Category: Politik

  • Wan Saiful enggan layan spekulasi tanding di Sungai Ramal

    Wan Saiful enggan layan spekulasi tanding di Sungai Ramal

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan tidak mengiyakan atau menafikan akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor.

    Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu enggan melayan spekulasi akan tersenarai sebagai calon di PRN di negeri berkenaan.

    “Saya fikir spekulasi bermula kerana saya menjadi ketua Bersatu Bangi.

    “Bahagian itu berdepan masalah organisasi dan saya diminta mengetuainya pada Oktober tahun lalu untuk menangani cabarannya.

    “Syukur, saya berjaya menyelesaikan kebanyakan isu dan mungkin sebab itu juga ada pihak bercakap berkenaan pencalonan saya di sana,” katanya kepada FMT apabila mengulas berhubung laporan berita berkait perkara itu.

    Awal hari ini, Sinar Harian memetik sumber sebagai berkata, Perikatan Nasional (PN) mempertimbang mencalonkan Wan Saiful dan anak perempuan Tan Sri Noh Omar, Nurul Syazwani, sebagai calon menjelang PRN Selangor.

    Menurut sumber, Wan Saiful akan bertanding di Sungai Ramal, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah Parlimen Bangi, ketika ini disandang Adun Pakatan Harapan, Mazwan Johar, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Mazwan menang majoriti 10,630 undi apabila meraih undi 24,591 undi, mengalahkan calon Pas, Nushi Mahfodz (13,961 undi) dan Abdul Rahim Mohd. Amin daripada BN (9,272 undi), pada PRU4.

    Sumber berkata, Wan Saiful sering dilihat berada di lapangan, menghadiri pelbagai acara termasuk mempengerusikan mesyuarat PN di Bangi, sambil menambah beliau menerima arahan daripada pemimpin PN meletakkan keutamaan untuk menang kerusi tersebut.

    Wan Saiful berkata, komponen parti dalam PN, terutama Bersatu, Pas, dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), sudah mempunyai strategi mantap berdepan PRN.

    “Saya mempunyai matlamat jelas berhubung peranan yang akan saya mainkan dan saya tidak mahu mendahului pemimpin parti dalam isu ini,” katanya.

    Mengulas berhubung Nurul Syazwani, sumber berkata, beliau berkemungkinan bertanding di Permatang, kawasan di bawah Parlimen Tanjung Karang, kerusi disandang ayahnya bermula 1995 hingga 2022.

    “Noh yang merupakan Ahli Parlimen enam penggal memainkan peranan penting dalam pemilihannya sebagai calon,” kata sumber itu.

    FMT sedang mendapatkan ulasan lanjut Noh.

    Menurut laporan, Noh belum menyertai PN walaupun menghadiri ceramah anjuran gabungan itu. Anak perempuannya sudah menyertai Bersatu.

  • PN Pulau Pinang selesai 95 peratus agihan kerusi menjelang PRN

    PN Pulau Pinang selesai 95 peratus agihan kerusi menjelang PRN

    PERIKATAN Nasional (PN) Pulau Pinang kini sudah 95 peratus selesai dalam soal rundingan kerusi antara parti-parti komponen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) itu tidak lama lagi.

    Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong berkata, ketika ini hanya terdapat beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih dalam rundingan disebabkan wujud pertindihan antara beberapa parti komponen.

    Bagaimanapun menurut Tong Keong yang juga Pengeru Gerakan Pulau Pinang, rundingan mengenai pertindihan kerusi itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

    “Terdapat beberapa kerusi yang berlaku pertindihan kerana ada permintaan daripada rakan-rakan parti komponen PN.

    “Ada kerusi yang Pas minta, ada yang Bersatu minta, namun kita jangka perkara ini dapat diselesaikan tidak lama lagi,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas proses penamaan calon bagi pemilihan Parti Gerakan Pulau Pinang di ibu pejabat Parti Gerakan Pulau Pinang, di George Town hari ini.

    Dalam pemilihan berkenaan, Tong Keong diumumkan kekal sebagai Pengerusi Gerakan Pulau Pinang.

