Category: Politik

  • Ronnie Liu mohon tamatkan keahlian DAP

    Ronnie Liu mohon tamatkan keahlian DAP

    AHLI Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Ronnie Liu memohon menamatkan keahliannya selepas 41 tahun bersama parti tersebut.

    Ronnie dalam satu surat kepada setiausaha agung DAP, berkata beliau memohon untuk menamatkan keahliannya bersama DAP berkuat kuasa mulai 24 Jun.

    “Saya melibat diri dalam perjuangan DAP semenjak di peringkat sekolah menengah dan telah menjadi ahli DAP sejak 1982.

    “Namun selepas 41 tahun bersama DAP, banyak perkara telah berlaku dan ada yang di luar jangkaan saya. Dengan itu saya memohon untuk menamatkan keahlian saya bersama DAP,” katanya dalam surat itu, lampor FMT.

    Beliau turut mengucapkan terima kasih mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan DAP atas segala peluang dan keyakinan diberikan kepadanya.

    “Semoga DAP terus maju dan sentiasa memegang prinsip sosialisme demokratik dan konsep perjuangan ‘Malaysia untuk rakyat Malaysia’,” katanya.

    Sepanjang penglibatannya dalam politik, Liu pernah menjadi Adun Pandamaran dari 2008 hingga 2013 sebelum berpindah dan memenangi kerusi DUN Sungai Pelek di Selangor pada 2018 hingga sekarang.

    Beliau juga dilantik sebagai exco kerajaan tempatan, kajian dan penyelidikan Selangor

  • UMNO Selangor nafi keluar surat desak Rafizi letak jawatan

    UMNO Selangor nafi keluar surat desak Rafizi letak jawatan

    BADAN  Perhubungan UMNO Selangor menafikan mengeluarkan surat atau kenyataan yang mendesak Menteri Ekonomi Rafizi Ramli melepaskan jawatan beliau.

    UMNO Selangor dalam kenyataan memaklumkan surat itu adalah palsu dan fitnah terhadap kepimpinan parti di negeri berkenaan.

    Kenyataan itu memaklumkan UMNO Selangor tidak pernah mengeluarkan surat atau kenyataan mengenai perkara tersebut.

    “Berita palsu seumpama ini sememangnya mempunyai agenda jahat untuk menjejaskan imej dan reputasi kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Selangor serta kerajaan perpaduan dalam menghadapi PRN Selangor akan datang,” menurut kenyataan itu, lampor BERNAMA.

    Katanya Badan Perhubungan UMNO Selangor terus komited bagi mengukuhkan kestabilan politik tanah air serta menyambut baik kerjasama dalam kerajaan perpaduan dan akan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

    Baru-baru ini tular surat bertarikh 22 Jun yang menggunakan kepala surat Badan Perhubungan UMNO Selangor kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi mendesak Rafizi meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi.

  • ‘’Tiada ada modal politik…hanya mahu laga-lagakan pemimpin PN’’ – Muhyiddin

    ‘’Tiada ada modal politik…hanya mahu laga-lagakan pemimpin PN’’ – Muhyiddin

    ‘’SENGAJA dibuat pasal sudah tidak ada modal’’ – Itulah reaksi Tan Sri Muhyiddin Yassin Beraubung dakwaan beliau bertelagah dengan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

    Sambil menyifatkan mereka yang menyebarkan dakyah itu ketandusan modal politik, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata,  pihak berkenaan hanya mahu melaga-lagakan pimpinan gabungan itu.

    “Ini macam cerita Timbalan Presiden (Bersatu) dan Ketua Penerangan (PN) sebelum ini, sengaja dibuat pasal sudah tidak ada modal. Mereka mahu melaga-lagakan, sedangkan dalam parti kita antara yang paling harmoni.

    “Pas, Bersatu dan Gerakan tidak ada masalah langsung. Dalam parti masing-masing pun stabil, tak ada krisis. Ada dengar bergaduh? bila masa saya bertumbuk dengan Datuk (Seri) Hamzah? tidak ada. Segalanya dibuat-buat.. janganlah percaya,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PN yang turut dihadiri oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.

