Category: Politik

  • Larry Sng Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia, siapa pula Presidennya?

    Larry Sng Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia, siapa pula Presidennya?

    AHLI Parlimen Julau, Larry Sng hari ini mengesahkan bahawa beliau merupakan Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

    Memetik laporan New Straits Times, beliau berkata, partinya tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

    Walau bagaimanapun, katanya, Parti Bangsa Malaysia akan menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    “Tidak, kami tidak akan bertanding dalam pilihan raya negeri, kami akan menyokong GPS,” katanya.

    Bekas Pengerusi PKR Sarawak itu menambah, parti politik baharu itu akan dilancarkan dalam masa beberapa minggu akan datang.

    Beliau juga akan menjelaskan lebih lanjut tentang Parti Bangsa Malaysia pada hari pelancaran.

    Baru-baru ini, Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong mengesahkan bahawa beliau berganding bahu dengan Larry dalam proses membentuk sebuah parti politik baharu.

    Beliau menyatakan bahawa parti itu terbuka kepada semua kaum dan mengalu-alukan Ahli Parlimen Bebas termasuk bekas pemimpin PKR untuk menyertainya.

    Borang permohonan keahlian Parti Bangsa Malaysia yang tular dalam media sosial.

    Ura-ura tentang penubuhan parti tersebut mula timbul baru-baru ini apabila salinan borang permohonan keahlian parti itu tular dalam media sosial.

    Setakat ini, masih belum diketahui siapakah pucuk pimpinan tertinggi parti itu yang menyandang jawatan Pengerusi atau Presiden.

    Walaupun Larry menyatakan partinya menyokong GPS di Sarawak, tidak dapat dipastikan sama ada ia akan menyokong kerajaan sedia ada yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

    Banyak rahsia menyelubungi parti baharu itu dan diharap segala persoalan akan terungkai apabila ia dilancarkan kelak.

  • BN ‘tekan’ Ismail Sabri bubar Parlimen lebih awal

    BN ‘tekan’ Ismail Sabri bubar Parlimen lebih awal

    SELEPAS memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Barisan Nasional (BN) mula memberi ‘tekanan’ kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen lebih awal.

    Langkah itu bertujuan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.

    Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau telah menyuarakan pandangan itu kepada Ismail Sabri semalam.

    “Saya cakap dengan beliau (Perdana Menteri) semalam (Sabtu), kita perlu pertimbangkan untuk segerakan pilihan raya umum. Suka atau tidak, PRU bulan Julai, sebab perjanjian persefahaman kerajaan dan pembangkang sampai bulan Julai.

    “Dinamik politik tidak statik dan boleh berubah setiap hari. Jadi, terpulang kepada BN dan UMNO untuk membuat ulang kaji mengenai apa yang terbaik boleh dilakukan. Sama ada perlu untuk PRU-15 diadakan dalam waktu terdekat atau tunggu sehingga habis penggal mesti difikirkan secara mendalam.

    “Namun jika tanya saya, saya mahu PRU-15 diadakan esok. ‘The feel good factor’ (faktor baik) ada di sini (PRN Melaka) kerana masih lagi segar dengan kemenangan dan mandat yang diberi oleh rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (Persona) Kali Ke-6 Sesi 2020 di Seremban, hari ini.

    BN membentuk kerajaan negeri Melaka setelah memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka.

    Walaupun ramai pemimpin BN khususnya dari UMNO terlalu yakin kejayaan tersebut akan diulangi pada PRU-15, terdapat banyak faktor yang mungkin menyebabkan momentum itu tidak berterusan.

    Pengaruh BN dan UMNO masih lagi lemah di kebanyakan negeri seperti Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

    Di Johor pula, pengaruh Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu tidak boleh dipandang ringan.

    Kejayaan di Melaka tidak seharusnya dijadikan kayu pengukur bagi menentukan BN dan UMNO boleh menang besar pada PRU-15.

    Negeri itu sememangnya diketahui sebagai salah satu kubu kuat UMNO walaupun terlepas ke tangan rejim Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14.

    Perlu diingat bahawa PRN Melaka menunjukkan pola pengundian yang sukar dijangka dan senario serupa berkemungkinan besar berlaku pada PRU-15.

