Category: Politik

  • Nurul Izzah nafi akan bertanding di PRN Pulau Pinang

    Nurul Izzah nafi akan bertanding di PRN Pulau Pinang

    BEKAS Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menafikan laporan sebuah portal berita kononnya beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang akan datang.

    Menerusi ciapan di laman sosial Twitternya hari ini, Nurul Izzah berkata, laporan tersebut adalah tidak benar.

    Mengulas lanjut, anak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, beliau kekal komited dengan tanggungjawab kini dalam mengetuai secara bersama sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan Tan Sri Hassan Marican.

    “Saya menggesa media untuk lebih bertanggungjawab dalam laporan dan tidak memberi kredit terhadap dakwaan yang tidak sahih,” katanya menerusi ciapannya yang turut disertakan dengan tanda pagar #TidakPastiJanganKongsi.

    Terdahulu awal hari ini, sebuah portal berita melaporkan, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR dijangka bertanding dalam PRN Pulau Pinang dan akan dilantik ke jawatan penting sekiranya Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.

    Memetik sumber yang tidak dinamakan, laporan berita portal itu melaporkan, penyertaan Nurul Izzah dalam PRN itu boleh meningkatkan peluang partinya untuk mengekalkan kerusi di DUN dan membantu mendapatkan undi daripada golongan wanita.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Nurul Izzah gagal mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh selepas tewas kepada calon pas, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan dengan majoriti 5,272 undi, sekali gus mengakhiri penguasaan keluarga Anwar di kerusi tersebut sejak 40 tahun lalu.

  • Zahid tak buat ‘homework’ – Khairil Nizam

    Zahid tak buat ‘homework’ – Khairil Nizam

    PAS menyifatkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak buat “homework” atau kerja rumah dalam menjawab isu pelawaan terhadap parti Islam itu bagi menyertai kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Ketua Perangan Pas Khairil Nizam Khirudin dalam satu kenyataan berkata, hakikatnya Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang terlebih dahulu menjemput mereka menyertai kerajaan campuran kerana kedudukan amat genting ketika ini dan UMNO tidak lagi mendapat sokongan orang Melayu.

    “Zahid perlu berhenti daripada menipu dan terus menipu ahli Umno mahupun rakyat. Penipuan terbesarnya adalah propaganda tidak bersama DAP dan Anwar tetapi akhirnya bersama parti yang dibenci ahli UMNO itu sejak sekian lama,” katanya.

    Ahad lalu, Ahmad Zahid mengecam kenyataan Presiden Pas Abdul Hadi Awang yang mendakwa “sesetengah orang“ mencadangkan parti Islam itu untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan.

    “(Hadi) jangan terlalu sepenuh hati hingga menyangka (Pas) akan ditawarkan menyertai kerajaan perpaduan,” kata Ahmad Zahid.

    Pada 15 Mei, Kit Siang mencadangkan supaya kerajaan campuran menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan Pas menjelang pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

    Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu BERITA HARIAN, beberapa pihak menghubungi dan menemui bagi bagi tujuan sama.

    Tuan Ibrahim berkata tawaran disampaikan wakil kerajaan yang bertemu dengan beliau sendiri.

    “Pertama saya sahkan apa yang dinyatakan oleh Presiden, bahkan mereka (wakil Kerajaan Perpaduan) juga bertemu dengan saya menyampaikan tawaran itu.

    “Namun kami nyatakan pendirian kekal bersama Perikatan Nasional (PN) sebagaimana janji semasa kempen, dan kami tidak akan berbohong dengan pengundi,” katanya.

    Ketua Perangan Pas Khairil Nizam Khirudin dalam satu kenyataan berkata, hakikatnya Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang terlebih dahulu menjemput mereka menyertai kerajaan campuran kerana kedudukan amat genting ketika ini dan UMNO tidak lagi mendapat sokongan orang Melayu.

    “Zahid perlu berhenti daripada menipu dan terus menipu ahli Umno mahupun rakyat. Penipuan terbesarnya adalah propaganda tidak bersama DAP dan Anwar tetapi akhirnya bersama parti yang dibenci ahli Umno itu sejak sekian lama,” katanya.

    Ahad lalu, Ahmad Zahid mengecam kenyataan Presiden Pas Abdul Hadi Awang yang mendakwa “sesetengah orang“ mencadangkan parti Islam itu untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan.

