Category: Politik

  • Muhyiddin yakin PN menang ’20 kerusi’ menjelang PRN P. Pinang

    Muhyiddin yakin PN menang ’20 kerusi’ menjelang PRN P. Pinang

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjangkakan gabungan itu berdepan tentangan sengit menjelang pilihan raya negeri (PRN) di Pulau Pinang.

    Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, PN mampu menang hampir 20 kerusi.

    Pada masa sama beliau menyeru ahli gabungan terbabit bekerja lebih keras untuk menang satu lagi kerusi bagi membentuk majoriti mudah yang melibatkan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) keseluruhannya.

    “Sekarang dah hampir dekat 20 (kerusi) agak ya agak-agak lah kalau kita nak menang hanya perlu 51 peratus.

    “Tinggal satu peratus cari, tak kan tak boleh,” katanya ketika mengadakan pertemuan pada Konvensyen PN Pulau Pinang, lapor FMT.

    Muhyiddin berkata, walaupun kemenangan di peringkat negeri tidak mengubah apa-apa di peringkat Pusat, namu impak daripada kemenangan di PRN enam negeri akan bergema di seluruh negara.

    “Kesan dan impak besar daripada kemenangan besar di enam buah negeri akan mempermudah kita mengambil alih kerajaan pusat dalam satu tempoh yang akan datang insya-Allah,” katanya.

    Awal hari ini, Ketua Pemuda PN negeri, Zuzalee Ariffin mendedahkan berdasarkan kajian gabungan itu, 55 peratus orang Melayu Pulau Pinang menyokong PN, manakala 28 peratus menyokong Barisan Nasional (BN), dan 15 peratus bersama Pakatan Harapan.

    Katanya, 93 peratus masyarakat Cina di Pulau Pinang menyokong PH, dengan 1 peratus menyokong PN, dan 5 peratus menyokong BN.

    Masyarakat India juga sebahagian besar bersama PH dengan 84 peratus, dengan 12 peratus komuniti itu bersama BN, dan 4 peratus menyokong PN.

    “Kita hanya memerlukan sedikit peralihan daripada pengundi Cina dan India untuk menang. Hakikatnya, untuk menang di Pulau Pinang, kita perlu bekerja keras untuk menawan undi Cina,” katanya.

    Zuzalee juga mendakwa slogan pilihan raya PN negeri, ‘Pulau Pinang try kalih’, merekodkan tahap sokongan tinggi di TikTok, dengan perkongsian tanda pagar sebanyak 11 juta.

    PH menang 37 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2018, dengan BN menang dua dan Pas satu. Susulan penjajaran politik pada 2020, kedudukan kerusi PH berkurang kepada 33, memandangkan Bersatu meninggalkan PH, yang mana dua wakil rakyat PH menyertai Bersatu.

    Pada PRU14, Bersatu menang di Bertam, Seberang Jaya, Sungai Acheh, dan Teluk Bahang, di bawah PH. Bagaimanapun, semua kerusi itu diisytihar kosong susulan penguatkuasaan undang-undang anti-lompat.

    Justeru, menjadikan PN hanya mempunyai satu kerusi milik PAS, di Penaga.

    Sebelum ini, sumber dalaman PN memberitahu FMT, 15 kerusi majoriti Melayu berkemungkinan dikuasai PN, selaras sokongan pengundi muda terhadap gabungan itu.

  • PKR, MIC bakal berebut kerusi DUN Sentosa?

    PKR, MIC bakal berebut kerusi DUN Sentosa?

    PARTI Keadilan Rakyat (PKR) dijangka mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor akan datang.

    Perkembangan itu dilihat bertentangan dengan khabar angin bahawa MIC berminat untuk bertanding di DUN berkenaan.

    Ketua PKR Kota Raja, Gunaraj George memaklumkan kepada FMT bahawa ‘pucuk pimpinan’ parti muktamad DUN Sentosa akan ditandingi calon PKR, selepas mengambil kira pandangan penduduk.

    “Memang kerusi (Sentosa) tidak akan diberi kepada MIC memandangkan tiga penggal parti Pakatan Harapan (PH) menang di kawasan ini. Kita tidak boleh beri kepada sesiapa,” katanya.

    Gunaraj yang juga penyandang kerusi menyatakan kesediaan untuk bertanding semula di situ namun pimpinan tertinggi akan membuat keputusan.

