Category: Politik

  • Tindakan Tony Pua label ‘BN pakatan korup’ tak wakili DAP – Anthony Loke

    Tindakan Tony Pua label ‘BN pakatan korup’ tak wakili DAP – Anthony Loke

    TINDAKAN bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menyifatkan BN-UMNO ‘pakatan korup’ ternyata mencetuskan kebimbangan kepemimpinan parti itu, tambahan pula menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN di enam negeri tidak lama lagi.

    Dalam reaksinya, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan, Tony Pua tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam DAP. 

    ‘’Justeru itu, beliau bercakap di atas kapasiti individu dan tidak sama sekali mewakili kepimpinan parti. 

    ‘’Ucapan tersebut yang berunsur serangan terhadap rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dikeluarkan (uncalled for),’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Tony Pua pada majlis makan malam mengumpul dana PRN DAP di Petaling Jaya kelmarin.

    Dalam ucapannya, Tony Pua menggelar Barisan Nasional (BN) yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai ‘corrupt coalition’ atau pakatan ‘korup’.

    Kenyataan itu disuarakan bekas Ahli Parlimen Damansara itu sewaktu berucap pada majlis tersebut di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

    Sehubungan itu, Tony Pua menyuarakan harapan supaya Pakatan Harapan (PH) selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    Mengulas lanjut, Anthony berkata, kepimpinan tertinggi DAP telah membuat keputusan dasar untuk bekerjasama dengan gabungan politik lain demi mencapai kestabilan politik.

    ‘’Sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti pada masa kini,’’ katanya.

    Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pemimpin dan ahli DAP untuk sentiasa menjaga keharmonian dalam hubungan antara parti dan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik yang amat diperlukan pada ketika negara menghadapi pelbagai cabaran luaran. 

    ‘’Sesiapa dalam DAP yang tidak boleh menjaga mulut mereka dalam perkara ini adalah tidak dialu-alukan sama sekali untuk berucap dalam pentas DAP,’’ katanya.

  • Label ‘BN parti korup’ : Dua pemimpin UMNO ‘serang balas’ Tony Pua

    Label ‘BN parti korup’ : Dua pemimpin UMNO ‘serang balas’ Tony Pua

    DUA pemimpin UMNO melakukan ‘serangan balas’ terhadap pemimpin DAP yang mendakwa Barisan Nasional (BN) sebagai ‘pakatan korup.

    Sambil menyifatkan tindakan bekas Setiausaha Publisiti DAP itu merobek keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata, Pua seharusnya sedar ekonomi negara melalui zaman gelap sepanjang Pakatan Harapan (PH) dan DAP mentadbir dalam tempoh 22 bulan selepas PRU14.

    Tegas beliau,  Pua yang menjadi penasihat di atas kapasitinya sebagai Setiausaha Politik Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika itu, tidak mampu membantu memacu ekonomi menyebabkan kejatuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta nilai ringgit.

    Kata Akmal, sebaliknya di bawah BN yang didakwa “korup”, ekonomi Malaysia pada kedudukan ke-23 paling kompetitif diiktiraf badan antarabangsa manakala KDNK naik sehingga RM1.4 trilion, pendapatan Khazanah Nasional Berhad menokok RM116 bilion dan rizab tunai Petronas meningkat dari RM30 bilion kepada RM174 bilion.

    Tanpa berselindung bercakap kepada portal FMT, Dr.Akmal menegaskan,  kelancaran pentadbiran kerajaan perpaduan pimpinan  Datuk Seri Anwar Ibrahim kini disebabkan kemampuan dan pengalaman menteri dari BN, 

    “(Pua) Cermin dulu diri sendiri, beliau hanya tin kosong dan tidak beri manfaat kepada pembangunan negara,” katanya yang sebelum ini menggesa DAP memohon maaf secara terbuka di atas segala tohmahannya terhadap UMNO sehingga mengguris hati ahlinya.

    Akmal mengulas kenyataan Pua yang melabel BN dan UMNO sebagai “pakatan korup” selain Bersatu, beliau turut berharap PH dapat membentuk kerajaan sendiri selepas PRU16.