    “(Hadi) jangan terlalu sepenuh hati hingga menyangka (Pas) akan ditawarkan menyertai kerajaan perpaduan,” kata Ahmad Zahid.

    Pada 15 Mei, Kit Siang mencadangkan supaya kerajaan campuran menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan Pas menjelang pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

    Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu BERITA HARIAN, beberapa pihak menghubungi dan menemui bagi bagi tujuan sama.

    Tuan Ibrahim berkata tawaran disampaikan wakil kerajaan yang bertemu dengan beliau sendiri.

    “Pertama saya sahkan apa yang dinyatakan oleh Presiden, bahkan mereka (wakil Kerajaan Perpaduan) juga bertemu dengan saya menyampaikan tawaran itu.

    “Namun kami nyatakan pendirian kekal bersama Perikatan Nasional (PN) sebagaimana janji semasa kempen, dan kami tidak akan berbohong dengan pengundi,” katanya.

  • PRN : Tun Mahathir seru orang Melayu keluar mengundi

    PRN : Tun Mahathir seru orang Melayu keluar mengundi

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi amaran kepada pengundi Melayu terhadap kelesuan politik, sambil menambah hasrat untuk tidak menunaikan tanggungjawab menjelang pilihan raya di enam negeri tahun ini bermakna mereka memilih calon “berniat jahat”.

    “Ramai orang Melayu yang berpendapat politik membosankan. Oleh itu apa gunanya mengundi dalam pilihan raya. Sama ada politik bosan atau tidak, hakikatnya ialah undi menentu siapa jadi kerajaan.

    “Jika orang Melayu tidak undi, yang akan jadi kerajaan ialah orang yang mendapat undi. Dan undi ini datang dari pengundi yang telah disogok oleh parti dan calon yang berhasrat mencari kekayaan dengan menjadi kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

    Mahathir yang dua kali memimpin negara selama 24 tahun, berkata tidak mengundi adalah sama dengan mengundi calon yang bergantung kepada sogokan.

    “Kita sudah lihat bagaimana calon yang tidak baik apabila menang dan mendirikan kerajaan telah curi berbilion ringgit duit kerajaan, merosakkan parti dan pemerintah dan menjadi Malaysia sebagai ‘kleptokrasi’ iaitu negara yang diperintah oleh pencuri dan penjenayah.

    “Mereka yang bergantung kepada sogokan bukanlah calon yang bersih. Jika mereka mendirikan kerajaan, mereka akan salah guna kuasa dan mencuri.”

    Mahathir berkata mereka yang mahukan kerajaan yang baik harus mengundi calon yang “bersih”, sambil menambah hanya pentadbiran yang dibentuk oleh pemimpin sedemikian akan berkhidmat demi kepentingan bangsa, negara dan agama.

    “Jangan bosan dan tidak undi. Tidak undi bermakna mengundi calon yang berniat jahat, yang akan rosakkan masa depan pengundi,” katanya.

    Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu tahun ini.

  • ‘’Bukan saya buat tawaran kepada Pas’’ – Anwar

    ‘’Bukan saya buat tawaran kepada Pas’’ – Anwar

    DATUK SERI Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tawaran kepada Pas untuk menyertai kerajaan perpaduan bukan datang daripadanya.

    “Tak tahu (dari) siapa. Tidak dari saya, (mahupun) pimpinan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar Fikrah Siddiq Fadzil di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur hari ini, lapor FMT.

    Beliau berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan pun oleh kepimpinan PH mahupun BN.

    Sabtu lepas, Presiden Pas Hadi Awang mendedahkan beliau beberapa kali dihubungi “orang tertentu” yang menawarkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.

    Susulan itu, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris mendakwa tawaran itu “strategi” untuk memecahbelahkan PN dalam menghadapi PRN akan datang.

    Sementara itu, Anwar menggesa Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor merujuk perjanjian Perlembagaan Persekutuan berhubung sempadan Kedah dan Pulau Pinang.

    Ia susulan Sanusi dilaporkan berkata Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.

    Sanusi turut mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

    Anwar  berkata, walaupun ada perjanjian 100 tahun dulu atau 1,000 tahun dulu, ia adalah perjanjian mutakhir, pertubuhan Persekutuan dalam Melayu, Malaysia dan itu jelas.

    “Saya bila ulas ini berdasarkan ulasan peguam negara yang cukup keras iaitu menghormati perjanjian perlembagan yang diperkenankan oleh semua Raja-Raja Melayu termasuk Sultan Kedah,” katanya.

