NAIB Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menyanggah kenyataan dangkal daripada pihak Umno yang menyamakan hubungan parti itu dengan DAP adalah seperti kerjasama terdahulu pernah dilakukan PAS.
Katanya, Pas bersama DAP khususnya menerusi Pakatan Rakyat (PR) dahulu tanpa sama sekali memberi ‘walak’ mahupun dikawal oleh parti tersebut, berbeza dari UMNO yang kini tidak lagi memegang prinsip perjuangannya.
Beliau berkata, Pas boleh bersama DAP sebagai barisan pembangkang ketika itu kerana wujud usaha dan perbincangan bagi menentang isu-isu seperti ketirisan dan kebobrokan yang berlaku di pihak pemerintah kerajaan.
“Bukan kita buat (tahaluf siyasi) secara sembarangan. Kalau kita ni nak sangat kuasa, kebulur untuk nak jadi menteri, nak jadi menteri besar, nak jadi Exco, kita akan (terus) berpakat dengan DAP dalam PR,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Jentera Bantu Pilihan Raya Pas Telok Bahang, di Balik Pulau malam tadi, lapor harakahdaily.net
Katanya, PRU-14 memperlihatkan pengajaran khususnya kepada orang Melayu-Islam di mana DAP walaupun dengan kerusi yang bukan majoriti, tetapi cukup mempengaruhi kedudukan, bahkan menguasai Putrajaya.
Tegas Idris, DAP lebih awal menunjukkan sikap menentangnya terhadap Pas dan keluar daripada Barisan Alternatif (BA) sebelum itu kerana ketegasan Pas terhadap Dokumen Negara Islam.
“Ini prinsip perjuangan kita. Dalam kita berpolitik, kita meletakkan maslahah ummah dan maslahah agama mengatasi segala-galanya,” katanya menangkis pelbagai tohmahan dan label buruk pernah dipalitkan kepada Pas.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai turut menceritakan revolusi di peringkat ahli-ahli Umno dan penyokong Pakatan Harapan (PH) atas penipuan dilakukan para pemimpin mereka pada PRU-15.
“Bukan satu benda mustahil orang-orang Cina menolak DAP kerana mereka ni pun pantang tok nenek juga jenis tipu-tipu ni. Mereka tak boleh terima pemimpin yang menipu. Dulu kamulah duduk menyanyi ‘hoi hoi ya hoi‘.
“Penyamun, penyangak apa yang kamu (PH) tak kata? Sekarang kes 1MDB kamu senyap. Dulu kes LCS kamulah yang bangkitkan. Pada maruah orang Cina mereka nak tengok pemimpin yang cakap serupa bikin,” ujarnya lagi.
Begitu juga kata Idris di pihak ahli bawahan Umno sukar menerima DAP kerana sering mempertikaikan dasar Bumiputera, selain menghina orang Melayu dan membangkitkan sensitiviti lain.
Category: Politik
-
Pas tidak buat tahaluf siyasi sebarangan – Idris
-
Ahli Parlimen PN tidak lagi bertanding dalam PRN di Kedah
Oleh RIZQI ZABIDI
DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) di Kedah yang menjadi Ahli Parlimen setelah menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, selain kedua-dua individu berkenaan, terdapat juga ADUN-ADUN lain dalam PN yang menyatakan hasrat untuk tidak lagi bertanding dalam PRN kali ini.
“ADUN Pas pun ada, ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pun ada (tak mahu bertanding dalam PRN kali ini). Orang Pas ini tawaduk, tak boleh tawarkan diri dan kalau tak dipilih, maka tak datanglah beban.
“ADUN PN yang dah jadi Ahli Parlimen pun dah nyatakan hasrat tak mahu bertanding, berilah kepada orang lain pula untuk jadi calon,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.
Ketika ini terdapat dua ADUN Kedah dari PN yang turut bergelar Ahli Parlimen iaitu Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Ahli Parlimen Kubang Pasu) dan Datuk Azman Nasrudin (Ahli Parlimen Padang Serai).
Ku Ismail yang merupakan ADUN Guar Chempedak memegang jawatan exco sebagai Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Pengajian Tinggi negeri manakala Azman pula yang merupakan ADUN Lunas, merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perusahaan Perladangan, Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri
Muhammad Sanusi menambah, dalam Pas, keputusan untuk menjadi calon tidak terletak pada batang tubuh mana-mana individu.
