Category: Politik

  • Pas Johor nafi tolak 4 kerusi ditawarkan UMNO

    Pas Johor nafi tolak 4 kerusi ditawarkan UMNO

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PAS Johor menafikan menolak empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditawarkan UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan lebih tertarik dengan 15 kerusi DUN ditawarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin menegaskan, isu berkenaan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti tersebut untuk PRN Johor masih belum dibincangkan sehingga kini.

    “Merujuk video yang tular Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohamad mempersoalkan kejujuran Pas dalam Muafakat Nasional (MN) apabila menolak tawaran empat kerusi daripada UMNO dan lebih tertarik tawaran 15 kerusi daripada Bersatu.

    “Pas Johor ingin menegaskan bahawa setakat ini belum ada perundingan atau perbincangan dibuat bersama-sama UMNO Johor tentang pengagihan kerusi PRN Johor dan Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15), apa lagi menyatakan pendirian menolak tawaran kerusi DUN.

    “Sebagai rakan dalam MN, Pas Johor sentiasa berlapang dada dan terbuka untuk terus komited dengan usaha memperkukuhkan pemuafakatan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Justeru Abdullah berharap, sebarang perkara berbangkit termasuk isu pembahagian kerusi dapat dibincangkan secara ukhuwah bagi memelihara hubungan sedia ada.

    Pendekatan tersebut katanya, penting bagi mengelakkan salah faham di samping dapat mengelakkan andaian dan laporan yang mengelirukan dalam media sosial.

    Tegas Abdullah, Pas Johor juga menafikan keterlibatan dengan menyokong calon Berjasa dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai bahkan jentera Pas digerakkan sepenuhnya untuk berkempen dan menyokong calon BN daripada MCA ketika itu.

    “Justeru Pas Johor sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha ke arah memperkukuh pemuafakatan ini demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara,” katanya lagi.

    Hari ini, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO dan BN masih belum menetapkan sama ada mahu meneruskan kerjasama dengan Pas atau bergerak solo pada PRN Johor.

    Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pemimpin tertinggi akan meneliti sebaiknya setiap perkara berkaitan kerjasama dengan Pas sebelum sebarang keputusan dibuat.

    DUN Johor dibubarkan Sabtu lalu selepas mendapat perkenan Sultan Johor dan kelmarin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Johor pada 9 Februari ini yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

    Mesyuarat itu bagi akan membincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

  • PH bertanding di kesemua 56 kerusi, bersetuju berunding dengan MUDA

    PH bertanding di kesemua 56 kerusi, bersetuju berunding dengan MUDA

    PAKATAN Harapan (PH) akan  bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

    Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini, berkata gabungan itu terdiri daripada PKR, Amanah dan DAP turut bersetuju untuk berunding dengan parti MUDA dalam pembahagian kerusi.

    “Majlis Presiden hari ini mengulangi pendirian akan meneruskan rundingan kerjasama dan pembahagian kerusi dengan semua parti pembangkang termasuklah Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

     “Hal ini akan memperkukuh saingan dari blok pembangkang dalam mendepani pilihan raya negeri Johor yang akan datang,” kata kenyataan itu.

    Majlis Presiden yang dianggotai Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Mohamad Sabu (Amanah), Lim Guan Eng (DAP) dan Madius Tangau (UPKO) berkata, PH juga memberikan penghargaan kepada pasukan rundingan kerusi yang masing-masing diwakili Syed Ibrahim Syed Noh, Jimmy Puah Wee Tse, Naim Jusri dan Akmal Nasir (PKR), Liew Chin Tong, Teo Nie Ching, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Andrew Chen Kah Eng (DAP) dan Aminolhuda Hassan, Dzulkefly Ahmad, Suhaizan Kaiat dan Abdul Hamid Jamah (Amanah).

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memaklumkan tarikh penting iaitu hari penamaan calon, hari mengundi awal dan mengundi biasa bagi PRN Johor akan diumum selepas mesyuarat khas mereka pada 9 Febuari ini.

    Sementara itu portal Free Malaysia Today melaporkan, PH Johor belum mengadakan sebarang perbincangan untuk mencadangkan Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik sebagai calon Menteri Besar mewakili gabungan itu.

    Perkara itu ditegaskan Pengerusinya, Aminolhuda Hassan, yang juga Ketua Amanah Johor.

    “Tidak ada perbincangan (Maszlee calon MB),” katanya kepada FMT.

    Timbalan Ketua PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse memaklumkan bahawa ramai tokoh daripada PH layak untuk diangkat sebagai calon MB selain Maszlee.

