Category: Politik

  • Rumah terbuka Pas di Kedah tak guna dana kerajaan negeri

    Rumah terbuka Pas di Kedah tak guna dana kerajaan negeri

    Oleh BADLISHAH MAT

    PENGANJURAN Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas di Alor Setar, hari ini sama sekali tidak menggunakan dana kerajaan negeri, malah bukan untuk menyaingi Rumah Terbuka Malaysia Madani yang diadakan Kerajaan Persekutuan di Kedah, minggu lalu.

    Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan serentak oleh Pas pusat dan negeri itu berbeza kerana dianjurkan sepenuhnya oleh parti politik.

    “Saya nampak sambutan kepada rumah terbuka anjuran parti-parti politik sangat meriah di Kedah. Mungkin kerana menjelang pilihan raya. Menu pun sedap-sedap. Tapi menu kita dibuat oleh kawasan-kawasan (Pas) dan negeri-negeri, tak pakai kementerian-kementerian,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka tersebut yang turut dihadiri Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan kepimpinan-kepimpinan lain.

    Terdahulu, Muhammad Sanusi ketika menyampaikan ucapan berkata, majlis rumah terbuka Pas itu juga dilakukan di premis parti yang membantu mereka lebih berjimat berbanding diadakan di lokasi lain.

    “Saya nak maklum sehingga ke peringkat majlis sambutan raya pun kita cukup cermat untuk guna dana kerajaan. Rumah terbuka Menteri Besar Kedah buat atas nama kerajaan negeri 100 peratus, sepatah pun tidak ada perkataan untuk undi Perikatan Nasional (PN),” katanya.

    Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN mengajak ahli gabungan itu untuk mengekalkan istiqamah berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN).

    “Marilah kita bekerja hanya 60 hari lagi nak hadapi PRN. Apa yang kita lakukan dalam kerajaan negeri setakat ini adalah paling baik yang kita mampu buat. Jom kita gandakan apa yang kita sudah lakukan.

    “Kita bertanding semua kerusi DUN Kedah, saya percaya paling banyak Pakatan Harapan (PH) boleh menang pun tiga kerusi. Kalau boleh nak ambil semua tapi depa kata taruh beda (simpan) untuk berubat sama,” katanya.

    Tambah beliau, Kerajaan Perpaduan sudah menampakkan tanda-tanda ketidak sepakatan biarpun baru lima bulan mentadbir.

    Sementara itu , beliau memberitahu telah menyerahkan wang kepada peguamnya untuk membayar saman fitnah terhadap bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar minggu lalu.

    “Peguam saya sedang urus dengan peguam dia. Itu saya kata hal ini peguam dengan peguam sebab kita dah lantik peguam masing-masing. Tak payah guna Facebook, TikTok apa semua tu. Tak ada isu bankrap tak bayar, semua diurus peguam. Dia nak tumpang populariti saya. Dia telah tenggelam, kalau 31,000 (majoriti undi kalah) apa jalan lagi nak naikkan nama dia balik.

    “Saya dengar dia nak bertanding di Derga atau Pengkalan Kundur. Jadi siapa yang tengah top sekarang ni, dia tumpang orang itulah. Tak dak kes pun dia cerita kes supaya nama dia boleh naik. Itu politik Mahfuz, sejak muda sampai tua, Kita kenal dia,” katanya.

  • ”Saya tak pernah mimpi setiap minggu..yang hang mengigau pasai apa” – Hamzah

    ”Saya tak pernah mimpi setiap minggu..yang hang mengigau pasai apa” – Hamzah

    Oleh BADLISHAH MAT

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan beliau tidak pernah memiliki hasrat seperti dinyatakan Perdana Menteri bahawa pembangkang yang didakwa memiliki akuan sumpah berkanun (SD) cukup untuk membentuk kerajaan.

    Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, adalah lebih penting untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tumpuan menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri berbanding menyatakan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan ketika sudah menjadi kerajaan.

    Tambahnya, berkemungkinan Anwar sebenarnya kini yang mengigau kerana takut dengan kedudukannya yang mungkin akan diambil alih.

    “Semalam saya dengar ada seorang bagitau bahawa saya mimpi tiap-tiap minggu, saya nak maklum kepada beliau saya tak pernah mimpi pun tiap-tiap minggu. Saya nak bagitau yang hang mengigau tu pasai apa, saya tak cakap apa pun.