    Jika BN dan UMNO terburu-buru mahu PRU-15 diadakan dalam masa terdekat, tidak mustahil mereka akan kecundang sekali lagi dan ‘feel good factor’ akhirnya bertukar menjadi ‘syok sendiri’.

  • Peranan Ismail Sabri, Tok Mat Hasan faktor kemenangan BN – Nazri

    Peranan Ismail Sabri, Tok Mat Hasan faktor kemenangan BN – Nazri

    BARISAN Nasional (BN) memperolehi kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kerana peranan yang dimainkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

    Nazri menjelaskan, keyakinan rakyat Melaka terhadap kepimpinan Ismail Sabri sebagai perdana menteri juga membuatkan mereka memilih BN untuk menjadi kerajaan negeri.

    Selain itu, beliau menjelaskan rakyat Melaka juga memilih untuk memberikan kemenangan besar kepada BN kerana sumbangan yang dibuat oleh Mohamad sebagai Pengarah Pilihan Raya BN.

    “Saya nak mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Tok Mat (Mohamad Hasan) yang bertungkus lumus mengemudi parti sewaktu PRN Melaka.

    “Kita lihat sebelum ini ketika beberapa Pilihan Raya Kecil juga, boleh dikatakan Tok Mat memainkan peranan yang baik mengemudi BN untuk mencapai kemenangan.

    “Selain itu, saya rasa kebijaksanaan Perdana Menteri (Datuk Seri) Ismail Sabri juga mempengaruhi pengundi untuk memilih BN.

    “Walaupun Ismail baru beberapa bulan menjadi perdana menteri, namun rakyat lebih yakin dengan kepimpinan beliau dan ia terbukti dengan kemenangan BN di Melaka,” katanya kepada Astro AWANI.

    Pada PRN Melaka yang diadakan semalam, BN berjaya membentuk kerajaan setelah memperolehi majoriti selesa dengan kemenangan 21 daripada 28 kerusi Dun Melaka.

    Pakatan Harapan (PH) pula hanya memperolehi lima kerusi sementara Perikatan Nasional (PN) mendapat dua kerusi.

    BN juga berjaya merampas beberapa kerusi yang sebelum ini dimenangi PH antaranya DUN Machap Jaya, Gadek, Pengkalan Batu dan Paya Rumput.

  • Masih terlalu awal BN putuskan bergerak solo PRU-15 – Khairy

    Masih terlalu awal BN putuskan bergerak solo PRU-15 – Khairy

    AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berpandangan, masih terlalu awal Barisan Nasional (BN) untuk memutuskan bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    Beliau berkata, meskipun parti itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun BN perlu mengkaji lebih mendalam statistik 65 peratus pengundi yang keluar mengundi semalam sebelum memutuskan sama ada akan bergerak secara solo atau sebaliknya pada PRU akan datang.

    “Kita kena terima hakikat bahwa PRN Melaka purata hanya 65 peratus sahaja keluar mengundi dan 35 peratus tidak keluar mengundi. Dalam apa jua keputusan yang akan dibuat, kita kena fikirkan soal sama ada Melaka ini adalah representasi kepada PRU atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pemberian aset di Pejabat Kesihatan Daerah Rembau di Rembau.

    Khairy seterusnya mengucapkan tahniah kepada jentera parti BN yang dipimpin oleh Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, atas kemenangan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka semalam.

    “Secara keseluruhannya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berjalan lancar walaupun ada beberapa kes lain, tetapi boleh tahan… sederhana (pematuhan SOP). Setakat ini semua parti berjaya menyesuaikan diri dengan kempen yang baharu, ini adalah satu model untuk PRN Sarawak nanti,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkenalkan Sistem Amaran Berisiko Tinggi bagi mengesan tanda-tanda awal peningkatan kes COVID-19 dalam negara.

    Khairy yang juga Menteri Kesihatan berkata, menerusi sistem tersebut KKM mencadangkan beberapa sektor diperketat sekiranya didapati berlaku peningkatan kes namun ia bukan sekatan pergerakan penuh.

    “Saya akan umumkan perkara itu termasuk perincian dalam situasi bagaimana sistem ini akan diguna pakai. Mungkin dalam masa seminggu atau dua minggu ini saya akan maklumkan.

