Category: Politik

  • PRN Melaka: polis nasihatkan berhati-hati guna media sosial

    PRN Melaka: polis nasihatkan berhati-hati guna media sosial

    POLIS mengingatkan pihak berkepentingan seperti parti politik dan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka agar sentiasa berhati-hati menggunakan media sosial ketika berkempen bagi menyuburkan proses demokrasi. 

    Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata pihaknya telah menubuhkan pasukan khas bagi memantau platform media sosial secara 24 jam untuk mengenal pasti hantaran yang dimuat naik dalam medium berkenaan.

    “Pasukan ini melibatkan tiga kumpulan secara bergilir memantau hantaran untuk kita pastikan mereka menggunakannya dengan cara  sihat dan bukan untuk menghina, mengganggu-gugat ketenteraman awam atau menghina mana-mana pihak.

    “Ini adalah tanggungjawab kita untuk suburkan demokrasi dan bukannya menghasut antara satu sama lain,” katanya dalam program Bicara Khas ‘Keselamatan PRN Melaka Ke-15’ secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, malam tadi.

    Abdul Majid berkata apabila sesuatu kesalahan dikesan polis akan membuat laporan supaya siasatan adil dapat dijalankan seterusnya menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

    Dalam pada itu beliau menasihatkan parti dan calon supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan proses pilihan raya secara norma baharu di negeri ini yang terbaik untuk digunakan pada pilihan raya akan datang.

    “Situasi di negeri ini amat terkawal dan terjamin, kita dapat lihat rakyat di Melaka menjalani kehidupan seperti biasa, tiada insiden yang mengganggu-gugat walaupun SOP baharu dilaksanakan pada PRN kali ini di samping kematangan parti-parti politik bertanding,” katanya.

    Katanya polis juga komited menguatkuasakan undang-undang dalam menjaga ketenteraman awam bagi memastikan rakyat keluar mengundi beramai-ramai dan mereka tidak perlu gusar kerana keselamatan mereka  dilindungi di negeri ini.

    SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri. – Bernama

  • Peluang rakyat Melaka wujudkan kepemimpinan berintegriti, prihatin – Muhyiddin

    Peluang rakyat Melaka wujudkan kepemimpinan berintegriti, prihatin – Muhyiddin

    PILIHAN Raya Negeri Melaka pada 20 November ini  adalah peluang untuk rakyat di negeri itu melakukan perubahan bagi mewujudkan sebuah kepemimpinan yang berintegriti dan prihatin rakyat.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,  beliau percaya rakyat negeri Melaka berasa amat terkilan dengan laporan-laporan media mengenai pelbagai dakwaan salah laku yang melibatkan penyelewengan khazanah kekayaan negeri itu oleh pihak-pihak yang rakus dan tidak bertanggungjawab.

    ‘’Rakyat di negeri Melaka mesti mengambil langkah yang berani untuk melakukan perubahan. Tiada gunanya kita menyerahkan kepimpinan kerajaan Negeri kepada mereka yang kita sendiri tahu akan meneruskan tabiat kepimpinan yang rakus kuasa dan tamak haloba untuk kelompok kelompok tertentu dan diri sendiri.

    ‘’Kekayaan negeri Melaka mesti diurus dengan jujur, amanah dan berintegriti agar hasil kemakmurannya dapat dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,’’ katanya ketika melanarkan Ikrar Perikatan Nasional sempena PRN Melaka di Shah Alam hari ini.

    Munyiddin berkata, kepimpinan yang berintegriti dan prihatin rakyat inilah yang ditawarkan oleh Perikatan Nasional kepada seluruh rakyat di Melaka.

    ‘’Inilah ikrar dan komitmen Perikatan Nasional. Perikatan Nasional berikrar akan membawa perubahan besar kepada pendekatan pentadbiran negeri Melaka. pentadbiran  akan bertunjangkan nilai integriti dan ketelusan bagi memastikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat senantiasa menjadi nadi dan keutamaan pentadbiran negeri,’’ katanya.

