Category: Politik

  • PRN: BN tanding 110 daripada 245 kerusi – Zahid 

    PRN: BN tanding 110 daripada 245 kerusi – Zahid 

    BARISAN Nasional (BN) dijangka bertanding 45 peratus atau 110 kerusi daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN), manakala selebihnya akan ditandingi oleh Pakatan Harapan (PH).

    Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dibuat, berdasarkan kedudukan semasa kerusi yang dimenangi oleh BN dan PH, pada pilihan raya umum yang lepas.

    “Ini berdasarkan kepada kerusi (DUN) yang sedia ada, yang dimenangi oleh PH… Sebab itu peratus itu lebih kepada parti komponen dalam PH. Kita akan umum statistik (sebenar) apabila keputusan terakhir dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Korban Perdana dan Jamuan Rakyat BN di Pantai Penunjuk dekat sini, hari ini.

    Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata BN akan bertanding lebih 100 kerusi DUN dan keputusan akhir akan dibuat oleh beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam masa terdekat.

    PRN akan datang membabitkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

    “Saya dan perdana menteri akan berbincang buat kali terakhir pada minggu hadapan bagi seluruh enam negeri… kawasan bertindih juga kita telah dapat selesaikan. Insya-Allah lepas ni kita akan selesaikan pula tentang calon bagi kerusi yang diperuntukkan kepada BN dan PH. Biro politik telah ambil keputusan, setiap DUN, pihak perhubungan negeri akan kemuka sekurang-kurangnya tiga calon,” katanya.

    Ahmad Zahid berkata setiap calon bukan sahaja akan melalui saringan daripada aspek boleh menang, malah penelitian akan turut dibuat di peringkat Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Mahkamah Syariah.

    “Kita akan lakukan saringan bukan hanya dari segi kebolehmenangan, kebolehterimaan dan bagaimana pengundi beri dukungan kepada calon-calon. Apabila senarai pendek telah dibuat, kita akan buat juga saringan kesihatan bagi menentukan setiap calon bersih dari segi lahiriah, fizikal dan mempunyai tahap kesihatan yang baik,” katanya.

    Mengenai kriteria pemilihan calon, beliau berkata golongan muda menjadi antara elemen utama dalam pemilihan calon, bagi membuktikan bahawa kerajaan BN-PH mendengar denyut nadi pengundi muda.

    “Kita lihat daripada PRN Melaka dan Johor, memperlihatkan kebolehmenangan muka baharu telah terbukti… Ini memperlihatkan cita rasa terutama pengundi baharu dalam kalangan umur 40 ke bawah, terutama usia 18, 19 dan 20 tahun. Mereka mahu cita rasa dan denyut nadi mereka (golongan muda) diambil keprihatinan oleh parti yang akan memerintah nanti. Dalam perkara ini BN khususnya UMNO kira ini elemen penting untuk raih kemenangan di DUN,” katanya.

    Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan pelancaran jentera parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan akan bermula pada 7 Julai ini di Selangor, diikuti negeri-negeri lain.

    Beliau berkata secara dasarnya, tarikh serta tentatif program telah ada dan akan dipanjangkan kepada setiap badan perhubungan negeri untuk tindakan persediaan.

    — BERNAMA

  • ’Tolong jangan merepek’’ – King Sing bidas desakan Pemuda UMNO mahu beliau dipecat

    ’Tolong jangan merepek’’ – King Sing bidas desakan Pemuda UMNO mahu beliau dipecat

    ISU kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang melibatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing semakin panas apabila beliau berbalas hujah dengan Ketua Pemuda UMNO Dr.Muhamad Akmal Saleh.

    Ia berikutan tindakan Dr.Muhammad yang mahu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memecat King Sing, bagaimanapun King Sing dalam reaksi menasihatkan pemimpin Pemuda UMNO itu supaya jangan merepek.

    “Jika dia dapat menjadi seorang ahli politik yang baik untuk membantu negara, saya sangat menghargainya. Tetapi jika dia tidak tahu cara menjadi seorang ahli politik, tolong jangan cakap merepek,” kata beliau lapor Malaysiakini.

    King Sing berkata, antara ciri seorang ahli politik yang baik adalah yang dapat menjaga ekonomi negara.