    “Kalau boleh kita mahu elak sekatan pergerakan, sebab sekatan pergerakan ini bukan hanya mengganggu ekonomi tetapi memberi kesan yang lain, kesan kesejahteraan keluarga dan kesihatan mental, saya rasa rakyat mungkin tidak boleh menghadapi satu lagi sekatan pergerakan,” katanya.

    Khairy berkata, setakat ini keadaan sistem kesihatan KKM terkawal namun tanda-tanda awal peningkatan kes COVID-19 sudah ada dan beliau mengingatkan orang awam tidak terlalu selesa terutama di negeri-negeri yang berada dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara.

    “Kita sangat bimbang kerana sudah nampak tanda-tanda awal (kes jangkitan tinggi), KKM nampak perkara ini dari tahun lepas dan memang berlaku. Sistem kesihatan belum sampai ke tahap lumpuh namun tanda kebimbangan amat jelas,” katanya.

    Beliau berkata, perkara yang dibimbangkan adalah peningkatan kes yang serius sehingga kemasukan ke hospital terutama kes kritikal kategori empat dan lima.

    Menurut Khairy, mengambil contoh di Negeri Sembilan, kes kemasukan ke hospital meningkat sekali ganda dalam tempoh sebulan iaitu 35 pesakit memerlukan bantuan oksigen pada 25 Okt lepas berbanding 70 pesakit semalam.

    “Jika trend ini berterusan, kita terpaksa menyediakan katil bagi rawatan kritikal seperti di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bekalan oksigen bagi merawat pesakit,” katanya.

    Mengenai suntikan dos penggalak vaksin COVID-19, Khairy sekali lagi menyeru orang ramai yang mendapat janji temu supaya menerima suntikan sekali gus tidak memilih jenis vaksin yang diberikan pihak KKM.

    Beliau berkata pihaknya akan menjalankan siasatan sekiranya terdapat kes sampingan yang serius dalam kalangan penerima suntikan itu. – BERNAMA

  • PRN Melaka: Undi diterima calon-calon PAS meningkat

    PRN Melaka: Undi diterima calon-calon PAS meningkat

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka menyaksikan peningkatan dari segi jumlah undi yang diterima oleh calon-calon dari PAS yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

    Bagi Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, perkembangan itu adalah memberangsangkan.

    “Terima kasih kepada seluruh pemimpin dan ahli PAS. Terima kasih juga kepada para pendukung dan penyokong PN. Kita telah berusaha yang terbaik. Semoga Allah ganjari usaha dan pengorbanan yang telah diberikan.

    “Kepada semua pengundi rakyat Melaka, terima kasih atas undian yang diberikan. Kerusi-kerusi yang ditandingi oleh PAS menunjukkan peningkatan undi yang memberangsangkan. Alhamdulillah. ADUN yang telah dipilih rakyat, selamat menjalankan tugas dengan adil & amanah,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Calon-calon dari PAS bertanding di sembilan kerusi iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.

    Walaupun Melaka bukan dikenali sebagai kubu kuat PAS, calon-calon dari parti itu memberi tentangan sengit di beberapa kerusi.

    Di Serkam misalnya, Ahmad Bilal Rahudin tewas tipis kepada penyandang kerusi tersebut dari Barisan Nasional (BN), Datuk Zaidi Attan.

    Zaidi hanya beroleh 79 undi majoriti berbanding 2,737 undi majoriti yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Seorang lagi calon muda dari PAS iaitu Muhammad Al Afiz Yahya menunjukkan potensi besar apabila beroleh jumlah undi yang agak besar di kerusi DUN Bukit Katil.

    Jumlah 3,715 undi yang diterimanya agak signifikan memandangkan beliau merupakan muka baharu dalam politik pilihan raya.

    Perlu diambil kira juga faktor bahawa Muhammad Al Afiz berdepan dengan penyandang kerusi berkenaan, Adly Zahari yang juga bekas Ketua Menteri Melaka era rejim Pakatan Harapan (PH).

    Berdasarkan potensi besar yang ditunjukkan oleh calon-calon muda yang mewakili PN dari PAS, mereka boleh diketengahkan untuk menggalas cabaran yang lebih besar di peringkat Parlimen pada PRU-15.

    Memandangkan mereka kini telah dikenali dalam kalangan masyarakat, kempen PN di kawasan Parlimen yang bakal ditandingi mereka juag menjadi lebih mudah.

