliau akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) atas tiket Perikatan Nasional (PN).

    “Saya sayang UMNO, sejak belajar di United Kingdom (UK) dahulu kini sudah 30 tahun saya dengan UMNO. 

    Namun, UMNO kini hanya tinggal kaki bodek, kalah dalam pemilihan ketua bahagian dan cawangan.

    “Lokman Adam, Isham Jalil, di peringkat bahagian pun mereka tak dapat menang macam mana UMNO kata itu suara akar umbi,” katanya, lapor MalaysiaKini.

    Bekas ketua UMNO Selangor itu berkata, UMNO kini sudah mula hilang bisa dan kini hanya gah pada nama.

    Pada 28 Jan lalu, UMNO menggantung keahlian Noh Omar dalam parti tersebut disebabkan 16 pertuduhan dihadapinya kerana mensabotaj parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Pengerusi UMNO Selangor, Megat Zulkarnain Omardin berkata, keputusan menggantung keahlian Noh bukannya disebabkan beliau tidak bersetuju dengan usul tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti yang dibawa dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

    Menurut Megat Zulkarnain, antara tindakan sabotaj terbabit membabitkan soal calon yang ditampilkan untuk mewakili parti di kerusi Parlimen Tanjong Karang ketika PRU15.

    Noh bagaimanapun meminta supaya keahliannya digugurkan selepas UMNO membuat keputusan untuk menggantung keahliannya.

    Dalam pada itu, Noh berikrar untuk menjadikan Parlimen Tanjung Karang sebagai kubu kuat PN pada PRN akan datang selepas sekian lama dikuasai UMNO.

    “Sudah 30 tahun saya mempertahankan kawasan Tanjung Karang sebagai kubu kuat UMNO. Mereka (UMNO) boleh benci saya tetapi jangan jadikan rakyat di sana sebagai mangsa kerakusan politik mereka,” katanya lagi.

    Noh berkata beliau faham dalam politik tidak ada yang kekal, pemimpin silih berganti apa yang ada hanyalah perjuangan sesebuah parti.

    Mengakui UMNO mempunyai pengikut yang ramai dengan lebih 1.3 juta keahlian, Noh berkata parti itu sememangnya hebat dari struktur dan sokongan akar umbi.

    “Tetapi jika kerakusan ini diteruskan, UMNO akan hilang. UMNO telah lari dari perjuangannya dan bukan lagi tempat perlindungan orang Melayu.

    “Sebagai contoh, usul tidak tanding jawatan presiden UMNO antara salah guna kuasa dalam kepimpinan UMNO,” tambah Noh lagi.

  • ‘Itulah orang tak bagi kahwin paksa, inilah jadinya’-Tuan Ibrahim

    ‘Itulah orang tak bagi kahwin paksa, inilah jadinya’-Tuan Ibrahim

    “ITULAH orang tak bagi kahwin paksa, inilah jadinya. Berselerak habis,” kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang dipercayai menyindir Parti Amanah Negara (Amanah) susulan tindakan parti berkenaan meminta maaf kepada UMNO.

    Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, permohonan maaf yang dibuat Amanah menunjukkan kelemahan parti itu selain menggambarkan prinsip yang dipegang mereka semakin longgar.

    “Kalau tak buat salah, tak perlulah minta maaf. Takkan lemah begitu sekali. Nampak semakin longgar dengan prinsip yang selama ini kononnya dipertahankan,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

    Semalam Amanah dilaporkan memohon maaf kepada UMNO di atas keterlanjuran kenyataan yang dikeluarkan seorang pemimpinnya berhubung isu pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berharap isu terbabit dapat diselesaikan dan beliau sendiri sudah berjumpa dengan Presiden UMNO serta Timbalannya.

    Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut memerli sekiranya Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) juga mahu meminta maaf kepada UMNO.

    Ini kerana badan bukan kerajaan (NGO) tersebut pada 7 April lalu melancarkan petisyen berhubung ketidakwajaran pengampunan diraja untuk membebas dan melepaskan Najib, lapor Sinar Harian.

