Category: Politik

  • Sebarang bentuk kerjasama hanya diputus selepas PRN Melaka – Muhyiddin

    Sebarang bentuk kerjasama hanya diputus selepas PRN Melaka – Muhyiddin

    awal ja'afar prn melaka mohd muhammad

    SEBARANG bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak sebaiknya biarlah diputuskan selepas pilihan raya, kata Pengerusi Perikatan (PN) Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, buat masa ini, biarlah proses Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) berjalan lancar, dan beri peluang untuk rakyat Melaka untuk memilih kerajaan yang hendak dibentuk.

    “Saya tidak katakan kita bersedia bekerjasama atau tidak bersedia bekerjasama… jawapan saya jangan diputar media mengatakan saya bersedia, saya tidak berkata begitu, ‘I am non-committal’.

    “Saya mahu melihat apa keputusan pilihan raya dan selepas itu kita akan atur apa langkah strategi kita,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan khas bersama ‘British Malaysia Chamber of Commerce’ di Kuala Lumpur, hari ini.

    Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan semalam bahawa BN, sedia merintis kerjasama dengan mana-mana pihak untuk membentuk kerajaan dan tidak hanya terhad kepada PN sahaja, sekiranya hanya mampu mempertahankan 13 kerusi yang dimenangi.

    “Yang penting kita teruskan usaha yang akan memutuskan nanti akhirnya pengundi-pengundi akan nilai setiap parti bertanding mereka nak sokong mana… harap mereka sokong PN dan apa pun soal berbangkit selepas itu akan lihat selepas itu.

    “Kalau pengundi Melaka faham dan tahu ini adalah pilihan raya untuk negeri bukan Pilihan Raya Kecil yang nak pilih wakil rakyat seorang…sewajarnya ada satu pandangan yang agak menyeluruh undi mereka untuk bentuk kerajaan,” katanya.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri di Melaka selepas memenangi 15 kerusi iaitu 8 (DAP), 3 (PKR), 2 (Amanah) dan 2 (Bersatu).

    Pada 2020, PN mengambil alih kerajaan dengan 17 kerusi iaitu 14 BN, dua Bersatu dan satu Bebas sebelum empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada Sabtu ini. – BERNAMA

  • PN umum calon Ketua Menteri Melaka esok, siapakah orangnya?

    PN umum calon Ketua Menteri Melaka esok, siapakah orangnya?

    awal ja'afar prn melaka mohd muhammad

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mengumumkan calon Ketua Menteri pakatan itu esok, kata Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata, calon Ketua Menteri PN itu akan dibincangkan bersama parti komponen dalam gabungan itu, bagi memilih individu yang diterima masyarakat secara keseluruhannya serta mampu mendapat sokongan daripada pengundi di atas pagar.

    “Jadi kalau pun beliau (Ketua Menteri) datang daripada seorang wanita, pernah satu ketika Melaka membawa sebuah cerita Tun Teja, di mana Tun Teja berperanan membangunkan negeri Melaka, jadi apa salahnya kalau kali ini kita meletakkan seorang wanita.

    “Kita juga ada beberapa doktor, profesional, jurutera, ini kita akan bincangkan dan akan kita umumkan insya-Allah pada esok hari,” katanya di Alor Gajah, hari ini.

    Pengerusi PN. Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Nov dilaporkan berkata gabungan itu akan mengumumkan calon Ketua Menteri daripada Parti PribumiBersatu Malaysia (Bersatu), sebelum hari pengundian pada 20 Nov ini untuk menerajui kepimpinan Melaka, jika pakatan itu diberi mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Setakat ini, Barisan Nasional menamakan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon Ketua Menteri, manakala Adly Zahari mewakili Pakatan Harapan (PH).

    PN bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, 20 Nov ini dengan parti komponennya Bersatu bertanding di 15 kerusi manakala PAS lapan, dan Gerakan lima.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas, susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri.

    Sementara itu, Hamzah mengucapkan takziah kepada keluarga bekas ADUN Asahan Datuk Seri Abdul Ghafar Atan, yang meninggal dunia di Hospital Melaka, hari ini.

    “Takziah kepada keluarga bekas ADUN Asahan, Datuk Seri Abdul Ghafar Atan, baru sahaja saya dapat berita bahawa beliau telah meninggalkan kita.

    “Beliau juga merupakan sahabat dalam politik ini. Dalam pejuangan kadang kala sahabat akan terus jadi sahabat, tetapi dalam nak menentukan masa depan, perjuangan lebih mustahak,” katanya.

  • Tak kisahlah apa orang nak cakap, kata Mas Ermieyati

    Tak kisahlah apa orang nak cakap, kata Mas Ermieyati

    awal ja'afar prn melaka mohd muhammad

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beliau tidak mengambil kisah tentang apa yang dikatakan oleh pihak lain terhadapnya.

    Sebaliknya, beliau hanya ingin menabur bakti kepada masyarakat di sekitar kawasan Tanjung Bidara.

    “Apa yang saya lakukan ini, tak kisahlah apa orang nak cakap, cakaplah. Apa orang nak kata, katalah. Tapi apa yang penting, tuan-tuan dan puan-puan tahu, Allah juga tahu. Selagi nafas dihela, selagi hayat masih ada, saya dan rakyat Tanjung Bidara berpisah tiada.

    “Saya, MAS ERMIEYATI calon PERIKATAN NASIONAL untuk TANJUNG BIDARA. Mohon sokongan dan undi daripada anda,” jelasnya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

    Mas Ermieyati diberi kepercayaan untuk mengambil alih kerusi DUN Tanjung Bidara dari penguasaan Barisan Nasional (BN).

    Dua lagi calon yang bertanding merebut kerusi tersebut ialah Zainal Hassan dari Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Seri Ab Rauf Yusof dari BN.

    Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Mas Ermieyati berkata, beliau akan meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) membantu seorang nelayan yang terjejas setelah bot miliknya rosak dalam kejadian ribut pagi tadi.

    Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) berkata, kejadian itu melibatkan seorang nelayan yang dikenali sebagai Abang Ali di Pengkalan Balak.

    “7.00 pagi tadi saya dapat berita yang kejadian ribut pagi tadi telah menyebabkan kerosakan bot nelayan, Abang Ali di Pengkalan Balak. Saya ke sana pagi ni. Habis perkakasan ke laut bersepah.

    “Baru semalam saya terserempak dengan dia selepas makan di kedai Mak Jah. Terbayang mukanya tersenyum riang semalam. Insya-Allah saya akan minta bantuan dari pihak MAFI untuk diberikan perhatian segera.

    “Kedai dan rumah pemilik kedai lempeng D’Ambang Sore Batu Tenggek semalam pun dinaiki air. Pagi ni ombak kuat dan bergelora. Keadaan belakang rumah dan kedai yang tak ditambak menyebabkan air mudah melimpah kalau berlaku ombak kuat,” katanya lagi.

  • Mangsa kemalangan hargai pertolongan calon PN, Ja’afar Othman

    Mangsa kemalangan hargai pertolongan calon PN, Ja’afar Othman

    awal ja'afar prn melaka mohd muhammad

    SEORANG mangsa kemalangan jalan raya baru-baru ini menghargai pertolongan yang diberikan oleh calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Ja’afar Othman.

    “Terima kasih banyak-banyaklah sebab tolong saya kemalangan hari itu,” kata Khairani kepada Ja’afar yang meluangkan masa mengunjunginya semalam.

    Rakaman video kemalangan yang melibatkan motosikal yang ditunggang Khairani dan sebuah kereta dikongsi dalam laman Facebook milik Ja’afar.

    Insiden berlaku di simpang tiga berhampiran sebuah hentian bas di lokasi yang tidak dinyatakan.

    Kelihatan Ja’afar dan beberapa individu lain segera bergegas membantu Khairani yang terbaring di atas jalan raya akibat kemalangan tersebut.

    kemalangan Ja'afar Othman
    Ja’afar Othman mengunjungi Khairani di rumahnya, semalam.

    Dalam rakaman video yang sama, Ja’afar berkata, beliau secara kebetulkan berada di lokasi kejadian.

    “Hari kejadian tu kebetulan saya ada. Kalau bukan sebab pilihan raya pun, kita kan orang sekampung, kita kenal orang kampung kita.

    “Kebetulan kemalangan berlaku di depan mata saya, dan sahabat-sahabat saya ada, kita cuba bantulah,” katanya.

    Ja’afar turut mendoakan supaya Khairani cepat sembuh dan dikurniakan kesihatan yang baik agar dapat meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.

    Ja'afar Othman

    Pada PRN Melaka Sabtu ini, Ja’afar akan mencabar penyandang kerusi DUN Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab dari Pakatan Harapan (PH).

    Dua lagi calon yang bertanding ialah Mohd Erfan Mahrilar (Bebas) dan Zahari Abd Kalil (BN).

  • Beri Dr Yadzil peluang wakili suara penduduk Bemban

    Beri Dr Yadzil peluang wakili suara penduduk Bemban

    TIDAK dinafikan pengalaman amat penting dalam menilai keupayaan seseorang.

    Namun, jika peluang tidak diberikan kepada seseorang, khususnya ‘orang baharu’ bagaimana seseorang itu akan beroleh pengalaman?

    Hal yang sama berlaku kepada calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub.

    Sebagai calon muka baharu berbanding empat lawannya, doktor perubatan swasta itu mengharapkan pengundi DUN Bemban menberikannya peluang untuk membuktikan kepimpinannya membawa perubahan di kawasan itu.

    “Saya faham, saya satu-satunya calon baharu di antara 5 calon di Bemban, semua ‘heavyweight’, empat orang pencabar saya adalah ‘heavyweight’, dan saya hormati mereka semua.

    “Bagi saya, kalau kita berfikir tiada pengalaman, saya rasa tidak akan ada orang berpengalaman jika tidak diberi peluang.

    “Jadi saya sangat berharap saya diberi peluang itu, supaya saya dapat tunjukkan apa yang saya aspirasikan. Jika saya tidak diberi peluang, harapan itu terkubur sahaja,” katanya kepada SatuBerita.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini, Dr. Yadzil yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka akan ditentang Azmi Kamis (Bebas), Ng Choon Koon (Bebas), Tey Kok Kiew (PH) dan Datuk Koh Chin Han (BN).

    Yadzil yang juga Ketua Bahagian Bersatu Jasin berkata, sama seperti lumrah kehidupan manusia yang meningkat secara berperingkat-peringkat, politik juga memerlukan iltizam yang sama.

    “Kita tidak dilahirkan terus berdiri, terus berlari. Kita dilahirkan dengan merangkak, kemudian berjalan dan akhirnya berlari.

    “Jadi itu yang perlu kita fikirkan, yang paling penting sekali seseorang pemimpin itu ingin berubah menjadi lebih baik dan dia ingin membawa satu perubahan kepada rakyat,” ujarnya.

    Mengulas tentang DUN Bemban, beliau berkata, kawasan Bemban berpotensi dimajukan termasuk dalam bidang kesihatan, pendidikan dan pelancongan.

    “Jadi kita perlu gunakan apa kekurangan kepada Bemban untuk kita bangunkan, supaya wujudkan peluang-peluang pekerjaan,” katanya.

    Beliau menambah, selain pembangunan, usaha membentuk satu kerajaan yang lebih stabil juga penting supaya pembangunan dan apa sahaja janji yang dibuat dapat disempurnakan, dijadikan kenyataan.

    Sehubungan itu beliau berharap, semua pengundi DUN Bemban tidak takut untuk keluar mengundi pada Sabtu ini.

    “Saya faham, masih ramai takut untuk keluar mengundi, kerana kes Covid-19 yang semakin meningkat, walaupun kita sudah dapat dua dos (vaksin), masih ramai yang takut.

    “Saya yakin pihak Suruhanjaya Pilihan Raya, Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara sudah bincang dengan rapi, sudah siapkan SOP dengan baik semata-mata untuk menjamin keselamatan setiap pengundi untuk keluar mengundi.

    “Jadi kita kena ambil peluang ini, ini masa untuk kita berubah,” katanya.

  • Muhyiddin turun padang, orang Melaka semua gembira

    Muhyiddin turun padang, orang Melaka semua gembira

    awal ja'afar prn melaka mohd muhammad

    SEMALAM, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa bersama rakyat di beberapa lokasi sekitar Melaka.

    Beliau turut meluangkan masa bertanya khabar dan mendengar masalah mereka.

    Muhyiddin Melaka
    Gambar: Facebook Muhyiddin Yassin

    Menurut Muhyiddin, rata-rata penduduk di Melaka yang ditemui menyatakan terima kasih di atas segala bantuan yang dihulurkan kerajaan PN dahulu ketika pandemik COVID-19 mula melanda negara.

    Berikut adalah perkongsian bekas Perdana Menteri itu mengenai aktiviti seharian di Melaka semalam bagi membantu kempen calon-calon PN yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka:

    “Pagi tadi saya berkesempatan singgah bersarapan di Warung Maznah di Alor Gajah. Saya perhatikan ramai juga penduduk bersarapan di sini. Sambil-sambil bersarapan saya sempat bertanya khabar dan mendengar serba sedikit masalah mereka.

    “Saya kemudiannya ke Tanjung Bidara makan tengah hari di Warung Anak Jeram. Menu lauk ikan keli dan daging masak lemak cili api di sini memang sedap. Seperti selalu, pelanggan yang ditemui berkongsi masalah dan harapan mereka bagi Pilihan Raya Negeri Melaka ini.

    Muhyiddin Yassin
    Gambar: Facebook Muhyiddin Yassin

    “Saya turut singgah ke Masjid Kg Al-Anshariah Lubok Redan dan Masjid Al-Syuhada Kem Terendak Sg Udang untuk menunaikan solat Zohor dan Asar berjemaah bersama penduduk di kedua-dua kawasan.

    “Pada sebelah petang pula, saya meluangkan masa minum petang di Medan Selera Taman Terendak Permai Sg Udang. Di sini saya berpeluang menyantuni dan bertanya khabar pelbagai lapisan masyarakat termasuk anggota beruniform. Mereka bercerita banyak perkara dengan saya, terutama hal berkaitan masalah penduduk setempat selain pandangan dan harapan terhadap parti yang bertanding dalam pilihan raya ini.

    “Alhamdulillah, hampir kesemua penduduk yang saya temui masih bercerita dan berterima kasih atas segala bantuan yang diberikan kerajaan ketika pandemik COVID-19 mula melanda negara.

    Muhyiddin Yassin
    Gambar: Facebook Muhyiddin Yassin

    “Sebelum pulang Ke Kuala Lumpur, saya singgah menunaikan solat isyak di Masjid Al-Hilal Pantai Rondang, Pantai Kundor sebelum menikmati makan malam di Warung Cekodok yang terletak tidak jauh dari masjid.

    “Terima kasih Melaka atas layanan mesra dan makanan yang semuanya sedap-sedap belaka. Kalau ada lagi tempat makan yang enak-enak di Negeri Bersejarah ini, bolehlah kongsi dengan saya. Insya-Allah, saya boleh cuba bila ke sini lagi.”

  • Mengapa calon PN Kelebang, Bakri Jamaluddin sebak?

    Mengapa calon PN Kelebang, Bakri Jamaluddin sebak?

    awal ja'afar prn melaka mohd muhammad

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Bakri Jamaluddin tidak dapat menahan perasaan sebak ketika menceritakan tentang pengorbanan arwah ibunya bagi memastikan beliau cemerlang dalam bidang pelajaran serta berjaya dalam kehidupan.

    Malah, air mata beliau tidak dapat ditahan lagi ketika mengimbau kembali tentang ibunya yang sanggup menemaninya mengulang kaji pelajaran semasa di bangku sekolah dahulu.

    “Kadang-kadang saya bangun 3 pagi belajar, ibu akan bangun tunggu. Itulah pengorbanan ibu saya…” katanya dalam nada sebak sebelum air matanya menitis dalam wawancara yang disiarkan melalui laman Facebook beliau, hari ini.

    Setelah kesedihannya reda sedikit, Bakri berkata, apa sahaja permintaan arwah ibunya tidak pernah dikecewakan oleh beliau dan adik beradik yang lain.

    “Hatta kalau saya dapat bonus pun beliau tanya: Kau dapat bonus berapa bulan?

    “Saya kata dua bulan. Boleh bagi mak sebulan, saya bagi. Tapi di akhir hujung hayatnya baru kami tahu bahawa wang yang saya berikan dia itu sebenarnya diinfaq kepada sebuah sekolah,” jelasnya.

    biodata bakri jamaluddin PN Kelebang

    Dalam hantaran yang sama, Bakri mengakui beliau belum pernah lagi menitiskan air mata sebegitu.

    Berikut adalah catatan penuh beliau:

    “Saya nak buat pengakuan kepada semua..

    “Belum pernah lagi saya menitiskan air mata sebegini. Bila teringat pengorbanan arwah ibu, pasti menitis air mata saya.

    “Saya lahir dari keluarga susah, abang saya terpaksa berhenti belajar untuk bantu saya sambung pelajaran.

    “Setiap kali saya bangun belajar sehingga 3 pagi, ibu saya sanggup tunggu saya. Sampai satu masa, ibu bagi semangat kepada saya, dia rendam kaki saya supaya saya tidak mengantuk.

    “Itulah pengorbanan arwah ibu yang saya takkan lupa. Saya berjaya harini juga atas doa ibu saya.

    “Ibu saya selalu pesan, kalau dah senang nanti, kena ingat orang susah, kena bantu mereka. Pesan ibu tak pernah saya lupakan. Sekiranya saya diberi rezeki menjadi pemimpin di Kelebang nanti, golongan B40 ni lah yang akan saya bantu terlebih dahulu. Saya faham kesusahan mereka kerana saya juga bermula dari situ.

    “Insya-Allah, saya akan bersama warga Kelebang merealisasikannya.

    “Kelebang sejahtera harapan kita bersama.

    “Saya Bakri Jamaluddin, sedia berkhidmat untuk anda.”

    Bakri berdepan saingan daripada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ban Hong dan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Gue Teck pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

  • PRN Melaka: 86 peratus keluar mengundi awal

    PRN Melaka: 86 peratus keluar mengundi awal

    PROSES pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini selesai apabila 10 lagi Pusat Pengundian Awal (PPA) ditutup pada 5.30 petang ini.

    Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sejumlah 86 peratus pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat 4 petang.

    Sebanyak10 PPA yang ditutup pada 5.30 petang ialah Bilik Gerakan 96 DPP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di DUN Machap Jaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak, SK Kem Terendak 1 dan II serta Dewan Borhan di DUN Sungai Udang.

    Turut ditutup PPA di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di DUN Ayer Keroh, Dewan Sri Beruang Kem Askar Wataniah di DUN Bukit Katil, Bilik Media Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di DUN Bandar Hilir dan Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin di DUN Bemban.

    Terdahulu, 21 daripada 31 PPA yang diwartakan ditutup lebih awal pada 2 petang.

    PRN Melaka kali ini menyaksikan sejumlah 11,557 pengundi awal berdaftar terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis.