    Cuma post mortem pasca PRN Melaka perlu dilakukan secara jujur dan telus bagi mengesan kelemahan yang boleh ditambah baik agar persiapan menjelan PRU-15 menjadi lebih mantap lagi jitu.

  • DAP kalah teruk, Kok Kiew letak jawatan, Guan Eng bila lagi?

    DAP kalah teruk, Kok Kiew letak jawatan, Guan Eng bila lagi?

    BERIKUTAN prestasi buruk lagi memalukan DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Tey Kok Kiew meletak jawatan sebagai Pengerusi DAP Melaka hari ini.

    Keputusan semalam menyaksikan parti cauvinis itu gagal mempertahankan 50 peratus daripada kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    DAP tumbang di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bemban, Gadek, Duyong dan Pengkalan Batu.

    Kok Kiew sendiri gagal mempertahankan penguasaan DAP di DUN Bemban yang dimenangi oleh calon Perikatan Nasional (PN), Dr Mohd Yadzil Yaakub.

    Hanya empat kerusi yang mampu dikekalkan oleh DAP iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

    Walau bagaimanapun, jumlah undi majoriti yang diperoleh DAP di keempat-empat kerusi terbabit jatuh mendadak berbanding PRU-14.

    Memetik laporan Malaysiakini, Kok Kiew mengumumkan peletakan jawatan dalam sidang media di Melaka.

    Namun, beliau masih lagi kekal sebagai ahli DAP.

    DAP bertanding pada PRN Melaka dalam keadaan dibelenggu oleh masalah yang berpunca daripada keputusan PKR dan PAN menerima dua bekas ADUN Melaka yang berpaling tadah.

    Penyokong-penyokong DAP dan Pakatan Harapan (PH) dikatakan memprotes tindakan menerima bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

    Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah menyuarakan bantahan keras terhadap pencalonan dua bekas pemimpin UMNO terbabit namun seperti tidak diendahkan oleh sekutu-sekutunya iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAN, Mohamad Sabu.

    Idris bertanding atas tiket PKR di DUN Asahan manakala Nor Azman mewakili PAN di Pantai Kundor.

    Strategi mengutip Idris dan Nor Azman sebagai calon hanya menikam diri sendiri kerana mereka bukan sahaja tewas, malah menjadi faktor yang mencetuskan keretakan dalam PH.

    Mungkin Guan Eng juga patut meletak jawatan ekoran kegagalan memalukan DAP di Melaka itu.

    Beliau sudah kehilangan taringnya dan kata-katanya tidak dipedulikan lagi oleh sekutu-sekutunya dalam PH.

    Lebih dari itu, kepimpinan DAP memerlukan nafas baharu bagi membuang stereotaip cauvinis yang melekat kuat sebagai identitinya sehingga menyebabkan parti itu ditolak oleh orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

  • PRN Melaka capai objektif tidak mahu PH diberi ruang memerintah

    PRN Melaka capai objektif tidak mahu PH diberi ruang memerintah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam turut mencapai objektif utama yang dimahukan oleh banyak pihak iaitu untuk tidak kembali membenarkan Pakatan Harapan (PH) kembali memerintah di negeri itu.  

    Sambil mengucapkan tahniah kepada BN di atas kemenangan itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, beberapa faktor bagaimanapun perlu diberi perhatian memandangkan pilihan raya umum akan datang sama sekali dilihat berbeza berbanding PRN di Melaka.

    Justeru katanya, penyatuan serta perpaduan dalam kalangan ummah terutamanya di peringkat Persekutuan, perlu terus diperkukuhkan menjelang pilihan raya umum, tidak lama lagi.

    “Peratusan individu yang keluar mengundi di Melaka cuma antara 60 hingga 65 peratus. Bermakna ada kira-kira 40 peratus lagi pengundi yang tidak keluar terutamanya membabitkan golongan berusia antara 21 hingga 35 tahun.

    “Mereka ini golongan yang skeptikal dan mungkin ada juga dalam kalangan pengundi terutamanya yang tinggal di luar Melaka, sudah hilang rasa ‘ghairah’ untuk balik menunaikan tanggungjawab itu. Ini antara perkara yang perlu diambil kira” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Bakul Makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Titi Haji Idris, Pendang, hari ini.