    Mengulas lanjut, Tong Keong berkata, parti itu akan bertanding di 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN negeri itu kelak yang mana 70 peratus calon yang dipilih merupakan muka baharu daripada pelbagai peringkat umur, profesion dan kaum.

    “Kita kita akan tampilkan calon-calon muka baharu, mereka adalah calon ‘fresh’ yang mana tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini,” katanya.

    Tambahnya, calon-calon Gerakan itu juga akan menjalani sesi temuduga bersama Jawatankuasa Pusat Gerakan minggu depan dalam memastikan hanya calon yang terbaik dan mampu menang dipilih.

    Jelas beliau, calon-calon PN termasuk dari Gerakan juga bakal berdepan dengan kekangan dana pada PRN kali ini memandangkan berlaku pembekuan akaun parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Disebabkan itu, calon-calon yang akan bertanding perlu bersedia menerima pelbagai cabaran dalam PRN kali ini,” katanya.

  • ‘Pas perlu segera diangkat jadi teras utama perjuangan ummah’

    ‘Pas perlu segera diangkat jadi teras utama perjuangan ummah’

    TAN Sri Annuar Musa mahu Pas yang baru disertainya itu segera diangkat menjadi teras utama perjuangan ummah.

    “Orang Melayu dan Islam perlu bersatu di bawah panji perjuangan yang lebih jujur dan istiqamah menjunjung agama, bangsa dan negara.”

    Tegasnya, orang Melayu dan umat Islam perlu segera disatu padukan di bawah panji-panji perjuangan yang lebih istiqamah dan lebih jujur menjunjung agama, bangsa dan negara.

    “Pilihannya adalah Pas,” ujar bekas Ahli Parlimen Ketereh itu yang pernah menjawat jawatan menteri dan kepimpinan tertinggi UMNO.

    Katanya lagi:”Pas perlu segera diangkat menjadi teras utama perjuangan ummah dengan prinsip perjuangan yang lebih luhur dan berterangkuman. Insya-Allah.

    “Bersatulah wahai kaum muslimin dan peribumi bersama rakan dan sahabat pelbagai kaum dan bangsa dalam negara tercinta. Membawa keadilan dan kesejahteraan buat semua,” katanya dalam satu hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

    Beliau mendakwa, pemimpin UMNO telah menodai mandat rakyat dan kehendak majoriti untuk membentuk kerajaan pimpinan parti-parti pribumi dengan belot kepada perjuangan dan tanggungjawab memimpin Perpaduan dan penyatuan orang Melayu.

    Dakwanya lagi, sebaliknya UMNO telah melarikan sokongan melalui pelbagai manipulasi dan muslihat utk memberi sokongan kepada parti sokongan minoriti berideologi sosialis dan liberal.

    “Tindakan ini yang semakin melumpuhkan UMNO, serta menjadikan UMNO semakin tidak releven dan tidak lagi mempedulikan asas perjuangannya, tetapi menjadi alat kepentingan individu tanpa mempedulikan perasaan dan harapan orang Melayu yg menyokongnya.

    “UMNO memilih sekadar murid bukan guru, menjadi pengikut dan pelengkap…’King maker’ kepada sosialis dan liberal bukan lagi pemacu Nasionalisma Melayu dan Islam,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Pas bertanding 37 kerusi pada PRN Kelantan

    Pas bertanding 37 kerusi pada PRN Kelantan

    PAS bertanding di 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding lapan kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Kelantan

    Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, itu merupakan pembahagian kerusi bagi PRN di negeri itu dan pada asasnya sudah pun selesai.

    “Kita minta DUN atau cawangan mengemukakan calon mereka yang diyakini siapa terbaik dan menjadi pilihan rakyat,” katanya pada sidang media Mr Awang Selamat Kelantan 2023 di Kota Bharu, hari ini.

    Wan Roslan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri berkata, calon yang dipilih oleh Pas adalah mengikut pilihan Ahli Majlis Syura Ulama.

