Category: Politik

  • Sanusi nafi tidak beradab dengan Persekutuan

    Sanusi nafi tidak beradab dengan Persekutuan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menafikan dakwaan kononnya beliau tidak beradab dan tidak bersopan sepanjang menguruskan hubungan antara kerajaan negeri dengan Persekutuan selama ini.

    Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jeneri itu berkata, semua pihak harus membezakan peranan dimainkannya selaku Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan Menteri Besar dalam membuat penilaian.

    “Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menyatakan bahawa Menteri Besar lain ada sopan dan adab dalam hubungan antara negeri dan Persekutuan. Saya tak tahu ukuran diambil dari mana tetapi sepanjnag hubung government to government (G2G), hubungan saya dan Perdana Menteri adalah teratur, bersopan, beradab dan bertatakelola.

    “Ada pun ceramah, ucapan dalam kempen pilihan raya itu adalah sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya. Saya tengok semasa ceramah pilihan raya Perdana Menteri pun sakan juga dan ada keluar macam-macam perkataan seperti bodoh dan bangang.

    “Saya tak ambil kenyataan itu sebagai ucapan Perdana Menteri sebaliknya itu adalah ucapan Presiden parti yang berkempen dalam pilihan raya. Jadi jika diambil ucapan dan tindakan saya sebagai ketua pengarah pilihan raya yang bersaing dlm sistem demokrasi di medan politik untuk diletak dalam kasut Menteri Besar, itu satu penilaian tidak tepat dan tidak adil untuk saya,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

    Ketika menjawab soalan tambahan dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri berkata, beliau sudah empat kali bertemu dengan Menteri Besar Kelantan dan Terengganu selain telah meluluskan kebanyakan peruntukan diminta Menteri Besar Perlis kerana perkara tersebut, ditanya secara sopan dan beradab melibatkan hubungan antara negeri dan Persekutuan.

    Kenyataan dibuat Perdana Menteri itu bagi menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang bertanyakan mengapa tiada pertemuan berlaku antara Perdana Menteri dengan Muhammad Sanusi ketika Menteri Besar Kedah itu sudah tiga kali menghantar surat untuk bertemu.

    Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, sebagai Menteri Besar, beliau telah memenuhi garis panduan seperti mana telah dalam sumpah jawatan antaranya memelihara kepentingan negeri ini.

    “Itu sumpah saya dan tak ada saya buat ucapan di luar tatasusila seorang pemimpin negeri apabila memakai kasut dan topi selaku Menteri Besar. Jadi apabila diambil kerja saya yang lain (selaku Ketua Pengarah Pilihan Raya PN) dan diletak dalam kasut saya sebagai Menteri Besar, itu tak adil.

    “Lebih-lebih lagi perkara itu diucapkan di Parlimen dengan saya tiada di situ untuk menjawab. Jadi perlu saya jelaskan, watak-watak yang ada di media sosial dan di mana-mana tempat sekali pun, adalah watak berdasarkan fungsi saya dalam parti serta fungsi saya sebagai Menteri Besar,” katanya.

  • Kedah ambil Pulau Pinang naratif rekaan DAP -Sanusi

    Kedah ambil Pulau Pinang naratif rekaan DAP -Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    DAP didakwa cuba menakutkan penyokong mereka sendiri khususnya di Pulau Pinang apabila mencipta naratif kononnya Kedah ingin menuntut semula negeri berkenaan.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, serangan yang ditujukan kepadanya berhubung isu tersebut adalah politik perkauman sempit daripada DAP.

    “Itu tujuan politik DAP untuk menakutkan penyokong DAP bahawa kalau tidak undi DAP, negeri ini akan diambil alih oleh Kedah. Itu naratif DAP, itu (ciri) politik DAP (yang berasaskan) perkauman sempit untuk menakutkan orang Cina khususnya.

    “Saya rasa DAP ini (kita) kena tolak buang. Tak aman Malaysia kalau DAP menang lagi. Orang Melayu pun takut kepada DAP tak tentu punca,”  katanya dalam sidang akhbar selepas memberi keterangan kepada polis di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Muhammad Sanusi disiasat oleh pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman berhubung kenyataannya bahawa Pulau Pinang milik Kedah pada 29 Mei lalu.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi menegaskan, beliau tidak bimbang dengan siasatan polis terhadap dirinya kerana mempunyai hujah dan bukti atas setiap kenyataan yang dibuat.

