Category: Politik

  • PRN akan jadi referendum kepada Kerajaan Perpaduan – Khairy

    PRN akan jadi referendum kepada Kerajaan Perpaduan – Khairy

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti dijangka menjadi referendum atau pungutan suara rakyat terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan.

    Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, walaupun ada pihak yang cuba menafikannya, tetapi tidak bagi pengundi.

    “Mereka (pengundi) bukan hanya akan melihat kepada prestasi kerajaan negeri yang berkenaan selama empat atau lima tahun lepas tetapi mereka juga akan dipengaruhi dengan apa yang dilihat telah pun berlaku sejak tujuh, lapan bulan yang lepas sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    “Jadi, bagi saya apabila Shahril kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebut bahawa ini bukanlah referendum, mungkin itu adalah satu kenyataan taktikal daripada Presiden UMNO kerana dia nak merendahkan ekspektasi daripada PRN ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian menerusi Program Podcast Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan pada Rabu.

    Tambah Khairy, Ahmad Zahid sendiri tahu bahawa kemungkinan besar UMNO akan berhadapan dengan keadaan yang agak sukar.

    “Ada juga yang kata, UMNO dalam kebanyakan kerusi akan bungkus habis. Saya rasa, Presiden tahu tentang perkara ini, beliau adalah ahli politik yang agak ‘seasoned’ dan berpengalaman. Dia dah tahu, jadi dia merendahkan ekspektasi, dia kata ini bukan referendum tapi ini hanya PRN,” ujar beliau.

    Khairy berkata, sekiranya UMNO betul-betul ‘bungkus’ di kebanyakan kerusi, beliau menjangkakan Ahmad Zahid akan memberi alasan ia bukanlah negeri UMNO dan bukan tempat yang parti itu menerajui kerajaan negeri.

  • Penyokong PH perlu ubah sikap hadapi kritikan

    Penyokong PH perlu ubah sikap hadapi kritikan

    BEKAS Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, kelakuan penyokong Pakatan Harapan(PH) ketika berdepan kritikan mungkin menyebabkan pengundi yang berpotensi menyokong gabungan itu akan tawar hati.

    “Kalau mereka tak hentikan ‘gelombang’ ini, nampak macam liberal, marah semua yang tak sokong kerajaan tak apa. Tetapi mereka mengugut dengan mengatakan bahawa sesuatu buruk akan berlaku dan siapa yang tak sokong PH adalah ‘tunggang agama’, jual bangsa dan sebagainya.

    “Semua kritikan dan tohmahan sebegini…kerana semata-mata tak boleh terima kritikan dan pandangan yang tidak positif terhadap perdana menteri ataupun kerajaan,” katanya dalam episod terbaru ‘Keluar Sekejap’, lapor FMT.

    Shahril berkata, terdapat kebarangkalian pengundi yang mesra kepada PH tetapi akhirnya tidak memberi undi kepada gabungan itu sekiranya keadaan sedemikian berterusan.

    Katanya, keadaan itu bukan hanya dapat dilihat menerusi isu teguran di TikTok oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, tetapi juga dapat dilihat sejak enam atau tujuh bulan lepas.

    Semalam, Fahmi menyangkal laporan yang menyatakan beliau mengancam mengambil tindakan terhadap penonton siaran langsungnya di TikTok kerana menyiarkan komen mengkritik dirinya dan kerajaan.

    Fahmi berkata, beliau hanya mengingatkan penonton supaya tidak membuat kenyataan berunsur provokasi berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).

  • Kerjasama UMNO-DAP dalam keadaan sangat tidak selesa – KJ

    Kerjasama UMNO-DAP dalam keadaan sangat tidak selesa – KJ

    KERJASAMA antara UMNO dengan DAP dalam kerajaan Perpaduan masih dalam keadaan sangat tidak selesa, kata Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

    Katanya ia  susulan kenyataan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menggelar Barisan Nasional (BN) sebagai ‘pakatan korup’ berkemungkinan mencerminkan pandangan sebenar dalam hati penyokong DAP.

