Category: Politik

  • Bersatu dijangka dominasi agihan kerusi PN bagi PRN Negeri Sembilan

    Bersatu dijangka dominasi agihan kerusi PN bagi PRN Negeri Sembilan

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka mendominasi agihan kerusi pilihan raya negeri (PRN) di Negeri Sembilan berbanding rakan sekutunya Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Eddin Syazlee Shith berkata, PN Negeri Sembilan menyasarkan untuk menang sekurang-kurangnya 19 kerusi bagi membolehkannya membentuk kerajaan negeri.

    “PN sudah mengenal pasti kerusi yang boleh dimenanginya.

    “Antara kita sudah bersetuju, memang sebagai parti yang memimpin di Negeri Sembilan, kita (Bersatu) akan diberikan kerusi lebih, tapi saya fikir ia tidak terlalu banyak beza dengan Pas atau Gerakan.

    “Ini kerana Bersatu mempunyai calon dalam kalangan ahli bersekutu yang mungkin bertanding di kerusi mempunyai saingan lebih dominan seperti di kawasan bukan Melayu,” katanya menurut Berita Harian.

    Eddin yang juga ketua Bersatu Negeri Sembilan berkata, PN sedia menghadapi PRN yang dijangka diadakan sekitar Julai atau Ogos ini.

    Katanya, persiapan PN negeri berjalan lancar, termasuk dari segi pembahagian kerusi.

  • PRN:Tak mustahil PN menang 80% undi, jangkaan Muhyiddin realistik

    PRN:Tak mustahil PN menang 80% undi, jangkaan Muhyiddin realistik

    SASARAN Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi 80% undi pada PRN akan datang mungkin realistik, kata penganalisis politik, Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia.

    Beliau berpendapat, ini kerana imej Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicemari UMNO.

    Menurut Ahmad Fauzi, walaupun reputasi peribadi Anwar semakin bagus dalam kalangan pengundi Melayu, imejnya masih dicemarkan oleh rakan kongsi dalam gabungannya.

    UMNO menjadi rakan kongsi dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar menerusi Barisan Nasional (BN).

    “Anwar mempunyai karisma dan rekod prestasi yang menunjukkan integriti, tetapi perkara yang sama tidak boleh dikatakan bagi rakan kongsinya dalam kerajaan perpaduan, terutamanya UMNO,” kata Fauzi memetik laporan FMT.

    Justeru, katanya, dakwaan pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa gabungan itu boleh memenangi sehingga 80% undi pada peringkat negeri, terutamanya undi orang Melayu, adalah realistik.

    “Bukan tidak munasabah, tetapi PN perlu berhati-hati dengan usaha kerajaan untuk menambah baik kedudukannya, walaupun (kadarnya) sangat perlahan.

    “(Usaha itu) tidak cukup pantas untuk membawa kesan pada PRN, tetapi perjuangan sebenar adalah PRU akan datang,” kata Fauzi.

    Muhyiddin memetik kajian PN yang menunjukkan bahawa rakan-rakan kongsi dalam gabungan tersebut iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mendahului pesaing politik mereka daripada segi populariti dan kepimpinan.

    Ahli sains politik James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, keyakinan Muhyiddin tidak tersasar, mengambil kira prestasi PN sebelum ini di Kelantan dan Terengganu.

    “Pada PRU15, mereka menyapu bersih (kerusi di) Kelantan dan Terengganu, pada dasarnya seluruh negeri, di peringkat Parlimen,” kata Chin kepada FMT.

    “Jadi, jika gabungan itu boleh mengekalkan sasaran itu atau jumlah undi, (gabungan) itu patut tidak akan berdepan sebarang masalah.

    “Kemenangan besar di Kelantan dan Terengganu (boleh dijangka),” katanya.

    Bagaimanapun, katanya, peluang PN di Kedah dan Negeri Sembilan dijangka 50-50. Perkara itu masih terlalu awal, katanya, untuk dikatakan kerana kedua-dua pihak masih berkempen.

    “Di Pulau Pinang dan Selangor, PN masih ketinggalan, disebabkan majoriti besar (PH). Saya sangat ragu-ragu PN boleh menawan negeri-negeri ini melainkan sesuatu berlaku semasa kempen,” katanya.

    Chin berkata, pembangkang akan memainkan dua isu besar dalam kempen pilihan raya, iaitu kontroversi mengenai orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dan kelulusan mengadakan konsert Coldplay.