    Ketika ditanya sama ada calon yang mahu menarik diri termasuk di kerusi panas, Wan Roslan berkata, ada calon yang mahu menarik diri termasuk beliau dan juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

    “Ikutkan semua calon Pas mahu undur (tarik diri), saya pun nak undur, namun ini adalah pilihan parti dan kita perlu akur,” katanya.

    Jelasnya, itu merupakan kelebihan Pas kerana calonnya ditentukan dan ditaklifkan (diberi amanah) oleh parti.

    “Ini untuk kita bawa mesej yang baik dan mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat. Itu konsep Pas sebab itu tidak ada yang (calon) ‘berona’ (buat onar),” katanya, lapor Harian Metro.

  • PRN: PH-BN Selangor ‘berebut’ 3 kerusi dimenangi Bersatu pada PRU14

    PRN: PH-BN Selangor ‘berebut’ 3 kerusi dimenangi Bersatu pada PRU14

    PARTI mana yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Meru dan Kuang pada pilihan raya negeri (PRN) dipercayai masih menjadi pertikaian antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    Menurut sumber UMNO, parti itu menuntut kerusi Dengkil dan Kuang yang dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga mahukan kerusi sama.

    “Meru, yang kini disandang wakil PKR juga dituntut oleh UMNO kerana mereka merasakan boleh menang mengambil kira undi pada PRU15, yang mana ia memihak kepada BN,” dakwa sumber itu memetik laporan FMT.

    Pada PRU14, Fakhrulrazi Mokhtar dari Parti Amanah Negara (Amanah) yang mewakili PH menang kerusi itu, beliau kemudian menyertai PKR.

    PKR dikatakan bersedia memulangkan semula kerusi Meru yang terletak di bawah Parlimen Kapar kepada Amanah, rakan komponen dalam PH.

    Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Jumaat lalu berkata sekurang-kurangnya tiga kerusi lagi belum diselesaikan antara BN dan PH di negeri itu bagi menghadapi PRN.

    Juwairiya Zulkifli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati yang juga setiausaha politik kepada Amirudin, turut dikhabarkan berpindah kerusi ke Ijok, tambah sumber itu.

    Sumber UMNO itu berkata menerusi rundingan setakat ini parti itu bakal bertanding 13 kerusi dan masih berunding beberapa kerusi lagi bersama rakan gabungan mereka.

    Malaysiakini sebelum ini melaporkan, PH menawarkan 10 kerusi kepada BN namun gabungan itu meminta PH Selangor menambah sekurang-kurangnya tujuh lagi kerusi termasuk untuk MCA dan MIC.

    UMNO, wakil tunggal BN di DUN Selangor menyandang lima kerusi iaitu Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Sungai Burong dan Semenyih.

    DUN Selangor akan terbubar secara automatik pada 25 Jun depan bagi memberi laluan kepada PRN.

  • Prospek UMNO pada PRN tidak diyakini akar umbi

    Prospek UMNO pada PRN tidak diyakini akar umbi

    SETELAH tirai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 dilabuhkan semalam, ketidaktentuan melanda parti itu menjelang PRN di enam negeri akan datang.

    Peristiwa-peristiwa yang berlaku di PAU kali ini tidak banyak membantu melenyapkan persepsi wujudnya perbalahan dan perpecahan dalam UMNO, dengan banyak persoalan timbul, sama ada parti itu boleh mengubah nasibnya sebelum PRN tiba.

    Beberapa pemimpin akar umbi UMNO memberitahu FMT, mungkin sudah ‘terlambat’ untuk menyampaikan hala tuju parti serta kerjasamanya dengan Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, kepada ahli akar umbi.

    Ahli akar umbi, kata mereka, memainkan peranan penting dalam komunikasi dengan pengundi sepanjang tempoh berkempen.

    “Jika ahli akar umbi tidak mendapat mesej yang betul (daripada kepimpinan parti), mereka tidak akan turun padang untuk berkempen,” kata seorang pemimpin akar umbi dari Tapah, yang enggan namanya disiarkan.