    Hadir sama Pengerusi Mada, Ahmad Tarmizi Sulaiman, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman serta Pengurus Besar Mada, Kamarudin Dahuli.

    Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, pelaksanaan undi 18 pada tahun depan juga bakal membawa satu perubahan drastik dalam landskap politik tanah air.

    “Jadi kita perlu lihat semula semua perkara perkara dari segenap sudut. Kalau peratusan mengundi semalam mencecah 80 peratus, ia mungkin merubah keputusan.

    “Namun di sini kita melihat orang Melayu berbalik kepada penyatuan ummah. Negara kita pernah diperintah PH selama 22 bulan dan keputusan semalam saya rasakan sesuatu yang positif kepada penyatuan ummah agar umat Islam dan agama lebih terjamin,” katanya.

  • Saya wakil rakyat semua pengundi Sungai Udang – Dr Aleef

    Saya wakil rakyat semua pengundi Sungai Udang – Dr Aleef

    “SAYA adalah wakil rakyat bagi semua pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang termasuk mereka yang menyokong parti lain,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

    Mohd Aleef, 35, bekas doktor perubatan di sebuah hospital swasta di Melaka berkata, beliau bukan sahaja akan memberi fokus pada kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merupakan sebahagian besar pengundi di DUN itu, malah seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan tanpa mengira parti.

    “Saya rasa sangat gembira, teruja dan bersyukur dikurniakan amanah sebagai wakil rakyat Sungai Udang dan akan bekerja kuat demi amanah ini.

    “Saya komited untuk pastikan semua pengundi mendapat hak kebajikan dan keperluan yang telah diperuntukkan untuk mereka,” katanya kepada Bernama di Melaka hari ini.

    Mohd Aleef dipilih sebagai wakil rakyat selepas mendapat undi sebanyak 6,789 undi menewaskan tiga lagi calon termasuk Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam.

    Dalam persaingan empat penjuru itu, beliau memperoleh majoriti 530 undi mengatasi calon BN, Pakatan Harapan (Hasmorni Tamby) dan Bebas (Mohd Zahar Hashim).

    Beliau berkata kejayaan yang diraih itu adalah kemenangan jentera Perikatan Nasional (PN) Sungai Udang yang telah bekerja keras dan konsisten dalam beberapa tahun lepas untuk memastikan kemenangan parti tersebut di DUN berkenaan.

    “Ini kali pertama saya menyertai pilihan raya negeri di bawah tiket PN dan dipilih sebagai ADUN Sungai Udang…ia menjadi titik tolak saya untuk bekerja kuat bukan sahaja untuk rakyat tetapi untuk PN,” katanya yang merupakan calon muda yang bertanding di DUN Sungai Udang dalam PRN itu.

    Pada PRN Melaka semalam, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka dengan mencatat kemenangan dua pertiga, diikuti PH (lima kerusi), PN (dua kerusi).

    Sebanyak 326,068 atau 65.85 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka. – BERNAMA

  • Tok Mat Hasan patut jadi jeneral BN berdepan PRU-15

    Tok Mat Hasan patut jadi jeneral BN berdepan PRU-15

    MAJORITI besar melebihi dua pertiga yang diraih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam menyerlahkan lagi kewibawaan Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat dalam mengepalai jentera pilihan raya gabungan parti politik tersebut.

    Pada peringkat awal kempen, ramai pemerhati politik menjangka BN berdepan kesukaran untuk beroleh majoriti mudah malah terdapat kemungkinan UMNO kehilangan beberapa kerusi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi kubu tradisinya seperti Tanjung Bidara dan Lendu.

    Berdasarkan maklumat daripada sumber dalaman UMNO, jentera BN di dua kerusi berkenaan pada mulanya agak kucar-kacir dan beberapa pusat daerah mengundi (PDM) tidak beroperasi dengan lancar.