    Ia turut menyaksikan penekanan diberikan terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard selaras dengan Garis Panduan Pencegahan COVID-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara memandangkan situasi pandemik yang masih belum terkawal sepenuhnya. – BERNAMA

  • Kehadiran Muhyiddin tambah ‘umph’ kempen 2 calon PN

    Kehadiran Muhyiddin tambah ‘umph’ kempen 2 calon PN

    KEHADIRAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pasti menambah faktor ‘wow’ dalam kempen calon-calon PN yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Malah, calon PN bagi kerusi DUN Ayer Limau, Dr Nor Dina Abdul Latif agak beruntung kerana hari ini merupakan kali kedua Muhyiddin datang membantu kempennya.

    “Terima Kasih Tan Sri Muhyiddin. Buat kali kedua Tan Sri Muhyiddin hadir di DUN Ayer Limau.

    “Tan Sri Muhyiddin Hj Yassin sampai di Taman Sri Aman di sambut meriah oleh penduduk tempatan. Tan Sri Presiden sempat beramah mesra dan berbual dengan calon 03 Ayer Limau iaitu Dr Nor Dina.

    Tan Sri juga sudi menandatangani poster beliau untuk suntikan semangat untuk diberikan kepada jentera PN di Taman Sri Aman,” jelas hantaran Facebook Dr Nor Dina.

    Gambar: Facebook Mas Ermieyati Samsudin

    Seorang lagi calon PN yang bertuah ialah Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang bertanding di kerusi DUN Tanjung Bidara.

    “Tan Sri Muhyiddin Yassin makan tengah hari di Warong Anak Jeram hari ini. Berbeza makan lauk kampung yang dimasak air tangan orang-orang kampung.

    “Sambil makan sambil sembang santai, dengar cerita. Alhamdulillah. Tan Sri luangkan masa juga berjemaah bersama penduduk kampung untuk solat zuhur di Masjid Kampung Lubuk Redan,” katanya dalam Facebook.

    Tinggal empat hari lagi berbaki sebelum PRN Melaka mencapai kemuncaknya pada hari pengundian 20 November ini.

    Berdasarkan sambutan memberangsangkan rakyat Melaka terhadap manifesto PN yang dilancarkan Ahad lalu, PN pasti mempunyai peluang cerah untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu di negeri itu.

    Populariti Muhyiddin dalam kalangan rakyat yang menghargai keprihatinan beliau sewaktu menjadi Perdana Menteri dahulu banyak membantu meningkatkan peluang 28 calon PN untuk menang di kerusi-kerusi yang ditandingi.

  • Mohd Ridzwan yakin DUN Pantai Kundor milik PN

    Mohd Ridzwan yakin DUN Pantai Kundor milik PN

    ja'afar prn melaka mohd muhammad

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Mohamad Ridzwan Mustafa yakin pengundi di kawasan itu akan memberi kepercayaan kepadanya untuk mewakili mereka.

    Menerusi usaha gigih dan kerja keras sepanjang tempoh berkempen, beliau percaya DUN Pantai Kundor akan menjadi milik PN selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selesai 20 November ini.

    Untuk rekod, kerusi tersebut turut ditandingi oleh penyandangnya, Datuk Nor Azman Hassan yang menggunakan tiket Pakatan Harapan (PH) dan beliau mewakili Barisan Nasional (BN) di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Mohamad Ridzwan menambah, pihaknya mempunyai kaedah tersendiri bagi memancing hati pengundi di kawasan tersebut agar beralih angin menyokong PN pula kali ini.

    “Cara yang kita gunakan adalah mendekati rakyat sehingga ke rumah mereka untuk memahami apakah masalah yang tidak dapat diselesaikan sebelum ini.

    “Apa yang saya dapat tawarkan ialah jika kemenangan diberi kepada PN dan saya, kita akan membawa masalah-masalah ini untuk diselesaikan di DUN Melaka,” katanya dalam wawancara yang disiarkan melalui laman Facebook Melaka First.

    Kerusi DUN Pantai Kundor menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Ridzwan, Nor Azman dan calon BN, Tuminah Kadi.

    mohd ridzwan mustafa

    Sebagai muka baharu dalam pilihan raya di Melaka, beliau lebih selesa menggunakan pendekatan berkempen secara santai seperti bersarapan pagi bersama pengundi di sekitar kawasan DUN Pantai Kundor.

    Jelas Mohd Ridzwan, cara itu membolehkan beliau mendengar secara langsung segala permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.

    “Bila kita bersarapan dengan mereka secara santai, penduduk lebih selesa berkongsi masalah mereka dengan jelas,” ujarnya.

    Selain itu, jentera PN giat mengedarkan risalah bagi memperkenalkan Mohd Ridzwan kepada para pengundi di Pengkalan Kundor.

    Setakat ini, beliau berkata, lebih 80 peratus rumah di sekitar Pantai Kundor telah menerima risalah tersebut.

    “Dari situ kita yakin setiap isi rumah dapat diperkenalkan tentang diri saya,” jelasnya.

    Mengenai kempen melalui media sosial pula, Mohd Ridzwan berpandangan, kaedah itu lebih sesuai bagi menarik sokongan pengundi muda khususnya golongan belia.

    “Bagi warga emas, mereka tidak aktif media sosial, cara konvensional seperti edaran risalah terus ke rumah adalah cara yang berkesan.

    “Kita perlu menggunakan kedua-dua kaedah mendekati rakyat,” katanya.

    Menerusi usaha gigih dan kerja keras sepanjang tempoh berkempen, beliau percaya DUN Pantai Kundor akan menjadi milik PN selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selesai 20 November ini.

    Untuk rekod, kerusi tersebut turut ditandingi oleh penyandangnya, Datuk Nor Azman Hassan yang menggunakan tiket Pakatan Harapan (PH) dan beliau mewakili Barisan Nasional (BN) di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Mohamad Ridzwan menambah, pihaknya mempunyai kaedah tersendiri bagi memancing hati pengundi di kawasan tersebut agar beralih angin menyokong PN pula kali ini.

    “Cara yang kita gunakan adalah mendekati rakyat sehingga ke rumah mereka untuk memahami apakah masalah yang tidak dapat diselesaikan sebelum ini.

    “Apa yang saya dapat tawarkan ialah jika kemenangan diberi kepada PN dan saya, kita akan membawa masalah-masalah ini untuk diselesaikan di DUN Melaka,” katanya dalam wawancara yang disiarkan melalui laman Facebook Melaka First.

    Kerusi DUN Pantai Kundor menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Ridzwan, Nor Azman dan calon BN, Tuminah Kadi.

    Sebagai muka baharu dalam pilihan raya di Melaka, beliau lebih selesa menggunakan pendekatan berkempen secara santai seperti bersarapan pagi bersama pengundi di sekitar kawasan DUN Pantai Kundor.

    Jelas Mohd Ridzwan, cara itu membolehkan beliau mendengar secara langsung segala permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.

    “Bila kita bersarapan dengan mereka secara santai, penduduk lebih selesa berkongsi masalah mereka dengan jelas,” ujarnya.

    Selain itu, jentera PN giat mengedarkan risalah bagi memperkenalkan Mohd Ridzwan kepada para pengundi di Pengkalan Kundor.

    Setakat ini, beliau berkata, lebih 80 peratus rumah di sekitar Pantai Kundor telah menerima risalah tersebut.

    “Dari situ kita yakin setiap isi rumah dapat diperkenalkan tentang diri saya,” jelasnya.

    Mengenai kempen melalui media sosial pula, Mohd Ridzwan berpandangan, kaedah itu lebih sesuai bagi menarik sokongan pengundi muda khususnya golongan belia.

    “Bagi warga emas, mereka tidak aktif media sosial, cara konvensional seperti edaran risalah terus ke rumah adalah cara yang berkesan.

    “Kita perlu menggunakan kedua-dua kaedah mendekati rakyat,” katanya.