Category: Politik

  • Pakaian tradisi Melayu: ‘’DAP perlu minta maaf kepada MCA’’ – Lian Ker

    Pakaian tradisi Melayu: ‘’DAP perlu minta maaf kepada MCA’’ – Lian Ker

    NAIB Presiden MCA Ti Lian Ker menggesa DAP memohon maaf kerana  pernah mengecam parti itu ketika mereka mengenakan pakaian istiadat Melayu pada masa lalu.

    Gesaan itu susulan laporan bekas Pengerusi DAP, Lim Kit Siang akan menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri esok.

    Gambar Lim mengenakan songkok ketika raptai acara turut disebarkan di media sosial. Ti turut memuat naik gambar itu dalam hantarannya di Facebook.

    “Saya rasa bangga ‘Tan Sri Lim’ akhirnya memakai songkok sebagai pakaian protokol dan istiadat. Saya masih ingat lagi ADUN Triang (dari DAP) Leong Ngah Ngah telah enggan memakai pakaian seragam ADUN semasa istiadat dan songkok atas alasan larangan parti semasa Kit Siang jadi Setiausaha Agung.

    “Secara terbuka saya ingin memohon pada DAP untuk memohon maaf pada MCA dan semua ahli MCA yang dipanggil sebagai ‘anjing UMNO’ dan pengkhianat kerana menerima adat resam dan pakaian seragam yang berlandaskan tradisi Melayu,” katanya.

    Kit Siang akan menerima darjah kebesaran itu sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang ke-64.

    Ahli politik berusia 82 tahun itu bakal menjadi pemimpin DAP pertama yang dianugerahkan gelaran Tan Sri.

     Ti berkata jika DAP boleh memohon maaf kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan UMNO sebelum ini, parti itu juga boleh berbuat demikian dengan MCA.

    “Mengapa DAP tidak meminta maaf kepada MCA dan MIC yang menjadi sasaran serangan utama mereka kerana bekerjasama dengan UMNO demi mencari titik pertemuan masyarakat kita yang pelbagai. Semangat meminta maaf ini adalah cara terbaik ke arah penyatuan dan pengukuhan kerajaan perpaduan BN/PH ke arah pilihan raya negeri (PRN).

    Over to you, Tan Sri Lim Kit Siang dan DAP,” katanya lagi.

  • PRN Selangor: PH tawar 10 tapi BN minta 17 kerusi

    PRN Selangor: PH tawar 10 tapi BN minta 17 kerusi

    PAKATAN Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Selangor masih dalam proses rundingan mengenai pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Rundingan masih berjalan selepas BN meminta PH menambah jumlah kerusi yang ditawarkan sebelum ini.

    Beberapa sumber PH dan BN memberitahu Malaysiakini, PH menawarkan 10 kerusi kepada BN.

    Namun, gabungan itu meminta PH Selangor yang diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari agar menambahkan sekurang-kurangnya tujuh lagi kerusi menjelang PRN yang diramal akan diadakan pada hujung Julai ini.

    “Setelah beberapa pusingan rundingan, PH menawarkan 10 kerusi termasuk empat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi UMNO pada PRU14,” kata sumber daripada PH.

    Difahamkan, selain empat kerusi yang disandang oleh UMNO, PH menawarkan enam kerusi yang masing-masing dimenangi oleh Pas dan lima daripada enam kerusi dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kecuali DUN Dengkil.

    Namun, beberapa sumber BN berkata, gabungan itu tidak berpuas hati dengan tawaran 10 kerusi.

    “Kami nampak angka 10 itu sangat kecil. Kalau boleh kami sasar 17 termasuk MCA dan MIC.

    “Permintaan tujuh kerusi tambahan itu termasuk Sungai Kandis, Kuala Kubu Bharu, Dengkil dan Sentosa.

    “MCA menyasarkan kerusi Kuala Kubu Bharu yang kini disandang oleh DAP.

    “MIC mahu salah satu daripada DUN Sentosa atau Dengkil,” kata satu sumber UMNO.

    Bagi DUN Sungai Kandis, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz disebut-sebut akan bertanding di kerusi itu yang dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zawawi Ahmad Mughni pada pilihan raya kecil 2018.