    Beliau mengulas laporan Malaysiakini pada 3 Jun lalu, bahawa Barisan Nasional yang akan mempertahankan empat DUN meminta PH menawarkan 13 kerusi, termasuk Sentosa.

    Menurut laporan yang memetik sumber UMNO itu, MIC berminat untuk bertanding di Sentosa atau Dengkil, manakala MCA menyasarkan Kuala Kubu Bharu.

    Pada 11 Jun lalu, Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kedua-dua gabungan gagal mencapai kata sepakat bagi tiga kerusi.

    Pada PRU14, calon PH yang bertanding atas tiket PKR menang di Sentosa dengan majoriti 33,600 undi, Dengkil (6,934 undi), dan Kuala Kubu Bharu (7,134 undi).

  • Orang lama DAP sukar terima UMNO sekutu baharu

    Orang lama DAP sukar terima UMNO sekutu baharu

    ORANG lama dalam DAP masih sukar menerima pakatan baharu parti itu dengan UMNO, kata ahli akar umbi.

    Ahli DAP Bangi, S. Thamarai Chelvi berkata, sebilangan rakannya yang lebih berpengalaman menghadapi kesulitan untuk menerima susunan politik semasa parti dan mungkin sukar untuk menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    “Walaupun berada dalam kerajaan perpaduan, kami masih rasa adalah mencabar untuk bekerjasama dengan UMNO,” katanya memetik laporan FMT.

    Bagaimanapun, beliau berkata, ahli muda lebih terbuka kepada realiti politik baharu.

    Seorang lagi iaitu Ahli DAP Klang, Lee Fu Haw, mengakui sukar bagi ahli akar umbi bekerjasama dengan UMNO kerana persengketaan antara kedua-dua parti dalam beberapa dekad.

    Katanya, bagaimanapun ahli akar umbi sedia berusaha memperbaiki hubungan dengan UMNO.

    “Jika terus bersengketa, apa sebenarnya yang kami dapat,” soal Lee.

    Katanya, kedua-dua parti akan mendapat manfaat terbaik jika semua menerima DAP dan UMNO kini menjadi sekutu.

    Hubungan antara kedua-dua parti itu menjadi tumpuan baru-baru ini apabila Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, menuntut DAP memohon maaf atas tuduhan lampau terhadap partinya, menyatakan perkara itu penting menjelang enam PRN akan datang.

    Namun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi, berkata isu itu tidak perlu dipanjangkan.

    Ahli DAP Sepang, Azfar Faruqi berkata, ahli DAP dan UMNO di kawasannya sentiasa boleh bekerjasama.

    “(Bagi) Kebanyakan kami, jiran kami adalah orang UMNO, jadi kami tidak pernah menghadapi masalah untuk bergaul dengan mereka,” katanya.

    Beliau berkata, walaupun terdapat ‘pertembungan’ kecil antara ahli parti saingan, tidak pernah ada permusuhan antara ahli akar umbi, berbeza dengan ‘ketegangan’ yang selalu dipamerkan antara pemimpin tertinggi DAP dan UMNO.

    Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata, akar umbi kedua-dua parti harus mengambil pendekatan pragmatik.

    “Akar umbi (DAP) secara umumnya agak pragmatik. Mereka melihat kerajaan perpaduan pilihan lebih baik berbanding Perikatan Nasional sebagai kerajaan persekutuan,” katanya.

  • PRN: PN Pahang bantu kempen calon di tiga negeri

    PRN: PN Pahang bantu kempen calon di tiga negeri

    PERIKATAN Nasional (PN) Pahang akan menggerakkan jentera bagi membantu kempen calon parti dalam gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di tiga negeri.

    Pengerusinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kekuatan jentera daripada Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan diagihkan secara sama rata di Terengganu, Kelantan dan Selangor.

    “Perkara ini diputuskan Majlis Tertinggi PN Pusat dan PN Pahang bersedia untuk membantu ke tiga negeri terlibat sebagaimana yang diarahkan,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di Kuatan hari ini.

    Pada sidang akhbar terbabit, Saifuddin turut membentangkan laporan enam bulan pertama Ahli Parlimen Indera Mahkota itu selepas menyandang jawatan itu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

    Kata beliau, esok mesyuarat Badan Perhubungan PN negeri akan diadakan bagi melihat persediaan untuk membantu ke tiga-tiga negeri yang terlibat dengan PRN.