    “Jika anda tidak tahu keseluruhan cerita tentang apa yang sedang berlaku, jangan hanya mengikuti media sosial. Saya patut menuntut supaya dia meminta maaf kepada saya, beritahu dia itu,” katanya semalam.

    King Sing menegaskan, bersedia untuk berdepan dengan Jemaah Menteri susulan dakwaannya mengenai rasuah melibatkan pegawai imigresen.

    “Ya, tiada masalah. Saya boleh katakan, saya tiada isu. Saya tidak mempunyai sebarang agenda. Kerana yang pertama kita mesti memberi keyakinan kepada pelancong dari seluruh dunia untuk datang,” katanya.

    , Dr Muhamad Akmal Saleh

    *Menteri mesti tahu sidang kuasa masing-masing – Dr.Akmal*

    SEMENTARA itu dalam kenyataan terbarunya, Dr.Muhamad Akmal  menasihatkan setiap menteri perlu mengetahui bidang kuasa masing-masing dan tidak sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan tanpa bukti kukuh.

    Kata beliau, menteri terbabit sewajarnya membawa isu amalan rasuah yang didakwa melibatkan pegawai imigresen ke Jemaah Menteri dan bukan mengambil tindakan sendiri.

    “Dan sekiranya ada sekali pun unsur-unsur rasuah, menteri seharusnya mempunyai banyak cara dan yang paling berkesan adalah boleh terus berhubung dengan menteri Kementerian Dalam Negeri dan bawa ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

    “Bukan masuk dan marah sesuka hati pegawai yang sedang bertugas dan menuduh pegawai tanpa bukti yang kukuh. Mereka juga ada hati dan perasaan yang perlu dijaga,” katanya.

  • Pemuda UMNO desak pecat menteri buat kecoh di KLIA

    Pemuda UMNO desak pecat menteri buat kecoh di KLIA

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta mengambil tindakan tegas termasuk memecat seorang menteri yang didakwa membuat kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

    Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, perbuatan menteri berkenaan tidak boleh diterima sama sekali oleh semua rakyat Malaysia.

    Menurut Muhamad Akmal, ia kerana tiada sesiapa pun boleh mengatasi undang-undang walau siapa dan apa juga jawatan yang disandangnya.

    “Tiada siapa pun boleh mengatasi undang-undang. Waima siapa dan apa sekali pun jawatan kamu. Saya mohon untuk YAB (Yang Amat Berhormat) Perdana Menteri untuk mengambil tindakan terhadap kelakukan menteri yang tidak wajar ini. Seharusnya dilucutkan jawatan sebagai menteri,” katanya dalam hantaran di Facebook.

    Mengulas lanjut, Muhamad Akmal menegaskan, tugas sebagai seorang menteri bukan bermakna individu itu boleh melakukan apa sahaja.

    “Menteri bukan bermakna kamu boleh melakukan apa sahaja, menteri bermakna kamu perlu bekerja dan melaksanakan amanah rakyat, bukan sebaliknya,” tegasnya.

    Semalam, seorang menteri didakwa telah melakukan ‘kekecohan’ di KLIA selepas mahu ‘menyelamatkan’ seorang pelawat China yang ditahan daripada masuk ke Malaysia.

    Menurut laporan Bebas News yang memetik sumber, menteri berkenaan dikatakan telah menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa tanpa memohon pas keselamatan.

    Menteri berkenaan kemudiannya menggunakan kuasanya dan memarahi Polis Bantuan KLIA serta pegawai Imigresen apabila tindakannya mahu ‘membebaskan’ pelawat warga China itu dihalang.

    Difahamkan, ini adalah kali ketiga menteri tersebut melakukan tindakan sedemikian membabitkan pelawat yang ditahan daripada memasuki negara.

  • Ketua Pemuda MIC Selangor pula letak jawatan

    Ketua Pemuda MIC Selangor pula letak jawatan

    *Vigneswaran kata, Punithan mahu sertai Perikatan Nasional*

    KEMELUT dalaman MIC dilihat semakin ‘meruncing’ apabila dua pemimpin meninggalkan parti itu dalam tempoh seminggu. 

    Hari ini, Ketua Pemuda MIC Selangor, P Punithan mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.

    Peletakan jawatan itu berlaku hanya tiga hari selepas bekas Naib Presiden MIC, Datuk Sivaraaj Chandran yang juga Ahli Dewan Negara keluar daripada parti tersebut.

