Category: Politik

  • Keanggotaan tiga ahli Bersatu tanding bebas PRN Sarawak gugur automatik – Jaziri

    Keanggotaan tiga ahli Bersatu tanding bebas PRN Sarawak gugur automatik – Jaziri

    KEANGGOTAAN tiga ahli parti Bersatu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) ini atas tiket Bebas telah gugur secara automatik, kata Pengerusi Bersatu Sarawak Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian.

    Mereka ialah Siki Balarik di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Belaga, Ricky Enteri (DUN Bawang Assan) dan Ismawi Muhammad (DUN Muara Tuang).

    “Jadi sekarang ini tidak ada ahli Bersatu yang bertanding, mereka telah pun digugurkan keanggotaan secara automatik menurut Perlembagaan Bersatu. Kita telah memberikan mereka masa dan peluang untuk menarik diri tapi tiada tindakan dibuat mereka, jadi keahlian mereka telah gugur.

    “Bersatu tetap dengan pendirian tidak bertanding pada PRN Sarawak,” katanya kepada Bernama .

    Beliau berkata demikian selepas hadir di Rumah Panjang Chunggat, Munggu Ubah semalam bagi membantu Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju berkempen untuk calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Friday Belik di kerusi Dewan Undangan Negeri Krian.

    Isnin lepas Ali, penyandang kerusi itu membuat kejutan apabila tampil bertanding sebagai calon Bebas di Krian, bertentangan dengan pendirian Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memutuskan bahawa parti itu tidak bertanding pada PRN kali ini sebaliknya memberi sokongan kepada GPS.

    Bagaimanapun Ahli Parlimen Saratok yang juga Naib Pengerusi Bersatu Sarawak itu akhirnya mengumumkan menarik diri atas alasan bagi memelihara muafakat dan memperkukuh hubungan antara Perikatan Nasional dan GPS sekali gus menyaksikan beberapa pemimpin gabungan politik itu meminta beliau menerangkan keadaan sebenar kepada pengundi.

    Sebelum ini Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata parti itu tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana ahlinya yang bertanding pada pilihan raya tanpa kebenaran parti, termasuk keahlian boleh terhenti serta-merta.

  • ‘Perlu gagasan penyatuan lebih besar selain MN, PN’ – Tuan Ibrahim

    ‘Perlu gagasan penyatuan lebih besar selain MN, PN’ – Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan, negara memerlukan gagasan penyatuan yang lebih besar daripada Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menjamin kestabilan negara dan mengukuhkan ikatan ummah.

    “Cadangan ini sebagai penyelesaian kemelut kecil yang timbul membabitkan rakan-rakan kerjasamanya ketika ini dan perlu dilihat dalam kerangka yang lebih besar dan dilebarkan sehingga ke Sabah dan Sarawak.

    “Kita lihat kepada kerangka yang besar. Itu salah satu antara pandangan saya, saya lihat bahawa kalau MN, PN, mungkin kita perlukan satu gagasan,” katanya di Kuala Terengganu.

    Beliau berkata, gagasan sebelum ini hanya berlaku dalam konteks semenanjung sambil menghormati parti-parti di Sarawak dan Sabah yang mendukung kerajaan Pusat untuk kestabilan tetapi lebih baik sekiranya gagasan itu merangkumi lebih besar daripada gagasan sedia ada.

    Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas menghormati apa jua keputusan UMNO mengenai hala tuju dan kerjasama kedua-dua parti berkenaan dalam MN yang bakal ditentukan pada Perhimpunan Agung UMNO.

    Jelasnya lagi, beliau yakin keputusan itu telah dibuat oleh perwakilan UMNO sebelum ini dan mereka mahu mengekalkan MN.

  • Hasil kutipan saman tingkat fasiliti PDRM-Bersatu Johor

    Hasil kutipan saman tingkat fasiliti PDRM-Bersatu Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    HASIL daripada 2.3 juta saman trafik menerusi diskaun 80 peratus yang akan diperoleh nanti disaran digunakan untuk meningkatkan fasiliti di semua premis Polis Diraja Malaysia (PDRM) seluruh negara.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, saranan itu sebagai insentif untuk anggota pasukan tersebut dan diharapkan hasil itu tidak dimasukkan ke dalam akaun hasil negara.

    Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor berkata, ini kerana kutipan saman kesalahan trafik bukan pendapatan yang diunjurkan dalam Belanjawan Negara.

    “Jadi atas semangat 100 Hari aspirasi Keluarga Malaysia, kutipan kali ini disaran dibelanjakan untuk kebaikan anggota PDRM yang sentiasa komited dan kental menjadi sebahagian daripada pasukan barisan hadapan negara.

    “Sebagai agensi penguat kuasa, kita sedia maklum, premis PDRM dibina dan diurus berasingan sekali gus anggota pasukan ini tidak menikmati fasiliti sebagaimana petugas jabatan mahupun agensi Persekutuan lain yang lazimnya beroperasi di bawah satu bumbung seperti Wisma Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohd. Solihan berkata, saranan supaya hasil kutipan saman dibelanjakan untuk membantu meningkatkan fasiliti PDRM itu sebenarnya kecil berbanding peruntukan tahunan menerusi Belanjawan 2022.

    Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang itu berkata, insentif kecil itu tetap memberi makna besar yang tersendiri kepada pasukan tersebut.

    Jelasnya, penambahbaikan fasiliti tempat kerja adalah satu proses berterusan yang tidak dinafikan mampu memberi kesan kepada peningkatan kualiti dan prestasi jentera kerajaan termasuk PDRM dalam memberi khidmat khususnya dalam menguatkuasakan undang-undang.

    Bersatu Johor berharap, saranan itu tidak disalahtafsirkan dan sewajarnya menjadi isu, mencetuskan polemik atau dipolitikkan oleh mana-mana tetapi diberikan atas sifatnya sebagai insentif serta penghargaan kepada PDRM.

    Pihak PDRM katanya, pasti mengalu-alukan saranan tersebut dan pemberian insentif kerajaan ini pasti dibalas dengan komitmen perkhidmatan yang lebih jitu oleh seluruh anggotanya.

    Bermula 9 hingga semalam, sebanyak RM109 juta berjaya dikutip dan jumlah kutipan dijangka meningkat apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada Ahad memberitahu, tempoh pembayaran saman trafik dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

  • Hubungan PAS-UMNO masih baik, kata Abdul Hadi

    Hubungan PAS-UMNO masih baik, kata Abdul Hadi

    PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan hubungan antara parti itu bersama UMNO masih baik, meskipun dua parti itu dilanda pelbagai konflik sejak kebelakangan ini.

    “Hubungan dengan UMNO, Alhamdulillah masih baik secara umumnya. Kita anggap UMNO sebagai parti bukan sebagai individu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Ulang Tahun PAS ke-70 di Taman Tamadun Islam, di Kuala Terengganu hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hubungan antara PAS dan UMNO yang dlihat semakin dingin, sejak Pilihan Raya Negeri Melaka pada November lepas.

    Katanya hubungan baik antara kedua-dua parti itu dapat dilihat melalui kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional yang ditunjangi UMNO, Bersatu dan PAS, yang masih kukuh sehingga kini.

    Dalam pada itu Abdul Hadi turut menafikan bahawa hubungannya dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dingin, seperti yang diperkatakan sesetengah pihak.

    “Saya rasa masih hangat, dekat Parlimen saya sama-sama duduk dekat-dekat (dengan Ahmad Zahid). Boleh tengok kerusi Parlimen itu sebelah saya Tan Sri Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Tun Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad), Datuk Seri Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Zahid Hamidi. Saya duduk di tengah-tengah jadi pendamai antara semua pihak,” katanya sambil berseloroh.

    Selain itu Abdul Hadi turut menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan pimpinan UMNO bagi meleraikan permasalahan, yang membelenggu dua parti itu.

    Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata negara memerlukan gagasan lebih besar daripada Muafakat Nasional bagi menjamin kestabilan negara dan mengukuhkan ikatan ummah.

    Katanya gagasan dalam kerangka yang lebih besar juga dilihat mampu mengeluarkan PAS dan UMNO, daripada kemelut-kemelut kecil seperti yang berlaku pada masa ini.

    “Mungkin negara memerlukan penyatuan gagasan besar bukan hanya dalam lingkungan Semenanjung, tetapi meliputi Sabah dan Sarawak.