    Malaysiakini telah menghubungi Pengerusi BN Selangor, Megat Zulkarnain Omardin dan pejabat Amiruddin untuk mendapatkan komen.

    Pada PRU14, gabungan PH terdiri daripada PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Bersatu memenangi 51 kerusi daripada 56 yang ditandingi.

    UMNO menang empat kerusi manakala Pas menang satu DUN di Sijangkang.

    Namun, pada 2020, Bersatu yang menang enam DUN bertindak keluar daripada PH menerusi Langkah Sheraton yang menyaksikan keruntuhan kerajaan pusat pimpinan PH.

    Bekas timbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga ADUN Bukit Antarabangsa bertindak menyertai Bersatu bersama-sama ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.

    Sementara itu, ADUN Sementa, Daroyah Alwi dan ADUN Lembah Jaya Haniza Mohamed Talha keluar PKR dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang dilihat sebagai parti serpihan PKR.

    Bersatu turut kehilangan tiga wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor selepas ADUN Jeram Mohd. Shaid Rosli, Adun Kuang Sallehudin Amiruddin dan ADUN Batang, Harumaini Omar menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Namun, kerusi Batang Kali diisytihar kosong pada Februari 2023 oleh DUN Selangor berikutan wakil rakyat berkenaan gagal hadir diri tanpa kebenaran, semasa persidangan dewan melebihi enam bulan, iaitu sejak 28 Julai tahun 2021.

    Dalam pada itu, sumber UMNO berkata, beliau menjangkakan kemungkinan terdapat kelonggaran dalam polisi ‘yang menang dikekalkan’.

    “Saya percaya, PH tidak boleh terlalu keras dengan polisi bahawa parti yang menang kerusi DUN pada PRU14 akan mengekalkan kerusi tersebut.

    “Ini mungkin akan menyukarkan gabungan itu khususnya PKR dan Amanah sekiranya pemilihan negeri Melaka dan Johor diadakan lebih awal daripada PRU16.

    “Ini kerana PKR gagal menang sebarang kerusi di PRN Melaka dan menang satu kerusi di Johor. Maka, polisi ‘yang menang dikekalkan’ tidak boleh digunakan di kedua-dua negeri itu.

    “Mungkin rundingan peringkat negeri berbeza. Tetapi, keputusan di pucuk pimpinan PH dan BN adalah muktamad. Dan kami harap akan ada kerusi dimenangi PH akan dibahagikan kepada BN pada PRN Selangor,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • ‘Pemuda UMNO sebulat suara tak jemput parti lain’

    ‘Pemuda UMNO sebulat suara tak jemput parti lain’

    KEPUTUSAN tidak menjemput wakil mana-mana parti ke Perhimpunan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 merupakan keputusan diambil bersama oleh semua barisan Exco dan Ketua Pemuda UMNO negeri.

    Ketua Pemudanya, Dr. Muhamad Akmal Salleh berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara menerusi undian yang telah dibuat.

    “Ini ruang untuk kita perjelaskan, meluah dan perbetulkan apa yang menjadi tanda tanya dalam kalangan adik beradik kita.

    “Selesaikan hal adik beradik kita dahulu sebelum menjemput orang luar datang dan masuk ke rumah kita,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.

    Semalam, Dr. Muhamad Akmal menyatakan Pemuda UMNO tidak akan menjemput parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ke PAU 2023 bagi sayap pemuda yang akan berlangsung minggu depan.

    Dengan maksud tersirat, Dr Muhamad Akmal berkata, pihaknya mahu ‘memperbetulkan’ dulu apa yang berlaku di ‘rumahnya’ sebelum menjemput mana-mana parti

    Perhimpunan agung tersebut akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) bermula 7 hingga 10 Jun ini.

    Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kapar, Affifi Aris berkata, beliau sentiasa bersama akar umbi menyambut baik kenyataan Dr. Muhamad Akmal yang mahu selesai hal ‘adik beradik’ terlebih dahulu.

    Ujarnya, ahli akar umbi mesti diperjelaskan dengan baik sebab utama membentuk kerajaan bersama dengan Pakatan Harapan dan parti-parti lain.