    “Apa kita tahu dari segi reaksi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) juga masih hambar dengan kerjasama bersama DAP. Kenyataan Tony Pua mungkin kenyataan sebenar dalam hati penyokong DAP. Kesimpulannya, kerjasama ini masih sangat tidak selesa. Jadi kita lihat pada masa akan datang apa yang berlaku (hubungan DAP-UMNO),” katanya.

    Beliau berkata demikian menerusi Program Podcast Keluar Sekejap bersama bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan semalam, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, Tony yang juga bekas Ahli Parlimen Damansara menggelar Barisan Nasional (BN), yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai ‘pakatan korup’.

    Dakwaan itu mengundang pelbagai reaksi termasuk dari Anthony Loke yang menganggap Tony tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan berunsur serangan terhadap mana-mana rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan dan menegaskan bahawa kenyataan Tony adalah atas kapasiti individu.

    Pemuda UMNO menyifatkan kenyataan Tony sebagai biadab dan menggesa DAP mengambil tindakan terhadapnya sementara Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendesak agar Tony tidak dicalonkan pada PRN akan datang.

  • MUDA kena umum pilih kerajaan atau pembangkang-Pemuda PKR

    MUDA kena umum pilih kerajaan atau pembangkang-Pemuda PKR

    KETUA Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Adam Adli menggesa Presiden Parti Ikatan Demokrasi Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Abdul Rahman,
    mengumumkan sama ada mereka masih menyokong kerajaan atau ingin bersama pembangkang.

    Beliau berkata, gesaan tersebut setelah MUDA mahu bertanding dalam pilihan raya di enam negeri secara bersendirian.

    “Maka MUDA hari ini perlu umum; masih anggap diri sebagai blok kerajaan atau tidak lagi menyokong.

    “Jika tidak lagi sokong; boleh lintas ke blok pembangkang. Tiada siapa halang, tidak salah pun dari segi undang-undang,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    MUDA, salah sebuah parti pendukung kerajaan, semalam mengumumkan akan bertanding di kesemua enam negeri dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi.

    Keputusan itu berpotensi memecahkah undi parti-parti kerajaan dan memberikan kelebihan kepada Pakatan Nasional (PN).

    MUDA mendakwa mereka dipinggirkan oleh Pakatan Harapan (PH), parti tunjang dalam gabungan kerajaan.

  • MUDA mahu kerjasama dengan PSM dalam PRN

    MUDA mahu kerjasama dengan PSM dalam PRN

    PARTI Ikatan Demokrasi Malaysia (MUDA) mahu bertemu dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi membincangkan kemungkinan kerjasama dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Presiden MUDA, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, walaupun tarikh pertemuan belum ditetapkan, kedua-dua pihak telah pun berbincang untuk satu tempoh tertentu.

    “Belum ada yang pasti. Tetapi ada banyak persamaan berbanding perbezaan (antara MUDA dan PSM),” ujarnya dalam sidang akhbar di ibu pejabat parti di Petaling Jaya hari ini, lapor Malaysiakini.

    MUDA, salah sebuah parti pendukung kerajaan semalam mengumumkan akan bertanding di kesemua enam negeri dalam PRN tidak lama lagi.

    Keputusan itu berpotensi memecahkah undi parti-parti kerajaan dan memberikan kelebihan kepada Pakatan Nasional (PN).

    MUDA mendakwa mereka dipinggirkan oleh Pakatan Harapan (PH), parti tunjang dalam gabungan kerajaan.

    Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, mereka akan meneliti kerjasama bentuk apa boleh dibuat bersama parti itu.

  • Istilah gelombang hijau bertujuan timbulkan Islamofobia-Hadi

    Istilah gelombang hijau bertujuan timbulkan Islamofobia-Hadi

    PRESEDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, penggunaan istilah ‘gelombang hijau’ terhadap kemajuan Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebenarnya merupakan agenda tersirat pihak tertentu terutama DAP.

    Jelas beliau, istilah berkenaan digunakan untuk tujuan yang songsang terhadap Islam dan parti tesebut.

    “Islam menjadi dasar dan matlamat perjuangan parti ini, sebagaimana dalam Perlembagaan Pas bahawa hukum tertingginya ialah al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas yang nyata.

