NAIB Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen menafikan beliau terlibat dengan pergolakan politik di Melaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu berkata, beliau tetap dengan pendirian untuk menyokong Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai Ketua Menteri sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.
“Saya ada terbaca berita-berita di media arus perdana dan media sosial tentang desas-desus pergolakan politik yang berlaku di Negeri Melaka ketika ini.
“Ingin saya tegaskan bahawa saya tidak terlibat dengan sebarang usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Melaka ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Spekulasi politik negeri Melaka kembali bertiup selepas terdapat dakwaan sekurang-kurangnya empat ADUN di negeri itu bakal menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan UMNO.
Meskipun nama Mohd. Rafiq yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka tidak dikaitkan kali ini, namun beliau pemimpin kedua yang tampil menafikan perkara itu selepas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.
Dua daripada pemimpin UMNO turut dikatakan terlibat dalam gerakan itu, namun tiada pengesahan mana-mana pihak dibuat setakat ini.
Justeru, Mohd. Rafiq berpendapat, segala fokus ketika ini harus tertumpu kepada usaha pemulihan negara dan Melaka terutama bagi pemulihan kesihatan dan ekonomi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Saya berharap, segala kemelut politik yang dicetuskan dapat dihentikan dengan segera demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Melaka,” tegasnya.
Bersatu Putrajaya menafikan Erwan Mohd. Tahir masih memegang jawatan ketua bahagian itu semasa mengumumkan keluar parti untuk kembali ke pangkuan UMNO hari ini.
Dalam kenyataan, Bersatu Putrajaya berkata, Erwan meletakkan jawatan dengan disaksikan AJK bahagian dan ketua cawangan pada 10 Okt 2020 selepas tewas dalam pemilihan bagi berebut jawatan naib presiden.
“Sepanjang tempoh kekosongan jawatan tersebut, Timbalan Ketua Bahagian, Fathul Azam Hashim telah memangku sekali gus menyandang jawatan Ketua Bahagian Bersatu Putrajaya,” menurut kenyataan itu, lapor portal Free Malaysia Today (FMT).
Katanya, Bersatu Putrajaya tidak terkesan dengan tindakan Erwan kerana parti itu kini semakin mendapat sambutan keahlian daripada warga Putrajaya.
“Bersatu Putrajaya juga berjaya menubuhkan sembilan cawangan baharu dengan keahlian sebanyak 1,030 ahli dan giat menyantuni penduduk Putrajaya dengan pelbagai program dan bantuan,” katanya.
Terdahulu, Erwan mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta dan kembali menyertai UMNO.
Katanya, keputusan itu diambil selepas melihat bahawa hanya UMNO berjaya menamatkan beberapa polemik politik yang menggugat kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi semasa bermulanya pandemik Covid-19.
PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedia melawan UMNO sekiranya parti itu tidak mahu bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, sebelum itu PN akan melakukan perbincangan dengan UMNO untuk mempelawa parti itu bergabung dalam PRU-15.
Ahli Parlimen Alor Gajah itu berkata, pelawaan itu adalah bagi memastikan semua parti Melayu dapat bergabung dan kepimpinan Melayu dapat terus dikekalkan sekiranya PN memang PRU-15.
“UMNO tidak pernah ada dalam PN. PN ditubuhkan dengan penaja awal iaitu Bersatu, Pas dan parti-parti kecil lain. UMNO tidak pernah ada dalam PN, jadi kita sarankan kerjasama untuk gabungan parti yang berasaskan kepimpinan dan perjuangan Melayu.
“Ini untuk kita hadapi PRU dan menang dengan lebih besar. Ini bagi melestarikan kepimpinan Melayu itu sendiri, kalau kita berpecah, PN, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak bersama-sama, nanti tiada parti yang majoriti untuk bentuk kerajaan pada PRU-15.
“Jadi kena ada gabungan tetapi terpulang (kepada UMNO mahu sertai gabungan PN dalam PRU-15),” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Memorandum persefahaman (MoU) antara Syarikat Sersol Energy Sdn Bhd, Aeroleum Sdn Bhd dan Silicon Designs (M) Sdn Bhd di Menara MSC Cyberport, Johor Bahru, hari ini.
Mohd Redzuan (dua kiri) menyaksikan penyerahan dokumen selepas majlis MoU antara Syarikat Sersol Energy Sdn Bhd, Aeroleum Sdn Bhd dan Silicon Designs (M) Sdn Bhd di Menara MSC Cyberport, Johor Bahru, hari ini
Mohd. Redzuan mengulas mengenai Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PN semalam yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN dan berlangsung tanpa kehadiran wakil UMNO.
