Category: Politik

  • Ahmad Maslan minta pengundi UMNO undi calon DAP demi kukuhkan Kerajaan Perpaduan

    Ahmad Maslan minta pengundi UMNO undi calon DAP demi kukuhkan Kerajaan Perpaduan

    DATUK Seri Ahmad Maslan hari ini meminta pengundi UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di 6 negeri tidak lama lagi memilih calon DAP di kawasan masing-masing

    Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, langkah itu  demi mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan dan tindakan itu wajar mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan.

    “Disiplin parti itu memastikan arahan parti dituruti. Memanglah undi itu rahsia tetapi gesaan saya adalah bukan (undi) atas nama parti atau DAP, tetapi atas nama Kerajaan Perpaduan.

    “Kerajaan Perpaduan ini titah Yang di-Pertuan Agong apabila Parlimen tergantung, jadi kita akur, setia pada titah baginda,” katanya pada satu sidang akhbar di Shah Alam, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan turut mengingatkan ahli UMNO untuk meninggalkan sentimen pada diri masing-masing ekoran perubahan landskap politik Malaysia yang ketara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    “Kita melihat apa yang sudah berlaku itu, sudah berlaku. Sekarang kita inginkan kestabilan sebagaimana saya sebut tadi.

    “Calon yang bertanding bukan atas nama DAP atau PH (Pakatan Harapan) sahaja, tetapi secara keseluruhan sebagai Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

    Ahli Parlimen Pontian itu turut menyokong sekiranya Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang diawalkan supaya keadaan politik di negeri berkenaan lebih stabil.

    “Semua 19 parti yang berada di Dewan Merdeka WTC itu melambangkan kestabilan, tidak pernah kita miliki kerajaan yang begitu banyak parti di dalamnya. Semua sekali sepakat pakai baju putih, simbol kebersihan dan kesucian dengan apa yang ingin dilaksanakan.

    “Kalau boleh, konvensyen dapat dilakukan untuk enam negeri yang bakal melalui PRN. Buat di peringkat negeri supaya akar umbi boleh menyatakan perpaduan,” ujarnya.

  • Hadi sifatkan Kerajaan Perpaduan bagai ‘lalang ditiup angin’

    Hadi sifatkan Kerajaan Perpaduan bagai ‘lalang ditiup angin’

    KERAJAAN Perpaduan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap meraikan semua pihak tanpa sempadan agama, ideologi dan moral atau fitrah manusia.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, semua perkara tersebut sanggup diketepikan Kerajaan Perpaduan asalkan parti politik di dalamnya mendapat majoriti kerusi. 

    Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyifatkan Kerajaan Perpaduan sebagai ‘lalang yang ditiup angin’ selepas berjaya menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    “Kerajaannya dipimpin oleh parti yang lebih kecil berprinsipkan pragmatik dan didominasi oleh parti lebih besar yang nyata ideologinya, turut bersamanya kumpulan kecil dan individu yang oportunis. Gerak-gerinya selepas berkuasa laksana lalang yang mengikut tiupan angin. 

    “Mereka mengheret rakyat apabila berpegang kepada falsafah Pak Pandir yang menyeberangi anak sungai dengan meniti kayu reput yang dilalui oleh semut yang berjuta ramainya, atau kaedah politik ciptaan Barat yang berpegang kepada matlamat menghalalkan cara. 

    “Pakatan tersebut didominasi oleh DAP yang nyata ideologinya bercanggah dengan Islam, bahkan kenyataannya jelas menunjukkan mereka menentang Islam serta kepentingan Melayu Islam dan bumiputera. Malah, pakatan itu turut disertai oleh parti-parti yang pragmatik tanpa ideologi,” katanya dalam perkongsian di media sosial hari ini.

    Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, kaedah Kerajaan Perpaduan dalam menangani isu kalimah Allah juga dilihat bersifat pragmatik.

    Tegas beliau, keputusan yang dilakukan kerajaan itu bukan berdasarkan Maslahah al-Mursalah mengikut acuan Islam. 

    “Selangor sudah mempunyai keputusan ketika negara dijajah sewaktu pemerintahan Almarhum Sultan Sulaiman.  Akan tetapi, kerajaan kini melihat dari segi maslahah Kerajaan Perpaduan ciptaannya yang bersifat pragmatik, bukan berdasarkan Maslahah al-Mursalah mengikut acuan Islam. 