    “Menyambut titah Yang di-Pertuan Agong adalah tanggungjawab utama UMNO sebagai parti yang mendokong dan mempertahankan institusi orang Melayu.

    “Namun membentuk sebuah kerajaan pada hari ini tidak bermakna ahli parti setuju dengan jajaran politik baru sehingga berkerjasama dalam pilihan raya,” jelasnya.

    Justeru, beliau berkata, ahli parti mesti diberi penjelasan mengenai naratif baharu tersebut tentang sebab bersama Kerajaan Perpaduan dengan membawa kepada jajaran politik baru dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Jelas beliau, semasa menghadapi PRN Melaka dan Johor, UMNO-Barisan Nasional (BN) memilih ‘Go Solo’ (bergerak sendirian) namun kemenangan tetap memihak kepada gabungan tersebut.

    Katanya, tidak timbul situasi UMNO-BN bertanding bersama parti yang membentuk kerajaan Persekutuan pada masa itu.

    “Saya harap kepimpinan Ketua Pemuda UMNO wajar menjadi juara dalam menyelesaikan konflik dalam akar umbi terutamanya ahli UMNO.

    “Kita mahukan kesepakatan dalam kepimpinan pemuda dan bukan menjadi pak turut dengan hanya ‘angguk-angguk, geleng-geleng’,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • PAS sedia beri beberapa kerusi di Terengganu kepada BERSATU

    PAS sedia beri beberapa kerusi di Terengganu kepada BERSATU

    PAS Terengganu bersedia memberi laluan kepada BERSATU untuk bertanding di beberapa kerusi di negeri itu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Besar Terengganu, berkata pembahagian kerusi antara PAS dan BERSATU bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu akan diputuskan dua hari lagi.

    Katanya, setakat ini pihak terbabit masih dalam perbincangan berhubung pengagihan kerusi itu.

    “Insya-Allah akan ada kerusi bagi rakan BERSATU untuk bertanding di Terengganu, namun setakat ini kita masih belum tamat lagi perbincangan kerusi.

    “Dalam dua hari lagi kita akan mengadakan perbincangan bersama kalangan pimpinan (kedua-dua parti) untuk penentuan kerusi yang ingin ditandingi,” katanya pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman KMI Healthcare dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis hari ini.

    Terengganu antara enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini, selain Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

    Sementara itu, beliau berkata, pihaknya tiada masalah berhubung kesediaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan menyifatkan hal itu sebagai satu nilai tambah buat PRN nanti.

    “Apa yang penting adalah keinginan yang mahu dicapai oleh PN, sama ada PAS, BERSATU dan GERAKAN adalah untuk menggembleng sokongan sebanyak mungkin dalam kalangan rakyat bukan saja Melayu Islam bahkan daripada komuniti lain,” katanya.

    Mengulas isu penjualan tanah kerajaan negeri bernilai RM29.3 juta kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ahmad Samsuri berkata, ia dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

    “Saya pun tidak faham kenapa perkara ini menjadi isu apabila proses yang dijalankan berhubung jual beli itu dibuat mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada di Terengganu,” katanya.

    Sebelum ini tular isu penjualan tanah seluas 11,299 meter persegi berdekatan bangunan Badan Perhubungan PAS Terengganu bernilai RM29.3 juta didakwa dijual kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa) dengan bayaran premium RM500,000.

    Dilaporkan, penjualan itu tidak disokong Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan bertentangan dengan harga premium yang sepatutnya dikenakan iaitu sebanyak RM5.87 juta, tetapi didakwa dikurangkan kerajaan negeri kepada RM500,000 saja.

  • ‘DUN Selangor bubar 23 hari dari sekarang’ – MB Selangor

    ‘DUN Selangor bubar 23 hari dari sekarang’ – MB Selangor

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Selangor akan berakhir dan dibubarkan 23 hari dari sekarang.

    Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sekiranya tiada pengumuman pembubaran dibuat maka DUN akan terbubar secara automatik pada 25 Jun ini selepas tempoh penggal berakhir.

