Category: Politik

  • Calon lama tarik diri, beri laluan orang muda-Samsuri

    Calon lama tarik diri, beri laluan orang muda-Samsuri

    NAIB Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mendedahkan terdapat calon lama yang bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyatakan hasrat untuk tidak bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

    Jelas beliau yang merupakan Menteri Besar Terengganu, ini bagi memberi laluan kepada muka baharu.

    Namun Ahmad Samsuri tidak memperincikan latar belakang calon berkenaan dan memberitahu ia masih dalam pertimbangan kepimpinan tertinggi parti.

    “Ada di sesetengah tempat, saya tak boleh sebutlah di mana tapi calon yang dah jadi ADUN menawarkan untuk tidak bertanding bagi memberi ruang kepada muka-muka baharu.

    “Bagi saya ia adalah sesuatu yang unik sebab di sesetengah tempat orang duduk berebut-rebut nak jadi calon. Syukurlah kita di Terengganu wujud budaya yang lebih harmoni,” katanya.

    Beliau berkata demiian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit di Kuala Nerus hari ini.

    Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata, Perikatan Nasional (PN) akan mengetengahkan calon muka baharu dan muka lama pada PRN kali ini.

    Namun, katanya, setakat ini senarai calon belum dimuktamadkan dan akan diputuskan tidak lama lagi.

    “Saya sendiri pun tak tahu (sama ada dicalonkan ke tak) walaupun saya Naib Presiden Parti.

    “Apa yang penting kita masuk pilihan raya bukan sekadar untuk menang, tetapi untuk menang besar dan mentadbir dengan penuh yakin,” katanya.

    Sementara itu, mengulas mengenai prestasi Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Terengganu, Ahmad Samsuri berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan sepanjang tempoh mentadbir Terengganu.

    “Ahli-ahli MMKN kita cepat belajar untuk menyesuaikan diri dengan portfolio yang dipegang serta tahu bagaimana bekerja sebagai sebuah pasukan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubar pada 28 Jun lalu bagi memberi laluan kepada PRN.

  • ‘Alih 10 peratus sokongan daripada PN, teruskan berangan’ – Sanusi

    ‘Alih 10 peratus sokongan daripada PN, teruskan berangan’ – Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    CITA-CITA Pakatan Harapan (PH) dan ‘rakan baik’ mereka, Barisan Nasional (BN) yang mahu mengalihkan kira-kira 10 peratus sokongan pengundi Perikatan Nasional (PN) di Kedah hanya angan-angan yang sukar dicapai.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kedua-dua gabungan tersebut hanya boleh terus bermimpi kerana hakikatnya perkara itu amat mustahil untuk dilakukan.

    Kata beliau, sokongan pengundi ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menunjukkan PN menjadi pilihan mereka apabila berjaya memenangi 14 daripada 15 kerusi Parlimen yang ditandingi.

    “‘Swing’ 10 percent (peralihan sokongan pengundi sebanyak 10 peratus) sukar dalam politik. Kalau khusus dalam konteks Kedahlah, nak ‘swing’ pengundi Melayu ini susah.

    “Tak apa, teruskan berangan-angan,” kata Menteri Besar Kedah itu kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Sempena Penilaian Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) di Langkawi.

    Beliau mengulas keyakinan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar yang percaya gabungan itu bersama BN mampu menubuhkan kerajaan negeri sekiranya 10 peratus undi kembali kepada mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Menurut Mahfuz, PH dan BN hanya memerlukan sekitar enam hingga tujuh peratus sokongan pengundi PN ketika PRU15 lalu untuk menang di 16 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Sebab itu saya sangat yakin, kalau enam dan tujuh peratus itu kita dapat bawa balik, maka kita boleh dapat 16 kerusi pada PRN ini.

    “Itu kalau (dapat bawa balik) enam, tujuh peratus, tetapi kalau naik 10 peratus kita percaya mampu untuk tubuh kerajaan negeri,” katanya.

  • Sivarraajh jumpa Hamzah, belum buat keputusan sertai parti baharu

    Sivarraajh jumpa Hamzah, belum buat keputusan sertai parti baharu

    BEKAS Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivarraajh masih tidak membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti termasuk menubuhkan parti baharu.