  • Isu dana judi satu tuduhan berat dibuat PMX tanpa bukti: KJ

    Isu dana judi satu tuduhan berat dibuat PMX tanpa bukti: KJ

    TINDAKAN Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berterusan memainkan isu dana judi walaupun sudah ada jawapan di Parlimen diberikan berhubung isu tersebut disifatkan sebagai satu tuduhan yang berat, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

    Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata Perdana Menteri (PMX) yang mempertahankan dakwaannya sebelum ini sebagai tidak wajar memandangkan sehingga hari ini tidak ada bukti mahu pun siasatan dijalankan berhubung isu dana judi yang kononnya diterima Perikatan Nasional (PN).

    “So memang tuduhan yang berat setakat ini tidak ada bukti… jika saya berada di tempat PN pun saya rasa marah. Sebab terus menjadi kiasan, terus menjadi sindiran, terus menjadi satu bentuk dakwaan sebelum PRN (Pilihan Raya Negeri).

    “Kalau kenyataan pertama itu dibuat dua hari sebelum Pilihan Raya Padang Serai, ini sekali lagi walaupun menjawab kepada soalan daripada Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Parlimen daripada Pas, isu ini timbul balik beberapa minggu sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) di beberapa negeri akan dibubarkan,” katanya semasa wawancara atas talian Keluar Sekejap.

    Khairy yang dipecat UMNO sebelum ini berkata langkah berpolitik yang digunakan Anwar tidak digemarinya kerana hanya membuat tuduhan tanpa mempunyai bukti.

    “Bagi saya, saya tidak suka cara politik beginilah. Kalau ada accusation (tuduhan), buat siasatan dan bagi tahu apakah hasil siasatan tersebut?“ katanya lagi lapor Agendadaily.

    Kenyataan Khairy itu juga disokong bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang turut serta dalam program tersebut.

    Anwar kekal dengan pendirian yang dikeluarkan sebelum ini semasa menuduh PN menggunakan wang judi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Anwar berkata tidak akan mengeluarkan dakwaan berhubung dana judi sekiranya tidak asas dan tidak akan menarik balik kenyataan, malah mengalu-alukan sekiranya PN mahu meneruskan saman terhadapnya.

    Isu berkenaan berbangkit selepas Anwar ketika sidang medianya pada 5 Disember tahun lalu, membayangkan sebahagian dana pilihan raya beberapa parti Melayu dan Islam datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan cabutan khas judi.

    Sementara itu, dalam jawapan bertulis di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, memberitahu siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat membuktikan dakwaan parti PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU-15 lalu.

    Susulan kenyataan itu, pemimpin pembangkang bertali-arus mendesak Anwar membuat permohonan maaf atas dakwaannya sebelum ini.

  • UMNO akan hilang separuh undi Melayu – KJ

    UMNO akan hilang separuh undi Melayu – KJ

    PELUANG UMNO untuk meraih sokongan pengundi khususnya daripada orang Melayu dalam  di 6 negeri terus menjadi tumpuan. 

    Terbaru, bekas Ketua Pemuda UMNO,  Khairy Jamaluddin meramalkan UMNO akan hilang separuh sokongan undi Melayu pada PRN akan datang jika tidak menghapuskan persepsi buruk terhadap DAP yang “didoktrin” sekian lama.

    Katanya,  kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mengenai “undi DAP” adalah sensitif sehingga mencetuskan kemarahan dan penolakan dalam kalangan ahli parti itu.

    “Pandangan dan perasaan orang UMNO bukan terhadap satu kaum, soal Melayu dan Cina, tetapi terhadap parti DAP itu sendiri, yang selamanya ‘didoktrin’ dalam Umno sebagai musuh atas sebab-sebab tertentu.

    “Kalau benda ini tidak dibendung, ramai penyokong UMNO akan memberi undi kepada Perikatan Nasional (PN) dalam PRN nanti. Sekurang-kurangnya 50% daripada mereka yang selama ini menyokong Umno,” katanya dalam episod terbaru podcast “Keluar Sekejap” bersama Bekas Ketua Penerangan UMNO  Shahril Hamdan.

    Terdahulu, Ahmad meminta ahli UMNOmenganggap calon DAP pada PRN di enam negeri sebagai mewakili kerajaan perpaduan, bukan atas nama parti sahaja.