    “Jika mesej yang betul mengenai kerjasama UMNO dengan DAP tidak disampaikan kepada akar umbi, ada kemungkinan ahli-ahli ini akan melompat ke Bersatu kerana mereka percaya komponen Perikatan Nasional (PN) itu memperjuangkan hak Melayu.”

    Sementara itu, seorang pemimpin akar umbi dari Johor berkata, jika Datuk Seri Zahid Hamidi kekal sebagai presiden parti, kedudukan UMNO dalam kalangan pengundi akan terus merosot susulan prestasi hambarnya pada PRU15 tahun lepas.

    UMNO hanya memenangi 26 kerusi Parlimen pada PRU15, jumlah perwakilan terendah pernah diperoleh parti itu di Dewan Rakyat.

    “Masalah dengan Zahid adalah personanya, kerana beliau tidak semudah didekati seperti bekas presiden Datuk Seri Najib Razak.

    “Ini seterusnya akan memberikan kesan kepada pengundi muda, yang mahukan seseorang yang boleh didekati,” kata pemimpin akar umbi itu.

    Seorang ketua Pemuda UMNO berkata, adalah sukar bagi Zahid untuk mengendalikan parti.

    “Kami (Pemuda UMNO) tidak sepemikiran dengan Zahid dan tidak begitu yakin dengan kepimpinannya. Kami tidak boleh maju jika beliau terus memimpin,” katanya.

    Ketua Pemuda UMNO Dr. Akmal Saleh menafikan dakwaan bahawa sayap itu bercanggah dengan Zahid.

    Katanya, mereka sangat menghormati presiden parti.

    Bagaimanapun, menurut pemimpin Pemuda sebelum ini, walaupun sayap itu ‘mempunyai hubungan yang baik’ dengan Zahid, ia masih mempunyai pandangan sendiri yang tidak semestinya selari dengan presiden parti.

    Dengan wujudnya isu-isu ini yang masih belum selesai, prospek UMNO untuk PRN masih samar-samar.

  • Takiyuddin sahkan Eizlan Yusof sertai Pas

    Takiyuddin sahkan Eizlan Yusof sertai Pas

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan pelakon dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof telah menyertai parti itu.

    Beliau berkata, terdapat beberapa lagi tokoh lain yang akan turut menyertai Pas namun nama mereka akan diumumkan pada waktu yang sesuai.

    “Datuk Eizlan Yusof sah jadi ahli dan bersama dengan dia pun ramai lagi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat di Seremban semalam.

    Sebelum ini media melaporkan yang Eizlan enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan yang beliau bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) di bawah tiket Pas dan meminta menunggu pengumuman berkaitan sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.

    Dalam perkembangan sama, Takiyuddin berkata, Pas menerima antara 3,500 sehingga 4,000 orang keahlian baharu setiap bulan.

    “Hari ini (Ahad) saja ada 3,000 lebih termasuk penyertaan kumpulan Tan Sri Annuar Musa sendiri dan difahamkan akan ada lagi secara berkumpulan termasuk di peringkat negeri-negeri,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, Pas tiada masalah untuk mempertimbangkan Annuar sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

    “Itu sesuatu perkara yang boleh kita fikirkan. Kita tengoklah, kerana Annuar tidak beri apa-apa syarat.

    “Dia (Annuar) masuk ke dalam Pas untuk berjuang bersama Pas tanpa apa-apa syarat. Jadi soal, pencalonan semua itu akan bincang dan sebagai ahli Pas, dia layak untuk dicalonkan serta diberi peranan sebagai calon Pas,” katanya.

    Ujarnya, sebagai seorang tokoh politik di Kelantan, Annuar boleh memberi satu gelombang kemenangan kepada PN, lapor Sinar Harian.

  • Annuar Musa sah diterima jadi ahli Pas

    Annuar Musa sah diterima jadi ahli Pas

    TAN Sri Annuar Musa sah menjadi ahli Pas apabila permohonan beliau menyertai diterima oleh parti berkenaan.

    Penerimaan bekas Ahli Parlimen Ketereh itu diumumkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat di Seremban malam ini.

    Sijil keahlian Annuar yang pernah menjadi ahli UMNO selama 50 tahun itu disampaikan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang turut hadir pada program berkenaan.

    Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh turut menerima sijil keahlian Perikatan Nasional (PN) daripada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Ketika berucap di program itu, Annuar berkata, keputusan untuk menyertai dibuat ketika beliau berada di Tanah Suci Mekah pada Ramadan lalu.

    Katanya, langkah yang dianggap beliau bersejarah itu dilakukan   selepas meneliti secara dekat dan mendalam senario politik negara, lebih-lebih lagi apabila mengenang realiti UMNO, bukan lagi sebuah parti yang menjadi pilihan rakyat.

    “Walaupun ada pemimpin-pemimpin yang dipecat kononnya sedia untuk bersama UMNO, (tetapi) saya nekad buat keputusan tidak kembali kepada UMNO. Realitinya UMNO bukan lagi parti pilihan rakyat, UMNO bukan parti pilihan masa ini (malahan) bukan lagi parti mengutamakan perpaduan rakyat yang mahu menjaga agama, bangsa dan negara,” katanya.

    Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata,  UMNO kini sebuah parti politik yang sedang ‘digonggong’ oleh Presidennya Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi sehingga menyebabkan parti itu menjadi penderhaka.

    “Tiada sebab saya menghabiskan sisa usia saya, sisa keringat saya, harta benda saya untuk parti yang sedang ‘digonggong’ Presidennya yang boleh menyebabkan parti itu menjadi penderhaka kepada orang Melayu dan umat Islam,” katanya lagi.

     Annuar berkata, beliau akan mengupas secara terperinci kenapa beliau menyertai Pas dalam program ceramah PN sempena PRN di enam negeri tidak lama lagi

  • UMNO sudi terima bekas ahli – Zahid

    UMNO sudi terima bekas ahli – Zahid

    UMNO sudi menerima kembali bekas ahli dan mereka yang digantung keahlian sekiranya tidak menyerang parti itu dari luar.

    Presidennya, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi  berkata, kelakuan mereka selepas dihukum akan menunjukkan sama ada mereka setia atau membinasakan parti.

    “Kita mahu lihat selepas tindakan itu sama ada mereka benar-benar ‘orang parti’ atau gunting dalam lipatan. Kalau benar ‘orang parti’ mereka tidak berkokok di sana sini. Kalau sayangkan parti, mereka harus akur,” katanya ketika menggulung Perhimpunan Agung UMNO 2023, hari ini, lapor FMT.

    Ahmad Zahid berkata pimpinan parti sentiasa terbuka untuk menerima saranan para perwakilan tentang menerima kembali ahli yang dikenakan tindakan disiplin.

    Beliau turut mempertahankan tindakan yang diambil terhadap individu terbabit, mengatakan ia dilakukan secara profesional.

    Sementara itu, pada sidang media selepas ucapannya, Zahid berkata rayuan bekas ahli akan diputuskan selepas meneliti laporan Lembaga Disiplin.

    Semalam, bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman yang digantung keahlian enam tahun muncul di PAU 2023, dan meminta pimpinan parti membuat keputusan segera mengenai rayuannya.

    Tajuddin mendedahkan beliau telah merayu tiga kali namun sehingga kini belum ada jawaban daripada parti.

    “Jangan lah buat saya macam budak-budak, saya pun ada maruah,” katanya, dan menambah rayuan terbaharu dibuat pada Mac. Beliau digantung keahlian pada Oktober, menyusuli kritikan-kritikan lantang terhadap kepimpinan Zahid.

    Mengenai PRN di enam negeri, beliau yang Pengerusi BN berkata, beliau percaya parti itu akan  memperoleh lebih kerusi.

    Katanya,  agihan kerusi itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

    “PRN di enam negeri, saya amat yakin insya-Allah kita akan memuktamadkan tentang pengagihan kerusi dan insya-Allah kita akan memperoleh kerusi yang sepatutnya dan melebihi PRU yang lepas,” katanya.

    Pada PRU14, BN bertanding di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor (56), Pulau Pinang (13), Kedah (36), Negeri Sembilan (36), Kelantan (45) dan Terengganu (32).