    Dalam surat bertarikh 30 Jun 2023 kepada Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, Punithan turut memaklumkan untuk melepaskan kedudukannya sebagai Ketua Pemuda MIC Cawangan Bandar Baru Batang Berjuntai, Kuala Selangor, lapor ASTRO AWANI.

    Namun, tiada sebarang penjelasan diberikan berhubung tindakannya itu dalam surat berkenaan.

    “Setelah berkhidmat dan menjawat pelbagai jawatan di bawah MIC selama 15 tahun termasuk pernah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa MIC Pusat (CWC) serta pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Pemuda MIC Kebangsaan, Ketua Penerangan Pemuda MIC Kebangsaan dan banyak lagi jawatan utama di sayap Pemuda peringkat kebangsaan, negeri dan bahagian, hari ini saya membuat keputusan yang berat untuk meletakkan semua jawatan saya dalam MIC,”  katanya dalam surat tersebut.

    Dalam pada itu, Punithan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan MIC di semua peringkat, khususnya sayap Pemuda MIC Selangor, yang bersama-sama beliau serta memberi sokongan serta kepercayaan sepanjang karier politiknya ketika bersama parti terbesar kaum India itu.

    “Saya percaya saya telah memberikan khidmat yang terbaik serta komitmen yang tinggi sepanjang 15 tahun saya berkhidmat bersama MIC,” ujarnya lagi.

    Pada masa sama, beliau berharap MIC akan terus menjadi suara masyarakat India di bawah Kerajaan Perpaduan.

    Punithan menyertai MIC pada 2008 sebelum diberi kepercayaan untuk menjawat beberapa jawatan penting termasuk Ahli CWC bagi penggal 2018 hingga 2021.

    Beliau juga antara nama yang disebut-sebut untuk menjadi calon bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum kerusi itu diberikan kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    SEMENTARA itu, Malaysiakini melaporkan, Vigneswaran berkata, tindakan Punithan itu disebabkan bekas Ketua Pemuda MIC Selangor tersebut dikatakan akan menyertai Perikatan Nasional (PN).

    Presiden MIC SA Vigneswaran menjelaskan perkara itu ketika diminta mengulas keputusan Punithan yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (CWC) MIC itu.

    “Beliau (Punithan) datang jumpa saya dua hari yang lalu. Kami berbincang panjang lebar mengenai politik dan masa depan dia. Dalam perjumpaan itu, dia memberitahu hasratnya bahawa ingin keluar dari MIC dan meneruskan karier politik bersama PN. Saya menerima keputusan dia. Saya dengan ini mengucapkan selamat maju jaya kepada saudara Punithan bersama PN,” katanya.

  • Bila masa Bersatu,Pas jadikan isu perkauman modal poltik?

    Bila masa Bersatu,Pas jadikan isu perkauman modal poltik?

    ADALAH sesuatu menghairankan apabila menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di 6 negeri tidak lama lagi, bertubi-tubi peringatan dikeluarkan oleh pemimpin parti kerajaan berhubung penggunaaan isu 3 R iaitu kaum, agama dan raja. Mereka mengingatkan parti-parti politik tidak menjadikan tiga isu itu sebagai modal atau bahan kempen dalam PRN.

    Bukanlah rahsia lagi, sasaran ditujukan kepada Bersatu dan Pas – dua buah parti yang mendapat sokongan padu orang Melayu dałam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

    Penulis masih tertanya-tanya kenapakah perkara itu ditimbulkan sedangkan kedua-dua parti itu tidak pernah mencetuskan atau membangkitkan isu tersebut sehingga mewujudkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.Apakah bercakap soal memajukan orang Melayu dan memperkasakan kuasa politik orang Melayu tanpa ‘menyerang’ atau menggugat kedudukan kaum lain dianggap perkauman?

    Kenapakah soal memperjuangkan kepentingan dan kedudukan orang Melayu kini sudah menjadi sesuatu yang janggal atau sesuatu yang tidak sesuai lagi hanya kerana kini Malaysia dipimpin oleh kerajaan campuran?

    Setakat ini tidak ada bukti yang menunjukkan Bersatu dan Pas cuba menjadikan isu perkauman sebagai modal, sebaliknya  hanya memperjuangkan apa yang selama ini mereka lakukan, bukan sahaja soal Melayu tetapi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

    Tidak pernahpun pemimpin kedua-dua parti itu membuat kenyataan yang dilihat boleh mencetuskan perbalahan antara kaum. Hujah yang mereka ketengahkan masih lagi dałam rangka dibenarkan undang-undang.