    Beliau bagaimanapun memaklumkan Majlis Presiden PH akan bermesyuarat bagi membincangkan calon Menteri Besar dalam masa terdekat.

    “Di Johor kita ada beberapa tokoh yang pada pandangan saya layak dicalonkan sebagai calon MB dan Maszlee juga merupakan seorang yang patut dalam pertimbangan.

    “Saya rasa Majlis Presiden PH akan teliti dan bincang perkara ini dalam masa terdekat,” katanya.

    Sebelum ini, ADUN Kota Anggerik daripada PKR mencadangkan Maszlee yang baharu menyertai parti itu dinamakan sebagai calon Menteri Besar PH.

    Najwan Halimi berkata, ia selari dengan strategi PH pada PRN Melaka November lalu ketika menamakan Naib Presiden Amanah Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri gabungan itu.

  • Pas tamak tapi tak ada kemampuan – Nur Jazlan

    Pas tamak tapi tak ada kemampuan – Nur Jazlan

    TIMBALAN Pengerusi Perhubungan UMNO Johor,Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan Pas sebagai “tamak” kerana mahu bertanding lebih banyak kerusi apabila tidak bersetuju dengan tawaran empat kerusi diberikan parti itu untuk bekerjasama dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

    Katanya, Pas sepatutnya perlu menyedari kemampuan mereka sebelum meminta untuk diberikan lebih banyak kerusi di negeri itu.

    “Tamaknya (Pas), tapi tak ada kemampuan. Orang yang tak ada kekuatan nak letak syarat melebih-lebih, sudahlah tolak tawaran lima kerusi daripada UMNO untuk PRN Melaka, dan lepas itu ikut Bersatu dalam PN dan kalah pula di semua lapan kerusi yang mereka (PAS) tanding, malah dapat undi kurang dari Bersatu,” katanya lapor portal Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan “bukan cara yang baik” jika Pas hanya ditawarkan empat kerusi oleh UMNO untuk bekerjasama dalam PRN Johor.

    Memetik laporan Malaysiakini, Pas pada asalnya berminat untuk meletakkan calon mereka di semua kerusi yang gagal ditawan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) lalu namun mereka kemudian hanya ditawarkan empat.

    Tuan Ibrahim dipetik berkata, cadangan itu dibawa kepada UMNO dengan matlamat mahu mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) yang sebelum ini mempertemukan kedua-dua parti ketika mereka masih pembangkang.

     Mengulas lanjut Nur Jazlan berkata, Pas sepatutnya muhasabah diri mengapa parti itu gagal bekerjasama dengan beberapa parti politik lain sebelum ini.

    “Sekarang nak berlagak dengan UMNO. Mereka patut muhasabah diri dan tanya diri kenapa Pas gagal bekerjasama dengan semua parti politik termasuk perikatan Angkatan Perpaduan Ummah tahun 1990 dulu,” katanya.

  • Buat sidang media khas, Mazlan mahu umum keluar Bersatu?

    Buat sidang media khas, Mazlan mahu umum keluar Bersatu?

    KETUA Bersatu Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang akan menjawab desas-desus beliau keluar parti dalam sidang media khas esok.

    Memetik laporan BH, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu berkata, semua pihak diminta menunggu sidang media tersebut.

    “Mana boleh beritahu dulu, tunggu esoklah. Jemput datang untuk buat liputan,” katanya ringkas.

    Pada masa ini, sedang berlegar spekulasi mengenai Mazlan akan menyertai sebuah parti politik lain.

    Khabar angin mengaitkan bekas Pengerusi Bersatu Johor itu bakal bertukar parti semakin hangat diperkatakan selepas media mendapat jemputan sidang media pengumuman khas esok.

    Selain itu, dua lagi ADUN Bersatu difahamkan turut mengikut jejak langkah Mazlan dan menyertai majlis pengumuman itu esok.

    Isnin lalu, Mazlan dilaporkan akan memutuskan masa depan karier politiknya dalam masa terdekat.

    Beliau mendakwa tidak akan bertanding atas tiket Bersatu pada PRN kali ini, berikutan tidak sehaluan dengan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Bersatu Johor.

    Sebelum itu, pada 20 Januari lalu pula, Mazlan dilaporkan bersedia mempertimbangkan untuk bersara daripada dunia politik sekiranya PRN diadakan.

    Beliau sebelum ini, menafikan bakal menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan kepada PRN Johor diadakan.

  • Ketokohan, pengalaman Muhyiddin akan beri PN kemenangan dalam PRN Johor

    Ketokohan, pengalaman Muhyiddin akan beri PN kemenangan dalam PRN Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor yakin kepimpinan dan ketokohan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memberi kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, pengalaman bekas Perdana Menteri itu dalam beberapa siri pilihan raya akan membantu PN dalam PRN tersebut.

