Category: Politik

  • Pertuduhan mahu rosakkan nama baik saya – Hamzah

    Pertuduhan mahu rosakkan nama baik saya – Hamzah

    BEKAS Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaitkan nama beliau dalam  pendakwaan ke atas seorang ahli perniagaan.

    Sambil memaklumkan beliau telah dipanggil memberi keterangan kepada SPRM petang ini bermula pukul 4.30 petang hingga 7 malam, Hamzah menyifatkan apa yang dilakukan bertujuan memburukkan nama beliau, Bersatu dan Perikatan Nasional.

    Berikut kenyataan penuh beliau:

    HARI ini Ketua Setiausaha Negara mengumumkan perlanjutan kontrak khidmat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, untuk tempoh setahun lagi. 

    Tahniah saya ucapkan kepada Tan Sri Azam Baki atas pengiktirafan kerajaan bahawa khidmat beliau amat diperlukan pada waktu ini. Saya percaya perlanjutan ini tiada muslihat tertentu.

    Hari ini juga SPRM telah mengenakan empat pertuduhan rasuah terhadap individu bernama Sim Choo Thiam. Pertuduhan tersebut menyebutkan bahawa ia membabitkan projek-projek di bawah Kementerian Dalam Negeri semasa saya menjadi Menteri Dalam Negeri. Malah pertuduhan tersebut juga menyebutkan nama saya.

    Itulah yang janggal dan menghairankan saya kenapa nama saya disebut sedangkan saya tiada pembabitan langsung. Bila diperhalusi keempat-empat pertuduhan tersebut ia menyebut bahawa suapan adalah untuk “mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri”. Jadi apakah projek yang menjadi hal perkara rasuah yang dimaksudkan?.

    Jelas pertuduhan sebegitu sengaja diada-adakan dan dibuat sebegitu rupa untuk mengheret nama saya dalam perkara yang tidak langsung membabitkan saya. Ini siri fitnah untuk menekan orang- orang serta ahli perniagaan tertentu supaya memalitkan dan menuding jari terhadap saya demi mencemarkan nama saya.

    Lebih janggal apabila saya hanya dirakam keterangan pada petang ini bermula kira-kira pukul 4.30 petang hingga pukul 7 malam oleh pegawai SPRM selepas pertuduhan ke atas Sim Choo Thiam telah dibawa ke mahkamah.

    Pertuduhan yang mengheret nama saya ini jelas bertujuan untuk merosakkan nama baik saya, BERSATU dan Perikatan Nasional. Lebih-lebih lagi Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO sendiri sebelum ini secara terbuka menyebut rancangan untuk mewujudkan kluster mahkamah dari kalangan pemimpin BERSATU dan Perikatan Nasional.

    Saya percaya, ini adalah kerana mereka bimbang dengan kekuatan Perikatan Nasional, yang mana sokongan rakyat akan diterjemahkan sekali lagi dalam pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

    Saya juga faham ada pihak tertentu yang panik dengan kedudukannya yang sedang goyah ketika ini tetapi janganlah bertindak sehingga menyebabkan rakyat merasakan SPRM boleh diperalat oleh pemimpin tertentu.

  • Peruntukan : Anwar perlu ambil semangat titah Pemangku Raja Pahang

    Peruntukan : Anwar perlu ambil semangat titah Pemangku Raja Pahang

    Oleh KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN

    KERAJAAN  PH-BN pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta mengambil panduan dan semangat daripada titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah agar wakil rakyat pembangkang juga diberi peruntukan yang adil.

    Ini merujuk kepada titah baginda dalam Sidang Dewan Negeri Pahang bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua yang berlangsung baru-baru ini.

    Tengku Hassanal dalam titah baginda menyatakan bahawa dalam tempoh 66 tahun ini sepatutnya semua pihak telah matang dan menjadi kerajaan yang meraikan pembangkang kerana mereka juga telah dipilih oleh rakyat.