    “Malah, Kita juga akan bahagi pasukan (jentera) mengikut keperluan, Kita ada 14 kawasan Parlimen dan jentera yang akan dihantar mengikut keperluan mereka.

    “Kelantan dan Terengganu hampir sama keperluannya manakala Selangor mungkin sedikit berbeza kerana komposisi dan profil pengundi mereka. Jadi mungkin ada kaedah tertentu untuk kami menghantar pasukan untuk membantu masing-masing,” katanya.

    Saifuddin juga menjangkakan PRN, berlangsung sekitar awal Ogos ini kerana sudah sampai tempoh pembubaran.

    “Hanya SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) yang tahu secara tepat, tapi berdasarkan perkiraan kita PRN akan berlaku pada awal Ogos, logiknya menunggu kepulangan jemaah haji,” ujar beliau.

    Menjawab isu ’warlord’ UMNO yang akan sertai PN sebelum PRN ini, Saifuddin memaklumkan tidak mengetahui perkara terbabit.

    Sebaliknya, beliau difahamkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan membentangkan Akta Anti Lompat Parti pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka pada Ogos ini.

    “Sama ada, ada yang akan melompat ke PN atau tidak, itu saya tidak tahu. Yang saya tahu ialah Menteri Besar ingin membentangkan Akta Lompat Parti dalam sidang DUN akan datang.

    “Kami di PN Pahang menunggu taklimat selanjutnya. Cuma adakah akta ini hendak dibentang kerana takut ada ADUN mereka yang akan melompat, itu saya tidak tahu,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Mohon pengampunan diraja bukan bermakna seseorang itu tidak bersalah-Anwar

    Mohon pengampunan diraja bukan bermakna seseorang itu tidak bersalah-Anwar

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, permohonan pengampunan diraja yang dikemukakan bekas presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara bukan bermakna beliau tidak bersalah terhadap pertuduhan yang disabitkan terhadapnya.

    “Apabila anda memohon pengampunan, ia bukan bermakna anda menganggap diri anda tidak bersalah,” kata Anwar, yang turut dibebaskan selepas mendapat pengampunan diraja pada 2018 atas sabitan dan hukuman atas kesalahan meliwat, dalam satu wawancara bersama program 101 East Al Jazeera semalam.

    Anwar berkata, beliau percaya mahkamah yang mensabitkan Najib bersalah bertindak bebas.

    “Saya menyokong keputusan mahkamah. Dan saya percaya mahkamah bebas,” tambahnya.

    Najib, yang disabitkan pada 2020 atas kesalahan jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa ke atas dana SRC International, mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada Ogos tahun lalu.

    Pada Mac, Mahkamah Persekutuan menolak semakin kehakiman yang difailkan Najib atas sabitan dan hukumannya, sekali gus meneruskan kempen penyokongnya dalam Umno untuk mendapatkan pengampunan diraja.

    Pada April, Anwar mengakui bahawa beliau akan menjadi sebahagian daripada anggota Lembaga Pengampunan yang ditugaskan untuk memutuskan pengampunan untuk Najib.

    Anwar berkata, tidak wujud konflik kepentingan dengan beliau yang terlibat dalam proses pengampunan bagi seorang pemimpin daripada parti yang membentuk sebahagian daripada kerajaan campurannya.

    “Ada proses, dan saya menghormati proses itu.

    “Sesiapa sahaja, mana-mana banduan, berhak merayu kepada Agong dan memohon pengampunan.

    “Mengapa menafikan hak Najib? Biarkan proses itu berjalan,” katanya.

    Awal bulan ini, perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO, ketika Anwar menjadi tetamu jemputan, berdiri menyokong gesaan untuk mendapatkan ‘keadilan’ bagi Najib.

    Perwakilan membawa sepanduk mendesak agar beliau dibebaskan, manakala Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta keluarga Najib supaya bersabar.

    Penganalisis menegaskan gesaan untuk mendapatkan pengampunan Najib adalah sebahagian daripada ganjaran politik yang dituntut UMNO sebagai pertukaran kepada langkah parti itu untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri tahun lepas.

