KERAJAAN Terengganu akan memfokuskan kepada pembangunan industri selain daripada petroleum, bagi mengurangkan kebergantungannya daripada royalti komoditi itu yang diterima setiap tahun.
Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar berkata antara perancangan yang digariskan termasuk membuka kawasan industri baharu di Besut dan Setiu yang kurang mendapat perhatian dan dimajukan sebelum ini.
“Mengambil kira kewujudan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang fokus pada kargo, kalau kita tidak ambil peluang dari sekarang, dalam masa tiga tahun lagi operasi ECRL baru nak mula (kita) dah terlambat.
“Jadi kita akan gerakan segera seluruh jentera ke arah mewujudkan kawasan industri baharu terutama di kawasan sebelum ini yang kurang diberi fokus seperti di utara negeri ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, lapor BERNAMA.
Menurut Samsuri lagi Terengganu juga berjaya mengurangkan kebergantungannya daripada hasil royalti petroleum sebanyak 4% pada penggal lalu.
Beliau berkata antara pendekatan yang diambil termasuk kaedah, sumber percukaian baharu serta pewartaan Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020 yang turut memberi hasil kepada negeri.
“Jangkaan kita ialah untuk capai hasil RM100 juta setahun daripada sumber air. Walaupun kita sedar pelaksanaan itu tak mudah, (tetapi) kita dah berjaya kutip hasil pada tahun pertama.
“Selain itu kita juga akan lihat pada cukai-cukai baharu seperti cukai galian yang sudah lama kita tidak menyemaknya semula,” katanya.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini mengumumkan senarai sebelas portfolio Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) termasuk seorang wakil daripada Bersatu, di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu hari ini.
Ahmad Samsuri berkata terdapat beberapa perubahan dan penyelarasan yang dibuat pada portfolio negeri berbanding penggal lepas bagi tujuan penambahbaikan dan memudahkan gerak kerja dengan kementerian di peringkat pusat.
“Kita harap semua Exco dapat bergerak lebih pantas dan menjalankan tugas dengan cemerlang untuk kemajuan rakyat dan negeri Terengganu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri pertama.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang mengumumkan beliau memegang portfolio Ekonomi, Kewangan, Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli, manakala ADUN Paka Datuk Satiful Bahari Mamat dilantik Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan.
ADUN Wakaf Mempelam Wan Sukairi Wan Abdullah pula dilantik Exco Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, sementara ADUN Jabi Dr Azman Ibrahim yang memegang portfolio Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi pada penggal lepas kekal menerajui bidang berkenaan.
Sementara itu, ADUN Kota Putera Mohd Khuzaini Abd Rahman yang sebelum ini menerajui portfolio keusahawanan dilantik Exco Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, manakala ADUN Chukai Hanafiah Mat dilantik sebagai Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar.
ADUN Alor Limbat Ariffin Deraman yang memegang portfolio pelancongan pada penggal lepas pula dilantik Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.
Empat muka baharu Exco yang dilantik ialah ADUN Kijal Datuk Razali Idris (Bersatu) sebagai Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan ADUN Batu Buruk Muhammad Khalil Abdul Hadi diamanahkan portfolio Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah.
Dua lagi iaitu ADUN Tepoh Hishamuddin Abdul Karim dilantik sebagai Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, manakala ADUN Ajil Maliaman Kassim diberi portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional.
FAKTOR Ahmad Zahid Hamidi dan sentimen ‘No Anwar No DAP’ yang dikatakan masih menebal dalam kalangan pengundi khususnya para penyokong peringkat akar umbi UMNO adalah antara penyumbang terbesar kekalahan parti tersebut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu, Sabtu lalu.
Hal ini kerana tindakan Presiden UMNO itu memecat serta menggantung keahlian pemimpin tidak sebulu dengannya menyebabkan ada kalangan ahli keluar parti.