    “Sejak dia jadi Perdana Menteri, saya cakap hanya dalam Parlimen bagitau dia hang la ni bukan lagi ketua pembangkang, yang jadi ketua pembangkang saya dan yang nak buat cerita bukan-bukan pasai apa,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar hari ini.

    Anwar menggesa pembangkang supaya membawa akuan SD menyatakan sokongan Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu selepas terdapat cakap-cakap ada gerakan dicetus PN yang didakwa sudah cukup menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

    Sebelum menyifatkan Hamzah sebagai ‘mengigau’, Anwar terlebih dahulu melabel Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengigau dan tidak mengendahkan ramalan Ahli Parlimen Marang itu bahawa kerajaan pimpinannya akan tumbang tidak lama lagi.

    Menjelas lanjut, Hamzah berkata, disebabkan Anwar yang memintanya untuk bermimpi dan mengigau membentuk kerajaan, maka beliau mengajak semua pihak untuk berdoa agar perkara itu menjadi kenyataan.

    “Saya selama ini rilek sahaja, tak pikiaq apa pun tapi la ni dia suruh saya mimpi, cita-cita. Kita semua berdoa semoga apa yang dia katakan bahawa kita ada nombor, angka atau jumlah itu akan tercapai untuk kita ambil alih (kerajaan) daripada dia, padan muka dia.

    “Kita doa lah sama-sama perjuangan kita dirahmati Allah kerana kita tahu hari ini rakyat tertunggu-tunggu masa depan lebih baik. Kalau dulu depa kata kerajaan yang kurang baik, hari ini nak maklum kerajaan yang ada lebih teruk daripada mana-mana kerajaan yang sebelum ini,” katanya.

  • PN   istiqamah jadi pembangkang, tak kumpul akuan bersumpah jatuhkan kerajaan – Ahmad Faizal

    PN   istiqamah jadi pembangkang, tak kumpul akuan bersumpah jatuhkan kerajaan – Ahmad Faizal

    PERIKATAN Nasional tidak melakukan sebarang gerakan mengumpul  akuan bersumpah untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

    Ketika menegaskan prekära itu, Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumi berkata, PN memiliki Hanya 74 kerusi dan akan terus istiqamah menjadi pembangkang.

    ‘’Kita sedar perlu menjalankan tanggungjawab sebagai pembangkang yang berwibawa dan ia akan diteruskan,’’ katanya kepada wartawan di Majlis Aidilfitri DUN Gombak Setia, hari ini.

    Beliau yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, fokus PN kini tertumpu kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dijangka Jun.

    “Fokus PN ke arah untuk kekalkan kerajaan di Terengganu, Kelantan dan Kedah serta cuba mencari jalan ambil alih Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

    “Dalam semangat Syawal ini, kita tak perlu fikir berkenaan perkara itu (ambil alih kerajaan), biar fokus khidmat kepada rakyat dan eratkan silaturrahim. Itu yang perlu dibuat,” katanya. 

    Sementara itu bekas Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata,  Perlembagaan membenarkan pertukaran kerajaan dilakukan.

    “Pertukaran kerajaan bukan perkara luar biasa atau perkara tidak boleh dilakukan kerana perlembagaan membenarkan untuk sesebuah kerajaan dirombak apabila gagal memenuhi aspirasi rakyat.

    “Inilah keluhan rakyat ketika ini, apabila kerajaan yang dibentuk selepas PRU (pilihan raya umum) tidak mampu menyelesaikan isu ekonomi, kos sara hidup dan lebih banyak bercakap daripada bertindak.

    “Selagi ia terikat dengan peruntukan perlembagaan dan peruntukan undang2, ia boleh dilakukan,” katanya. 

  • PRN: Noh lebih minat sokong calon muda

    PRN: Noh lebih minat sokong calon muda

    BEKAS Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar lebih berminat untuk menyokong calon muda yang diketengahkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini.

    “Negara memerlukan pemimpin pelapis yang berketrampilan sekali gus mampu mencorak dan menentukan masa depan negara.

    “Ketika ini saya lebih berminat untuk melihat pemimpin muda ke hadapan dan saya akan memberi sokongan kepada mereka,” katanya.

    Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Mangsa Ribut di Kampung Bestari Jaya, Kuala Selangor hari ini.

    Ditanya mengenai perancangan beliau dalam politik, Noh memberitahu, ketika ini beliau mahu menumpukan perhatian kepada kerja-kerja kebajikan dengan mendekati penduduk di Tanjong Karang.

    “Saya akan meneruskan program kebajikan lebih-lebih lagi melibatkan penduduk di Parlimen Tanjong Karang,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Mahfuz nafi DAP abang besar, anggap isu selesai

    Mahfuz nafi DAP abang besar, anggap isu selesai

    Oleh BADLISHAH MAT

    NAIB Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar menafikan DAP bertindak sebagai ‘abang besar’ dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang ketika ini membentuk kerajaan Madani.

    Beliau berkata, pendirian bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming berhubung perbezaan pandangan antara UMNO dalam isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga tidak mewakili DAP.

    Ini kerana kata Pengerusi PH Kedah itu, Kian Ming kini bukan lagi pemimpin DAP.

    “Jadi dakwaan bahawa DAP adalah abang besar dalam PH-BN tidak benar. Isu berkenaan sudah pun dinafikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Amanah Kedah, hari ini.

    Tambah beliau, tidak berlaku juga kecelaruan antara kedua-dua gabungan tersebut seperti didakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

    Malah, Mahfuz turut menyifatkan isu berkenaan sudah selesai setelah Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub sendiri membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pemimpin UMNO.

    “Saya cuma ingin menyatakan bahawa saling memohon kemaafan dan memaafkan satu sama lain adalah satu tindakan yang mulia. Walaupun kita tidak melakukan sebarang kesalahan. Jadi, apabila Timbalan Presiden Amanah memohon maaf kepada (Presiden UMNO), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, saya anggap perkara ini selesai, “ katanya.

    Semalam, Muhammad Sanusi menyifatkan DAP bertindak sebagai ‘abang besar’ dalam PH dan BN apabila pemimpinnya tidak diasak untuk memohon ampun kepada UMNO ekoran pandangannya dalam isu pengampunan Najib.

    Perkara itu berbeza dengan Amanah yang terus memohon maaf kepada UMNO setelah Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad tidak bersetuju dengan isu pengampunan diraja terhadap Najib yang dipohon UMNO.

    Dalam perkembangan lain, Mahfuz meminta Muhammad Sanusi segera menyelesaikan saman fitnah sebanyak RM120,000 berserta kos tambahan atau notis kebankrapan difailkan ke atasnya ekoran tempoh 14 hari untuk berbuat demikian sudah berakhir.

  • PRN: Pas-PN dijangka menang besar di Terengganu, BN-PH harap masih ada peluang

    PRN: Pas-PN dijangka menang besar di Terengganu, BN-PH harap masih ada peluang

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    AS bersama gandingan Bersatu dan Gerakan dalam Perikatan Nasional (PN) dijangka menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu yang bakal diadakan pada Jun atau Julai ini.

    Manakala Barisan Nasional (BN) bersama ‘pasangan’ baharunya, Pakatan Harapan (PH) pula mengharapkan masih ada peluang untuk menawan negeri itu daripada Pas.

    Dalam beberapa siri pilihan raya lalu, hanya Pas dan UMNO sahaja menjadi pilihan para pengundi di Terengganu, manakala kehadiran parti lain hanyalah dilihat sebagai ‘pelengkap’ atau untuk mencuba nasib sahaja.

    Memandangkan BN kini masih dalam keadaan terumbang ambing selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) diikuti gagal mempertahankan kesemua lapan kerusi Parlimen dalam PRU-15 pada 19 November tahun lalu, maka parti berkenaan terus berusaha untuk mecari kekuatan baharu.

    Namun, impian tersebut dikatakan agak sukar apabila pasangan baharu yang dipilih adalah Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggota DAP dan parti Amanah Negara (Amanah), yang selama ini ditolak ‘mentah-mentah’ oleh orang Melayu Terengganu.

    Sebelum ini, para pengundi di negeri ini khususnya ahli dan penyokong Pas sudah mengenali siapakah sebenarnya DAP dan Amanah. Ini kerana kedua-dua parti tersebut sebelum ini pernah berada di bawah satu bumbung dalam Pakatan Rakyat (PR) yang turut disertai Pas.

