Category: Politik

  • Gerakan singkir Ketua Menteri P.Pinang:Kon Yeow tidak tahu siapa mereka

    Gerakan singkir Ketua Menteri P.Pinang:Kon Yeow tidak tahu siapa mereka

    CHOW Kon Yeow mengakui tidak tahu terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan negeri yang mahu menyingkirkan beliau sebagai Ketua Menteri selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang kerana tidak berpuas hati dengan corak pentadbirannya.

    Pengerusi DAP Pulau Pinang itu berkata, tidak ada mana-mana ADUN kerajaan negeri yang pernah menyatakan atau menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pentadbiran beliau sepanjang menjadi Ketua Menteri.

    “Saya tidak tahu siapa mereka, mereka pun tidak pernah menyatakan rasa tidak senang mereka terhadap saya,” katanya dalam sidang akhbar di Georgetown hari ini.

    Beliau mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa kononnya terdapat desakan dari dalam DAP untuk menyekat beliau daripada kembali menjadi Ketua Menteri selepas PRN akan datang.

    Malah, laporan itu mendakwa, gerakan tersebut dikatakan mahu Pengerusi DAP, Lim Guan Eng kembali menerajui kerajaan negeri dengan alasan Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai Ketua Menteri.

    Ditanya mengenai laporan portal berita itu yang mendakwa mengadakan pertemuan dengan tiga ADUN yang tidak berpuas hati berkenaan semalam, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

    “Saya belum baca dan tidak tahu apa-apa yang dilaporkan dan berita ini adalah baharu kepada saya. Kalau saya tak baca tapi nak jawab, tak adil jugalah.

    “Saya akan akan jawab, bukan hari ini, tetapi apabila sampai masanya,” katanya.

    Ditanya lanjut mengenai sama ada Guan Eng masih berpeluang menjadi Ketua Menteri semula sekiranya menang pada PRN akan datang, Kon Yeow berkata, pindaan negeri pada 2008 dengan jelas memasukkan dasar baharu yang mana seseorang itu tidak boleh dilantik sekiranya pada bila-bila masa pernah berkhidmat sebagai Ketua Menteri selama dua penggal.

    “Pindaan itu dibawa ke sidang DUN dan diluluskan oleh kesemua ahli-ahli PH pada masa ia dipinda dan diundikan (pada 2018),” katanya.

    Untuk rekod, Guan Eng yang juga ADUN Air Putih selama tiga penggal pernah menjadi Ketua Menteri selama dua penggal dari 2008 hingga 2018.

    Berkenaan soalan jika beliau dilantik semula sebagai Ketua Menteri sekiranya menang pada PRN akan datang, Kon Yeow berkata, tumpuannya ketika ini adalah untuk memastikan kemenangan PH pada PRN terlebih dahulu.

    Selepas menang katanya, baru boleh ambil tindakan seterusnya.

  • ‘Ada desakan mahu Guan Eng kembali jadi Ketua Menteri Pulau Pinang

    ‘Ada desakan mahu Guan Eng kembali jadi Ketua Menteri Pulau Pinang

    KEDUDUKAN Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri tidak lama lagi  menjadi tanda tanya.

    Ia berikut terdapat laporan menyatakan ada desakan dalam DAP dikatakan bertujuan menyekat Kon Yeow  kembali memegang jawatan itu.

    Khabarnya, ada kelompok  mahu Pengerusi DAP Lim Guan Eng kembali menerajui kerajaan negeri itu.

    Memetik laporan Malaysiakini, antara yang mendesak agar Guan Eng mengadakan kemunculan semula di Pulau Pinang ialah tiga ADUN yang mahu Guan Eng bertanding pada pilihan raya negeri akan datang.

    Bercakap kepada Malaysiakini , ketiga-tiga mereka – yang enggan dinamakan – mendakwa Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai ketua menteri.

    “Kon Yow lembut dan perlahan dalam membuat keputusan untuk negeri, sedangkan Guan Eng walaupun dilihat sebagai pemimpin yang angkuh, tetapi dia menunjukkan dirinya pemimpin kuat negeri, merujuk kepada bekas ketua menteri Lim Chong Eu, yang tegas, kuat, dan pemimpin yang berterus-terang,” kata salah seorang daripada mereka.

    “Kon Yeow tidak melakukan apa-apa dalam tempohnya sebagai ketua menteri. Tiga pulau selatan dan projek terowong bawah laut dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang semuanya adalah idea Guan Eng tambah mereka.