Walaupun pelbagai penafian dibuat pemimpin UMNO berhubung ahli keluar parti, namun realitinya mendapati ahli UMNO kini semakin menyusut dan terpaksa akur apabila kesemua calonnya tewas dalam PRN kali ini.
Ramai pemimpin veteran UMNO di negeri ini mendakwa campurtangan Ahmad Zahid serta kepimpinan parti itu di peringkat pusat dalam menentukan calon yang bertanding dalam PRN turut dikaitkan dengan kekalahan besar tersebut.
Ia menyebabkan timbulnya masalah dalaman sehingga berlaku protes akibat percaturan calon dibuat bukan kehendak pengundi setempat.
Antaranya ialah melibatkan calon di kerusi DUN Ajil, Kuala Berang, Alor Limbat dan Hulu Besut yang dipersoalkan jentera parti sebaik pengumuman dibuat. Malah, penganalisis dan pemerhati politik tempatan menyatakan isu campurtangan mengenai calon mula terkesan ketika Pilihan Raya Umum ke14 (PRU-14) melibatkan calon kerusi Parlimen Kuala Nerus pada 19 November tahun lalu.
Ketika itu UMNO Negeri dan Bahagian Kuala Nerus dikatakan mencadangkan nama Apli Yusof, sebaliknya pemimpin pusat mahukan Mohd Khairuddin Aman Razali.
Akibat rasa tidak berpuas hati, terdapat ahli dan para penyokong parti itu mengadakan protes dengan tidak keluar mengundi apatah lagi isu ‘No Anwar No DAP’ bergegar di seluruh negeri.
Dalam konteks rakyat dan pengundi Terengganu sama ada mewakili parti UMNO atau Pas, mereka sememangnya sukar untuk menerima serta memangkah mana-mana calon mewakili parti yang bersekongkol dengan DAP.
Malah, kegagalan Pas untuk memerintah Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada tahun 2013 dikatakan kerana parti itu bergabung dengan Pakatan Rakyat (PR) yang turut disertai DAP.
Faktor itulah yang menyebabkan beberapa calon Pas tumbang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu.
Berdasarkan sejarah dan pengalaman itulah mengapa Pas mula menjauhi PR dan DAP sebelum bertemu gandingan baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan.
Kehadiran UMNO selepas itu yang turut bergabung bersama Muafakat Nasional (MN) pada mulanya memberikan perkhabaran amat mengembirakan kepada rakyat di negeri ini sehingga mereka sanggup turun berhimpun di Dataran Merdeka Kuala Lumpur bagi meraikannya.
Malangnya selepas tindakan Zahid bertindak memecat pemimpin kanan parti yang tidak sebulu dengannya di samping membuat keputusan meninggalkan Pas dan Bersatu untuk bersama Kerajaan Perpaduan yang turut disertai DAP, maka musnahlah sudah harapan rakyat untuk membina sebuah gabungan politik terkuat di negara ini diwakili oleh orang Melayu.
Ramai berpendapat UMNO perlu kembali kepada perjuangan asalnya dengan meninggalkan kerajaan perpaduan yang disertai DAP atau bergerak secara solo sekiranya mahu kembali diberi nyawa seterusnya menang dalam PRU16 akan datang.
Maka itu, parti tersebut perlu berani untuk membuat pembaharuan dengan terus mendesak Ahmad Zahid meletak jawatan atau mengadakan undi tidak percaya kepada Presiden.
Ini kerana ujar veteran UMNO selagi ada Zahid di samping sentimen ‘No Anwar No DAP, majoriti rakyat Terengganu tidak akan pangkah bukan sahaja calon mewakili Pakatan Harapan (PH), tetapi juga calon UMNO sendiri.
Perkara ini terbukti dengan apa yang sudah berlaku dalam PRN Sabtu lalu.