    “Kita ada kepentingan bersama yang perlu dipertahankan. Walaupun dalam konteks politik kita ada konflik parti masing-masing, tetapi muafakat itu sangat penting dan kita seharusnya bersatu,” katanya. – BERNAMA

  • Mengejutkan! DAP mahu batal projek Transit Aliran Autonomi Kuching

    Mengejutkan! DAP mahu batal projek Transit Aliran Autonomi Kuching

    prn sarawak

    TEKAD Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen untuk membatalkan cadangan pembinaan projek Transit Aliran Autonomi (ART) sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) ini amat mengejutkan dan dikesali, kata Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

    Beliau berkata, sebagai Ahli Parlimen Stampin, Chieng Jen pastinya tahu bahawa kesesakan lalu lintas di bandar raya Kuching semakin bertambah buruk selaras dangan pertambahan penduduk, dan jumlah kenderaan di kawasan kota.

    “Tidakkah Chieng Jen tahu bahawa jumlah penduduk Kuching dan juga kenderaan berdaftar masing-masing meningkat tiga dan lapan peratus setiap tahun, sekali gus mengakibatkan peningkatkan kesesakan di bandar raya?

    “Berdasarkan trend pertumbuhan semasa bagi trafik kawasan bandar raya Kuching, pertumbuhan jumlah kenderaan dijangka menjangkau 41 peratus dari 317,400 pada tahun 2015 kepada 449,200 pada tahun 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dr Kui Hian merupakan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah dalam PRN12 ini.

    Semalam Chieng Jen, yakni adalah calon DAP bagi kerusi DUN Padungan dilaporkan berkata PH tidak akan meneruskan projek mega yang dianggap ‘projek gajah putih’ seperti projek ART, sekiranya ia berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan.

    Dr Kui Hian seterusnya menggesa pengundi di Sarawak menyokong GPS sekiranya mereka percaya bahawa Kuching, malah seluruh Sarawak, berhak mengecap nikmat pembangunan. – BERNAMA

  • Anwar tak tahu perintah negara, diguna untuk jatuhkan Najib – Mahathir

    Anwar tak tahu perintah negara, diguna untuk jatuhkan Najib – Mahathir

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak tahu memerintah negara dan hanya bekerjasama dengan Presiden PKR itu untuk menumbangkan Datuk Seri Najib Razak.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Dr Mahathir menyentuh beberapa isu tersebut dalam buku terbaharunya, “Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia”, yang dilancarkan hari ini.

    Ahli Parlimen Langkawi mempunyai sebab-sebab tersendiri yang membuatkan beliau tidak senang dengan Anwar, tetapi merasakan apa yang Najib sudah lakukan pada negara adalah lebih teruk.

    Beliau berkata, matlamat mereka terhadap Najib seiring, dan kerjasama itu membuahkan hasil.

    Dr Mahathir mengakui beliau ada berjanji akan berundur sebelum PRU seterusnya, tetapi Anwar secara tidak langsung menekan beliau untuk melepaskan jawatan lebih awal.

    Beliau berkata, hanya Anwar seorang yang menekan-nekan, kerana pemimpin pembangkang lain tidak memaksa malah memberikan masa kepadanya untuk selesaikan beberapa masalah ‘rumit’.

    Dr Mahathir seterusnya mengkritik kebolehan Anwar memimpin dan merasakan Presiden PKR itu tidak tahu memerintah negara berdasarkan pengalamannya yang lalu.

    Anwar, katanya, mungkin menganggap dirinya berkebolehan tetapi beliau bukanlah faktor berlakunya rampasan kuasa.

    Dr Mahathir mengakui ada cakap-cakap mengenai membentuk kerajaan Melayu-Islam selepas PH menang PRU dan rampasan kuasa, tetapi menepisnya kerana merasakan ia tak akan boleh dilakukan.

    Malah, beliau merasakan anggota Jemaah Menterinya, yang turut dianggotai oleh pemimpin Bersatu, bekerjasama dengan baik.

  • Zuraida minta penyokong Ali Biju undi Friday

    Zuraida minta penyokong Ali Biju undi Friday

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Zuraida Kamaruddin menyeru dan meminta semua penyokong Datuk Ali Biju di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian untuk sama-sama memberi sokongan padu kepada calon GPS, Friday Belik.

    Menteri Perusahaan dan Perladangan dan Komoditi itu berkata selepas berundur daripada pilihan raya berkenaan sebagai calon Bebas, Khamis lalu, Ali Biju sendiri telah meminta penyokongnya membantu Friday menang kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, 18 Dis ini.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Kluster Koko Sarawak sempena Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia 2021 di Samarahan, hari ini.