    Mereka juga memberi amaran Anwar boleh hilang segala-galanya jika pengampunan diraja tidak dapat dicapai.

    Rakan sekutu Anwar DAP dan Amanah setakat ini menjauhkan diri daripada kempen UMNO untuk membebaskan Najib, dengan mengatakan ia bukan pendirian kerajaan.

    Pemimpin utama dalam kedua-dua parti itu juga secara terbuka mengutuk sebarang tindakan untuk memberi pengampunan kepada Najib, yang menjadi sasaran serangan mereka dalam dua pilihan raya umum lepas.

  • Tak ramai hadir PAU petanda UMNO berpecah, kata pemimpin akar umbi

    Tak ramai hadir PAU petanda UMNO berpecah, kata pemimpin akar umbi

    PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) baru-baru ini mencatatkan kehadiran lebih rendah berbanding sebelumnya, kata beberapa perwakilan, dengan seorang mengaitkannya dengan perpecahan dalam parti.

    Seorang pemimpin akar umbi dari Johor yang enggan namanya disiarkan berkata, suasana pada PAU yang diadakan awal bulan ini amat menyedihkan.

    Jelasnya, keadaan tersebut tidak seperti PAU sebelum ini.

    ‘Mood’ kali ini sangat tidak baik. Ahli parti berpecah-belah. Ada yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan manakala yang lain memilih untuk menyertai parti yang mereka rasa perjuangkan hak Melayu,” katanya kepada FMT, merujuk kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Seorang lagi pemimpin akar umbi dari Tapah bersetuju PAU tahun ini menyaksikan perhimpunan perwakilan yang lebih kecil.

    “Sebagai orang lama dalam UMNO, (keadaan) ini menyedihkan saya. Rakan seperjuangan saya enggan hadir kerana tidak percaya dengan kepimpinan (parti),” kata pemimpin itu yang juga enggan namanya disiarkan.

    Beliau berkata, ramai hadir pada PAU untuk menunjukkan solidariti kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

    Semasa perhimpunan itu katanya, mereka mengangkat poster menuntut keadilan bagi bekas presiden UMNO yang kini dipenjarakan.

    Seorang lagi pemimpin akar umbi dari Negeri Sembilan, yang juga enggan namanya disiarkan, berkata, beliau hanya menghadiri perhimpunan untuk menilai perancangan parti bagi PRN akan datang.

    “Tetapi sebaik sahaja saya masuk ke dewan pada hari pertama (perhimpunan), saya dapat rasa kami tidak akan berjaya pada PRN.

    “PAU ialah acara terbesar bagi parti, tetapi, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, kali ini tidak ramai yang hadir,” katanya.

    Seorang pemimpin Pemuda dari Kuala Lumpur bersetuju penyertaan pada PAU kali ini lebih rendah, tetapi beliau menyangkal dakwaan ia disebabkan rasa tidak puas hati ahli terhadap kepimpinan semasa.

    Beliau berkata, kekurangan dana untuk menganjurkan acara, menyediakan pengangkutan, dan menyediakan makanan menyebabkan tidak ramai ahli menghadiri PAU kali ini.

  • PRN : Pembahagian kerusi PN Kedah selesai – Sanusi

    PRN : Pembahagian kerusi PN Kedah selesai – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Pembahagian kerusi melibatkan Perikatan Nasional (PN) di Kedah sudah pun selesai dengan pengagihannya dibuat bersandarkan kekuatan setiap parti dalam gabungan tersebut.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu bagaimanapun belum boleh didedahkan kerana belum sampai masanya.

    “Pengagihan selesai dengan aman tetapi tak boleh umum. Kena embargo dulu dan bila tiba hari penamaan calon nanti, semua orang tahulah. Pembahagiannya seimbang dibuat bersandarkan kekuatan, keupayaan, kesanggupan dan status quo masing-masing,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan Khemah, Meja dan Kerusi Kepada Majlis Ketua Kampung (MKK) Di Bawah Program Sejahtera Komuniti di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

    Sementara itu Muhammad Sanusi menjelaskan, kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya membatalkan projek kuari batu kapur di Gunung Pulai dan Gunung Baling seperti didesak beberapa pihak sebelum ini kerana kelulusan berkaitan perkara itu telah diberikan kepada syarikat terlibat oleh pentadbiran sebelum ini.