    Sebuah portal berita sebelum ini mendakwa Muhyiddin dan Hamzah bertelagah mengenai hala tuju parti itu.

    Ini berkaitan timbul khabar angin yang menyatakan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mungkin digantikan sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

     Muhyiddin percaya pihak berkenaan membuat dakwaan itu  untuk mengalihkan perhatian kepada masalah yang sedang berlaku terhadap lawannya.

    “Ini perbuatan ‘cywar’ oleh ‘cybertroopers’ mereka (pihak lawan) yang menggunakan media sosial untuk mengalih pandangan terhadap isu pokok yang tidak diselesaikan mereka,” katanya.

    Mengenai pelawaan PN kepada bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sebelum ini, Muhyiddin berkata,   tidak ada apa-apa perkara baru yang dapat dikongsikan.

    “Tanya dia. Dua pun ada jawab dalam Podcas, tak perlu saya bincang panjang perkara itu. Saya sudah nyatakan apa yang patut kita bincang.

    “Beliau pun sudah memberi penjelasan dalam media arus perdana. Itulah apa yang sudah berlaku setakat hari ini,” katanya.

  • PRN: PN tanding kesemua 245 kerusi DUN di enam negeri

    PRN: PN tanding kesemua 245 kerusi DUN di enam negeri

    PRN: PN tanding kesemua 245 kerusi DUN di enam negeri

    PERIKATAN Nasional (PN) akan akan bertanding di semua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri  iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

    Ketika mengumumkan perkara itu,Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerusi-kerusi tersebut ialah  36 kerusi di Kedah, 45 kerusi di Kelantan, 32 kerusi di Terengganu, 40 kerusi di Pulau Pinang, 56 kerusi di Selangor dan 36 kerusi di Negeri Sembilan. 

    ‘’’Jumlah kerusi yang bakal ditandingi oleh Bersatu (83 kerusi), Pas (126 kerusi) dan Gerakan (36 kerusi),’’ katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PN, di Kuala Lumpur hari ini.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, jumlah kerusi baharu bukan incumbent yang bakal ditandingi oleh anggota parti  PN ialah  Bersatu (64 kerusi), Pas (50 kerusi) dan Gerakan (36 kerusi).

    Beliau berkata, jentera Pilihan Raya PN di peringkat negeri-negeri ketika ini pada tahap tertinggi dan komited dalam gerak kerja menghadapi PRN dalam mempertahankan 3 negeri (Kelantan, Terengganu, Kedah) dan menawan 3 negeri (Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan).

    ‘’Perikatan Nasional komited untuk menjunjung keluhuran perlembagaan, membela kebajikan rakyat dan memacu kemajuan ekonomi menerusi pembentukan kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil,’’ katanya.

    Katanya lagi, PN akan menggunakan lambang gabungan itu negeri selain Kelantan dan Terengganu, yang akan menggunakan lambang Pas.

    “Kecuali pimpinan PAS nak guna lambang PN,” katanya.

    Ditanya mengenai calon yang diketengahkan, Muhyiddin berkata sebahagian besarnya penyandang.

    “Semua calon kita ini akan angkat ikrar aku janji dan akan melalui penapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis, Jabatan Insolvensi, Suruhanjaya Pilihan Raya, dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

    Muhyiddin juga memaklumkan bahawa PN tidak membincangkan ‘poster boy’, dan mengharapkan peratusan keluar mengundi yang tinggi mengatasi PRU15.

    Dewan Undangan Negeri bagi Kedah akan dibubarkan pada 28 Jun, Pulau Pinang (28 Jun), Selangor (23 Jun), Negeri Sembilan (2 Julai secara automatik), dan Kelantan (22 Jun), manakala Terengganu dijangka bubar selepas 26 Jun.

  • MB dijangka umum bubar DUN Terengganu selepas 26 Jun

    MB dijangka umum bubar DUN Terengganu selepas 26 Jun

    MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas 26 Jun ini.

    Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman tidak menolak kemungkinan proses pembubaran DUN akan berlaku antara 27 hingga 28 Jun memandangkan ia adalah tempoh paling sesuai sebelum DUN terbubar secara automatik pada 30 Jun.