    Beliau berkata, Perikatan Nasional telah merangka satu tawaran yang inklusif dan menyeluruh kepada seluruh rakyat negeri Melaka bagi memastikan tiada golongan yang dipinggirkan daripada mendapat limpahan manfaat hasil pembangunan pesat negeri ini dalam pelbagai sektor ekonomi.

    ‘’Justeru, Perikatan Nasional telah menyediakan Ikrar berteraskan 6 tunjang utama, berpacukan 11 strategi dan berlandaskan 74 pendekatan. Ikrar yang ditawarkan ini bukan omongan kosong, mahupun janji bulan dan bintang.

    ‘’Ikrar ini adalah satu komitmen bahawa Kerajaan negeri yang bakal dibentuk nanti adalah berteraskan suara rakyat yang mahu melihat Melaka Bangkit Gemilang sebagai sebuah negeri yang maju, prihatin rakyat dan dipimpin oleh sebuah pasukan kepimpinan yang berintegriti.

    Srikandi Muda PN, Syazwani Karmaine,33, (kiri) dan Flora Johnny,21, melihat buku Manifesto Perikatan Nasional pada Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    ‘’Tumpuan Kerajaan baharu Perikatan Nasional yang akan dibentuk kelak akan berpaksikan kepada Keutuhan Ekonomi, Keprihatinan Kepada Rakyat, Kerancakan Sektor Pelancongan, Kelestarian Alam Sekitar, Kecekapan Infrastruktur serta Keteguhan Dan Kejujuran Pentadbiran,’’ katanya.

    Tegas  Muhyiddin, bagi memastikan tawaran Ikrar Perikatan Nasional Untuk Melaka dipenuhi, sebuah Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan akan ditubuhkan dan dianggotai anak jati Melaka daripada golongan profesional dan berpengalaman.

    ‘’Ini adalah manifestasi kesungguhan Perikatan Nasional untuk memastikan ikrar yang dibuat untuk rakyat di negeri Melaka ini akan direalisasikan menerusi satu daya usaha yang gigih dan telus,’’ katanya.

    Muhyiddin berkata, sejarah menceritakan tentang kegemilangan Melaka lama dahulu dan beliau yakin semangat dan kekuatan ini sebenarnya masih ada dalam diri warga negeri Melaka.

    ‘’ Sayangnya semangat dan kekuatan ini tidak diterjemah dan dimanafaatkan sepenuhnya oleh pimpinan kerajaan negeri sebelum ini. Saya percaya perang politik yang berterusan dalam kalangan mereka sendiri menyebabkan hasrat untuk memaju dan mengembalikan kegemilangan Melaka terbantut.

    ‘’Cukuplah pengalaman pahit yang saudara dan saudari serta kita semua lalui sebelum ini. Untuk kali ini, saya menyeru agar seluruh rakyat Melaka bersatu hati dan memberi mandat kepada Perikatan Nasional untuk bersama-sama melakarkan satu sejarah baharu – Melaka Kembali Bangkit Gemilang.,’’ katanya.

  • Memang sudah lumrah pembangkang selalu cetus isu

    Memang sudah lumrah pembangkang selalu cetus isu

    PRN Sarawak

    SUDAH lumrah pembangkang sentiasa menjadikan setiap perkara sebagai isu termasuk perintah darurat yang dikenakan ke atas Sarawak sebelum ini, kata Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

    Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu berkata, semasa darurat dikuatkuasakan di negeri berkenaan, pembangkang menuduh kerajaan negeri cuba berselindung di sebalik kuasa darurat.

    “Kita ni sebenarnya dalam masa kecederaan, pembangkang kata apabila darurat ini dipanjangkan, kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak) cuba hendak berselindung (enggan adakan PRN) di sebalik darurat…apabila ditamatkan lain pula ceritanya.

    “Itulah pembangkang tiada pendirian tetap, macam-macamlah… semua perkara dia (pembangkang) hendak jadikan isu,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri taklimat bersama jentera PBB bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari, di Lawas.