“Kalau parti kata ‘kamu bertanding’, maka kena bertandinglah. Etika kami begitu kerana apabila diputuskan jemaah, maka jadi kewajipan untuk mereka pikul amanah tersebut. Hal itu termasuklah mereka yang kata tak mahu bertanding. Ada kemungkinan parti arahkan dan kalau dah diputuskan begitu, maka jadi satu kewajipan buat individu berkenaan,” katanya.
Menurutnya, senarai nama calon akan ditapis oleh Majlis Syura dari ‘bank’ calon yang ada di setiap DUN.
“Satu DUN mungkin ada tiga atau empat nama. Maka Majlis Syura akan putuskan siapa yang layak untuk diketengahkan,” katanya.
-
Rafizi, takkan ingin biarkan ringgit jatuh begitu sahaja – tanya Isham Jalil
SEORANG ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyifatkan, kejatuhan pasaran modal dan ringgit ketika ini sebagai satu krisis yang perlu dibincangkan segera oleh kerajaan.
Ahli MKT UMNO, Isham Jalil, berkata ini kerana ringgit sudah lama jatuh serta terus jatuh hingga memberi kesan buruk kepada kenaikan harga barang dan makanan negara yang kebanyakan bergantung kepada import.
“Rafizi (Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli) kata kerajaan tidak bincang lagi pun tentang sama ada kerajaan akan campur tangan untuk mempertahankan ringgit. Dia kata kita bukan ada banyak rizab pun untuk mempertahankan ringgit.
“Saranan saya, kerajaan perlu bincang segera. Ringgit sudah lama jatuh dan terus jatuh dan ini memberi kesan buruk kepada kenaikan harga barang dan makanan yang banyak bergantung kepada import,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, hari ini, lapor Berita Harian.
Isham berkata, ada banyak cara kerajaan boleh mempertahankan ringgit dan bukan hanya dengan menggunakan rizab.
“Perlu bincang segera, jika tidak takkan kerajaan ingin biarkan ringgit jatuh begitu sahaja, Rafizi?,” katanya.
-
Bertanding secara anak jantan, jangan cakap lain buat lain- Sanusi
Oleh BADLISHAH MAT
PRINSIP demokrasi wajar dipraktikkan oleh semua pihak yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu perlu diamalkan bermula sejak hari pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga ke hari pengundian dan pembentukan kerajaan pasca PRN.
Katanya, mana-mana parti termasuk Perikatan Nasional (PN) sendiri perlu memastikan mereka menggunakan kapasiti dan kekuatan sendiri tanpa perlu melibatkan aset kerajaan sepanjang berkempen.
“Bertanding secara anak jantan, jangan cakap lain buat lain. Jangan guna harta kerajaan untuk kempen, jangan guna dana kerajaan untuk kempen, jangan guna agensi kerajaan untuk kempen dan jangan guna jabatan kerajaan untuk kempen.
“Saya juga telah memohon Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah untuk menggariskan perkara-perkara yang boleh dilaksanakan sepanjang menjadi kerajaan interim (selepas DUN bubar).
“Kita turut mengarahkan semua Exco memulangkan kenderaan rasmi pada hari pembubaran kerana mahu sepanjang mereka berkempen tak guna harta kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berharap perkara sama dilakukan oleh parti-parti lain yang akan bertanding pada PRN tersebut bagi memastikan prinsip demokrasi benar-benar diamalkan.
“Kalau ada lori yang dibeli sebagai harta kerajaan parking dahulu. Selepas itu (kalau menang) dilantik jadi Exco ambil lah semula,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan tarikh cadangan untuk menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah masih 25 Jun seperti yang dirancang bagi memohon perkenan baginda untuk membubarkan DUN Kedah.
“Saya akan umum tarikh (bubar) selepas Tuanku perkenan. Ada orang umum sebelum Tuanku perkenan, tak boleh begitu. Cuma saya cadang kita menghadap 25 Jun untuk nak cadang tarikh bubar (28 Jun), kalau Tuanku perkenan saya akan umumkan,” katanya.
-
Amanah tepis tuntutan kerusi Ketua Amanah Hulu Selangor
KEPIMPINAN Parti Amanah Negara (Amanah) menepis tuntutan oleh Ketua Pemuda Amanah Bahagian Hulu Selangor yang mahu sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam atau DUN Batang Kali diberikan kepada parti itu sebagai pendapat peribadi.
Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, kerajaan perpaduan mempunyai formula tersendiri untuk mengagihkan kerusi di Selangor dan lima negeri lain yang akan berpilihan raya tidak lama lagi.
“Hanya pendapat peribadi beliau,” katanya mengulas kenyataan Abdul Mun’im Roslin yang mahu salah satu kerusi itu diberikan kepada Amanah kerana rekod perkhidmatan parti tersebut di situ, lapor FMT.
Mun’im dalam kenyataan semalam tidak bersetuju dengan niat UMNO untuk bertanding di Hulu Bernam dan Batang Kali atas alasan kerusi tradisi.
Beliau berkata, tiada jaminan Barisan Nasional boleh menang lagi di situ.
UMNO mewakili rakyat Hulu Bernam sejak dua penggal lalu, manakala Bersatu merampas Batang Kali daripada UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Perbincangan rundingan kerusi di peringkat jawatankuasa telah selesai dan hasilnya dikemukakan kepada kepimpinan parti,” kata Adly yang terlibat dalam rundingan kerusi kerajaan perpaduan.
-
PRN jadi ‘kayu ukur’ akar umbi UMNO-DAP
MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung di enam negeri tidak lama lagi, sokongan dalam kalangan akar umbi UMNO terhadap DAP dan sebaliknya terus menjadi persoalan utama.
Meskipun pemimpin tertinggi kedua-dua parti itu bersetuju untuk bekerjasama membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lepas, jelas sekali perasaan kekok antara ahli parti tidak dapat disembunyikan.
Perkara ini ibarat terang lagi bersuluh apabila Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini menuntut supaya DAP memohon maaf dan menarik semula segala tomahan yang dilemparkan kepada parti Melayu itu selama ini.
Meskipun tuntutan itu tidak ditunaikan ‘rakan’ baru UMNO itu, kedua-dua pihak bagaimanapun bersetuju untuk saling membantu, malah menyarankan ahli parti mengundi sama sendiri dalam usaha menghalang Perikatan Nasional (PN) meluaskan pengaruh di negara ini.
Bercakap dengan MalaysiaNow, ahli UMNO Gombak yang bakal mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Razman Hakimi Abdullah berkata, agak sukar untuk membayangkan dirinya mengundi wakil rakyat daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) selepas mengimbau kembali sejarah permusuhan kedua-dua pihak tersebut.
Katanya, tuntutan yang dibuat oleh Akmal adalah sangat berasas dan perlu dilaksanakan pemimpin DAP sekiranya mereka inginkan sokongan daripada akar umbi UMNO.
“Dulu teruk kami dihina, dikeji apabila pemimpin DAP khususnya Lim Kit Siang membawa naratif bahawa UMNO adalah parti rasuah. Kononnya kami semua ambil rasuah,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Kini, apabila salah seorang pemimpin mereka, V. Sivakumar dikaitkan dengan salah laku, pandai pula minta rakyat jangan ‘hukum’ seluruh ahli parti itu.
“Sebab itu mereka (DAP) perlu minta maaf. Ramai ahli UMNO sudah terguris hati.”
Mengulas mengenai percaturan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) untuk berdepan PRN kali ini, Razman merasakan tidak adil sekiranya calon daripada UMNO tidak dibenarkan bertanding untuk memberi laluan kepada calon gabungan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
Katanya, perkara itu sewajarnya ditentukan rakyat yang berhak memilih calon untuk mewakili suara mereka.
Bagi Razman, dia kemungkinan akan berbuat demikian kerana rasa tidak selesa dengan prestasi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang pada masa ini dan dijangka beralih undi kepada PN termasuk jika gabungan politik itu meletakkan Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai calon.
“Jika bertembung sekalipun, biar rakyat yang pilih. Silap-silap keputusan ini akan sebabkan ahli untuk tidak mengundi, atau lebih teruk, mengundi pihak lawan.
“Jangan terkejut jika PN tawan DUN sekitar Gombak,” kata Razman sambil menegaskan ini adalah pandangan peribadinya.
Sementara itu, ahli DAP daripada Sembrong yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah berkata, kerjasama antara BN-PH lebih penting bagi UMNO memandangkan DAP masih berupaya mempertahankan kerusi tradisi mereka di kawasan bandar.
Katanya, tanpa UMNO, kemungkinan besar DAP atau parti komponen PH masih mampu menang di kawasan membangun, namun persoalan utama ialah sama ada UMNO mampu pertahankan kerusi mereka.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15, UMNO menyaksikan kekalahan teruk apabila hanya mampu meraih 26 kerusi Parlimen, setelah kebanyakan ‘kubu’ parti itu ditawan PN dengan Pas meraih kerusi tertinggi diikuti DAP.
“Mungkin ahli UMNO yang masih membantah usaha sama UMNO-DAP, tidak memahami mengapa kerjasama ini perlu dilaksanakan.
“Kami dalam kalangan ahli DAP memahami situasi semasa, oleh itu kami tidak berasa kekok,” katanya, lapor MalaysiaNow.
-
Pengundi muda terus kekal bersama PN pada PRN
SOKONGAN dan momentum prestasi Perikatan Nasional (PN) menerusi Pas dan pengundi muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat dapat terus dikekalkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Prof. Datuk Dr. Mohamad Nasir Saludin berkata, lebih mengejutkan lagi gerakan Pas dari Pantai Timur itu juga dilihat semakin tersebar menghala ke barat dan juga selatan.
“Hasilnya amat memberangsangkan di mana gabungan dalam PN itu terdiri daripada tiga parti komponen besar iaitu Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). Kita lihat kerjasama yang erat itu membuahkan hasil dan momentum PRU15 itu akan terus dikekalkan, tidak pernah dilenturkan.
“Kerjasama tiga parti itu amat baik, contohnya kita lihat setiap negeri sudah membuat persiapan untuk PRN ini dan sambutan amat menggalakkan apabila PN membuat himpunan mega di mana disertai oleh satu golongan yang amat kita perlukan iaitu golongan muda.
“Kita lihat hasil PRU15 itu macam ada kebenaran ‘gelombang hijau’ itu bergerak daripada sebelah timur, utara menghala ke arah barat dan selatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam program Wacana Sinar Siri ke 402 yang bertajuk PRN: Debar Menunggu Bubar yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam malam tadi.
Program yang dihoskan Ismail Adnan itu turut menampilkan dua panelis lain iaitu Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari dan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak.
Sementara itu, ujar beliau, keyakinan terhadap gelombang itu turut ditambah lagi dengan penglibatan beberapa tokoh UMNO yang turut menyertai ke komponen parti PN seperti Tan Sri Annuar Musa.
Menurutnya, penyertaan tokoh itu merupakan satu nilai tambah yang baik kepada pimpinan PN untuk meraih lebih ramai lagi undi dalam PRN akan datang.
“Beliau (Annuar) ada pengikut-pengikut tegarnya, jadi mereka akan menyokong. Itu akan menambahkan lagi kekuatan,” ujarnya.
Dalam pada itu ketika ditanya mengenai siapa lagi tokoh-tokoh UMNO yang akan menyertai PN, Mohamad Nasir berkata, ada beberapa lagi nama baharu namun ia bukan di bawah kuasa beliau.
“Ada nama baharu, tetapi itu di bidang kuasa kami. Kami mengalu-alukan sesiapa yang mahu sertai parti kami,” katanya, lapor Sinar Harian.
-
Agihan kerusi PH-BN: Enam daripada Sembilan pertindihan di tiga negeri
BERLAKU enam daripada sembilan pertindihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan BN pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang di Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah.
Daripada enam kerusi berkenaan, pertindihan dua kerusi berlaku di Selangor dan dua kerusi di Negeri Sembilan manakala dua kerusi di Kedah.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaludin Alias mengesahkan pertindihan di Negeri Sembilan ketika dihubungi Malaysiakini.
“Dua (kerusi) saja (berlaku pertembungan). (Kita) serah kepada majlis presiden untuk memutuskannya,” katanya tanpa mendedahkan dua kerusi yang bertindih itu.
Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, isu pertindihan kerusi antara PH dan BN di beberapa negeri termasuk Selangor bagi PRN yang tidak dapat diputuskan di peringkat negeri, akan diselesaikan oleh kepemimpinan tertinggi kedua-dua gabungan.
Amirudin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, perkara itu akan dibawa kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk diputuskan.