    “Bergantung kepada Menteri Besar, tetapi saya yakin (pembubaran DUN) selepas program di Istana Syarqiyyah sempena Hari Keputeraan Baginda Sultan Terengganu pada 26 Jun ini, akan berlakulah (pembubaran DUN).

    “Saya yakin beliau (Menteri Besar) akan ambil masa selepas program 26 hari bulan itu, iaitu selepas majlis jamuan bersama warga istimewa dan fakir miskin di mana ia merupakan program terakhir di istana bersama rakyat,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok Kediaman (RTB) DUN Alur Limbat di Dewan Sivik Bukit Payung, di Marang, hari ini.

    Sementara itu, Ariffin berkata, seluruh jentera kini bersiap siaga dalam menghadapi pilihan raya yang akan berlangsung tidak lama lagi.

    Pihkanya tiada masalah sebab dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu yang mereka istilahkan sebagai ‘simulasi pilihan raya’.

    “Maksudnya ia sebagai ‘training ground’, jadi kami masih panas-panas lagi. Bendera-bendera kita pun masih ada dan sudah ada beberapa tempat yang telah menaikkan bendera.

    “Jadi tak perlu yang barulah (bendera) sebab kalau bendera macam tu (masih baharu), orang pun macam tu. Masih ‘fresh’ lagi,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Sehingga kini, Terengganu masih belum memutuskan tarikh sebenar pembubaran DUN di negeri berkenaan.

    Lima negeri yang akan berdepan PRN telah memuktamadkan tarikh pembubaran DUN iaitu Kelantan (22 Jun), Selangor (23 Jun), Pulau Pinang (28 Jun), Kedah (28 Jun) dan Negeri Sembilan (30 Jun).

  • Tiada rebut kerusi, ‘cah keting’ dalam PN di Terengganu

    Tiada rebut kerusi, ‘cah keting’ dalam PN di Terengganu

    PENGARAH Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman memaklumkan, tada berlaku sebarang perebutan kerusi atau budaya cah keting dalam kalangan rakan gabungan parti Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.

    “Proses agihan kerusi PN di Terengganu telah selesai dan dilakukan secara adil dengan mendapat kata sepakat bersama, tiada masalah. Cuma jumlah berapa itu adalah rahsia. Saya tiada hak untuk cerita dulu.

    “Tidak sebagaimana pihak sana (BN, PH). Mereka bergaduh, kami sudah selesai dan terima dengan istilah kalau Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dia (mereka) terima dengan seadanya lah.

    “Kalau banding dengan negeri lain. Bersatu mereka tiada asas lagi di sini, jadi kita timbang semua sekali insya-ALLAH, ada kerusi-kerusi untuk mereka,” katanya.

    Ariffin ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok Kediaman (RTB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat di Marang hari ini.

    Beliau berkata, semasa berkempen jentera Pas turut akan membantu dalam memberikan kemenangan kepada calon-calon Bersatu.

    “Dalam PN langsung tiada budaya cah keting. Setakat ini, saya sudah berikrar untuk membantu rakan-rakan kita daripada Bersatu untuk membawa kemenangan kepada mereka.

    “Insya-ALLAH (ini ikrar) saya selaku Pengarah Pilihan Raya. Mereka pun gembira. Kita akan bantu sehingga mereka menang dalam PRN nanti,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu, Ariffin berkata, titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang baru-baru ini meminta supaya kesemua parti yang bertanding menggunakan pendekatan kempen secara berhemah akan dijadikan keutamaan.

    Jelasanya, strategi kempen PN adalah berpandukan fakta dan itu merupakan disiplin parti itu sejak dahulu.

    “Kita tak boleh berkempen jika tiada fakta. Kalau ada penceramah kita yang bawah-bawah itu, kalau ada kesilapan fakta kita akan tegur.

    “Sama juga dengan budaya caci-mencaci, kalau lihat dari mula kita jadi kerajaan, kita hampir-hampir tidak menyerang BN. Cuma, bila dah ada sikit-sikit tu, adalah… Dekat pilihan raya ia sesuatu yang biasa,” katanya.

    Terdahulu, suhu politik di Terengganu agak panas apabila Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad saling berbalas kenyataan berhubung proses agihan kerusi melibatkan parti komponen gabungan itu.