    Tegas Awang Tengah, setiap keputusan untuk menguatkuasakan dan menamatkan darurat di Sarawak serta pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) kelak bukan dibuat sembarangan sebaliknya penuh berhati-hati dan berdasarkan nasihat dengan mengambil kira semua aspek kesihatan, keselamatan dan kehidupan rakyat di samping mengimbangi proses demokrasi.

    Jelasnya, GPS juga menunggu dan menerima segala keputusan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan PRN Sarawak dengan mengambil kira perkembangan semasa COVID-19, termasuk kemungkinan pengenalan SOP baharu berdasarkan pengendalian PRN Melaka.

    Pada Jumaat lepas, sebuah media melaporkan PKR Sarawak menghantar rayuan kepada SPR untuk menangguhkan PRN negeri itu ke tahun hadapan, susulan peningkatan kes positif baharu dan kematian akibat penularan COVID-19 dalam negara.

    Semalam, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju jika PRN Sarawak ke-12 ditangguhkan susulan perkembangan penularan COVID-19 di negeri itu.

    SPR sebelum ini memaklumkan satu mesyuarat khas berkaitan urusan PRN Sarawak akan diadakan pada 24 Nov ini di Kuching susulan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menamatkan Proklamasi Darurat bagi Sarawak pada 3 Nov lepas.

    Dalam pada itu, Awang Tengah berkata jentera pilihan raya semua parti komponen GPS kini sudah bersedia beradaptasi dengan segala SOP SPR termasuk sekiranya terdapat SOP baharu yang bakal diperkenalkan.

    Jentera parti sentiasa diingatkan untuk mematuhi peraturan ditetapkan dan selain bersedia dengan segala kekangan untuk berkempen pada PRN itu, katanya. – BERNAMA

  • PRU-15: DAP Selangor minta tambah 2 kerusi DUN, 1 Parlimen

    PRU-15: DAP Selangor minta tambah 2 kerusi DUN, 1 Parlimen

    DAP Selangor telah memohon kepada Pakatan Harapan (PH) negeri itu untuk mendapat tiga kerusi tambahan termasuk satu kerusi Parlimen bagi pilihan raya akan datang.

    Memetik laporan Bernama, Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo berkata demikian dalam ucapan aluan Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor 2021 di Shah Alam, hari ini.

    “Untuk perkara ini saya perlu memberitahu semua di sini bahawa perbincangan sedang diadakan dengan PH Negeri Selangor, setakat sekarang kita telah pun meminta untuk mendapat tiga kerusi tambahan.

    “Setakat ini kita ada dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita telah pun menyatakan kesediaan untuk bertanding dan satu kerusi Parlimen tambahan. Dengan ini kita (akan) meningkatkan bilangan kerusi dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

    Pada masa ini, DAP menguasai 16 kerusi DUN Selangor yang mempunyai jumlah keseluruhan 56 kerusi.

    Sekutu-sekutunya dalam PH iaitu PKR mempunyai 19 kerusi manakala Parti Amanah Negara (PAN) pula hanya menduduki enam kerusi dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) cuma ada tiga kerusi.

    Di blok pembangkang, Barisan Nasional (BN) mempunyai lima kerusi diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (4 kerusi) dan PAS (1 kerusi).

    Baki dua kerusi lagi disandang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas.

    Bagi kawasan Parlimen pula, DAP kini menyandang sebanyak empat kerusi iaitu Bangi, Damansara, Puchong, Klang manakala PKR mempunyai tujuh kerusi, masing-masing di Hulu Selangor, Pandan, Subang, Selayang, Petaling Jaya, Sungai Buloh dan Kapar.

    PAN mempunyai lima kerusi Parlimen di Selangor iaitu Kuala Selangor, Shah Alam, Hulu Langat, Kota Raja dan Sepang.

    Bersatu pula menduduki lima kerusi Parlimen di negeri tersebut iaitu Sabak Bernam, Gombak, Ampang, Kuala Langat dan Sungai Besar, manakala BN hanya ada satu kerusi di Tanjung Karang.

    Tidak dapat dipastikan kerusi-kerusi tambahan yang ingin ditandingi DAP adalah dari kawasan yang secara tradisinya ditandingi oleh PKR atau PAN.

    Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ucapan pembukaannya berkata, partinya telah membuat keputusan untuk mengguna pakai logo PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

    Menurut beliau, penggunaan logo PH tersebut hanya akan dilaksanakan di Semenanjung Malaysia sementara Sabah dan Sarawak pula akan diputuskan oleh negeri-negeri tersebut kerana mereka mempunyai kuasa autonomi.

    “Kita telah mula di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka (penggunaan logo PH), kita akan pakai di seluruh Semenanjung Malaysia untuk PRU ke-15 kecuali Sabah dan Sarawak.

    “Kerana mereka ada (kuasa) autonomi, mereka akan putuskan (untuk gunakan) logo apa sama ada parti DAP Roket ataupun logo bersama,” katanya.

  • Poster Mohd Rafiq calon KM Melaka adalah palsu

    Poster Mohd Rafiq calon KM Melaka adalah palsu

    IBU Pejabat Perikatan Nasional (PN) menafikan pengeluaran sebarang poster berkenaan calon Ketua Menteri Melaka daripada PN.

    “Poster yang tersebar berkenaan adalah palsu,” katanya hari ini.

    Terdahulu, tular dalam media sosial, poster yang kononnya mendakwa Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sebagai calon Ketua Menteri Melaka daripada PN.

    Baru-baru ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan, calon Ketua Menteri Melaka dari PN yang bakal diumumkan sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini adalah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Beliau menyatakan soal calon Ketua Menteri Melaka itu dalam sidang media di Bemban, Melaka, kelmarin.

    “Kita akan umumkan, kenapa kita ambil masa? Itu strategi kita. Kita tak boleh umum awal. tapi tak umum langsung pun tak boleh.

    “Mesti ada calon. Ramai sebenarnya yang layak dan boleh jadi Ketua Menteri. Jadi, tak jadi masalah kepada kita.

    “Sewajarnya kerana Bersatu mempunyai sejumlah kerusi yang besar, dan kami diberikan kepercayaan oleh rakan-rakan parti PAS dan Gerakan, Ketua Menteri itu akan datang dari Bersatu,” katanya.

  • Kehadiran Abah menggembirakan warga DUN Ayer Molek

    Kehadiran Abah menggembirakan warga DUN Ayer Molek

    MINUM PAGI DENGAN ABAH – TAN SRI MUHYIDDIN

    Alhamdulillah .. Terima kasih Abah .. Sudi minum pagi bersama saya dan penduduk di DUN Ayer Molek Melaka..

    Kehadiran Abah memberi satu kegembiraan warga DUN Ayer Molek khususnya penduduk Paya Dalam Melaka

    MOHD FADLY SAMIN
    Calon PN bagi DUN Ayer Molek

    yadzil yaakub prn melaka
    Gambar: Facebook Dr Mohd Yadzil Yaakub

    “Alah bisa, tegal biasa”

    Menziarahi pesakit sudah menjadi darah daging saya, satu kepuasan yang Allah berikan.

    Asal mendengar ada pesakit yang terlantar di rumah, pasti saya bergegas ke sana.

    Dapatlah juga menghilangkan lelah bergerak di lorong-lorong perumahan.

    Sebagai bonus penat lelah, saya singgah di warung Kak Ani dengan sepinggan kuih udang.

    DR MOHD YADZIL YAAKUB
    Calon PN bagi DUN Bemban

    azrudin idris PRN Melaka
    Gambar: Facebook Mohd Azrudin Idris

    “Ketenangan jiwa dapat dimulai dengan cara memaafkan. Mengikhlaskan semua yang terjadi dan memulai perjalanan hidup yang baru.”
    Salam Subuh buat semua sahabat.🌹🌹❤️

    MOHD AZRUDIN IDRIS
    Calon PN bagi DUN Pengkalan Batu

    Aziah Mohd Sa'ad PRN Melaka PAS
    Gambar: Facebook Aziah Mohd Sa’ad

    Program bersama Wanita Muda Perikatan Nasional.

    Saya memandang tinggi idea kritis dan semangat tinggi anak muda.