    Hakikatnya, tidak ada salahnya kalau parti-parti Melayu bercakap soal memperjuangkan kepentingan orang Melayu asalkan ia tidak mengganggu kaum lain. Begitulah juga bagi parti lain yang mahu memperjuangkan kaum masing-masing.

    Pemimpin Bersatu dan Pas bukannya bodoh atau jahil untuk menggunakan modal perkauman untuk meraih undi. Dan pada masa sama janganlah menganggap seolah-olah pengundi Melayu dan orang tidak bijak menilai sama ada sesuatu isu yang diketengahkan bermotif perkauman atau tidak.

    Penulis bersetuju isu 3R tidak harus dijadikan modal politik sehingga membangkitkan kemarahan antara kaum tetapi kalau ia menyentuh perkara yang betul demi kepentingan sesuatu kaum dan kesejahteraan rakyat negara ini apa salahnya?

    Sebenarnya, bagi penulis isu 3R dan tuduhan bahawa Bersatu serta Pas cuba menggunakan isu perkauman bagi meraih sokongan hanya taktikal kelompok yang sudah muflis modal politik bagi meraihkan sokongan orang Melayu.

    Sama ada diakui atau tidak dengan apa yang berlaku ketika PRU-15 yang menyaksikan sokongan majoriti orang Melayu dan anak muda menyebelahi Perikatan Nasional (PN) dianggotai Bersatu, Pas dan Gerakan, ada kebimbangan ketara dalam sesetengah pihak situasi itu akan berulang dalam PRN di 6 negeri.

    Ia memandangkan Kerajaan Perpaduan memerlukan sokongan pengundi Melayu dalam peratusan lebih besar. Dengan adanya UMNO dalam kerajaan, mereka berharap ia sedikit sebanyak boleh membantu misi tersebut. Maklumlah UMNO tidak lagi dilihat beria-ia memperjuangkan kepentingan Melayu, walaupun kononnya ada 3.4 juta ahli yang 99 peratus adalah orang Melayu.

    Sebaliknya UMNO kini harus mengikut rentak politik PKR dan DAP memperkasakan masyarakat majmuk. Adakah itu salah? Sudah tentu tidak! Itu pilihan UMNO biarpun sekadar menjadi ‘penumpang’ dalam kerajaan.

    Hak UMNO juga untuk bergabung bersama dengan DAP yang dianggap sesetengah ahli UMNO ‘sudah kurang cauvinisnya’. Tetapi janganlah bila ada parti Melayu lain seperti Bersatu dan Pas istiqamah dalam perjuangan mereka memperjuangkan kepentingan Melayu, mereka dituduh mahu mengapi-api sentimen agama dan perkauman.

    Janganlah bimbang, pemimpin Bersatu dan Pas tahu batas undang-undang dan peruntukan Perlembagaan apabila bercakap soal kaum, agama dan raja-raja. Dan paling penting sama ada apa yang mereka perkatakan untuk perkauman atau tidak biarlah pengundi tentukan khususnya pengundi Melayu di enam negeri.

    Insha-Allah kedua-dua parti itu tidak akan menjadikan isu perkauman  modal politik, sebaliknya apa yang berlaku kenyataan mereka dipolitikkan oleh kelompok yang takut bayang-bayang sendiri.Itu saja. Cuma jangan sampai dok sibuk guna modal basi untuk memburuk-burukkan Bersatu dan Pas, apa yang pegang terlepas daripada genggaman. Kenapa? Sama-sama kita tunggu keputusan PRN nanti?

  • Kerajaan Perpaduan tidak boleh diharap – Muhyiddin

    Kerajaan Perpaduan tidak boleh diharap – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menyifatkan Kerajaan Perpaduan “tidak boleh diharap” dalam kritikannya terhadap pentadbiran Anwar Ibrahim.

    Beliau berkata terdapat banyak rungutan mengenai cara ekonomi dikendalikan, kenaikan kos sara hidup, kenaikan kadar faedah, dan Bursa yang tidak bersemangat.