    Keadaan itu bermula setelah Ahmad mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu dan Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad yang secara terbuka mengatakan parti itu yakin boleh menang di beberapa kerusi yang telah dikenal pasti di Terengganu.

  • Agihan patut dah selesai, masa semakin singkat, veteran Umno tegur BN-PH

    Agihan patut dah selesai, masa semakin singkat, veteran Umno tegur BN-PH

    VETERAN UMNO mendesak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) segera selesaikan pengagihan kerusi pilihan raya negeri (PRN) kerana ketika ini sepatutnya menyusun strategi dan bekerja untuk kemenangan.

    Setiausahanya, Mustapha Yaakub berkata, isu itu sepatutnya sudah selesai dan mengingatkan kedua-dua gabungan itu bahawa masa semakin singkat.

    “Kita sekarang berkawan. Kawan kena tolong kawan. Jangan tikam belakang. Kita bukan lagi lawan dan bermusuhan. Hakikat ini kita kena terima kalau kita mahu menang,” katanya dalam kenyataan.

    Veteran UMNO juga mengingatkan BN dan PH mengumakan formula menang-menang dan tumpu dalam menewaskan PN, bukannya bilangan kerusi yang ditandingi.

    “Biar sedikit tapi pasti menang. Kedua pihak BN dan PH kena saling bantu membantu untuk kemenangan. Pengundi BN kena undi calon PH dan pengundi PH kena undi calon BN,” katanya, lapor FMT.

    Pada 21 Jun lalu, media melaporkan enam daripada sembilan kerusi yang berlaku pertindihan antara PH dan BN membabitkan tiga negeri iaitu, Selangor, Negeri Sembilan, dan Kedah.

    Daripada enam kerusi berkenaan, pertindihan dua kerusi berlaku di Selangor, dua kerusi di Negeri Sembilan dan dua kerusi di Kedah.

    Terdahulu Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata isu pertindihan kerusi antara PH dan BN di beberapa negeri termasuk Selangor yang tidak dapat diputuskan di peringkat negeri, akan diselesaikan oleh kepimpinan tertinggi kedua-dua gabungan.

  • Gerakan mohon maaf pada penjawat awam, parti rakan dalam PN

    Gerakan mohon maaf pada penjawat awam, parti rakan dalam PN

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) hari ini meminta maaf secara terbuka ekoran kenyataan dibuat salah seorang ahli parti terbabit mengenai keberadaan kakitangan awam di negara ini.

    Selain ditujukan kepada orang ramai, Gerakan turut mengemukakan permohonan maaf tersebut kepada rakan seperjuangan parti itu iaitu Pas serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong berkata, parti komponen PN yang disertai Gerakan turut terkena tempias negatif ekoran kenyataan dibuat baru-baru ini.

    “Disebabkan dia ahli gerakan, atas semangat satu hati; berat sama dipikul, ringan sama dijinjing; saya pada hari ini memohon maaf atas kenyataan yang diberikan oleh alih gerakan akar umbi tersebut.

    “Dengan itu saya pohon, saya menyusul sepuluh jari untuk memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya penjawat awam.

    “Saya minta maaf,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

    Beberapa hari lalu tular kenyataan dibuat seorang ahli Gerakan yang memperkenalkan dirinya sebagai jurucakap parti itu bagi kawasan DUN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pinang, Mok Kok On.

    Kata Mok, penjawat awam di Malaysia ini merupakan ‘beban kepada negara’.

    Katanya disebabkan keadaan ekonomi yang bermasalah ekoran kejatuhan nilai mata wang serta hutang yang banyak, kerajaan wajar melihat isu keberadaan penjawat awam dengan teliti.

    Memetik kenyataan Mok yang sudah dipadamnya di media sosial, portal harapandaily.com mendakwa jurucakap Gerakan itu menjelaskan kebanyakan wang negara digunakan untuk membayar gaji dan pencen penjawat awam.

    Pada masa sama, Mok berkata, pengundi perlu memberi sokongan mereka kepada PN dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi sebagai langkah membawa perubahan kepada negara.