    Pada pilihan raya berkenaan, BN memenangi hanya empat kerusi di Selangor, dua di Pulau Pinang, tiga di Kedah, 16 di Negeri Sembilan, lapan di Kelantan dan 10 di Terengganu. 

  • Nazri cadangkan Perlembagaan dipinda bagi pastikan kerajaan stabil

    Nazri cadangkan Perlembagaan dipinda bagi pastikan kerajaan stabil

    DUTA  Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencadangkan agar Perlembagaan negara dipinda supaya selepas pilihan raya, Parlimen wujud selama lima tahun bagi memastikan kerajaan terus stabil, 

    Katannya, cadangan itu dikemukakan bagi memastikan tidak berlaku lagi usaha menjatuhkan kerajaan seperti yang dilakukan sebelum ini.

    Beliau menjelaskan, cadangan itu telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu pertemuan hari ini.

    ‘’ Untuk memastikan bahawa tempoh lima tahun sesebuah kerajaan dibentuk, saya cadangkan supaya dipinda perlembagaan supaya disebut iaitu selepas pilihan raya, Parlimen itu wujud selama lima tahun, lima tahun bermaksud lima tahun.

    “Tidak boleh tidak sampai lima tahun, masuk tiga tahun, jatuh, kalau ini dibenarkan bermakna dalam pemikiran orang boleh dijatuhkan kerajaan itu dalam masa kurang lima tahun,” katanya kepada Astro AWANI.

    Mohamed Nazri menegaskan, dengan cara itu juga dapat mewujudkan persepsi dalam kalangan rakyat adalah kerajaan yang ditubuhkan selepas pilihan raya adalah untuk tempoh lima tahun.

    “Jadi saya kira kalau kita dapat pinda perlembagaan ini, maka dia akan memberikan persepsi dan juga optik kepada rakyat apabila kerajaan ditubuh adalah untuk lima tahun,” katanya lagi.

    Beliau menjelaskan isu kestabilan kerajaan itu banyak dibangkitkan oleh pelabur-pelabur dan ahli politik Amerika Syarikat yang ditemuinya.

    Mohamed Nazri menegaskan sekiranya masih ada pihak yang berusaha untuk menjatuhkan kerajaan, mereka itu boleh dianggap telah menderhaka kepada Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Hujah Mohamed Nazri, Yang Dipertuan Agong telah menitahkan agar sebuah kerajaan perpaduan sepertimana yang ada hari ini ditubuhkan setelah tidak ada mana-mana gabungan yang memperolehi jumlah majoriti.

    Beliau menjelaskan, umum mengetahui Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menolak cadangan agar ditubuhkan kerajaan gabungan PN dan PH.

    “Ini merupakan kerajaan atas perintah Tuanku, jadi bila Tuanku sudah perintah maka kuasa dia pun, maka tidak berbangkitlah kerajaan ini akan jatuh.

    “Apabila Tuanku keluarkan perintah, maka kita semua rakyat yang menyatakan taat setia kepada Tuanku, mana boleh lepas itu kita ingkar dengan Tuanku, tak sokong dan cari jalan bagaimana nak tarik sokongan bagi jatuhkan kerajaan, naik kerajaan baru, tak boleh, ini kerajaan Tuanku.

    “Jadi mana-mana ahli Parlimen yang berfikir untuk menarik sokongan untuk menjatuhkan kerajaan yang tuanku telah perintah untuk ditubuh, itu merupakan penderhakaan, itu merupakan keingkaran.

    “Di bawah Rukunnegara kita ada kesetiaan kepada Raja, maka mereka tak boleh buat demikian, jadi dengan cara ini kerajaan ini tak boleh jatuh, solid lah.

    “Kita kena sampaikan kepada rakyat, iaitu bahawa kerajaan ini sudah tidak boleh jatuh, kerajaan ini kekal kerana wujudnya akta anti lompat dan wujudnya perintah Tuanku supaya kerajaan ini ditubuhkan,” ujar beliau.

    Mohamed Nazri juga menjelaskan ahli-ahli politik sepatutnya meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.