Category: Politik

  • Haram putus silaturahim hanya kerana taksub politik

    Haram putus silaturahim hanya kerana taksub politik

    MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor mengingatkan umat Islam supaya tidak bersikap ekstrem dan terlalu taksub dalam berpolitik sehingga sanggup memutuskan hubungan kekeluargaan dengan kaum kerabat sendiri.

    Pesanan itu diberikan beliau menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri termasuk di Pulau Pinang yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

    Menjelas lebih lanjut, beliau berkata, agama Islam amat mementingkan hubungan kasih sayang antara adik-beradik dan kaum kerabat, malah termasuk yang jauh seperti sepupu serta yang lebih jauh lagi ikatan kekeluargaan dengan seseorang.

    Malah, katanya, banyak ayat al-Quran dan hadis yang mewajibkan hubungan silaturahim antara adik-beradik dan kaum kerabat serta mengharamkan perbuatan memutuskan hubungan tersebut.

    ”Memutuskan hubungan silaturahim merupakan salah satu dosa besar sehingga ada hadis yang menegaskan seorang yang berbuat demikian tidak akan masuk syurga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Wan Salim, hubungan silaturahim haram diputuskan kerana perbezaan pegangan politik atau kerana berlainan parti politik yang disokong oleh masing-masing.

    Ini kerana, jelas beliau, parti politik bukan ciptaan Allah SWT yang suci daripada kesalahan dan kecelaan, tetapi merupakan metodologi berasaskan pemikiran manusia untuk menguasai tampuk pemerintahan dengan matlamat tertentu yang ingin dicapai.

    ”Silaturahim tidak harus diputuskan walau dengan apa sebab sekalipun, hatta dengan sebab seseorang disakiti atau dianiaya oleh mana-mana adik-beradik atau kaum-kerabatnya sekalipun.

    “Tidak wajar perbezaan pegangan politik membawa kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam, apatah lagi menjadi faktor yang memutuskan hubungan silaturahim antara anggota sebuah keluarga, adik-beradik dan kaum kerabat,” katanya.

    Sehuhungan itu, beliau menyarankan para pemimpin parti politik sama ada di sebelah kerajaan mahupun pembangkang menjelaskan perkara tersebut kepada para pengikut masing-masing.

    ”Janganlah mereka menjadi batu api yang memecah-belahkan perpaduan umat Islam.

    “Semua pihak mesti berusaha memperkukuhkan kesatuan dan perpaduan umat Islam, malah antara sesama warga Malaysia daripada pelbagai kaum,” katanya.

  • Belum tiba masanya keluarkan peluru’ – Ahmad Samsuri

    Belum tiba masanya keluarkan peluru’ – Ahmad Samsuri

    PAS Terengganu hanya menunggu masa yang sesuai untuk kembali melontarkan ‘peluru’ susulan serangan bertali arus yang diterima daripada BN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

    Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, buat masa ini semua strategi telah diatur dan akan menunggu masa untuk beraksi dalam peperangan sebenar (PRN) sekali gus memastikan kemenangan bergaya Pas di Terengganu.

    “Masa nak perang lah, baru kita keluarkan peluru (pelbagai salah laku pentadbiran UMNO).

    “Ada lah strateginya nanti. Banyak lagi simpan dalam poket ni. Semua peluru tu buah akhir (akan ditimbulkan ketika kempen PRN),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Persidangan Meja Bulat Mahasiswa Kebangsaan Terkait Polisi dan Urus Tadbir di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu hari ini.

    Sebelum ini, UMNO Terengganu membangkitkan beberapa isu yang didakwa melibatkan salah laku dalam pentadbiran kerajaan Pas di negeri itu.

    Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said turut mengeluarkan kenyataan secara terbuka mencabar Ahmad Samsuri untuk berdebat berhubung isu penjualan tanah kerajaan yang didakwa dijual kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pada harga lebih rendah berbanding pasaran semasa hartanah.

    Bagaimanapun, Ahmad Samsuri enggan menyahut cabaran itu dan dilihat mengambil pendekatan berdiam diri, tidak menjawab setiap isu yang dibangkitkan oleh UMNO terutama berkaitan pemilikan tanah strategik di pusat bandar Kuala Terengganu itu.

    Dalam perkembangan sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima aduan berhubung penjualan tanah berkenaan, lapor Sinar Harian.