    “Rakyat nak tahu apa rancangan kamu? Takyat memberi peluang kepada Anwar ketika menuju 100 hari pertama pentadbirannya. Apa jadi? Tiada apa-apa. Tetapi, kemudian orang kata ‘baru 100 hari’. Berilah masa lebih sikit. Sekarang sudah tujuh bulan. Beliau pergi luar negara dan macam-macam tempat, tetapi urusan hal ehwal domestik tidak jadi tumpuan,’’ katanya dalam wawancara bersama portal FMT.

    Muhyiddin berkata, ramai isi rumah berpendapatan 40% pertengahan (M40) tergolong dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40% bawahan (B40) sejak pandemik Covid-19.

    Kemerosotan ini petanda krisis akan melanda, tegas Muhyiddin yang mengakui ia tidak boleh diselesaikan dalam sekelip mata.

    Bukan saja Anwar dilihat tidak berupaya mengawal harga barang, beliau turut mempersoalkan peranan jawatankuasa Jemaah Menteri ditubuhkan untuk menangani kos sara hidup.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata kebimbangan terbesar ketika ini ialah kestabilan Kerajaan Perpaduan.

    Katanya, kerajaaan perpaduan pimpinan Anwar dilihat “berpecah”, berbanding pakatan pimpinan PN.

    “Siapa yang lebih padu?” soal Muhyiddin, menyenaraikan percakaran antara UMNO dengan DAP serta antara UMNO dengan MCA sebagai contoh. Kami tak ada masalah sedikit pun,’’ tegasnya.

    Beliau berkata, Anwar yang bimbang akan kelangsungan PH sedar beliau bergantung kepada sokongan PresidenUMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    Atas sebab itu, katanya, Anwar sanggup melantik Zahid sebagai timbalannya walaupun Presiden UMNO itu berdepan pertuduhan rasuah.

  • UMNO intai kerusi DUN Hulu Kelang?

    UMNO intai kerusi DUN Hulu Kelang?

    UMNO dipercayai sedang berusaha mendapat kerusi boleh menang di Selangor apabila dilaporkan sedang mengintai kerusi DUN Hulu Kelang untuk ditandingi parti itu.

    Perkara itu dinyatakan  oleh satu sumber yang rapat dengan kepimpinan BN dan PH kepada portal Malaysiakini.

    Sumber UMNP mendakwa parti itu berjaya berunding untuk mendapatkan kerusi tersebut, yang disandang oleh Saari Sungib daripada Amanah.

    “Kita ada satu lagi kerusi, Hulu Kelang,” kata sumber yang rapat dengan pejabat Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    Sebelum ini, UMNO bahagian Kota Raja dilaporkan meminta PKR untuk memberi laluan di DUN Sungai Kandis pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan datang.

    Menurut sumber dalaman parti itu, jumlah kerusi yang akan ditandingi BN di Selangor kini bertambah kepada 11 DUN.

    Bagaimapun portal itu melaporkan percubaan untuk mendapatkan pengesahan rasmi mengenai perkara ini daripada kepimpinan PH dan BN masih tidak berjaya.

    Ketika dihubungi Malaysiakini, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad tidak mengesahkan mahupun menafikan jika Amanah bersedia memberi laluan kepada UMNO di Hulu Kelang.

    “Tiada apa-apa yang muktamad sehingga ia dimuktamadkan,” katanya.

    Timbalan Pengerusi UMNO Selangor Johan Abdul Aziz juga enggan mengulas lanjut apabila ditanya sekiranya UMNO berjaya mendapat kerusi ke-11 dalam proses rundingan.

    “Belum muktamad,” katanya secara ringkas menerusi mesej teks.

    Hulu Kelang merupakan kerusi majoriti Melayu dan telah disandang oleh Saari Sungib selama tiga penggal berturut-turut. Beliau menang kerusi itu pada 2008 dan 2013 atas tiket Pas ketika era parti itu menjalinkan kerjasama dengan DAP dan PKR.

    Pada 2015, Saari keluar Pas untuk menubuhkan Amanah bersama beberapa bekas pemimpin Pas yang lain, dan menang di Hulu Kelang sekali lagi atas tiket PH pada pilihan raya umum 2018. Bagaimanapun, Saari dilaporkan tidak akan mempertahankan kerusi itu pada PRN ini kerana masalah kesihatan.