    Ketiga-tiga ADUN itu berkata Pulau Pinang memerlukan pemimpin yang kuat dan berkesan sekali lagi terutamanya untuk menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mohammad Sanusi Md Nor – sekiranya dia kembali menerajui Kedah.

    Mereka juga mencadangkan pelan peralihan sekiranya Guan Eng kembali menjadi Ketua Menteri, Guan Eng menghadapi tentangan daripada masyarakat Melayu.

    Dalam keadaan sedemikian, ketiga-tiga mereka berkata seorang ketua menteri sementara boleh dilantik untuk berkhidmat selama satu atau dua tahun bagi membolehkan orang Melayu “bertenang” sebelum digantikan oleh Guan Eng.

    Secara berasingan, seorang lagi pemimpin DAP turut berkata sesetengah ahli DAP lebih mengutamakan kepimpinan yang lebih kuat di Pulau Pinang.

    “Kon Yeow bertindak lebih seperti penjawat awam (daripada ahli politik),” kata sumber yang berpangkalan di selatan Malaysia itu.

    Bagaimanapun, beberapa sumber memberitahu Malaysiakini, mereka tidak jelas apakah pendirian Guan Eng. sendiri mengenai perkara itu.

    Pada 2018, pentadbiran Kon Yow meluluskan pindaan kepada perlembagaan Pulau Pinang yang berbunyi: “anggota dewan undangan boleh dilantik sebagai ketua menteri jika mereka tidak pernah memegang jawatan itu selama dua penggal.”

    Kon Yeow yang berhasrat terus menyandang jawatan ketua menteri dipetik Guan Ming Daily baru-baru ini berkata undang-undang had penggal itu adalah bersifat retroaktif (terpakai untuk tempoh sebelum tarikh ia digubal).

    Ini dengan berkesan menyekat laluan Guan Eng untuk memegang semula jawatan ketua menteri.

    Salah seorang DUN Pulau Pinang yang menyokong pertukaran kepimpinan bagaimanapun percaya sebaliknya.

    “Undang-undang gagal menyatakan sama ada ia hanya berkesan selepas rang undang-undang itu diluluskan atau tidak, dan sama ada seseorang yang memegang jawatan itu sebelum undang-undang itu diluluskan boleh dilantik,” kata mereka.

    Mereka juga mencadangkan bahawa walaupun perlembagaan negeri menghalang Guan Eng kembali menerajui pentadbiran, peruntukan itu boleh dipinda untuk membuat pengecualian kepada Guan Eng.

    Satu lagi halangan bagi pengerusi DAP itu ialah kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang.

    Bagaimanapun, ketiga-tiga ADUN berkenaan percaya Guan Eng akan didapati tidak bersalah.

    “Jika Guan Eng dibersihkan dalam kes rasuah projek terowong, tidak ada masalah untuk Guan Eng memimpin negeri ini,’ kata mereka.

    Guan Eng dibicarakan atas empat pertuduhan rasuah melibatkan berjuta-juta dalam dakwaan sogokan daripada projek terowong itu.

    Guan Eng telah berkhidmat sebagai ADUN Air Putih selama tiga penggal, dan menjadi Ketua Menteri dari 2008 hingga 2018.

    Dia sebelum ini merupakan setiausaha agung DAP selama tiga penggal dari 2004 hingga 2022.

    Perlembagaan DAP meletakkan had tiga penggal untuk jawatan setiausaha agung parti.

  • Banyak kerosakan dilakukan orang cerdik DAP – Shahrir

    Banyak kerosakan dilakukan orang cerdik DAP – Shahrir

    DAP dan pemimpinnya yang cerdik tidak menyelamatkan Malaysia, kata bekas Ahli Parlimen  Johor Bharu, Tan Sri Shahrir Samad.

    Sebaliknya kata beliau banyak kerosakan dilakukan oleh orang cerdik DAP dalam 22 bulan kepada negara, kehakiman, sistem kerajaan dan sistem ekonomi negara.

    ‘’Pendakwaan terpilih dan penganiayaan politik! Begitu mudah menyalahgunakan kuasa apabila DAP dan pemimpinnya berkuasa! Ni nak bercakap pula pasal pengampunan, patut atau tidak. DAP dan pemimpin-pemimpinnya yang cerdik tidak menyelamatkan Malaysia,’’ katanya dalam catatan di Facebook beliau.

    Beliau membalas kenyataan bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Meng

    Shahrir turut mencela DAP kerana berdiam diri terhadap beberapa fakta yang menyebabkan Najib tidak mendapat keadilan sewajarnya.