    “Mereka tidak peduliterhadap sensitiviti umat Islam yang berpandukan agamanya daripada ajaran yang dapat menyelesaikan masalah dan menjaga konsep kebebasan beragama mengikut sempadan. 

    “Hakikatnya, Islam ialah agama bagi Persekutuan dan terletak di bawah bidang kuasa negeri di bawah peranan raja-raja,” katanya

  • Amirudin akui harap jadi MB Selangor lagi

    Amirudin akui harap jadi MB Selangor lagi

    DATUK Seri Amirudin Shari secara peribadi berharap akan dikekalkan menerajui kerajaan negeri sebagai Menteri Besar Selangor, untuk sepenggal lagi.

    Bagaimanapun katanya, dirinya akan akur dengan sebarang keputusan Pakatan Harapan (PH).

    Katanya, sebagai ahli parti, beliau akan mematuhi strategi yang dirancang parti untuk Selangor pada pilihan raya negeri akan datang kerana ia adalah demi kepentingan semua.

    “Kalau ditanya secara peribadi, tetapi selaku ahli parti kita kena patuh dengan beberapa strategi, perancangan yang bkan keputusan saya sendiri.

    “Kalau orang tanya pendirian saya, saya lebih suka untuk kekal. Tetapi sudah pasti parti, pimpinan perlu buat keputusan dan boleh melakukan perbincangan baik demi kebaikan semua,” katanya pada sidang media di Bestari Jaya, hari ini.

    Amirudin berkata demikian ketika ditanya jika dirinya akan kekal sebagai ‘poster boy’ atau wajah Pakatan Harapan untuk Selangor pada pilihan raya negeri.

    “Poster boy ditentukan oleh parti. Tetapi bukan masalah poster boy, saya rasa di Selangor, kita nak lengkapkan kesemuanya, iaitu polisi, dasar kejayaan dan saya percaya poster boy bukan segala-galanya.

    “Yang penting apakah kita berjaya deliver dan mampu laksanakan,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • PN hampir muktamadkan pembahagian kerusi untuk 6 PRN

    PN hampir muktamadkan pembahagian kerusi untuk 6 PRN

    PERIKATAN Nasional (PN) sudah hampir memuktamadkan pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponennya bagi menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perbincangan mengenai perkara itu juga akan dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijadual berlangsung pada 23 Mei ini.

    “Saya sudah arahkan pasukan perunding setiap parti menyelesaikan (pembahagian kerusi). Mereka ialah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau.

    “Ada satu, dua kerusi saja lagi dan apabila ini sudah selesai, kita akan tahu ia milik siapa. Kemudian kita akan minta senarai nama bakal calon bersesuaian untuk diletakkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

    Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengadakan sidang media pada Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) 2.0 di Tamu Hotel, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Yang turut hadir, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (Masa), Azril Mohd. Amin.

    Media sebelum ini, melaporkan agihan kerusi PN bagi menghadapi PRN sudah selesai kira-kira 85 hingga 90 peratus.

    Ini dimaklumkan Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang menjelaskan persetujuan itu dicapai selepas rundingan diadakan antara kepimpinan Pas, Bersatu dan Gerakan.

    Sementara itu, Muhyiddin mengakui gabungan berkenaan sudah memiliki calon Menteri Besar yang akan dinamakan di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor, jika PN berjaya merampas tampuk pentadbirannya daripada Pakatan Harapan (PH).

    Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berucap pada Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) 2.0 di Tamu Hotel, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Bagaimanapun, katanya, perincian mengenai calon berkenaan tidak akan didedahkan kepada umum sehingga PN berjaya meraih kemenangan di negeri berkenaan.

    “Kita ada beberapa nama (calon Menteri Besar di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan), tetapi ia tidak akan dibincangkan kepada umum. Bagi saya yang penting ialah selesaikan isu pembahagian kerusi dan calon yang akan bertanding.

    “Pasti akan sampai masa sesuai untuk bincangkan siapa bakal Menteri Besar, tetapi ia mungkin tak perlu kita umumkan.