    Kenyataan beliau ditegur oleh  Ahli MKT UMNO, Isham Jalil yang memberi amaran sokongan kepada UMNO akan terhakis jika pemimpinnya terus mendesak ahli mengundi calon DAP pada PRN.

    Bagaimanapun, MKT UMNO pada 27 Mei lalu menerima penjelasan Ahmad berhubung kenyataannya menggesa ahli parti itu mengundi DAP.

    Ahmad memberi penjelasan dia tidak pernah menyebut “DAP”, sebaliknya meminta akar umbi menyokong calon kerajaan perpaduan.

    Dalam perkembangan yang sama Khairy berkata Pakatan Harapan (PH) dinilai sebagai lebih berguna kepada Barisan Nasional (BN) berbanding BN kepada PH.

    “Maksudnya pengundi PH yang tidak akan sokong calon BN jumlahnya lebih kecil daripada pengundi UMNO yang tidak akan sokong calon daripada PH. Sebab PH tak akan buang undi kepada PN, kebanyakan penyokong mereka sudah tentu bukan Melayu dia tidak akan beri undi kepada Pas, Bersatu. Mereka akan campak kepada UMNO atau dia tak akan keluar mengundi,” katanya.

    Namun, katanya penyokong UMNO ada kemungkinan memberi undi kepada PN daripada PH.

    Shahril yang senada dengan Khairy berkata angka peralihan undi itu akan naik lagi apabila wujudnya ketidaksefahaman dalam kalangan UMNO.

  • Kelompok ‘protes senyap’ dijangka tolak kerjasama PH-BN, kata Idris

    Kelompok ‘protes senyap’ dijangka tolak kerjasama PH-BN, kata Idris

    WALAUPUN pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri dijangka sengit, namun silent protest (protes senyap) menolak parti PH dan UMNO dalam kalangan rakyat dijangka berlaku.

    Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, berkata walaupun PH dan BN kini telah bersatu tidak sebagaimana Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, namun gabungan itu tidak boleh ke mana kerana sokongan rakyat terhadap mereka sebelum ini akan beralih arah.

    “Untuk mendapatkan sokongan orang Melayu, PH masih gagal dan penyokong BN pula terutama sekali daripada UMNO akan membuat ‘silent protest’ terhadap calon daripada gabungan itu kerana marah dengan kepimpinan tertinggi parti kerana adakan kerjasama dengan DAP,” katanya lapor HarakahDaily.

    Katanya, kalau dahulu UMNO disanjung kerana perjuangannya adalah ‘a…ba…ta (agama, bangsa dan tanah air), namun kini tiada lagi kerana telah bersepakat dengan DAP.

    “Bukan itu sahaja, pemimpin parti itu turut menyeru supaya ahli dan penyokong mengundi calon DAP pada PRN akan datang dan ini memberi kemarahan pada penyokong UMNO itu sendiri,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai.

    Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, PRN dijangka diadakan selepas Hari Raya Aidiladha selepas jemaah haji pulang ke tanah air.

    Bagaimanapun katanya tidak dapat ditolak PRN boleh diadakan selepas beberapa hari sambutan Hari Raya Korban dan kemungkinan pada hari bekerja.

    “Sekiranya PRN diadakan pada hari bekerja ia boleh menyukarkan pengundi yang tinggal jauh balik mengundi kerana mereka sudah kembali ke kampung ketika sambutan hari raya.

    “Itu hanya kemungkinan yang boleh berlaku, namun kita berharap tarikh PRN diadakan pada hari cuti. Apa pun perkara itu di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya SPR,” katanya.

  • Tuan Ibrahim pula dedahkan Pas terima tawaran sertai Kerajaan Perpaduan

    Tuan Ibrahim pula dedahkan Pas terima tawaran sertai Kerajaan Perpaduan

    ISU tawaran kepada Pas menyertai Kerajaan Perpaduan ‘semakin panas’ apabila seorang lagi pemimpin kanan parti itu mengesahkan perkara itu.

    Ketika mendedahkan perkara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu BERITA HARIAN, beberapa pihak menghubungi dan menemui bagi bagi tujuan sama.

    Tuan Ibrahim berkata tawaran disampaikan wakil kerajaan yang bertemu dengan beliau sendiri.

    “Pertama saya sahkan apa yang dinyatakan oleh presiden, bahkan mereka (wakil Kerajaan Perpaduan) juga bertemu dengan saya menyampaikan tawaran itu. Namun kami nyatakan pendirian kekal bersama Perikatan Nasional (PN) sebagaimana janji semasa kempen, dan kami tidak akan berbohong dengan pengundi,” katanya.