    “Kecerdikan pun boleh terhindar oleh prejudis. Bila perbicaraan Lim Guan Eng dan geng dibatalkan oleh Tommy Thomas, tidak pula pemimpin DAP yang ‘cerdik’ menyatakan ianya suatu yang luar dari biasa.

    “Apabila berpuluh akaun milik entiti UMNO dan BN disita tapi akhirnya tindakan Kerajaan PH 1.0 itu sebenarnya di luar undang-undang, orang cerdik macam Ong Kian Meng tidak berbunyi sepatah pun.

    “Apabila perbicaraan Datuk Seri Najib jelas disusun bagaikan skrip sandiwara dari pemilihan hakim, pendakwa raya swasta dan hakim-hakim besar yang dilantik tidak patuh pada undang-undang negara serta penolakan bukti baru dan peguambela baru, kecerdikan itu disimpan dan tidak menyerlah sangat,” kata Shahrir.

    Media semalam melaporkan, Kian Ming itu memberi peringatan ada batasan yang tidak boleh dilanggar Kerajaan Perpaduan.

    Dia berkata, antaranya termasuk pembebasan bekas perdana menteri Najib sebelum hukuman penjaranya tamat.

    “Saya rasa untuk akar umbi dan mungkin juga pemimpin DAP, ‘red line’ itu adalah pembebasan Bossku,” katanya merujuk kepada nama gelaran Najib.

  • Hadi, pemimpin bertemu Mahathir tandatangani ‘Proklamasi Orang Melayu’

    Hadi, pemimpin bertemu Mahathir tandatangani ‘Proklamasi Orang Melayu’

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti itu mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri  Tun Dr.Mahathir Mohamad.

    Dalam pertemuan itu, mereka menyatakan sokongan kepada ‘Proklamasi Orang Melayu’ dan menandatangani proklamasi tersebut.

    Pembantu Dr.Mahathir, Abu Bakar Yahya melalui Facebook menyiarkan pertemuan berkenaaan.

    “Beberapa pimpinan tertinggi PAS yang diketuai Abdul Hadi Awang telah pun menandatangani menyokong proklamasi bangsa Melayu di hadapan (Tun Dr) Mahathir Mohamad,” katanya.

    Laman Facebook ‘Proklamasi Orang Melayu’ turut memuat naik mengenai pertemuan itu dan menyiarkan rakaman video respons ringkas Abdul Hadi.

    Ahli Parlimen Marang itu menyifatkan sokongan yang diberikan sebagai kembali kepada prinsip asal perjuangan Islam.

    “Ini kita balik kepada prinsip asal perjuangan Islam itu sendiri, kalau kita baca al-Quran kita dapati Rasul memulakan perjuangan Islam walaupun untuk seluruh manusia – tonggaknya pada bangsa dan kaumnya.

    “Kerana perjuangan memerlukan tonggak bangsa baru ada kekuatan, kalau tidak tidak ada kekuatan. Bukan kita fanatik kaum, tetapi itu asas,” katanya.

    Turut hadir  Naib presiden Pas Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Mengenai dakwaan proklamasi itu bersifat perkauman, Abdul Hadi menegaskan dakwaan itu tidak betul.

    “Saya rasa tak betul (perkauman), masa kita dah memerintah selepas merdeka dah berpuluh-puluh tahun tak pingirkan kaum lain. Kita terima hakikat yang ada itu, tetapi mesti menerima realiti Malaysia ini kaum asal dan majoriti orang Melayu, saya sokong,” katanya.

  • ‘’Pemimpin DAP  tidak puas hati jika kerajaan benarkan pengampunan Najib’ -Kian Ming

    ‘’Pemimpin DAP tidak puas hati jika kerajaan benarkan pengampunan Najib’ -Kian Ming

     

    SATU perkara yang mungkin tidak akan dikompromi oleh akar umbi DAP dalam kerajaan perpaduan adalah pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas sabitan rasuahnya.

    Bendahari DAP Selangor Ong Kian Ming berkata, akar umbi DAP masih boleh menerima lantikan politik dalam syarikat mahupun agensi kerajaan apabila ahli parti sendiri yang dilantik.

     “Bagaimanapun, kalau kerajaan perpaduan membenarkan pengampunan diberikan kepada ‘Bossku’ (Najib), saya rasa itu akan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin DAP.