    Walau bagaimanapun, setelah menerima ‘sentuhan’ Tok Mat, kepincangan yang berlaku dapat dipulihkan sehingga membawa kepada kemenangan BN di kerusi-kerusi DUN yang pada mulanya bermasalah.

    tok mat mohamad hasan
    Akar umbi UMNO mahu melihat Tok Mat mengetuai jentera parti pada PRU-15. GAMBAR: Warta Rakyat

    Sememangnya, ketokohan Timbalan Pengerusi BN itu dalam melaksanakan peranan sebagai ‘jeneral’ dalam kempen pilihan raya telah dibuktikan dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Dalam situasi BN dan UMNO masih bergelar pembangkang, Tok Mat yang juga Timbalan Presiden UMNO telah memimpin jentera BN sehingga membuahkan kemenangan dalam PRK Parlimen Cameron Highlands, DUN Rantau dan DUN Semenyih.

    Boleh dikatakan Mohamad mempunyai kepakaran sebagai seorang ‘turnaround wizard’ yang berupaya menukar situasi yang pada mulanya kelam dan getir kepada kemenangan besar.

    Sebaik sahaja BN diumumkan membentuk kerajaan negeri di Melaka, timbul suara dalam kalangan akar umbi UMNO agar Tok Mat Hasan diberi peranan yang lebih besar.

    Rata-rata mereka berharap supaya beliau menggalas tugas sebagai ‘jeneral’ atau ‘panglima besar’ yang mengetuai jentera parti bagi menghadapi PRU-15.

    Setelah prestasi memalukan BN pada PRU-14 di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, pandangan akar umbi itu perlu diberi perhatian sewajarnya oleh kepimpinan parti.

    Akar umbi UMNO mahu mereka diketuai oleh seorang pemimpin yang bersih, cekap dan amanah dalam usaha mengembalikan semula sokongan rakyat terhadap parti itu dan BN.

    Di mata mereka, Tok Mat Hasan menepati kriteria-kriteria tersebut selain telah membuktikan kemampuan mengemudi bahtera parti mengharungi lautan gelora sehingga selamat tiba di pelabuhan.

    Lagipun peranan Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kejayaan BN pada PRN Melaka dilihat amat kecil.

    Beliau hanya menunjukkan muka pada saat-saat terakhir setelah selesai menjalani rawatan sakit tulang belakang di Jerman dan ketika itu, banyak masalah besar yang dihadapi BN dan UMN telah ditangani oleh Tok Mat.

    Elok juga kalau Jahid berehat daripada menjalankan tugas-tugas parti dan menyerahkan peranan penting itu kepada Tok Mat yang ketika ini ‘sahamnya’ cukup tinggi dalam kalangan ahli-ahli UMNO dan rakyat.

  • Masa depan Anwar makin suram apabila PKR kalah teruk di Melaka

    Masa depan Anwar makin suram apabila PKR kalah teruk di Melaka

    GESAAN senyap supaya Presiden Parti Keadilah Rakyat (PKR) dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim diganti timbul kembali, susulan kegagalan PKR memenangi kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam, menurut sumber rapat dengan perbincangan dalaman parti itu.

    Memetik laporan MalaysiaNow, beberapa pemimpin dan aktivis kanan PKR yang kekal bersama parti sejak ditendang keluar dari Putrajaya pada 2020 turut mempersoalkan keupayaan Anwar untuk mengetuai gabungan itu.

    Mereka mengatakan parti itu akan berdepan ‘kesukaran’ dalam menghadapi sekutu-sekutunya terutamanya DAP bagi membincangkan peruntukan kerusi yang memiliki populasi campuran kaum pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

    Sekurang-kurangnya dua ahli Parlimen PKR yang dihubungi enggan mengulas, sementara seorang lagi berkata kajian post-mortem akan dilaksanakan dalam beberapa hari lagi ‘bagi membincangkan kembali persoalan mengenai pemimpinnya yang menjadi imej parti.’

    PKR tewas di kesemua 11 kerusi ditandinginya walaupun diperuntukkan paling banyak kerusi daripada rakan sekutunya daripada Amanah yang menang satu kerusi sementara DAP empat kerusi.

    Walaupun beberapa kekalahan terburuknya menunjukkan penolakan kuat daripada pengundi Melayu, parti itu juga turut kalah di Machap Jaya.

    Machap Jaya adalah sebuah kerusi penting kerana ia adalah satu-satunya kerusi majoriti bukan Melayu yang ditandingi PKR.

    Tujuh lagi kerusi majoriti bukan Melayu ditandingi DAP, yang memenangi empat daripadanya.