    Beliau berkata, ini termasuk keputusan dibuat Presiden Bersatu itu untuk tidak bertanding dalam PRN kali ini dengan melepaskan kerusi
    Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir.

    Jelas beliau, keputusan itu akan memberi kesan positif yang akan memberi lebih masa dan tumpuan untuk Muhyiddin meningkat serta memperkukuh peluang PN.

    “Beliau tidak lagi perlu beri perhatian terhadap satu kawasan DUN sahaja sekali gus membolehkan beliau fokus terhadap segenap aspek jentera dan kempen PN di negeri ini.

    “Jika Tan Sri (Muhyiddin Yassin) tidak bertanding dalam PRN Johor, saya lihat itu adalah satu kelebihan kerana beliau akan mempunyai banyak masa berbanding sekiranya bertanding.

    Menerusi mesyuarat Bersatu yang dipengerusikan Muhyiddin pada malam tadi, beliau dilaporkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Gambir dan akan menyerahkan kerusi itu kepada tokoh lain untuk menerajuinya.

    DUN Johor dibubarkan pada Sabtu selepas mendapat perkenan Sultan Johor dan kelmarin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Johor pada 9 Februari ini yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

    Mesyuarat itu bagi akan membincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

    Mengulas lanjut, Mohd. Solihan, kepimpinan Bersatu Pusat sudah membuat keputusan kerusi itu diserahkan kepada Bersatu Bahagian Ledang.

    Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ledang berkata, pihaknya sudah mempunyai calon bersesuaian, diterima ahli akar umbi dan juga penduduk setempat di Bukit Gambir.

    “Kami percaya calon berkenaan akan dapat menyambung khidmat yang dibuat Tan Sri selain turut memberi nilai tambah kepada penduduk setempat,” katanya.

  • Maszlee calon Menteri Besar Johor jika Pakatan Harapan menang

    Maszlee calon Menteri Besar Johor jika Pakatan Harapan menang

    BEKAS Menteri Pendidikan, Maszlee Malik telah disebut-sebut sebagai antara nama calon Menteri Besar Johor seandainya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

    Sumber memaklumkan, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkemungkinan besar akan ditempatkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14, kerusi itu dimenangi Datuk Onn Hafiz Ghazi menewaskan pencabarnya Murugan Muthu Samy (PH) dan Mohd Jubri Selamat(Pas) dengan majoriti tipis 364 undi.

    “Maszlee berkemungkinan besar akan menjadi calon MB, tapi dia akan masuk ke kawasan Layang-layang,” menurut sumber itu kepada Astro Awani.

    Jika Maszlee memenangi kerusi tersebut ia bermakna beliau menjadi ADUN dan Ahli Parlimen di kawasan yang sama memandangkan beliau adalah Ahli Parlimen Simpang Renggam.

    Portal Malaysiakini melaporkan, konsensus atau perjanjian antara komponen PH sebelum ini, menyatakan mana-mana kerusi yang dimenangi oleh parti masing-masing sebelum ini tidak akan direbut lagi untuk pilihan raya seterusnya.

    Namun, mana-mana kerusi yang kalah sebelum ini adalah terbuka untuk ditandingi mana-mana komponen, tertakluk kepada rundingan dan keputusan akhir. Dan DUN Layang-layang tidak terkecuali.

    Biarpun kerusi itu secara tradisional ditandingi PKR, namun DAP telah menunjukkan minat di kerusi tersebut, dan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Marina Ibrahim telah pun bergerak aktif melakukan kerja-kerja kemasyarakatan di kawasan itu sejak dua tahun lepas.

  • UMNO lupa menang PRK dulu hasil bantuan PAS

    UMNO lupa menang PRK dulu hasil bantuan PAS

    UMNO dikatakan sudah lupa sama sekali bahawa kemenangan yang diperolehi Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah hasil bantuan PAS.

    Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulama PAS, Mokhtar Senik berkata, UMNO seolah-olah kembali dirasuk sifat asal mereka iaitu tamakkan kuasa dan rakuskan kerusi.

    Menurut beliau, melihat kepada perkembangan terkini, UMNO seperti sangat ghairah untuk kembali berkuasa tanpa PAS dan Bersatu.

    Mokhtar menambah, keghairahan itu semakin memuncak selepas berjaya menukar Perdana Menteri daripada pemimpin Bersatu kepada UMNO.

    “Kemudian diekori dengan kemenangan besar UMNO di Melaka dan terkini cubaan menguasai Johor pula. Suara UMNO Kelantan dan Johor menolak kerjasama dengan PAS mula bergema.