    “Saya telah beri kerjasama yang baik dalam siasatan polis. Saya tak bimbang kerana semua kenyataan saya ada sandaran berdasarkan dokumen-dokumen yang saya serahkan kepada polis,” katanya.

    Justeru, beliau berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendengar penjelasan yang dikemukakan dengan teliti dan memahami isu yang dibangkitkan.

    “Ketika saya bertemu beliau di LIMA 2023 dan sambutan Aidilfitri Madani di Alor Setar, saya bersederhana. Watak saya memang macam itu, orang Kedah asli, bahasa Kedah.

    “Saya rasa Anwar faham, tetapi buat-buat tak faham kerana dia bimbang dengan DAP. Semua tindakan beliau kerana dia risaukan DAP. 

    “Kalau dia buat pertimbangan dengan adil, saksama sepertimana yang disumpahkan sewaktu mengangkat jawatan Perdana Menteri, beliau akan layan surat saya dengan adil, walaupun berbeza parti politik,” jelasnya.

  • ”Saya tak kata benda ‘hat’ dia kata saya kata’ – Sanusi

    ”Saya tak kata benda ‘hat’ dia kata saya kata’ – Sanusi

    *Tak pernah desak pinda Perlembagaan*

    Oleh BADLISHAH MAT

    DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan beliau tidak pernah mendesak Perlembagaan Persekutuan dipinda kononnya agar Pulau Pinang dapat dikembalikan kepada Kedah seperti yang disebut dalam Dewan Rakyat, semalam.

    Sebaliknya, beliau menjelaskan hanya mengeluarkan kenyataan menuntut nilai pajakan Pulau Pinang yang dibayar kepada Kedah dinaikkan mengikut kadar semasa selepas bayaran kepada negeri itu hanya berjumlah RM10.01 juta sejak 2018.

    Katanya, soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng adalah salah kerana merujuk kenyataan tidak tepat daripada sebuah portal.

    “Mereka dakwa saya langgar Perlembagaan, tak kan minta harga semasa pajakan langgar Perlembagaan? Mereka tuduh saya suruh desak dan pinda Perlembagaan, sedangkan saya tak keluar kenyataan itu di mana-mana.

    “Saya kata di dunia ini yang tak boleh pinda dua saja iaitu al-Quran dan hadis. Saya tak suruh pinda Perlembagaan, mereka yang salah petik kenyataan di portal.

    “Perbahasan di Parlimen semalam salah kerana rujuk petikan yang salah, mereka petik di portal dan kata saya desak pinda Perlembagaan supaya Pulau Pinang masuk balik Kedah. Semua rujuk ke situ, anak Tan Sri (Guan Eng) rujuk situ, Perdana Menteri rujuk situ,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas memberi kenyataan kepada pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

    Muhammad Sanusi berkata, beliau telah menyerahkan beberapa dokumen berkaitan termasuk perjanjian pajakan Pulau Pinang sebelum ini ketika proses memberi keterangan dilakukan.

    “Mereka cuma tanya kira-kira lima soalan saja dan tak tanya pun tentang pinda perlembagaan (kerana) saya tak cakap benda itu, jadi depa tak tanya benda hat saya tak cakap.

    “Hat depa cakap di Parlimen tuduh saya macam-macam pi tanya depa. Depa yang kata, bukan saya yang kata. Pi tanya Guan Eng kenapa kata macam itu, kenapa tuduh saya kata. Saya tak kata benda hat dia kata saya kata,” katanya.

    Tambah beliau, Anwar dan Guan Eng sepatutnya menghubunginya terlebih dahulu dan bertanya kenyataan sebenar dikeluarkan sebelum membahaskan perkara itu di Parlimen.

    Katanya, beliau mempunyai nombor telefon yang boleh dihubungi, selain aplikasi WhatsApp yang boleh digunakan bagi bertanyakan sebarang maklumat.