Kekalahan 32-0 calon UMNO dan PH di kesemua kerusi DUN Terengganu bukan setakat memalukan parti, sebaliknya ia turut merugikan ahli dan para penyokongnya. pemimpin UMNO sama ada di peringkat pusat atau negeri perlu mengambil tanggungjawab meletakkan jawatan masing-masing!
Usah lagi difikirkan soal jawatan dan calon untuk PRU-16, kalau sudah kalah terimalah kekalahan itu dan serahlah tanggungjawab kepada pemimpin baharu bagi meneruskan perjuangan parti.
PRN Sabtu lalu gabungan BN-PH bukan setakat gagal mentadbir negeri, sebaliknya kesemua calon yang bertanding kecuali Telemung tewas dengan majoriti besar.
Selain itu BN juga turut kehilangan 10 kerusi dimenangi pada PRU14 lalu iaitu Seberang Takir, Kijal, Jertih, Hulu Besut, Kuala Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Bukit Besi dan Telemung.
KERAJAAN Kelantan akan mengambil pendekatan matang bagi memperkukuh hubungan dengan kerajaan Persekutuan atas semangat federalisme demi kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar Kelantan yang baharu dilantik Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata hubungan antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) yang kukuh penting untuk manfaat semua khususnya rakyat.
“Selain itu, kita juga akan teruskan legasi membangun bersama Islam (MBI)…dasar ini terbukti meletakkan Islam sebagai asas pentadbiran dan kemakmuran negeri serta kebajikan rakyat. Turut menjadi keutamaan saya ialah untuk menjadi Menteri Besar kepada seluruh rakyat Kelantan tanpa mengira latar belakang kaum,” katanya lapor BERNAMA.
Mohd Nassuruddin berkata demikian pada sidang media pertama beliau sebagai Menteri Besar Kelantan di bangunan MABNA-MBI, di Kota Bharu hari ini yang turut dihadiri Timbalannya Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti, meletakkan ibu jari pada mesin perakam waktu pada 8.30 pagi ini bagi memulakan tugas hari pertamanya sebagai Menteri Besar.
Beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan kakitangan Pejabat Menteri Besar sebelum memulakan tugas.
Mohd Nassuruddin, yang merupakan Menteri Besar Kelantan ketiga selepas Pas mengambil alih Kelantan pada 1990, berkata barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang telah diperkenan dan dilantik Sultan Kelantan adalah saf kepimpinan seimbang dan terbaik daripada pelbagai bidang khususnya ulama, teknokrat dan profesional.
“Apa yang penting konsep musyawarah merupakan asas kekuatan pada kerajaan ini seperti yang diamalkan oleh pentadbiran sebelum ini. Saya harap semua pihak dapat memberikan sokongan untuk meneruskan legasi MBI,” katanya.
Semalam, Mohd Nassuruddin mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Negeri, Kubang Kerian. Sembilan ADUN turut mengangkat sumpah sebagai Exco Kelantan.
Beliau berkata portfolio kesemua Exco berkenaan akan disusun dan diumumkan dalam masa terdekat.
UMNO Negeri Sembilan berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADU) Barisan Nasional (BN) mendapat lima atau enam jawatan Exco dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.
Menurut Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Jalaluddin Alias, jumlah itu berdasarkan jumlah kerusi (DUN) yang dimenangi oleh BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu lalu.
Beliau berkata, keputusan akan dibuat selepas beliau berbincang dengan Menteri Besar, Aminuddin Harun.
Setakat ini, katanya, beliau belum dipanggil Aminuddin dan tidak pasti bila perbincangan itu akan diadakan, tetapi percaya ia akan dilakukan dalam minggu ini juga.
ADUN Pertang itu berkata, senarai nama akan diserahkan kepada Menteri Besar untuk dilantik Exco yang terdiri daripada gabungan muka lama dan baharu.
“Tiada tempoh ditetapkan bagi pelantikan exco, namun bagi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri, saya fikir dalam minggu ini juga (exco) akan dilantik,” katanya.