    “Saya rasa ‘redline’ itu adalah kebebasan ‘Bossku’,” kata bekas Ahli Parlimen Bangi itu ketika menjadi tetamu “Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan” hari ini, lapor FMT.

    Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan atas pertuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan RM42 juta dana SRC.

    Minggu lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi menggesa semua pihak berhenti memberikan komen tidak sepatutnya berhubung isu pengampunan terhadap bekas perdana menteri itu.

    Dalam pada itu, menjawab mengenai kemungkinan DAP terus didominasi undian Cina selama-lamanya, Ong berkata tiada jaminan mengenai perkara itu kerana sukar untuk meramalkan politik tempatan.

    “Kalau sebelum PRU15 saya bagi tahu KJ (Khairy), Barisan Nasional (BN) akan memenangi hanya 30 kerusi dalam PRU nanti, adakah anda percaya?

    “Tiada siapa yang terfikir UMNO

     akan menang 26 kerusi dalam pilihan raya. Sama juga kepada Pakatan Harapan dan DAP,” katanya.

  • ‘Sabarlah dan rujuk kepada peguam’’ – kata Sanusi kepada Mahfuz

    ‘Sabarlah dan rujuk kepada peguam’’ – kata Sanusi kepada Mahfuz

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor meminta Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar

    merujuk kepada peguam untuk proses pembayaran kes saman fitnah dan bukannya meminta secara terus menerusi rakaman video dalam laman media sosial.

    Beliau menyifatkan tindaka Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu seperti mencari publisiti murahan berikutan sejak awal kes diuruskan oleh kedua-dua peguam yang dilantik.

    Katanya, semua urusan berkaitan termasuk pembayaran terhadap tuntutan Mahfuz sebanyak RM120,000 akan diuruskan oleh peguam.

    “Semua urusan berkenaan dengan saman, afidavit atau pembelaan semua peguam uruskan, bukan saya berurusan secara terus dengan dia.

    Daripada awal lagi proses ini diurus di antara peguam saya dan peguam Mahfuz, daripada bicara kes sampai selesai. Jadi tak betullah kalau tentang bayaran Mahfuz cuba bertindak sendiri,” katanya di sini, hari ini.

    Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah turut menasihatkan Mahfuz agar bersabar kerana proses membabitkan guaman biasanya mengambil masa.

    “Nasihat saya sabarlah dan rujuk kepada peguam. Saya akan minta peguam saya uruskan pembayaran dan ia akan diuruskan antara peguam saya dengan peguam Mahfuz, bukan Sanusi dan Mahfuz,” katanya.

    Muhammad Sanusi berkata, tindakan Mahfuz meminta bayaran RM120,000 menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Twitter itu juga disifatkan sebagai cubaan untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap beliau.

    “Saya rasa cara berpolitik seperti itu macam tahun 60-an, tak sesuailah zaman sekarang orang cerdik menilai,” katanya.

    Pada 23 April, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengingatkan Muhammad Sanusi agar membayar ganti rugi sebanyak RM120,000 seperti diputuskan Mahkamah Rayuan Putrajaya susulan Muhammad Sanusi belum melunaskan tuntutan berkenaan walaupun tempoh pembayaran ditetapkan 14 hari daripada proses penghakiman.

    Rentetan itu, Mahfuz tidak menolak kemungkinan menaikkan tuntutan daripada RM120,000 kepada RM240,000 sekiranya tiada sebarang tindakan susulan dibuat oleh Muhammad Sanusi.

    Pada 3 April, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah yang difailkan Mahfuz, sebaliknya permohonan Mahfuz untuk menaikkan jumlah bayaran ganti rugi diluluskan daripada RM50,000 kepada RM120,000.

  • Pertemuan sejarah PH-DAP setuju tiada pertembungan sesama sendiri di Pulau Pinang

    Pertemuan sejarah PH-DAP setuju tiada pertembungan sesama sendiri di Pulau Pinang

    DALAM pertemuan yang dianggap bersejarah, pemimpin Pakatan Harapan dan UMNO Pulau Pinang mencapai kata sepakat untuk memastikan tidak berlaku pertembungan sesama sendiri, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Berita Harian melaporkan, persetujuan itu dicapai kedua-dua pihak dalam perbincangan semalam, yang memberi tumpuan kepada rundingan kerusi majoriti Melayu yang bakal ditandingi di Pulau Pinang.

    Ketua Menteri merangkap Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata kedua-dua belah pihak mencapai kata sepakat supaya tidak menentang di antara satu sama lain dalam PRN kelak.