    “Kedua-dua isu ini mudah dimanipulasi kerana mereka hanya perlu mendakwa Islam dipinggirkan. Tidak perlu beri sebarang alasan, hanya salahkan kerajaan, iaitu PH dan UMNO. Jadi ini sesuatu yang mudah untuk dilakukan,” katanya.

    Fauzi juga berkata, Proklamasi Orang Melayu anjuran Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak akan membawa impak yang besar pada Anwar kerana keabsahan bekas perdana menteri itu dalam kalangan orang Melayu telah terjejas.

  • Tawaran Muhyiddin: ’Bukan saya kata ‘no’ tapi perlu masa buat keputusan’’ – KJ

    Tawaran Muhyiddin: ’Bukan saya kata ‘no’ tapi perlu masa buat keputusan’’ – KJ

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar masih memerlukan masa untuk membuat keputusan mengenai tawaran sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi MPT), Bersatu.

    Beliau berkata, bukan mudah untuk membuat keputusan itu kerana bukan niatnya mahu menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    “Bila kita ada peluang kedua untuk memilih parti politik, saya tidak ambil ringan keputusan ini, bukan kerana PRN akan berlangsung bila-bila. Saya nak pilih dengan rela hati bukan nak jadi calon, sebab parti itu mewakili nilai dan pendirian politik saya.

    “Jadi saya perlukan masa, bukan saya kata ‘no’ kepada tawaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada podcast kali ini tetapi saya nak menjelaskan kepada orang ramai dan juga pendengar yang peduli tentang ini,” katanya pada siri Podcast Keluar Sekejap yang dihoskan Shahril Hamdan hari ini, lapor SINAR HARIAN.

    Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, setiap hari akan ada pandangan dan nasihat berbeza.

    “Walaupun saya ini bekas ahli politik, politik ini sebahagian daripada DNA kami.

    “Saya rasa kalau saya nak bagi jawapan pun, saya akan bagai jawapan ‘face to face’ dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebab saya rasa itu cara yang paling tertib. Kita sebagai orang politik mesti tertib, mesti jumpa orang yang beri tawaran dan bagi jawapan secara ‘face to face’ secara ‘gentleman’.

    “Saya belum lagi dalam keadaan untuk membuat keputusan, ramai yang cakap bagi pihak saya. Penganalisa politik cakap, orang lain cakap begini dan sebagainya. Lokman Noor Adam bagi nasihat kepada saya, terima kasih lah kerana bagi nasihat. Saya akan memikirkan tentang nasihat tersebut sambil saya minum jus lobak,” selorohnya.

    Tegas Khairy lagi, apa yang penting tidak ramai ahli politik yang mempunyai peluang kedua untuk memilih parti tanpa melompat.

    “Ramai yang melompat tapi saya tak lompat, saya dipecat,” katanya.

    Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu berkata, keputusan mengenai tawaran kepada bekas Menteri Kesihatan itu sudah dibincangkan bersama pimpinan tertinggi Bersatu baru-baru ini.

    Muhyiddin berkata, jika Khairy menyertai Bersatu, beliau boleh membantu membina kekuatan parti memandangkan beliau adalah tokoh politik muda yang berkaliber.

  • ADUN Rembia akan sertai Pas?

    ADUN Rembia akan sertai Pas?

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis terus berteka-teki terhadap dakwaan bakal menyertai Pas.

    “Hanya hantu takut pada bayang-bayangnya sendiri,” katanya menurut Sinar Harian.

    Jailani tidak menafikan atau mengiyakan dakwaan itu, sekali gus menguatkan lagi khabar angin mengatakan beliau adalah ADUN Barisan Nasional (BN) yang bakal ‘disantuni’ Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam waktu terdekat susulan dakwaan akan menyertai Pas.

    Sabtu lalu, media melaporkan seorang wakil rakyat BN bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) kerana beliau satu-satunya yang dilihat hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PN Melaka di Jasin Bistari.

    Mac lalu, Jailani mendakwa Datuk Seri Sulaiman Mohd. Ali melepaskan jawatan ketua menteri Melaka atas ‘paksaan’, bukannya sebab lain, termasuk masalah kesihatan dan melancarkan pentadbiran.

    Pada Pilihan RAya Umum ke-14, Jailani bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia atas tiket Pakatan Harapan (PH) namun beliau kembali ke pangkuan UMNO pada 2021 selepas meninggalkan parti itu pada 2016.

