Category: Politik

  • UMNO ibarat ais kecil tengah panas, kata Annuar Musa

    UMNO ibarat ais kecil tengah panas, kata Annuar Musa

    UMNO kini semakin hilang kepercayaan dan sokongan rakyat serta diibaratkan seperti ais yang mudah rapuh dan semakin mengecil akibat terdedah kepada cuaca panas.

    Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, parti itu bukan lagi seperti dahulu, sebaliknya banyak perubahan dilakukan tidak disenangi rakyat.

    “Sebab itulah UMNO ini macam ais duduk (jemur) di tengah panas yang akhirnya makin kecil dan terus mengecil,” katanya ketika berucap pada Ceramah Selangor Baharu dan Pelancaran Jentera Perikatan Nasional (PN) Parlimen Sabak Bernam di Markas Pas Batu 1, Tebuk Pulai, Sabak Bernam, malam tadi.

    Katanya, jumlah undi popular UMNO dalam dua pilihan raya umum sebelum ini jauh lebih sedikit berbanding bilangan ahli parti itu di seluruh negara.

    “Jika kita sorot PRU-13 (Pilihan Raya Umum ke-13), undi UMNO 5.4 juta jauh lebih tinggi berbanding 3.2 juta ahli yang ada pada waktu itu,” katanya.

    Namun kata Annuar yang juga Presiden Muafakat Nasional l, situasi itu tidak bertahan lama apabila undi popular UMNO semakin merosot.

    Realitinya kata beliau, bilangan ahli UMNO lima juta, tetapi undi popular parti itu merosot satu juta pada PRU14.

    “Jumlah undi popular UMNO semakin merosot pada PRU15 apabila dianggarkan dua daripada tujuh juta ahli mereka meninggalkan parti itu.

    “Saya ini agak lewat sikit meninggalkan UMNO berbanding rakan UMNO lain yang sudah menyertai PN (Perikatan Nasional),” ujar beliau.

    Jelas beliau, rakyat mula meninggalkan UMNO kerana mereka sedar dasar parti itu tidak selari berbanding semasa zaman kegemilangannya dahulu.

    “Rakyat sedar yang mereka hendak ikut bulan soal parti kerana ia ciptaan manusia, tetapi mereka sokong (sesebuah parti politik) atas dasar yang dibawa parti berkenaan” jelas beliau, lapor Sinar Harian.

  • Muhyiddin yakin `Gelombang PN’ PRU15 berterusan dalam PRN 6 negeri

    Muhyiddin yakin `Gelombang PN’ PRU15 berterusan dalam PRN 6 negeri

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin petanda awal ‘Gelombang Perikatan Nasional’ yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan berterusan pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menyuarakan keyakinan tersebut berikutan sambutan hangat daripada empat himpunan gabungan parti itu yang diadakan di Selangor, Kedah dan Kelantan, semalam.

    Justeru beliau mahu seluruh kepimpinan, ahli dan jentera parti mengukuhkan perpaduan dan semangat kerjasama dalam parti sepanjang kempen nanti.

    “Ini penting bagi membolehkan jentera PN berfungsi dengan baik, licin dan lancar.

    “Alhamdulillah semalam saya hadir dua acara besar iaitu Konvensyen PN Selangor, disusuli Ceramah Perdana Jelajah Selangor Baharu Kita Bangkit PN yang mendapat sambutan hangat apabila ribuan rakyat datang.

    “Bukan itu saja, saya dimaklumkan dua lagi acara besar turut berjalan serentak di Kedah dan Kelantan iaitu Himpunan Kedah Berselawat Berbusana di Stadium Darul Aman, dan Himpunan Pakat Pertahan dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kelantan.

    “Saya juga difahamkan kedua-dua acara ini mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat dua negeri terbabit.

    “Terima kasih kepada semua pihak yang bekerja keras bagi memastikan kelancaran tiga acara besar yang berjalan serentak pada malam tadi sehingga mencetusksn kebangkitan sokongan rakyat kepada PN,” katanya dalam hantaran menerusi akaun dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan bendera Perikatan Nasional kepada Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Azmin Ali ketika hadir ke Konvensyen Pilihanraya Perikatan Nasional Selangor 2023 di Shah Alam, semalam GAMBAR: Warta Rakyat

    PN sebelum ini mengesahkan akan bertanding di semua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang.