Dalam mesyuarat tersebut, parti-parti komponen PN telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada PRU-15 melibatkan kerusi peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.
Mesyuarat tersebut dihadiri parti komponen PN iaitu Bersatu, Pas, Star Sabah, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Gerakan.
Mengenai MPT Bersatu yang melantik Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Edmund Santhara Kumar sebagai Ketua Sayap Bersekutu pertama parti itu, beliau berkata, itu merupakan satu perubahan dalam BERSATU yang akan menjadi parti berbilang kaum.
“Persaingan kita selepas ini mungkin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ‘multi racial’. Ada juga kebaikannya orang-orang bukan Melayu mungkin tertarik sertai Bersatu jika mereka rasa PKR tidak boleh memimpin mereka,” katanya.
JIKA kita benar mahu melihat tampuk pemerintahan negara kekal menjadi milik dominasi umat Islam tanpa mengenepikan kepentingan kaum, bangsa dan agama lain, maka terasnya ialah penyatuan parti-parti politik umat Islam.
Kita tidak perlu skeptikal mengenainya, sehingga berulang kali mengungkit kisah perselisihan silam dan menimbulkan elemen percanggahan sesama umat Islam.
Sememang suara penyatuan ini muncul kerana umat Islam telah melalui episod perpecahan yang sengit dan parah. Sebagaimana munculnya jarum dan benang menjahit kerana ada dua atau tiga sudut kain yang terpisah.
Menjahit itu adalah untuk mencantumkannya. Sebagaimana penyatuan itu adalah untuk menggabung eratkan umat Islam yang terberai sebelum ini.
Fokus ! Fokus kepada kepentingan dominasi pemerintahan negara mesti berada ditangan parti parti politik umat Islam.
Berlapang dada dan bertolak ansurlah dalam segala hal. Jangan mudah melatah atau terkesan dengan propaganda musuh Islam yang begitu licik dan beracun untuk melemah dan meretak belahkan gabungan parti-parti umat Islam.
Pilihanraya umum semakin hampir. Persiapan sudah tentu sedang rancak diatur susun oleh semua parti parti politik. Malah ada ngo yang beragam tak ubah parti politik bagi menghadapi PRU ke 15 nanti.
Langkah utama kita ialah persefahaman untuk memastikan DAP dan jajaran politiknya tidak kembali menguasai pemerintahan negara.
Jangan pertaruhkan perpaduan umat Islam dan penyatuan parti-parti politik umat Islam sebagai “demanding power” sehingga timbul ugutan atau kata dua untuk menarik diri dari penyatuan.
Sebaliknya berundinglah dengan tenang dan ikhlas serta meletakkan kepentingan bersama umat Islam sebagai neraca pengimbang bagi mewujudkan suasana “win-win situation” dalam kerjasama dan keputusan yang diambil.
Hindari sikap angkuh, ego dan berasa diri hebat daripada yang lain, kerana pasti ia adalah sifat-sifat negatif dan “boomerang” yang bakal mengembalikan kesan buruk pada penyatuan umat Islam bahkan pada diri sendiri.
Masih ada masa dan cara untuk perkasakan Muafakat Nasional dan pertahankan Perikatan Nasional. Bahkan masih ada formula bagi membolehkan MN dan PN menjadi coalition yang mantap dan sekaligus menjadi halilintar buat DAP dan jajaran politik mereka.
Kita hanya ada satu jalan dan satu cara untuk merosakkan segala kekuatan umat Islam, iaitu bersikap angkuh dan berkepentingan diri. Sedang disana pula kita ada 1001 cara untuk mengukuh jitu penyatuan parti-parti politik umat Islam.
Hanya perlu ikhlas, sabar dan tidak angkuh. Buka ruang perbincangan dan tutup peluang persengketaan. Kerap bertemu dan bermanis wajah. Elakkan dari terpengaruh dengan gossip politik dan desas desus warga net.
Nasrudin Hassan adalah Ahli Majlis Syura Ulama Pas dan Yang Dipertuan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
MENJELANG MUKTAMAR PAS KE-67 DI KUALA TERENGGANU PADA 6 NOVEMBER-7 NOVEMBER 2021
TIDAK kira orang Melayu daripada parti manapun sama ada pembangkang mahupun kerajaan, mereka sama sekali tidak boleh menafikan sumbangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada Pas dan arena politik negara.
Jasa Ahli Parlimen Marang itu cukup besar. Ketokohan ,kewibawaan dan kredibiliti beliau dihormati kawan dan lawan.