  • Berlaku adil kepada perayu, Tajuddin jawab Ku Li isu ‘gunting dalam lipatan’

    Berlaku adil kepada perayu, Tajuddin jawab Ku Li isu ‘gunting dalam lipatan’

    DATUK Seri Tajuddin Abdul Rahman meminta penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berlaku adil kepada ahli parti itu yang merayu kepada kepimpinan parti supaya menarik balik hukuman terhadap mereka.

    Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, Razaleigh tidak patut ‘pukul rata’ sekiranya beliau sendiri enggan menamakan individu-individu yang dianggap ‘gunting dalam lipatan’.

    “Siapa mereka yang dikatakan musuh? Namakan mereka baru adil. Kamu buat kenyataan secara umum tanpa menamakan sesiapa, elok ke?” katanya memetik laporan FMT, mengulas amaran Tengku Razaleigh kepada parti baru-baru ini.

    Razaleigh baru-baru ini berkata UMNO mengundang padah sekiranya menerima kembali ‘gunting dalam lipatan’ semata-mata kerana PRN akan diadakan tidak lama lagi.

    Pengasas Petronas itu khuatir UMNO akan hancur sekiranya tidak tegas menguatkuasakan disiplin, di sebalik desakan kepada kepimpinan parti supaya menerima kembali bekas ahli atau menarik balik hukuman.

    Tajuddin berkata, Razaleigh patut memberikan nasihat yang betul kepada pimpinan parti, jika ingin mengukuhkan UMNO.

    “Kalau dia bagi nasihat yang betul, takkan UMNO ada masalah macam ini. Adakah dia bagi nasihat yang betul atau nama sahaja ‘penasihat’,” soalnya.

    Sebelum ini, Tajuddin yang digantung keahlian enam tahun meminta pimpinan UMNO membuat keputusan segera mengenai rayuannya.

    Mendedahkan beliau telah merayu tiga kali dengan yang terkini pada Mac, namun sehingga kini belum ada jawaban daripada parti.

    Beliau digantung keahlian pada Oktober menyusuli kritikan lantang terhadap kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Zahid Hamidi ketika menggulung perhimpunan agung UMNO 2023 minggu lalu berkata, UMNO sudi menerima kembali bekas ahli dan mereka yang digantung keahlian, berdasarkan kelakuan mereka selepas dihukum.

    Selain Tajuddin, ahli lain yang digantung keahlian adalah bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Sharif dan pemimpin UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

    UMNO turut memecat bekas Ketua Pemuda UMNO,Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar atas pelanggaran disiplin mengikut perlembagaan parti kerana kesalahan ketika Pilihan Raya Umum PRU15.

  • Khairy sertai PN undang mimpi ngeri PH-BN di Negeri Sembilan

    Khairy sertai PN undang mimpi ngeri PH-BN di Negeri Sembilan

    KEMASUKKAN Khairy Jamaluddin ke dalam Perikatan Nasional (PN) jika menjadi kenyataan mengundang mimpi ngeri kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) khususnya di Negeri Sembilan.

    Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Wan Zikri Afthar Ishak berkata, akar umbi Bersatu khususnya anak-anak muda sangat mengalu-alukan penyertaaan bekas Ketua Pemuda UMNO itu sekali gus bakal memberi kelebihan kepada parti.

    Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang itu, Bersatu sememangnya memerlukan figura atau tokoh seperti Khairy yang sememangnya diakui mempunyai bakat serta kebolehan cukup besar.

    “KJ (Khairy) ini kalau kita tengok berada dalam parti yang penuh dengan ‘warlord’ namun masih mampu ‘survive’ dan menjadi pemimpin yang sangat dihormati pada masa ini.

    “Impak jika KJ masuk Bersatu dan andai kata beliau merupakan poster boy di Negeri Sembilan sebagai contoh ia akan memberi mimpi ngeri kepada PH dan BN.

    “KJ ini kalau kita lihat di Sungai Buloh dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini, beliau mampu kurangkan puluhan ribu majoriti dan KJ mempunyai satu aura dengan masyarakat Melayu, Cina dan India serta semua kaum menyukainya,” katanya.

    Sebelum ini, media melaporkan, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau dijangka bertemu dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada minggu depan.

    Tanpa mendedahkan secara terperinci, Khairy dilaporkan berkata, pertemuan tersebut bagi memberikan keputusan muktamad beliau, dipercayai mengenai tawaran menyertai parti berkenaan.