    “Seperti di seluruh negara, sudah jadi cabaran bagi PKR untuk dapatkan kerusi yang didominasi kaum Cina atau malah berbilang kaum, kerana kerusi ini dituntut oleh DAP pada setiap pilihan raya semasa perbincangan pembahagian kerusi..

    “Kekalahan di Machap Jaya hanya akan mengukuhkan hujah DAP untuk tidak berikan kerusi kepada PKR dan Amanah jika ia berkait dengan kerusi majoriti bukan Melayu,” kata seorang bekas ahli PKR yang pernah terlibat dalam pembahagian kerusi antara parti PH.

    PKR ditubuhkan sebagai Parti Keadilan Nasional (PKN) pada 1999 oleh penyokong Anwar, beberapa bulan selepas beliau dipecat Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kemudian disabitkan dan dipenjarakan atas kesalahan liwat dan salah guna kuasa.

    Sejak itu, parti itu mengekalkan imejnya sebagai parti Anwar, dengan isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak perempuan mereka Nurul Izzah diberi peranan penting.

    Gesaan supaya Anwar berundur bukanlah perkara baru.

    Ogos lalu, kegagalannya mengumpul sokongan yang cukup daripada ahli Parlimen pembangkang bagi mengisi kekosongan jawatan Perdana Menteri susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin mencetuskan perdebatan sama ada beliau masih relevan.

    Pengkritik sosial, Dr. Chandra Muzaffar, yang juga seorang penggerak awal gerakan reformasi turut bersetuju bahawa keputusan PRN akan menghantui Anwar dengan persoalan yang ditimbulkan mengenai peranannya dalam mencetuskan pilihan raya semasa pandemik Covid-19.

    “Sejak dua tahun kebelakangan ini, Anwar memberi tumpuan terutamanya dalam usaha mendapatkan angka di Dewan Rakyat untuk menjatuhkan kerajaan hari ini.

    “Sesetengah pengundi tidak menyukai cadangan ini,” kata Chandra yang ditugaskan menggubal perlembagaan PKN sewaktu penubuhannya dua dekad lalu.

    Beliau berkata, kestabilan politik adalah kebimbangan asas kepada pengundi, sambil menambah antara punca PKR dihukum adalah disebabkan peranan Presidennya dalam mencetuskan PRN semasa wabak.

    “Ramai yang memutuskan untuk menentang orang yang menjatuhkan kerajaan negeri Melaka beberapa minggu lalu. Beberapa pemimpin BN sebenarnya meminta pengundi menghukum mereka yang menyebabkan ketidakstabilan di negeri itu,” tambahnya.

    Tinjauan mendapati di kawasan yang ditandingi PKR, PH menduduki tempat terakhir dalam kalangan tiga gabungan utama, memperoleh 16.3 peratus undi popular, di belakang Perikatan Nasional yang dianggap ‘underdog’ yang memperolehi 18.7 peratus.

    Malahan, langkahnya meletakkan nama besar seperti bekas ketua menteri dan bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Idris Haron di Asahan, atau Ahli Parlimen (Ketua Penerangan PKR), Shamsul Iskandar Mat Akin di Paya Rumput, juga gagal memberikan sebarang kerusi untuk PKR.

    Di Tanjung Bidara, di mana peratusan pengundi Melayu adalah tertinggi di Melaka, Zainal Hassan daripada PKR kehilangan deposit apabila memperoleh hanya 489 undi.

    Chandra berkata, kegagalan PKR memenangi mana-mana kerusi juga adalah bukti penolakan berterusan oleh orang ramai.

    “Bagi ramai pengundi Melayu, persekongkolan PKR dengan DAP adalah satu yang dibenci,” katanya.

    Sementara itu, seorang bekas ahli Parlimen PKR berkata, sebarang bedah siasat mengenai kekalahannya di Melaka tidak boleh mengabaikan persoalan kepimpinan pusat parti itu.

    “Jawapan mengapa kami kalah di Melaka berada di luar negeri itu dan bedah siasat yang jujur ​​akan tunjukkan beberapa kebenaran yang pahit ditelan,” katanya.

    “Beberapa nama besar kalah. Pimpinan perlu lakukan muhasabah, mungkin mereka perlu memikirkan sebab utama mengapa parti dibentuk,” katanya.