    Penjelasan itu hadir susulan desas-desus bahawa Ahli Dewan Negara itu berjumpa Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Perjumpaan itu dikatakan bertujuan untuk Sivarraajh menyertai Perikatan Nasional (PN) dengan mengetuai satu jawatankuasa khas bagi kaum India dalam PN, setelah mengumumkan keluar MIC minggu lepas.

    Ketika ditanya, Sivarraajh menafikan berbincang mengenai penyertaannya dalam PN.

    “Saya memang jumpa Hamzah sebanyak dua kali selepas saya dipecat sebagai ahli CWC (jawatankuasa kerja pusat MIC). Beliau menghubungi saya untuk berjumpa dan saya pergi jumpa.

    “Tapi, kami tidak bincang apa-apa mengenai masuk PN. Ia hanya satu perjumpaan biasa sahaja,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    Sivarraajh juga mendakwa beliau sebelum ini ada berjumpa dengan pemimpin dari parti kerajaan.

    “Buat masa ini saya masih ‘orang bebas’. Saya tidak ada masalah berjumpa dengan sesiapa. Saya juga sebelum ini berjumpa dengan beberapa pemimpin dari kerajaan. Tapi, saya belum membuat keputusan sertai mana-mana parti.

    “Saya akan mempertimbangkan segala pilihan yang ada sebelum mengambil keputusan mengenai masa depan kerjaya politik saya,” katanya.

    Terdahulu, beberapa sumber dari MIC dan Bersatu memberitahu Malaysiakini bahawa Sivarraajh akan menyertai PN dalam masa terdekat.

    Sumber dari Bersatu itu berkata, bahawa Sivarraajh bersama-sama bekas ketua pemuda MIC Selangor, Punithan telah berjumpa dengan Hamzah beberapa kali sebelum mengumumkan keluar MIC.

    “Dia (Sivarraajh) jumpa Hamzah beberapa kali. Dia diberi pilihan menubuhkan jawatankuasa khas bagi masyarakat India.

    “Sekiranya PN kembali menjadi kerajaan, maka, Sivarraajh dijanji jawatan menteri Kabinet,” katanya.

    Berkongsi maklumat yang sama, satu sumber dari MIC pula berkata, Sivarraajh tidak menyertai mana-mana parti komponen PN, sebaliknya akan mengetuai sebuah jawatankuasa khas untuk masyarakat India di bawah PN.

    “Sivarraajh keluar MIC kerana dia mahu masuk PN. Bukan Bersatu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) atau Pas. Tapi, sebuah jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan bagi masyarakat India di mana Sivarraajh akan mengetuainya.

    “Mungkin dalam masa akan datang, jawatankuasa itu dijadikan sebagai sebuah parti politik bagi kaum India yang ingin bersama PN,” kata sumber itu.

    Tambahnya, tindakan Punithan yang baru-baru ini keluar dari MIC juga adalah sebahagian daripada rancangan penubuhan jawatankuasa berkenaan.

    Untuk rekod, pada 27 Jun, Sivarraajh bertindak keluar dari parti itu, dua minggu selepas dia dilucutkan sebagai ahli CWC MIC.

    Beliau memaklumkan perkara itu kepada Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran menerusi sepucuk surat.

    Sivarraajh berkata, keputusan itu adalah yang terbaik untuk dirinya dan juga parti memandangkan beliau dilihat sebagai ‘ancaman’ kepada kepimpinan sedia ada dalam parti.

    Beliau juga berkata, bahawa ‘disekat’ dengan pelbagai cara daripada meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat dan negara.

    Ketika dihubungi, Naib Presiden MIC, Datuk T. Mohan berkata, l Sivarraajh perlu menjelaskan dakwaan parti ‘menyekat’ dirinya.

    “Apakah jasa beliau kepada parti selama ini? Setelah dia kalah dalam pemilihan parti bagi jawatan Naib Presiden, pucuk pimpinan melantik dia sebagai ahli CWC.

    “Dia juga dilantik sebagai penyelaras parlimen Padang Serai yang merupakan kerusi tradisional MCA.

    “Tapi, pucuk pimpinan parti berunding dengan MCA dan memberi dia peluang bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) dan sebelum menyokong dia menjadi sebagai Senator. Jadi, di mana parti menyekat beliau,” tanya Mohan.

    Sivarraajh sebelum ini dipecat daripada CWC MIC pada awal bulan Jun.