    Saya percaya, rata-rata anak muda mahukan kepimpinan yang telus, berintegriti, mendaulatkan bangsa dan agama.

    Ayuh bersama saya, kita kembalikan kegemilangan Kuala Linggi.

    “Penyatuan Ummah, Cita-Cita Bersama
    Melaka Bertuah, Agama Bangsa Terbela”

    AZIAH MOHD SA’AD
    Calon PN Bagi DUN Kuala Linggi

  • PRN Melaka:Gerakan boleh menang undi Cina-Muhyiddin

    PRN Melaka:Gerakan boleh menang undi Cina-Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan keyakinan parti Gerakan boleh menang undi Cina pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung 20 November ini.

    Sambil menyifatkan komuniti tersebut sebagai ‘sangat pragmatik’, bekas Perdana Menteri itu juga berkata terdapat angin perubahan yang melanda negara yang tidak boleh dipandang rendah, sambil menambah bahawa Melaka mungkin menjadi lokasi perubahan itu.

    “Ada sebilangan yang mengatakan bahawa peratusan keluar mengundi Cina mungkin rendah dan mereka adalah penyokong kuat DAP, saya fikir mereka adalah orang yang sangat pragmatik.

    “Kami harap mereka akan mempertimbangkan calon-calon yang telah kami letakkan daripada Gerakan,” katanya ketika ditanya sama ada beliau yakin Gerakan boleh memenangi undi masyarakat Cina, lapor Free Malaysia Today (FMT), hari ini.

    prn melaka mohd muhammad

    Gerakan bertanding untuk lima kerusi pada PRN Melaka iaitu di Asahan, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir. Penyandang di empat kerusi berkenaan adalah daripada DAP.

    Muhyiddin juga menepis dakwaan veteran DAP Lim Kit Siang, awal hari ini bahawa terdapat ‘bantahan keras’ dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menamakan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon PN untuk menjadi Ketua Menteri jika menang kerusi terbanyak.

    Presiden Bersatu itu berkata, bukan urusan Lim untuk campur tangan dalam hal partinya, sambil menambah bahawa beliau akan menguruskan hal tersebut sendiri.

    “Saya tidak pernah masuk campur dalam urusan DAP. Saya tidak bertanya apa-apa pun mengenainya,” katanya selepas bertemu masyarakat Cina di Melaka petang tadi.

    Terdahulu, Lim menyifatkan ketidakupayaan Muhyiddin untuk mengumumkan Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri PN sebagai bom jangka kerana dakwaan terdapat tentangan dalam Bersatu.

    Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Undang-undang, menang kerusi Parlimen Masjid Tanah atas tiket Barisan Nasional (BN) pada 2018.

  • Ucapan Ismail Sabri  bagaikan ‘menjawab tuduhan’ Najib terhadap Muhyiddin

    Ucapan Ismail Sabri bagaikan ‘menjawab tuduhan’ Najib terhadap Muhyiddin

    ANALISIS

    ‘KEGAGALAN’ masih lagi menjadi modal kepada pemimpin-pemimpin UMNO khususnya Datuk Seri Najib Tun Razak untuk ‘menyerang’ Perikatan Nasional.

    Terbaru bekas Perdana Menteri yang kini kerap ‘bercuti’ di Melaka itu berkata, Muhyiddin sepatutnya melihat kembali rekod buruknya ketika mentadbir negara.

    Ahli Parlimen Pekan itu juga membentangkan beberapa perkara yang dianggap kegagalan Muhyiddin sepanjang 17 bulan menjadi Perdana Menteri termasuklah soal ekonomi dan pengurusan Covid-19.

    Najib membidas Muhyiddin melalui catatan dalam Facebooknya hari ini tetapi hari ini juga secara kebetulan ketika Najib menuduh Muhyiddin gagal, ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bagaikan menjawab tuduhan Najib.

    Ismail Sabri yang menjadi Menteri Kanan Pertahanan ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri menegaskan, fokus utama kerajaan untuk membendung penularan pandemik Covid-19 mula membuahkan hasil berkat kerjasama semua pihak dan pelaksanaan strategi yang berkesan.