    Sebelum ini Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan tawaran menyertai Kerajaan Perpaduan itu muncul kerana Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR menyedari kedudukannya tidak kukuh, apatah lagi jumlah kerusi Melayu parti berkenaan tidak sebanyak Pas.

    “Ada orang hubungi saya, beberapa orang ajak berjumpa dengan tawaran-tawaran supaya Pas menyertai kerajaan kerana jumlah PAS paling besar iaitu 43 kerusi.

    “PKR 30 sahaja, dalam keadaan itu 19 kerusi PKR Melayu, DAP tiga orang Melayu, kerajaan didominasi oleh bukan Melayu,” kata Abdul Hadi.

    Mengulas lanjut,  Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, beliau melihat tawaran itu hadir kerana data mengesahkan sokongan pengundi Melayu kepada PN jauh mengatasi PH.

    “Itupun dalam situasi rakyat ditipu dengan janji BN tidak akan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP, demikian juga janji PH tidak akan bersama BN.

    “Bahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kalau harapkan untuk melihat gabungan dengan BN , sila cari Presiden lain dari beliau. Ini kenyataan semasa kempen,” katanya.

  • Gerakan jangka tanding 30 kerusi pada PRN

    Gerakan jangka tanding 30 kerusi pada PRN

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dijangka bertanding kira-kira 30 kerusi dalam PRN di empat negeri, kata Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau.

    “Pemilihan kerusi Gerakan bagi pilihan raya negeri (PRN) hampir 90 peratus siap, dengan kira-kira 30 kerusi itu terletak di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

    “Bagi Kelantan dan Terengganu, masih dalam rundingan PN ketika ini.

    “Kami (Gerakan) tidak kisah sekiranya tidak bertanding di dua negeri tersebut kerana matlamat utamanya untuk memastikan PN menang ketika bertanding nanti,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Beliau berharap Gerakan mendapat kemenangan di Pulau Pinang kerana ia mahu menjadi platform suara rakyat negeri terbabit.

    Sebelum ini, Lau yang juga Timbalan Pengerusi PN dilaporkan berkata, rundingan pengagihan kerusi itu penting kerana persiapan dan gerak kerja perlu dijalankan jentera parti komponen PN.

    Berdasarkan pengalaman dalam pilihan raya sebelum ini, katanya, rundingan mengenai PRN, termasuk agihan kerusi, akan dijalankan secara berterusan sehingga hari penamaan calon.

  • Tawar Pas sertai kerajaan perpaduan strategi pecah belah PN

    Tawar Pas sertai kerajaan perpaduan strategi pecah belah PN

    KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, tawaran kepada Presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang menyertai kerajaan perpaduan dianggap strategi untuk memecahbelahkan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    “Parti dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan cuba sedaya upaya memisahkan parti komponen PN.

    “Itu strategi beliau (Anwar). Tetapi apabila Hadi ‘sendal’ dengan prinsip, sukar sikit nak masuk,” katanya memetik laporan FMT.

    Beliau mengulas pendedahan Hadi semalam bahawa beliau beberapa kali dihubungi orang tertentu menawarkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.

    Razali berkata, beliau tiada masalah jika Hadi mahu berjumpa dengan Anwar untuk membincangkan kerjasama, selagi tidak melanggar prinsip PN.

    “Sebagai ketua parti, memang beliau layak jumpa sesiapa pun…sebab (dari segi) politik, Hadi subjektif dan (tindakannya) penuh demokrasi,” katanya.

    Kata Razali, tindakan DAP yang turut menganjurkan kerjasama dengan Pas juga dilihat mempunyai agenda sama, iaitu memecahbelahkan PN.

    Sebelum ini, veteran DAP Lim Kit Siang mencadangkan kerajaan perpaduan menawarkan kerjasama dengan Pas pada PRN akan datang.

    Awal bulan ini, pertemuan Anwar dengan Ahli Jawatankuasa Pas, Nik Abduh Nik Aziz mencetuskan spekulasi akan wujud kerjasama antara parti itu dan kerajaan perpaduan.

    Anwar juga berkata, kerajaan sedia bekerjasama dengan kerajaan Kelantan bagi menyelesaikan masalah bekalan air yang membelenggu negeri itu beberapa dekad.