Pada tahun ini ahli politik berusia 73 tahun itu genap18 tahun menjadi Presiden Pas. Beliau dikatakan tidak akan dicabar bagi jawatan yang diambilalih daripada Allahyarham Datuk Seri Fadzil Noor pada tahun 2003 itu.
Tidak pasti sama ada pendirian itu disebabkan beliau masih dilihat sebagai tokoh harapan walaupun Pas sudah mempunyai ramai pemimpin pelapis berwibawa atau sememangnya tradisi Pas mahu mengelakkan sebarang perebutan bagi jawatan Presiden, selepas ia kali pertama berlaku pada Muktamar Tahunan Pas Ke-61 apabila beliau dicabar oleh Ahmad Awang.
Sememangnya penulis menghormati pendekatan seperti itu tetapi persoalannya sampai ke bilakah Pas harus bergantung kepada Abdul Hadi? Bukankah sekarang waktu terbaik untuk memberi peluang kepada beliau berehat?
Penulis sama sekali tidak menafikan jasa, pengorbanan dan kehebatan Abdul Hadi dalam memimpin Pas dan penulis juga tidak mengatakan semangat perjuangan beliau semakin luntur.
Apa yang mahu ditegaskan ialah meninggalkan kerusi Presiden bukanlah bermakna hubungan Abdul Hadi dengan Pas akan berakhir atau beliau dianggap gagal.
Beliau masih boleh memberi sumbangan melalui Majlis Syura Ulama, lebih tepat lagi menjadi Mursyidul Am. Pemimpin,ahli dan penyokong Pas perlu terbuka untuk menerima hakikat itu.
Selain pencapaian politik beliau yang cukup hebat dan mungkin tidak akan dapat ditandingi oleh mana-mana pemimpin Pas, ahli-ahli Pas harus faham, sehebat manapun harapan mereka sandarkan, dari segi kesihatan Abdul Hadi sudah ada keterbatasannya.
Kalau sayangkan Abdul Hadi, mereka perlu berpijak di bumi nyata. Beliau perlu memberi laluan kepada pemimpin lain untuk memimpin Pas memasuki gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Tiada apa lagi yang sepatutnya ditagih daripada Abdul Hadi, beliau sudah melakukan segala-galanya untuk Pas.
Sepanjang memimpin parti tersebut, Abdul Hadi bukan sahaja memastikan Kelantan yang dikuasai pada tahun 1990 terus berada dalam genggaman Pas sehingga ke hari ini, malah beliau juga berjaya merampas Terengganu sebanyak dua kali termasuk pada PRU-14.
Selain itu di bawah kepemimpinan beliau, Pas kini berada dalam Kerajaan Pusat, tiga negeri dipimpin oleh Pas dan Abdul Hadi sendiri adalah Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah serta pernah menjadi Ketua Pembangkang. Dan jangan lupa beliau juga berjaya mewujudkan permuafakatan dengan UMNO sehingga termeterai Piagam Perpaduan Ummah pada 2019.
Piagam itu menamatkan permusuhan politik berpuluh-puluh tahun antara kedua-dua parti. Inilah salah satu jasa besar Abdul Hadi.
Penulis faham tidak mungkin ada mana-mana pemimpin, penyokong atau ahli Pas yang akan ‘berani’ membuat kenyataan terbuka meminta Abdul Hadi berehat dan menyerahkan kepada Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Mereka ada adab, sentiasa setia, patuh dan menghormati kepemimpinan parti.
Tetapi mereka tidak harus menafikan sudah tiba masanya untuk Pas memiliki kepemimpinan baharu dalam membuat persediaan bagi menghadapi pertarungan besar pada PRU-15.
Sekarang ini pun difahamkan boleh dikatakan hampir semua mesyuarat dan soal pengurusan parti diserahkan kepada Tuan Ibrahim. Keadaan itu sudah memberi isyarat bahawa Abdul Hadi sudah boleh berehat daripada menerajui Pas.
Abdul Hadi perlu mengikut jejak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyerahkan jawatan Menteri Besar Kelantan kepada Datuk Ahmad Yaakob apabila menyedari keterbatasan yang ada kepada Allahyarham.
Penulis yakin Abdul Hadi akan berjiwa besar dan pasti bijak bermuhasabah bagi menilai sejauhmanakah kemampuan beliau untuk memimpin Pas. Lagipun adalah lebih baik Abdul Hadi berundur ketika rekod politiknya berada dalam keadaan baik.
Tiada gunanya Abdul Hadi membuat keputusan menyerahkan tampuk kepemimpinan kepada pengganti hanyalah setelah pencapaian politik Pas merosot. Jika itu berlaku sudah pasti rekod cemerlang Ahli Parlimen Marang itu turut tercalar.