    Selain Friday, kerusi Krian juga ditandingi oleh calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Musa Dinggat dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Kuan Sam Sui.

    Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata beliau bersedia mempertimbangkan sekiranya ada tawaran untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia yand dahulunya dikenali Parti Pekerja Sarawak.

    “Saya tak ada terima apa-apa tawaran lagi. (Kalau ada) saya belum tahu lagi, saya akan pertimbangkan, insya-Allah. Kalau tawaran daripada sesiapa pun saya akan pertimbangkan, tak boleh tolak,” katanya yang juga Ahli Parlimen Ampang.

    Untuk rekod, pendaftaran Parti Bangsa Malaysia diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 27 Okt lalu dan bekas Pengerusi PKR Sarawak, Larry Sng kini menjawat jawatan timbalan presiden baharu parti itu. – BERNAMA

  • Jawapan Tony sahkan dakwaan terhadapnya benar – Dr Mahathir

    Jawapan Tony sahkan dakwaan terhadapnya benar – Dr Mahathir

    TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, Tony Pua mengesahkan dakwaan terhadapnya adalah benar walaupun beliau tidak menamakan Ahli Parlimen Damansara itu dalam buku terbarunya.

    Memetik laporan Malaysiakini, bekas Perdana Menteri itu berkata, Tony melalui tiga jawapan balas terhadapnya membuktikan peranannya sebagai bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika era rejim Pakatan Harapan (PH).

    “Seperti yang anda tahu saya tidak menamakan dia (dalam buku itu). Tetapi jelas sekali dia faham apa yang saya katakan tentang dia.

    “Respons dia sendiri membuktikan apa yang saya katakan adalah benar. Kenapa dia perlu menjawab jika ia mengenai orang lain?

    “Dialah yang mengambil masa lama untuk menjawab tiga kali, menulis esei panjang mengenainya,” katanya kepada pemberita.

    Beliau berkata demikian semasa pelancaran secara maya memoir terbarunya, Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia yang diadakan di sebuah kedai buku di Kuala Lumpur hari ini.

    Ahli Parlimen Langkawi itu mengulas mengenai jawapan balas ketiga dan terbaru daripada Tony di mana Ahli Parlimen DAP itu mendakwa beliau dinilai secara tidak adil berdasarkan persepsi yang dicipta oleh kalangan perniagaan yang mempunyai kepentingan dan akibat sentimen politik dalam Bersatu dan UMNO.

    Walaupun Dr Mahathir tidak menamakannya dalam buku itu, Tony dalam sanggahan pertamanya berkata beliau yakin menjadi sasaran dan mendakwa bahawa cara paling mudah untuk mencetuskan kemarahan Dr Mahathir adalah “menyasarkan titik lemahnya berkenaan beberapa ‘bos perniagaan besar’ yang dilayan secara tidak adil”.

    Sementara itu, Dr Mahathir hari ini mempertahankan dakwaannya bahawa Tony berkelakuan ‘seperti seorang menteri’ berbanding menjalankan tugas sebagai setiausaha politik kepada seorang menteri.

    “Tugas setiausaha politik adalah untuk memaklumkan kepada menteri supaya menteri boleh memberikan respons terhadap apa yang berlaku di lapangan.

    “Tony Pua berlagak seperti seorang menteri yang memiliki kuasa,” jelasnya.

    Beliau turut menyatakan bahawa menerima aduan daripada kalangan ahli perniagaan mengenai keangkuhan Tony.

    “Sudah tentu dia akan menafikannya. Dan saya tidak akan berkata apa-apa, terpulang kepada rakyat sama ada apa yang saya katakan itu benar atau apa yang dia katakan itu benar,” ujarnya.

    Menjawab persoalan mengenai penerbitan buku terbaharunya, Dr Mahathir berkata, beliau perlu merekodkan insiden yang berlaku selepas peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri ketujuh, khususnya untuk tatapan generasi muda.

  • Pemilihan UMNO mungkin November 2022 – Mohamad

    Pemilihan UMNO mungkin November 2022 – Mohamad

    PEMILIHAN UMNO bagi penggal 2021/2023 mungkin diadakan pada November tahun depan, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Katanya, ia perlu diadakan sebelum tamat tempoh semasa iaitu pada Disember tahun depan.