Persoalannya, adakah permintaan UMN) itu akan dipenuhi oleh Aminuddin? Sebelum ini jumlah Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) ialah 10 orang tidak termasuk Menteri Besar.
Jika UMNO memohon 5 hingga 6 jawatan exco, berapa lagi kerusi yang boleh diagihkan kepada PKR, DAP dan Amanah? DAP dan PKR sudah pasti tidak akan membenarkan UMNO ‘dominan’ dalam pentadbiran kerajaan negeri dengan memiliki jawatan exco lebih daripada parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).
Pada PRN lalu, UMNO menang 14 kerusi, DAP 11 kerusi, PKR 5 kerusi dan Amanah 1 kerusi. Dari segi parti memang betul UMNO menang lebih banyak tetapi dari segi gabungan PH-BN, PH lebih banyak dengan 17 kerusi.
Berdasarkan keadaan itu agak sukar untuk PH melayan permintaan UMNO kerana ia akan menimbulkan konflik dalam kalangan parti yang bekerjasama dalam PHBN.
Timbul juga persoalan, apa yang akan dilakukan oleh UMNO Negeri Sembilan jika permintaan mereka ditolak? Adakah mereka membuat keputusan tidak menyertai pentadbiran kerajaan negeri tetapi kekal menyokong kerajaan? Atau menarik sokongan kepada Aminuddin?
Menarik sokongan kemungkinan tidak akan berlaku kerana ia boleh menggugat kerajaan di peringkat Kerajaan Pusat. Satu-satu pilihan yang UMNO ada ialah tidak menyertai pentadbiran kerajaan negeri sebaliknya memainkan peranan ‘semak dan imbang’ kepada Kerajaan PH-BN di Negeri Sembilan.
Namun ada juga menjangkakan, isu pengisian jawatan Exco itu tidak akan ke mana kerana akhirnya Jalaluddin dan UMNO Negeri Sembilan akan akur pendirian serta keputusan pucuk pimpinan seperti mana dalam isu jawatan Menteri Besar sebelum ini.
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Dr Mohammad Abdul Hamid dari PKR sah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I yang baharu bagi penggal kali ini.
Rektor Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang itu juga diberi tanggungjawab untuk mengetuai Jawatankuasa Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat.
Dr Mohammad antara tujuh muka baharu yang dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pulau Pinang.
Majlis pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Dewan Sri Pinang , Georgetown.
Turut hadir isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Toh Puan Khadijah Mohd Nor, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan isteri Tan Lean Kee, lapor Sinar Harian.
Pada majlis itu, ADUN Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II selain akan mengetuai Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi.
ADUN Bertam daripada UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yang dikhabarkan akan dinamakan sebagai Timbalan Ketua Menteri, bukan sebahagian daripada 10 orang exco.
ADUN Sungai Acheh dari Barisan Nasional (BN), Rashidi Zinol, adalah wakil tunggal gabungan itu dalam Exco, dan akan mengetuai Jawatankuasa Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan dan Pembangunan Luar Bandar.
Barisan Exco itu terdiri daripada tujuh wakil DAP, dua daripada PKR, dan seorang daripada UMNO.
DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan, ‘cerita’ mengenai tindakannya menayangkan kertas undi pada pada Sabtu lalu sudah boleh ditutup kerana beliau pada hakikatnya langsung tidak melakukan tindakan menyalahi undang-undang.
Menurutnya, kisah itu tidak perlu dicungkil untuk menjadi panas kerana beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Hangpa (media) diam-diam sudahlah… Katuplah (tutup) cerita itu, bukan ada salah apa pun. ‘Hangpa’ cungkil-cungkil, itulah jadi panas dan selepas itu, Ketua Polis Negara terpaksa ambil tindakan.
“Sebenarnya tak ada kesalahan kerana Seksyen 39 (Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Bahagian VII) adalah berkaitan petisyen pilihan raya, bukan pamerkan (kertas undi) ketika mengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kedah di Pusat Membeli Belah City Plaza di Alor Setar, Kedah, hari ini.
Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam sidang akhbarnya memaklumkan, keterangan Muhammad Sanusi akan diambil berhubung tindakannya menayangkan kertas undi kepada petugas media ketika proses pengundian pilihan raya negeri (PRN) lalu.
Menurut Razarudin, siasatan berkaitan kejadian tersebut dijalankan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Dalam pada itu Muhammad Sanusi meminta semua pihak agar tidak hanya menghalakan peluru ke Kedah berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di negara ini.
Tegasnya, terdapat 59 lagi lombong haram di seluruh negara dan cuma satu saja kecurian yang berlaku di Kedah dengan pelakunya juga telah ditangkap serta dihukum.
“Ada 59 lombong haram di seluruh negara, sila pergi siasat kat negeri lain, bukan di Kedah. Janganlah ‘hangpa’ tuju Kedah saja tetapi 59 tempat lain, tak tanya pun. ‘Hang’ tanya Menteri Besar Perak, Pahang, Negeri Sembilan, pi tanya. Jangan ‘dok’ tanya Menteri Besar Kedah saja,” katanya.
Dalam pada itu Muhammad Sanusi memberitahu, beliau akan menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, Alor Setar Khamis ini bagi mempersembahkan kepada baginda senarai nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dirasakan sesuai menjadi Exco kerajaan negeri.
“Insya Allah Khamis ini saya menghadap tuanku untuk mempersembahkan senarai nama tersebut . Senarai itu sudah ada tetapi tak bolehlah ‘habaq’ lagi. Saya pun susah nak pilih dan parti sudah buat keputusan. Apabila saya terima daripada parti, saya beri pandangan. Semuanya perlu perkenan tuanku dan jika baginda minta nama individu berkenaan ditukar, maka kita tukarlah,” katanya.
TEKA-teki mengenai siapakah Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan yang baharu terjawab sudah selepas kedua-dua yang dilantik mengangkat sumpah jawatan itu hari ini.
Dalam majlis yang berlangsung di hadapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Negeri, Kubang Kerian, KOTA BHARU , Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti Datuk Mohd Nassuruddin Daud mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar petang ini.
Sementara itu, ADUN Temangan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan pula mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan.
Perlantikan Mohd Nassuruddin menyaksikan beliau secara rasmi menggantikan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yakob yang memegang jawatan Menteri Besar sejak 6 Mei 2013.
Sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri sejak 2013.
Ahli Dewan Undangan Negeri Meranti Datuk Mohd Nassuruddin Daud mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan di hadapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Negeri, Kubang Kerian, Kota Bharu.
Mohd Nassuruddin merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti selama tujuh penggal selepas memenanginya dalam Pilihan Raya Umum Kesembilan (PRU9) pada 1995.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lepas, Mohd Nassuruddin yang juga Ketua Penerangan PAS Kelantan berjaya mempertahankan DUN Meranti dalam pertandingan satu lawan satu setelah mengalahkan Zahri Omar dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 9,154 undi.
Mohd Nassuruddin, yang merupakan lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir mendirikan rumah tangga dengan Datin Wan Norhanita Wan Yaakob dan dikurniakan lima cahaya mata.
PAS dan rakan gabungannya dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu berjaya membentuk kerajaan negeri di Kelantan apabila menang 43 daripada 45 kerusi DUN dalam PRN Sabtu lepas.
Sementara itu, Mohamed Fadzli sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat negeri dan mula berkhidmat sebagai ADUN Temangan sejak menang pada PRU12.
Dilahirkan di Machang, Mohamed Fadzli adalah bekas Penolong Profesor Fakulti Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah, Pusat Undang-undang Harun Mahmud Hashim di universiti sama.