    Amanah adalah parti serpihan Pas setelah bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohammad Sabu bersama-sama sejumlah lagi tokoh lain keluar parti dan menubuhkan Amanah.

    Parti itu kemudian menyertai gabungan pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akhirnya pertama kali menumbangkan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

  • Annuar Musa maklumkan bakal sertai Pas, kata Takiyuddin

    Annuar Musa maklumkan bakal sertai Pas, kata Takiyuddin

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sudah memaklumkan hasrat untuk menyertai Pas.

    Perkembangan itu menyusul selepas bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar semalam mengesahkan akan bertanding pilihan raya negeri (PRN) di Selangor di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).

    “Annuar ada maklumkan baru-baru ini untuk sertai Pas dan kita memang terima banyak permintaan daripada bekas-bekas pemimpin UMNO untuk sertai PN (Perikatan Nasional),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Kota Bharu, di Kota Bharu hari ini.

    Takiyuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) PN berkata, hasrat Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh serta bekas pemimpin UMNO lain yang mahu menyertai PN akan disusuli perbincangan lanjut.

    “Kita akan menyusul dengan perbincangan lanjut. Kesemua mereka (bekas pemimpin UMNO) itu, kita dalam proses untuk selaraskan kemasukan,” katanya lagi.

    Annuar sebelum ini menafikan sudah bersara dari arena politik tanah air, sebaliknya menegaskan akan lebih aktif selepas ini.

    Beliau bagaimanapun berahsia mengenai parti mana akan disertainya, sekadar menegaskan akan memilih parti ‘berhaluan baik’.

    Ditanya jumlah bekas pemimpin UMNO yang didakwa berhasrat menyertai PN, Takiyuddin berkata, ia membabitkan lebih 20 bekas pemimpin parti berkenaan, termasuk Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN).

    “Mereka boleh sertai mana-mana parti dalam PN, sama ada Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Kita tiada halangan untuk pertimbang kemasukan mereka memandangkan tawaran dibuat kepada semua bekas pemimpin UMNO, termasuk Khairy Jamaluddin,” katanya.

    Sama ada bekas pemimpin UMNO yang bakal menyertai PN akan diberikan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menjelaskan, bergantung pada keadaan.

    “Proses pertama adalah kemasukan mereka dalam PN, sama ada mereka akan diberi kerusi (pada PRN) adalah proses kedua. Bagaimanapun saya pasti akan ada dalam kalangan mereka akan diberikan kerusi untuk bertanding PRN nanti,” katanya.

    Mengenai tawaran kepada Khairy untuk menyertai PN, beliau memaklumkan, bekas Ketua Pemuda UMNO itu ada memberi maklum balas.

    “Beliau memaklumkan akan bersama dengan kita, namun tidak dinyatakan secara spesifik. Beliau memaklumkan tidak akan bersama dengan UMNO dan PH. Justeru, kita jangka beliau akan bersama dengan kita,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Noh tekad jadikan Parlimen Tanjong Karang kubu kuat PN

    Noh tekad jadikan Parlimen Tanjong Karang kubu kuat PN

    BEKAS Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mahu memastikan Parlimen Tanjong Karang sebagai kubu kuat Perikatan Nasional (PN) sekali gus membantu kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

    Noh berkata, perjuangannya ketika ini untuk memastikan rakyat menyokong PN sama seperti usaha yang pernah dilakukan beliau lebih 30 tahun lalu dalam membangunkan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Tanjong Karang.

    “UMNO Tanjong Karang semakin lemah akibat campur tangan daripada pihak luar yang ingin menghancurkan parti itu sendiri.

    “Maka saya akan berusaha pula menjadikan (Parlimen) Tanjong Karang kubu kuat PN dan ini adalah perjuangan saya sebagai seorang ahli politik,” katanya menerusi satu rakaman video di Facebook beliau hari ini.