    SEMENTARA itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Isham Jalil pula mengingatkan Pua pemimpin kanan DAP seperti Guan Eng juga berdepan pertuduhan berkaitan rasuah, justeru tidak layak baginya melabel Umno sebagai “parti korup”.

    Katanya, Pua juga boleh mencadangkan kepada PH untuk berpisah dengan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya merasakan parti itu “kotor”.

    “Jika UMNO ini korup dan kotor sangat, tidak perlu tunggu PRU16, sekarang pun boleh cadang kepada pemimpin parti kamu untuk tinggalkan UMNO daripada Kerajaan Perpaduan.

    “Saya tiada masalah jadi pembangkang dan jika tidak kerana titah Agong dahulu, UMNO dan BN memang bersedia jadi pembangkang selepas PRU15 tempoh hari. Kamu sedia jadi pembangkang?,” kata Isham.

  • PN yakin dapat bentuk kerajaan di Negeri Sembilan

    PN yakin dapat bentuk kerajaan di Negeri Sembilan

    PERIKATAN  Nasional (PN) yakin akan membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, tidak lama lagi.

    Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata PRN di negeri itu dijangka sengit, namun berdasarkan kajian, gabungan itu berkeyakinan tinggi berlaku perubahan dalam kalangan pengundi Melayu di Negeri Sembilan yang akan menyokong PN dan membawa kemenangan kepada gabungan berkenaan.

    “Kami yakin pengundi Melayu di negeri ini yang sebelum ini menyokong Barisan Nasional (BN) akan beralih menyokong PN. Kami yakin PN berpotensi untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRN ini nanti,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jentera PRN peringkat PN Negeri Sembilan di Bilik Gerakan Utama PN negeri di Paroi, hari ini, lapor Berita Harian.

    Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi PN negeri, merangkap Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha; Ketua Bersatu Bahagian Rembau, Nazree Yunus dan Pengerusi Gerakan Negeri Sembilan, Gary Lee.

    Dalam pada itu beliau berkata, pembahagian 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kalangan parti gabungan PN bagi menghadapi PRN di Negeri Sembilan mencapai kata sepakat tanpa sebarang masalah.

    Beliau berkata, pimpinan Bersatu, Pas dan Gerakan negeri berpuas hati dengan agihan kerusi yang diperuntukkan bagi parti masing-masing.

    Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci jumlah kerusi yang akan ditandingi setiap parti berkenaan.

    “Kami (PN) bertanding semua 36 kerusi di Negeri Sembilan, tapi pecahannya tidak perlu dijelaskan di sini kerana kami bergerak sebagai satu pasukan iaitu Perikatan Nasional. Maka, calon jika datang dari Pas, sokongan akan diberikan sepenuhnya dan begitu juga jika dari Gerakan dan Bersatu, akan disokong penuh oleh rakan pendukung parti dalam gabungan PN.

    “Semua kepemimpinan parti peringkat negeri bersetuju dan sepakat dengan keputusan yang dibuat pucuk pimpinan tertinggi dari segi pembahagian kerusi,” katanya.

    Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin, mengesahkan gabungan itu akan bertanding di semua 245 kerusi DUN pada PRN di enam negeri.

    Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu, dilaporkan berkata, Bersatu akan bertanding di 83 kerusi DUN, sementara Pas di 126 kerusi dan Gerakan di 36 kerusi.

    Ahmad Faizal, yang juga Timbalan Presiden Bersatu dan Pengerusi PN Perak, berkata senarai calon bagi gabungan itu sudah dimajukan ke peringkat pucuk pimpinan tertinggi untuk disaring dan dimuktamadkan.

    “Peringkat akar umbi setiap parti sudah mencadangkan beberapa nama kepada pucuk pimpinan dan daripada itu, kita akan saring sebelum membuat keputusan (dipilih sebagai calon),” katanya.

  • Tony Pua harap PH boleh bentuk kerajaan sendiri selepas PRU-16

    Tony Pua harap PH boleh bentuk kerajaan sendiri selepas PRU-16

    *Mahu PH buktikan lebih baik ”berbanding gabungan korup seperti BN,UMNO,Bersatu”*

    BEKAS Ahli Parlimen Damansara Tony Pua menggesa Pakatan Harapan mengambil peluang atas kedudukannya sebagai kerajaan untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa gabungan berbilang kaum adalah langkah ke hadapan bagi Malaysia.