    Bersatu akan bertanding di 83 kerusi DUN manakala Pas di 126 kerusi dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (36 kerusi).

    Walaupun gagal membentuk kerajaan Pusat pada pada Pilihan Raya Umum ke-15 November lalu, PN merekodkan pencapaian cemerlang apabila memperoleh 74 daripada 222 kerusi Parlimen dipertandingkan.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, pihaknya yakin sokongan padu rakyat kepada PN dalam PRN nanti akan menjadi referandum rakyat kepada kerajaan Pusat.

    Katanya, PN bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat perkara yang akan dilaksanakan sebagaimana terkandung dalam manifesto, jika diberi peluang mentadbir nanti.

    “Pengalaman sewaktu menjadi kerajaan ketika krisis kesihatan dan ekonomi memuncak beberapa tahun lalu, adalah bukti bahawa PN mampu menjadi kerajaan yang baik.

    “Kita bukan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang sehingga kini masih gagal menunaikan janji pilihan raya mereka walaupun sudah tujuh bulan memerintah.

    “Rakyat masih dihimpit dengan beban kenaikan kos sara hidup, harga barang keperluan yang meningkat setiap hari, inflasi serta masa depan ekonomi negara yang tidak nampak hala tuju,” katanya, lapor Berita Harian.

  • PRN: Putra tiada masalah guna logo PN – Ibrahim Ali

    PRN: Putra tiada masalah guna logo PN – Ibrahim Ali

    PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) berharap dapat bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), dan diberi peluang oleh gabungan itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

    Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata tanpa mengharapkan jumlah kerusi yang banyak, Putra sedia bertanding di mana-mana jua sekiranya diberi peluang, malah tidak ada masalah untuk bertanding dengan menggunakan logo PN.

    “Saya ingin nyatakan di sini bahawa Putra tidak akan jadi tukang sorak. Kita boleh bersama jika kita diiktiraf. Kalau tak banyak sekalipun (perlu) ada bukti, tanda bahawa kita dapat bersama.

    “Kalau diberi kesempatan bekerjasama dengan PN, kalau boleh dua (atau) tiga kerusi juga tiada masalah, beri di mana sekalipun tidak kisah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Putra kali Keempat di Kuala Lumpur, hari ini.

    Ibrahim berkata beliau sudah menyampaikan hasrat itu kepada Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam petemuan mereka sebelum ini.

  • Majlis Syura Ulama mesyuarat minggu depan, tapi calon PAS

    Majlis Syura Ulama mesyuarat minggu depan, tapi calon PAS

    PAS akan mengadakan mesyuarat peringkat Majlis Syura Ulama minggu depan untuk membincangkan mengenai tapisan senarai nama-nama calon yang akan bertanding di 126 Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri.

    Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata soal pembahagian kerusi sudah selesai dan tiada sebarang masalah besar berkenaan perkara itu, tetapi tapisan mengenai calon sedang berlangsung dan berterusan.

    “Majlis Syura Ulama akan bermesyuarat pada minggu depan untuk membincangkan tentang tapisan calon. Dari segi manifesto pula, ia masih dalam perancangan,” katanya selepas Himpunan Pakat Pertahan dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Negeri Kelantan, di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di Kota Bharu malam tadi.

    Ia turut dihadiri Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

    Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan partinya akan bertanding di kesemua 245 kerusi DUN di enam negeri pada PRN nanti, yang Bersatu bakal bertanding di 83 DUN, PAS di 126 DUN manakala 36 DUN lagi ditandingi Parti Gerakan (Gerakan).

    PRN akan datang membabitkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45) dan Terengganu (32) yang berada di bawah pentadbiran PN, manakala Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36) iaitu negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH).

  • Perubahan kerajaan: Segala-galanya boleh berlaku – Muhyiddin

    Perubahan kerajaan: Segala-galanya boleh berlaku – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan akan berlaku perubahan kerajaan Pusat sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi semua Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri.

    Namun, Pengerusi PN itu enggan mengulas bagaimana perubahan kerajaan akan berlaku tetapi menegaskan, ia sedikit sebanyak mampu menggugat kedudukan kerajaan sedia ada jika PN menang di semua enam buah negeri tersebut.