    Tambah Wan Zikri, beliau melihat Khairy bukan sahaja boleh menjadi Menteri Besar malah berpontensi menjadi calon Perdana Menteri pada masa hadapan.

    “Sebab Bersatu ini tidak pernah mengabaikan bakat-bakat muda ini. Kami berharap KJ akan dapat sertai kami dan kita akan memberi sokongan kepada pemimpin berbakat ini,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, impak daripada penyertaan Khairy bukan sahaja PN mampu menawan Negeri Sembilan malah Selangor juga mampu dirampas dalam PRN kali ini.

    “Aura KJ ini akan membantu dalam PRN kali ini khususnya dalam menarik sokongan anak muda dan pengundi pelbagai kaum,” katanya lapor Utusan Malaysia.

  • Selangor tunggu perkenan Sultan untuk bubar DUN – MB

    Selangor tunggu perkenan Sultan untuk bubar DUN – MB

    DEWAN Undangan Negerinya (DUN) Selangor hanya menunggu perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menentukan tarikh pembubarannya.

    Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari,tarikh pembubaran bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya akan diumumkan selepas mendapat perkenan baginda.

    “Saya tidak boleh beritahu sebab apa hal pun saya perlu menghormati Tuanku Sultan Selangor sebab perkenan Tuanku akan menetapkan bila tarikh (pembubaran),” katanya.

    Beliau ditemui selepas berakhir Majlis Amanat Khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Kepada Penjawat Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam, hari ini.

    Hari ini, Amirudin turut menafikan dakwaan bahawa DUN Selangor akan dibubarkan pada 19 Jun ini, bagi memberi laluan kepada PRN tidak lama lagi.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata, dakwaan itu tidak benar dan tarikh itu merupakan lengkap selama lima tahun mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar iaitu 19 Jun 2018 yang lepas.

    Sebelum ini, pada 5 Jun, media melaporkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menerusi program ceramah PN di Tanjong Karang, mendakwa, DUN negeri itu akan dibubarkan pada 19 Jun.

    Sementara itu, Amirudin berkata, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Selangor juga masih belum mencapai kata sepakat dalam rundingan membabitkan tiga daripada 56 kerusi DUN.

    Menurutnya, setakat ini belum ada perbincangan rasmi namun satu lagi perbincangan terakhir dijangka berlangsung pada minggu ini sebelum keputusan dapat dimuktamadkan.

    “Belum ada perbincangan rasmi, dalam minggu ini ada satu perbincangan terakhir, dan selepas itu akan dimuktamadkan dan saya yakin sebelum atau selepas Hari Raya Aidiladha kita akan dapat (keputusan) dan putuskan,” katanya.

    Beliau berkata, bagaimanapun perbincangan bersama BN adalah jauh lebih baik berbanding bersama salah satu parti komponen dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya sebelum ini.

    “Semasa PR dahulu pada malam pilihan raya pun masih bertindih, pada Pilihan Raya Umum 2013, Pas letak calon di Kota Damansara, (Pas) rakan kongsi dan itu dah bertindih teruk,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • PRN Kelantan: Pas jangka PH, UMNO beri tentangan sengit

    PRN Kelantan: Pas jangka PH, UMNO beri tentangan sengit

    GABUNGAN Pakatan Harapan (PH) dan UMNO dijangka memberi tentangan sengit kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan, kata Naib Presiden Pas Pusat, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

    Justeru kata Timbalan Menteri Besar Kelantan itu, PN tidak pernah memandang mudah kepada ‘musuh’ mereka.

    “Pas dan rakan gabungannya kini sedang menyusun strategi dan sebahagian gerakan sedang berjalan dalam menghadapi tentangan pihak lawan.

    “Tidak mudah bagi mengatasi mereka kerana bagi kita setiap kali pilihan raya memang perlu berusaha bersungguh-sungguh dan kita tidak pandang mudah mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan 2022 Kali ke-13 di Kota Bharu hari ini.

    Menurutnya, tentangan juga sengit berikutan pertembungan dua penjuru selepas UMNO kerjasama dengan PH.

    Mohd. Amar berkata, parti lawan membangkitkan isu lama yang dikitar semula.

    “90 peratus isu yang dimainkan dikitar semula dan sudah dijawab dengan penjelasan sebelum ini.

    “Mereka mahu mencari perkara negatif dan bukan untuk mencari jawapan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Pas Kelantan masih simpan ‘peluru’, tunggu masa tepat

    Pas Kelantan masih simpan ‘peluru’, tunggu masa tepat

    PAS Kelantan memberi bayangan bahawa menjadi suatu kesilapan jika ada pihak menganggap mereka hanya berdiam diri kerana gagal menangkis serangan musuh politik parti itu.

    Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, mereka berdiam diri ketika ini kerana menunggu masa yang tepat untuk bertindak balas.

    Jelas Timbalan Menteri Besar Kelantan itu, menjelang detik ‘peperangan’ suasana sebegitu memang berlaku dan pihaknya masih menyimpan ‘peluru’ tertentu.

    “Biasalah kita nak perang. Dia serang kita dan selepas ini giliran kita pula. Pas Kelantan belum keluar lagi peluru kita.

    “Bukan tiada serangan balas tetapi masanya belum sampai. Dewan undangan negeri (DUN) belum bubar. Wisel belum ditiup macam mana nak berlari?

    “Tunggu pengadil sudah tiup wisel nanti, masa itu keluarlah buah-buah kita,” katanya berkias seperti dipetik Utusan Online di Kota Bharu hari ini.

    Kelantan adalah satu daripada enam pentadbiran yang bakal mengadakan pilihan raya peringkat negeri dalam tempoh terdekat. Negeri lain ialah Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

    Antara isu yang melatari Kelantan menjelang pilihan raya negeri (PRN) itu ialah kekurangan kemudahan asas khususnya bekalan air bersih yang digunakan pihak lawan Pas-PN.

    Banyak kejutan lain lagi

    Mohd. Amar mendakwa, 90 peratus daripada isu yang dimainkan pihak lawan hanya untuk memburuk-burukkan parti itu dan bukan serius mahu mendapatkan penjelasan.

    Keadaan itu, katanya, menunjukkan pihak lawan Pas kekeringan modal sehingga terpaksa menghidupkan semula isu lama, dengan kebanyakan daripadanya sudah diberikan penjelasan.

    “(Kerajaan negeri) jawab dengan fakta apa sekali pun mereka tidak akan dengar. Sebab itu kadangkala kita tidak pedulikan serangan-serangan ini.

    “Di satu sudut lain, mereka perlu serang Pas di Kelantan untuk menimbulkan rasa ragu-ragu dan menghalang pengundi-pengundi luar daripada menyokong PN kerana mereka melihat gelombang kebangkitan di luar sedang bergerak sekarang,” katanya.

    Mohd. Amar turut menganggap serangan pihak lawan tidak memberi kesan, sebaliknya lebih bersifat ‘peluru kapur’ saja.

    Beliau juga memaklumkan, selain bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa, masih ramai pemimpin dan personaliti terkenal bakal menyertai Pas atau Bersatu.

    “Lagipun pengisytiharan kemasukan tokoh-tokoh ini belum selesai sebenarnya.

    “Ada ramai lagi tokoh yang menyertai Pas di setiap negeri. Kami akan isytihar secara berperingkat mengikut masa yang sesuai dan masih banyak lagi kejutan-kejutan yang bakal dibuat selepas ini,” katanya.

  • PRN: Agihan kerusi PN selesai 97 peratus

    PRN: Agihan kerusi PN selesai 97 peratus

    PROSES agihan kerusi Perikatan Nasional (PN) di enam negeri yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) telah selesai 97 peratus.

    Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan terakhir mengenai agihan kerusi itu diadakan pada 5 Jun lalu.

    “Beberapa kerusi yang masih berbaki akan diputuskan dalam tempoh terdekat,” ujar Menteri Besar Terengganu itu.

    “Selepas perbincangan akhir pada 5 Jun lalu, kita telah selesai (agihan) 97 peratus kerusi daripada 245 kerusi. Ada lima, enam kerusi belum selesai. Jadi yang tu pilihan raya pun belum lagi. Ada masa lagi.

    “Baki agihan sebanyak tiga peratus tu saya jangka siap sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya lGI.

    Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc) dan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco) bagi mengkaji dan menerokai pembangunan loji tenaga solar fotovoltaik terapung di Tasik Kenyir di sebuah hotel di Hulu Terengganu, hari ini.

    Bagaimanapun, Ahmad Samsuri tidak mendedahkan kerusi-kerusi yang belum diputuskan itu.

    Selain itu, Beliau memberitahu, proses agihan 32 kerusi di Terengganu pula telah selesai 99 peratusi.

    “Satu kerusi je belum yang pastinya bukan kerusi DUN Rhu Rendang,” ujarnya lapor Utusan Malaysia.