    “Sebelum ini gema tersebut telah disuarakan oleh UMNO Terengganu. Kelihatan yang masih agak sayang kepada Muafakat Nasional (MN) hanya UMNO Selangor, Perlis dan Pahang. Negeri lain saya tidak pasti (sedang memerhati perkembangannya),” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Sehubungan itu, beliau berpandangan, tiada pawang lagi yang mampu merawat UMNO selain kekalahan.

    Hubungan PAS dan UMNO semakin meruncing apabila UMNO Johor memutuskan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor secara solo.

    PAS Johor masih cuba berunding dengan UMNO bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru yang dikhuatiri boleh membuka ruang kepada Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa di negeri itu.

    Setakat ini, belum ada perkembangan positif dalam rundingan antara PAS dan UMNO berhubung PRN Johor.

    Mokhtar turut mengingatkan semua parti termasuk UMNO agar jangan bersikap seperti ‘abang long’ yang mahu mendominasi gabungan tiga parti terbesar Melayu.

    “Kerana dari pengamatan saya, jika mana-mana parti merasa dia lebih besar dari parti-parti lain dalam gabungan itu maka gabungan itu akan pecah.

    “Tidak salah jika memberikan UMNO lebih kerusi berbanding PAS dan Bersatu kerana hakikatnya ahli UMNO lebih ramai dari keahlian PAS dan Bersatu.

    “Tetapi lebihan kerusi itu jangan sampai UMNO mampu membentuk kerajaan sendiri tanpa PAS dan Bersatu,” jelasnya.

    Beliau berpandangan, UMNO boleh dipapah dan dibantu untuk kuat tetapi tidak boleh dirawat sehingga menjadi terlalu kuat.

    “…kerana bila merasa terlalu kuat UMNO akan mula lupa dan hilang keinsafannya. Apa yang saya bayangkan itu ternyata benar.

    “Itulah yang sedang berlaku kepada UMNO sekarang. UMNO dah rasa terlalu sihat sebelum rawatan selesai. UMNO dah rasa sangat kuat,” ujarnya.

    Mokhtar berkata, tiada pilihan bagi UMNO selain menguatkan barisan UMNO + PAS + Bersatu.

    “Tapi dengan syarat jangan nak jadi abang long. Setakat jadi abang ngah tu boleh. Belajar tawaduk dan setiakawan,” katanya.

  • Kertas siasatan kes ADUN Sedeli sudah dilengkapkan

    Kertas siasatan kes ADUN Sedeli sudah dilengkapkan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS Johor sudah menyerahkan kertas siasatan kes gangguan seksual membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili, Rasman Ithnain terhadap seorang wanita ke Pejabat Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada minggu lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kertas siasatan melibatkan mangsa yang merupakan Ahli Jawatankuasa Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah pun dilengkapkan.

    “Kertas siasatan sudah kita majukan kepada bahagian perundangan dan mereka akan meneliti serta buat kajian hasil siasatan yang kita jalankan. Kita masih menunggu keputusan.

    “Polis sudah melakukan siasatan terhadap 11 individu termasuk ADUN tersebut dan mangsa sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Laporan polis terhadap Rasman dibuat mangsa, 26, pada Isnin lalu sebelum tular dalam media sosial yang mendakwa diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit semasa terlibat dalam aktiviti bantuan kepada mangsa banjir di Kuala Sedili, Kota Tinggi, Sungai Ara, Mersing dan Bukit Kepong, Muar baru-baru ini.

    Pada 18 Januari lalu, Rasman menafikan tuduhan beliau melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita berkenaan.

    Rasman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi berkata, dakwaan wanita tersebut tidak benar dan menyifatkannya sebagai satu konspirasi politik untuk mencemarkan reputasinya

    Pada 21 Januari lalu, Kamarul Zaman dilaporkan berkata, pihaknya telah memanggil 11 individu bagi dirakam percakapan berhubung kes itu.

  • ‘’ Nak bincang apa lagi?’’ – Nur Jazlan bidas Pas Johor mahu jumpa MB

    ‘’ Nak bincang apa lagi?’’ – Nur Jazlan bidas Pas Johor mahu jumpa MB

    LANGKAH Pas Johor untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad bagi berbincang mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN)  dilihat sebagai usaha parti itu untuk menyelamatkan diri dan menjadi kerajaan melalui “pintu belakang”.

    Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk  Nur Jazlan Mohamed  berkata,  ini kerana Pas tahu bahawa parti itu tidak mempunyai sokongan yang kuat di negeri tersebut.