    Beliau bersama beberapa ADUN PH ketika itu, membuat keputusan menyertai kerajaan Melaka pimpinan PN, sekali gus menyebabkan kerajaan negeri diterajui PH tumbang.

    Jailani kemudian menjadi wakil rakyat bebas selepas dilucutkan keahlian Parti Keadilah Rakyat (PKR).

  • ”Jumpa itu biasalah…apa masalahnya” – Setiausaha PN Perak

    ”Jumpa itu biasalah…apa masalahnya” – Setiausaha PN Perak

    Perikatan Nasional (PN) Perak menafikan terdapat usaha untuk menukar kerajaan negeri seperti yang dihebohkan.

    Bagaimanapun Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pertukaran kerajaan bukan sesuatu luar biasa kerana pernah berlaku sebelum ini seperti mana selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Katanya, pertemuan dengan rakan-rakan ADUN juga perkara biasa yang tidak boleh dianggap sebagai perjumpaan rasmi untuk menjatuhkan kerajaan.

    “Jumpa itu biasalah, apa masalah. Saya jumpa kawan dari UMNO, DAP kita sembang macam biasa. Tapi janganlah menganggap ia bermula dari pihak kami. Siapa yang buat spekulasi dan timbulkan isu ini? Macam cerita you spark you jawab.

    “Tak timbul usaha kata ada usaha-usaha di peringkat PN nak membeli dan sebagainya. Kita tak ada duit pun, akaun kena beku, mana ada duit dah. Nak pergi pilihan raya pun tak tahulah,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Sidang Media Dewan Undangan Negeri (DUN) di Ipoh hari ini, lapor SINAR HARIAN.

    Sementara itu, Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria mengesahkan pertemuan tersebut berlaku ketika majlis serta program dan perbincangan dengan ADUN kerajaan itu berkisar tentang politik semasa di negeri ini.

    Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan bahawa kerajaan negeri Perak pimpinannya kukuh dengan sokongan 32 ADUN sekaligus menafikan desas-desus kononnya berlaku pertukaran kerajaan.

    Menerusi laporan media, Razman mendedahkan bahawa beberapa ADUN kerajaan bertemunya di sebalik khabar angin bahawa kerajaan negeri Perak akan tumbang.

    Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol bagaimana pun enggan mendedahkan nama ADUN berkenaan dan mengalu-alukan jika benar ADUN kerajaan berkenaan mahu menyokong atau bekerjasama dengan PN di Perak.

    Kerajaan negeri Perak yang ditadbir oleh parti Pakatan Harapan dan Barisan Nasional mempunyai sokongan 33 orang ADUN manakala pembangkang yang diterajui PN mempunyai 26 ADUN.

  • Loke seru penyokong PH sokong calon BN pada PRN nanti

    Loke seru penyokong PH sokong calon BN pada PRN nanti

    SETIAUSAHA Agung DAP Anthony Loke Siew Fook hari ini menyeru penyokong Pakatan Harapan (PH) untuk menyokong calon Barisan Nasional pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Beliau berkata ia adalah satu tindakan yang logik bagi ahli mana-mana parti komponen Kerajaan Perpaduan, untuk berganding bahu ketika berkempen nanti.

    “Apabila kita bekerjasama sudah tentu rakan-rakan komponen dalam sesuatu gabungan itu akan menyokong satu sama lain.

    “Sama juga pemimpin PH masa berkempen pada PRN nanti juga akan meminta penyokong-penyokong kita menyokong calon Barisan Nasional, di kawasan (kerusi) PH tidak bertanding” katanya pada sidang media di lobi Bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Maslan, Jumaat lepas, yang meminta pengundi UMNO di enam negeri yang akan menghadapi PRN untuk menyokong calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.

    Ahmad turut dilaporkan berkata, tindakan itu wajar dan ahli parti hendaklah mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan.

  • Kerajaan Perpaduan gagal selesaikan isu kos sara hidup rakyat – Muhyiddin

    Kerajaan Perpaduan gagal selesaikan isu kos sara hidup rakyat – Muhyiddin

    KERAJAAN Perpaduan gagal menunaikan janji kepada rakyat terutama dalam menyelesaikan isu kos sara hidup yang melambung tinggi.

    Ketika membuat penegasan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pemerintahan Kerajaan Perpaduan yang tidak meletakkan inisiatif terutama dalam mengendalikan masalah inflasi.

    ”Namun agak malang sekali harapan yang menjadi harapan yang sia-sia sahaja. Nampak sangat power kerajaan pusat khususnya, dan kerajaan ini tidak berupaya.

    ”Nak membuktikan kecekapan mereka untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat khususnya dalam bidang ekonomi…. harga barang-barang yang masih melambung naik, kos sara hidup yang tidak dapat terurus. Ini tidak termasuk masalah inflasi yang melanda negara sejak berapa tahun,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Aidilfitri Perikatan Nasional di SHAH ALAM malam tadi yang dihadiri lebih 40,000 orang.

    Dalam masa sama, beliau kecewa apabila Kerajaan Perpaduan tidak tampil dengan inisiatif konkrit dan jitu untuk menyelesaikan dan membantu masalah rakyat jelata di negara ini.

    Sementara itu, Muhyiddin mendakwa kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional gagal membuktikan mereka berupaya menjaga kemuliaan dan kesucian agama Islam termasuk larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut agama bukan Islam di Selangor.

    Muhyiddin juga turut menyifatkan UMNO melakukan pengkhianatan kepada ahli-ahli parti itu dan orang Melayu apabila bekerjasama tengan DAP selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    ”Ini (tindakan itu) menimbulkan kemarahan.Tak apalah ada hikmahnya. Bila orang Melayu yang mendukung mereka selama ini mulai sedar terhadap pengkhianatan tersebut,” katanya.

  • Azmin tidak berhasrat bertanding di PRN Selangor

    Azmin tidak berhasrat bertanding di PRN Selangor

    BEKAS Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak berhasrat untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    “Saya telah beritahu yang saya ingin berehat. Saya telah berkhidmat selama tujuh penggal. Jadi saya fikir kita harus memberi peluang kepada generasi muda dan kita mempunyai calon yang berpotensi dan mereka sangat komited dalam usaha itu.

    “Itu adalah keputusan saya yang saya buat enam bulan lalu sejurus selepas pilihan raya umum.. Saya berpegang kepadanya,” kata Azmin kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya Perikatan Nasional (PN) Selanggor di Shah Alam malam ini, lapor Malaysiakini.

    Azmin mengulas spekulasi bahawa beliau mungkin akan bertanding di kerusi “lebih selamat” di Morib pada PRN Selangor tidak lama lagi.

    Ketika ditanya sama ada beliau akan mempertimbangkan untuk bertanding jika diminta oleh kepimpinan Perikatan Nasional (PN), Azmin mengakui terdapat perbincangan “santai” mengenai perkara itu.

    Bagaimanapun, katanya belum ada sebarang perbincangan rasmi dibuat mengenainya.

    “Tetapi saya serahkan kepada kebijaksanaan pemimpin dalam PN,” katanya.

    Azmin berkhidmat selama satu penggal sebagai ADUN PKR di Hulu Kelang sejak 1999 diikuti tiga penggal di Bukit Antarabangsa sejak 2008.

    Beliau kini merupakan ADUN Bukit Antarabangsa di DUN Selangor dan menyandang kerusi itu selama tiga penggal.

    Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Gombak sejak 2008.

    Azmin berkata beliau difahamkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercadang membubarkan DUN pada 19 Jun dan selepas itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh pilihan raya negeri.

    Pengerusi PN Selangor itu berkata beliau yakin dan optimis dengan prestasi gabungan itu pada PRN akan datang.

    Ini kerana katanya, kerajaan persekutuan dilihat tidak menunaikan janji-janji mereka terutama berkaitan menurunkan kos sara hidup dan menangani kenaikan inflasi.

    Sebaliknya, Azmin berkata kerajaan PN telah membuktikan sebaliknya ketika menjadi kerajaan.

    “Mereka (kerajaan sekarang) banyak bercakap tetapi tanpa sebarang penyelesaian dan tindakan khusus untuk menangani masalah. Di bawah kepimpinan (perdana menteri sebelum ini) Muhyiddin Yassin dan PN pada masa yang sukar itu, kita dapat menguruskan ekonomi dan juga mempercepatkan pemulihan.

    “Saya rasa kebanyakan rakyat Selangor adalah orang yang berpendidikan tinggi, golongan pertengahan. Mereka tahu apa yang berlaku dan kami berharap mereka akan memberi kami peluang untuk kembali ke Selangor dan menguruskan ekonomi negeri dan juga kebajikan rakyat,” katanya.

    Rakyat juga katanya sudah bosan dengan “politik dendam” yang diamalkan kerajaan persekutuan, katanya.