    Maka itu, sudah tentulah, sikap, hala tuju, matlamat ‘hati budi’ serta kerenah para pemimpin parti berkenaan telah dinilai ‘semasak’nya oleh pemimpin dan ahli-ahli Pas.

    Berdasarkan itulah, ramai penganalisis dan pemerhati politik di Terengganu berpendapat BN-PH dilihat semakin sukar untuk merampas semula negeri itu daripada Pas dalam PRN kali ini.

    Ini kerana, selain isu masalah dalaman melibatkan kepimpinan UMNO, pertengkaran serta perbalahan terbuka antara pemimpin UMNO dan DAP serta UMNO dan Amanah berhubung isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara tidak langsung telah ‘memualkan’ rakyat.

    Susulan itu, isu tersebut turut ‘merencatkan’ kesetiaan ahli dan penyokong UMNO sendiri khususnya mereka yang menjadi penyokong tegar ‘Bossku’. Malah banyak pihak percaya pada hari pembuangan undi nanti ramai orang UMNO akan bertindak tidak keluar mengundi dan sebahagian pula dijangka memilih Calon PN.

    Hal ini kerana ada yang mengatakan terdapat orang UMNO seperti sudah mencipta slogan baharu ‘selagi ada Ahmad Zahid Hamidi dan selagi ada DAP’ mereka akan menolak BN-PH. Dalam PRN nanti, PH dikatakan ingin meletakkan calon bertanding di 12 kerusi Dewan Undangan (DUN) Terengganu.

    Melihat kepada situasi semasa, sekiranya silap percaturan kesemua 12 kerusi diwakili PH akan tewas kepada PN. Malah, ia juga tidak mustahil PN akan memenangi kesemua 32 kerusi DUN Terengganu sepertimana pernah dinyatakan oleh Setiausaha Pas Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah sebelum ini.

    Wan Sukairi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam menaruh keyakinan
    Pas bersama PN mampu meraih kemenangan besar dengan memenangi kesemua 32 kerusi DUN Terengganu pada kali ini.

    Keyakinan itu dibuat berdasarkan keputusan luar biasa dicapai PN dalam PRU15 lalu. Atau apakah pada PRN kali ini yang tinggal kepada BN hanya dua batu nisan sahaja iaitu melibatkan kerusi Seberang Takir dan Kijal?

    Pada PRU14 lalu, Pas berjaya memerintah Terengganu apabila menang 22 daripada 32 kerusi yang dipertandingkan.

    Kerusi tersebut ialah DUN Bandar, Ladang, Batu Burok, wakaf Mempelam, Rhu Rendang, Alor Limbat, Bukit Payong, Pengkalan Berangan, Rantau Abang, Sura, Paka, Bukit Tunggal, Manir, Tepoh, Buloh Gading, Kota Putera, Jabi, Chukai, Kuala Berang, Air Putih, Ajil dan Kemasik.

    Manakala BN pula hanya menang di 10 kerusi iaitu Seberang Takir, Kijal, Telemong, Hulu Besut, Bukit Besi, Jertih, Langkap, Batu Rakit, Kuala Besut dan Permaisuri.

  • ”Sudan-sudahlah..’- Sultan Ibrahim bimbang kestabilan politik tergugat lagi

    ”Sudan-sudahlah..’- Sultan Ibrahim bimbang kestabilan politik tergugat lagi

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim menitahkan supaya rakyat, ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran negara seharusnya perlu diutamakan.

    Sehubungan itu baginda melahirkan kebimbangan berikutan desas-desus berkaitan kestabilan kerajaan yang terus kedengaran biarpun sudah enam bukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berlalu.

    “Rakyat telah menaruh harapan tinggi dalam PRU15 lalu dan telah memberi undi mereka kepada 222 wakil rakyat untuk mengembalikan kestabilan politik negara.

    “Namun sehingga kini, 222 Ahli Parlimen ini masih tidak dapat bersepakat sehingga ada gerakan yang cuba menggagalkan kestabilan yang sedang dibina.

    “Keadaan sebegini adalah tidak sihat untuk semua lapisan negara kita baik dari segi sosial, ekonomi mahupun kedudukan kita di peringkat antarabangsa.

    “Sudah-sudahlah. Sampai bila lebih 30 juta rakyat Malaysia hendak menanggung keadaan sebegini. Ekonomi perlu dipulihkan, kesejahteraan dan kemakmuran negara mesti diutamakan,” titah baginda melalui Facebook, hari ini.

    Kestabilan politik negara kembali diperkatakan apabila hari iniAhli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman, dilaporkan memberi bayangan gerakan bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan bukan satu spekulasi, malah ia diketahui pimpinan tertinggi dalam kerajaan.

    Berita Harian melaporBeliau dilaporkan turut menyifatkan angka ‘126’ yang dimuat naik dalam satu hantarannya di Facebook kelmarin sebagai signifikan sehingga mencetuskan kemarahan penyokong Kerajaan Perpaduan.

    “Saya kira, angka ini signifikan hingga ramai ‘çyber troopers’ prokerajaan meroyan di laman Facebook saya.

    “Saya fikir pihak sebelah sana (Kerajaan Perpaduan) pun tahu kebenarannya,” katanya .

    Kelmarin, Dr Muhammad Faiz memuat naik catatan di Facebooknya dengan menulis “126 dah…jika benar Alhamdulillah”.

    Hantaran itu menimbulkan persoalan dengan ada yang mengaitkan angka itu sebagai bilangan ahli Parlimen yang memberi sokongan kepada parti pembangkang.

    Beliau bagaimanapun terus mengunci mulut sama ada angka berkenaan merujuk kepada jumlah kerusi membabitkan ahli Parlimen atau sebaliknya.

  • Guan Eng, 9 ADUN DAP nafi rancang singkir Kon Yeow sebagai KM

    Guan Eng, 9 ADUN DAP nafi rancang singkir Kon Yeow sebagai KM

    10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP menafikan terlibat dalam mana-mana gerakan untuk menyingkirkan Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas pilihan raya negeri (PRN).

    Mereka yang dikatakan terlibat diketuai Lim Guan Eng yang juga ADUN Air Putih; Lim Siew Khim (Sungai Pinang); Jason H’ng Mooi Lye (Jawi); Heng Lee Lee (Berapit); Joseph Ng Soon Siang (Air Itam) dan Ong Ah Teong (Batu Lancang).

    Ini termasuk Daniel Gooi Zi Sen (Pengkalan Kota); M. Satees (Bagan Dalam); Syerleena Abdul Rashid (Seri Delima) dan Chris Lee Chun Kit (Pulau Tikus).

    Semua mereka merupakan ADUN Pulau Pinang biasa yang tidak memegang sebarang jawatan kerajaan dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang sama ada sebagai Ketua Menteri, ahli Exco atau Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.

    Dalam satu kenyataan bersama hari ini, 10 ADUN berkenaan menegaskan dan mengesahkan, mereka tidak pernah bercakap dengan portal berita yang menerbitkan artikel berkenaan desakan menukar Kon Yeow sebagai Ketua Menteri.

    Malah, mereka turut menyifatkan artikel berkenaan berniat jahat dan tidak adil apabila tidak menyebut siapa tiga ADUN yang dikaitkan dengan desakan tersebut sekali gus meletakkan semua mereka di bawah syak wasangka awam yang tidak perlu.

    “Untuk mengaitkan laporan itu kepada mana-mana daripada kami (sebagai tiga ADUN dalam laporan portal berita terbabit) adalah tidak benar dan palsu.

    “Oleh itu, kami tidak dapat memastikan dari mana portal berita itu mendapat maklumat mereka yang tidak berasas ini.

    “Pencalonan untuk kerusi dan jawatan ditentukan oleh parti dan kami akan menghormati keputusan parti, menurut kenyataan tersebut.

    Tegas mereka, semuanya tidak akan ditarik ke dalam sebarang percubaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memecahbelahkan dan mengalih perhatian daripada objektif untuk berkhidmat kepada rakyat dan memastikan masa depan Pulau Pinang bertambah baik.

    “Memenangi pilihan raya negeri akan datang adalah penting untuk memakmurkan Pulau Pinang dan mengukuhkan kestabilan politik serta mengukuhkan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya untuk lima tahun akan datang,” katanya.

    Terdahulu awal hari ini, sebuah portal berita melaporkan terdapat desakan dari dalam DAP untuk menyekat Kon Yeow daripada kembali menjadi Ketua Menteri selepas PRN akan datang.

    Malah, laporan itu mendakwa, gerakan tersebut dikatakan mahu Guan Eng yang juga Pengerusi DAP kembali menerajui kerajaan negeri dengan alasan Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai Ketua Menteri.

    Laporan portal berita bertajuk ‘Ada desakan dalam DAP tukar Chow, Lim kembali jadi KM P. Pinang’ itu turut menyebut pertemuan dengan tiga ADUN yang tidak berpuas hati berkenaan diadakan semalam.

    Dalam reaksi terhadap laporan portal itu, Kon Yeow bagaimanapun berkata, beliau tidak menyedari wujudnya desakan itu malah tidak ada mana-mana ADUN kerajaan negeri yang pernah menyatakan atau menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pentadbiran beliau sepanjang menjadi Ketua Menteri selama ini.

    Mengulas isu sama, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke turut menyifatkan desakan supaya Guan Eng kembali menerajui Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai khabar angin dan DAP tidak pernah menerima sebarang memorandum atau surat daripada mana-mana ADUN mengenai perkara tersebut.

  • Sanusi tidak teruja pengumuman Anwar, RM1.6 bilion bukan peruntukan baru

    Sanusi tidak teruja pengumuman Anwar, RM1.6 bilion bukan peruntukan baru

    Oleh BADLISHAH MAT

    PENGUMUMAN peruntukan berjumlah RM1.6 bilion daripada Kerajaan Persekutuan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Kedah didakwa bukan melibatkan projek-projek baharu untuk dinikmati rakyat negeri itu.

    Lantaran itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor secara terbuka memaklumkan kerajaan negeri tidak teruja dengan pengumuman yang dibuat Anwar ketika Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani yang turut dihadirinya pada Sabtu lalu.

    Menurut beliau, pengumuman tersebut sebenarnya hanya melibatkan projek-projek pembangunan negeri Kedah yang sudah diumum dan diusahakan oleh kerajaan terdahulu.

    “Saya difahamkan projek itu ada projek sambungan, ada projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang belum disiapkan dan disambung. Perkara rutin, bukan benda baharu dan kalau beliau bawa mai perkara baharu untuk RM1.6 bilion itu, kita pun nak tau (projek) apa?

    “Saya taklah teruja sangat sebab semua benda sudah ada dalam jadual. Bila diumum semula bukan lah benda baharu. Kalau umum benda baharu saya nak dengar juga,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

    Bagaimanapun, Muhammad Sanusi menyambut baik kenyataan Anwar yang menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak akan menganak tirikan empat negeri pembangkang di bawah Perikatan Nasional (PN) termasuk Kedah.

    Beliau berkata, perkara itu sebenarnya merupakan semangat Persekutuan yang harus dihargai kerana ia adalah amalan biasa yang dimeterai sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

    “(Dalam hal ini ada dinyatakan) apakah yang kena diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dan apakah yang menjadi bidang kuasa negeri. Saya sudah cakap lama, duduk dalam petak (bidang kuasa) masing-masing. Hanya dalam petak yang bersama kita duduk lah sekali.

    “Saya tiada masalah sikit pun siapa jadi Kerajaan Persekutuan dan siapa kerajaan negeri. Kalau saling hormat bidang kuasa dan fungsi masing-masing tak akan ada apa-apa masalah, hormatlah sistem yang terbina di negara ini, masing-masing pakat terima pakai yang itu jalanlah seperti biasa.

    “Tak perlu ada konsep baharu kalau (kerajaan negeri) sama (diberi layanan) istimewa dan kalau tak sama, tak istimewa. Itu semua di luar undang-undang, perkara yang ini tak patut dilayan kerana tak memberi nilai tambah kepada kemajuan negara ini,” tegasnya.

    Sementara itu, mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa Kerajaan Perpaduan akan menyelesaikan isu kekurangan trip feri Pulau Langkawi jika mentadbir Kedah, Muhammad Sanusi berkata tanggungjawab berkaitan sistem pengangkutan air itu memang berada di bawah Kerajaan Persekutuan.

    “Saya nak maklumkan bahawa perkhidmatan feri, jeti, lesen kereta api dan lapangan terbang 100 peratus di bawah Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan Persekutuan. Tak perlu tukar kerajaan pun mereka kena buat benda itu. Saya tak tau dia tau ka tak tau (bahawa) itu memang petak (tugas) dia.

    “Kalau saya nak pi buat petak (kerja-kerja) itu tak boleh, kerajaan negeri nak pi korek laut bagi dalam supaya feri boleh lalu banyak kali, tak boleh pasai petak (tanggungjawab) Kerajaan Persekutuan.

    “Kerajaan negeri nak buat KXP tak boleh pasai kena kebenaran Kementerian Pengangkutan. Mai jual benda macam itu bila orang reti, tak lakulah (tak percaya) kedai itu dan kalau orang tak reti, lakulah (percaya),” katanya.

    Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, ‘Kita tengok di Langkawi pula satu hari berapa (trip) feri (tinggal) sebab lumpur tak boleh korek. Insha-Allah siapa pun Menteri Besar Kedah yang baharu nanti, masalah feri Langkawi yang dulu 15 kali (trip) sehari kita akan korek lumpur dan kembalikan (trip sebanyak itu)’.

  • UMNO berani ‘buli’ Amanah tapi tak berani dengan DAP – Sanusi

    UMNO berani ‘buli’ Amanah tapi tak berani dengan DAP – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KECELARUAN dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berhubung isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, jelas menampakkan siapa sebenarnya ‘abang besar’ dalam kerjasama tersebut

    Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ketika parti Amanah tampak dibuli, tiada pula mana-mana pihak membidas pimpinan DAP kerana menyuarakan pandangan sama dengan salah seorang pimpinan Amanah sebelum ini yang menyanggah pengampunan Najib.

    “Keadaan nampak bercelaru kerana UMNO minta pengampunan bagi pihak Najib tetapi Amanah tak setuju. UMNO marah Amanah, Amanah terus minta maaf kepada UMNO. Tetapi apabila DAP kata mereka pun tak setuju, UMNO tak kata apa pun terhadap DAP. Kan bercelaru keadaannya itu?

    “Dengan DAP, mereka tak berani kata apa pun tetapi Amanah ‘depa’ buli macam tu saja. Saya kesian terhadap Amanah, tak ‘dan’ sehari, terus minta maaf.

    “Maka hilanglah identiti mereka sedangkan apabila Ong Kian Ming cakap begitu, siapa pun tak berani kata apa. Jadi boleh tengoklah siapa abang besar dalam PH dan saya tak mahu begitu kerana saya nak PN terus mengepalai politik negara kita,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

    Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini mewakili parti itu memohon maaf kepada UMNO di atas ‘ketelanjuran’ kenyataan dikeluarkan Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad mengenai pengampunan Najib.

    Keadaan itu bagaimanapun tidak menghalang Kian Ming dari DAP membuat kenyataan berhubung perkara itu dengan beliau menyifatkan, pembebasan ‘Bossku’, akan menjadi ‘red line’ kepada akar umbi dan pimpinan DAP dalam kerjasama yang dijalin antara PH serta BN.

    Mengulas mengenai kehadiran pemimpin-pemimpin UMNO ke dalam PN kebelakangan ini, Muhammad Sanusi berkata, gabungan tersebut bersedia menerima sesiapa saja yang relevan dan ikhlas untuk bersama dengan perjuangan mereka.

    “Saya rasa dalam politik negara ini kalau tak ikut kita, maka tak ada jalan lain dah. Semuanya jalan mati kerana yang hidup cuma PN.

    “Khairy Jamaluddin, Tan Sri Noh Omar, Tan Sri Annuar Musa, semuanya dijemput hadir kerana mereka boleh bawa ‘crowd’ UMNO ke PN. Itu memang kelebihan merekalah dan sebagai contoh, Datuk Seri Shahidan Kassim sampai satu Perlis ikut beliau (undi PN).

    “Noh Omar pun dah kata nak jadikan Tanjung Karang ‘base’ PN. Kita akui beliau ada kelebihan termasuklah Annuar Musa di Ketereh,” katanya.