    “Disebutkan tadi enam buah negeri berhadapan dengan PRN, ini bukan jumlah yang kecil, kalau enam buah negeri menghadapi pilihan raya dan enam-enam negeri dimenangi dan dikuasai oleh Perikatan Nasional, sudah tentunya yang duduk di Putrajaya akan goyang.

    “Agaknya sebab itu yang Azmin sebutkan tadi bulan 8. Mahu doakan bulan 8 suapaya apa yang disebutkan tadi akan dimakbulkan oleh Allah,terbentuk kerajaan yang baharu.

    “Soal macam mana saya tak nak sebutkan di sini, orang Indonesia kata segala-galanya bisa (boleh) berlaku,” katanya dalam Ceramah Perdana Jelajah Selangor Baharu, Kita Bangkit di Shah Alam, malam tadi.

    Pada Khamis, PN mengesahkan akan bertanding di kesemua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN kali ini meliputi Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

    Sebelum itu dalam ceramah sama, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dijatuhkan sebaik sahaja gabungan tersebut menang dalam PRN Selangor lapor Astro AWANI.

  • UMNO hanya menumpang PH di Selangor- Noh

    UMNO hanya menumpang PH di Selangor- Noh

    BEKAS Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menyifatkan UMNO telah hilang kekuatannya di Selangor dan kini hanya menjadi penumpang kepada sekutu barunya, Pakatan Harapan (PH).

    Beliau berkata, kini tiba waktunya untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bangkit di Selangor.

    “Sebagai bekas pengerusi BN Selangor, saya kecewa dengan (nasib) beberapa kerusi UMNO pada PRN (pilhan raya negeri) akan datang.

    “Kalau UMNO jadi penumpang, mana kehebatan BN (Barisan Nasional)? Justeru, hari ini PN (Perikatan Nasional) mesti bangkit menggantikan BN,” katanya ketika berucap dalam Jelajah Selangor Baru – Kita Bangkit di Shah Alam malam tadi.

    Turut hadir adalah Pengerusi PN Selangor Azmin Ali yang mengalu-alukan sokongan yang disuarakan Noh.

    Noh yang dipecat UMNO Januari lalu percaya, dengan semangat PN dan kerjasama yang ditonjolkan antara parti komponen gabungan itu, PN akan menang PRN akan datang.

    Sementara itu, Azmin berkata, pihaknya menyambut sokongan Noh walaupun bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu pernah menyerangnya ketika beliau menjadi Menteri Besar Selangor.

    “Masa saya jadi Menteri Besar, dia (Noh) hantar Jamal. Ingat Jamal,” kata Azmin merujuk bekas Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos dikenali dengan gimik politiknya yang mengundang perhatian.

    Azmin antaranya mengimbas kembali tindakan Jamal yang pernah mendakwanya gagal menguruskan isu bekalan air Selangor dan muncul di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dengan hanya bertuala pada 2016.

    “Rupa-rupanya di belakang Jamal, ada Noh. Tetapi sekarang dia sudah insaf. Kami dulu di zaman jahiliah. Dia dalam UMNO, saya dalam PKR (Parti Keadilan Rakyat). Tetapi sekarang kami bergabung tenaga untuk Selangor baru,” katanya lagi, lapor Malaysiakini.

    PN memulakan kempen di Selangor semalam menerusi pelancaran jenteranya.

    Antara yang hadir adalah pemimpin tertinggi PN iaitu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, serta barisan pemimpin peringkat negeri.

  • ‘Kerajaan Perpaduan’ sebenar ketika Muhyiddin jadi PM, kata Noh Omar

    ‘Kerajaan Perpaduan’ sebenar ketika Muhyiddin jadi PM, kata Noh Omar

    KERAJAAN Perpaduan yang sebenar ialah ketika Malaysia ditadbir oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

    Menurut bekas ahli Parlimen Tanjong Karang itu, pentadbiran Muhyiddin lebih menggambarkan Kerajaan Perpaduan apabila semua parti yang terlibat dalam kerajaan pada ketika itu hanya bekerjasama di peringkat Persekutuan meskipun mempunyai hala tuju masing-masing di peringkat negeri.

    Katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang berlangsung pada 2021 adalah contoh terbaik apabila UMNO bertembung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas meskipun Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memegang portfolio menteri Kabinet.