    “Kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama kerana kita tidak mahu melihat pertandingan di antara kita dan tujuan kedua-dua belah pihak adalah untuk mencapai kemenangan besar untuk PH dan BN dalam PRN akan datang.

    “Mesyuarat semalam kita fokus kepada kerusi majoriti Melayu sahaja…dikatakan ada 15 kerusi tetapi apa yang diminta pada peringkat rundingan dalaman ini kita masih belum sedia untuk umum,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di Georgetown hari ini.

    Kon Yeow berkata, susulan rundingan itu juga, empat kerusi yang dikosongkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu turut dianggap disandang oleh PH.

    “Bagi PH, kita memang menegaskan prinsip yang ditetapkan oleh pimpinan pusat iaitu prinsip penyandang kekal bertanding kerusi sedia ada. Namun, kedua-dua pihak turut bersetuju melihat kriteria lain, selain daripada prinsip itu apabila berada dalam keadaan yang perlu berbuat demikian,” katanya.

    Menurutnya, rundingan itu akan menjadi proses berterusan yang boleh dilanjutkan sehingga beberapa pusingan lagi, sehingga pengagihan semua kerusi dipersetujui kedua-dua belah pihak.

    Kon Yeow menyifatkan sesi rundingan selama kira-kira sejam membabitkan enam wakil PH dan enam wakil UMNO tu adalah satu pertemuan bersejarah dan berlangsung dalam keadaan aman, selesa dan semangat yang baik.

    “Jadi kita menyifatkan ini satu kejayaan tapi belum memuktamadkan kerusi dan kita bersetuju dengan prinsip serta sudah mendengar dan melihat sejauh mana permintaan masing-masing.

    “Kita juga menegaskan bahawa kita tiada banyak masa jadi perbincangan secara dalaman boleh dilakukan secara kerap sebelum balik ke meja rundingan dalam masa terdekat,” katanya.

    , UMNO diwakili Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Timbalan Pengerusi, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin; Setiausaha, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah; Bendahari, Datuk Jeffri Salim, Setiausaha Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Omar Faudzar dan Pengerusi Jabatan Pilihanraya UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

    Manakala PH pula diwakili Kon Yeow selaku Pengerusi PH negeri, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman mewakili Timbalan Pengerusi 1, Nurul Izzah Anwar; Timbalan Pengerusi 2, Datuk Dr Roslan Ahmad, Setiausaha, Lim Hui Ying; Bendahari, Goh Choon Aik dan Pengarah Komunikasi dan Penerangan, Dr Zaidi Zakaria.

    Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PH memenangi 37 kerusi, termasuk kerusi-kerusi DUN daripada Bersatuy yang ketika itu masih menjadi sebahagian daripada PH.

    BN pula hanya menang dua kerusi DUN iaitu Sungai Dua dan Permatang Berangan manakala Pas mempunyai satu kerusi iaitu Penaga.

  • Kerajaan ada majoriti dua pertiga, susah ditumbangkan – Tok Mat Hasan

    Kerajaan ada majoriti dua pertiga, susah ditumbangkan – Tok Mat Hasan

    TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, bukan perkara mudah untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Katanya,  Kerajaan Perpaduan yang sedang mentadbir kerajaan telah dibentuk dengan sokongan majoriti dua pertiga selain Akta Anti Lompat Parti 2023 juga telah berkuat kuasa.

    Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, Barisan Nasional tidak mengetahui mengenai adanya usaha atau pembabitan Ahli Parlimen mereka untuk memporak-perandakan kerajaan sedia ada.

    “Itu laporan yang dibuat pada setakat hari ini setahu saya bagi pihak BN kami tidak ada apa-apa usaha atau apa-apa ura-ura dilakukan untuk memporak-perandakan kerajaan sedia ada kerana itulah janji yang telah kita berikan semasa menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU). Bukan saja PRU tapi di Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor bahawa kita memerlukan kestabilan demi kemakmuran bersama.

    “Lagipun itu terpulang kepada ahli Parlimen masing-masing namun sekarang Akta Anti Lompat Parti 2023 sudah berkuat kuasa selepas diluluskan di Parlimen, Mac lalu dan kamu tak boleh simply walk away’ (keluar) dan tak menyokong kerajaan serta mahu menyokong parti lain (usaha jatuhkan kerajaan sedia ada) kerana ia bertentangan dengan undang-undang,” katanya lapor Beritah Harian.