    “DUN akan terbubar dalam masa terdekat. Kita tiada masa kerana 25 Jun ini adalah tarikh maksimum.

    “Ini bermakna, kita hanya boleh tangguh selama 23 hari dari sekarang. Selepas tarikh tersebut, pasti akan terbubar,” katanya ditemui pada Program Sumbangan Korban Negeri Selangor 2023 (PSKNS) di Pusat Konvensyen MBSA di Shah Alam hari ini.

    Bagaimanapun katanya, tarikh sebenar pembubaran itu perlu mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris.

    “Saya tidak berada di posisi untuk mengumumkan tarikh tersebut kerana perlu mendapat perkenan Tuanku terlebih dahulu.

    “Saya kini sedang menunggu perkenan Tuanku untuk sesi menghadap (menentukan tarikh bubar). Minggu lepas saya telah menghadap dan Tuanku juga sedang berkira-kira tarikh pembubaran berkenaan,” katanya lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu beliau berkata, tindakan beberapa Exco Kerajaan Negeri yang berkongsi status mengosongkan pejabat adalah perkara biasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Menurutnya, langkah tersebut bagi membolehkan penumpuan terhadap PRN selepas pembubaran DUN yang akan dibuat pada bila-bila masa dari sekarang.

    “Itu perkara biasa apabila nak habis penggal. Selepas ini, tugas mereka pun adalah untuk menjalankan perkara yang telah dirancang dan tidak ada polisi baharu (akan dibuat).

    “Saya penggal lepas pun seperti itu. Apabila tahu DUN akan bubar, kita siap sedia kemas.

    “Jika dilantik jadi Exco semula belum tentu memegang portfolio yang sama. Jadi banyak perkara perlu dibuat dan dikemas selain mengumpul laporan-laporan yang telah dibuat. Ini adalah perkara lazim,” katanya mengulas tindakan bebera Exco yang dilihat telah mula mengemas pejabat untuk dikosongkan.

    Antaranya pejabat Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Rodziah Ismail dan Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim.

  • ‘Walaun’ umpan askar siber, PN dinasihat tidak termasuk jerat – KJ

    ‘Walaun’ umpan askar siber, PN dinasihat tidak termasuk jerat – KJ

    PEMBANGKANG khususnya dalam kalangan gabungan Perikatan Nasional (PN) diingatkan supaya tidak termakan ‘umpan’ yang ditabur oleh askar siber atau ‘cybertrooper’.

    Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan, gelaran-gelaran yang diberikan untuk menggambarkan pemimpin atau penyokong PN melampaui batas kesopanan orang Melayu.

    “Orang PH (Pakatan Harapan) sendiri sekarang ini nak tegur dia punya cybertrooper supaya tidak terlalu agresif. Awak tahu apa mereka gelar anda ‘walaun’.

    “Dan saya rasa orang Melayu bukan macam inilah, you jangan makan umpan itulah,” katanya menerusi podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dikendalikannya bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

    Pada sesi kali ini, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal diundang sebagai tetamu.

    Dalam pada itu, Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ mengakui memiliki satu sudut istimewa atau ‘soft spot’ bila bercakap tentang Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Namun begitu, beliau berharap Pengerusi PN berkenaan akan menerima apa sahaja keputusannya selepas ini khusus melibatkan masa depan politik.

    “Saya (ada) DNA sebagai ahli politik, dan akhirnya nanti saya mahu kembali ke politik sama ada sekarang atau kemudian.

    “Saya akan bertemu beliau dalam masa terdekat, apa saja keputusan saya harap tan sri akan terima dan parti Bersatu akan terima,” katanya lagi.

    Baru-baru ini Muhyiddin menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu kepada KJ jika beliau mahu menyertai parti itu.

    Muhyiddin mendedahkan, tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas dipecat UMNO.

  • Belum ada kerjasama rasmi dengan Tun M – Razali

    Belum ada kerjasama rasmi dengan Tun M – Razali

    KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberitahu bahawa belum ada rancangan bekerjasama secara rasmi dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, khasnya untuk pilihan raya negeri (PRN).