    Tindakan mengenepikan peruntukan buat wakil rakyat pembangkang oleh kerajaan PMX selama ini hanya mengulangi skrip politik dendam kesumat dan ia amat bertentangan dengan agenda yang pernah PMX perjuangkan semasa menjadi Ketua Pembangkang.

    Kami mengulangi gesaan ini kerana kepentingan rakyat perlu diutamakan, bukan hanya survival politik yang menafikan hak wakil rakyat pembangkang yang sah dipilih oleh rakyat. Peruntukan juga perlulah diberikan tanpa syarat. Hormatilah pilihan rakyat.

    *YB Ir. Ts. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN adalah Ketua Penerangan PAS Pusat dan Ahli Parlimen Jerantut

  • Mat Sabu tak payahlah jadi ‘ahli Nujum- Tuan Ibrahim

    Mat Sabu tak payahlah jadi ‘ahli Nujum- Tuan Ibrahim

    PRESIDEN AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, tidak perlu menjadi ‘ahli nujum’ dengan meramal bahawa PAS akan kembali bekerjasama dengan DAP dalam masa terdekat, tegas Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Beliau berkata, sebelum ini mungkin Mohamad Sabu mahu merasionalkan hubungan mereka dengan UMNO dan kini dia mahu mengata parti lain pula.

    “Saya fikir, itu hanya sekadar mahu memujuk hatinya sahaja. Sebelum ini dia juga yang selalu menghentam UMNO dengan mengatakan UMNO sebagai parti penyamun, namun tiba-tiba hari ini dia bersekongkol dengan UMNO.

    “Jadi mungkin kenyataan beliau itu adalah untuk menenangkan jiwa dia yang kini diserang dan ditempelak oleh penyokong dia sendiri dan orang ramai di luar sana,” katanya lapor BH Online hari ini.

    Tuan Ibrahim menjelaskan, kerjasama politik bagi PAS adalah kerjasama dalam perkara yang berlandaskan prinsip parti sahaja.

    “Sebelum ini PAS juga pernah bekerjasama dengan DAP dan PAS sudah tahu apa yang berlaku atau gerak kerja yang diamalkan oleh DAP.

    “PAS tetap menolak kerjasama dengan DAP sebagaimana yang menjadi pendirian parti sebelum ini dan itu juga adalah pendirian PAS dalam Perikatan Nasional (PN) sehingga sekarang,” katanya.

    Kelmarin, Mohamad Sabu ketika berucap pada Ceramah Jelajah Madani Kedah 2023 di Kubur Panjang, Pendang, berkata tidak mustahil jika PAS akan kembali bekerjasama dengan DAP pada waktu terdekat.

    Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden PAS sebelum keluar menubuhkan AMANAH, berkata ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika ia berlaku kerana PAS kini ‘berkawan’ dengan musuh politiknya iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

    “PAS tidak berhak mengkritik mana-mana pakatan politik lain kerana parti itu juga mempunyai rekod bersekutu dengan parti politik lain demi kelangsungan politiknya sebelum ini.

    “Jangan jatuh kerana ketakutan terhadap DAP yang ditimbulkan PAS dalam pilihan raya akan datang. Jangan takut mengundi Pakatan Harapan (PH). Percayalah, tidak mustahil Presiden PAS akan laungkan pula ‘DAP kawan kita’ dalam tempoh dua tiga tahun nanti,” katanya lagi.

  • ‘’Kamu ni dah jadi PM, kenapa nak cabar orang macam tu’’ – KJ

    ‘’Kamu ni dah jadi PM, kenapa nak cabar orang macam tu’’ – KJ

    DATUK Seri Anwar Ibrahim diingatkan bahawa rakyat akan melupakan segala usaha baik beliau membantu orang Melayu jika Presiden PKR itu terus mencabar bekas pemimpin dan pembesar negara.

    Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kenyataan Anwar itu hanya akan mengundang reaksi negatif sekali gus menenggelamkan segala usaha sedang beliau laksanakan..

    “Bagi saya beliau ada kemahuan untuk ‘tenyeh’ pemimpin dan pembesar berkenaan tetapi saya rasa beliau kena kawal.

    “Kalau tidak semua benda bagus yang beliau lakukan seperti bantu maahad tahfiz, peruntukan SME, Bumiputera dan sebagainya semua itu akan tenggelam,” katanya dalam episod terbaharu podcast Keluar Sekejap bersama Shahril Hamdan, lapor FMT.

    Anwar pada satu majlis rumah terbuka Aidilfitri Sabtu lalu, menyelar bekas pemimpin dan taikun Melayu yang kononnya membela nasib orang Melayu sebaliknya memperkayakan diri sendiri dan keluarga mereka.

    Tanpa menamakan sesiapa, Anwar mencabar bekas pemimpin itu untuk menyumbang sebahagian harta jika mereka benar-benar mahu membantu orang Melayu.

    Menurut Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau itu, kenyataan Anwar juga dilihat sebagai tidak matang dan tidak sesuai diucapkan oleh seorang perdana menteri.

    “Bagi saya bukan sahaja dari segi strategi komunikasi beliau (Anwar) gagal, sebab orang akan nampak dan mempersoalkan: Kamu ini dah jadi perdana menteri kenapa nak cabar orang macam itu?

    “Anwar sepatutnya bukan mencabar tetapi sebalik bertindak selari dengan statusnya iaitu dengan mengikut polisi dan prosedur siasatan jika beliau berpendapat ada keperluan untuk menyiasat individu yang disyaki terlibat penyelewengan,” katanya.

  • ‘Kami tak cemburu, cuma jalankan tugas semak dan imbang kerajaan’

    ‘Kami tak cemburu, cuma jalankan tugas semak dan imbang kerajaan’

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan Perikatan Nasional (PN) langsung tidak mencemburui Kerajaan Perpaduan tetapi cuma menjalankan tugas semak dan imbang kerajaan selaku pembangkang.

    Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, PN hanya melaksanakan kerja dan amanah membawa suara rakyat sama ada di dalam atau luar Parlimen.

    Katanya, PN tidak cemburu pada Kerajaan Perpaduan sebagaimana yang didakwa Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

    “Beliau patut sedar kerajaan hari ini telah gagal memahami keresahan rakyat seperti mana beliau ‘balun’ kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dahulu.

    “Rakyat sekarang resah kerana masalah ekonomi gagal ditangani. Rakyat susah. Mereka janji macam-macam formula tetapi setakat ini satu pun tak menjadi. Mereka tipu rakyat. Bagi janji harapan palsu,” katanya kepada Sinar Harian.

    Asyraf Wajdi pada Jumaat menyifatkan pihak mencanang Kerajaan Perpaduan akan tumbang adalah mereka yang ‘cemburu’ kerana tidak dapat membentuk kerajaan.

    Beliau yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan menegaskan seramai 148 ahli Parlimen yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menyokong Kerajaan Perpaduan masih kekal dengan pendirian mereka.

    Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, tiada apa-apa pun yang bernilai daripada kepimpinan Perdana Menteri ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dicemburui mana-mana pihak.

    Dakwanya, ia kerana tiada satu pun pencapaian kerajaan Anwar yang menjadi kebanggaan majoriti rakyat kecuali sekadar untuk menyedapkan hati kelompok kecil para fanatiknya sahaja.

    “Maka adalah bohong dan fitnah jika menuduh PN cemburu kepada kerajaan PMX ini,” tegas beliau.

    Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Faiz menjelaskan, pada awalnya setelah PN tidak direstui menjadi kerajaan Malaysia pasca pilihan raya umum (PRU) lalu, ahli Parlimen PN telah akur untuk menjadi pembangkang yang membina di Dewan Rakyat, agar kerajaan mempunyai semak imbang yang baik seperti negara maju.