    “Mana boleh rujuk sumber portal, sejak bila portal jadi sumber rujukan kerajaan? Kerajaan ada sumber dan ada cara untuk ambil maklumat. Asas maklumat kerajaan mana boleh ambil di portal, mereka patut tanya saya.

    “Saya tak salahkan Perdana Menteri sebab yang tanya anak Tan Sri (Guan Eng) bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, dia yang buat soalan dan petik daripada portal itu,” katanya.

    Ditanya persepsi yang cuba ditimbulkan kononnya Kedah mahu mengambil kembali Pulau Pinang, Muhammad Sanusi berkata, Kedah tidak perlu berbuat demikian kerana tiada apa yang hilang daripada negeri ini.

    “Ambil semula bermakna kita mendapatkan kembali apa yang telah hilang. Bagi saya, kita tak pernah kehilangan Pulau Pinang sebab mereka bayar pajakan. Apabila dibayar pajak, itu hak dia atau saya? Kita tak pernah hilang (Pulau Pinang) jadi buat apa nak ambil balik?” katanya.

  • Lagi Ahli Parlimen DAP Pulau Pinang buat laporan polis terhadap Sanusi

    Lagi Ahli Parlimen DAP Pulau Pinang buat laporan polis terhadap Sanusi

    SEORANG lagi Ahli Parlimen DAP dari Pulau Pinang membuat lapo ran polis terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md.Nor.

    Jika sebelum ini Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berbuat demikian hari ini Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid membuat laporan polis terhadap Sanusi berhubung video ceramahnya yang didakwa menggunakan kata-kata kesat.

    Syerleena berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 9.17 pagi berikutan Muhammad Sanusi dalam satu video tular semasa ceramah Perikatan Nasional (PN) di Permatang Pauh, Pulau Pinang yang didakwa biadab.

    “Seorang pemimpin tidak boleh buat perkara sebegini, ia telah menyinggung khalayak yang terdiri daripada kaum wanita dan kanak-kanak.

    “Kita cukup hairan melihat kualiti (pemimpin) sebegini yang tidak sepatutnya. Perbuatan ini tidak boleh dikompromi,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini, lapor BERNAMA.

    Sidang media itu turut dihadiri Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim dan Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari.

    Sementara itu, Dr Mohammed Taufiq menekankan bahawa budaya orang Kedah bukanlah budaya biadab sebaliknya bersopan santun dan berbudi pekerti.

    “Saya sendiri orang Kedah, kalau beliau kata itu cara orang Kedah berbicara, itu salah. Ini amat memalukan, beliau seorang MB (Menteri Besar) Kedah yang mewakili nama baik negeri dan Sultan Kedah. Beliau sepatutnya menunjukkan imej yang baik,” katanya.

    Sementara itu, Lim menasihati pihak pembangkang untuk tidak memilih politik kotor melibatkan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) semata-mata ingin mengejar populariti dan meraih undi penyokong menjelang Pilihan Raya Negeri ini.

  • Kerjasama DAP ‘masalah besar’ pada PAU

    Kerjasama DAP ‘masalah besar’ pada PAU

    PENGERUSI Tetap Pemuda UMNO, Wan Agyl Wan Hassan menyifatkan kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) terutama seteru lamanya, DAP, akan menjadi masalah besar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bermula hari ini.

    Masalahnya kata beliau, adalah untuk memahamkan akar umbi tentang dinamik politik kerana kedua-dua UMNO dan DAP adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan.

    Katanya, parti perlu faham bagaimana untuk meletakkan dirinya bersama Pakatan Harapan (PH).

    Sambil berkata DAP dan UMNO suatu ketika dahulu perlu menjadi saingan masing-masing untuk kekal relevan dalam politik, beliau menambah: “Sekarang kita bekerjasama, kita perlu memperhalusi (hubungan) dari segi bagaimana kita boleh bekerjasama dan menyelesaikan pertelingkahan sebelum ini.”

    Beliau seterusnya memetik keengganan sayap itu mengundang rakan sayap dalam PH ke perhimpunan agung sebagai contoh isu yang perlu diselesaikan agar tidak berbangkit lagi.

    “Isu-isu sebegini adalah yang perlu kepimpinan buat akar umbi faham,” katanya, lapor FMT.