PARTI-PARTI komponen Perikatan Nasional (PN) telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PN yang diadakan petang tadi dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pembahagian kerusi tersebut melibatkan kerusi peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.
“Majlis Tertinggi Parti PN juga telah menetapkan majlis pelancaran rasmi parti PN peringkat kebangsaan akan diadakan pada November ini dan PN Negeri Selangor akan menjadi tuan rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri parti komponen PN iaitu Bersatu, Pas, Star Sabah, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Gerakan.
Muhyiddin berkata, mesyuarat itu turut membincangkan pelbagai isu melibatkan pentadbiran kerajaan, perancangan Majlis Pemulihan Negara (MPN), pengurusan pandemik Covid-19, situasi ekonomi, Rancangan Malaysia Ke-12 dan isu-isu yang berbangkit berkaitan politik semasa.
Beliau yang juga Pengerusi MPN berkata, Majlis Tertinggi PN juga telah mencapai keputusan secara konsensus mengenai pendirian parti PN berkenaan beberapa isu.
Katanya, ini melibatkan ketetapan pendirian parti untuk menyokong Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021.
PN katanya, akan memainkan peranan untuk menyampaikan pandangan dan pendirian PN dari masa ke semasa mengenai pelaksanaan MOU berkenaan.
Saiful Adli Mohd. Arshad
“Mesyuarat juga membuat keputusan untuk saya sebagai Pengerusi PN bagi menyampaikan pendirian yang telah diambil PN berkenaan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat,” ujarnya.
Bekas Perdana Menteri berkata, turut dibincangkan pendekatan dan program yang akan dilaksanakan untuk menyantuni golongan muda selaras dengan pelaksanaan undi 18 tahun dan bersiap sedia dengan penambahan pengundi-pengundi muda dan baharu ini.
Menurutnya, PN sentiasa menghormati dan komited mendokong hak generasi muda untuk mengambil bahagian dalam proses pilihan raya dan amalan demokrasi di negara ini.
Selain itu katanya, diputuskan juga Saiful Adli Mohd. Arshad dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif PN berkuat kuasa mulai esok.
Beliau berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan pernah beramal sebagai peguam selama 21 tahun sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Muhyiddin ketika Ahli Parlimen Pagoh menjadi Perdana Menteri.
MAJLIS Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU menetapkan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU 2021 pada 18 dan 19 Disember ini, kata Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Beliau berkata persidangan itu akan dilakukan secara fizikal dan maya atau ‘hybrid’ bergantung kepada kelulusan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Selain itu, persidangan cawangan akan diadakan pada 9 hingga 30 Oktober ini, manakala persidangan bahagian pula pada 12 hingga 14 November,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau memaklumkan menerusi mesyuarat MPT dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, MPT parti itu sebulat suara bersetuju melantik Ahli Parlimen Segamat (Johor), Datuk Seri Dr Santhara Kumar sebagai Ketua Sayap Bersekutu BERSATU yang pertama.
Dalam mesyuarat itu juga, MPT mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan atas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Isnin.
Mengenai pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Hamzah berkata BERSATU yakin ia dapat membantu kerajaan merancang dan melaksanakan segala dasar serta inisiatif untuk memulihkan negara daripada pandemik COVID-19. – Bernama
PARTI Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) berharap permohonan mereka untuk menjadi sebahagian daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN) diterima sebelum Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).
Setiausaha Agung IMAN, Dr Amir Hamzah Abdul Razak berkata, pihaknya telah menghantar dua kali surat kepada Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12 September lalu.
“Setakat ini maklum balas kami terima adalah positif. IMAN mahu menjadi sebahagian daripada parti komponen dalam PN bukan sebagai ahli gabungan semata-mata.
“Pendirian kami sangat jelas, jika tidak boleh bersama PN sebagai parti komponen, IMAN akan bergerak sendiri dan menghadapi PRU15 secara sendirian tetapi jika bersama PN, kami akan lakukan yang terbaik secara bersama dengan komponen-komponen PN lain.
“Perkara utama sekarang ini, IMAN perlu menjadi parti komponen dalam PN terlebih dahulu, sebelum mengambil langkah serta mengatur strategi seterusnya,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Tambahnya, IMAN kini mempunyai hampir 12,000 keahlian di seluruh negara terdiri daripada India Muslim termasuk individu lain yang beragama Islam.
Dalam pada itu, Naib Pengerusi IMAN, Datuk Syed Mohd Ali berkata, IMAN sudah mengerakkan semua jentera di peringkat cawangan dan bahagian sebagai persediaan menghadapi PRU15.