    Walaupun beliau mendakwa tidak dimaklumkan sebab pemecatannya, sumber MIC memberitahu bahawa tindakan itu ekoran kegagalannya menghadiri program ‘Madani Government: Educational Development and Future of Indians’ di Shah Alam pada 10 Jun lalu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Program itu dianjurkan oleh Biro Pendidikan MIC dengan sokongan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

  • PRN: Pas hantar dua nama calon setiap DUN Selangor

    PRN: Pas hantar dua nama calon setiap DUN Selangor

    PAS kawasan menghantar sekurang-kurangnya dua nama calon bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi parti itu mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

    Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, Pas sudah lama mengeluarkan arahan kepada Pas kawasan di negeri ini untuk mengemukakan senarai nama calon.

    “Nama calon yang dikemukakan Pas kawasan itu diangkat kepada Pas Selangor dan kemudian ke peringkat Pas Pusat.

    “Sekarang ini pertimbangan nama calon di peringkat Pas Pusat dan saya difahamkan proses sama turut dilalui komponen PN daripada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Gerakan (Gerakan Rakyat Malaysia),” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Bagaimanapun, Roslan Shahir menjelaskan, proses penentuan calon itu mengikut parti masing-masing dalam PN.

    PN katanya, tidak terlibat dalam memutuskan calon, sebaliknya parti komponen di dalamnya yang menentukan calon.

    Gabungan itu sebelum ini dilaporkan sudah selesai rundingan pengagihan kerusi antara rakan komponen bagi menghadapi pilhan raya negeri (PRN) Selangor.

    Pengagihan kerusi pada PRN Selangor menyaksikan Bersatu bakal bertanding di 31 kerusi, Pas (18) Gerakan (6) dan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) satu kerusi.

    Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Yahya Mat Sahri berkata, buat masa ini tiada lagi arahan kepada peringkat cabang untuk mengemukakan senarai nama calon pada PRN Selangor.

    Katanya, proses itu hanya dilakukan selepas semua proses rundingan pengagihan kerusi selesai di peringkat Pakatan Harapan (PH) Selangor.

    “Sekarang ini kita masih fokus memuktamadkan pengagihan kerusi dan selepas semua selesai baru ada arahan untuk cabang mengemukakan nama calon,” jelas beliau.

    Mohd. Yahya yang juga Pengarah Pilihan Raya PH Selangor berkata, PKR biasanya tidak menetapkan berapa ramai senarai nama calon yang bakal dikemukakan di peringkat cabang.

    “Kebanyakan dua atau tiga nama sahaja setiap cabang dan senarai tu akan sampai ke peringkat negeri dan akan dihantar ke (PKR) Pusat.

    “Setakat ini belum ada arahan rasmi dan fokus kami adalah membuat persiapan jentera sebagai persediaan PRN Selangor,” tambah beliau.

    Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) negeri itu mengarahkan komponen di setiap 22 bahagiannya mengemukakan tiga nama calon kepada pimpinan masing-masing untuk dicadangkan bertanding dalam PRN Selangor.

    Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, arahan berkenaan dikeluarkan BN pusat yang diputuskan dalam satu mesyuarat dipengerusikan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, baru-baru ini.

  • Pas Dakwa DAP guna isu 3R, gesa kerajaan bertindak adil

    Pas Dakwa DAP guna isu 3R, gesa kerajaan bertindak adil

    PAS menuntut kerajaan mengambil tindakan ‘tegas dan adil’ ke atas DAP selepas mendakwa parti itu memainkan sentimen 3R (agama, perkauman dan raja-raja) menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata DAP begitu terdesak sehingga bertindak menjadi batu api dengan menyentuh isu 3R dalam kenyataan dibuat mereka.

    Sebagai contoh Pas mendakwa DAP menyebarkan sentimen Islamofobia dengan kenyataan dibuat Naib Pengerusi Kebangsaan parti itu, Nga Kor Ming.

    “Kenyataan Nga Kor Ming terhadap tindakan MPKB (Majlis Perbandaran Kota Bharu) dalam isu pemakaian seluar pendek yang sengaja dijadikan isu bagi menyebarkan islamofobia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ia merujuk kepada kompaun yang dikenakan pihak berkuasa tempatan Kelantan ke atas wanita bukan Islam yang berseluar pendek di premis perniagaannya baru-baru ini.

    Khairil Nizam juga berkata, DAP perlu dikenakan tindakan tegas kerana menggelar Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh orang Melayu sebagai sebuah parti korup.