    Jelas Datuk Razali Idris, kerjasama pemimpin parti dengan bekas Perdana Menteri itu terhad kepada Proklamasi Melayu setakat ini dan tidak lebih daripada itu.

    “Kita sokong sajalah ‘dari luar’ dan kita sokong penyatuan Melayu. Itulah kerjasama yang saya difahamkan oleh parti Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (presiden parti) dengan Mahathir untuk saat ini,” katanya kepada FMT.

    “Rakyat (pun) mahu tengoklah (Mahathir dan Muhyiddin bekerjasama lagi) sebab dia dah bergaduh sehingga terbentuknya kerajaan, sehingga Mahathir meletak jawatan (sebagai perdana menteri pada 2020).

    “Jadi, dia padam semua krisis, hanya untuk penyatuan Melayu. Jadi kita bekerjasama untuk itu dulu, tidak lebih daripada itu.”

    Mahathir dilaporkan sedia bekerjasama dengan Muhyiddin sekali lagi, dengan syarat kedua-duanya boleh mencapai kata sepakat mengenai objektif yang boleh dicapai bersama.

    Razali sebelum ini berkata, belum masanya untuk dua bekas perdana menteri itu berdamai, walaupun ‘hari itu akan tiba’.

    Razali antara tiga pemimpin Bersatu yang menandatangani Proklamasi Melayu, bersama Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ahli Majlis Tertinggi, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

    Katanya, Muhyiddin memberi lampu hijau kepada pemimpin Bersatu menyokong pengisytiharan Mahathir dalam kapasiti peribadi mereka.

    Sementara itu, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengalu-alukan kesediaan Mahathir bekerjasama dengan Muhyiddin sekali lagi, dengan mendakwa ia demi ‘kebaikan lebih besar’ Malaysia.

    Ahli Parlimen Machang itu berkata, kerjasama terbabit akan melangkaui pilihan raya kerana dua pemimpin itu sedar isu dihadapi masyarakat Melayu.

    “Jika kita boleh mendapatkan sokongan daripada negarawan disegani seperti Mahathir, bagi saya sebagai ketua Pemuda Bersatu, ia amat dialu-alukan.

    “Ia boleh berhasil kerana Mahathir tidak berada dalam mana-mana parti politik ketika ini. Beliau berkhidmat dengan baik kepada negara dan membina Bersatu bersama Muhyiddin. Saya optimis kerjasama sebegini akan berjaya,” katanya, lapor FMT.

  • Saingan satu lawan satu peluang baik PN tawan Selangor, kata Noh

    Saingan satu lawan satu peluang baik PN tawan Selangor, kata Noh

    BEKAS Menteri Besar Selangor, Tan Sri Noh Omar percaya Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang baik merampas Selangor pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang kerana undi Melayu tidak lagi berpecah.

    Menurut bekas Ahli Majli Kerja Tertinggi UMNO itu, calon Pakatan Harapan (PH) akan mendapat kelebihan sekiranya terdapat saingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), PH dan PN.

    “Tetapi, akan ada pertembungan satu lawan satu di Selangor sekarang kerana PH dan BN telah bergabung, jadi saya yakin PN akan muncul pemenang,” katanya dalam pada sebuah majlis PN di Sungai Besar malam tadi, alpor FMT.

    Beliau juga percaya PN boleh memenangi 33 daripada 56 kerusi DUN Selangor pada PRN akan datang.

    Bulan lalu, Pengerusi PN Selangor, Datu Seri Azmin Ali dilaporkan berkata, PN kehilangan sembilan kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU15 dengan majoriti kurang 5,000 undi.

    Beliau mendakwa gabungan itu hanya memerlukan 1,000 hingga 2,000 undi lagi untuk memenangi setiap kerusi pada PRN nanti.

    Noh turut menyuarakan keyakinan PN boleh memenangi 33 kerusi untuk merampas negeri itu daripada PH.

  • PRN Selangor:Penyandang kekal, pertukaran kerusi dilakukan selepas dipersetujui

    PRN Selangor:Penyandang kekal, pertukaran kerusi dilakukan selepas dipersetujui

    PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengekalkan kerusi yang disandang wakil rakyat masing-masing dalam menghadapi pilhan raya negeri (PRN) Selangor akan datang.

