Category: Politik

  • Sikap tamak kuasa merugikan PH sendiri – Roslan SMS

    Sikap tamak kuasa merugikan PH sendiri – Roslan SMS

    SIKAP tamak kuasa pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) hanya merugikan mereka sendiri, kata Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir.

    Menurut beliau, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghulurkan tangan menawarkan kerjasama bipartisan kepada parti-parti pembangkang dengan syarat menyokong undi percaya terhadap beliau.

    Malah, katanya, berbagai tawaran dilontarkan kepada blok pembangkang khususnya PH sehingga ada dalam kalangan penyokong kerajaan yang gusar.

    “Tetapi lantaran tamak dan bernafsu tinggi, mereka menolak tawaran itu kononnya percaya jika Muhyiddin jatuh merekalah yang akan naik berkuasa.

    “Ditakdirkan Allah SWT apabila Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan kerana gagal mendapatkan sokongan PH, parti-parti blok kerajaan kembali bersatu dan memberikan majoriti 114 kerusi kepada calon baharu Perdana Menteri iaitu Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, lantas beliau diangkat sebagai Perdana Menteri kesembilan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Semalam, Ismail Sabri mengumumkan, tiada pemimpin pembangkang akan dilantik menganggotai Kabinet sekali gus menamatkan spekulasi berhubung pembentukan kerajaan perpaduan.

    Roslan Shahir menambah, kini tiada lagi keperluan bagi Ismail Sabri mendapatkan bantuan daripada blok pembangkang kerana sokongan yang diterimanya melebihi angka majoriti mudah.

    Beliau memberitahu, Ismail Sabri membuat keputusan yang tepat apabila menyatakan bahawa tiada wakil pembangkang akan menganggotai pentadbiran kerajaan.

    “Namun atas sifat keterbukaan beliau demi bersama membina semula negara Perdana Menteri menawarkan blok pembangkang untuk sertai Majlis Pemulihan Negara atau MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19,” jelasnya.

    Sehubungan itu, Roslan Shahir meminta mereka menjadi pembangkang yang membina dan membiarkan Perdana Menteri serta kerajaannya menjalankan tugas.

    “Kesimpulannya tak perlulah menyorong-nyorong pipi apabila hidung sudah ditakdirkan tidak mancung. Tamak selalu rugi,” katanya.

  • Buang sikap lama, jangan jejas imej PM – Md Alwi

    Buang sikap lama, jangan jejas imej PM – Md Alwi

    SEMUA pemimpin UMNO seharusnya menjauhi sikap lama mereka yang boleh menjejaskan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan menimbulkan kemarahan rakyat.

    Peringatan itu disuarakan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad berikutan isu terlalu ramai penyokong yang berkerumun semasa Ismail Sabri membuat lawatan kerja di lokasi bencana kepala air di Yan, Kedah, semalam.

    “Macam semalam, viral di Kedah sampai berpuluh buah kereta ikut (PM), dalam kapal terbang. Tidak mengapa, hendak ikut itu bagus tetapi ini imej lama.

    “Imej ini yang menyebabkan orang marah dengan kita, jadi berpada-pada, boleh pergi tapi tak payah menunjuk,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

    Beliau berkata demikian kepada media di luar dewan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas itu menambah, sukar untuk mereka berdepan dengan rakyat jika masih kekal dengan imej lama.

    “Orang akan kata, UMNO berkuasa macam itulah. Itu yang saya tegur sikit, bukan saya ‘jealous’ (cemburu) memang kita semua kena meraikan PM, tetapi bukan cara macam itu.

    “Ini kerumun sampai begitu sekali, sampai jadi viral, ramai tak payah lah. Jagalah imej PM daripada UMNO jika kita nak tahan lama.

    “PM tak salah, takkan PM hendak halau dan marah, tetapi kita kena tahu dan kita tolong jaga imej parti kita,” jelasnya.

    Pada masa yang sama, Md Alwi berharap tegurannya itu tidak disalah faham kerana niatnya cuma ingin menjaga imej Perdana Menteri.

    Beliau berkata, pemimpin-pemimpin UMNO seharusnya sedar bahawa rakyat sentiasa memerhatikan gerak-geri mereka dan usaha menjaga imej Perdana Menteri adalah tanggungjawab bersama.

    “Lagipun, (saya) tidak suka dan tidak seronok tengok komen media sosial yang tak bagus. Dalam masa beberapa hari ini, dah jadi macam dulu-dulu dan sampai tiga batu ikut (konvoi kenderaan yang mengekori). Gembira dan meraikan PM itu bagus tetapi jangan berlebih-lebihan,” ujarnya.

  • Pemuda PH P. Pinang berbalah isu tukar Anwar

    Pemuda PH P. Pinang berbalah isu tukar Anwar

    KEPIMPINAN sayap pemuda PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) di Pulau Pinang tidak sehaluan dalam isu menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.

    Dalam kenyataan pada 21 Ogos lalu, Ketua Pemuda PAN Tanjong, Mohd Faruk Abdul Rahman menggesa agar PH memutuskan pelantikan seorang tokoh yang baharu bagi menggantikan Anwar sebagai Pengerusi PH dan Ketua Pembangkang.

    Beliau mencadangkan agar tugas itu digalas oleh Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad.

    “Seharusnya kita mengangkat tokoh seperti Tun Dr. Mahathir Mohamed yang mempunyai pengalaman luas dalam politik negara dalam masa yang sama bukan untuk menidakkan usaha serta kesungguhan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bermati-matian memperjuangkan mandat rakyat yang telah diketahui umum,namun beliau belum masih berjaya mendapat sokongan yang cukupi,” katanya.

    Namun, cadangan ikhlas Mohd Faruk itu menerima bantahan keras daripada Pengerusi Biro Pendidikan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ammar Muhamad Pauzi serta empat ketua AMK cabang di Pulau Pinang iaitu Zainuddin Mohamed (Kepala Batas), Muhammad Adzlan Adzhar (Balik Pulau), Muhammad Zakwan Mustafa Kamal (Tasek Gelugor) dan Ong Jing Cheng (Bukit Mertajam).

    Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka bukan sahaja menolak cadangan Mohd Faruk mentah-mentah malah menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau adalah tidak sihat dan tidak membawa keuntungan kepada PH serta mengeruhkan lagi keadaan.

    “Beliau sepatutnya lebih berhati-hati dalam melontarkan pandangan dan menggunakan saluran yang betul agar pandangannya dapat dibawa melalui pimpinan ke Majlis Presiden PH untuk dibincangkan,” tegas mereka.

    Pemimpin-pemimpin AMK di Pulau Pinang terbabit juga tidak dapat menerima saranan sekutu mereka dalam PH di negeri itu agar Dr Mahathir dijulang semula sebagai Pengerusi PH dan Ketua Pembangkang.

    Mereka berkata, Mohd Faruk seolah-olah lupa bagaimana PH diruntuhkan melalui pengkhianatan dan sikap mementingkan diri Dr Mahathir selaku Perdana Menteri ketika itu meletak jawatan tanpa berbincang dengan ketua-ketua parti dalam Majlis Presiden PH.

    “Peletakan jawatan Perdana Menteri ketika itu telah membuka ruang seluas-luasnya kepada pihak lawan untuk mencadangkan nama lain bagi memenuhi kerusi Perdana Menteri yang telah dikosongkan oleh Tun Dr Mahathir.

    “Kami bukan mengungkit perkara yang telah berlalu tetapi sekadar mengingatkan beliau bagaimana runtuhnya kerajaan yang dipilih rakyat.

    “Jika benar individu yang dicadangkan oleh beliau untuk menerajui PH itu benar-benar serius untuk menerajui kepimpinan PH, tidak mungkin individu tersebut mengambil keputusan tanpa berbincang terlebih dahulu,” kata mereka.

    Mereka juga berharap agar tiada lagi pandangan-pandangan terbuka oleh rakan-rakan pemuda dalam PH yang boleh menjejaskan hubungan baik sesama komponen.

  • Azalina letak jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat

    Azalina letak jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat

    AHLI Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menyatakan, keputusan itu diambil supaya kerajaan dan pembangkang mempunyai lebih banyak ruang untuk menyusun semula Dewan Rakyat agar ia dapat benar-benar berfungsi sebagai forum persaingan dan kolaborasi profesional antara parti-parti mengenai dasar dan tadbir urus.

    Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, beliau akan menyokong sebarang pembaharuan yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan dan pembangkang atas dasar kebijaksanaan bersama.

    “Ia merupakan suatu penghormatan untuk berkhidmat sebagai Timbalan Yang Dipertua, satu jawatan yang sangat saya hormati sepanjang 13 bulan lalu.

    “Saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia yang telah memberikan sokongan dan kritikan yang tidak ternilai dalam usaha saya untuk berkhidmat dengan setia kepada Parlimen dan negara,” katanya dalam kenyataan media.

    Beliau turut menjelaskan bahawa peletakan jawatan itu tidak mempunyai kaitan dengan spekulasi pelantikannya sebagai menteri Kabinet.

    Sebaliknya, kata Azalina, keputusan itu dibuat atas sebab kapasti moral peribadi dan tanggungjawab rasmi sebagai Timbalan Yang Dipertua serta keberkesanan memegang jawatan dalam menyokong integriti awam.

    “Pada masa akan datang, saya berharap Yang Dipetua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat direhatkan daripada sebarang jawatan dalam parti politik bagi menjamin keadilan dari segi politik, yang merupakan ciri utama jawatan tersebut, supaya mereka dapat berfungsi tanpa pilih kasih,” jelasnya.

  • Pendekatan Keluarga Malaysia tepat pada masanya

    Pendekatan Keluarga Malaysia tepat pada masanya

    PENDEKATAN baharu ‘Keluarga Malaysia’ yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sangat tepat pada masanya ketika krisis politik, pandemik kesihatan serta situasi ekonomi yang sedang dihadapi oleh rakyat.

    Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Keluarga Malaysia menuntut kebersamaan semua pihak dalam menghadapi situasi ini serta muafakat dan semangat solidariti semua pihak untuk saling berganding bahu menangani setuasi mencabar yang dihadapi negara ketika ini.

    Menurut beliau, dengan pengenalan dan pendekatan baharu Keluarga Malaysia, ternyata ia amat penting untuk seluruh rakyat terus maju dan bergerak ke hadapan sebagai sebuah keluarga merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum demi membangun negara

    “Ikatan serta nilai kekeluargaan ini amat penting ketika kita berhadapan dengan suasana getir untuk menjayakan agenda utama pemulihan negara” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya semalam memperkenalkan pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ bagi mengajak semua pihak termasuk Ahli Parlimen pembangkang untuk bersama-sama memulihkan ekonomi dan menangani masalah penularan pandemik COVID-19 secara menyeluruh.

    Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah menambah, kebersamaan semua pihak bersama kerajaan terbukti dengan keterbukaan Perdana Menteri melalui rentas parti dengan mempelawa pembangkang melalui Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 yang sewajarnya disahut oleh pihak pembangkang.

    “Semua pihak perlu bersatu melupakan segala perbezaaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat” katanya.

    Beliau menambah, komitmen kerajaan dibawah kepimpinan Perdana Menteri dalam menjaga kesihatan rakyat terbukti dengan kesediaan kerajaan membuat pembelian tambahan sejumlah enam juta dos vaksin.

    Bung Moktar yakin Sabah akan menerima agihannya berdasarkan kepada bekalan yang ketika ini belum mencukupi.

    “Kita beterima kasih kerana kerajaan terus memperhebatkan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung di mana kita yakin melalui melalui program ini pandemik COVID-19 akan dapat dilandaikan dalam segala sektor ekonomi akan dapat dipulihkan segera,” jelasnya.

    Beliau turut menyatakan komitmen kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus mendukung usaha serta kesungguhan Perdana Menteri dalam menjayakan agenda Keluarga Malaysia terutamanya dalam menangani isu kesihatan dan ekonomi rakyat di negeri ini yang terjejas dengan penularan pandemik COVID-19

    “Seperti saya maklumkan sebelum ini kita akan pertahankan kerajaan GRS, selari dengan mandat yang diberikan oleh rakyat selepas pilihan raya negeri (PRN) tahun lepas bagi menjaga kestabilan politik ,ekonomi dan kesihatan rakyat,” katanya.

  • PH ulang komitmen lapuk tetap sokong Anwar

    PH ulang komitmen lapuk tetap sokong Anwar

    WALAUPUN sudah mula kedengaran suara akar umbi yang mendesak perubahan drastik dilakukan segera sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) seolah-olah terperangkap dalam sindrom penafian yang kronik.

    Sikap itu terbukti apabila Majlis Presiden PH mengulangi komitmen lapuk bahawa gabungan politik itu akan diperkukuh di bawah kepimpinan Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Ketetapan kitar semula itu dinyatakan dalam kenyataan media bersama yang dikeluarkan oleh Anwar serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu, hari ini.

    “Segala persiapan menuju PRU-15 akan dipergiat termasuk perbincangan kerusi, manifesto, barisan kepimpinan dan calon, serta strategi untuk memenangi mandat rakyat.

    “Pada masa yang sama, selaras dengan Ketetapan Port Dickson bertarikh 9 April 2021, dan untuk menggembleng kekuatan seluruh blok pembangkang, PH mengambil pendirian yang terbuka untuk berunding dan bekerjasama di bawah konsep ‘Khemah Besar’ berdasarkan Agenda Reformasi dan kepentingan rakyat,” jelas mereka.

    Pendirian yang diulangi Majlis Presiden PH itu sangat berbeza dengan nada kecewa akar umbi ekoran kegagalan Anwar meraih majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

    Antara yang menyuarakan kekecewaan adalah Ketua Pemuda PAN Lembah Pantai, Zulhafiz Zulkifli; Hafizzuddin Razian (Kepong); Mohd Nur Fadhil (Bandar Tun Razak) dan Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar (Bukit Bintang).

    Mereka berpandangan, kegagalan tersebut semakin menghakis keyakinan orang ramai kepada PH serta kewibawaan pemimpinnya.

    Apa yang mereka mahu adalah barisan kepimpinan yang kompeten untuk mengemudi negara mengikut hala tuju yang sepatutnya lebih-lebih lagi dalam situasi krisis akibat pandemik COVID-19 ketika ini.

    “Pimpinan perlu bertanggungjawab atas kegagalan ini dan merombak struktur sedia ada untuk membuka khemah pembangkang yang lebih besar dan melunaskan semua cadangan dasar Covid-19 yang lebih konstruktif,” tegas mereka.

    Malah, pengangalis politik, Dr Wong Chin Huat menyifat kegagalan PH membuktikan mereka adalah alternatif yang lebih baik untuk mentadbir negara adalah punca mereka terlepas peluang untuk kembali berkuasa.

    Katanya, ramai penyokong pembangkang cenderung mempercayai ‘cerita dongeng’ yang dinyatakan pemimpin pembangkang kerana mereka takut PH tidak dapat memenangi PRU-15 dan mesti merebut kembali kerajaan bagi menikmati kelebihan sebagai penyandang jawatan dan meningkatkan peluang mereka.