    Bekas setiausaha agung parti itu juga, katanya, mahu menakut-nakutkan orang awam serta bertindak menyanggahi Perlembagaan apabila mendakwa Perikatan Nasional (PN) mahu memadamkan Pulau Pinang dari peta Malaysia.

    “Justeru, Pas menggesa Kementerian Komunikasi dan Digital untuk bersikap adil dalam mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk DAP yang telah menggunakan isu 3R ini secara terang-terangan sebagai modal politik.

    “Rakyat harus difahamkan bahawa politik ini bertujuan untuk membangkitkan isu rakyat serta mencari penyelesaian, bukannya mewujudkan persengketaan serta kebencian seperti yang dilakukan DAP,” katanya yang juga Ahli Parlimen Jerantut.

  • Syed Saddiq akui MUDA berdepan masalah menangi undi 40-55 tahun

    Syed Saddiq akui MUDA berdepan masalah menangi undi 40-55 tahun

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengakui berdepan masalah untuk memenangi undi daripada rakyat berumur lingkungan 40 hingga 55 tahun.

    Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, bagaimanapun MUDA mempunyai kelebihan menerusi sokongan dalam kalangan pengundi lebih muda dan lebih tua daripada umur tersebut.

    “Ini sekali gus membuktikan politik khidmat dan dasar yang dibawa MUDA bukan berdasarkan umur semata-mata.

    “Kita akui kita ada sedikit masalah dalam memenangi undi dalam lingkungan umur 40 hingga 55 tahun… Tapi yang sangat muda sangat sokong, sangat tua juga menyokong.

    “Kalau kita lihat kerusi (Parlimen) Muar, (DUN) Puteri Wangsa, peratusan sokongan MUDA ini bukan sahaja datang daripada anak muda. Apa yang mengejutkan adalah peratusan sokongan dalam kalangan orang tua atas 60 tahun.

    “Mengapa? Kerana politik yang MUDA ketengahkan bukan politik berdasarkan umur semata-mata. MUDA itu sendiri adalah tentang politik baharu yang segar.

    “Politik berpaksikan khidmat dan dasar…dan apabila mereka lihat kita bicarakan isu-isu dasar, solusi kepada masalah rakyat, ia merentasi faktor umur, bangsa dan agama,” katanya menerusi hantaran video di Facebook.

    Katanya, MUDA mahu memberi fokus dalam meningkatkan imej Malaysia sebagai negara majoriti Islam yang lebih maju dan diiktiraf seantero dunia, khususnya menjadi yang terunggul di Asia Tenggara.

    MUDA juga ujarnya, mahu berikan lonjakan paradigma supaya Malaysia menjadi negara yang maju, membangun di mana semua rakyatnya tidak kira umur bangsa dan agama melihat negara ini sebagai ‘rumah mereka’.

    “Mereka ada pendapatan yang baik, pekerjaan yang baik, ada sistem pengangkutan yang baik, isu perubahan iklim dapat ditangani dengan baik,” ujar Ahli Parlimen Muar itu, lapor Sinar Harian.

    Semalam, media melaporkan pandangan penganalisis politik yang menyifatkan semangat dimiliki MUDA untuk bertanding secara solo pada pilihan raya negeri (PRN) di semua enam negeri terlibat tidak mencukupi untuk mencapai kemenangan.

    Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, keberadaan MUDA bukan sebagai blok ketiga sebaliknya hanya ‘penambah perisa’ dan tidak akan membawa impak besar yang mencipta kejutan.

    Katanya, komitmen MUDA yang mahu membawa budaya politik baharu dan menolak budaya politik tua tidak akan menjadi ‘faktor X’ menggamit perhatian pengundi PRN untuk memihak kepada mereka.

    Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Kartini Aboo Talib@Khalid turut mengakui, penampilan MUDA dalam PRN enam negeri tidak cukup kuat untuk menjadi blok ketiga yang mampu menggugat PH atau PN.

    Katanya, MUDA tidak memiliki kekuatan diperlukan bagi menjadi blok ketiga, tambahan pula parti terbabit tidak berada dalam mana-mana permuafakatan politik.