    “Bagaimanapun kejayaan Pas dianggap negatif kerana Islamnya,” kata Ahli Parlimen Marang itu.

    Katanya lagi:”Pas boleh mencapai kerusi terbanyak dalam kalangan semua parti politik, di samping berjaya menawan dan mentadbir beberapa kerajaan negeri walaupun dalam bidang kuasa yang terbatas mengikut konsep federalisme yang banyak kecacatannya.

    “Bagaimanapun, sedikit konsep pentadbiran Islam telah menunjukkan Pas sebagai sebuah parti yang paling berintegriti. Adakah itu alasan yang dianggapnya adalah berbahaya,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, pihak berkenaan sengaja menunjukkan kekaburan terhadap membarahnya segala salah laku, rasuah, kebocoran, menipu dan sebagainya dalam diri mereka sendiri, sehinggakan boleh berpakat menubuhkan kerajaan yang dinamakan perpaduan sesama mereka.

    Sedangkan katanya, mereka bersama-sama bersifat dengan perkara yang diisytiharkan perang oleh mereka sendiri dengan ucapan yang berkobar-kobar.

    “Hakikatnya, istilah Kerajaan Perpaduan yang dicipta adalah berlainan daripada istilah sebenar ilmu politik dalam semua bahasa.

    “Kini, berlaku tuduh-menuduh sesama mereka. Segala rasuah dan salah laku bersama mereka semua didedahkannya,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, jika menegakkan Islam dianggap satu kesalahan yang menakutkan, tanpa melihat secara benar dan ikhlas mencari kebenaran dengan mengkaji Islam mengikut budaya ilmu, serta membaca sejarah keemasannya ketika hukum Islam diamalkan dengan sempurna yang menyerlahkan keadilannya kepada semua manusia.

  • PRN: Gerak solo MUDA ‘sia-sia’-Tun M

    PRN: Gerak solo MUDA ‘sia-sia’-Tun M

    TUN Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan keputusan Parti Ikatan Demoktratik Malaysia (MUDA) ingin bertanding pilihan raya di enam negeri secara sendirian ‘sia-sia’ jika tidak membantu membentuk kerajaan.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, sepatutnya calon yang bertanding dalam polihan raya negeri (PRN) mestilah boleh menang untuk membantu membentuk kerajaan.

    “Jika kamu ingin bertanding secara sendirian pada beberapa kerusi pada PRN, apa kamu boleh buat dengan kerusi itu?

    “Kamu mesti dalam kerajaan. Perhatian kita adalah untuk menang dan menjadi kerajaan,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di Sepang hari ini, lapor FMT.

    Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kelmarin berkata, MUDA akan menyertai PRN tidak lama lagi secara sendirian. Perkembangan ini bererti parti itu akan bertembung Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), walaupun MUDA menyokong kerajaan perpaduan.

    MUDA sebelum ini memohon menyertai PH namun gabungan itu belum memberi sebarang maklum balas. Syed Saddiq berkata cubaan untuk bekerjasama dengan PH tidak dihiraukan.

    Setiausaha Agung MUDA, Amir Hariri Abd. Hadi semalam mendakwa pentadbiran DatuK Seri Anwar Ibrahim mengabaikan reformasi institusi dan pembangkang bermain sentimen sebagai sebab ia akan menentang semua parti pada PRN akan datang.

  • Tun M umum tak akan bertanding pilihan raya

    Tun M umum tak akan bertanding pilihan raya

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan pendiriannya tidak akan bertanding pada sebarang pilihan raya akan datang.

    Beliau menjelaskan, ketika ini hanya memberi tumpuan kepada perjuangan Proklamasi Orang Melayu (POM) serta mempertahankan hak dan kaum Melayu di negara ini.

    “Kalau orang Melayu ingat kita nak berjuang kerana nak jadi Perdana Menteri, tidak, bukan sebab itu.

    “Saya tidak berniat nak bertanding tetapi saya harap ada orang lain yang akan bertanding dan seluruh orang Melayu yang sayangkan negara dan bukannya sayang kepada duit, tolak korupsi, rasuah.