    Perdana Menteri juga menegaskan, bagaimana Program Imunisasi Covid-19 (PICK) yang dilaksanakan pada Februari lalu sehingga kini berjaya memberi vaksin kepada lebih 95 peratus populasi dewasa dan lebih 65 peratus populasi remaja setakat 2 November.

    Ismail Sabri menyifatkan ia game changer (pencetus perubahan) yang menjadi pemangkin kepada usaha pemulihan ekonomi dengan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial termasuk pergerakan rentas negeri.

    Beliau juga memberitahu, bilangan kes jangkitan harian Covid-19 juga berjaya diturunkan dan memberi kelegaaan kepada rakyat petugas hadapan.

    Selain itu, Ismail Sabri berkata sejak pandemik Covid-19 melanda negara, lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi diperkenalkan kerajaan bertujuan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dengan membantu usahawan memulihkan perniagaan mereka.

    Beliau berkata indikator awal kejayaan pakej-pakej itu terlihat apabila pertumbuhan ekonomi negara berkembang 7.1 peratus pada separuh pertama 2021.

    “Kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi diunjurkan berkembang antara tiga hingga empat peratus tahun ini dan terus berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus berpaksikan asas ekonomi yang kukuh selain kejayaan mengawal pandemik, keberkesanan pelaksanaan program vaksinasi dan keteguhan prospek ekonomi dan perdagangan dunia,” katanya.

    Siapa Perdana Menteri yang memperkenalkan PICK? Siapakah Perdana Menteri yang melaksanakan pakej rangsangan?

    Soalnya adakah Najib tahu atau buat tak tahu bahawa apa yang dicapai hari ini adalah hasil perancangan dan strategi Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri sebelum beliau terpaksa meletakkan jawatan apabila Najib bersama 14 lagi ahli Parlimen termasuk sahabat baik Najib, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap Muhyiddin

    Adakah tindakan itu dilakukan kerana Najib sudah tahu hasil yang akan dicapai melalui apa yang dilaksanakan oleh Muhyiddin? Kalaulah Ismail Sabri sendiri tidak teragak-agak menyebut semua program yang dilaksanakan ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri sehingga Malaysia berada pada tahap sekarang, apa hal Najib masih ‘meroyan’ bercakap soal kegagalan?

    Adakah Najib mulai terasa populariti ‘Abah’ semakin membayangi ‘bossku’ di Melaka? Kalau mahu bercakap soal rekod buruk rasanya rekod Najib lagi buruk apabila di bawah kepemimpinan beliau, Barisan Nasional hilang kuasa selepas 61 tahun – ini barulah kegagalan sebenar!

    Justeru nasihat penulis kepada Najib fikir dulu sebelum berhujah kerana bimbang nanti orang kata, bagaikan ‘ayam jantan yang berkokok berderai-derai, tapi ekor bergelumang tahi!’

  • Poster, kain rentang, tiang bendera PN dirosakkan-Wan Saiful

    Poster, kain rentang, tiang bendera PN dirosakkan-Wan Saiful

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka bertambah panas apabila poster, kain rentang dan tiang bendera Perikatan Nasional (PN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana dirosakkan.

    Kejadian tersebut yang berlaku seminggu sebelum hari pengundian PRN Melaka dimaklumkan kepada Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan, hari ini.

    Menurut beliau, kejadian itu mengecewakan PN dan pihaknya menganggap situasi itu tidak sepatutnya berlaku.

    Poster, kain rentang dan tiang bendera PN, laporan akan dibuat dalam masa terdekat

    “Saya telah mengarahkan jentera pilihan raya PN menyiasat jika ada kerosakan di DUN lain. Jentera PN sedang memeriksa jika kerosakan ini dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

    “Laporan akan kami buat kepada pihak berkuasa sekiranya kami mendapati ada unsur samseng dalam kempen ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

    Beliau turut memuat naik gambar kerosakan berkenanan yang memaparkan poster calon PN dikoyak dan kain rentang serta tiang bendera dicabut dan dipatahkan.

    Berikutan itu, Wan Saiful menyeru supaya semua parti politik yang bertanding berkempen dengan cara yang baik.

    “Janganlah merosakkan bahan kempen parti lain.

    Wan Saiful berharap budaya samseng dan budaya ekstrem seperti merosakkan bahan kempen parti mesti dihentikan serta-merta dan dipadam daripada landskap politik negara

    “Budaya samseng dan budaya ekstrem mesti dihentikan serta-merta dan dipadam daripada landskap politik negara,” katanya.

    PRN Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 20 November ini diadakan berikutan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menterinya terdahulu, Datuk Seri Sulaiman Md. Amin.

  • Mejar Abdullah mahu teruskan program SMART bantu penduduk Lendu

    Mejar Abdullah mahu teruskan program SMART bantu penduduk Lendu

    CALON Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Mejar (B) Abdullah Mahadi berhasrat meneruskan program-program amal Kelab Sukarelawan Masjid Tanah (SMART) kerana ia terbukti berjaya membantu penduduk setempat sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

    Beliau yang juga Pengerusi SMART berkata, kelab berkenaan yang kini berjaya mengumpul lebih 100 ahli, sebelum ini banyak melakukan kerja amal membantu barisan hadapan dan melancarkan program vaksinasi di daerah Masjid Tanah.

    “Kami membantu meringankan beban petugas barisan hadapan dari segi pendaftaran vaksin terutamanya untuk warga tua yang agak ketinggalan dan menghadapi masalah untuk pendaftaran vaksin mereka.

    “Kadang-kadang kami buat lawatan dari rumah ke rumah untuk bantu mereka daftar dan membuka pusat kami untuk mereka datang seperti di Klinik Kesihatan Masjid Tanah.

    “Jadi, mereka sambil-sambil datang nak periksa kesihatan, mereka boleh dapatkan bantuan untuk selesaikan pendaftaran vaksin,” katanya ketika siaran langsung di akaun Facebook rasmi beliau.

    Menurutnya, SMART yang dinaungi Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga calon PN DUN Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mensasarkan penglibatan 70 peratus golongan muda di kawasan tersebut.

    Katanya, selain proses vaksinasi, SMART membantu proses sanitasi penduduk setempat, menyediakan kemudahan logistik kepada warga emas, ibu tunggal dan penduduk kurang berkemampuan ke pusat vaksinasi.

    Dalam pada itu tambahnya, SMART juga membantu masyarakat setempat dengan menyediakan semburan sanitasi dari rumah ke rumah secara percuma khususnya kepada golongan yang kurang berkemampuan serta menyediakan inisiatif teksi.

    Beliau menambah, SMART juga menyediakan perkhidmatan panggilan peringatan kepada penerima-penerima vaksin dos pertama dan kedua, serta menghantar bantuan kit makanan kepada golongan memerlukan dari rumah ke rumah.

    Perkhidmatan panggilan peringatan kepada penerima vaksin dos pertama dan kedua yang disediakan oleh SMART sepanjang tempoh pemberian vaksin di Masjid Tanah. Foto- FB SMART MTV

    “Mereka yang mendapat bantuan ini cukup bersyukur dan berterima kasih serta merasa dihargai dan didengari oleh pemimpin bagi mengurangkan beban mereka,” tambahnya.

    Sementara itu, mengenai isu setempat, Abdullah menggesa pihak berkuasa tempatan menjalankan kajian komprehensif menyelesaikan masalah lalt dan langau di pekan Lendu termasuk di kawasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu.

    Servis pengangkutan yang disediakan oleh SMART bagi meringankan beban mereka yang memerlukan untuk dihantar pulang ke kediaman masing-masing selepas menerima suntikan vaksin.Foto- FB SMART MTV

    “Ia mungkin datang daripada kekotoran yang mungkin datang di pusat-pusat pertenakan dan masalah ini perlu diambil tindakan oleh pemantau-pemantau kesihatan,” katanya.

    Pada PRN Melaka 20 November ini Abdullah akan ditentang calon Pakatan Harapan (PH), Mohamad Asri Ibrahim dan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mewakili Barisan Nasional (BN).