    Namun, beliau mendakwa apa yang terjadi menunjukkan hasrat murni PN khususnya Bersatu tidak disenangi oleh pihak PMX hingga parti berkenaan serta para pemimpin mereka menjadi sasaran tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ramai anggap sebagai bermotifkan politik.

    “Ternyata pihak Kerajaan Madani ini mahu bukan saja melemahkan pembangkang malah ingin melenyapkan terus Bersatu dan PN yang dilihat mampu menggugat kewibawaan PMX dalam Parlimen terutama ketika isu-isu berkepentingan rakyat marhaen diperdebatkan.

    “Dalam waktu yang sama, terdapat banyak krisis dalaman antara Pakatan Harapan (PH) dan BN yang cuba ditutup oleh pihak PMX seperti perihal pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, agihan kerusi Pilihan raya Negeri (PRN) di enam negeri, persaingan pengaruh serta ideologi politik yang teramat besar perbezaannya antara UMNO dan DAP serta banyak lagi yang dilihat sedang menggugat kestabilan kerajaan PMX dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” tambahnya.

    Justeru, katanya, mungkin ada rasa tidak puas hati bukan saja di pihak pembangkang yang sedang ditindas teruk malah di pihak dalaman kerajaan PMX itu sendiri tentang kepimpinan PMX yang dilihat retorik dan caca marba sekarang ini.

    “Maka jika ada pun gerakan politik untuk menyingkirkan PMX dari tampuk kekuasaannya mengikut apa yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan, itu tidak menghairankan kerana pihak PMX sendiri pun mengaku terdapat komplot untuk menjatuhkan kerajaannya. PMX sendiri pun paranoid mengenainya,” ujar beliau lagi.

  • Dr.Mahathir cabar Anwar dedah kekayaan ketika jadi TPM

    Dr.Mahathir cabar Anwar dedah kekayaan ketika jadi TPM

    TUN Dr Mahathir Mohamed hari ini mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kekayaan beliau ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, Anwar adalah satu daripada pemimpin yang dituduh bantu kroni.

    Berikut kenyataan Dr.Mahathir:

    Saya hairan dengan tindak-tanduk Datuk Seri Anwar sejak akhir-akhir ini.

     Konon ramai pemimpin dahulu kaya kerana rasuah dan dia punyai berpuluh kotak berkenaan tuduhan ini. Kalau sudah ada dedahlah dan cajlah di mahkamah.

    Tetapi tidak. Konon nak suruh pemimpin lama isytihar kekayaan mereka dan bantu rakyat miskin. Anwar adalah satu dari pemimpin lama yang dituduh bantu kroni.

     Dedahlah kekayaan di masa jadi Timbalan Perdana Menteri seperti yang dituntut sekarang. Dan bantulah rakyat dengan duit sendiri, bukan duit Kerajaan.

     Di masa yang sama Anwar kononnya mempunyai maklumat tentang berbilion yang disapu oleh saya dan keluarga saya.

     Tak payahlah menyuruh saya buat deklarasi kekayaan saya kerana kononnya Anwar tahu. Dia punyai banyak kotak dokumen yang kononnya penuh maklumat berkenaan kekayaan saya.

     Di mahkamah tunjuk bukti yang ada pada Anwar akan kekayaan saya. Dengan itu pengisytiharan tentang kekayaan saya akan diketahui dunia.

     Tak perlu saya isytihar lagi. Tetapi Anwar juga perlu isytihar.

  • Kita bangkang secara berfakta bukan nak gulingkan kerajaan – Razali 

    Kita bangkang secara berfakta bukan nak gulingkan kerajaan – Razali 

    PEMBANGKANG tidak pernah mengadakan perbincangan secara khusus untuk menjatuhkan atau menggulingkan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, mereka memang  tidak bersetuju dengan kerajaan hari ini sebab ‘kita pembangkang’. 

    ‘’Tetapi kita membangkang dengan fakta, sebagai contoh dalam hal ekonomi yang nampak tak bergerak, tak ada perancangan spesifik bagaimana kerajaan nak bangunkan atau naikkan ekonomi pasca COVID. Dahulu semasa COVID, Tan Sri Muhyiddin Yassin setiap minggu adakan mesyuarat, bincang macam-macam perkara tentang rakyat, tetapi sekarang tidak ada.

    “Yang kita nampak hanya Anwar saja yang bercakap sebab dia Menteri Kewangan dan Perdana Menteri juga. Tetapi apabila berlaku perkara macam kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), ini perkara besar sebab ia akan menyebabkan harga barang keperluan naik tapi yang diberitahu ialah rakyat tak terkesan.

    “Jadi kita tidak tahu apa maksud sebenar (dari kenyataan itu), seolah-olah bodoh datang secara mengejut. Dulu nampak cerdik semasa jadi pembangkang. Saya tak faham,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama media di Kuala Lumpur hari ini, lapor Astro Awani.

    Turut hadir Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Mengenai Proklamasi Melayu yang ditandatanganinya, Razali menegaskan ia bukan tandatangan yang mewakili parti seperti yang disangka ramai.

    “Parti arahkan saya hadir ke perjumpaan yang kemudiannya dibatalkan. Selepas itu kami dijemput ke satu majlis buka puasa, sampai di sana saya turunkan tandatangan. Tetapi kami tandatangan proklamasi bukan mewakili parti, sebaliknya ia tandatangan sebagai individu. Saya pergi ke sana untuk menyokong penyatuan Melayu.

    “Kami tak ada bincang tentang parti, hanya penyatuan dan sokong apabila Melayu nak bersatu sebab Melayu pun nampak sekarang berpecah. Jadi bila ada negarawan nak menyatukan, kami sokong. Memang kami pergi ke majlis itu mewakili parti tetapi tandatangan yang diturunkan mewakili individu, tiada paksaan,” ujarnya.

    Proklamasi yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

  • Kami bukan penagih..perlu merayu-rayu macam peminta sedekah – Tuan Ibrahim

    Kami bukan penagih..perlu merayu-rayu macam peminta sedekah – Tuan Ibrahim

     

    TUAN Ibrahim Tuan Man berkata Perikatan Nasional (PN) tidak akan mengemukakan cadangan berkait peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang walaupun Ketua Whip, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, minggu lalu yang mahu mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri bagi tujuan itu.

    Timbalan Presiden Pas itu yang juga Ahli Majlis Tertinggi PN, menegaskan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyalurkan terus peruntukan itu kepada Ahli Parlimen pembangkang.

    Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, hari ini, menyatakan kerajaan masih menunggu cadangan pembangkang berhubung peruntukan itu.

    Tuan Ibrahim berkata, kerajaan sepatutnya terus menyalurkan peruntukan itu sebagaimana disalurkan kepada wakil rakyat kerajaan.

    “Ya, (tidak akan kemuka cadangan tapi) salurkan terus. Kami bukan penagih yang perlu merayu-rayu macam peminta sedekah, sebaliknya kerajaan adil akan menyalurkannya.

    “Ini bukan kepentingan Ahli Parlimen sebaliknya untuk rakyat telah memilih kami dalam PRU lalu. Saya harap sebagai sebuah kerajaan madani, laksanakan agihan tersebut,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu kepada portal FMT.

  • PN tampil anak jati Selangor jadi MB jika menang – Sanusi

    PN tampil anak jati Selangor jadi MB jika menang – Sanusi

    PENGARAH pilihan raya PAS Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi jaminan akan menampilkan calon anak jati negeri sebagai menteri besar Selangor sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka tidak lama lagi.

    Bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Selangor di Shah Alam, malam tadi, katanya, hanya calon berasal dari negeri itu lebih memahami latar belakang dan budaya di Selangor berbanding calon dari negeri lain.