    Sebaliknya Azmin berkata PN boleh menawarkan dasar dan inisiatif yang sudah mula laksanakan semasa gabungan itu berkuasa.

    Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata pelabur asing sedang memerhati tindak tanduk Kerajaan Madani dengan teliti.

    Azmin berkata pelabur asing tidak akan yakin dengan kerajaan di mana ada pemimpinnha didakwa di mahkamah kerana rasuah dan dilantik ke jawatan kanan dalam pentadbiran.

    “Hakikat bahawa mereka merangkul kleptokrat, pemimpin korup yang memegang jawatan kanan dalam kerajaan, bagaimana anda meyakinkan mereka untuk datang dan melabur di Malaysia?

    “Sementara itu, semasa Muhyiddin memerintah, walaupun kita ada kerjasama dengan UMNO dan BN tetapi kita tidak benarkan mana-mana kleptokrat yang menghadapi pertuduhan di mahkamah untuk memegang semua jawatan kanan ini.

    “Sebab itu saya nak tanya DAP, kenapa diam? Anda bercakap tentang tadbir urus dan rasuah dan anda membenarkan perdana menteri mempunyai rakan kongsi baru. Itu sangat salah,” katanya.

  • Nafi dakwaan ADUN kerajaan Perak tarik sokongan

    Nafi dakwaan ADUN kerajaan Perak tarik sokongan

    PENGERUSI Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Chang Lih Kang menafikan dakwaan ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan Perpaduan Perak akan mengubah sokongan.

    Sebaliknya beliau menyifatkan khabar angin itu sebagai propaganda pembangkang bertujuan mengganggu kestabilan politik, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

    “Saya rasa ini adalah satu ‘psy-war’ (perang psikologi) dan tak ada kebenaran langsung dalam kenyataan ini.

    “Biasalah, PRN nak cuba mencetuskan ketiadaan keyakinan dalam kerajaan,” katanya ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya Malaysia Madani, Pakatan Harapan (PH) Perak di Dataran Kerian Permai di Parit Buntar sini, hari ini.

    Menurutnya, tiada langsung tanda yang menunjukkan terdapat ADUN Kerajaan Perpaduan Perak hendak mengubah sokongan.

    Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi & Inovasi (Mosti) berharap pembangkang memberhentikan propaganda seumpama itu kerana ia banyak memberi kesan negatif.

    “Ia bukan sahaja memudaratkan kestabilan politik tetapi juga memudaratkan keyakinan pelabur asing untuk masuk melabur dalam negara kita,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Sementara itu, Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad sendiri telah menjelaskan perkara tersebut baru-baru ini, bahawa ia sekadar polemik untuk menggugat kestabilan kerajaan.

    Tambahan pula, katanya, Perak juga telah meluluskan Enakmen Antilompat Parti yang melarang ADUN bertukar parti.

    Terdahulu, Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria mendakwa beberapa ADUN kerajaan ada datang berjumpanya ketika khabar angin wujud gerakan untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan Perak.

    Razman bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah dan nama ADUN kerajaan yang berjumpa beliau.

  • Pemuda UMNO Johor tegur Mat Maslan selepas seru penyokong UMNO undi DAP

    Pemuda UMNO Johor tegur Mat Maslan selepas seru penyokong UMNO undi DAP

    PERGERAKAN Pemuda UMNO Johor menegur pemimpin Pusatnya selepas menyeru ahli parti itu mengundi DAP pada pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan pertengahan tahun ini.

    Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, UMNO tidak perlu menjadi jurucakap rasmi kepada parti lain.

    “Dalam UMNO menguruskan kepentingan politiknya dalam kerajaan perpaduan, tidaklah sehingga UMNO perlu menggadaikan prinsip politiknya.

    “Kebersamaan kita dalam membentuk kerajaan perpaduan, tidaklah sampai ke tahap kita pula jadi jurucakap rasmi kepada parti lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Kelmarin, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata pengundi UMNO perlu memilih calon daripada kerajaan perpaduan pada PRN tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.

    Menurut beliau, gesaan tersebut bukan atas nama parti tertentu sebaliknya atas nama kerajaan perpaduan serta titah Yang di-Pertuan Agong dalam menjaga kestabilan politik negara.

    Semalam, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching turut menyeru ahli dan penyokong DAP memberi sokongan dan undi kepada calon UMNO pada PRN di enam buah negeri nanti.