  • Kurang calon muda tak jejas Pas- Penganalisis

    Kurang calon muda tak jejas Pas- Penganalisis

    KEKURANGAN calon muda tidak akan menjejaskan peluang Pas pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri

    Penganalisis, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, meletakkan calon muda bukan keutamaan Pas, walaupun terdapat desakan berbuat demikian oleh sayap Pemuda.

    Kekuatan Pas katanya, terletak pada jentera dan kesetiaan parti.

    “Kita lihat ramai muka baharu menang pilihan raya umum (PRU) 2022 kerana faktor itu, bukan disebabkan calon itu sendiri.

    “Jadi, saya rasa tiada risiko besar untuk mereka tidak mencapai kuota 30 peratus,” katanya memetik laporan FMT.

    Pas memenangi 49 kerusi pada PRU15 November lalu, jumlah kerusi terbanyak berbanding parti lain. DAP menang 40 kerusi, PKR (31), UMNO (26) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (25).

    Rabu lalu, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, parti itu berdepan kesukaran mencapai sasaran meletak 30 peratus calon muda bagi enam PRN.

    Katanya, calon muda hanya akan membentuk 10 peratus daripada senarai Pas. Sasaran 30 peratus ditetapkan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang beberapa tahun lalu.

    Syaza berkata, Bersatu dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), yang merupakan rakan Pas dalam Perikatan Nasional (PN), lebih berkemungkinan meletakkan calon muda.

    “Kami mungkin menjangkakan lebih ramai muka baharu daripada Bersatu kerana kumpulan kecil pemimpinnya. Bagi Gerakan, yang saya rasa banyak kerja perlu dilakukan, mereka memerlukan muka baharu untuk meyakinkan pengundi.”

    Tetapi katanya, ‘baharu’ tidak semestinya bermakna calon muda.

    Syaza bagaimanapun meragui parti komponen lain dalam PN dapat meletakkan 30 peratus calon muda, tetapi Gerakan berkemungkinan dapat berbuat demikian.

    Seorang lagi penganalisis politik, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Pas bergantung kepada status ulama, biasanya dikaitkan dengan calon lebih tua dan tidak akan terjejas dengan kekurangan calon muda.

    “Saya tidak fikir ia akan membawa sebarang perbezaan dari segi sokongan kepada Pas. Jika muka baharu, calon lebih muda hanya membentuk 10 peratus, tetapi ia sangat berbeza buat parti lain, contohnya, (yang dalam) Pakatan Harapan atau Barisan Nasional.”

  • PRN : PH dijangka tanding 20 kerusi, BN bertarung di 15 kerusi di Kedah

    PRN : PH dijangka tanding 20 kerusi, BN bertarung di 15 kerusi di Kedah

    PAKATAN  Harapan (PH) dijangka bertanding 20 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) bertanding 15 kerusi, menjelang PRN Kedah, kata Pengarah Pilihan Raya PKR negeri, Phahrolrazi Zawawi.

    Katanya, bagaimanapun satu lagi baki kerusi belum diputuskan.

    Beliau berkata, PKR kemungkinan bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), selain Amanah lapan kerusi dan DAP kekal dua kerusi.

    “Saya berharap PKR akan diberikan satu lagi kerusi tambahan kerana terdapat satu kerusi masih dalam rundingan antara PH dan BN. Pada PRU14 lalu, PKR bertanding 10 kerusi dan menang tujuh DUN. Ketika itu Bersatu pun banyak bertanding, jadi kerusi ditandingi Bersatu kebanyakannya ditawar kepada BN dalam PRN ini,” katanya lapor Sinar Harian.

    Menurut laporan itu yang memetik sumber, baki satu kerusi itu merujuk DUN Suka Menanti.

    Phahrolrazi berkata, secara keseluruhan kerusi ditandingi PH melebihi jumlah kerusi BN.

    “Agihan agak seimbang, kemungkinan PH letakkan calon di 20 kerusi dan BN 16 kerusi atau selepas rundingan dimuktamadkan, beranjak kepada PH sebanyak 21 kerusi dan BN (15),” katanya.

    Beliau yang sebelum ini bekas Adun Alor Mengkudu menyerahkan kepada parti sama ada PKR akan menamakannya sebagai calon.

    Phahrolrazi sebelum ini merupakan ketua Amanah Kedah, namun dipecat kerana didapati melanggar perlembagaan parti berhubung penamaan calon pada PRU15.