    Memetik laporan FMT, ada majlis makan malam kutipan dana DAP, Pua berkata, penyokong PH mesti membuktikan kepada pihak-pihak yang meragui gabungan itu bahawa “parti berbilang kaum yang bersih dan tidak korup” boleh melakukan lebih baik “berbanding gabungan korup seperti Barisan Nasional, serta UMNO dan Bersatu”.

    Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga pengerusi PH, mesti melengkapkan penggalnya “sebagai Perdana Menteri yang popular”, dan membuktikan bahawa pengkritik PH salah, semasa beliau masih berkuasa.

    “Ambil peluang ini untuk tunjuk kepada rakyat, mereka yang meragui (PH) di luar sana, mereka yang tidak percaya kepada PH, yang tidak percaya kepada politik gabungan berbilang kaum. Buktikan kepada mereka bahawa parti berbilang kaum yang bersih dan tidak korup .. boleh buat lebih baik berbanding gabungan korup seperti Barisan Nasional, serta UMNO dan Bersatu.

    “Itu yang kita mahu buktikan sementara kita ada peluang selama lima tahun untuk tunjuk perbezaannya. Jika kita berjaya, saya yakin dalam masa empat tahun lagi, pada PRU, (PH) akan dapat sokongan lebih besar daripada rakyat,” katanya.

    Pua turut berharap agar PH dapat membentuk kerajaan sendiri selepas PRU akan datang.

    “Barulah kita dapat laksanakan reformasi dan perubahan yang kita mahukan bawah PH untuk manfaat rakyat. Itu sangat, sangat penting untuk kita semua,” katanya.

    Beliau mengakui bahawa kerajaan perpaduan masih mempunyai janji yang belum ditunaikan dan matlamat yang belum tercapai, tetapi percaya setakat ini, prestasinya bagus.

    Tambahnya, perubahan yang bermakna akan mengambil masa untuk berlaku di negara ini.

    Bagaimanapun, kata Pua, faktor yang lebih penting adalah pentadbiran pimpinan Anwar rapuh kerana ia boleh tumbang jika beberapa parti dalam gabungan perpaduan memutuskan untuk meninggalkannya.

    Beliau berkata, itulah sebabnya Anwar perlu memastikan kerajaan utuh dan menjadi tokoh popular dalam kalangan semua lapisan masyarakat di negara ini.

  • Selepas Zuraida,  10 lagi bekas Ahli Parlimen PKR akan disaman

    Selepas Zuraida,  10 lagi bekas Ahli Parlimen PKR akan disaman

    PARTI  Keadilan Rakyat (PKR) akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap 10 bekas ahli Parlimen yang melanggar syarat bon mengikat kepada parti.

    Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, fakta kes tersebut sama seperti saman yang dikemukakan PKR terhadap terhadap bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin.

    “Kami mulakan dengan Zuraida. Kami menang. Langkah seterusnya ialah ke atas Ahli Parlimen Keadilan lain yang ikut keluar. Fakta kes sama, insya-Allah peluang menang cerah,” tulisnya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini lapor Sinar Harian

    Menurutnya, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan tuntutan RM10 juta oleh PKR terhadap Zuraida yang bekas Naib Presiden PKR itu wajar dijadikan pengajaran.

    “Usah khianat. Gembiranya hanya sementara,” katanya.

    Dakwa Saifuddin, pengikut Zuraida yang keluar parti sebelum ini kembali mengemukakan permohonan untuk menyertai semula PKR.

    “Maaf ya, masuk parti bukan macam bersalin baju,” katanya.

    Mengimbas kembali saat berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018 yang lalu, Saifuddin berkata, semua calon PKR berkumpul di ibu pejabat parti bagi menandatangani suatu bon sebelum diserahkan watikah lantikan.

    Bon tersebut mengikat ahli Parlimen PKR yang menang pilihan raya sekiranya bertindak keluar parti perlu membayar RM10 juta.