    Beliau berkata demikian kepada wartawan pada  Majlis Rumah Terbuka Kementerian Pertahanan, di Kuala Lumpur hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, melalui pelaksanaan Akta Anti Lompat, seseorang Ahli Parlimen perlu meletak jawatan jika mahu keluar dan menyokong parti lain serta perlu diadakan PRK namun bukan mudah untuk menang kembali kerusi berkenaan.

    “Lagipun, kerajaan kini sudah ada 148 majoriti dua pertiga sokongan dan untuk ditumbangkan adalah satu perkara yang saya rasakan agak susah,” katanya.

    Ahli Parlimen Rembau itu berkata, buat masa ini BN terus memberikan sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan.

    “Kami tidak mempunyai sebarang rancangan untuk memporak-perandakan kerajaan Perpaduan sedia ada kerana itulah janji kami kepada rakyat dalam beberapa pilihan raya negeri lalu dan juga PRU bahawa kita memerlukan satu kerajaan yang stabil malah parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan hari ini, telah pun bersetuju dan ada perjanjian untuk bekerjasama bagi memastikan pentadbiran kerajaan diberikan keutamaan.

    “Kita sudah ketinggalan hampir lima tahun selepas PRU14. Negara kita dalam keadaan terumbang ambing disebabkan oleh kerajaan ditubuhkan tidak ada majoriti yang baik. Sekarang ini kerajaan kita usahakan duduk bersama untuk menguruskan negara. Sekarang BN dengan semua parti gabungan lain ada perjanjian dan bersetuju untuk memastikan manifesto yang kita janji PRU lepas ditunaikan kepada rakyat dan itu fokus utama kami ketika ini,” katanya.

  • ‘’Tak betul saya akan jadi calon PN tetapi…’’ – Noh

    ‘’Tak betul saya akan jadi calon PN tetapi…’’ – Noh

    TAN Sri Noh Omar hari ini menafikan, beliau akan menjadi calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, tidak lama lagi.

    Bekas  Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu berkata,   menjadi calon mana-mana parti hanya pimpinan parti tersebut sahaja akan tentukan siapa yang layak.

    ‘’Oleh kerana saya belum lagi menjadi ahli-ahli mana parti maka adalah tidak betul (untuk mengatakan) saya akan jadi calon, namun demikian semangat juang demi kepentingan orang Melayu dan kaum lain di Selangor yang diwarisi sejak jadi pemimpin UMNO suatu ketika dulu tak pernah padam,’’ katanya dalam kenyataan melalui klip video hari ini.

    Pada 30 April lalu, Berita Harian melaporkan Noh berkata, sebagai individu yang “sebati” dengan politik, beliau enggan sekadar menjadi penonton.

    Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu menggambarkan dirinya seperti “pemain bola sepak” yang akan berpindah ke pasukan lain selepas disingkir pasukan asal.

    Terdahulu, dilaporkan anak Noh, Nurul Syazwani akan bertanding merebut salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Tanjong Karang atas tiket Bersatu.

    Nurul menyertai Bersatu selepas bapanya dipecat awal tahun ini.

  • Amanah mohon maaf sebab mahu ‘move forward’ – Khalid

    Amanah mohon maaf sebab mahu ‘move forward’ – Khalid

    AMANAH  membuat permohonan maaf kepada UMNO berhubung bantahan terhadap permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak supaya “tidak ada parti tersinggung dan semua pihak boleh move forward”.

    Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad berkata, “Mohon maaf sekiranya kenyataan itu menyinggung atau melukakan UMNO. Wajar dipohon kemaafan kerana bukan niat kenyataan tersebut untuk melukakan mana-mana pihak.”

     “Yang penting tujuan permohonan maaf adalah supaya kita boleh ‘move forward’ kerana Lembaga Pengampunan telah bersidang dan isu ini telah berlalu,” katanya lapor FMT.

    Ahad lalu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, membuat permohonan maaf itu kepada Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Seri Satria, Putrajaya.

    Ia susulan kenyataan Khalid bahawa pihaknya merayu agar permohonan pengampunan terhadap bekas Presiden UMNO itu ditolak.

    Sementara itu, Khalid berkata isu bantahan terhadap permohonan pengampunan kepada Najib tidak lagi berbangkit dan semua pihak perlu kembali perkukuh hubungan dalam kerajaan perpaduan bagi menghadapi PRN di enam negeri.

    “Yang penting kita bersatu untuk hadapi PRN bakal mendatang. Zahid sudah sebut sekarang kita tumpu pada yang dipersetujui bersama, jasi pada masa ini ia bukan lagi isu,” katanya.