Selain Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar, seramai sembilan ADUN turut mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kelantan pada istiadat hari ini terdiri daripada lapan ADUN PAS dan seorang Bersatu.
Sembilan ADUN berkenaan adalah Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman (Kemahang), Datuk Dr Izani Husin (Kijang), Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail (Selising), Wan Roslan Wan Hamat (Pengkalan Kubor), Rohani Ibrahim (Tanjong Mas), Mohd Asri Mat Daud (Demit), Zamakhshari Muhamad (Apam Putra), Hilmi Abdullah (Guchil) dan Datuk Kamarudin Md Nor (Air Lanas).
TIGA pertuduhan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin membabitkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA) perlu dibatalkan susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah melepas dan membebaskan beliau daripada tuduhan rasuah.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, oleh kerana kesalahan utama atau predikat telah dibatalkan, maka pertuduhan AMLA tidak boleh berdiri secara sendiri.
“Keputusan mahkamah pagi ini (Selasa) akan memperteguhkan pendirian PN untuk menentang segala bentuk amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kerajaan hari ini selain memberi fokus untuk membangunkan ekonomi rakyat serta negara.
“PN yakin bahawa Muhyiddin tidak pernah terlibat dalam amalan rasuah dan salah guna kuasa, malah beliau adalah seorang yang tuntas menentang rasuah termasuk skandal kewangan terbesar 1MDB (1Malaysia Development Berhad) sehingga beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“PN bertegas dari awal bahawa sekiranya kerajaan berpegang kepada prinsip ‘rule of law’, Muhyiddin tidak akan dituduh dalam mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.
Sebelum ini media melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti berkenaan.
Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Pengerusi PN itu mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.
Dalam pada itu Mohamed Azmin berkata, keputusan mahkamah pada hari ini membuktikan wujud campur tangan berniat jahat untuk mencalarkan imej dan kredibiliti Bersatu, khususnya Muhyiddin supaya rakyat menolak PN.
“Tetapi apa yang berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) adalah sebaliknya. PN telah menang besar di Terengganu, Kelantan, Kedah dan menang dengan jumlah yang signifikan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan,” ujarnya.
NAIB Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu bagi penggal kedua di Istana Syarqiyyah di Chendering, Kuala Terengganu hari ini.
Ahmad Samsuri, 53, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, melafazkan sumpah memegang jawatan tersebut di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada pukul 3.18 petang.
Turut berangkat pada Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Melafaz Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan dan Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ahmad Samsuri akan menerajui pentadbiran negeri setelah gabungan Pas dan Bersatu memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu pada pilihan raya negeri Sabtu lepas, lapor BERNAMA.
Beliau memperoleh 20,927 undi dengan majoriti 17,286 undi mengalahkan calon Pakatan Harapan Suhaimi Sulaiman.
Bapa kepada enam orang anak itu pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Presiden PAS yang juga bekas Menteri Besar Terengganu Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 2008 hingga 2018.
Ahmad Samsuri buat pertama kalinya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 dan meraih kemenangan dengan majoriti 6,028 di kerusi DUN Ru Rendang menewaskan calon Barisan Nasional Nik Dir Nik Wan Ku, dan selepas itu beliau diangkat menjadi menteri besar.
Lebih dikenali sebagai Dr Sam, bekas Ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Leeds, United Kingdom itu pernah menjadi antara rujukan penting dalam mengupas misteri kehilangan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan insiden nahas pesawat MH17.
Sepuluh ADUN yang akan menganggotai Jawatankuasa Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu turut mengangkat sumpah pada istiadat yang sama.
Mereka ialah Dr Azman Ibrahim (Jabi), Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam), Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Buruk), Ariffin Deraman (Alor Limbat), Maliaman Kassim (Ajil), Datuk Satiful Bahari Mamat (Paka), Datuk Razali Idris (Kijal), Hanafiah Mat (Chukai), Hishamuddin Abdul Karim (Tepoh) dan Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (Kota Putera).