    Walaupun tidak menyebut sebarang nama, Sanusi, yang juga menteri besar Kedah, memberi bayangan bahawa Dr Halimah Ali adalah antara calon berkenaan.

    “Bukanlah saya kata orang Sarawak tidak boleh, mungkin (pemimpin diketengah) sudah lama menetap di Selangor mungkin boleh dipertimbangkan dan tidaklah menghalang.

    “Tetapi alangkah baiknya jika Selangor ini sendiri diterajui oleh anak negeri ini yang lebih faham cita rasa, cara hidup dan bahasa,” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian.

    Halimah, 62, adalah ahli jawatankuasa pusat PAS yang dilantik. Dia dilahirkan di Marudi, Sarawak tetapi telah lama bertapak di Selangor melalui amalan perubatan dan aktivismenya.

    Dia adalah ahli parlimen negeri empat penggal yang mewakili Selat Klang dan kemudiannya Seri Setia. Pada November 2022, dia merampas kerusi parlimen Kapar daripada Pakatan Harapan.

    Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi berkata beberapa nama toloh politik telah memohon untuk menjadi ahli.

    Bagaimanapun, dia enggan mengesahkan sama ada pemohon berkenaan hadir pada majlis itu atau sebaliknya.

    “Kita tunggu pengumuman yang akan dibuat nanti selepas kita menerima arahan daripada PAS Pusat,” katanya.

    Majlis rumah terbuka itu turut dihadiri bekas pemimpin Umno antaranya Presiden Pertubuhan Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa, bekas Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar serta ahli Parlimen Arau, Datuk Sri Shahidan Kassim.

    Noh sebelum ini berjanji untuk menyokong PN di kawasan Tanjong Karang manakala Shahidan pula dilaporkan sering berada di sekitar Semenyih.

  • Tiada agenda pancing undi Melayu melalui Proklamasi Melayu

    Tiada agenda pancing undi Melayu melalui Proklamasi Melayu

    Oleh BADLISHAH MAT

    PROKLAMASI Melayu yang ditandatangani pimpinan Pas baru-baru ini bukan platform untuk parti itu meraih sokongan orang Melayu agar memilih Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, gagasan berkenaan juga tidak melibatkan isu parti politik, sebaliknya di luar daripada kerangka politik.

    Malah, proklamasi itu turut tidak menjurus kepada komplot untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

    “Kita rangka lebih awal sebelum ada apa-apa berita akan berlaku PRN lagi. Sepatutnya dilancar pada Mac, oleh itu ia tidak ada kaitan dengan PRN.

    “Tetapi disebabkan ketika itu semua premis yang dimohon dibatalkan di saat akhir sebanyak empat kali, ia menimbulkan keadaan untuk kita putuskan operasi gagasan ini dilakukan melalui pertubuhan atau individu yang menandatangani dan menyokong proklamasi tersebut,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar hari ini.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim juga menolak dakwaan yang mengaitkan kerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui proklamasi tersebut ada kaitan dengan pembekuan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Tak ada kena mengena dengan pembekuan akaun Bersatu. Kita terbuka menerima semua pihak yang mahu bersama dengan PN,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau menegaskan Pas tiada kaitan dengan dakwaan wujud usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan termasuk memiliki akuan sumpah berkanun (SD).

    Namun, pihaknya bersedia terhadap sebarang kemungkinan, selagi perkara itu berada dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan dan dibenarkan secara demokrasi.

    “Selagi dibenarkan undang-undang dalam sistem negara kita, kita anggap sebagai sah daripada aspek Perlembagaan. Kalau sekiranya ada gerakan, tak ada masalah dan tak wajar ada isu.

    “Saya pun tidak tahu siapa yang mulakan dengan mainan nombor (SD). Kami tiada kaitan. Lagipun isu SD ini tidak melibatkan ia perlu dibawa kepada Perdana Menteri,” katanya.