    Sementara itu, satu lagi sumber Amanah, dari Hulu Kelang memberitahu Malaysiakini bahawa dia mengetahui hasrat UMNO untuk meletakkan calon di Hulu Kelang pada PRN akan datang.

    Bagaimanapun, katanya tiada sebarang isyarat daripada pimpinan PH bahawa kerusi itu akan diserahkan kepada UMNO.

    “Setakat ini, daripada petunjuk yang diberikan kepada kami di sini (Hulu Kelang), kami meneruskan persiapan kempen untuk Amanah mempertahankan kerusi itu,” jelasnya.

    Menurut orang dalam parti itu, Hulu Kelang tiada dalam senarai asal kerusi Selangor yang sedang dirundingkan antara PH dan BN serta mendakwa rundingan antara kedua-dua pihak di peringkat negeri tidak menyentuh mengenai Hulu Kelang.

    Mengenai perebutan kerusi Hulu Kelang yang dikatakan itu, sumber berkenaan percaya tidak adil jika Amanah memberi laluan kepada UMNO kerana ia satu-satunya kerusi Amanah di bawah kawasan Parlimen Gombak.

    “Bercakap tentang berlaku adil, jika PH ingin memberi laluan kepada BN di Gombak, PKR yang patut melepaskan kerusi miliknya, kerana ia mempunyai dua kerusi untuk bertanding – DUN Gombak Setia dan Sungai Tua. UMNO sepatutnya bertanding di Gombak Setia. Saya percaya mereka mempunyai peluang yang lebih baik di sana kerana Ketua UMNO bahagian Gombak (Datuk Megat Zulkarnain Omardin) mempunyai pengaruh besar di Gombak Setia,” katanya.

    Bagaimanapun Pengarah media PH Hulu Kelang Syazmir Hariz Noorazalan berkata beliau yakin kerusi itu akan kekal di tangan Amanah.

    Kepimpinan tertinggi PH, katanya telah menyatakan setiap parti akan mempertahankan kerusi yang disandang mereka.

    “Justeru, tidak timbul isu mengenai tuntutan bertindih bagi kerusi Hulu Kelang dan keperluan untuk rundingan, kerana semua parti politik dalam kerajaan perpaduan berpegang kepada prinsip asas ini. Selain itu, UMNO-BN di Hulu Kelang telah mengambil bahagian dalam perbincangan serius berkaitan kerja-kerja di lapangan, dan ini menunjukkan komitmen mereka untuk membantu PH dalam mempertahankan kerusi itu,” katanya.

    Sementara itu, difahamkan tiga nama calon berpotensi untuk mempertahankan kerusi Hulu Kelang telah diserahkan kepada pucuk pimpinan Amanah dan PH.

    Antaranya termasuk anak sulung Saari, Anfaal, yang juga timbalan ketua sayap Wanita Amanah.

    Perkara ini disahkan oleh Saari ketika dihubungi Malaysiakini baru-baru ini.

    “Anfaal ialah antara tiga nama yang dikemukakan oleh Amanah Gombak kepada kepimpinan parti Selangor. Saya mendapat tahu Selangor juga telah menghantar nama Anfaal (untuk Hulu Kelang) kepada pimpinan pusat. Daripada mereka bertiga, dua lagi ialah calon lelaki. Tetapi, berdasarkan pengalaman, Anfaal jauh lebih berpengalaman daripada mereka,” katanya.

    Semasa pilihan raya umum 2018, Saari mempertahankan kerusinya dengan undi majoriti 15,349 apabila mengalahkan calon BN Ismail Ahmad dan calon PAS Kamalulhysham Mohd Suhut.

  • Lokar sekolah : ‘’Brother, hidup memfitnah ni tiada keberkatan’’ – Radzi bidas Maszlee

    Lokar sekolah : ‘’Brother, hidup memfitnah ni tiada keberkatan’’ – Radzi bidas Maszlee

    BEKAS  Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin membidas kenyataan Dr Maszlee Malik berhubung isu pembekalan lokar ke sekolah sambil berpesan, ”Brother, hari ini hari raya korban.Korbankan sikit perangai busuk hati tu”

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut adalah mengikut fasa dan tender secara terbuka.