    Mak berkata kakitangan awam memang berkait rapat dengan kehidupan rakyat di negara ini dan mereka memberikan perkhidmatan yang baik untuk Malaysia.

    Justeru, katanya, Gerakan memang tidak bersetuju dengan kenyataan dibuat Mok baru-baru ini.

    “Dan saya juga mengambil kesempatan ini meminta maaf kepada rakan-rakan seperjuangan kita iaitu PN, Pas dan Bersatu.

    “Mereka turut menerima tempias daripada kenyataan tersebut,” katanya.

    Ditanya lebih lanjut, Mak berkata, kes Mok itu dirujuk kepada Jawatankuasa Kerja Pusat Gerakan untuk diteliti sebelum langkah selanjutnya diambil.

    Katanya Gerakan memang memandang serius tindakan Mok, namun pada masa sama menganggap ia tidak wajar diperbesarkan lagi.

    Menurut Mak, bagi mengelak kejadian sama berulang, jawatankuasa disiplin parti itu akan membuat keputusan tidak lama lagi.

    “Parti sudah memberi amaran, dan kalau isu ini memang tak ada penjelasan yang bagus, atau penjelasan yang munasabah, parti akan gantung (keahlian Mok),” katanya, lapor FMT.

  • PRN:Isu agihan kerusi PN enam negeri selesai 95 peratus

    PRN:Isu agihan kerusi PN enam negeri selesai 95 peratus

    Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, isu pengagihan kerusi Perikatan Nasional (PN) di enam negeri sudah selesai 95 peratus.

    “Alhamdulillah soal pengagihan kerusi diantara Pas dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) sudah selesai 95 peratus dan tinggal beberapa kerusi sahaja yang perlu diselesaikan.

    “Terdapat pertindihan di beberapa kerusi dan perkara itu sedang dimuktamadkan. Ini kerana berlaku pertindihan di mana Pas dan Bersatu masing-masing mahukan kerusi berkenaan.

    “Berapa banyak jumlah kerusi yang berlaku pertindihan saya tidak tahu kerana saya tidak terbabit dengan mesyuarat berkenaan,” katanya.

    Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Kota Bharu hari ini.

    Pada masa sama, Mohd Amar berkata, soal pengagihan kerusi di Kelantan juga sudah dianggap selesai.

    “Cuma kita mahu tentukan dua kerusi sahaja yang diminta daripada Bersatu dan parti itu juga sudah bersetuju untuk memberi kepada kita.

    “Dua kerusi yang diminta itu masing-masing di bawah Parlimen Jeli dan Gua Musang bagi memastikan moral petugas Pas tidak terjejas memandangkan calon lain termasuk Ahli Parlimen di situ adalah daripada Bersatu,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Disifatkan sebagai ‘biawak hidup’, pemimpin MIC kecam kenyataan Lokman 

    Disifatkan sebagai ‘biawak hidup’, pemimpin MIC kecam kenyataan Lokman 

    AHLI Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Adam dikecam kerana menyifatkan MIC dan MCA sebagai “biawak hidup” kerana tidak lagi mampu menyumbang kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

    Ketua Penerangannya Thinalan Rajagopalu berkata jika benar parti itu dirasakan sebagai beban, beliau meminta Lokman mencadangkan kepada Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya mengeluarkannya dari gabungan berkenaan.

    “Jika berat sangat beban memikul MIC, bincanglah dengan Presiden UMNO dan bawakan satu resolusi untuk mengeluarkan MIC daripada BN.

    “Jangan hanya untuk mendapat perhatian murahan, Lokman mengeluarkan kenyataan sinis…beliau sendiri pun tidak mampu menang pilihan raya,” katanya merujuk kekalahan Lokman di PRK Sungai Kandis pada 2018, Labor FMT.

    Katanya, MIC tidak pernah meminggirkan BN sejak penubuhannya dan kekal sehingga kini walaupun parti itu tidak diberi sebarang kedudukan dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

    “Adakah kami menuntut apa-apa jawatan hanya untuk mengekalkan sokongan kepada BN?

    “Tidak ada satu jawatan pun diterima oleh MIC sedangkan UMNO yang menerima semua jawatan kerajaan dan GLC pula menuding jari kepada parti komponen?,” katanya.