    Menurutnya, perkara itu perlu diteliti secara menyeluruh kerana ia tidak hanya melibatkan aspek perundangan malah implikasi kewangan.

    “Perkara itu sedang diuruskan dan ia bukan kelulusan baharu tetapi dari tahun 1997 lagi. Saya masih ingat, kes dekat Singkir, hendak batalkan projek kuari kena bayar RM40 juta..kerajaan negeri mana ada duit banyak hendak bayar, sebab itu ia ambil masa untuk selesaikan isu ini.

    “Tetapi, kerajaan negeri telah ambil pelbagai langkah antaranya pencegahan banjir dan sebagainya,” katanya.

    Pada Isnin lalu, lebih 1,000 penduduk yang tinggal berdekatan Gunung Pulai dan Gunung Baling mendesak agar kerajaan membatalkan projek kuari di kawasan tersebut kerana didakwa akan memberi impak terhadap pelbagai aspek termasuk ekonomi dan sosial sekiranya ia diteruskan.

  • ‘Saya tak peduli langsung nama dikaitkan” – Hasni

    ‘Saya tak peduli langsung nama dikaitkan” – Hasni

    Hasni jawab dakwaan beliau Antara tiga ‘Panglima Perang’ bakal sertai PN

    AHLI Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohammad tidak mengendahkan tuduhan antara tiga pemimpin UMNO yang dilabel ‘panglima perang’ dari Johor yang dikatakan bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.

     Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, sebarang huraian yang akan diberikan mengenai tuduhan itu tidak akan membawa erti kerana dirinya mahu menumpukan tugasnya sebagai wakil rakyat.

    “Ya, saya tahu nama saya terkait dengan nama tiga ‘panglima perang’ UMNO dari Johor itu. Tetapi saya tidak ambil peduli langsung label yang diberikan itu.

    “Ada yang bertanya kepada saya semalam pasal hal ini, tetapi saya tidak jawab. Pada saya penjelasan dan huraian ini tidak membawa apa-apa erti,” katanya ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut dan bekas Pengerusi UMNO Johor, menjelaskan ruang rayuan diberikan UMNO kepada ahli yang digantung dan dipecat tidak membawa sebarang erti sekiranya gelaran negatif diberikan.

    “Ini bukan masanya melabel sesiapa. Lebih-lebih bila kerajaan mempunyai banyak perancangan untuk menjadikan negara kita sebagai destinasi pelaburan. Selain banyak usaha perlu dilakukan untuk menstabilkan kerajaan.

    “Jadi tidak mungkin kerajaan boleh stabil jika parti tidak. Kalau ada perkara yang boleh menyumbang kepada ketidakstabilan kerajaan maka usaha untuk melabel sebagai ‘warlord’, pengkhianat dan parasit, ini bukan pendekatan mencari kebaikan.

    “Begitu juga saya melihat, usaha untuk memberi ruang merayu ke atas mereka yang diambil tindakan sama ada dipecat atau pun digantung daripada parti. Apa juga kaedahnya masalah yang ada di hadapan tak selesai. Oleh itu, apa kebaikannya jika memberi label negatif kepada pemimpin tertentu,” katanya.

    Pada Selasa, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman meminta pemimpin dan ahli UMNO yang mempunyai rasa kurang senang hati dengan hala tuju baharu parti agar tidak menjadi parasit yang hanya akan merosakkan parti.

    Sebelum ini, PN mengumumkan 10 ‘panglima perang’ atau ‘warlord’ UMNO yang bakal menyertai gabungan itu menjelang pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi, di mana tiga daripada mereka dikatakan berasal dari Johor.

    Menurut sumber, ketiga-tiganya adalah pemimpin berpengaruh dan mempunyai jawatan penting dalam UMNO sebelum ini.

  • MB menghadap Sultan 25 Jun, cadang DUN Kedah dibubar 28 Jun 

    MB menghadap Sultan 25 Jun, cadang DUN Kedah dibubar 28 Jun 

    Oleh RIZQI ZABIDI 

    MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor akan menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 25 Jun depan bagi menyembah maklum cadangan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini dibubarkan pada 28 Jun depan. 

    Menurut Muhammad Sanusi, pemilihan tarikh itu dibuat bersempena hari Wukuf di Arafah yang membawa maksud ‘berhenti’, serta merupakan salah satu rukun haji terpenting buat umat Islam. 