    “Selaku Setiausaha Agung, saya membantu Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada majlis serahan watikah calon,” ujar beliau.

    Bagaimanapun beliau berkata, sejumlah Ahli Parlimen PKR melanggar bon tersebut selepas menang pilihan raya.

    “Kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh dan saya kemudian memulakan tindakan undang- undang ke atas mereka berkenaan,” katanya.

    PKR sebelum ini membuat tuntutan terhadap 19 ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertindak melanggar bon tersebut.

    Selain Zuraida, mereka adalah bekas Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Jonathan Yasin (Ranau) dan Baru Bian (Selangau) serta Datuk Willie Mongin (Puncak Borneo).

    Sementara ADUN pula melibatkan Dr Chong Fat Full (Pemanis), Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia), Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Krau), Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia), Azman Nasrudin (Lunas), Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam), Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya), Daroyah Alwi (Sementa) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Aceh).

  • UMNO Kedah bertanding 15 DUN, dua kerusi belum selesai

    UMNO Kedah bertanding 15 DUN, dua kerusi belum selesai

    Oleh BADLISHAH MAT

    UMNO Kedah berkemungkinan akan bertanding sekurang-kurangnya 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi di negeri tersebut.

    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) itu hanya akan dimuktamadkan sebelum Khamis ini.

    “Kalau kita ada 15 DUN yang bertanding, itu dikira minimum. Kalau dapat lebih daripada itu, maknanya itu sudah banyak,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Taklimat Persiapan PRN UMNO DUN Sungai Tiang di Pejabat UMNO Pendang, hari ini. 

    DUN Kedah dijangka dibubarkan pada 28 Jun ini setelah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bercadang untuk memohon perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Ahad ini.

    Mengulas pembahagian dua daripada 36 kerusi DUN Kedah yang masih belum dapat dimuktamadkan oleh BN dan PH Kedah, Mahdzir berkata, perkara itu dijangka dapat diselesaikan tidak lama lagi.

    “Saya ingat yang itu bukan isu untuk diselesaikan. Insya-Allah dalam minggu ini sebelum raya haji kita boleh selesai,” katanya.

    Mahdzir berkata, BN sudah memulakan gerak kerja termasuk menubuhkan jawatankuasa di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) setiap DUN. 

    “Contoh DUN Sungai Tiang ada kira-kira 23 PDM, maka akan tubuh jawatankuasa di 23 PDM itu. Kalau di Tokai pula ada 21 PDM, jadi ada 21 jawatankuasa,” katanya.

    Beliau berkata, antara gerak kerja yang diputuskan adalah untuk memastikan semua jawatankuasa yang ditubuhkan itu bekerjasama dengan calon PH di DUN yang ditandingi mereka.

    “Katakan di Tokai akan ditandingi oleh PH, maknanya jawatankuasa yang ditubuhkan oleh BN nanti akan membantu sebab ‘frontliner’ kepada Tokai adalah PH, jadi BN akan bantu. Begitu juga sebaliknya kalau Sungai Tiang nanti UMNO yang bertanding,” katanya.

  • Anwar jelajah 6 negeri, takut tsunami PN – Mohd Amar

    Anwar jelajah 6 negeri, takut tsunami PN – Mohd Amar

    NAIB Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun padang menjelajah ke semua enam negeri yang terlibat Pilihan Raya Negeri (PRN) melambangkan ketakutan Kerajaan Perpaduan terhadap ‘tsunami’ Perikatan Nasional (PN) yang semakin terserlah.

    Mohd Amar berkata, ini kerana kemenangan PN boleh menggugat kedudukan Kerajaan Perpaduan selepas PRN nanti.

    “Saya yakin landskap politik negara pada masa akan datang berubah jika PN menang semua enam negeri itu dan ia menjadi tuntutan ketidakpercayaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

    “Inilah yang amat ditakuti oleh kerajaan hari ini. Sebab itulah beliau (Perdana Menteri) turun ke semua negeri (PRN) dan ia memberi petanda kebimbangan serta ketakutan mereka dengan perkembangan yang berlaku ketika ini,” katanya semasa bercakap pada Program Sembang Santai Bersama Tan Sri Noh Omar sempena Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, malam tadi. 

    Mohd Amar berkata, PN perlu mempertahankan tiga negeri sedia ada iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah serta dalam masa sama merampas Pulau Pinang, Selangor serta Negeri Sembilan.

    Katanya, jika PN hanya mampu mempertahankan tiga negeri sedia ada situasi tersebut akan memberi kelebihan dan kemenangan moral kepada PH.

    Mengenai Kelantan, beliau berkata, negeri telah mengalami banyak pembaharuan, pembangunan dan kemajuan serta pencapaian berbanding 30 tahun dahulu walaupun berdepan tekanan politik sejak tahun 1990. 

    Menurut beliau, pengalaman suka duka itu dilalui dengan kemampuan sendiri berkat dasar ‘Membangun Bersama Islam’ pentadbiran kerajaan negeri.

    “Dulu bila kita menang orang ingat PAS ni antipembangunan dan PAS ni tidak boleh mentadbir negeri dan tidak ada perancangan,” katanya.

    Beliau memberikan petunjuk di mana dahulunya pendapatan negeri banyak bergantung kepada pembalakan, tetapi pentadbiran yang semakin cekap telah merubah perolehan hasil daripada sumber lain.

    Menurut ADUN Panchor itu, balak kini berada di kedudukan ketiga, sebaliknya pendapatan utama Kerajaan Negeri Kelantan diperolehi daripada hasil tanah dan perkhidmatan.

    “Makna pergantungan utama kita (kepada balak) ni sudah turun. Dulu orang ingat Kelantan ni kalau tak ada balak tak dak duit. Tapi dengan penyusunan kita, perancangan kita, kita berjaya mengurangkan pergantungan kita kepada balak. 

    “Dalam masa yang sama kita boleh bangunkan negeri ini, sebab ada income perkapital kita, pertumbuhan ekonomi kita semakin semakin meningkat,” ujarnya yang juga Naib Presiden PAS.

  • PKR mungkin teruskan tindakan undang-undang terhadap bekas ahli khianati parti- Fahmi

    PKR mungkin teruskan tindakan undang-undang terhadap bekas ahli khianati parti- Fahmi

    PKR mungkin mempertimbangkan untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap beberapa bekas ahlinya yang telah mengkhianati parti sebelum ini, kata Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.

    Beliau berkata perkara ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang memerintahkan bekas Naib Presiden PKR Datuk Zuraida Kamaruddin membayar RM10 juta kepada parti berkenaan kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.

    “Dalam Mesyuarat Pimpinan Pusat PKR akan datang mungkin ada perbincangan di mana tindakan terhadap Zuraida telah diambil dan ada keputusan sebegini… bukan beliau sahaja yang melompat parti pada waktu itu tetapi ada sejumlah yang lain.

    “Maka PKR mungkin meneruskan tindakan undang-undang kepada mereka yang telah mengkhianati parti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Parlimen Lembah Pantai hari ini, lapor BERNAMA.

    Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan saman PKR itu selepas mendapati bon tersebut merupakan kontrak yang sah dan mengikat malah mahkamah juga memerintahkan Zuraida untuk membayar kos RM50,000.

    Mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata ia juga membuktikan pendirian PKR bahawa tindakan lompat parti adalah tidak berprinsip walaupun Zuraida melanggar kontrak itu semasa negara belum melaksanakan Akta Anti Lompat Parti.

    “Sebab itu PKR mengenakan bon kepada beliau (Zuraida) dan kepada semua yang bertanding (pilihan raya) atas tiket PKR,” kata beliau dan mengingatkan semua ahli PKR supaya tidak sesekali mengkhianati parti itu.

    Pada Februari 2020, seramai 11 Ahli Parlimen mewakili PKR termasuk Zuraida mengisytiharkan keluar parti serta Pakatan Harapan (PH) dan antara yang turut keluar ialah bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Sementara itu, mengenai Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM itu, Fahmi berkata seramai 34 pelajar kawasan Parlimen Lembah Pantai telah menerima sumbangan wang tunai sebagai tanda memberi semangat setelah mendapat keputusan cemerlang dalam SPM tahun lepas.