    Wan Agyl berkata, orang Melayu sensitif terhadap perkara tertentu, dan langkah secara tidak semena-mena menyeru akar umbi menyokong saingan tradisi ‘tidak boleh diterima’.

    Katanya, satu lagi isu yang akan dibangkitkan ialah hala tuju kerajaan, khususnya dalam membina semula negara selepas bertahun-tahun mengalami ketidakstabilan politik.

    Pemuda UMNO akan bersikap kritis terhadap dasar berkaitan ekonomi, pendidikan dan kesihatan, tambahnya.

    Wan Agyl berkata, dengan pilihan raya negeri (PRN) semakin hampir, peruntukan kerusi juga akan dibincangkan.

    Sementara itu, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara percaya kepimpinan UMNO perlu bijak memilih naratif pada PAU, jika berhasrat memujuk akar umbi untuk mengundi calon DAP pada pilihan raya akan datang.

    DAP masih menjadi subjek tabu bagi kebanyakan ahli UMNO, katanya.

    “Tiada gunanya kata ‘DAP baik’, ‘DAP kawan UMNO’ untuk memujuk ahli (mengundi DAP) kerana permusuhan antara kedua-dua (parti itu) terlalu mendalam untuk naratif seperti itu,” katanya.

    Azmi percaya UMNO harus membenarkan ahli bersuara menentang DAP untuk meringankan impaknya.

    “Naratifnya mestilah bahawa UMNO sanggup melawan DAP walaupun (parti itu) sebahagian daripada kerajaan,” katanya.

  • Puad dakwa bekas ahli UMNO mahu ‘ranapkan’ parti

    Puad dakwa bekas ahli UMNO mahu ‘ranapkan’ parti

    AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mendakwa bekas ahlinya sengaja mahu melihat UMNO musnah supaya mudah bagi mereka kembali menguasai parti itu.

    “Kluster ini tidak berani tubuh parti baharu. Mereka tumpang rumah orang lain. Mereka ini mahu ranapkan UMNO. Bolehlah politik mereka terus hidup.

    “Mereka hanya mahu UMNO kalah teruk dalam enam PRN (pilihan raya negeri). Mereka hanya mahu Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi (Presiden UMNO) lemah. Senang mereka masuk balik dan menguasai UMNO,” katanya dalam Facebook miliknya, lapor FMT.

    Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mendakwa parti itu akan ‘bungkus’ pada PRN di enam negeri.

    Khairy berkata demikian sebagai respons kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang membidas ‘jemputan sinis’ Zahid dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki kepada ahli yang dipecat dan digantung untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

    Hishammuddin berkata, tindakan sebegitu tidak membantu langsung usaha memulihkan kedudukan parti dalam memenangi hati ahli-ahli di akar umbi kerana mereka mahukan UMNO yang asal.

    Terdahulu, Zahid berkata, bekas ahli UMNO yang merindui PAU boleh hadir menjadi pemerhati di luar Dewan Merdeka, manakala Asyraf berkata, mereka boleh menghadiri PAU yang bermula hari ini hingga 10 Jun.

  • Parti Proklamasi Melayu sokong PN pada PRN

    Parti Proklamasi Melayu sokong PN pada PRN

    PARTI politik yang menandatangani Proklamasi Melayu semuanya bersetuju untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) dalam enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Demikian menurut Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris yang mewakili parti itu pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur awal hari ini.

    Bercakap kepada Malaysiakini, Razali berkata, parti-parti bukan komponen Perikatan Nasional (PN) telah bersetuju untuk tidak menyertai PRN bagi memastikan akan berlaku saingan antara PN dan Pakatan Harapan (PH) atau sekutunya.

    “Kita ada dua matlamat, yang pertamanya pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang.

    “Pelan jangka panjangnya adalah kita sememangnya bersatu tenaga bagi mengumpulkan kekuatan untuk menjatuhkan kerajaan PH dan BN (Barisan Nasional) sekarang.

    “Dan pelan jangka pendek adalah PRN enam negeri yang mana kita bersetuju bahawa PN adalah satu vehicle (platform) orang Melayu yang telah terbukti mempunyai 74 kerusi semua Melayu dan bumiputera.