    Begitu pun katanya, pembubaran DUN negeri ini pada tarikh tersebut masih tertakluk kepada perkenan Sultan Kedah. 

    “Saya kena dapat perkenan Tuanku dulu dan saya akan menghadap baginda pada 25 Jun nanti. Saya cadang persembahkan kepada Tuanku cadangan pembubaran pada 28 Jun sempena hari Wukuf yang bermaksud berhenti.

    “Itu cadangan saja, kalau Tuanku perkenan baharu saya akan umum secara rasmi. Kalau Tuanku tak perkenan kita boleh lanjut tarikh itu sampai tarikh matang DUN Kedah pada 4 Julai dan segalanya terserah kepada Tuanku.

    “Tindakan lanjut selepas pembubaran berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk hari penamaan calon dan hari pengundian,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan Khemah, Meja dan Kerusi Kepada Majlis Ketua Kampung (MKK) Di Bawah Program Sejahtera Komuniti di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Ditanya dakwaan ditimbulkan penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kononnya Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan kembali menjadi Menteri Besar selepas PRN berlangsung, Muhammad Sanusi berkata Mukhriz sendiri telah menafikan perkara itu di laman media sosialnya.

    “Mukhriz sudah buat status tak akan kembali (jadi Menteri Besar). Nak jadi Menteri Besar kena menang pilihan raya dulu. Kalau jadi calon awal tetapi tak menang, bukan boleh dilantik jadi senator untuk jadi Menteri Besar,” katanya. 

    Sementara itu katanya, dakwaan kononnya kerajaan negeri Kedah tidak berbuat apa-apa sepanjang tiga tahun di bawah Perikatan Nasional (PN) dibuat oleh orang politik ‘yang buta dan pekak’. 

    Katanya, pelbagai perkara dilakukan kerajaan negeri selama ini termasuk kejayaan menarik pelaburan baharu. 

    “Pandanglah dengan hati ikhlas an jangan jadi pekak atau buta. Berlapang dada untuk mengakui perkara yang baik. Banyak kita yang kita laksanakan antaranya Projek Kedah 2035 di mana pelbagai inisiatif kita rangka. Ketika Sidang DUN Kedah mereka kata saya tak terangkan, jadi saya jemput semua pembangkang ke taklimat khas Kedah 2035 tetapi yang datang seorang saja iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kundor, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi,” katanya.

  • DAP ada pengaruh kuat dalam Kerajaan Perpaduan – Tun Mahathir

    DAP ada pengaruh kuat dalam Kerajaan Perpaduan – Tun Mahathir

    Oleh TUN DR.MAHATHIR MOHAMAD

     SEBELUM PRU15 terdengar berita angin bahawa orang Melayu sudah bosan dengan politik. Benarkah?

    Dalam PRU15, 75% sahaja dari pengundi Melayu keluar mengundi. Apakah ini bermakna 25% Melayu bosan? Tetapi 95% dari orang Cina keluar mengundi. Apakah ini bermakna orang Cina tidak bosan dengan politik di Malaysia? Apakah ini bermakna mereka berminat dengan politik. Mengapa?

    Apa kesannya? Pada PRU 14 DAP dapat 42 kerusi Dewan Rakyat. Tak pernah jumlah yang begini besar. Sebab – Pengundi Melayu dari parti Bersatu, yang benci dengan Najib, beri undi kepada DAP. Pada PRU15 Bersatu tidak lagi bersama dalam Pakatan Harapan (PH). Sudah tentu DAP tidak dapat undi Melayu.  Tetapi DAP menang 40 kerusi Dewan Rakyat.

    Sebab? Kerana 95% orang Cina keluar undi. Orang Cina tidak bosan. Hasilnya Pakatan Harapan yang lebih ramai bukan Melayu memperolehi 82 wakil rakyat. Sementara orang Melayu yang jadi majoriti penduduk di Malaysia dapat hanya 73 wakil rakyat (tidak termasuk Melayu Keadilan, Amanah dan DAP).

    Hari ini parti yang terbesar dalam Kerajaan ialah DAP. Tentulah pengaruh DAP dalam Kerajaan Unity amat kuat.

    *Dipetik daripada Twitter Tun Dr.Mahathir Mohamad.