    “Untuk fasa seterusnya, boleh tanya terus kepada Menteri Pakatan Harapan, DAP dan Barisan Nasional (BN) sekarang. Apa yang seharusnya dilaksanakan sewaktu di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah pun saya dan pengurusan KPM ikhtiar. Selain laksanakan sebaiknya sebelum saya meninggalkan kementerian,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

    Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Mohd Radzi meminta bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam yang juga bekas Menteri Pendidikan itu menghentikan kenyataan yang berbaur fitnah tersebut.

    “Brother (Sedara), hidup memfitnah ni tiada keberkatan! Selamat Hari Raya,” ujarnya.

    Pada Khamis, Maszlee menerusi kenyataan di Facebook membangkitkan isu lokar tersebut bagi mendapatkan penjelasan untuk pihak rakyat berkenaan status terkini projek di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

  • Hadi bidas pihak guna media burukkan pentadbiran Kerajaan Pas 

    Hadi bidas pihak guna media burukkan pentadbiran Kerajaan Pas 

    PRESIDEN Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang membidas tindakan sesetengah pihak di negara ini yang menggunakan  pelbagai  saluran media mencari dan memaparkan segala kelemahan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pas. 

    Sambil menyifatkan ia perbuatan yang dilakukan secara tidak bermaruah dan tidak ada rasa malu, beliau menganggap ia sebagai satu perbuatan yang lebih dahsyat daripada binatang yang tidak berakal, kerana binatang pun memilih buah yang baik-baik untuk dimakan. 

    ‘’Adapun mereka sengaja mencari isu-isu buruk yang berlaku akibat kezaliman hasil sekatan terhadap negeri tanpa menghormati prinsip demokrasi yang menjadi pilihan rakyat dan konsep federalisme mengikut Perlembagaan Persekutuan.

    ‘’ Termasuklah segala perjanjian yang telah dimeteraikan seperti dinafikan royalti, atau dibatalkan projek yang telah diberikan, dilambatkan peruntukan kerana jenama Islam yang ada pada Pas. Tindakan yang tidak dilakukan terhadap negeri yang tidak berjenama Pas walaupun mereka juga pembangkang,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ruangan Minda Presiden bertajuk Gelombang Hijau Bertujuan Islamofobia’ dalam Facebook.

    Abdul Hadi turut menegaskan, ada juga yang mendedahkan sikap mereka yang buta al-Quran apabila mempertikaikan tindakan politik Pas yang sentiasa berubah-ubah, sekali gus menandakan kejahilannya terhadap pembahagian ajaran Islam kepada perkara thawabit (dasar dan nas yang tetap tidak berubah) seperti halal dan haram serta perkara mutaghayyirat (situasi dan realiti yang mengalami perubahan) yang diizinkan ijtihad. 

    ‘’Terlalu banyak contoh daripada al-Quran dan Sirah Nabawiah yang meletakkan Islam mampu mentadbir sepanjang zaman dan di semua tempat, walaupun berbeza keadaannya. Suatu konsep yang tidak terdapat pada agama dan ideologi yang lain. Kini terlalu banyak kegagalannya, maka jangan pula Islam yang disalahkan,’’tegasnya.

    Beliau menegaskan,  Islam membuktikan kemampuannya dalam menghadapi kuasa besar dunia pada zaman silam dengan sikap yang berbeza, dan akhirnya semua kuasa besar itu berjaya dijatuhkan kerana zalimnya dan ditolak oleh rakyatnya sendiri.

    ‘’Sejarah mencatatkan bahawa Rom juga dijatuhkan kerana telah menceroboh negara Islam. Adakah sejarah ini menjadi sebab permusuhan mereka terhadap Islam sehingga mencipta Islamofobia? Disebabkan kebimbangan mereka jika Islam kembali berkuasa semula. Adakah kerana buta sejarah atau kejahilannya?,’’ soal beliau.

    Sambil menghuraikan panjang sejarah Islam, Abdul Hadi turut mendedahkan Pas pernah beberapa kali berdialog dengan pemimpin besar DAP berkenaan Islam, namun mereka tetap mahu memaksa Pas agar tidak bercakap banyak berkenaan Islam bagi menjaga pengaruh DAP. 

    ‘’Maka, tinggallah bersama DAP sebahagian golongan yang mendengar nasihat yang salah itu.  Ada juga dalam kalangan pemimpin DAP yang menentang sikap DAP bertindak campur tangan dalam urusan agama Islam yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan sudah terdapat hak bagi penganut agama lain. Namun, mereka itu disingkirkan,’’katanya.