    “Saya tak berkecil hati (tidak menjadi calon), terserah pada parti. Saya tak bertanding pun tak ada masalah, sebab saya akan fokuskan perhatian kepada jentera parti ke setiap DUN Kedah (selaku pengarah pilihan raya) untuk menang lebih kerusi,” katanya.

    Sebelum ini, Pengerusi PH Kedah, Mahfuz Omar memaklumkan, kerusi DUN Alor Mengkudu dimenangi Phahrolrazi pada PRU14 akan ditandingi parti itu berikutan ia kuota Amanah.

  • Hassan minta dedah siapa ‘mafia politik’

    Hassan minta dedah siapa ‘mafia politik’

    AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menyifatkan “geng kaya” yang mengugut dan mahu menjatuhkan kerajaan perpaduan seperti yang didakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai “mafia politik”.

    Hassan berkata, walaupun ugutan itu boleh dianggap sebagai satu kesalahan jenayah tetapi beliau mencadangkan perdana menteri tidak perlu menggunakan menggunakan polis dan undang-undang untuk berdepan mereka.

    “Sebaliknya dedahkan mereka ke pengetahuan umum untuk dinilai rakyat,” katanya menurut Berita Harian.

    Katanya, Anwar perlu mendedahkan siapa “geng kaya” itu dan bagaimana mereka boleh memperoleh kekayaan yang luar biasa.

    “Adakah mereka kapitalis kroni? Adakah mereka pemilik monopoli permit import (AP)? Adakah mereka dalam senarai Pandora Papers dan Panama Papers?

    “Adakah mereka pemilik syarikat besar yang pernah di’bailout’ oleh kerajaan? Adakah mereka ada rekod lari dan mengelakkan diri dari membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri? Adakah mereka ada kes rasuah?” katanya.

    Dalam satu ucapan di Pulau Pinang semalam, Anwar mendedahkan ada ugutan yang beliau terima daripada ‘geng-geng kaya-raya’ ketika kerajaan berusaha ‘membersihkan’ negara.

    “Keadaan susah jadi kita patut bersihkan negara ini daripada kerja rasuah dan penyelewengan. Macam-macam ugutan saya terima. Geng-geng kaya-raya ini dah berpakat,” katanya

  • UMNO berada dalam kegelapan selama-lamanya – Khairy

    UMNO berada dalam kegelapan selama-lamanya – Khairy

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan UMNO adalah tempat paling gelap dan parti itu tidak mungkin pulih daripada keadaannya buat masa sekarang.

    Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, parti yang pernah disertainya lebih 20 tahun lalu juga disifatkan berada dalam kegelapan selama-lamanya.

    “Saya tak tahu mengenainya (peluang cerah jika menunggu memasuki semula UMNO atau menyertai Perikatan Nasional (PN), tetapi saya rasa UMNO sudah tergelincir daripada perjuangan asal. Saya tak pasti (UMNO) dapat pulih daripada (keadaan) ini. Sudah pasti itu parti dekat di hati kerana saya bersamanya lebih daripada 20 tahun, tetapi saya percaya parti itu berada dalam kegelapan selama-lamanya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika hadir program Future Leaders Empowerment Series (FLES) di UCSI University di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Berita Harian.

    Khairy turut berkongsi pengalaman memasuki universiti di United Kingdom pada era 1990-an dan bersama dalam program bual bicara itu, Ketua Pengarah Youth Beyond Boundaries, Kingsly Cheah.

    Pada Januari lalu, Khairy yang juga sebelum ini Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, dipecat keahliannya daripada UMNO.

    Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Dalam pada itu, ditanya mengenai namanya disebut-sebut bakal bertanding di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Khairy hanya menjawab perkara itu sudah dijawab sebelum ini.

    “Saya sudah bercakap mengenainya sebelum ini,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan bekas Menteri Kesihatan itu dilaporkan tidak akan menubuhkan parti baharu atau menyertai BERSATU buat sementara waktu dan juga tidak akan bertanding dalam pilihan raya di enam negeri.

    Khairy bagaimanapun dilaporkan akan memberi sokongan kepada PN, termasuk membantu pakatan politik itu berkempen dalam pilihan raya enam negeri yang bakal diadakan.

    Sementara itu, Khairy hanya mengatakan beliau akan melihat terlebih dulu ketika ditanya mengenai kemungkinannya bersara daripada dunia politik.

    “Tunggu dan lihat,” katanya ringkas.