    “Saya pelik melihat pemimpin UMNO (sekarang). Kerajaan Perpaduan ini meskipun yang dititah oleh Yang di-Pertuan Agong, saya percaya dan yakin Kerajaan Perpaduan waktu Muhyiddin paling berjaya,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Jelajah Selangor Baru Kita Bangkit Perikatan Nasional di Shah Alam, malam tadi.

    “Ketika itu, kita (UMNO) bersama PN (Perikatan Nasional) . Saya masih ingat di peringkat Pusat. Saya pun menteri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pun menteri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah juga menteri.

    “Bayangkan apabila sampai PRN Melaka dan Johor, pada Rabu kami hadir mesyuarat Kabinet. Habis saja mesyuarat, sebelah malam kita berperang.”

    Noh berkata demikian bagi mengulas kerjasama BN-PH yang bercadang untuk mengagihkan kerusi bagi memastikan tiada pertembungan pada pilihan raya yang bakal berlangsung di enam negeri tidak lama lagi.

    Dalam pada itu, Noh yakin PN mampu merampas Selangor sekiranya berlaku persaingan satu lawan satu antara PN dan PH atau BN.

    “PH mesti dikalahkan. Itulah cita-cita saya selama tiga penggal sejak 2008. Tetapi BN hanya tinggal harapan.

    “Sebab apa? Sebab Selangor ini lain dari negeri lain. Kita jangan bertembung tiga penjuru, kalau tak PH akan berjaya. kita harap Selangor akan bertembung dua penjuru (satu lawan satu),” tambahnya, lapor MalaysiaNow.

  • PRN: Muhyiddin ingatkan jentera PN jangan pinggirkan kawasan hitam

    PRN: Muhyiddin ingatkan jentera PN jangan pinggirkan kawasan hitam

    PENGERUSI Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa jentera parti tidak meminggirkan kawasan hitam di sesuatu kawasan pilihan raya dengan anggapan kawasan tersebut tidak mempunyai potensi memberikan undi kepada parti.

    Menurutnya, dalam situasi semasa politik hari ini tidak mustahil pengundi di kawasan hitam itu mampu memberikan undi kepada Perikatan Nasional (PN).

    “Sebab itu saya tidak mahu kita (jentera) membuat kesimpulan awal. Oleh kerana kawasan tersebut kawasan hitam, kawasan kelabu, kita tak payah pergi. Biar dia gelap selama-lamanya. Terutamanya masa ini di kawasan UMNO. Dulu mungkin itu kawasan kuat UMNO tapi kali ini mungkin tidak lagi,” katanya berucap pada Konvensyen PN Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam hari ini.

    Muhyiddin berkata, peluang tersebut perlu direbut lebih-lebih lagi UMNO kini berada dalam keadaan ‘hancur’ di bawah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Sementara itu, Muhyiddin mengakui tidak kisah sekiranya ahli atau pemimpin UMNO tidak menyertai mana-mana parti komponen PN dengan alasan sudah memadai jika mereka menyatakan sokongan terhadap gabungan itu.

    Justeru, beliau mengingatkan kepada ahli serta pemimpin PN supaya jangan memaksa ahli UMNO untuk menyertai gabungan itu.

    Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden BERSATU tetap menaruh harapan kepada pemimpin UMNO supaya meninggalkan parti itu dengan beralih menyatakan sokongan kepada PN.

    “Orang UMNO memang tidak akan berganjak kerana kita pun tidak akan lari dan tinggalkan parti kerana ia sudah sebati dengan hidup kita.

    “Hari ini, sudah pun ramai yang meninggalkan UMNO. Pemimpin besar, pemimpin sederhana mahupun pemimpin kecil, bawahan mengisytihar sokongan kepada PN. Terima kasih Tan Sri Noh Omar dan banyak lagi. Saya tak payah sebut di sini.

    “Yang lain kata dia tak kena keluar dulu tetapi dia tetap sokong PN. Tak apa, jangan paksa suruh masuk mana-mana parti, asalkan dia sokong (PN).

    “Saya percaya kali ini sebab yang menyokong UMNO dulu akan meninggalkan UMNO dan menyokong PN, Insya-Allah,” katanya ketika Konvensyen PN Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.

    Pada majlis sama, Muhyiddin menyentuh mengenai pemilihan calon PN untuk pilihan raya negeri (PRN) dalam masa terdekat.

    Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, beliau menegaskan calon yang disenaraikan oleh pucuk pimpinan parti dalam gabungan itu wajib diterima.

    “Ramai calon berkelayakan (dalam PN). Di Selangor khususnya sudah diteliti.

    “Pucuk pimpinan putuskan (siapa dipilih jadi calon)… (maka) wajib terima calon itu…setuju?” katanya.

    Mengulas manifesto PN, Muhyiddin berkata ia akan dilancarkan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.

  • ‘’Jangan layan kenyataan Tony Pua’’ – Zahid

    ‘’Jangan layan kenyataan Tony Pua’’ – Zahid

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan semua pemimpin parti itu supaya tidak melayan atau memberi sebarang reaksi terhadap kenyataan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menggelar Barisan Nasional (BN) sebagai pakatan korup.

    Ahmad Zahid berkata, ini kerana kenyataan itu bukan pandangan rasmi daripada kepimpinan mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan.

    “Saya nak bagi pandangan, mana-mana parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan yang ada pandangan berbeza kami tidak akan layan. Ini kerana itu bukan pandangan rasmi dari kepimpinan mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan dan saya telah beritahu jangan ada reaksi untuk membalas dan sebagainya dari pihak kita,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera UMNO Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan di Seremban hari ini,

    Turut hadir, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

    Menurut Ahmad Zahid, jika isu tersebut terus ditimbulkan, ia akan menampakkan seolah-olah ia masalah besar.

    Katanya, kenyataan dikeluarkan oleh Tony Pua itu bukannya menjadi dasar, pegangan atau ketetapan kepimpinan mana-mana parti.

    “Pegangan kami, perundingan diadakan antara BN dan PH. Jadi saya berterima kasih kepada Anthony Loke Siew Fook yang telah keluarkan kenyataan yang beliau tidak ‘endorse’ pandangan berbeza sebagai pandangan parti. Kami juga berpendirian marilah kita ‘move forward’. Jangan nak membaling batu di rumah kaca,” katanya.

    Tony pada Jumaat menggelar BN yang kini bersama PH dalam Kerajaan Perpaduan sebagai pakatan korup.

    Sehubungan itu, Tony menyuarakan harapan supaya PH selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

  • ‘Gelombang Hijau ‘ taktik Kit Siang takut-takutkan pengundi bukan Melayu terhadap Pas – Azmin

    ‘Gelombang Hijau ‘ taktik Kit Siang takut-takutkan pengundi bukan Melayu terhadap Pas – Azmin

    ISTILAH  “Gelombang Hijau” merupakan taktik dan perangkap pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang untuk mencipta persepsi negatif terhadap Pas, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Mohamed Azmin Ali.

    Beliau berkata, permainan politik itu kononnya untuk memberi gambaran bahawa akan berlaku gelombang kebangkitan PAS yang dituduh sebagai satu kumpulan berfikiran radikal.

    “Kita tahu taktik dan perangkap Lim Kit Siang untuk menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu dengan menguar-uarkan gelombang hijau seolah-olah akan berlaku satu gelombang kebangkitan Pas yang dituduh sebagai satu kumpulan radikal,” katanya pada sidang media sempena Konvensyen Pilihan Raya PN Selangor di Shah Alam, Labor MalaysiaNow.

     Azmin yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa berkata, persepsi yang cuba dihasilkan Lim itu selepas mendapati sokongan bukan Melayu terhadap PN meningkat.

    Katanya, kehadiran bukan Melayu pada konvensyen yang diadakan hari ini serta majlis yang diadakan di Senawang, Negeri Sembilan baru-baru ini jelas menunjukkan sokongan terhadap PN semakin kukuh.

    Beliau berkata, ditambah dengan sokongan Melayu yang semakin kuat sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), lalu memberikan petanda positif bahawa PN mempunyai peluang cerah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung di enam negeri tidak lama lagi.

    “Ini membuktikan mereka meletakkan keyakinan PN mampu bawa perubahan dalam PRN akan datang,” tambah Azmin.

    Dalam pada itu, Azmin turut mendedahkan PN juga bakal akan meletakkan beberapa muka baru di Selangor yang terdiri daripada golongan muda berlatarbelakangkan profesional.

    “Itu yang dikehendaki rakyat, maka kita tunaikan. Selain itu, PN juga akan meletakkan calon dalam kalangan kaum India dan Cina,” katanya.