    “Ini adalah sebahagian usaha saya sebagai Ahli Parlimen untuk membantu mereka yang ramai daripada keluarga B40 dan M40 dengan harapan anak-anak ini dapat meneruskan pelajaran.

    “Semoga mereka juga dapat mendampingi dan mempelajari pelbagai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan dan mengikuti trend terkini supaya mereka bersedia untuk memasuki alam pekerjaan nanti,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

    — BERNAMA

  • Jika Pas terus tadbir, Terengganu akan ikut jejak Kelantan mundur – Ahmad Said

    Jika Pas terus tadbir, Terengganu akan ikut jejak Kelantan mundur – Ahmad Said

    TERENGGANU bakal mengikuti jejak langkah negeri jirannya, Kelantan yang mundur dalam pelbagai aspek pembangunan jika Pas terus diberi mandat mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata perkara itu tidak mustahil apabila mengambil kira ketiadaan sebarang pembaharuan atau kemajuan ketara dibawa ke Terengganu sejak PAS merampas negeri itu daripada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    “Tiada pembangunan, tiada apa-apa (di bawah pimpinan Pas), tetapi orang Kelantan tiada masalah sebab mereka boleh cari kerja di Kuala Lumpur, orang Terengganu dia tak berapa nak keluar sangat. Jadi, mereka akan jadi mangsa. Tengok di Kelantan, isu air sudah hampir 30 tahun pun belum selesai.

    “Dalam PRU15 rakyat beri peluang Pas menang 8-0  (menang semua kerusi Parlimen Terengganu) dan apa rakyat dapat? Tiada menteri atau timbalan menteri dari negeri ini dan tiada peruntukan untuk negeri. Siapa yang rugi? Rakyat rugi tiada pembangunan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran jentera PRN BN Terengganu di sini malam tadi. 

    Menurut Ahmad, rakyat Terengganu akan menerima lebih banyak kemudahan jika kerajaan negeri dan kerajaan pusat daripada gabungan parti yang sama, terutamanya dalam isu menerima peruntukan untuk pembangunan negeri. 

    “Sebab itu kita nak rakyat Terengganu bertukar, dalam PRN kali ini beri semula (mandat) kepada BN. Banyak benda kita sudah rancang untuk dibuat… Terengganu di bawah Pas dengan dua menteri besar dari Marang (Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar), apa orang Marang dapat?. 

    “Kita harap pengundi UMNO sedar akan perkara ini dan jangan lagi digula-gulakan (dengan politik wang). Sebab kita mahukan pembangunan untuk Terengganu yang ada potensi pelancongan ini,” katanya. 

    Sementara itu, mengenai agihan kerusi antara gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu, Ahmad yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal berkata perkara itu telah lama selesai namun keputusan akhir masih belum ditentukan pucuk pimpinan parti. 

    Terdahulu, Ahmad dilaporkan media sebagai berkata rundingan pengagihan kerusi di peringkat negeri untuk 32 DUN Terengganu dalam kalangan parti dalam kerajaan Perpaduan diadakan sebanyak tiga kali sebelum diserahkan kepada pimpinan tertinggi parti untuk diputuskan.

    Pengarah Pilihanraya Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Ahmad Sabri Ali sebelum ini pula dilaporkan pihaknya meminta BN mempertimbangkan tujuh kerusi DUN untuk ditandingi PKR pada PRN akan datang.

    — BERNAMA

  • DUN Selangor bubar secara rasmi hari ini

    DUN Selangor bubar secara rasmi hari ini

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan hari ini, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

    Pembubaran itu selaras dengan pengumuman Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani pada Isnin lalu selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

    Ini bermakna DUN Selangor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan dua hari lebih awal berbanding tempoh mandat DUN yang akan berakhir pada 25 Jun ini, lapor BERNAMA.

    Dengan pembubaran itu, pentadbiran Selangor kini ditadbir kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN nanti.

    Selangor antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) mendominasi Selangor apabila menang 51 daripada 56 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) dan PAS masing-masing mendapat empat dan satu kerusi. 

    Kedudukan terkini kerusi sebelum DUN dibubarkan ialah PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

    Satu lagi kerusi, DUN Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.