    “Jadi mereka nak runding untuk dapat kerusi dan supaya UMNO tolong mereka. Tapi buat apa kita nak tolong orang yang lemah? Pas sudah buktikan di Melaka, mereka tanding sendiri dan kalah semua kerusi.

    “UMNO pun dah tawarkan (ketika itu) untuk (Pas) tanding lima kerusi tapi mereka pilih nak tanding sendiri, sudahnya kalah semua. Keadaan sokongan Pas dekat Johor ini pun sama dengan Melaka, amat kurang.

    “Jadi, saya lihat ia sebagai cara Pas untuk masuk pintu belakang, konon-konon nak kerjasama dengan UMNO tapi tak ikhlas,” katanya lapor Malaysiakini.

    Semalam,  Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin berkata, pihaknya cuba bertemu dengan Hasni sehari selepas BN menyatakan hasrat gabungan itu untuk bergerak secara solo.

    Abdullah yang dipetik portal berita rasmi Pas, Harakahdaily berkata ia bagi berbincang mengenai PRN akan datang dalam semangat Muafakat Nasional (MN).

    Mengulas lanjut, Nur Jazlan secara peribadi berkata beliau tidak akan bertemu dengan pimpinan Pas kerana UMNO sudah lama memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional (PN).

    “Saya tak akan jumpa (pimpinan Pas), sebab saya tak percaya orang Pas ini,” katanya.

    Nur Jazlan berkata terpulang kepada Hasni sama ada mahu mengadakan pertemuan itu atau pun tidak tetapi sebarang keputusan berhubung kerjasama tetap peru dibawa ke peringkat jawatankuasa UMNO negeri.

    “Kita tak macam Pas yang Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang) boleh buat keputusan sendiri bagi orang bawah. Maknanya, jika Hasni mahu buat keputusan kerjasama pun dia kena bawa ke peringkat Jawatankuasa UMNO negeri dulu. Dia tidak boleh buat keputusan sendiri,” katanya lagi.

    Bagi Nur Jazlan, tiada apa lagi yang perlu dibincangkan dengan Pas memandangkan parti itu sudah menyatakan hasrat untuk kekal bekerjasama dengan PN.

    “Kita pun memang dah lama buat keputusan di peringkat pusat bahawa kita tidak mahu kerjasama dengan PN. Sekarang nak bincang apa lagi?” soalnya lagi.

  • Apa logik Pas nak tanding kerusi BN kalah – Khaled

    Apa logik Pas nak tanding kerusi BN kalah – Khaled

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempersoal apa logiknya Pas mahu meminta semua kerusi yang Barisan Nasional (BN) tewas kepada Pakatan Harapan (PH) berbanding empat kerusi yang ditawarkan UMNO jika mahu bekerjasama dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang.

    “Seingat saya semua kerusi yang BN kalah pada PRU14, Pas juga tanding, Pas pun kalah. Kesemuanya Pas kalah pada BN. Jadi apa logik yang dipakai tuntut kerusi tersebut

    ‘’Pas bertanding di 40 kerusi, semua kalah kepada UMNO  (berdasar kiraan undi siapa tinggi) kecuali satu (DUN Bukit Pasir),” katanya kepada FMT.

    Kenyataan Mohamed Khaled itu dibuat beberapa jam selepas Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan tindakan UMNO menawarkan hanya empat daripada 56 kerusi untuk Pas bertanding sebagai ‘bukan cara yang baik’.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan “bukan cara yang baik” PAS hanya ditawarkan empat kerusi oleh Umno untuk bekerjasama dalam PRN Johor.

    Memetik laporan Malaysiakini, Pas pada asalnya berminat untuk meletakkan calon mereka di semua kerusi yang gagal ditawan BN dalam PRU lalu namun mereka kemudian hanya ditawarkan empat sahaja.

    Tuan Ibrahim berkata, cadangan tersebut dibawa kepada UMNO dengan matlamat mahu mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) yang sebelum ini mempertemukan kedua-dua parti ketika mereka masih pembangkang.

    Katanya, formula yang dibawa Pas itu dikemukakan dengan matlamat mahu menghalang PH kembali berkuasa di Johor.

    Bagaimanapun katanya, apabila cadangan Pas tidak diterima, rundingan dengan BN akhirnya gagal mencapai titik persefahaman.

    Pada PRU14, BN tewas 19 kerusi termasuk di kawasan yang dianggap kubu kuat mereka kepada PH yang kemudian membentuk kerajaan negeri sebelum dijatuhkan pada penghujung Feb 2020.

    Pas pula yang ketika itu bergerak secara solo meletakkan calon di 40 kerusi namun hanya memenangi satu daripadanya iaitu DUN Bukit Pasir.