    Setiausaha Pas negeri, Roslan Shahir berkata, itu merupakan formula kedua-dua parti berkenaan dalam menghadapi PRN.

    “Tidak timbul Pas mahu kerusi yang disandang parti rakan,” komen beliau di sebalik laporan bahawa partinya inginkan kerusi milik sekutu.

    Beliau mengulas laporan media yang memetik sumber Perikatan Nasional (PN) bahawa Pas ingin bertanding di DUN Gombak Setia, yang ketika ini disandang oleh wakil rakyat Bersatu, Hilman Idham.

    Roslan berkata kerusi boleh bertukar tangan apabila parti penyandang ingin bertukar kawasan, dan persetujuan dicapai oleh parti-parti terbabit.

    “Kalau ada permintaan untuk tukar kawasan yang telah menang, atas dasar suka sama suka, ia akan dilakukan.”

    Ditanya mengenai kemajuan rundingan kerusi PN Selangor, Roslan menjangkakan ia akan dimuktamad pada awal Jun.

    “Tiada isu besar dan semua berjalan lancar,” katanya memetik laporan FMT.

    Hilman memenangi kerusi Gombak Setia atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU14, selepas meraih 12,399 undi mengatasi calon Pas (11,758) dan calon Barisan Nasional (11,113).

    Bersatu juga mempunyai wakil rakyat di Bukit Antarabangsa, Selat Klang, dan Dengkil; manakala Pas di Sijangkang.

    Selangor mempunyai 52 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

  • Serangan peribadi UMNO,PH akan pengaruhi langkah politik saya – Khairy

    Serangan peribadi UMNO,PH akan pengaruhi langkah politik saya – Khairy

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata serangan peribadi dibuat pemimpin dan ahli UMNO serta Pakatan Harapan akan mempengaruhi langkahnya dalam politik.

    Khairy, yang dipecat UMNO pada Januari, menegaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas tidak pernah bercakap perkara negatif mengenai diri beliau.

    “Secara peribadi, Bersatu dan Pas tidak benar-benar bercakap apa-apa yang buruk mengenai saya. Tapi, kalau anda lihat komen UMNO dan PH atau orang PH, ia bukan kritikan yang adil, ia adalah peribadi. Pada tahap psikologi, mungkin akan mempengaruhi tindakan saya selepas ini,” katanya dalam episod terbaru podcast Keluar Sekejap.

    Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu kepada Khairy, jika beliau mahu menyertai parti itu.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mendedahkan, tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas dipecat UMNO.

    Bagaimanapun, Khairy yang masih tidak berparti dilihat lebih selesa mengunci mulut mengenai masa depan politik walaupun sudah ditawarkan menyertai Bersatu.

    Sementara itu bercakap sebagai tetamu episod ‘Keluar Sekejab’ itu, Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad Kamal berkata, isu bangsa, agama dan Raja-raja atau 3R dilihat tidak selamanya ‘laku’ terutamanya ketika menghadapi PRN di Selangor,.

    Sebaliknya kata beliau PN kini dalam fasa penstrukturan semula naratif yang dilihat lebih menyeluruh untuk rakyat Malaysia.

    “Kita dah maklum PN diterima orang Melayu kerana pendirian kami dalam isu 3R tapi kami pun setuju, kelemahan kami mengetengahkan isu lebih kepada pembangunan. Jadi perkara ini kena ada anjakan dalam kempen kami dan saya rasa Selangor akan membuka ruang tersebut,” katanya.

    Ahli Parlimen Machang itu berkata demikian ketika ditanya tindakan PN yang dilihat menggunakan isu 3R di pentas politik seolah-olah memainkan perang budaya, dan tidak menyentuh isu pembangunan rakyat.

    Wan Fayhsal turut menolak andaian itu, sebaliknya berkata, pimpinan PN ada juga membawa isu rakyat di Dewan Rakyat.

    “Dalam perbahasan Belanjawan Titah Diraja, pembangkang banyak bawa idea bernas contohnya tenaga hijau. Saya sendiri bawa isu pelaburan keluar dan pembangunan mampan,” katanya, lapor FMT.