Katanya, IMAN akan bertanding di beberapa kerusi yang diyakini boleh memberi kemenangan kepada calon mereka dengan membuat persediaan dan kajian mendalam bagi memastikan impian mereka untuk bertanding sekali gus menang tercapai.
Syed yang merupakan Pengerusi IMAN Negeri Sembilan berkata, setakat ini negeri tersebut mempunyai enam bahagian dan 19 cawangan IMAN.
“Kami sasar membuka 30 cawangan dan menambah dua bahagian dalam masa terdekat ini,” katanya.
SETAKAT ini masih belum nampak sebarang tanda UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membentuk kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Situasi itu agak membimbangkan bagi orang Melayu dan umat Islam kerana kegagalan kedua-dua parti tersebut bekerjasama bakal memberi ruang kepada Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.
Mereka tidak sanggup lagi hidup menderita seperti yang dialami selama 22 bulan regim PH menguasai negara selepas PRU-14 dahulu.
Cukuplah sekali sahaja PH memerintah negara dan majoriti rakyat khususnya orang Melayu dan umat Islam pasti tidak mahu mimpi ngeri itu berulang.
Malangnya, pemimpin-pemimpin Melayu seolah-olah masih tidak sedar tentang malapetaka yang bakal menimpa bangsa dan ummah sekiranya mereka masih terus bercakaran sesama sendiri.
Semua mahu menegakkan benang masing-masing dan tidak mahu beralah dalam usaha mencapai kata sepakat bagi memperkukuhkan strategi melawan PH.
Mungkin ego yang sangat besar dan dendam kesumat yang tidak berkesudahan menyebabkan mereka bersikap tidak rasional dan tidak matang.
Keadaan yang merugikan orang Melayu dan umat Islam ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Api yang mula membakar mesti dipadamkan.
Dalam hal ini, PAS dilihat boleh memainkan peranan sebagai ejen penyatuan dua parti Melayu yang serumpun tetapi tidak sehaluan itu.
Komitmen itu telah ditegaskan sebelum ini oleh Naib Presidennya, Idris Ahmad dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Kesediaan PAS menjadi ‘pendamai’ dalam hubungan UMNO dan Bersatu yang agak dingin itu seharusnya disambut baik oleh kedua-dua parti.
PAS selama ini telah menunjukkan teladan yang baik dalam menjaga hubungan dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) dan bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).
Dalam banyak perkara, PAS sentiasa bersedia untuk berkompromi dan memilih jalan perdamaian dalam menangani sebarang isu yang timbul bersama sekutu-sekutu politiknya.
Pendekatan sedemikian tidak menjadikan PAS dianggap lemah, malah sebaliknya menjadikan parti tersebut dilihat semakin matang dalam berpolitik.
Kematangan yang ditunjukkan oleh PAS itu sepatutnya dicontohi oleh UMNO dan Bersatu dalam mencari titik persamaan yang boleh mempertautkan kedua-dua parti.
Rakyat khususnya orang Melayu dan umat Islam sentiasa memerhatikan perangai mereka yang tak ubah seperti kanak-kanak berebut gula-gula yang sebenarnya cukup untuk semua orang jika dibahagikan secara adil dan saksama.
Justeru, PAS perlu meyakinkan pemimpin-pemimpin UMNO dan Bersatu bahawa tiada siapa pun yang akan menang dalam pertelagahan yang memperlihatkan sifat kebudak-budakan mereka.
Jika PAS berjaya menyempurnakan misi mendamaikan UMNO dan Bersatu, insya-Allah gabungan yang menyaksikan kerjasama ampuh ketiga-tiga parti politik boleh menang selesa dalam PRU-15.
UNIT Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE JPM) tidak pernah membelanjakan wang sebanyak RM2 bilion untuk menyiapkan buku Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) seperti yang didakwa oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perancangan pembangunan negara untuk lima tahun itu disediakan oleh pegawai-pegawai UPE JPM di bawah seliaannya, hasil input daripada libat urus dengan pelbagai pihak.
Menurut beliau, penyediaan RMK-12 melibatkan kos yang amat kecil untuk sesi libat urus, cetakan dan perunding media.
“Saya berharap Datuk Seri Anwar dapat memperbetulkan kenyataan beliau bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap pegawai UPE JPM dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Anwar membuat dakwaan tersebut ketika membahaskan RMK-12 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Berikut adalah petikan ucapan beliau: “… kita boleh belanja bilion ringgit untuk konsultan. Saya difahamkan 5-6 tahun dulu, sudah belanja RM1.8 billion. Jadi saya nak tanya, lebih daripada RM2 bilion ringgit telah diberikan kepada konsultan untuk menyiapkan buku RMK-12 ini.”