    “Jadi kita bersatu hati menyokong vehicle ini supaya keenam-enam negeri ini dapat ditawan oleh PN,” katanya.

    Razali berkata, semua parti lain telah bersetuju untuk tidak bertanding PRN dan sebaliknya memberikan sokongan kepada PN, termasuk berkempen untuk calon gabungan itu.

    Awal hari ini, Mahathir, yang mengasaskan Proklamasi Melayu – gerakan yang dikatakan bertujuan menyatukan semua orang Melayu untuk menjaga kepentingan mereka di negara ini mengumumkan bahawa semua pihak yang menandatangani proklamasi itu bersetuju untuk bekerjasama termasuk semasa PRN.

    Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat itu, bekas Perdana Menteri itu berkata, mereka tidak akan bertembung sesama sendiri dalam PRN.

    Antara yang turut serta dalam mesyuarat itu ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar dan bekas ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin.

  • Annuar Musa sedia tanding PRN

    Annuar Musa sedia tanding PRN

    PRESIDEN Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa sedia bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekiranya mendapat tawaran.

    Pada masa ini, beliau masih belum mempunyai parti namun mengakui sudah menghantar borang keahlian kepada Pas.

    “Macam mana saya nak bertanding kalau saya tak ada parti lagi. Saya sudah hantar borang kepada Pas tetapi belum diluluskan.

    “Tapi jika saya diterima (masuk Pas), saya sanggup jadi calon. Sehingga saat ini, saya tak boleh terima perjuangan DAP dan Lim Kit Siang serta konsep Malaysian Malaysia yang dibawa,” katanya.

    Bekas Ahli Parlimen Kerten itu berkata demikian dalam Wacana Sinar Siri 400 yang bertajuk PRN: Siapa Patut Rakyat Pilih yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di Shah Alam, hari ini.

    Program itu menampilkan tiga panelis lain iaitu Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pusat, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nor Azrina Surip.

  • 10 ‘warlord’ UMNO akan sertai PN – Razali

    10 ‘warlord’ UMNO akan sertai PN – Razali

    PERIKATAN Nasional (PN) dijangka mengumumkan sekurang-kurangnya 10 ‘warlord’ daripada UMNO bakal menyertai gabungan itu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, mereka yang terlibat adalah nama besar yang telah disisihkan UMNO.

    “Ada…kira orang yang ada nama, yang disisih oleh UMNO. Secara sukarela (mereka) sertai salah satu parti (dalam PN) sama ada Pas atau Bersatu.

    “Kita akan umum sebelum PRN,” katanya ditemui media di pekarangan Ibu Pejabat PN, di Kuala Lumpur, semalam, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan pemimpin UMNO selain daripada bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang bakal ditarik menyertai PN.

    Dua minggu lalu, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan terdapat lapan bekas pimpinan UMNO menyertai gabungan tersebut.

    Pada Isnin, beliau sekali lagi memberi bayangan lebih jelas, bahawa Noh bakal menyertai gabungan berkenaan.

    Mohamed Azmin berkata, pada masa ini Noh sering berada di pentas PN untuk memberi sokongan dan menarik sokongan rakyat pada PRN Selangor.

  • Pas tiada masalah kerjasama dengan Tun Mahathir – kata Takiyuddin

    Pas tiada masalah kerjasama dengan Tun Mahathir – kata Takiyuddin

    PAS tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan, kesediaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perkembangan itu mewakili PN secara keseluruhannya.

    “Kita (Pas) sebahagian daripada PN… bila pengerusi PN kata (sedia kerjasama), kita (Pas) siap kerjasama dengan sesiapa sahaja yang mempunyai matlamat sama untuk kestabilan negara, kestabilan ekonomi… tak ada masalah.

    “Termasuk Tun (Dr Mahathir)…dia adalah negarawan,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat Ahli Parlimen PN di sini pada Isnin.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris sebelum itu menyifatkan keterbukaan Dr Mahathir dan Muhyiddin untuk bekerjasama semula disifatkan sebagai langkah baik yang mampu memberi kekuatan kepada PN bagi menghadapi PRN.

    “Termasuk Tun (Dr Mahathir)…dia adalah negarawan,” katanya.