    Noh reda apabila dipecat daripada UMNO tetapi tidak perlu menghancurkan UMNO bahagian itu hanya untuk kepentingan politik.

    “Kalau tidak suka saya tak apa, saya boleh terima kerana saya ada prinsip dan janganlah jadikan UMNO Tanjong Karang sebagai mangsa.

    “Kalau hendak bunuh (karier politik) saya seorang cukuplah, jangan hendak lenyapkan UMNO Tanjong Karang,” luah beliau.

    Pada masa ini beliau yakin rakyat di Parlimen Tanjong Karang bersama-sama menyokong PN dan menewaskan BN pada PRN Selangor.

    “Pengundi di Parlimen Tanjong Karang menyambut baik untuk memastikan kemenangan PN ibarat kata pepatah kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan,” jelas beliau, lapor Sinar Harian.

    Pada Januari lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan menggantung keahlian Noh selama enam tahun, namun bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang itu meminta untuk dipecat.

    Permintaan untuk dipecat dipersetujui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

  • PRN: Pas tangguh Muktamar Tahunan Ke-69

    PRN: Pas tangguh Muktamar Tahunan Ke-69

    MUKTAMAR Tahunan Pas ke-69 yang sepatutnya diadakan 3 hingga 5 Mei ini ditangguh kepada suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penangguhan itu dilakukan untuk memberi tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan di enam negeri termasuk Kelantan.

    “Ikut jadual, Kelantan sepatutnya sebagai tuan rumah muktamar tahun ini. Namun, tarikh baharu belum diputuskan bagaimanapun kemungkinan ia akan diadakan September hadapan sebagaimana tahun lepas di Kedah,” katanya lapor HarakahDaily.

    Beliau  ketika ditemui pada majlis Hari Raya Aidilfitri dan Sambutan Hari Suri anjuran Pusat Khidmat Dun (PKD) Tanjong Mas, hari ini.

    Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, mesyuarat Pas Pusat memutuskan untuk menangguhkan muktamar bagi memberi tumpuan menghadapi PRN yang akan diadakan sama ada Julai atau Ogos ini.

    “Tahun lalu juga dibuat pada September, cuma hasrat awalnya untuk mengadakan muktamar lebih awal tahun ini, nampaknya terpaksa ditangguhkan juga,” katanya.

     Beliau juga memberitahu, Mesyuarat Agung Pas peringkat kawasan dan cawangan telah selesai diadakan di seluruh negara. “Begitu juga muktamar peringkat dewan-dewan di setiap negeri sudah diadakan,” katanya

  • Rumah Terbuka Malaysia Madani bukan satu kebetulan – Bersih

    Rumah Terbuka Malaysia Madani bukan satu kebetulan – Bersih

    PEMANTAU pilihan raya, Bersih menegaskan, pembangkang mempunyai asas apabila mendakwa penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani mempunyai elemen pembaziran dan bermotifkan politik.

    Pengerusinya, Thomas Fann berkata, memandangkan sumber persekutuan akan digunakan untuk menganjurkan perhimpunan mega itu dengan pilihan raya negeri (PRN) semakin hampir tuduhan dilemparkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah tanpa merit.

    Sehubungan itu Bersih meminta undang-undang penggunaan sumber kerajaan diperketatkan ekoran kontroversi penganjuran rumah terbuka itu yang didakwa berunsur politik.

    “Penganjuran majlis rumah terbuka raya di enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri dalam beberapa bulan lagi bukan satu kebetulan,” kata Thomas kepada portal FMT.

    Rumah terbuka di Kedah diadakan pada 29 April disusuli Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Terengganu (13 Mei), Selangor (14 Mei) dan Kelantan (21 Mei). Enam negeri itu akan mengadakan PRN selepas Jun ini.

    Fann bagaimanapun menambah penyalahgunaan sumber kerajaan biasa didengari dan pembangkang “yang kini merungut” juga terpalit dakwaan itu ketika berkuasa.

    Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor antara yang lantang mengkritik berkata majlis rumah terbuka kerajaan persekutuan itu sebagai kempen pilihan raya tidak wajar diadakan, dan bertentangan dengan pendirian berjimat-cermat Putrajaya. Timbalan Setiausaha Perikatan Nasional Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula dilaporkan berkata rumah terbuka di enam negeri itu bermotifkan politik.

    Bagaimanapun, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mendakwa kos menganjurkan rumah terbuka di enam negeri itu lebih murah berbanding menganjurkan jamuan Aidilfitri di Putrajaya kerana kehadiran yang lebih rendah dan tanggungan.

    Menurutnya, Putrajaya hanya menanggung belanja sepenuhnya bagi jamuan di Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang ditadbir PAS, manakala rumah terbuka di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan dikendalikan dan dibayar oleh kerajaan negeri.

    Mengulas lanjut Thomas berkata tiba masanya amalan penyalahgunaan sumber kerajaan untuk menganjurkan aktiviti menjurus kepada kempen politik dihentikan segera.

    “Perlu ada undang-undang lebih jelas serta ketat bagi menghentikan penyalahgunaan sumber negara untuk berkempen.  Pembangkang harus mengemukakan saranan untuk menghentikan amalan tersebut jika mereka benar-benar tidak berpuas hati dengan tindakan Perdana Menteri,’’  katanya.

  • Enggan layan desas-desus gerakan tumbangkan kerajaan

    Enggan layan desas-desus gerakan tumbangkan kerajaan

    KETUA Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Ismail Nasution berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini disifatkan berada pada situasi yang stabil, utuh dan berfungsi.

    Justeru tegasnya, beliau tidak melihat adanya ancaman daripada pihak luar terhadap Kerajaan Perpaduan ketika ini.

    Pada masa sama katanya, beliau juga enggan melayan dan tidak mahu memberikan sebarang maklum balas terhadap desas-desus kononnya Kerajaan Perpaduan ketika ini bakal tumbang seperti yang didakwa dan tular di media sosial.

    “Fokus kami sekarang adalah untuk memulihkan semula ekonomi, membantu rakyat terutama selepas pandemik Covid-19.

    “Kestabilan politik, memakmurkan ekonomi, menjaga kebajikan rakyat adalah fokus kami (Kerajaan Perpaduan) ketika ini,” katanya, hari ini.

    Saifuddin Nasution ditanya mengenai desas-desus yang tular di media sosial kononnya Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi PH dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) akan tumbang dalam tempoh terdekat, malah ada yang meramalkan seawal September ini.

    Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong turut menyifatkan dakwaan partinya terlibat dalam percubaan menggulingkan kerajaan di bawah pimpinan Anwar sebagai mengarut dan tidak berasas.

    Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, dakwaan yang dilaporkan oleh sebuah portal berita sebelumnya adalah tidak benar dan pihaknya tidak terlibat dengan gerakan tersebut.

  • Johari Ghani dilantik bendahari agung BN baharu

    Johari Ghani dilantik bendahari agung BN baharu

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik sebagai bendahari agung BN yang baharu menggantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Zambry Abd Kadir selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi.

    Menurut beiau, selain itu, dua lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta wakil PBRS Freddy Sua juga dilantik menganggotai Dewan Tertinggi BN.

    Pada masa sama, Zambry juga mengumumkan beberapa pelantikan lain anggota Dewan Tertinggi BN.

    Antaranya, pelantikan wakil Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Akmal Saleh dan wakil Puteri UMNO Nurul Amal Mohd Fauzi ke majlis kepimpinan BN itu.

    Zambry memberitahu, Dewan Tertinggi BN juga bersetuju untuk mengambil bahagian dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14hb Mei 2023, di WTC-KL.

    “Barisan Nasional menyeru agar semua pemimpin dari pelbagai lapisan masyarakat untuk terus menjaga perpaduan dan keharmonian agar kestabilan politik dapat dijamin,” katanya menurut laporan Malaysiakini.