Selain Selangor, Amirudin berkata, terdapat sebilangan kecil kerusi di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Terengganu yang perlu dimuktamadkan di peringkat kepimpinan tertinggi.
Dalam pada itu, sumber UMNO Kedah memaklumkan, terdapat dua pertindihan kerusi di negeri itu antara PH dan BN yang kini dalam rundingan.
“Di Kedah hanya dua kerusi yang masih gagal diselesaikan. Kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menyelesaikan isu berkenaan,” katanya.
Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub pula memaklumkan proses agihan kerusi antara PH dan BN di negeri itu berjalan lancar dan tiada pertindihan berlaku.
Bagaimanapun nada berbeza di Terengganu apabila Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said memberi bayangan wujud pertembungan dengan PKR dalam soal agihan kerusi.
Ahmad dilaporkan menggesa PKR mengukur kekuatan mereka di Terengganu sebelum meminta untuk bertanding di lebih banyak kerusi.
Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, pertembungan di negeri berkenaan lebih tertumpu kepada BN dan Pas.
Terdahulu, Pengerusi PKR Terengganu, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, parti itu berpotensi untuk menawan beberapa kerusi di negeri itu dan memiliki kekuatan di kawasan bandar.
Pada Pilihan Raya Umum PRU14, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing bertanding di 11 DUN di Terengganu manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang ketika itu masih merupakan komponen dalam PH, bertanding di 10 kerusi.
Namun kesemua calon PH ditewaskan sama ada oleh Pas atau BN.
-
MB Selangor tak kata ada kerjasama Muda-PH dalam PRN
MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak pernah berkata, bahawa Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di negeri itu.
Setiausaha akhbarnya, Jay Jay Denis berkata, apa yang dinyatakan oleh Amirudin adalah pendirian dan komitmen Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga kini yang menganggap MUDA sebagai rakan kerja.
Jelasnya, ini susulan kerjasama antara mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.
“Apabila ditanya oleh wartawan sama ada Pakatan Harapan akan berunding dengan MUDA dalam PRN Selangor yang akan datang, menteri besar menjawab bahawa rundingan dengan MUDA akan ditentukan oleh PH dengan fahaman bahawa PH dan MUDA adalah rakan sekerja.
“Amirudin juga tidak bercakap bagi pihak MUDA. Saya berharap kenyataan ini dapat diperbetulkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau meminta agar MUDA berhenti dari menampilkan politik yang tidak matang dan membuat semakan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Kalau nak main politik pun, paling kurang semaklah fakta,” katanya, lapor FMT.
Terdahulu, Ketua Penerangan MUDA, Luqman Long berkata, kenyataan dikeluarkan Amirudin yang MUDa akan meneruskan kerjasama dengan gabungan itu pada PRN akan datang adalah tidak benar.
Katanya, setakat ini tiada rundingan dibuat bersama PH berhubung kerjasama, jumlah kerusi dan kawasan akan ditandingi pada PRN.
Beliau merujuk hantaran Facebook PKR yang memetik Amirudin sebagai berkata: “Muda akan terus bekerjasama dengan PH dalam PRN”.
Bagaimanapun, hantaran itu kemudiannya dipadamkan.
-
Rafizi enggan ulas kenyataan UMNO Terengganu PKR perlu ‘ukur baju badan sendiri’
TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli enggan mengulas kenyataan Ketua UUMNO Terengganu, DatuK Seri Ahmad Said yang meminta parti itu ukur baju di badan sendiri sebelum meminta kerusi untuk ditandingi pada PRN.
Beliau yang terkenal dengan jolokan ‘raja formula’ itu menganggap itu perkara biasa untuk parti lama seperti UMNO meminta parti baharu menunjukkan kekuatan mereka.
“Saya tak nak komen (mengenai kenyataan Ahmad). Dulu dengan Pas setiap kali runding kerusi akan ada jangkaan seperti parti lama akan tanya parti baharu untuk tunjukkan kekuatan mereka.
“Tak ada masalah. Itu ‘common sense’. Tetapi saya fikir walaupun kita parti baharu, kita mempunyai rekod pilihan raya yang baik,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Semalam, Ahmad berkata, PKR perlu melihat kekuatan dimilikinya di negeri itu berdasarkan aspek jentera, jumlah penyokong dan ahli peringkat akar umbi sebelum meminta kerusi pada PRN.