    Beliau berkata,  DAP campur tangan dalam urusan pengharaman arak di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, sedangkan ia dikuatkuasakan kepada penganut Islam sahaja dan dikecualikan penganut bukan Islam.

    ‘’Bahkan, pengharaman judi yang juga disokong oleh sebahagian bukan Islam tidak menyenangkan DAP dan angkatannya.  Adakah semua ini termasuk alasan bahaya gelombang hijau? Walaupun Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah mempelawa golongan bukan Islam untuk meminum arak sehingga pecah perut,’’ tanya beliau.

    Abdul Hadi berkata, antara yang mereka tentang juga termasuklah arahan berpakaian menutup aurat yang diwajibkan kepada penganut Islam. 

    Beliau berkata, adapun kalangan bukan Islam pula mesti berpakaian sopan mengikut sifat kemanusiaan yang bermaruah dan dihormati oleh semua agama serta bangsa yang beradab. 

    ‘’Tidak bersikap liberal sehingga tidak ada rasa malu seperti binatang yang tidak berakal dan tidak bermaruah yang sedang melanda negara Barat sekarang,’’ katanya.

    Kini kata Abdul Hadi, Pas  berjaya memberikan kefahaman kepada golongan bukan Islam tanpa paksaan mereka menganut agama Islam, sehingga berjaya ditubuhkan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) daripada kalangan mereka sendiri. 

    ‘’Kenyataan bahaya gelombang hijau sangatlah ‘double standard’ terhadap Islam, dalam keadaan mereka boleh menerima segala ideologi ciptaan manusia termasuk ideologi paling ekstrem seperti liberalisme dan komunisme. 

    ‘’Sehinggakan, negara Barat boleh mengiktiraf negara Komunis dan negara yang paling liberal, tiba-tiba menentang sekeras-kerasnya di mana-mana sahaja kewujudan negara Islam,’’ tegasnya.

  • Tiga minggu selepas bubar DUN paling sesuai penamaan calon – Kon Yeow

    Tiga minggu selepas bubar DUN paling sesuai penamaan calon – Kon Yeow

    TEMPOH tiga minggu selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) paling sesuai mengadakan hari penamaan calon PRN di enam negeri.

    Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berpendapat tempoh itu dikira memadai dan mencukupi untuk semua pihak menjalankan gerak kerja parti masing-masing.

    “Rabu lalu (28 Jun) menandakan tarikh penting, iaitu pembubaran DUN Pulau Pinang, maka apa yang dispekulasikan (pembubaran DUN) sudah jadi kenyataan dan tidak perlu spekulasi lagi…sekarang adalah spekulasi penamaan calon dan hari pengundian pula (PRN),” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, baru-baru ini.

    DUN Pulau Pinang dibubarkan semalam dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.

    Chow yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata, beberapa perkara perlu dilakukan selepas pembubaran DUN, antaranya menyiapkan manifesto, lantikan ejen tempat undi, ejen mengira undi dan bahan publisiti.

    “Selepas penamaan calon, kita masuk pula ke peringkat persiapan untuk dapatkan jentera berkempen, mengadakan lawatan bertemu pengundi, pengedaran risalah dan gunakan media sosial untuk sampaikan maklumat kepada pengundi…semua gerak kerja ini dilakukan sehingga ke kemuncaknya hari mengundi.

    “Kita juga menyusun semua kerja-kerja ini kerana ia ada prosesnya tersendiri, iaitu apa yang perlu dilakukan terlebih dahulu dan seterusnya kerja-kerja lain (menyusul).”

    Persidangan pertama DUN Pulau Pinang diadakan pada 1 Ogos 2018, selepas PRU14 pada 9 Mei 2018 dan mandat lima tahun sepatutnya berakhir 2 Ogos ini.

    Pada PRU14, PH memenangi 37 daripada keseluruhan 40 kerusi, termasuk dua daripada calon Bersatu yang ketika itu masih bersama PH, manakala Barisan Nasional (BN) memenangi dua kerusi dan PAS (satu).

    Sebelum DUN Pulau Pinang dibubarkan, PH memiliki 33 kerusi, BN (dua), Bersatu (empat) dan PAS satu kerusi.

    Selain Pulau Pinang, negeri lain yang akan mengadakan PRN ialah Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Kelantan.