    Justeru, pemilihan peringkat cawangan perlu diadakan awal iaitu selewat-lewatnya pada Julai, katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Rembau di Seremban, hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan beberapa UMNO bahagian yang meminta pemilihan parti diadakan sekurang-kurangnya setahun sebelum berlangsung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Ditanya mengenai sama ada terdapat usul supaya lima jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang pada Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini, Mohamad berkata tiada cadangan seumpama itu diterima setakat ini.

    Sementara itu, mengenai permohonan UMNO Selangor yang mahu diberi autonomi untuk meneruskan kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN), Mohamad berkata perkara itu akan dibincangkan di peringkat pusat.

    “Perkataan autonomi itu besar, kalau mahu bersama PAS tiada isu, kenapa perlu minta autonomi…minta untuk berunding terus dengan PAS, itu tidak mengapa.

    “Tiada arahan daripada parti untuk kita memutuskan hubungan atau mengkaji semula dengan PAS,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan Pengerusi UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berharap pucuk pimpinan tertinggi parti itu memberi autonomi untuk meneruskan kerjasama dengan PAS di negeri itu menerusi MN kerana kerjasama antara UMNO dan PAS di negeri itu ini amat baik dan dilihat lebih berkesan.

    Mohamad berkata hubungan UMNO dan PAS dalam MN masih seperti biasa dan tiada keputusan dibuat mengenai masa depan kedua-dua parti itu.

    “Orang ingat MN itu satu pertubuhan berdaftar, kita tidak berdaftar, ia hanya sebagai platform untuk kita menjalinkan kerjasama. Setakat ini UMNO tidak ada memutuskan apa-apa hubungan, begitu juga PAS belum memutuskan apa-apa hubungan, jadi kita macam biasa.

    “MN ini persefahaman untuk menyatu padukan umat Melayu dan Islam, tiada ikatan perjanjian yang mengikat (kedua-dua parti) tetapi atas persefahaman supaya kita orang Melayu dan Islam jangan berpecah, bukan sahaja dalam politik tetapi dalam banyak hal lagi,” katanya. – BERNAMA

  • PRU-15: MIC minta BN beri kerusi boleh menang

    PRU-15: MIC minta BN beri kerusi boleh menang

    MIC meminta Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi kerusi boleh menang kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran membuat rayuan tersebut ketika menyampaikan ucapan dasar pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-75 MIC di Kuala Lumpur, hari ini.

    “MIC terbuka untuk bertanding di kawasan tradisional atau kawasan baharu, berdasarkan keperluan politik semasa,” katanya seperti memetik laporan Free Malaysia Today.

    Walau bagaimanapun, beliau meminta supaya calon-calon dari partinya diberikan kawasan Parlimen atau kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana mereka mempunyai peluang untuk bertanding.

    Beliau turut menggesa BN memperuntukkan kerusi secepat mungkin supaya parti komponen boleh melantik penyelaras bagi memulakan persediaan menghadapi pilihan raya.

    Pemimpin BN yang hadir pada mesyuarat agung itu termasuk Ahmad Zahid; Bendahari Agung UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dan Timbalan PPresiden MCA, Datuk Mah Hang Soon.

    Vigneswaran juga yakin MIC mampu memenangi semula kerusi parlimen yang tewas pada pilihan raya sebelum ini jika diberi peluang sepenuhnya.

    Beliau juga berkata kredibiliti parti yang semakin pudar dalam kalangan pengundi India bukan hanya akibat fitnah pembangkang, tetapi juga disebabkan ‘perang dingin’ dengan sebuah ‘rakan parti dalam BN’.

    Sehubungan itu,Vigneswaran meminta Pengerusi BN untuk memastikan agar ‘rakan’ tersebut tidak dibenarkan bertanding di mana-mana kerusi MIC, sambil mempersoal keupayaan mereka untuk memenangi undi bagi gabungan politik berkenaan.

    “Selain persahabatan, apa lagi yang mereka bawa ke meja (gabungan)?” soalnya.

    Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, BN berjanji menawarkan MIC ‘peluang bertanding’, sambil menambah, beliau akan memutuskan agihan kerusi dalam tempoh dua minggu akan datang.