    Dalam pada itu, Ahmad Samsuri memberitahu, proses pemilihan calon bagi PRN di enam negeri terlibat akan dibincangkan bermula Selasa ini.

  • UMNO hancur jika terima kembali ‘gunting dalam lipatan’, kata Ku Li

    UMNO hancur jika terima kembali ‘gunting dalam lipatan’, kata Ku Li

    TENGKU Razaleigh Hamzah khuatir UMNO akan hancur sekiranya tidak tegas menguatkuasakan disiplin, di sebalik desakan kepada kepimpinan parti supaya menerima kembali bekas ahli atau menarik balik hukuman.

    Veteran parti itu memberi amaran UMNO mengundang padah sekiranya ia menerima kembali ‘gunting dalam lipatan’, semata-mata kerana PRN akan diadakan tidak lama lagi.

    “Disiplin kena kuat kuasa. Kalau pasukan membiarkan ikut kehendak mereka…hancur,” katanya ketika ditanya mengenai keterbukaan UMNO menerima kembali bekas ahli, di Perhimpunan Agung UMNO 2023 pada Sabtu.

    Beliau yang menyertai semula UMNO pada 1996 selepas Semangat 46 dibubarkan, percaya membawa masuk gunting dalam lipatan tidak membantu mana-mana pihak.

    “Nak bawa masuk gunting dalam lipatan tak menguntungkan sesiapa,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

    Zahid pada ucapan penggulungan PAU 2023 berkata Umno sedia menerima kembali bekas ahli dan mereka yang digantung sekiranya tidak menyerang parti dari luar.

    Tokoh yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu berkata, sikap mereka selepas dihukum akan menunjukkan sama ada mereka setia atau membinasakan parti.

    Pendirian itu menyusuli gesaan demi gesaan daripada perwakilan yang berkata ramai yang masih sayangkan UMNO dan parti itu tidak boleh berpecah.

  • Saya tak tanding tak apa asal Umno tak menang – Annuar Musa

    Saya tak tanding tak apa asal Umno tak menang – Annuar Musa

    BEKAS pemimpin UMNO, Tan Sri Annuar Musa memberi gambaran bahawa dia tidak tergesa-gesa mahu menjadi calon Pas untuk bertanding pilihan raya negeri selepas menyertai parti itu hujung minggu lalu.

    Annuar, yang lima kali menjadi ahli parlimen sejak 1986 berkata, beliau menyertai Pas untuk mengejar matlamatnya untuk melindungi Islam dan Melayu, dan bukannya jawatan awam.

    “Saya tidak bertanding pun tidak mengapa, asalkan UMNO tak menang.

    “Jika diberikan mandat untuk bertanding, saya perlu berbincang dengan pucuk pimpinan Pas, bagi mengetahui untuk tujuan apa diamanahkan berbuat demikian.

    “Kalau tidak, boleh sahaja bagi peluang kepada anak-anak muda atau calon dalam kalangan ahli Pas yang sudah lama dengan parti ini, lagipun, saya masih baru dalam Pas” katanya seperti dilapor Harian Metro malam tadi.

    Ketika bersama UMNO, Annuar tiga kali menewaskan calon Pas dalam pilihan raya.

    Dia diumum diterima menyertai Pas pada Sabtu selepas dipecat daripada UMNO Disember lalu.

    Annuar mengakui bahawa menyertai Pas selepas 50 tahun dalam UMNO adalah keputusan yang sukar, tetapi dia tertarik dengan Pas kerana menurutnya parti itu ikhlas memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.

    “Sebelum ini saya cuba untuk tidak duduk dalam mana-mana parti. Saya cuba selama enam bulan, namun tidak mampu kerana politik sudah sebati dengan saya,” katanya.

    Sementara itu, Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan berkata, mana-mana ahli Pas boleh menjadi calon pada pilihan raya akan datang termasuk Annuar.

    “Mana-mana ahli Pas berhak menjadi calon yang sesuai dan mestilah calon itu boleh memberi kemenangan. Semua orang adalah antara calon PRN dan kita belum putuskan lagi.

    “Senarai pendek sudah ada dan sudah tentu kita akan gabungkan calon lama dan baharu. Semua kawasan sudah ada calon namun kita kini nak tentukan calon yang boleh beri kemenangan kepada parti.

    “Kita jangkakan senarai calon akan diputuskan minggu depan,” katanya seperti dilapor BH Online.