    “Lepas PRN nanti… kalau kita sudah menang dan siapa yang layak serta diperkenankan sultan, dialah Menteri Besar (di negeri berkenaan),” katanya lapor BH Online.

  • Pas bukan rumah tumpangan politik, kata Abdul Hadi

    Pas bukan rumah tumpangan politik, kata Abdul Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu bukan bola yang boleh ditendang oleh pihak lain untuk berniaga politik dengan menjanjikan pangkat, harta dan takhta.

    Beliau berkata, parti yang diketuainya itu bukanlah rumah tumpangan politik sementara waktu.

    Jelas Ahli Parlimen Marang itu, Pas akan tetap berpegang kepada konsep politik yang mana ia sebahagian daripada agama dan tidak boleh dipermainkan.

    “Diharamkan bagi semua pihak memperalatkan agama Islam atau sesiapa sahaja yang cuba memisahkan politik daripada agama ini.

    “Politik merupakan alat kepada agama bagi melaksanakan seluruh ajaran dengan memelihara dan mempertahankannya,” katanya menerusi satu hantaran dalam Facebook miliknya hari ini .

    Pada masa sama, Abdul Hadi menjelaskan Pas bersikap terbuka dan bersempadan menghadapi sebarang perubahan dari sudut pemikiran serta sikap manusia yang boleh berubah-ubah.

    Parti berkenaan juga katanya, ada bekerjasama dengan pihak lain tetapi apabila melihat ia melanggar nas, prinsip dan strategi yang betul, Pas terus membatalkannya.

    Katanya, Pas hanya mengadakan kerjasama dengan pihak yang berbeza ideologi, akidah agama bersifat damai dan tidak menipu perjalanan politik.

    “Kerjasama yang dilakukan adalah berdasarkan titik persamaan kemanusiaan dan keadilan kepada semua tanpa melanggar prinsip Islam dan konsep yang menjadi kewajipan fahaman politik yang diketuainya itu,” ujar beliau.

    Jelas Abdul Hadi lagi, Pas berada dalam keadaan terkawal dan tidak pernah dipermainkan atau ditipu oleh semua pihak.

    “Pas tetap berjaya dari sudut kerjasama dan hubungan, malah tidak lemah dan mati apabila ia (kerjasama) dibatalkan.

    “Apabila ada pihak melanggar dasar parti, memaksa keluar daripada landasan Islam atau melanggar konsep yang wajib seperti kewajipan menegakkan negara Islam dan penganutnya oleh pihak lain, maka Pas tidak teragak-agak membatalkan kerjasama,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

  • PRN: ADUN Jeram sedia sokong PN elak pecah undi Melayu

    PRN: ADUN Jeram sedia sokong PN elak pecah undi Melayu

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd. Shaid Rosli bersedia menyokong Perikatan Nsional (PN) sekiranya tidak mempertahankan kerusi dimenanginya bagi memastikan undi kaum Melayu tidak berpecah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

    “Undi kaum Melayu sangat penting bagi menentukan parti yang menjadi pilihan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram.

    “Saya tidak teragak-agak menyokong PN walaupun mereka tidak menerima saya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Raya Aidilfitri DUN Jeram di Bandar Puncak Alam, di Puncak Alam hari ini.

    Beliau yang juga Penyelaras Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Parlimen Kuala Selangor berkata, pengundi dijangka memilih parti yang lebih dominan dan bukan individu.

    Pihaknya sedia maklum Pejuang tidak begitu kuat dan tidak nampak penerimaan orang ramai untuk parti Pejuang.

    “Walaupun Pejuang terdiri daripada pemimpin tak ada kes rasuah, mahkamah dan salah guna kuasa sebagainya tetapi rakyat masih memilih parti,” jelas beliau.

    Bagaimanapun, Mohd. Shaid menjelaskan beliau juga bersedia jika dicalonkan semula mewakili Pejuang dan bertanding atas logo PN sekiranya ada kerjasama antara kedua-dua parti.

    “Jika Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) minta saya bertanding dalam satu logo gabungan parti Melayu, saya sedia bertanding ikut nasihat.

    “Saya yakin dan percaya antara logo parti Melayu yang diterima rakyat adalah PN,” jelas beliau.

    Ditanya kemungkinan beliau kembali kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Shaid menegaskan, beliau tidak menyertai mana-mana parti dalam PN dan akan terus bersama Pejuang.

    “Saya sudah ada parti dan tidak ada sebab untuk saya kembali kepada Bersatu atau pun Pas,” katanya.

    Mengulas mengenai keputusan PN menolak permohonan Pejuang menyertai gabungan itu, beliau berkata, setakat ini Pejuang masih tidak menerima surat penolakan tersebut.

    Ujarnya lagi, Pejuang yang mengadakan mesyuarat di peringkat majlis tertinggi parti juga sering membincangkan penyertaan dalam PN.

    “Penolakan penyertaan Pejuang (dalam PN) hanya dikhabarkan melalui media tetapi kami tidak terima surat rasmi daripada PN.

    “Kita hendak tahu surat (penolakan) itu dan jangan hanya mereka maklum pada media sahaja,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Beberapa kali ini Anwar tuduh saya…tunjuk la bukti – Mahathir

    Beberapa kali ini Anwar tuduh saya…tunjuk la bukti – Mahathir

    TUN Dr Mahathir Mohamad menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti terhadap kenyataan yang mendakwa beliau menggunakan kuasa untuk memewahkan diri dan keluarga.

    Dr Mahathir juga sekali lagi mengulangi pendirian tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengisytihar harta kerana tegasnya, tiada perkara yang perlu disorokkan.

    “Datuk Seri Anwar kata dia telah isytihar harta. Saya juga telah isytihar harta beberapa kali semasa jadi Perdana Menteri dan ini juga pengetahuan umum. Yang jadi masalah ialah Anwar telah beberapa kali tuduh saya salah guna kedudukan semasa saya jadi Perdana Menteri untuk kayakan diri saya dan keluarga saya.

    “Maka saya ulang sekali lagi, tunjuklah bukti. Setakat cakap di atas pentas politik tanpa ada bukti ini siapa pun boleh buat,” katanya dalam satu hantaran pada Isnin.

    Pada 6 Mei lalu, Anwar mencabar bekas pemimpin dan pembesar yang mendapat keuntungan ketika era pemerintahan mereka untuk berkongsi kekayaan dengan orang Melayu yang lain.

    Jelas Anwar, ini kerana pemimpin-pemimpin berkenaan dilihat hanya mengaut keuntungan untuk diri sendiri dan keluarga ketika pentadbiran masing-masing.

    Namun begitu perkara tersebut dinafikan Dr Mahathir dengan mencabar Anwar untuk membuktikan dakwaan beliau memiliki sejumlah wang seperti yang dikatakan.

    Jelas bekas Perdana Menteri itu, sekiranya Anwar gagal mengemukakan bukti, beliau akan mengambil tindakan mahkamah.

    “Saya telah ambil tindakan mahkamah dan sehingga hari ini dia (Anwar) tidak pernah tunjuk bukti selain ke sana ke mari buat tuduhan terhadap saya. Sebaliknya, dia minta saya tunjuk bukti harta saya. Dia yang tuduh saya dan dia minta saya pula tunjuk bukti,” ujarnya.

  • Zahid cadang Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri

    Zahid cadang Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri

    AHMAD Zahid Hamidi mencadangkan supaya Konvensyen Nasional diadakan di peringkat negeri kerana ia berjaya mewujudkan keserasian antara pelbagai parti.

    Katanya, jika  langkah itu diambil, akar umbi semua parti dalam kerajaan perpaduan turut dapat memberikan pandangan.

    Selain itu, beliau yang juga Presiden UMNO  berkata, keserasian semua parti dapat menjawab tohmahan yang dilemparkan terhadap kerjasama yang dijalinkan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan. Ada bekas pemimpin UMNO yang merasakan bahawa tidak sepatutnya pemimpin parti tertentu berucap di Dewan Merdeka dan ini kononnya melunturi semangat nasionalisme.

    “Hakikatnya dalam politik, kita harus melihat dari segi dinamika, kerana ia bukan fokus kepada sesebuah parti atau individu tertentu tetapi kemajmukannya, dan perkara ini harus diakui sebagai sesuatu yang tidak boleh dielak dan harus disantuni.

    “Kita mahu negara ini menjadi sebuah negara yang progresif dan mempunyai kestabilan politik yang baik, dan pada masa yang sama pertumbuhan ekonomi yang baik demi kesejahteraan rakyat,” katanya selepas menghadiri jamuan Aidilfitri anjuran Majlis Profesor Negara, lapor Astro Awani.

    Ahmad Zahid  juga meminta agar semua pihak melupakan sengketa lama dan bersama-sama membina negara.

    Semalam, Kerajaan Perpaduan menganjurkan Konvensyen Nasional buat julung kali di WTCKL.

    Acara itu dibuka tirainya menerusi Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri Kerajaan Perpaduan yang diadakan secara serentak.

    Ketika diminta mengulas kenyataan bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang menjangkakan parti itu bakal ditolak rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Ahmad Zahid menegaskan beliau tidak akan menghormati pandangan peribadi bekas Ahli Parlimen Ketereh itu.

  • Bubar DUN: MB Selangor menghadap Sultan sebelum 25 Jun

    Bubar DUN: MB Selangor menghadap Sultan sebelum 25 Jun

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Selangor akan dibubarkan pada bulan depån selepas Menteri Besar Datuk Seri Amiruddin Shari mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah.

    Bercakap kepada wartawan di Shah Alam, beliau berkata, beliau akan  akan menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah minggu ketiga Jun bagi memohon perkenan pembubaran DUN.

    DUN Selangor akan terbubar secara automatik pada 25 Jun ini.

    “Sebelum tarikh itu saya akan menyampaikan hasrat bila tarikh untuk kita bubar… (akan menghadap sultan) minggu ketiga atau minggu keempat Jun. Mungkin juga boleh jadi minggu kedua (Jun),” katanya.

    Sultan Sharafuddin dijadualkan berangkat menunaikan haji bulan depan.

    Mengulas mengenai pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan BN, Amirudin yang juga pengerusi PH Selangor berkata terdapat lima ke tujuh kerusi sedang dimuktamadkan antara rakan sekutu.

    “Setakat ini, perbincangan PH dan BN di peringkat negeri dah berjalan dan kita dah hantar laporan ke peringkat pusat dan peringkat pusat juga akan memulakan perbincangan (pembahagian kerusi) itu sekali.

    “Formulanya sudah pasti kemenangan. Semua parti menyatakan kawasan mana mereka mahu dan di mana kawasan kita nak kekalkan. Masa dah cukup dan sekarang sampai di peringkat pusat (tentukan).”

    Mengenai laporan yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) akan meletakkan calon “heavyweight” untuk menumbangkan PH Selangor, Amirudin menyifatkan gabungan itu sebagai “celaru”.

    “Dia (PN) sebelum ini cakap calon menteri besar Selangor adalah orang Selangor tapi dia terpaksa import dari luar. Itulah kata celaru,” katanya.

  • Nama besar UMNO sertai Pas, Bersatu, PN diumum awal Jun – Ahmad Samsuri

    Nama besar UMNO sertai Pas, Bersatu, PN diumum awal Jun – Ahmad Samsuri

    PAS mengesahkan beberapa pemimpin politik yang mempunyai nama besar dengan sebahagian besar mereka daripada UMNO, akan menyertai parti itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Perikatan Nasional (PN) tidak lama lagi.

    Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, nama semua mereka akan diumumkan pada awal Jun nanti.

    “Mereka bakal menyertai Pas… sertai Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pun ada… PN secara direct pun ada… insya-Allah.

    “Ada daripada UMNO, dan ada daripada lain-lain parti pun ada… ramainya daripada UMNO,” katanya lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Geran Hak Milik Tanah Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, di Kuala Terengganu hari ini.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sudah memaklumkan hasrat untuk menyertai Pas.

    Perkembangan itu menyusul selepas bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor di bawah tiket PN.

    Sementara itu, ditanya adakah pemimpin nama besar terbabit akan diketengahkan sebagai calon dalam PRN nanti, Ahmad Samsuri berkata, itu bergantung kepada keadaan.

    Katanya sehingga kini, Pas belum memuktamadkan senarai calon yang akan bertanding dalam PRN.