    “Jangan kerana dapat RM100, kita jual undi,” katanya pada sidang akhbar khas di Sepang hari ini.

    Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan, orang Melayu perlu sedar bahawa setiap undi pada mana-mana pilihan raya bakal menentukan masa depan kaum tersebut.

    “Ini perjuangan kumpulan POM, insya-Allah kalau kita dapat sokongan, kita akan letak cukup calon supaya boleh jadi kerajaan.

    “Keterangan lanjut (mengenai POM) akan diberikan dengan lebih terperinci supaya orang Melayu sedar bahawa mereka hampir hilang negara di waktu ini dan masa hadapan.

    “Saya minta supaya orang Melayu sedar bahawa ini negara kita, (walaupun) sanggup kongsi dengan orang lain, jangan kongsi sampai nak hapuskan negara, nak jadikan milik orang lain, itu tidak boleh terima,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • PRN: PAS akui sukar capai sasaran 30% calon muda

    PRN: PAS akui sukar capai sasaran 30% calon muda

    PAS mengakui parti itu berdepan kesukaran bagi mencapai sasaran 30 peratus calon muda untuk diketengahkan pada PRN di enam negeri tidak lama lagi.

    Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata untuk PRN kali ini, kemungkinan besar calon muda yang akan diketengahkan PAS hanyalah sekitar 10 peratus.

    “Kalau kita ambil ucapan dasar presiden PAS beberapa tahun lepas iaitu kita sasarkan 30 peratus calon muda, tapi saya tak fikir ia boleh dicapai baik dari aspek muka baharu atau calon muda… kalau dapat 10 peratus pun dah okey.

    “Kita (PAS) sentiasa harapkan supaya dapat ketengahkan seramai mungkin pemuda atau anak muda yang tidak semestinya mewakili Pemuda PAS, namun ia bergantung kepada keputusan pimpinan di peringkat akhir yang sudah tentunya mahukan calon boleh menang,” katanya.

    Beliau kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Jentera PRN Pemuda PAS Terengganu oleh Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang di Marang, malam tadi.

    Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata walaupun dengan mengetengahkan lebih ramai calon muda akan membuat pengundi muda rasa lebih dihargai, calon boleh menang masih menjadi faktor utama pemilihan calon di sesuatu kawasan.

    “Sebab di Kelantan dan Terengganu ini, calon yang nak diletakkan itu bukan calon Touch ‘n Go atau hit and run, bila lepas kita letak tu, hilang entah ke mana. Kita akan letakkan calon yang merupakan anak tempatan yang sudah dikenali pengundi tempatan dan berpotensi menang,” katanya.

    Selain Terengganu dan Kelantan, empat negeri lagi yang akan terlibat dengan PRN akan datang ialah Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

    Sementara itu, ditanya mengenai pembatalan kemenangan Ahmad Amzad Hashim yang mewakili PAS pada PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu oleh Mahkamah Pilihan Raya Terengganu semalam, beliau berkata PAS menghormati keputusan itu.

    “PAS sendiri akan failkan rayuan dan dapatkan perintah sementara untuk kekalkan Ahli Parlimen yang ada sebelum rayuan diangkat ke Mahkamah Persekutuan, mengikut undang-undang pilihan raya,” katanya.

    Beliau berkata Pemuda PAS juga sentiasa bersedia jika berlaku PRK membabitkan pembatalan kerusi dimenangi Amzad.

    Semalam, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Amzad selepas mendapati pihak pempetisyen, iaitu calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

  • DUN Negeri Sembilan bubar 1 Julai

    DUN Negeri Sembilan bubar 1 Julai

    YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan membubarkan DUN negeri itu pada Sabtu ini, bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN).

    Perkara itu diumumkan Menteri Besar Aminuddin Harun selepas menghadap Tuanku Muhriz hari ini.

    Susulan pembubaran DUN itu, PRN mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

    Pada PRU15, enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Kelantan tidak membubarkan DUN.

    Media sebelum ini melaporkan pemimpin enam negeri terbabit mencapai kata sepakat masa paling sesuai berbuat demikian adalah dalam tempoh dua minggu terakhir Jun bagi membolehkan PRN diadakan serentak.

    Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN.